Category: Semasa

  • Tiga penguat kuasa JPJ mengaku salah terima suapan

    Tiga penguat kuasa JPJ mengaku salah terima suapan

    TIGA pembantu penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) masing-masing didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan menerima suapan berjumlah RM20,000 pada 2021.

    Tertuduh, Mohamad Fadzli Robaini, 32; Sazali Rani, 53, dan Mohd. Khairumin Sahdan, 35, membuat pengakuan berkenaan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

    Sinar Harian melaporkan, ketiga-tiga mereka yang bertugas di Unit Peronda Lebuhraya Jelapang itu juga berdepan hukuman penjara satu bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

    Kesemua tertuduh didakwa telah menerima wang tunai berjumlah RM20,000 daripada Lee Kok Wong, 29, agar tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas Cheong Chee Wei, 41 atas kesalahan membawa barang muatan arak tanpa surat kebenaran semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    Perbuatan itu dilakukan di tepi Lebuh Raya Utara-Selatan dalam daerah Kinta antara pukul 10 pagi hingga 1.10 petang pada 6 Jun 2021.

    Pendakwaan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

    Mahkamah kemudiannya memerintahkan wang rasuah berjumlah RM18,65011 daripada ketiga-tiga tertuduh dilucuthakkan di bawah seksyen 40(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 kepada kerajaan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Maziyah Mansor manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam Muhaimin Ari

  • 10 lawan 1 – Pelajar dibelasah beramai-ramai dalam kelas

    10 lawan 1 – Pelajar dibelasah beramai-ramai dalam kelas

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Polis menerima laporan daripada seorang pelajar berusia 16 tahun yang mendakwa dibelasah beramai-ramai di sebuah sekolah di Langkawi, semalam.

    Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner (ACP) Shariman Ashari berkata, kejadian itu dipercayai berpunca daripada perselisihan faham akibat ejekan.

    Menurutnya, laporan polis itu dibuat pelajar berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi, awal pagi ini.

    “Siasatan awal mendapati kejadian itu dipercayai berlaku semalam kira-kira pukul 9 pagi di sebuah kelas dalam sekolah berkenaan.

    “Suspek sedang dikenal pasti dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan ringkas di Langkawi, hari ini.

    tersebar klip video yang memaparkan kejadian itu dengan mangsa dilihat dibelasah oleh sekurang-kurangnya 10 pelajar lain.

    Sementara itu di media sosial, tersebar klip video yang memaparkan kejadian itu dengan mangsa dilihat dibelasah oleh sekurang-kurangnya 10 pelajar lain.

    Terdahulu mangsa dilihat berperang mulut dengan rakannya sebelum seorang pelajar lain dilihat menendang dari belakang sehingga membuatkan pelajar lain berkerumun bagi membelasahnya.

    Shariman menambah, mangsa turut dirujuk ke hospital bagi menjalani pemeriksaan namun dia setakat ini didapati tidak mengalami kecederaan fizikal.

    “Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • ADUN pembangkang bidas tindakan MB Johor

    ADUN pembangkang bidas tindakan MB Johor

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    TINDAKAN Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang melantik penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi tujuan pengagihan bantuan tidak mencerminkan semangat dwi-partisan dengan pembangkang.

    Pakatan Harapan (PH) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Johor dalam kenyataan bersama menyifatkan langkah itu seolah-olah melangkaui peranan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang yang dipilih sendiri oleh rakyat.

    Menurut mereka, sebarang bantuan atau program kerajaan negeri juga sebenarnya dapat dijalankan oleh ADUN pembangkang dan tidak perlu melalui penyelaras Barisan Nasional (BN).

    “Kami yakin semua wakil rakyat mampu kendalikan pengagihan bantuan. Penyelaras BN mempunyai tugas dan tanggungjawab yang besar untuk bekerjasama dengan ADUN Pembangkang, bukannya melangkaui peranan ADUN pilihan rakyat.

    “Atas prinsip dan semangat dwi-partisan, semua kemudahan dan jemputan ke majlis-majlis serta mesyuarat rasmi kerajaan untuk penyelaras BN harus diperuntukkan dan dipanjangkan kepada ADUN pembangkang,” kata kenyataan itu hari ini.

    Semalam, Onn Hafiz berkata, pelaksanaan program Bantuan Kasih Bangsa Johor (BKBJ) di kawasan DUN pembangkang akan dikendalikan penyelaras DUN BN, manakala bagi kawasan kerajaan akan dikendalikan wakil rakyat sendiri.

    Dalam pada itu, PH dan Muda Johor turut mencadangkan dua langkah yang boleh dilaksanakan kerajaan negeri untuk manfaat bersama rakyat negeri itu.

    Ia merangkumi membenarkan ADUN pembangkang menyertai Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD) dan majlis-majlis rasmi negeri Johor serta membentangkan rancangan penyelaras BN bagi setiap suku tahun bertujuan penyelarasan bersama ADUN pembangkang.

    “ADUN pembangkang yang dipilih rakyat bertanggungjawab untuk memastikan setiap maklumat, kerja lapangan dan masalah rakyat disampaikan secara terus dan rasmi kepada JTPD dan penyertaan kami akan memudahkan usaha membantu rakyat serta membangunkan Johor.

    “Ini juga bagi memudahkan kerjasama antara penyelaras BN bersama ADUN pembangkang dalam hal pembangunan dan kebajikan negeri yang mana ianya selaras dengan hasrat PH dan Muda untuk mengetepikan perbezaan fahaman politik dan berkhidmat kepada rakyat,” ujarnya.

    Dalam kenyataan itu juga, kedua-dua pihak sekali lagi menegaskan akan menyokong usaha yang baik daripada kerajaan demi kepentingan rakyat dan pembangunan negeri Johor.

  • Persiapan Aidilfitri musnah dalam kebakaran

    Persiapan Aidilfitri musnah dalam kebakaran

    SEBUAH keluarga terpaksa menyambut Hari Raya Aidilfitri seadanya pada kali ini selepas rumah mereka termasuk semua persiapan lebaran yang yang bakal disambut minggu hadapan musnah dalam kebakaran.

    Ketua keluarga, Nazri Ahmad, 51, berkata, rumah mereka di Batu 39, Jalan Seribu Tahun di Kampung Olak Lempit di Banting terbakar pada hari ke-12 Ramadan yang lalu.

    Menurut Nazri, ketika kejadian pukul 2.30 pagi itu, isteri dan tiga anaknya berada di rumah, manakala dia masih belum pulang dari kerja dan seorang lagi anak berada di kolej.

    “Anak kedua saya yang tersedar dari tidur kerana sukar bernafas sebelum segera keluar dari bilik untuk melihat keadaan dan menyedari rumah sudah dipenuhi asap tebal.

    “Mereka bernasib baik kerana anak saya tidak menutup pintu biliknya dan sejurus selepas itu, anak-anak yang berada di rumah dan isteri terus berlari keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri.

    “Mereka cuba memadamkan api tetapi tidak berjaya kerana api terus marak, hanya sempat alihkan kereta,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Nazri ditemui selepas menerima kunjungan Ketua Pegawai Eksekutif Suasa Efektif (M) Sdn Bhd, Dr Zainuddin Othman sempena Program Sumbangan Kasih Ramadan anjuran syarikat itu.

    Hadir sama, Pengarah Eksekutif Sumber Manusia dan Pentadbiran, Mohd. Ismail Masri; Pengarah Eksekutif Korporat dan Pemasaran, Tengku Datuk Taha AlFashni serta ketua-ketua pejabat cawangan.

    Program Sumbangan Kasih Ramadan itu mengagihkan sumbangan pek makanan kepada 51 buah keluarga asnaf, fakir dan miskin.

    Program dijalankan serentak di Shah Alam, Selayang, Kajang, Kuala Selangor, Sepang dan Nilai iaitu di kawasan pengoperasian tempat letak kereta pihak berkuasa tempatan di bawah pengurusan operasi Suasa Efektif (M) Sdn Bhd.

    Zainuddin berkata, sumbangan itu mengandungi makanan asas seperti beras, tepung, minyak masak, bihun, biskut, sardin, sos, kicap, garam, gula, teh dan juga minuman.

    “Program sebegini adalah sejajar dengan konsep kami iaitu ‘berkongsi rezeki di bulan mulia’ di mana kami percaya setiap rezeki yang ALLAH berikan kepada kita perlu dikongsi bersama.

    “Di dalam setiap rezeki kita, ada juga rezeki untuk orang lain dan begitu juga sebaliknya, semoga sedikit sumbangan ini dapat membantu meringankan beban golongan memerlukan,” katanya.

    Selain sumbangan berbentuk keperluan makanan, penerima juga menerima sumbangan berbentuk wang tunai bagi menampung keperluan keluarga bagi menyambut ketibaan Aidilfitri.

  • Lelaki edar ganja berhadapan hukuman mati di Marang

    Lelaki edar ganja berhadapan hukuman mati di Marang

    SEORANG  lelaki berhadapan hukuman mati selepas didakwa atas dua pertuduhan mengedar dadah dengan berat keseluruhan kira-kira 13.75 kilogram, di Mahkamah Majistret Marang di Marang.

    Tertuduh Aziz Said, 55, juga hari ini didakwa atas tuduhan mengambil dadah di mahkamah yang sama dan ketiga-tiga pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda.

    Bagi pertuduhan pertama dan kedua, lelaki itu didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine masing-masing seberat 13,199.52 gram (g) dan 555.2g pada 18 April, lebih kurang 12.50 tengah malam di Kampung Surau Haji Yaakob di Marang.

    Pertuduhan di bawah Seksyen 39B (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 itu, boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama dan jika disabitkan kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan juga sebatan tidak kurang 15 sebatan jika tidak dihukum mati.

    Bagi pertuduhan ketiga pula, lelaki yang bekerja sendiri itu didakwa telah memasukkan dadah jenis methamphetamine ke dalam badannya sendiri pada tarikh yang sama, jam lebih kurang 4 pagi di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Marang.

    Aziz melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 15(1) (a) ADB 1952 (Pindaan 2002) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (1) (a) akta sama, yang boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun, dan diikuti dengan perintah pengawasan di bawah Seksyen 38B ADB (Pindaan 2002) antara dua hingga tiga tahun.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nik Rabiatul Adawiyah Nik Soupy manakala tertuduh tidak diwakili peguam, dan mahkamah menetapkan 28 Julai ini sebagai sebutan semula kes.

     — BERNAMA

  • Tahanan lari dari depot sudah sampai ke Selayang-JIM

    Tahanan lari dari depot sudah sampai ke Selayang-JIM

    JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) mengesan pelarian Rohingya yang melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sementara Relau, Sungai Bakap, Kedah pada 20 April lalu kini berada di sekitar Selayang.

    Ketua JIM, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, bagaimanapun pihaknya sedang mengenal pasti lokasi sebenar tahanan berkenaan sebelum tindakan diambil.

    Berdasarkan maklumat yang diterima katanya, berkemungkinan pelarian itu dibantu komuniti mereka sendiri untuk membawa tahanan yang lolos ke kawasan Selayang.

    “Kita percaya ada di antara mereka yang tahu mengenai selok-belok Selayang dan Kuala Lumpur kerana mereka pernah tinggal di kawasan ini,” katanya ketika ditemui selepas serbuan di Pasar Borong Selayang dan Pasar Borong Kuala Lumpur, hari ini, lapor Harian Metro.

    Beliau berkata, setakat ini tahanan yang masih bebas ialah seramai 61 orang dan pihaknya bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih giat memburu pelarian yang masih bebas.

    “Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada PDRM yang bersama JIM dalam melakukan pencarian bagi mengesan saki-baki tahanan yang melarikan diri dari pusat tahanan terbabit,” katanya.

    Dalam kejadian berkenaan, 528 tahanan di Depot Imigresen Sementara Relau, Sungai Bakap merusuh dan melarikan diri.

    Enam daripada mereka maut dalam kemalangan ketika cuba melintas laluan di Kilometer 168 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

    Bagaimanapun, 467 orang berjaya ditahan semula setakat ini manakala bakinya sedang diburu polis.

  • MARA taja 1,500 pelajar ke luar negara – Mahdzir

    MARA taja 1,500 pelajar ke luar negara – Mahdzir

    MAJLIS Amanah Rakyat (MARA) meneruskan program penghantaran pelajar tajaannya ke luar negara membabitkan seramai 1,500 orang dalam pelbagai bidang dan peringkat pengajian pada tahun ini.

    Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, program tajaan, biasiswa dan pinjaman MARA ini sudah dilaksanakan sejak 50 tahun lepas dan akan diteruskan pada masa akan datang.

    “MARA meneruskan usaha untuk memberi tajaan dan biasiswa serta pinjaman kepada anak-anak Melayu dan bumiputera untuk belajar dalam bidang-bidang tertentu di luar negara,” katanya ketika ditemui selepas Program Ceria ke Sekolah dan Majlis Perasmian Projek Baiti Jannati Tenaga Nasional Bhd (TNB) serta majlis berbuka puasa bersama pelajar tingkatan enam dari tiga sekolah di Kuala Nerang semalam.

    Beliau berkata, MARA tidak mempunyai sebarang masalah berkaitan penghantaran pelajar ke luar negara ketika pandemik COVID-19 memuncak sejak dua tahun lepas kerana kelas pengajian dilaksanakan secara dalam talian.

    “Sekarang tidak ada masalah, dahulu pun tidak ada masalah sebab pelajar mengikuti pengajian secara online, cuma kos kita rendah kerana dia tidak pergi lagi ke universiti itu,” katanya.

    Ditanya mengenai pembayaran balik wang tajaan pelajar, Mahdzir berkata MARA tidak mempunyai masalah berkaitan perkara itu.

    Katanya MARA juga tidak menetapkan pelajar tajaannya pulang bekerja dengan agensi tersebut, sebaliknya pelajar yang menamatkan pengajian di luar negara bebas memilih kerjaya di mana-mana syarikat atau agensi di negara ini.

    Ketika ini, sejumlah 3,391 pelajar tajaan MARA sedang melanjutkan pengajian di 24 negara di seluruh dunia dengan 1,422 pelajar berada di United Kingdom.

    Pada majlis itu, Mahdzir turut menyampaikan bantuan Program Ceria Ke Sekolah TNB kepada 257 pelajar tingkatan enam tiga sekolah dari daerah Padang Terap manakala dua keluarga miskin dari Kampung Kuala Tekai, Pedu, menerima kunci rumah kediaman di bawah Projek Baiti Jannati TNB. – BERNAMA

  • Bersatu, Pas Kelantan sudah bincang agihan kerusi PRU15

    Bersatu, Pas Kelantan sudah bincang agihan kerusi PRU15

    PARTI Bersatu dan Pas Kelantan telah mengadakan perbincangan di peringkat negeri berhubung pengagihan kerusi, bagi kedua parti politik itu untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Pengerusi Bersatu Kelantan Datuk Kamaruddin Md Nor berkata hasil perbincangan itu, pihaknya telah memutuskan untuk mengekalkan kerusi masing-masing yang dimenangi kedua-dua parti itu pada PRU sebelum ini.

    Beliau bagaimanapun berkata keputusan itu akan dibuat peringkat pusat, hasil cadangan yang dikemukakan oleh kedua-dua parti di peringkat negeri.

    “Bagi kerusi yang dimenangi UMNO pada PRU14, membabitkan tiga kerusi Parlimen dan tujuh DUN kita akan runding dan bincang kawasan mana Bersatu dan Pas, sebelum dibawa ke peringkat pusat.

    “Manakala untuk kerusi yang belum diputuskan, pertimbangan perlu dibuat terlebih dahulu dengan melihat potensi calon dan sebagainya,” katanya pada sidang media selepas majlis ramah mesra dan berbuka puasa Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) bersama pengamal media Kelantan, di Kota Bharu malam tadi.

    Mengulas lanjut, Kamarudin yang juga Pengerusi Lembaga KADA berkata tidak mustahil juga sekiranya Bersatu meletakkan calon di kerusi yang disandang PAS, disebabkan faktor timbal balas dan berharap partinya akan memenangi lebih banyak kerusi pada PRU15 nanti.

    — BERNAMA

  • Nelayan dikhuatiri lemas terjatuh dalam laut

    Nelayan dikhuatiri lemas terjatuh dalam laut

    SEORANG nelayan dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam laut di perairan Bak-Bak, Kudat, pada pukul 6 petang semalam.

    Sebelum itu, mangsa yang merupakan lelaki berusia 29 tahun dipercayai terjatuh dari bot, ketika dalam perjalanan pulang ke Jeti Aseng.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.40 malam.

    “Sepasukan tiga anggota dan pegawai bersama van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.

    “Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba terus menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan pantai.
    “Pasukan operasi turut mendapatkan maklumat lanjut daripada ahli keluarga dan penduduk di kawasan sekitar,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Menurutnya, operasi pencarian gagal menemui mangsa dan terpaksa ditangguhkan pada 10.22 malam tadi.

    “Operasi pencarian disambung semula pada 6 pagi tadi dan sebarang maklumat lanjut akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya.

  • Budak lelaki dua tahun maut, lima cedera dua rumah terbakar

    Budak lelaki dua tahun maut, lima cedera dua rumah terbakar

    SEORANG kanak-kanak lelaki berusia dua tahun maut manakala lima yang lain termasuk bayi perempuan berusia lapan bulan cedera dalam kebakaran di Jalan Permatang Badak Perdana 2, Kuantan, pukul 3 pagi ini.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, kebakaran tersebut melibatkan dua rumah jenis berkembar separuh kekal.

    “Kedua-dua rumah itu musnah dijilat api selain turut melibatkan tiga kenderaan dengan satu hangus manakala dua lagi mengalami rosak teruk.

    “Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan daripada MERS 999 pada pukul 3.15 pagi berhubung kejadian tersebut.

    “Seramai sembilan anggota termasuk seorang pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taman Tas ke lokasi bersama sebuah jentera dan kenderaan penyelamat untuk operasi pemadaman dan penyelamatan,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Sinar Harian.

    Ismail berkata, operasi pemadaman menggunakan dua aliran hos dari tangki pam jentera bomba dan bantuan air dari jentera tangki air.

    “Punca kejadian dan nilai kerugian masih dalam siasatan,” katanya.