Category: Semasa

  • Pemandu teksi maut tercampak dalam kemalangan

    Pemandu teksi maut tercampak dalam kemalangan

    SEORANG pemandu teksi maut selepas tercampak keluar kira-kira 10 meter dari kenderaan yang dipandunya selepas terbabas di susur keluar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) awal pagi tadi.

    Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Selangor Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menerima panggilan pukul 6.14 pagi daripada orang awam yang melaporkan kemalangan di susur keluar klia2 membabitkan dua kenderaan.

    Beliau berkata, jentera digerakkan dan tiba di lokasi kejadian pada 6.24 pagi sebelum operasi menyelamat ditamatkan pukul 6.50 pagi.

    “Kemalangan melibatkan dua buah kenderaan menyebabkan pemandu teksi jenis Toyota Innova berumur 38 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian…seorang lagi mangsa yang memandu Perodua Alza tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – BERNAMA

  • Lebih 5,000 kenderaan langgar had laju dirakam AWAS

    Lebih 5,000 kenderaan langgar had laju dirakam AWAS

    SEBANYAK 5,021 daripada 750,903 kenderaan yang melewati kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) di lebuh raya semalam didapati melanggar had laju dibenarkan.

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam kenyataan malam tadi memaklumkan daripada sejumlah 236,671 kenderaan yang melewati kamera AWAS di lampu isyarat pula, 966 didapati melanggar lampu merah.

    Menurut kenyataan itu, sebanyak 29 kamera AWAS dipasang bagi memantau kesalahan memandu melebihi had laju dan 16 untuk memantau kesalahan melanggar lampu isyarat merah beroperasi sepenuhnya sejak semalam.

    Kenyataan itu menyebut pada hari pertama Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2022 semalam, kesalahan memandu melebihi had laju dan melanggar isyarat lampu merah adalah yang tertinggi dilakukan pengguna jalan raya.

    Menurut kenyataan itu, pelaku kedua-dua kesalahan akan dikenakan tindakan mahkamah dan tidak boleh dikompaun mengikut Seksyen 79 Akta 333 (JPJ).

    “Sekiranya disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda sehingga RM2,000. Pengguna jalan raya dinasihatkan untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi menjamin keselamatan seterusnya menurunkan kadar kemalangan dan kematian di jalan raya,” katanya. – BERNAMA

  • Bot bilis terbakar, 24 kru terselamat

    Bot bilis terbakar, 24 kru terselamat

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEBUAh bot bilis yang dioperasikan oleh 24 kru, terbakaf di laut berhampiran Pulau Buyong, Langkawi, hari ini.

    Ketua Polis Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, kesemua kru dalam bot berkenaan bagaimanapun tidak mengalami kecederaan serius.

    “Kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 7.30 petang dengan bot-bot bilis dan nelayan lain turut membantu memadam kebakaran serta menyelamatkan kru terlibat.

    “Kesemua 24 kru termasuk tekong berjaya diselamatkan dan dibawa balik ke Pangkalan Polis Marin Bukit Malut oleh bot Pasukan Polis Marin,” katanya.

    Tambahnya setakat ini punca kejadian dan jumlah kerugian masih disiasat.

  • Ibu, anak maut kereta terbabas, terbalik

    Ibu, anak maut kereta terbabas, terbalik

    SEORANG wanita dan anaknya maut selepas kereta dinaiki mereka terbabas sebelum terbalik di Persiaran Timur dari Kajang menghala ke Pinggiran Putra, Putrajaya, hari ini.

    Amalina Azman, 32, dan anaknya, Dzul Qarnain Mohd. Iqbal berusia dua tahun dua bulan maut dalam nahas berkenaan.

    Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, dalam kejadian pada pukul 2.45 petang itu, pemandu kereta jenis Perodua Myvi yang merupakan suami mangsa disyaki mengantuk.

    “Kereta itu hilang kawalan dan terlanggar penghadang di bahu kiri jalan sebelum terbabas.

    “Kemalangan tersebut mengakibatkan wanita itu parah dan disahkan meninggal dunia di Hospital Putrajaya manakala anaknya maut di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata, pemandu kenderaan tersebut tidak mengalami kecederaan.

    Katanya, siasatan masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • KPT tidak benarkan IPT naikkan yuran

    KPT tidak benarkan IPT naikkan yuran

    KEMENTERIAN Pengajian Tinggi (KPT) memaklumkan Institut Pengajian Tinggi (IPT) tidak dibenarkan menaikkan yuran masing-masing berikutan penetapan moratorium ke atas kenaikan yuran sejak semester kedua sesi akademik 2019/2020.

    KPT memberitahu, pihaknya menetapkan moratorium ke atas kenaikan yuran susulan penularan pandemik Covid-19 ketika itu.

    “Ia dilakukan atas dasar keprihatinan dan cakna kebajikan rakyat khususnya penuntut IPT, terutama ketika negara baru sahaja memasuki Fasa Peralihan Ke Endemik.

    “Justeru, IPT tidak dibenarkan untuk menaikkan yuran masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

    Menurut kenyataan itu, bagi Universiti Awam (UA) pula, ketika ini kerajaan masih menanggung sepenuhnya kos operasi dan sumber kewangan yang disediakan.

    “UA masih mampu untuk melaksanakan tanggungjawabnya dalam memberi pendidikan kepada warganegara,” katanya.

  • Tubuh suruhanjaya siasat AKSB-Husam

    Tubuh suruhanjaya siasat AKSB-Husam

    SATU suruhanjaya perlu ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan kegagalan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) berkaitan air mengalami tekanan rendah ketika kejadian kebakaran yang memusnahkan sembilan rumah di Berek 12, Khamis lalu.

    Pengerusi Sekretariat Save Kelantan, Datuk Husam Musa yang mencadangkan penubuhan suruhanjaya itu berkata, ini kerana kejadian tersebut mengakibatkan kemusnahan teruk rumah rumah mangsa.

    “Tekanan rendah boleh berlaku apabila bekalan air tidak mencukupi menyebabkan kesukaran kerja-kerja menyelamat.

    “Penduduk sekitar juga dikatakan mengalami gangguan bekalan air beberapa hari sebelum kejadian,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Katanya, kajian diperlukan bagi mengenal pasti punca AKSB yang didakwa gagal menyediakan bekalan mencukupi kepada penduduk di kawasan tersebut.

    “Selain kekerapan masalah ketiadaan air, rungutan berbangkit juga mengenai kualiti air yang didakwa sangat mendukacitakan.

    “Saya katakan, antara punca utama kegagalan dipercayai unsur salah guna kuasa dan saya sendiri pernah menang saman sekali gus membuktikan dakwaan saya ada asas,” katanya.

    Ujarnya, sekiranya punca kegagalan terbesar ialah ada unsur salah guna kuasa, maka jawapan tepat bagi mencari punca kegagalan ialah menubuhkan suruhanjaya siasatan bebas.

    “Jika kerajaan Kelantan sanggup menubuhkan suruhanjaya ini, anggotanya akan dipandang rakyat sebagai benar-benar bebas dan berintegriti dan jujur.

    “Jika mereka enggan, maka dipercayai ada perkara yang menjadi kerahsiaan gerak kerja mereka selama ini,” katanya.

  • Keluarga Malaysia dijemput hadir Rumah Terbuka PM, Jemaah Menteri 8 Mei ini

    Keluarga Malaysia dijemput hadir Rumah Terbuka PM, Jemaah Menteri 8 Mei ini

    SELURUH Keluarga Malaysia dijemput menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri 2022 Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan ahli Jemaah Menteri pada 8 Mei ini.

    Menerusi hantaran di laman Facebook, Jabatan Perdana Menteri (JPM) memaklumkan majlis itu bermula dari 10 pagi hingga 4 petang di Laman Sari, Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.

    “Semua yang hadir perlu mematuhi prosedur operasi standard terkini semasa Fasa Peralihan Ke Endemik dan digalakkan memakai pelitup muka serta mengamalkan penjarakan fizikal,” menurut JPM.

    Hantaran itu turut melampirkan poster panduan pakaian dan maklumat perkhidmatan bas percuma untuk ke majlis tersebut.

    Berdasarkan poster itu, pakaian yang dibenarkan ialah baju berlengan, seluar panjang, skirt bawah paras lutut dan berkasut manakala pakaian yang dilarang ialah seluar pendek bawah paras lutut, skirt pendek atas paras lutut, baju tidak berlengan, seluar jeans koyak dan selipar.

    “Orang ramai hendaklah berpakaian kemas dan sopan. Kegagalan mematuhi etika pemakaian ini boleh mengakibatkan anda tidak dibenarkan memasuki Kompleks Seri Perdana,” menurut petikan di poster itu.

    Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari portal dan media sosial JPM dari semasa ke semasa.

    — BERNAMA

  • 143 PATI cuba masuk Malaysia gagal

    143 PATI cuba masuk Malaysia gagal

    SERAMAI 143 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba masuk ke negara ini, hari ini, melalui perairan Kuala Kurau, Parit Buntar, berjaya dipatahkan apabila kesemua mereka berjaya diberkas anggota keselamatan.

    Ini termasuk usaha beberapa PATI yang sanggup terjun ke laut dan berenang kira-kira 200 meter ke darat untuk meloloskan diri juga gagal apabila berjaya dikesan.

    Semua mereka menaiki sebuah bot dipercayai dari Myanmar sebelum kenderaan itu tersangkut di Beting Kalumpang iaitu jarak enam batu nautika di perairan laut Kuala Kurau.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, sebahagian besar PATI terbabit merupakan etnik Rohingya termasuk 18 orang kanak-kanak.

    “Selain itu, empat lelaki yang turut ditahan merupakan warganegara Bangladesh dengan kesemua mereka berusia di antara lima hingga 40 tahun.

    “Mereka dipercayai dari Myanmar dan cuba masuk ke negara ini namun kita berjaya tangkap mereka selepas bot yang dinaiki tersangkut di beting pasir tersebut.

    “Ketika pemeriksaan dibuat, seramai 87 orang berada di dalam bot manakala selebihnya telah melarikan diri dengan berenang ke darat. Bagaimanapun semua PATI ini berjaya ditangkap di antara jam 7 pagi hingga 12.30 tengah hari,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Mior Faridalathrash berkata, kesemua mereka bagaimanapun tiada kaitan dengan tahanan Pati yang melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sementara Relau, Sungai Bakap, Kedah pada 20 April lalu.

  • JPJ kenal pasti pemilik Toyota Vellfire guna lampu strob

    JPJ kenal pasti pemilik Toyota Vellfire guna lampu strob

    JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengenal pasti pemilik kenderaan jenis Toyota Vellfire yang tular di media sosial kerana menggunakan lampu strob dan membunyikan hon hingga mengakibatkan pengguna jalan raya lain terpaksa memberikan laluan kepada kenderaan itu.

    Ketua Pengarahnya Datuk Zailani Hashim berkata tindakan penguatkuasaan akan segera diambil terhadap pemilik kenderaan terbabit kerana pemasangan suar atau lampu strob tanpa kebenaran JPJ adalah satu kesalahan.

    Beliau berkata pemasangan lampu itu tanpa kebenaran adalah salah mengikut Kaedah 9, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 serta Peraturan 138 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 170/59 dan boleh diambil tindakan tegas di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

      “Kenderaan yang terlibat dengan tugasan kecemasan seperti ambulans, kereta bomba, kenderaan kastam, kenderaan polis, kenderaan penjara dan kenderaan JPJ sahaja dibenarkan untuk mendapat hak laluan kenderaan lain di jalan raya.

    ‘’Ia dengan cara menyalakan lampu strob dan membunyikan siren serta hon dua nada, dengan syarat pemandu kenderaan itu tidak memandu secara berbahaya, cuai atau tidak bertimbang rasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Kenyataan itu dikeluarkan selepas JPJ menerima aduan awam melalui aplikasi TikTok berhubung penggunaan suar atau lampu strob oleh kenderaan jenis Toyota Vellfire.

    Dalam video tular berdurasi 16 saat itu, kenderaan terbabit yang menggunakan lampu strob bertindak membunyikan hon mengakibatkan pengguna jalan raya yang lain terpaksa memberikan laluan kepadanya.

    — BERNAMA

  • Harimau kumbang akhirnya masuk perangkap Perhilitan

    Harimau kumbang akhirnya masuk perangkap Perhilitan

    KEBIMBANGAN 300 keluarga di kawasan perumahan Rantau Bukit, Kerteh Kemaman terhadap ancaman harimau kumbang berakhir, apabila haiwan berkenaan berjaya ditangkap hari ini.

    Menurut Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong, harimau kumbang betina itu ditangkap pada pukul 5.30 pagi menerusi perangkap yang dipasang sejak Isnin lalu dengan menjadikan seekor ayam sebagai umpan.

    Katanya, harimau seberat 40 kilogram itu dianggarkan berusia enam hingga tujuh tahun akan dihantar ke habitat asalnya di negeri ini juga.

    “Kita akan lepaskan harimau ini jauh dari penempatan manusia bagi memastikan ia tidak mengganggu penduduk,” jelas beliau, lapor Harian Metro.

    Kelibat harimau kumbang tersebut yang dipercayai datang dari hutan simpan berhampiran menyebabkan penduduk perumahan di kawasan itu tidak berani keluar rumah.

    Seorang penduduk, Nor Azlinda Saadon, 36,memberitahu, kemunculan harimau kumbang yang berkeliaran di situ menyebabkan penduduk berada dalam ketakutan.

    “Penduduk taman sangat takut untuk keluar rumah terutamanya pada waktu malam dan kami juga tidak berani melepaskan kucing peliharaan takut dibaham harimau tersebut.

    “Hari ini saya sangat gembira selepas harimau itu berjaya ditangkap dan berharap harimau itu dilepaskan jauh dari penempatan penduduk,” katanya.

    Seorang pengawal keselamatan taman perumahan tersebut, Mohd. Yazid Yusri, 26, pula berkata, dia bersyukur selepas harimau itu berjaya ditangkap.

    “Sebelum ini saya dan rakan setugas yang meronda sentiasa berada dalam ketakutan apabila menyedari kehadiran harimau berkenaan.