Category: Semasa

  • Garis panduan pengurusan dan pengoperasian sekolah 4.0 diumum bulan ini

    Garis panduan pengurusan dan pengoperasian sekolah 4.0 diumum bulan ini

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) dijangka membentangkan Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 4.0 pada bulan ini, kata Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.

    Beliau berkata, prosedur operasi standard (SOP) berkaitan garis panduan tersebut ketika ini di peringkat akhir perincian sebelum diumumkan.

    “Kami mengambil kira semua pandangan termasuk daripada Kementerian Kesihatan (KKM) kerana ia penting supaya guru-guru dan murid sekolah berada dalam keadaan selamat dan terhindar daripada wabak COVID-19,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas meninjau hari pertama pengoperasian sekolah tanpa menggunakan sistem penggiliran di Sekolah Kebangsaan Seri Ketereh, di sini hari ini.

    Mengulas lanjut, Radzi berkata, SOP tersebut turut melibatkan aktiviti kokurikulum di sekolah yang sebelum ini hanya dibenarkan diadakan di kawasan sekolah sahaja.

    “Selain itu, bagi pelajar tinggal di asrama yang mempunyai kontak rapat kepada pesakit positif COVID-19, namun tidak bergejala mereka tidak perlu menjalani kuarantin kendiri dan boleh hadir ke kelas seperti biasa.

    “Kami harap semua masyarakat termasuk guru, ibu bapa dan pelajar sekolah supaya sentiasa mematuhi segala SOP yang ditetapkan kerajaan supaya pelajar ini dapat belajar secara bersemuka seperti biasa tanpa menggunakan sistem penggiliran lagi,” katanya.

    Seramai 130,177 pelajar dari Kumpulan A melibatkan negeri Kelantan, Terengganu, Kedah dan Johor memulakan sesi persekolahan hari ini secara bersemuka tanpa menggunakan sistem penggiliran. – BERNAMA

  • Kes basikal lajak: Rayuan pemandu wanita didengar Isnin ini

    Kes basikal lajak: Rayuan pemandu wanita didengar Isnin ini

    RAYUAN pemandu wanita terhadap hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja yang menaiki basikal lajak lima tahun lalu, akan didengar di Mahkamah Rayuan Putrajaya, Isnin ini.

    Menerusi semakan sistem mahkamah, rayuan Sam Ke Ting, 27, akan didengar di hadapan panel hakim Mahkamah Rayuan 3, pada 9 pagi.

    Pada 14 April lepas, peguam yang mewakili wanita itu, Muhammad Faizal Mokhtar telah memfailkan notis usul bagi kebenaran merayu dan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 13 April.

    Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abu Bakar Katar, yang menjatuhkan hukuman itu ke atas Sam turut memerintahkan wanita itu dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda serta hilang kelayakan lesen memandu selama tiga tahun sebaik menjalani tempoh pemenjaraan.

    Mahkamah itu memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan pendakwaan bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret pada 10 Okt tahun lepas, yang melepaskan dan membebaskan wanita itu daripada pertuduhan berkenaan.

    Hakim Abu Bakar dalam penghakimannya berkata, mahkamah berpuas hati segala intipati kesalahan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 telah berjaya dibuktikan terhadap wanita itu.

    Beliau berkata mahkamah bicara telah terkhilaf apabila gagal memutuskan pembelaan Sam hanya bersifat penafian semata-mata.

    Hakim itu berkata mahkamah bicara juga terkhilaf apabila menerima pembelaan Sam yang tidak mengetahui adanya aktiviti basikal lajak pada malam kejadian sebagai alasan untuk memandu keretanya secara merbahaya sehingga mengorbankan mangsa.

    Sam yang ketika kejadian berusia 22 tahun, didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Lingkaran Dalam, di sini, pada 3.20 pagi 18 Feb 2017.

    Dalam kejadian itu, lapan remaja maut terdiri daripada Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16.

    — BERNAMA

  • Shafee tawar bela Sam Ke Ting secara percuma demi keadilan

    Shafee tawar bela Sam Ke Ting secara percuma demi keadilan

    PEGUAM terkenal, Tan Sri Shafee Abdullah menyertai beberapa peguam lain menawarkan khidmat secara percuma untuk membela kerani Sam Ke Ting, yang dipenjarakan baru-baru ini berhubung kes basikal lajak di Johor Bahru.

    Shafee yang menegaskan perkara itu tidak sepatutnya dijadikan isu perkauman atau agama berkata, Sam sepatutnya diberikan penangguhan hukuman sejak awal.

    “Saya tertanya-tanya mengapa dia tidak diberi penangguhan sabitan sementara menunggu rayuannya.

    “Saya harap dia diberi jaminan secepat mungkin kerana sudah menjalani hukuman penjara enam tahun. Jika dia diberi jaminan, dia mempunyai prospek yang lebih baik untuk menyediakan rayuannya bersama peguam,” katanya kepada FMT.

    Pihak yang lain turut menawarkan khidmat guaman secara percuma kepada Sam termasuk Biro Undang-undang Kebangsaan DAP dan Biro Hal Ehwal Undang-undang MCA.

    Sementara itu, permohonan Sam kepada Mahkamah Rayuan untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi ditetapkan pada 9 pagi Isnin di Mahkamah Rayuan Putrajaya.

    Shafie, mengesahkan laporan The Star sebelum ini, berkata beliau telah menawarkan diri untuk menjadi peguam Sam kerana yakin wanita itu perlu dibela dalam keadaan sekarang.

    “Saya mengesahkan bahawa saya telah menawarkan perkhidmatan secara pro bono (percuma) kepada Sam. Saya rasa keadilan adalah yang paling penting.

    “Saya harap, saya boleh mewakilinya jika dia melantik saya sebagai peguam atau akan tampil sebagai amicus curiae, bergantung kepada perkembangan semasa,” katanya.

    Amicus curiae ialah orang atau kumpulan, yang bukan pihak dalam sesuatu tindakan tetapi mempunyai minat dalam perkara itu, tampil sebagai “sahabat mahkamah” dengan kebenarannya.

    Shafee berkata, mesejnya ialah semata-mata mahu membawa keadilan, sambil menambah bahawa ia tidak ada kena-mengena dengan kaum atau agama, merujuk kepada ramai yang cuba memainkan isu “perkauman” dalam kes itu.

    Pada Rabu, Sam dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Tinggi di Johor Bahru kerana memandu secara melulu.

    Kerani itu didakwa menyebabkan kematian lapan penunggang basikal di Jalan Lingkaran Dalam di Johor Bahru pada 3.20 pagi 18 Feb 2017.

    Dia dibebas dan dilepaskan oleh mahkamah majistret pada 28 Okt 2019 di akhir kes pendakwaan tanpa dipanggil untuk pembelaan.

    Bagaimanapun, pada 18 Feb 2021, Mahkamah Tinggi Johor Bahru membawa semula kes itu ke mahkamah majistret, meminta Sam membela diri selepas membenarkan rayuan oleh pihak pendakwaan.

    Pada 10 Okt 2021, mahkamah majistret sekali lagi membebas dan melepaskannya.

    Pihak pendakwaan kemudian merayu sekali lagi ke Mahkamah Tinggi.

  • Sesi persekolahan tanpa sistem penggiliran bermula esok – Radzi

    Sesi persekolahan tanpa sistem penggiliran bermula esok – Radzi

    SESI persekolahan kembali seperti sediakala tanpa menggunakan sistem penggiliran bermula esok, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

    Beliau berkata kehadiran pelajar dan pengoperasian persekolahan akan dilaksanakan sama seperti sebelum pandemik Covid-19 melanda negara.

    “Mungkin apabila sekolah dibuka semula, kita akan lihat bagaimana murid datang ke sekolah dan  keadaan di luar yang semakin terbuka membuatkan ada yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

    Oleh itu, saya menyeru jasa baik pihak kepimpinan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), guru dan murid bagi memastikan kali ini sekolah akan dibuka dan tidak lagi ditutup,” katanya ketika berucap pada Majlis Ihya Ramadan Bersama Warga Pendidikan Negeri Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

    Mengulas lanjut, Mohd Radzi berkata dalam tempoh terdekat juga pihaknya akan mengemukakan garis panduan persekolahan 4.0.

    Beliau berkata garisan panduan berkenaan bersesuaian dengan keadaan semasa yang lebih terbuka, selain pada masa sama memastikan segala ketetapan yang dibuat dapat dipatuhi.

    “Ada yang persoal bila garis panduan pengurusan sekolah 3.0 akan ditambah baik, sedangkan untuk laksanakan sesuatu bukan boleh ditukar begitu sahaja.

    Pelaksanaan ini termasuk perlu mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan (KKM). Kita perlu bincang satu persatu, apakah pendekatan yang perlu dilaksanakan, garis panduan yang perlu dimasukkan dan sebagainya,” katanya.

    — BERNAMA

  • Kanak-kanak maut jatuh tingkat 18 kondominium

    Kanak-kanak maut jatuh tingkat 18 kondominium

    SEORANG kanak-kanak perempuan berusia empat tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 18 sebuah kondominium di Jalan Saujana 2, Setapak, Kuala Lumpur, awal pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, berdasarkan maklumat mangsa yang tinggal di salah sebuah unit di tingkat 18 kondominium terbabit, terjatuh dari balkoni rumahnya.

    “Polis menerima laporan kejadian kira-kira jam 2 pagi sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi. Siasatan awal mendapati mangsa tidur bersendirian dan ketika kejadian, ibunya difahamkan keluar dari rumah.

    “Pada waktu sama, penghuni lain di dalam rumah itu sedang tidur di bilik berasingan dan tidak mengetahui mangsa ditinggalkan bersendirian,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Berita Harian.

    Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh Penolong Pegawai Perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang tiba di lokasi dan mayatnya dibawa ke hospital sama untuk tindakan lanjut.

    Ashari berkata, kes disiasat pegawai penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

    Beliau memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian menyalurkannya dengan menghubungi Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau mana-mana balai polis berdekatan.

  • Polis lepaskan 5 das tembak henti kereta dinaiki penjenayah

    Polis lepaskan 5 das tembak henti kereta dinaiki penjenayah

    POLIS  terpaksa melepaskan lima das tembakan ketika cuba menghentikan sebuah kereta dinaiki empat lelaki di kawasan Pasar Awam Tikam Batu, Sungai Petani hari ini.

    Kejadian berlaku kira-kira jam 10.30 pagi apabila kereta jenis Proton Wira terbabit dipandu secara berbahaya sewaktu cuba meloloskan diri daripada polis ketika diminta berhenti untuk tujuan pemeriksaan.

    Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Muda Superintendan Anuar Abd Rahman berkata, kereta dinaiki empat lelaki itu pada mulanya dilihat dalam keadaan mencurigakan oleh anggota yang melakukan pemeriksaan di Jalan Permatang Merbau, Sungai Petani.

    Bagaimanapun, katanya ketika diminta berhenti untuk tujuan pemeriksaan, pemandu kereta terbabit terus memecut menghala pasar awam berhampiran.

    Beliau berkata, suasana di pasar terbabit agak sibuk ketika itu dan suspek terpaksa berhenti akibat kesesakan jalan.

    “Ketika itu anggota polis cuba menghampiri dan merampas kunci kereta, namun berlaku pergelutan. Pergelutan menyebabkan seorang anggota polis mengalami luka di siku,” katanya lapor Berita Harian.

    Anuar berkata, anggota polis melepaskan lima das tembakan bagi menghalang suspek daripada melarikan diri, namun mereka tetap memecut kenderaan.

    “Setakat ini, kita masih mengesan semua suspek terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya.

    Dalam keadaan kelam kabut untuk meloloskan diri itu, suspek turut merempuh beberapa kenderaan awam di kawasan terbabit.

  • Isu harga, bekalan ayam ke mesyuarat NACCOL minggu depan

    Isu harga, bekalan ayam ke mesyuarat NACCOL minggu depan

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) telah mengadakan mesyuarat bagi membincangkan isu bekalan dan harga ayam semalam .

    Menurut Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid, mesyuarat khas yang turut disertai Kementerian Kewangan, Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) itu berlangsung dengan positif dan mencapai beberapa cadangan penyelesaian.

    Menurut beliau, hasil perbincangan dan cadangan itu akan dibawa ke Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) yang bakal dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka pada Jumaat depan.

    “Sebarang keputusan untuk menangani isu harga dan bekalan ayam ini bakal diputuskan dalam mesyuarat berkenaan dan ia dijangka dapat diselesaikan sebelum hari raya nanti,” katanya selepas meninjau Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di Sabasun Hyper Runcit, di Hulu Terengganu, hari ini,lapor Sinar Harian

    Dalam pada itu, Rosol memaklumkan KPDNHEP telah mengeluarkan 288 kompaun kepada peniaga, pemborong dan pengeluar ayam di seluruh negara atas pelbagai kesalahan dalam Ops Pantau bermula 3 hingga 15 April lalu.

    Menurut beliau, nilai kompaun keseluruhan berjumlah RM151,900 itu melibatkan 181 kesalahan gagal menggunakan tanda harga khas, 89 kes menjual melebihi harga maksimum dan 18 kes kerana tiada tanda harga.

    Katanya, sepanjang tempoh 12 hari Ops Pantau dilaksanakan, sebanyak 7,493 premis pengeluar, pemborong dan peruncit ayam segar telah diperiksa penguatkuasa KPDNHEP dengan barang sitaan berjumlah RM46,970.

    “Hasilnya, sebanyak 243 kompaun telah dikeluarkan kepada peniaga ayam, 33 pemborong ayam manakala 12 kompaun lagi melibatkan pengeluar ayam.

    “Jadi jika ada suara-suara mengatakan kita hanya mengambil tindakan terhadap peruncit itu tidak benar kerana kompaun dikeluarkan kepada semua peringkat yang tidak mematuhi harga maksimum ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.

    Menurut Rosol, Johor merekodkan jumlah kes paling banyak iaitu 69 kes diikuti Perak (36), Pahang (32), Terengganu (24), Selangor (23), Melaka (21), Kedah (17), Sabah (16), Sarawak (14), Perlis (13), Kelantan (11), Kuala Lumpur (7), Negeri Sembilan (4) dan Pulau Pinang (1).

    Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 14(1) Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 yang membawa hukuman denda sehingga RM500,000 bagi syarikat dan RM100,000 bagi individu jika sabit kesalahan.

  • Ibu tunggal tinggal sehelai sepinggang, rumah musnah terbakar

    Ibu tunggal tinggal sehelai sepinggang, rumah musnah terbakar

    SEORANG ibu tunggal tinggal sehelai sepinggang apabila rumahnya hangus dalam kebakaran di Chiku 2, Gua Musang, pukul 8 malam tadi.

    Semasa kejadian, Rahani Abdul Aziz, 58, bersama anak perempuan dan seorang cucu lelaki dalam perjalanan ke surau di Chiku 3, untuk menunaikan solat tarawih.

    Dia kemudian menerima panggilan daripada jiran mengatakan rumahnya terbakar.

    “Saya bergegas pulang dan hanya mampu melihat rumah terbakar tanpa sempat menyelamatkan barang berharga.

    “Walaupun sedih dengan apa yang berlaku, namun saya reda, mungkin ada hikmahnya. Semua harta benda dan barang dalam rumah hangus terbakar, kami tinggal sehelai sepinggang.

    “Rumah ini sudah 30 tahun saya duduki, banyak kenangan bersama anak-anak dan arwah suami, namun semuanya sudah takdir,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini, lapor Harian Metro.

    Rahani berkata, akibat kebakaran itu, dia dan anak bongsu kini terpaksa menumpang di rumah anaknya yang lain di Chiku 3 dan berharap ada pihak yang tampil membantu.

    “Secara jujurnya saya cukup bersemangat untuk meraikan Aidilfitri tidak lama lagi bersama sembilan anak memandangkan sudah lama tidak dapat berkumpul ketika Aidilfitri.

    “Namun, semua perancangan musnah sebagaimana musnah rumah kami itu,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, pihaknya tiba di lokasi pada pukul 8.20 malam dan mendapati sebuah rumah kayu terbakar.

    “Berdasarkan maklumat saksi kejadian, kebakaran berpunca daripada panahan petir bilik hadapan. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan tidak terdapat unsur jenayah,” katanya.

  • Gerai jual mi berulat di bazar Ramadan diarah tutup-KP Kesihatan

    Gerai jual mi berulat di bazar Ramadan diarah tutup-KP Kesihatan

    GERAI menjual mi di bazar Ramadan yang tular setelah pembeli menemukan ulat, telah dikenakan arahan penutupan di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 bermula semalam (15 April) kerana didapati tidak bersih, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

    Arahan penutupan sementara di bawah akta itu adalah selama dua minggu bagi kerja pembersihan serta meningkatkan tahap keselamatan makanan dan premis dibenarkan beroperasi semula sebelum tempoh berkenaan sekiranya tahap kebersihan dan keselamatan makanan adalah memuaskan, katanya.

    Beliau dalam kenyataan hari ini berkata kompaun turut dikeluarkan terhadap seorang pekerja gerai berkenaan yang didapati tidak mengambil suntikan anti-tifoid.

    Tular di media sosial seorang pembeli mendakwa menemui ulat dalam mi sotong yang dibelinya pada harga RM30 di Bazar Ramadan Putrajaya, Putrajaya.

    Perbadanan Putrajaya (PPj) pada 14 April telah mengeluarkan notis amaran di bawah UUK 30(1)(c), Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (WP Putrajaya) 2016 kepada peniaga berkenaan.

    Beliau berkata peniaga berkenaan juga didapati mempunyai premis makanan di Cyberjaya yang mana bahan mentah dimasak dan disimpan sebelum dipasarkan di bazar tersebut, dan Kementerian Kesihatan (KKM) akan menjalankan pemeriksaan serta siasatan bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan pengendalian keselamatan makanan di premis tersebut.

    Berhubung aduan pencemaran kuih limas di Perak, Dr Noor Hisham berkata KKM telah membuka kertas siasatan ke atas pengeluar kuih limas terlibat bagi tujuan pendakwaan mengikut Akta Makanan 1983.

    Kejadian yang turut tular itu didapati berlaku di Bazar Ramadan Teluk Intan dan pembeli mendakwa menemukan gumpalan rambut dalam kuih limas dibelinya dari bazar berkenaan.

    Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar  dan Teknologi Hijau Perak Mohd Akmal Kamarudin pada 14 April lepas berkata sampel makanan kuih limas itu akan dihantar untuk analisis makmal bagi tujuan siasatan kes.

    Menerusi Operasi Ramadan 2022 seluruh negara, Dr Noor Hisham berkata 4,362 premis bazar Ramadan telah diperiksa dan 77 notis kompaun dengan nilai RM38,500 telah dikeluarkan bagi kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

    “Sebanyak 178 sampel makanan juga telah diambil untuk dianalisis,” katanya serta menasihatkan orang ramai agar membeli makanan di premis makanan yang bersih.

    Beliau berkata peniaga makanan didapati tidak mematuhi kehendak di bawah Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali. – Bernama

  • Cemburu dipercayai punca lelaki warga Bangladesh dibunuh

    Cemburu dipercayai punca lelaki warga Bangladesh dibunuh

    MOTIF utama kes pembunuhan seorang lelaki warga Bangladesh yang ditemui mati di tepi Jalan Sepang Salak, Sepang, pagi semalam, dipercayai akibat cemburu dan dendam.

    Menurut Ketua Polis Daerah (IPD) Sepang, Penolong Pesuruhjaya Polis Wan Kamarul Azran Wan Yusof, berikutan itu polis menahan tiga lelaki warga Indonesia berusia antara 24 hingga 50 tahun di sebuah rumah di Padang Jawa Shah Alam, hari ini.

    “Ketiga-tiga suspek ditahan pada pukul 1 pagi tadi bagi membantu siasatan berhubung kes terbabit. Penahanan dibuat susulan maklumat seorang individu di Shah Alam yang mendakwa mengenali mangsa.

    “Sebaik menerima maklumat itu, sepasukan pegawai dan anggotanya pergi ke Taman Sri Muda, Shah Alam untuk bertemu dengan individu terbabit, iaitu seorang remaja warga asing berusia 16 tahun.

    “Hasil siasatan mendapati, mangsa mempunyai hubungan dengan seorang wanita yang mempunyai tiga anak dan juga isteri kepada seorang warga asing.

    “Pada 2020, suami wanita itu pulang ke negara asal lebih kurang setahun dan kembali semula ke Malaysia pada Ogos tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Berita Harian.

    Wan Kamarul berkata, suami wanita itu mendapat tahu isterinya berkawan dengan mangsa menyebabkannya marah dan menceraikan isterinya.

    Katanya, sepupu mangsa juga mendakwa sebelum ini lelaki itu turut memarahinya kerana mangsa rapat dengan bekas isterinya.

    Ketika tangkapan katanya, polis turut merampas tiga telefon bimbit dan siasatan juga mendapati salah seorang daripada mereka tidak ada dokumen pengenalan diri.

    Semalam, media melaporkan penemuan mayat lelaki dipercayai dibunuh dalam keadaan terbaring dengan luka pada perut serta tangannya berikat kabel wayar di tepi Jalan Sepang-Salak.