Category: Semasa

  • ADUN DAP Perak tidak mengaku ambil dadah

    ADUN DAP Perak tidak mengaku ambil dadah

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar, Terence Naidu, 54, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini atas pertuduhan memasukkan dadah ke dalam badannya pada Januari lalu.

    Terence yang merupakan ADUN DAP Perak itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd. Akit.

    Mengikut pertuduhan, dia didakwa memberikan kepada diri sendiri dadah berbahaya jenis 3,4-methylenedioxymethamphetamine (MDMA) yang ditetapkan di Bahagian III dari Jadual Pertama, Akta Dadah Berbahaya 1952.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Bukit Mertajam kira-kira pukul 12.13 tengah malam 14 Januari lalu.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

    Kes dikendalikan Pengarah Pendakwaan negeri, Datuk Khairul Anuar Abdul Halim manakala tertuduh diwakili peguam Ramkarpal Singh dan RSN Rayer.

    Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan semula kes 17 Mei depan.

    Terdahulu, akhbar melaporkan seorang ADUN dari Perak ditahan polis pada 13 Januari lalu selepas ujian saringan air kencing dijalankan ke atasnya positif dadah.

    ADUN itu dilaporkan ditahan di sebuah restoran yang berlatar belakang seolah-olah seperti kelab malam dekat Perai, Pulau Pinang pada pukul 9 malam.

  • PGA7 tahan 2 lelaki rampas barang seludup bernilai lebih RM200,000

    PGA7 tahan 2 lelaki rampas barang seludup bernilai lebih RM200,000

    BATALION 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) merampas barangan seludup bernilai lebih RM200,00 di Pasar Besar Tasek Raja, Pasir Mas malam tadi.

    Rampasan dibuat selepas pihak berkuasa menahan dua lelaki yang bertindak sebagai pemandu serta kelindan lori mendakwa menerima upah sebanyak RM1,800 untuk membawa pelbagai barangan berkenaan termasuk pakaian, selipar dan beg dari pangkalan haram Sungai Golok ke bandar Kota Bharu.

    Menurut Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi, suspek berusia 29 dan 35 tahun itu ditahan ketika membawa kesemua barangan seludup itu di lokasi tersebut pada pukul 7.30 malam tadi.

    Menurut beliau, ketika anggota membuat rondaan, mereka terserempak sebuah lori dipandu suspek yang dalam keadaan mencurigakan sebelum bertindak menahanya untuk tujuan pemeriksaan.

    Katanya, hasil pemeriksaan di dalam lori menemui 3,181 pakaian pelbagai jenama, 250 pasang selipar dan tujuh beg disyaki dibawa masuk ke dalam negara melalui pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok, Rantau Panjang.

    “Kedua-dua suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen yang sah untuk kebenaran membawa barangan berkenaan, jadi anggota menahan mereka dan merampas lori serta barangan untuk dibawa ke Balai Polis Jeram Perdah bagi tujuan laporan.

    “Kesemua baju, selipar dan beg yang dirampas kemudian diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk siasatan lanjut di bawah Akta Cap Dagang 2019,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini, lapor Harian Metro.

    Menurut Azahari, penyeludup menggunakan modus operandi dengan membawa masuk barangan terbabit menggunakan perahu melalui jalan sungai dan ditempatkan di lokasi transit, sebelum dibawa menggunakan lori pada waktu malam ketika semua sedang bersedia berbuka puasa.

  • PATI pecah pintu blok, gril penghadang depot sebelum melarikan diri – KP Imigresen

    PATI pecah pintu blok, gril penghadang depot sebelum melarikan diri – KP Imigresen

    TAHANAN warga Rohingya dari Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap, Pulau Pinang, melarikan diri awal pagi ini dengan memecahkan pintu blok dan gril penghadang sebelum melarikan diri beramai-ramai.

    Menurut Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, seramai 528 tahanan etnik Rohingya bertindak melarikan diri dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi.

    “Mereka melarikan diri setelah memecahkan pintu blok dan gril penghadang.

    “Pegawai-pegawai bertugas telah mengaktifkan Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan menghubungi pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan bagi mendapatkan bantuan,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Astro Awani.

    Gerakan mencari dan menangkap tahanan yang lari sedang giat dijalankan dengan kerjasama PDRM, RELA dan orang ramai.

    “Sehingga jam 10 pagi ini, seramai 362 orang tahanan telah berjaya ditangkap semula. Gerakan mencari baki tahanan yang lain sedang diteruskan,” ujarnya.

    Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang keberadaan tahanan yang lolos diminta memaklumkan kepada pihak JIM atau PDRM.

  • RM10k: KWSP komited selesaikan sebelum Aidilfitri

    RM10k: KWSP komited selesaikan sebelum Aidilfitri

    KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah memberikan komitmen untuk menyelesaikan permohonan pengeluaran khas RM10,000 sebelum Aidilfitri.

    Sehubungan itu Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz meminta pemohon yang belum diluluskan permohonan dan penyaluran belum dibuat bersabar dan tidak risau.

    “Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sudah memberi komitmen, mereka akan berusaha menyelesaikan semua permohonan sebelum Aidilfitri,” katanya menerusi siaran video di Facebooknya, lapor Satu Berita.

    Beliau memberikan penjelasan itu selepas menerima banyak pertanyaan mengapa pengeluaran khas KWSP belum dimasukkan ke dalam akaun penerima.

    Beliau menjelaskan, bukan semua permohonan pengeluaran khas KWSP dimasukkan ke akaun semua pemohon pada 18 April.

    Sebaliknya, katanya, wang berkenaan akan dikreditkan secara berperingkat.

    Tengku Zafrul berkata, KWSP menerima 5.3 juta permohonan dengan jumlah pengeluaran RM40.1 bilion.

    “Ini satu jumlah yang sangat besar. Sukar untuk KWSP menyalurkan jumlah sebesar itu dalam masa yang singkat.

    “Sejak saya umumkan pengeluaran khas KWSP yang akan mula dikreditkan secara berperingkat mulai 18 April, ramai tanya, YB dah 18 April ni, kenapa tak masuk duit dalam akaun saya lagi?

    ‘Sejak awal lagi, KWSP sudah maklumkan penyaluran dibuat secara berperingkat.

    “Sekarang pun sudah ada yang terima makluman KWSP mengenai status permohonan mereka,” jelasnya menerusi video di FB, hari ini.

    Beliau berkata, pemohon akan menerima wang mereka pada tarikh yang berlainan, dan bukan semuanya pada 18 April.

    “Ada yang dapat 20 hari bulan, ada yang 21 hari bulan dan sebagainya.

    “Saya harap Keluarga Malaysia yang terbabit dapat bersabar menunggu pengeluaran khas KWSP,” katanya.

    Beliau juga berdoa semoga baki bulan Ramadan yang mulia ketika ini dapat dimanfaatkan dengan ibadah dan Aidilfitri kelak dapat disambut dengan lebih ceria.

  • 528 tahanan etnik Rohingya lolos dari depot sementara Sungai Bakap

    528 tahanan etnik Rohingya lolos dari depot sementara Sungai Bakap

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    SERAMAI 528 tahanan etnik Rohingya melarikan diri dari Depot Sementara Sungai Bakap, Pulau Pinang dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi tadi.

    Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, mereka melarikan diri setelah memecahkan pintu blok dan gril penghadang.

    Sehubungan itu ujar beliau, pegawai-pegawai bertugas telah mengaktifkan SOP dengan menghubungi pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan bagi mendapatkan bantuan.

    “Gerakan mencari dan menangkap tahanan yang lari sedang giat dijalankan dengan kerjasama dari PDRM, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan orang ramai.

    “Sehingga pukul 10 pagi ini seramai 362 orang tahanan telah berjaya ditangkap semula.

    “Gerakan mencari baki tahanan yang lain sedang diteruskan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat tentang keberadaan tahanan yang lari terbabit supaya memaklumkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) atau PDRM.

  • SPRM tahan pemilik dan pengurus besar buat tuntutan palsu

    SPRM tahan pemilik dan pengurus besar buat tuntutan palsu

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    DUA individu masing-masing sebagai pemilik sebuah syarikat pembinaan dan seorang lagi yang berperanan selaku pengurus besar syarikat pangkalan pelabuhan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor.

    Kedua-dua lelaki tempatan yang berusia 30 dan 39 tahun itu ditahan agensi tersebut selepas disyaki mengemukakan tuntutan palsu berjumlah hampir RM150,000, tahun lalu.

    Menurut sumber, pengurus besar terbabit telah meluluskan tiga tuntutan pembekalan dan pemasangan kabin daripada pemilik syarikat pembinaan berkenaan sedangkan ia tidak mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan.

    “Pemilik syarikat pembinaan itu ditahan di pejabat SPRM Johor kira-kira pukul 6 petang, semalam selepas dia hadir memberikan keterangan.

    “Sementara pengurus besar syarikat pangkalan pelabuhan itu pula ditahan kira-kira pukul 8.30 malam di lokasi sama,” kata sumber terbabit di Johor Bahru, hari ini.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias mengesahkan kedua-dua penahanan terbabit dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

    Kedua-dua suspek juga akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini bagi mendapatkan permohonan reman untuk membantu siasatan.

  • Isu tanah lapangan terbang: SPRM panggil ADUN Manjoi

    Isu tanah lapangan terbang: SPRM panggil ADUN Manjoi

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah pun memanggil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Datuk Asmuni Awi untuk dirakam percakapan berhubung isu penjualan tanah tapak lapangan terbang Seri Iskandar.

    Mengesahkan perkara tersebut kepada media, Asmuni memaklumkan kehadirannya ke Pejabat SPRM Perak di Ipoh pada 15 April lalu bertujuan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

    “Saya sudah dipanggil oleh SPRM untuk membantu siasatan mereka pada hari Jumaat, 15 April yang lalu,” katanya yang juga bekas Exco Kerajaan Perak dan bekas Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), lapor Sinar Harian, hari ini.

    Asmuni sebelum ini tampil mengemukakan laporan kepada SPRM meminta siasatan dibuat terhadap penjualan tanah bagi tapak lapangan terbang di Seri Iskandar susulan pendedahan bahawa transaksi dibuat ketika zaman Pakatan Harapan (PH) memerintah Perak.

    Pada 18 April lalu, Pengarah SPRM Perak, Datuk Mohd. Fauzi Mohamad menjelaskan, seramai 10 lagi individu termasuk bekas Exco kerajaan negeri dipanggil membantu siasatan SPRM berhubung isu penjualan tanah tapak lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar.

    Selain bekas Exco kerajaan negeri, turut akan dipanggil ialah pegawai PKNP, pegawai kerajaan negeri dan pegawai Pejabat Tanah dan Galian (PTG).

    SPRM sebelum ini telah merakam kenyataan tiga saksi membabitkan pegawai PKNP dan kerajaan negeri Perak berhubung isu penjualan tanah itu bagi membantu siasatan.

    Isu penjualan tanah lapangan terbang berkenaan timbul selepas ADUN Aulong, Nga Kor Ming pada Persidangan Dewan Negeri Perak mendakwa tanah itu sudah dijual tanpa kebenaran kerajaan negeri.

    Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad kemudiannya memaklumkan penjualan tanah itu dilakukan ketika di bawah pentadbiran PH kepada syarikat swasta untuk pembangunan bercampur di kawasan berkenaan.

  • 6 tahanan etnik Rohingya lari dari depot maut kemalangan

    6 tahanan etnik Rohingya lari dari depot maut kemalangan

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    (KEMAS KINI) SERAMAI enam daripada tahanan etnik Rohingya yang melarikan diri daripada Depoh Tahanan Imigresen Sementara Sungai Bakap, Pulau Pinang maut dilanggar ketika cuba menyeberangi lebuh raya PLUS (Projek Lebuh Raya Utara Selatan) di Kilometer 165 (berhampiran Jawi) kira-kira pukul 6.50 pagi tadi.

    Menurut Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain, mangsa terdiri daripada dua lelaki dewasa, dua wanita dan masing-masing seorang kanak-kanak lelaki dan perempuan.

    Jelas beliau, mereka merupakan sebahagian daripada 528 etnik Rohingya yang melarikan diri daripada Depoh Tahanan Imigresen Sementara Sungai Bakap yang terletak bersempadan dengan Bandar Baharu, Kedah itu kira-kira pukul 4.30 pagi tadi.

    Bagaimanapun tambahnya, tindakan pantas pihak berkuasa berjaya menahan semula 229 daripada tahanan yang melarikan diri itu.

    “Selain pihak berkuasa termasuk polis dan Rela, orang ramai khususnya penduduk kampung berhampiran termasuk di sempadan negeri turut membantu dan berjaya memberkas 88 daripada tahanan itu sebelum menyerahkannya kepada pihak Imigresen,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Tambah Mohd. Shuhaily, ketika ini usaha mengesan seramai 205 tahanan lagi masih giat dijalankan.

    “Kita percaya baki tahanan yang melarikan diri itu tidak lagi berani untuk menyeberangi lebuh raya selepas kemalangan terbabit.

    “Sebaliknya, rata-rata mereka mungkin hanya menyusuri lebuh raya tersebut semasa melarikan diri,” katanya.

    Tambah beliau, kerja-kerja mencari dan mengesan saki baki tahanan itu turut dibantu oleh sekumpulan anak muda secara sukarela.

  • 700 PATI di tahanan imigresen larikan diri hari ini

    700 PATI di tahanan imigresen larikan diri hari ini

    SERAMAI 700 pendatang tanpa izin (PATI) yang ditahan di Depot Imigresen Sementara Relau di Bandar Baharu melarikan diri dalam kejadian pada pukul 4 pagi tadi.

    Kumpulan PATI berkenaan antaranya terdiri daripada warga Bangladesh, Indonesia dan etnik Rohingya dilihat keluar beramai-ramai dari depot berkenaan oleh penduduk tempatan.

    Harian Metro melaporkan, semua tahanan terbabit adalah di bawah seliaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang, namun ditempatkan di depot tahanan sementara berkenaan, sebelum urusan penghantaran pulang dibuat.

    Berikutan itu, operasi menahan semula semua tahanan terpaksa dilakukan pihak JIM yang turut mendapat bantuan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bandar Baharu, Kedah, dan IPD Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang.

    Sehingga kini, dimaklumkan lebih separuh tahanan yang terlepas berjaya ditahan semula dengan operasi mengesan Pati yang masih bebas masih dilakukan pihak berkuasa.

    Sidang media berkenaan kejadian dijangka akan dibuat Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, pada pagi ini.

  • KPWKM ambil serius semua cadangan TMJ-Rina

    KPWKM ambil serius semua cadangan TMJ-Rina

    KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengambil serius semua cadangan disuarakan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berhubung kes penderaan mangsa sindrom down dikenali sebagai Bella.

    Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, pihaknya telah memaklumkan perkembangan mengenai kes Bella kepada Tunku Ismail dan isterinya, Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam dalam sebuah pertemuan bersama KPWKM dan Wakil Pertubuhan Antarabangsa UNICEF ke Malaysia, Amanda Bissex di Royal Johor Club, Johor Bahru, hari ini.

    “Merafak sembah dan menjunjung kasih Tunku Ismail dan Che Puan Besar Khaleeda kerana sudi menjemput patik bersama rombongan KPWKM menghadap dan mempersembahkan kepada baginda berdua mengenai status terkini kes penderaan anak istimewa bernama Bella dan tindakan-tindakan intervensi yang telah disusuli oleh kementerian demi keadilan dan kebajikan anak istimewa ini.

    “Saya berasa berbesar hati atas keprihatinan baginda cakna terhadap kes ini yang turut sama bersolidariti bersama rakyat Malaysia yang prihatin.

    “Kementerian menyambut baik dan mengambil serius cadangan-cadangan yang disuarakan baginda. Insya-Allah,” katanya dalam siaran menerusi Facebook rasminya, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata, rombongan perjumpaan tersebut turut diiringi oleh Ketua Setiausaha KPWKM, Datuk Dr. Maziah Che Yusoff; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Fatimah Zuraidah Salleh dan Penasihat Undang-undang KPWKM.

    Sebelum ini, kes penderaan melibatkan remaja kurang upaya (OKU) dikenali sebagai Bella itu mulai mendapat perhatian awam sejak awal bulan lalu.

    Lantaran itu, Tunku Ismail yang peka dengan keadaan menimpa mangsa berkenaan turut menawarkan khidmat peguamnya secara percuma bagi menjalankan arahan memerhati (watching brief) di mahkamah.