Category: Semasa

  • Singapura sambut Aidilfitri Selasa, Indonesia raya esok

    Singapura sambut Aidilfitri Selasa, Indonesia raya esok

    MUFTI Singapura, Dr Nazirudin Mohd Nasir hari ini mengumumkan bahawa hari pertama Syawal 1443H/2022 jatuh pada Selasa, 3 Mei 2022.

    Ini bermakna umat Islam di Singapura tidak akan menyertai rakyat Malaysia untuk menyambut Hari Raya pada 2 Mei.

    “Mengikut kiraan hisab, anak bulan Syawal tidak mungkin dapat dilihat di atas ufuk Singapura ketika matahari terbenam petang tadi dan tidak juga mencukupi syarat kriteria imkanur rukyah yang telah dipersetujui oleh negara-negara anggota MABIMS.

    “Ini bererti esok (2 Mei) adalah hari pencukup bulan Ramadan selama 30 hari dan awal bulan Syawal tahun 1443H iaitu Hari Raya Aidilfitri jatuh pada Selasa (3 Mei),” katanya dalam video yang disiarkan di Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS). (Majlis Ugama Islam Singapura).

    MABIMS ialah akronim kepada Menteri-Menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura.

    Umat Islam di Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidilfitri esok (2 Mei), demikian diumumkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad malam ini.

    Sementara itu, rakyat Indonesia akan menyambut Aidilfitri esok, kata Menteri Hal Ehwal Ugama, Yaqut Cholil Qoumas.

    Menteri berkenaan membuat pengumuman mengenai tarikh sambutan Aidilfitri di kementeriannya di Jakarta malam ini.

    Umat ​​Islam di Thailand pula akan menyambut Hari Raya Aidilfitri pada Isnin, umum Sheikul Islam Thailand, Aziz Phitakkumpon.

    “Seperti yang diumumkan kepada umat Islam Thai di seluruh negara tarikh untuk melihat anak bulan baharu selepas matahari terbenam pada Ahad, 1 Mei, bagi menandakan hari pertama Syawal, disahkan bahawa anak bulan baharu telah kelihatan.

    “Jadi, dengan ini, saya mengisytiharkan Isnin, 2 Mei sebagai hari pertama Aidilfitri,” katanya dalam pengumuman yang disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen tempatan. – BERNAMA

  • Syukur rakyat sambut Aidilfitri kembali seperti normal – Muhyiddin

    Syukur rakyat sambut Aidilfitri kembali seperti normal – Muhyiddin

    PENGERUSI Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin bersyukur kerana rakyat Malaysia dapat menyambut kembali Hari Raya Aidilfitri dalam keadaan normal seperti sebelum pandemik COVID-19 melanda dahulu.

    Berikut adalah kenyataan penuh beliau:

    Bismillahirrahmannirrahim.

    Assalamualaikum warathmathullah hi wabarakatuh dan salam sejahtera.

    Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar Walillahilhamd.

    Apa khabar semua? Saya harap saudara- saudari sekalian sihat walafiat.

    1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah Subhanahi Wa Taala kerana dengan rahmat dan inayah-Nya kita berjaya menjalani ibadah puasa selama sebulan pada Ramadan kali ini.
    2. Esok 1 Syawal kita akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Sesungguhnya Aidilfitri merupakan hari kemenangan kepada kita setelah sebulan mengharungi ibadah berpuasa.
    3. Tahun ini sambutan Aidilfitri amat dinanti-nantikan oleh kita semua. Maklumlah sudah dua kali hari raya kita tidak dapat meraikannya dalam suasana ‘raya yang sebenarnya’, gara- gara pandemik COVID-19 yang melanda negara kita dan seluruh dunia.
    4. Pada dua Adilfitri sebelum ini, kita hanya boleh merayakan dalam normal baharu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat kerana kita masih terikat dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuat kuasa oleh kerajaan bagi membendung penularan wabak tersebut.
    5. Ketika itu sambutan hari raya diadakan dalam skala kecil dan sederhana serta terhad kepada ahli keluarga terdekat sahaja.
    6. Tidak ada aktiviti kunjung-mengunjung, ziarah- menziarahi atau majlis rumah terbuka malah solat sunat hari raya Aidilfitri juga jemaahnya terhad kepada bilangan yang dibenarkan oleh Majlis-majlis Agama Islam Negeri masing-masing.
    7. Alhamdulillah tahun ini, insya-Allah suasana berhari raya kita kembali normal seperti tahun-tahun sebelum pandemik COVID-19, walaupun masih mengikut SOP yang ditetapkan.

    Saudara-saudari yang dihormati,

    1. Semua ini adalah hasil daripada langkah, tindakan dan pendekatan drastik kerajaan sejak dari awal pandemik ini bermula dan komitmen serta disiplin rakyat seluruhnya dalam memerangi wabak COVID-19. Pelbagai bentuk inisiatif pemulihan negara juga sedang giat dilaksanakan bagi memastikan negara kita dapat keluar daripada belenggu pandemik dan rakyat kembali menjalani kehidupan biasa.
    2. Antaranya Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang menyaksikan hampir 100 peratus populasi dewasa negara ini menerima dos vaksinasi lengkap seterusnya membuka jalan bagi membolehkan negara memasuki fasa endemik.
    3. Saya ingin melahirkan rasa syukur kerana beberapa cadangan dan syor yang dibuat oleh Majlis Pemulihan Negara yang saya sendiri pengerusikan diterima Kerajaan antaranya pembukaan pintu sempadan negara sepenuhnya serta peralihan ke fasa endemik mulai 1 April lalu yang menjadi ‘exit strategy’ bagi membolehkan rakyat kembali kepada kehidupan normal.

    Saudara-saudari sekalian,

    1. Saya difahamkan ramai yang sudah berada di kampung halaman untuk menyambut Aidilfitri esok. Kepada yang merancang untuk bergerak pulang malam ini atau pagi esok atau yang sedang memandu ketika ini, saya nasihatkan berhati-hati di jalan raya, sentiasa berdisiplin dan patuh kepada peraturan jalan raya serta sentiasa mengutamakan keselamatan diri dan pengguna-pengguna jalan raya yang lain.
    2. Kalau rasa penat, berhenti dan berehat seketika atau bergilir memandu dengan ahli keluarga lain. Saya doakan saudara-saudari dilindungi Allah dan selamat sepanjang perjalanan pergi dan balik.
    3. Dalam kita gembira dan teruja untuk menyambut lebaran kali ini, jangan sesekali kita lupakan golongan yang tidak bernasib baik, yang mungkin tidak mampu menyambut hari besar ini seperti kita kerana kesusahan, kesempitan hidup atau dihimpit kemiskinan.
    4. Marilah kita sama-sama membantu golongan yang tidak bernasib baik ini bagi memberikan mereka sedikit kegembiraan menyambut Hari Raya Aidilfitri kali ini.
    5. Begitulah juga dengan saudara seagama kita di negara-negara bergolak seperti di Palestin, Syria, Iraq dan beberapa negara lagi yang menyambut 1 Syawal dalam keadaan perang yang masih tidak berkesudahan.
    6. Walaupun kita tidak dapat membantu secara fizikal, marilah kita sama-sama berdoa agar konflik yang sedang melanda negara mereka cepat berakhir dan rakyat dapat kembali menjalani kehidupan dalam suasana aman damai.

    Saudara-saudari yang dihormati,

    1. Pada kesempatan ini juga saya ingin merakamkan setinggi- tinggi penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang tidak pernah merasa jemu bertugas termasuk pada musim perayaan bagi memastikan keselamatan negara.
    2. Akhir kata, saya, isteri dan seisi keluarga mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Maaf Zahir Batin kepada saudara-saudari sekalian dan seluruh umat Islam, tidak kira di mana jua anda berada.

    Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar Walillahilhamd.

    Wabillahi al-taufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

  • Umat Islam di Malaysia sambut Aidilfitri, Isnin 2 Mei 2022

    Umat Islam di Malaysia sambut Aidilfitri, Isnin 2 Mei 2022

    Umat Islam di Malaysia akan menyambut Aidilfitri esok, umum Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Syed Danial Syed Ahmad malam ini.

    Pengumuman beliau itu disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM).

    “Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, dengan ini saya mengisytiharkan bahawa tarikh Hari Raya Puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia telah ditetapkan pada hari Isnin, 2 Mei 2022,” katanya.

    Tarikh itu ditetapkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja berdasarkan rukyah dan hisab.

    Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr Daud Bakar melakukan cerapan anak bulan untuk menentukan tarikh Hari Raya Aidilfitri bagi umat islam sambil disaksikan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah (kiri) di Menara Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat
  • ‘Tsunami raya’ melanda Jalan TAR!

    ‘Tsunami raya’ melanda Jalan TAR!

    BIARPUN sambutan Hari Raya Aidilfitri hanya berbaki sehari lagi, orang ramai masih tidak melepaskan peluang berada di ibu kota untuk membeli-belah selepas dua tahun ‘berpuasa’.

    Menerusi tinjauan di kawasan bazar di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) dan pusat beli-belah Sogo di Kuala Lumpur hari ini, ratusan ribu pengunjung membanjirinya bermula jam 4 petang tadi.

    Keadaan di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman masih sesak dengan dengan dibanjiri pengunjung untuk mencari keperluan Adilifitri selepas dua tahun ‘berpuasa’ akibat Covid-19 melanda negara. GAMBAR: Warta Rakyat

    Keadaan itu menyebabkan aliran trafik di sekitar kawasan tersebut sesak teruk dan pelbagai jenis kenderaan bertali arus terus membanjiri ibu kota.

    Semua peringkat usia melibatkan golongan tua dan muda seakan-akan melepaskan dendam untuk membeli-belah di situ selepas ‘terkurung’ akibat pandemik Covid-19 sebelum ini.

    Orang ramai seperti ‘membalas dendam’ membeli keperluan Hari Raya selepas dua tahun tidak dapat menyambut dengan sempurna akibat wabak Covid-19 melanda negara. GAMBAR: Warta Rakyat

    Jalan TAR dapat dilihat kembali meriah dan menjadi tumpuan orang ramai menjelang sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri seperti sebelum pandemik tersebut melanda.

    Terdapat pelbagai barangan daripada pakaian hingga kuih muih dan apa sahaja kelengkapan raya terdapat di situ yang sememangnya menjadi faktor utama tarikan pengujung.

    Warta Rakyat menjangkakan bazar di jalan itu akan terus dibanjiri pengunjung sehingga malam terakhir Ramadan memandangkan masih ramai yang tidak pulang ke kampung.

    RAYA SAKAN… Tahun ini sambutan Aidilfitri lebih meriah selepas kerajaan mengumumkan negara memasuki fasa endemik dengan tanpa sekatan dan SOP dilonggarkan. GAMBAR: Warta Rakyat
    MENANTI ISTERI…. Kelihatan para suami duduk diatas lantai ketika menunggu pasangan masing-masing membeli keperluan Aidilfitri di Kompleks Beli Belah Sogo, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat
    Orang ramai seperti ‘membalas dendam’ membeli keperluan Hari Raya selepas dua tahun tidak dapat menyambut dengan sempurna akibat wabak Covid-19 melanda negara. GAMBAR: Warta Rakyat
    SESAK…Orang ramai membeli keperluan Aidilfitrii pada hari terakhir ramadan di Bazar Aidilfitri Jalan Tuanku abdul Rahman, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat
    Orang ramai mengambil peluang hari terakhir ramadan untuk ‘shopping raya’ bagi keperluan Aidilfitri di Kompleks beli belah Sogo, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat
    Kelihatan pengunjung memilih Baju Melayu ketika membeli-belah pada saat akhir sebelum tiba Hari Raya yang bakal menjelma esok di Jalan Tuanku Abdul Rahman, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat
    Orang ramai mengambil peluang pada hari terakhir ramadan untuk ‘shopping raya’ bagi keperluan Aidilfitri di Jalan Tuanku Abul Rahman, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat
    Para peniaga membuat persiapan untuk jualan harga ‘runtuh’ pada malam raya di Jalan Tuanku Abdul Rahman, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat
  • [VIDEO] Pandu bahaya dan buli, polis buru pemandu Alphard

    [VIDEO] Pandu bahaya dan buli, polis buru pemandu Alphard

    SEORANG pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard dikesan memandu secara berbahaya dan membuli pengguna jalan raya yang lain di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (arah timur) semalam.

    Perbuatan biadab pemandu terbabit yang melakukan provokasi di jalan raya dirakam dalam video yang tular dalam media sosial hari ini.

    Dalam video berdurasi 2 minit 25 saat itu, lelaki berkenaan dilihat memandu kenderaannya secara terhuyung-hayang serta sengaja menekan brek sehingga menyebabkan kelancaran aliran lalu lintas terganggu.

    Suspek dilihat melakukan provokasi terhadap pengguna jalan raya yang lain dengan memandu secara terhuyung-hayang sehingga mengganggu kelancaran aliran trafik di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (arah timur) semalam. (Gambar: Facebook JSPT)

    Sehubungan itu, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman melancarkan gerakan memburu suspek berkenaan yang memandu Toyota Alphard bernombor pendaftaran BPV 686.

    “Tindakan pemandu MPV ini boleh mendatangkan risiko kemalangan bukan hanya kepada dirinya tetapi kepada pengguna jalan raya yang lain.

    “JSPT mendapati kejadian berlaku pada 30 April 2022 (Sabtu) dekat Lebuhraya KL-Karak (arah timur) dan semakan pemilik kenderaan MPV ini telah dikenal pasti.

    “Justeru, JSPT menggesa pemandu MPV ini segera menyerah diri ke Balai Trafik IPD Gombak atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

    “Orang awam yang mempunyai maklumat akan kejadian ini, boleh sama-sama menyalurkan kepada JSPT melalui Facebook Messenger dan e-mel terus ke [email protected],” kata JSPT dalam kenyataan hari ini.

  • Aidilfitri: 833,000 kenderaan masuk Pulau Pinang

    Aidilfitri: 833,000 kenderaan masuk Pulau Pinang

    KIRA-KIRA 833,000 buah kenderaan memasuki Pulau Pinang sejak kelmarin ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri bakal menjelang tidak lama lagi.

    Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Pulau Pinang, Superintendan Zafri Zokapli berkata, bagaimana aliran trafik di negeri itu secara keseluruhannya masih lagi berjalan lancar di kesemua lokasi.

    ”Bagaimanapun di lebuh raya berhampiran Tol Sungai Dua, kenderaan kadang-kadang dilihat perlahan,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Sebelum ini, polis Pulau Pinang menjangkakan jumlah kenderaan yang melalui Pulau Pinang untuk menuju ke bahagian Utara negara meningkat sehingga 3.6 juta ketika orang ramai pulang ke kampung menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, selain itu pihak polis juga menjangkakan kira-kira sejuta kenderaan akan memasuki Pulau Pinang sepanjang tempoh tersebut.

    Sementara itu, Zafri turut menasihatkan orang ramai merancang perjalanan serta memastikan kenderaan dalam keadaan baik.

    Ujarnya, pengguna jalan raya perlu memberi kerjasama jika berlaku kemalangan dan tidak sesekali menggunakan laluan kecemasan selain sentiasa berhemah semasa memandu.

    ”Pemandu juga perlu memastikan baki tol mencukupi serta mendapatkan rehat yang secukupnya sepanjang perjalanan,” katanya.

  • Anggota polis trafik maut SUV terjunam dalam sungai

    Anggota polis trafik maut SUV terjunam dalam sungai

    SEORANG anggota polis trafik maut selepas kenderaan yang dipandunya terlibat kemalangan di Kilometer 15, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, pada awal pagi tadi.

    Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kelantan, Supt Shuhaimi Jusoh berkata, dalam kejadian 4.50 pagi itu, mangsa Ahmad Ibrahim, 31, yang bertugas di Balai Polis Trafik Klang Selatan, Selangor maut di tempat kejadian, manakala anaknya Nur Ariana Sofia, 3, cedera parah dan lima penumpang lain cedera ringan.

    “Mangsa yang memandu kereta Perodua Aruz itu dalam perjalanan dari Gua Musang untuk menghantar ahli keluarganya ke Kampung Manik Urai di Kuala Krai, dipercayai telah hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan lalu terbabas ke dalam sungai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, kesemua mangsa telah dibawa ke Hospital Gua Musang untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA

  • Op Selamat: 92 mat rempit remaja dicekup sekitar Ipoh

    Op Selamat: 92 mat rempit remaja dicekup sekitar Ipoh

    POLIS Perak menahan 92 remaja atas kesalahan lumba haram dalam Op Selamat yang memberi tumpuan kepada samseng jalanan yang dijalankan di beberapa lokasi panas ‘mat rempit’ awal pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Yahaya Hasan berkata, mereka yang ditahan melibatkan 89 lelaki dan tiga perempuan berumur antara 15 hingga 26 tahun dalam operasi bermula pukul 1 pagi di kawasan sekitar Station 18 di Pasir Puteh di Ipoh.

    “Pihak polis menjalankan operasi itu hasil aduan dan maklumat orang awam berkaitan motosikal yang berlumba dan menunggang secara berbahaya. Kami menjalankan operasi bagi mengurangkan kegiatan samseng jalanan membabitkan kumpulan bermotosikal yang sering mendatangkan kegusaran kepada masyarakat setempat.

    “Polis turut menyita 14 motosikal atas pelbagai kesalahan antaranya pengubahsuaian kenderaan dan pemalsuan nombor pendaftaran kenderaan,” katanya pada sidang media Op Selamat hari ini.

    Jelasnya, selain itu, tujuh individu ditahan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu dalam keadaan berbahaya manakala dua orang positif dadah selepas ujian air kencing oleh pihak Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan akan disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

    Menurutnya, sebanyak 241 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan seperti tiada lesen memandu dan melanggar lampu isyarat melibatkan pelajar sekolah dan penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT). – BERNAMA

  • Kerajaan beri ganjaran sempena Hari Pekerja 2022

    Kerajaan beri ganjaran sempena Hari Pekerja 2022

    SEBAGAI pengiktirafan dan penghargaan kepada golongan pekerja dalam menjana kemajuan negara, kerajaan bersetuju memberi ‘ganjaran’ sempena sambutan Hari Pekerja 2022 bertemakan “Pekerja Tonggak Keluarga Malaysia Dalam Pemulihan Negara”.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hadiah itu termasuk kerajaan akan menanggung 80 peratus jumlah caruman individu bekerja sendiri menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan sasaran sekurang-kurangnya sejuta ahli Keluarga Malaysia mendapat manfaat itu.

    Selain itu, melalui Program Pembiayaan Insurans Kenderaan Keluarga Malaysia atau MyEzCover.com yang diperkenalkan mulai hari ini (1 Mei), penjawat awam akan ditawarkan pakej pembiayaan secara ansuran sehingga 10 bulan tanpa sebarang caj faedah dan skim akan diperluaskan kepada sektor swasta.

    “Program ini akan dilaksanakan Kementerian Sumber Manusia dengan kerjasama Perkeso dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA),” katanya dalam ucapan khas sempena Hari Pekerja 2022 yang disiarkan secara langsung di TV1, hari ini.

    Ismail Sabri berkata, gaji minimum RM1,500 yang berkuat kuasa hari ini pula merupakan hadiah kepada golongan pekerja atas dedikasi tanpa jemu dalam membangunkan ekonomi negara.

    Perdana Menteri berkata, kerajaan juga bersetuju mewajibkan penyediaan taska di tempat kerja bagi sektor awam kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan badan berkanun sebelum diperluaskan ke sektor swasta.

    Beliau berkata, kerajaan telah menyediakan geran tahunan sebanyak RM10 juta pada 2019 dan RM30 juta sejak 2020 bagi inisiatif berkenaan, sekali gus memberi kelegaan kepada pekerja yang mempunyai anak kecil.

    Selain itu, Perdana Menteri berkata, pembukaan semula sempadan negara memberi ruang kepada pengambilan semula tenaga kerja asing dalam sektor tertentu terutama sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar) namun tindakan itu bukan berhasrat membelakangkan pekerja tempatan.

    Ismail Sabri berkata, satu mekanisme komprehensif akan dirangka untuk mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing supaya warga tempatan diberi keutamaan terlebih dahulu.

    “Kementerian Sumber Manusia telah diminta supaya meneliti dan mengkaji aspek ini agar pekerja tempatan mendapat manfaat dengan menambah baik kadar gaji, pakej pekerjaan dan kemajuan kerjaya,” katanya.

    Ismail Sabri berkata, kerajaan juga meratifikasi Protokol 29 Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) sebagai bukti komitmen menghapuskan buruh paksa di Malaysia, sekali gus memastikan produk dan barangan negara tidak lagi dikenakan sekatan masuk ke pasaran antarabangsa kerana didakwa menggunakan buruh paksa.

    Sementara itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan juga melancarkan portal UPSkills Malaysia untuk pekerja meningkatkan kemahiran dan menjadikannya pusat rujukan tunggal yang menghimpunkan maklumat 6,143 penyedia latihan meliputi 35 bidang kemahiran.

    Selain itu, katanya, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi memastikan Keluarga Malaysia dapat meneruskan kehidupan antaranya Program Subsidi Upah (PSU) yang membantu lebih 350,000 majikan di seluruh negara dengan peruntukan RM20.34 bilion selain berjaya mengekalkan 2.95 juta individu dalam sektor pekerjaan.

    Menurutnya, kerajaan juga telah meningkatkan had siling gaji bulanan diinsuranskan daripada RM4,000 kepada RM5,000 yang memanfaatkan sembilan juta pekerja khususnya pencarum Perkeso di seluruh negara.

    “Kerajaan yakin warga pekerja Keluarga Malaysia akan kekal berdaya tahan dan terus menjadi rakan strategik dalam membangunkan ekonomi negara.

    “Sekali lagi, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan mengucapkan Selamat Hari Pekerja kepada semua pekerja, pemimpin dan ahli kesatuan-kesatuan sekerja yang ada di negara ini,” katanya yang turut mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilifitri kepada seluruh Keluarga Malaysia. – BERNAMA

  • Aliran trafik sesak 150 km dari Rawang ke Gopeng

    Aliran trafik sesak 150 km dari Rawang ke Gopeng

    ALIRAN trafik di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menghala ke utara dari Rawang ke Gopeng sesak sepanjang 150 kilometer (km) berikutan pertambahan jumlah kenderaan setakat 1 tengah hari ini.

    Peningkatan aliran trafik itu juga adalah susulan pemberian tol percuma dan diskaun tol kepada Keluarga Malaysia bersempena sambutan Aidilfitri seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Isnin lepas.

    Umat Islam dijangka akan menyambut Aidilfitri pada Selasa (3 Mei).

    Jurucakap PLUS ketika dihubungi Bernama di sini hari ini memaklumkan keadaan trafik dari Slim River ke Sungkai adalah antara laluan paling terjejas dan para pengguna dinasihatkan untuk merancang perjalanan dengan sebaiknya.

    Bagi laluan menghala ke selatan pula, kesesakan sepanjang 12km dilaporkan berlaku bermula dari Bandar Ainsdale sehingga ke Seremban dan di Putra Mahkota menuju ke Nilai dengan keadaan trafik perlahan sejauh 8km.

    “Trafik di lain-lain kawasan menghala ke selatan masih lancar dan dalam keadaan terkawal kecuali dari Skudai menuju ke Senai Utara yang bergerak perlahan,” kata jurucakap berkenaan.

    Sementara itu, tinjauan di Twitter Lembaga Lebuhraya Malaysia setakat 1 tengah hari tadi mendapati trafik lancar di laluan utama dari Kuantan ke Kuala Terengganu dan hanya sesak sejauh 1.3km sebelum susur keluar Plaza Tol Kuala Terengganu menuju arah pusat bandar.

    Trafik juga lancar dari Plaza Tol Karak menuju ke Kuantan di kedua-dua arah.

    Aliran trafik di beberapa lebuh raya dan jalan utama menuju ke utara, selatan dan Pantai Timur semakin sesak pagi ini berikutan orang ramai pulang ke kampung untuk menyambut Aidilfitri.

    Peningkatan aliran trafik hari ini sudah dijangka susulan pemberian tol percuma dan diskaun tol kepada Keluarga Malaysia bersempena sambutan Aidilfitri seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Isnin lepas.

    Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, trafik mulai perlahan dari arah selatan di Nilai Utara menuju ke kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Seremban manakala kesesakan hampir tiga kilometer (km) berlaku di Senai Utara ke Kulai.

    Sementara tinjauan di Twitter Lembaga Lebuhraya Malaysia setakat 9.30 pagi ini mendapati aliran trafik tinggi dan kesesakan berlaku sejauh 33km bermula dari Greenwood di Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE) dan Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) menuju ke Plaza Tol Gombak.

    Sementara itu, di utara, Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) melaporkan aliran trafik turut perlahan sebelum masuk Plaza Tol Rawang Selatan, dari Sungai Buloh ke arah Sungai Buaya selain dari Ipoh Selatan ke Ipoh Utara dan dari Terowong Menora menuju Sungai Perak.

    Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1-800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/LLMinfotrafik. – BERNAMA