Category: Semasa

  • Tragedi Aidilfitri: 113 maut kemalangan jalan raya

    Tragedi Aidilfitri: 113 maut kemalangan jalan raya

    SEBANYAK 113 kes kematian direkodkan akibat kemalangan jalan raya di seluruh negara dalam Op Selamat setakat semalam, kata Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain.

    Beliau berkata, sepanjang enam hari Op Selamat yang dilancarkan pada 29 April lalu sempena musim perayaan Aidilfitri itu juga, sejumlah 9,816 kemalangan dilaporkan berlaku di seluruh negara.

    Pada hari pertama operasi berkenaan, sebanyak 2,140 kemalangan direkodkan membabitkan 10 kematian dalam 10 kemalangan maut manakala pada semalam sahaja (hari keenam) sebanyak 1,455 kemalangan direkodkan membabitkan 24 kemalangan maut dengan 24 kematian, katanya ketika dihubungi hari ini.

    Beliau berkata, penunggang dan pembonceng motosikal mencatat jumlah kematian tertinggi dengan 72 kematian, diikuti 30 pemandu dan penumpang kereta, enam pejalan kaki, dua kematian melibatkan pemandu dan penumpang van, dua kematian pemandu dan penumpang kenderaan pacuan empat roda serta satu pemandu atau penumpang teksi.

    Razarudin berkata, Selangor mencatat jumlah kemalangan tertinggi dengan 2,160 kes, diikuti Johor (1,372 kes), Perak (982 kes), Kuala Lumpur (875 kes), Pulau Pinang (803 kes), Kedah (659 kes), Pahang (561 kes) dan Negeri Sembilan (507 kes).

    Katanya, Melaka pula mencatat 405 kes kemalangan jalan raya diikuti Kelantan (484 kes), Sarawak (319 kes), Sabah (311 kes), Terengganu (303 kes) dan Perlis (75 kes).

    “Jalan bandaran mencatat jumlah kemalangan tertinggi dengan 3,876 kes, diikuti Jalan Persekutuan dengan 2,148 kes, jalan negeri (1,937 kes) dan lebuh raya (1,043 kes),” katanya.

    Sepanjang tempoh itu juga katanya, sebanyak 26,837 saman bagi enam kesalahan utama dikeluarkan kepada pengguna jalan raya dengan kesalahan memandu melebihi had laju mencatatkan saman tertinggi iaitu 25,582 saman. – BERNAMA

  • Muhyiddin tentang permohonan injunksi interim Zahid

    Muhyiddin tentang permohonan injunksi interim Zahid

    TAN SRI Muhyiddin Yassin menentang permohonan injunksi interim (sementara) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terhadapnya supaya tidak mengulangi atau menyiarkan kenyataan fitnah di media sosial.

    Memetik laporan FMT, kenyataan itu adalah berhubung dakwaan bahawa Presiden UMNO itu meminta bantuan bekas Perdana Menteri berkenaan untuk menggugurkan kes rasuahnya.

    Peguam Ahmad Zahid, Baharudeen Mohamed Ariff berkata, hakim Mahkamah Tinggi, Rozana Ali Yusoff akan mendengar permohonan itu pada 25 Mei.

    “Muhyiddin telah memfailkan afidavit untuk mencabar permohonan Ahmad Zahid mendapatkan injunksi sementara menunggu keputusan akhir saman itu,” katanya kepada FMT.

    Baharudeen berkata, Ahmad Zahid akan memfailkan afidavit untuk membalas bantahan Muhyiddin.

    Ketika pengurusan kes minggu lalu, mereka turut diarahkan supaya memfailkan hujahan bertulis selewat-lewatnya pada 17 Mei.

    “Pendengaran secara inter-parte (dua pihak) mengenai injunksi itu akan didengar pada 25 Mei menerusi prosiding dalam talian,” kata Baharudeen.

    Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, memfailkan saman itu bulan lalu serta menuntut ganti rugi dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

    Muhyiddin, yang juga satu-satunya defendan, didakwa membuat tuduhan itu terhadap Ahmad Zahid pada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Ahmad Zahid menafikan beliau bertemu Muhyiddin untuk mendapatkan bantuan Perdana Menteri ketika itu bagi menyelesaikan kes jenayahnya yang masih berjalan.

    Dalam penyataan tuntutan Ahmad Zahid berkata, kenyataan fitnah yang dikatakan oleh Muhyiddin membayangkan beliau tidak layak menjadi Presiden UMNO dan pengerusi Barisan Nasional (BN).

    Beliau mendakwa kenyataan itu bermakna beliau menggunakan jalan pintas untuk menyelesaikan kes jenayahnya bagi kepentingan peribadi.

    Beliau juga berkata, wujud niat jahat di pihak Muhyiddin yang mengeluarkan kenyataan itu kerana Perikatan Nasional (PN) adalah salah satu gabungan yang bertanding dalam PRN Johor.

    Ahmad Zahid sedang dibicarakan atas 80 tuduhan rasuah di Kuala Lumpur dan Shah Alam.

    Minggu lalu, Ahmad Zahid memfailkan saman serupa terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad, yang menjadi Perdana Menteri buat kali kedua antara Mei 2018 dan Februari 2020 selepas gabungan Pakatan Harapan (PH) dipilih untuk memegang kuasa.

    Dalam sidang media pada 23 Februari, Dr Mahathir mendakwa bahawa Ahmad Zahid dan beberapa lain bertemu beliau di kediamannya pada 2018.

  • Sri Ram ketuai rayuan kerana wanita kes basikal lajak

    Sri Ram ketuai rayuan kerana wanita kes basikal lajak

    BEKAS hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram akan mengetuai barisan peguam untuk mewakili kerani wanita yang dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 atas kesalahan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak, lima tahun lalu.

    Peguam Harvinderjit Singh yang akan hadir bersama Sri Ram, berkata kerani terbabit, Sam Ke Ting, memuktamadkan pelantikan itu hari ini.

    “Dia bertemu Sri Ram di pejabatnya hari ini dan beliau telah bersetuju untuk mengendalikan rayuan untuknya,” kata Harvinderjit, yang turut hadir pada pertemuan itu.

    Katanya, peguam, Faizal Mokhtar, yang mewakili Sam, 27, di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan untuk mendapatkan kebenaran merayu, akan menyertai barisan terbabit.

    Harvinderjit berkata, beliau akan memaklumkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Khairi Haron pada prosiding dalam talian mengenai pelantikan mereka dan supaya rekod rayuan disediakan sebagai persediaan kes itu.

    “Kita perlu memfailkan petisyen rayuan (di mana Mahkamah Tinggi telah terkhilaf) dan jika perlu, bagi menambah persoalan undang-undang untuk dihujahkan semasa rayuan,” katanya kepada portal FMT.

    Pada 18 April, mahkamah membenarkan permohonan Sam untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 13 April dan membebaskannya dengan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu pendengaran rayuannya.

    Hakim Mahkamah Tinggi Abu Bakar Katar yang menjatuhkan hukuman penjara dan denda ke atas Sam, turut memerintahkan dia dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda itu, dan larangan memandu selama tiga tahun selepas tamat tempoh penjara.

    Mahkamah menjatuhkan keputusan itu selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan mahkamah majistret di Johor Bahru pada 10 Okt tahun lalu untuk membebaskan dan membebaskan Sam.

    Sam yang berusia 22 tahun ketika kejadian itu, didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, jam 3.20 pagi pada 18 Feb 2017.

    Lapan remaja yang maut dalam kejadian itu adalah Azrie Danish Zulkefli, 14; Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Azhar Amir, 16; Harith Iskandar Abdullah, 14; Shahrul Nizam Marudin, 14; dan Haizad Kasrin, 16.

  • Kes tembak di Bukit Bintang: Dua suspek ditahan

    Kes tembak di Bukit Bintang: Dua suspek ditahan

    DUA  suspek warga tempatan yang diburu polis bagi membantu siasatan berhubung kejadian kes tembak di sebuah hotel di Bukit Bintang pada Selasa lepas, berjaya ditahan semalam.

    Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata kedua-dua suspek yang berusia 47 dan 51 tahun itu diberkas dalam serbuan di sebuah kediaman di Puchong pada 8.15 malam.

    Beliau berkata dalam serbuan itu, polis turut merampas sepucuk revolver .38, sepucuk pistol semi auto jenis Barreta, 14 butir peluru, sebuah motosikal jenis RS150 berwarna merah, dua topi keledar, dua helai baju dan seluar, dua pasang kasut sukan, topi, sebuah beg silang serta tiga telefon bimbit pelbagai jenama.

    “Satu (daripada) pistol berkenaan (yang dirampas) dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

    Pada Selasa lepas, seorang lelaki tempatan berusia 49 tahun ditemukan maut dengan kesan tembakan di dahi dalam kejadian di sebuah bilik hotel di Bukit Bintang sejam selepas beliau mendaftar masuk.

    Penemuan mayat mangsa disedari seorang pekerja hotel berkenaan yang memasuki bilik tersebut dan kemudian menghubungi polis pada kira-kira 7 malam.

    Beliau berkata siasatan awal polis mendapati suspek dan mangsa berjumpa di bilik hotel berkenaan bagi urusan berkaitan jual beli dadah manakala semakan ke atas mangsa  pula mendapati dia mempunyai 14 rekod jenayah lampau berkaitan kes culik, bunuh serta dadah.

    Azmi berkata penahanan terbaharu itu menjadikan kesemua tiga suspek telah ditahan bagi membantu siasatan.

    Sementara itu, beliau berkata semakan terhadap suspek pertama yang ditahan di tempat kejadian pada hari sama mendapati dia mempunyai tujuh rekod jenayah berkaitan dadah dan telah direman selama enam hari bermula semalam sehingga Isnin ini manakala permohonan reman bagi dua lagi suspek akan dibuat hari ini.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

    — BERNAMA

  • EGM Majlis Peguam berhubung dakwaan ugut kehakiman

    EGM Majlis Peguam berhubung dakwaan ugut kehakiman

    MAJLIS Peguam akan mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) untuk membincangkan isu berhubung dakwaan ugutan terhadap kehakiman baru-baru ini, kata Presidennya, Karen Cheah Yee Lynn.

    Bagaimanapun beliau berkata, butiran penuh mengenai EGM itu akan dimuktamadkan selepas Aidilfitri dan notis EGM berkanun yang diperlukan akan dikeluarkan kepada semua ahli Majlis Peguam selewat-lewatnya hari ini (5 Mei).

    “Kami berharap dapat melihat kehadiran ahli Majlis Peguam di seluruh negara termasuk presiden kami yang lepas untuk menyatakan pendapat mereka mengenai isu ini dan untuk mengundi mengenai usul yang penting bagi masa depan badan kehakiman kita sebagai institusi yang sangat diperlukan dan penting,” kata Cheah dalam kenyataan.

    Cheah selanjutnya berkata, Majlis Peguam juga mengadakan satu lagi mesyuarat tergempar pada Jumaat lepas untuk menangani isu dakwaan ugutan (intimidasi) terhadap kehakiman dan secara kolektif memutuskan EGM akan diadakan segera di bawah Akta Profesion Undang-Undang 1976 untuk menegakkan keadilan tanpa rasa takut atau pilih kasih.

    “EGM akan datang akan membincangkan kemungkinan pilihan yang ada bagi Badan Peguam Malaysia serta untuk meneliti dan membahaskan usul-usul yang dibentangkan oleh Majlis Peguam, serta apa-apa usul lain yang mungkin kami terima tujuh hari sebelum EGM oleh ahli Majlis Peguam,” katanya.

    Pada 27 April, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat ketika berucap pada majlis angkat sumpah 17 pesuruhjaya kehakiman yang disahkan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi, berkata, tuduhan tidak berasas yang dilemparkan terhadap hakim serta badan kehakiman kebelakangan ini agak keterlaluan.

    Beliau berkata, walaupun rakyat termasuk ahli politik bebas mengkritik badan kehakiman pada tahap tertentu, tidak bermakna mereka boleh melakukan serangan yang tidak berasas dan keji terhadap badan kehakiman atau hakim tertentu demi kepentingan sendiri.

    Baru-baru ini, Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, yang mendengar kes Datuk Seri Najib Razak dan mensabitkan bekas Perdana Menteri itu dengan pertuduhan berkaitan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd, telah membuat laporan polis berhubung artikel berita mendakwa beliau telah disiasat mengenai isu wang yang tidak dapat dijelaskan dalam akaun banknya.

    Kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan pada 21 April lepas memaklumkan bahawa Mohd Nazlan menafikan dakwaan palsu, tidak berasas dan berniat jahat itu yang bertujuan menjejaskan kredibiliti beliau sebagai seorang hakim serta mengganggu pentadbiran keadilan jenayah dan badan kehakiman.

    Badan kehakiman turut membuat laporan polis berhubung dakwaan wujud konspirasi antara Tengku Maimun dan pemimpin politik untuk mempercepat perbicaraan serta hukuman terhadap Najib dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. – BERNAMA

  • Lelaki tular pandu bahaya, potong barisan ditahan polis

    Lelaki tular pandu bahaya, potong barisan ditahan polis

    SEORANG lelaki ditahan setelah disyaki memandu secara melulu hingga boleh membahayakan pengguna lain sehingga tular menerusi rakaman sebuah video dalam satu kejadian di Jalan Beruas-Parit-Ipoh semalam.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, lelaki berumur 23 tahun yang memandu Proton Saga FLX berwarna coklat itu ditahan di sebuah rumah di Pusing, Batu Gajah selepas polis berjaya mengesannya pada hari yang sama.

    “Lelaki itu mengaku memandu kenderaan tersebut kira-kira 3.40 petang sebelum tular di media sosial menerusi sebuah video.

    “Kenderaan tersebut dirampas dan lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan dibawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan.

    Gambar: Facebook JSPT Perak

    Video berdurasi kira-kira seminit itu antara lain menunjukkan suspek memotong barisan dan garisan berkembar di kawasan Pekan Parit hingga boleh membahayakan keselamatan diri sendiri dan pengguna lain. – BERNAMA

  • 10 kes langgar Akta Kawalan Harga sepanjang musim Aidilfitri

    10 kes langgar Akta Kawalan Harga sepanjang musim Aidilfitri

    SEBANYAK 6,702 premis perniagaan di peringkat borong dan runcit telah diperiksa sejak pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2022 (SHMMP-HRP 2022) dari 26 April hingga 4 Mei lepas dan mendapati 10 kes telah melanggar perundangan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011).

    Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam berkata, kesalahan yang dikesan adalah membabitkan kegagalan mematuhi keperluan tanda harga dan menjual barang kawalan melebihi harga maksimum.

    “Penguatkuasaan ke atas pelaksanaan SHMMP-HRP 2022 ini akan diteruskan di seluruh negara sehingga tamat tempoh pelaksanaan skim pada 10 Mei 2022. Di samping itu, penentuan harga maksimum ayam dan telur akan terus berkuat kuasa sehingga 5 Jun 2022,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Azman berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim tersebut.

    Beliau berkata, keputusan kerajaan melalui KPDNHEP memanjangkan penguatkuasaan SHMMP-HRP 2022 dari 26 April hingga 10 Mei depan dari tarikh asal 6 Mei 2022 amat tepat kerana ia membolehkan seluruh Keluarga Malaysia berbilang kaum meneruskan tradisi kunjung-mengunjung dan rumah terbuka dalam suasana harmoni dan riang ria tetapi selamat.

    Katanya, setelah dua tahun Aidilfitri dirayakan dalam keadaan tertutup dan terhad kalangan keluarga terdekat sahaja kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sambutan Aidilfitri tahun ini memberi makna yang besar dan berbeza kerana saudara-mara dan sahabat handai saling kunjung-mengunjung dalam pelbagai majlis rumah terbuka yang meriah tetapi tetap mematuhi prosedur operasi standard (SOP). – BERNAMA

  • Perkhidmatan 2,600 guru kontrak jangka disambung dua tahun

    Perkhidmatan 2,600 guru kontrak jangka disambung dua tahun

    NASIB 2,600 guru kontrak perkhidmatan (COS) ambilan Jun 2020 bakal terbela apabila kontrak mereka dijangka disambung selama dua tahun.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin bagaimanapun berkata, perincian mengenai berita menggembirakan itu akan diumumkan dalam masa terdekat sejurus perbincangan antara Kementerian Pendidikan (KPM) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) selesai.

    “Berkaitan dengan COS kita lihat ramai bangkitkan mengenai isu ini dan ramai yang telah menyampaikan masalah ini kepada kementerian.

    “Oleh itu, isu ini sedang dalam proses untuk diambil tindakan sewajarnya berdasarkan peraturan dan tatacara sedia ada. Ingin saya jelaskan kerana ada yang kata tidak dapat gaji bulan lima itu tidak benar, kerana kami akan pastikan kebajikan guru-guru terpelihara,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di kediamannya dekat Ketereh hari ini.

    Mengulas lanjut, Radzi berkata pihaknya sentiasa berbincang mengenai pendekatan terbaik yang boleh dilakukan kepada guru kontrak perkhidmatan itu.

    Semalam, menerusi hantaran di laman Facebook dan Twitter miliknya, Radzi memaklumkan bahawa beliau telah mengarahkan supaya isu guru COS ambilan Jun 2020 yang akan tamat kontrak pada Jun depan, diberi perhatian dan diselesaikan segera.

    Beliau berkata, KPM dan SPP sedang mengambil tindakan sewajarnya mengikut peraturan dan tatacara yang berkuat kuasa.

    Dalam perkembangan lain, Radzi berkata, pihaknya akan perincikan satu persatu serta tindakan yang boleh diambil mengenai isu guru bersara awal.

    “Kami sedang kaji secara mendalam dengan mengambil kira data dari tahun 2017 kerana mana-mana perkhidmatan lain juga akan ada yang mengambil ketetapan untuk bersara awal bukan guru sahaja yang bersara awal kerana ia adalah pilihan masing-masing,” katanya. – BERNAMA

  • Anggota tentera maut tidak sempat jumpa isteri baru bersalin

    Anggota tentera maut tidak sempat jumpa isteri baru bersalin

    HASRAT seorang anggota Tentera untuk menemui isteri baru bersalin tidak kesampaian setelah maut dalam kemalangan di Kilometer 46 Jalan Alor Setar-Butterworth, malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kejadian berlaku jam 8.15 malam ketika itu mangsa Muhammad Izzat Jefree, 27, dalam perjalanan pulang ke rumah.

    “Mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha R25 datang dari arah Bedong menghala ke arah ke arah Gurun.

     “Akibat jarak terlalu dekat mangsa tidak nampak sebuah kereta Jenis Honda Accord sedang membelok untuk masuk ke Taman Selesa Bedong merempuh bahagian kiri kereta terbabit.

    “Mangsa terpelanting jatuh ke atas jalan dan maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan badan,” katanya menerusi kenyataan, lapor Astro Awani.

    Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

  • Tiga cedera, tujuh selamat, van terbabas di bahu jalan

    Tiga cedera, tujuh selamat, van terbabas di bahu jalan

    TIGA  individu cedera ringan manakala tujuh yang lain selamat selepas van dinaiki mereka terbabas di bahu jalan di Jalan Teluk Nipah, Pulau Pangkor petang tadi.

    Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan tersebut pada 5.02 petang.

    “Kenderaan tersebut dinaiki 10 orang termasuk pemandu. Tiga daripadanya cedera ringan manakala bakinya tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut jurucakap itu kejadian dipercayai berpunca akibat pemandu van berkenaan hilang kawalan ke atas kenderaannya dan usaha mengeluarkan mangsa kemudian turut dibantu orang ramai.

    Beliau berkata mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pangkor dan operasi berkenaan tamat pada 5.25 petang.

    — BERNAMA