Category: Semasa

  • Buli junior: Doktor pakar didakwa turut terlibat

    Buli junior: Doktor pakar didakwa turut terlibat

    SENARAI nama doktor yang diterima Kementerian Kesihatan (KKM) kerana didakwa sebagai pembuli doktor junior di Hospital Pulau Pinang (HPP) turut melibatkan doktor pakar, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

    Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Jururawat Antarabangsa 2022 di sini hari ini, beliau berkata Unit Integriti KKM telah diarahkan menjalankan siasatan lanjut berhubung dakwaan buli di hospital itu, manakala satu pasukan petugas khas bebas juga akan ditubuhkan.

    Khairy berkata, senarai anggota pasukan petugas khas bagi menyiasat isu buli itu serta terma dan rujukannya akan diumumkan esok, serta menambah bukan beliau yang mempengerusikan pasukan petugas khas itu.

    Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan Pulau Pinang, Dr Norlela Ariffin semalam telah menyerahkan nama lima doktor di HPP yang didakwa sebagai pembuli, kepada KKM.

    Ditanya adakah lima doktor tersebut tersebut digantung perkhidmatan buat sementara waktu, Khairy berkata kesemua mereka masih bertugas seperti biasa namun siasatan terhadap doktor itu akan berjalan.

    “Kami tidak boleh pindahkan (mereka) begitu sahaja, kami perlu memastikan dahulu apa yang berlaku…ada nama dihantar adalah pakar-pakar. Bukan senang untuk kita pindahkan pakar. Buat masa ini semua bertugas seperti biasa cuma siasatan akan berjalan,” katanya.

    Khairy berkata, siasatan berhubung isu buli di hospital itu dijangka mengambil masa beberapa minggu untuk diselesaikan.

    “Ia melibatkan tuduhan berat seperti buli dan juga budaya kerja tidak profesional. Siasatan akan libatkan sesi temu bual dengan pengadu dan pakar yang dituduh.

    “Lebih baik beri sedikit masa supaya pasukan petugas khas bebas dan Unit Integriti KKM dapat jalankan siasatan seperti biasa,” katanya.

    Pada 17 April lepas, seorang doktor pelatih lelaki berusia 25 tahun ditemukan maut dipercayai terjatuh dari unit kediamannya di bangunan berhampiran HPP.

    Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang Dr Maarof Sudin mengesahkan mangsa adalah Pegawai Perubatan Siswazah yang melaporkan diri pada 4 April lepas di HPP dan pihaknya akan memberi kerjasama sepenuhnya dalam siasatan polis. – BERNAMA

  • Apakah kenyataan Saifuddin ada kaitan dengan pendedahan Annuar Musa?

    Apakah kenyataan Saifuddin ada kaitan dengan pendedahan Annuar Musa?

    PADA hari UMNO menyambut Ulang Tahun Ke-76 semalam, Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan beliau telah mengadakan rundingan termasuk dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi tujuan meraih sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

    Dan sudah tentulah apabila Saifuddin mengimbas kembali usaha tersebut dalam program debat bersama Rafizi Ramli itu, ia mengingatkan kembali bagaimana kecohnya politik negara pada Ogos 2020 apabila tersebarnya surat yang didakwa ditandatangani oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

    Surat yang menyatakan sokongan kepada Anwar sebagai Perdana Menteri itu diutuskan kepada Yang di-Pertuan Agong. Bagaimanapun Ahmad Zahid dan Najib menafikan mereka terlibat. Namun pada 6 Januari 2021, Tan Sri Annuar Musa yang dipecat daripada jawatan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) dan Setiausaha Agung UMNO mengesahkan salinan surat itu. Dalam bahasa mudahnya ia adalah surat tulen, bukan surat rekaaan yang ditulis di atas kertas berkualiti rendah atau mainan politik yang menjijikkan.

    Mungkin ketika itu pemimpin dan ahli-ahli UMNO tidak menerima pengesahan Annuar memandangkan Ahli Parlimen Ketereh itu dianggap berada dalam keadaan marah kerana digugurkan daripada jawatan dalam parti.  Tetapi sekarang pemimpin kanan PKR sendiri mengesahkan ada pertemuan dilakukan bagi tujuan meraih sokongan berkenaan.

    Malah Saifuddin juga mengesahkan ‘’kita telah mempunyai kesemua dokumen undang-undang yang sah yang membuktikan angka sokongan. Mana mungkin kita menghantar surat ke Istana Negara dokumen undang-undang dan sebagainya, Istana bukan perbuatan dan kerja main-main kerana itu saya laksanakan tugas saya.’’

    Persoalannya, adakah apa yang dikatakan oleh Saifuddin itu ada kaitan dengan apa yang disahkan oleh Annuar? Kalau betul, kasihan sungguh kepada pemimpin dan ahli UMNO kerana mereka sama sekali tidak dimaklumkan bahawa ada usaha menyokong Anwar ketika mereka bermati-matian mempertahankan ‘dasar No DAP, No Anwar’ oleh pimpinan mereka.

    Tetapi apa boleh buat, tidak siapapun di dalam UMNO yang akan berani bersuara meminta siasatan terperinci dijalankan bagi mengesahkan adakah apa yang dikatakan oleh Saifuddin mempunyai kaitan dengan pendedahan Annuar? Jika kedua-duanya mempunyai kaitan ia adalah sesuatu yang malang bagi UMNO.

    Ia memandangkan sebelum ini, pemimpin dan ahli UMNO begitu yakin surat kepada Agong itu adalah palsu, mereka begitu percaya bahawa tidak akan kerjasama dengan PKR, mereka menyokong sebarang tindakan kepemimpinan parti yang memutuskan menarik sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, mereka akur apabila perhimpunan Agung UMNO memutuskan tiada lagi kerjasama dengan Bersatu dalam pilihan raya tetapi rupa-rupanya lain pula ‘ceritanya di belakang’.

    Bagaimanapun belum terlambat untuk mereka ‘menghentikan semua sandiwara politik yang memualkan itu’. Caranya mudah, mereka perlu menolak usaha untuk menangguhkan pemilihan parti yang sepatutnya diadakan. Tidak salah untuk meminda Perlembagaan parti berhubung tempoh penangguhan tetapi biarlah bagi ia bagi penggal akan datang.

    Pemillihan penggal ini yang berakhir tahun lalu perlu diadakan sebelum PRU-15. Melalui cara itu ia akan memberikan peluang kepada ahli-ahli UMNO untuk memilih barisan kepemimpinan baharu yang sudah pasti perlu meletakkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Presiden parti memandangkan beliau adalah calon jawatan Perdana Menteri bagi UMNO pada pilihan raya berkenaan.

    Cukup-cukuplah berhujah bahawa pemilihan akan membawa perpecahan dan menjejaskan kekukuhan parti berhadapan PRU-15, kalaupun berlaku perpecahan ia pasti dapat dikawal, berbanding dengan sebarang ‘gerakan sulit’ di belakang yang sama sekali tidak diketahui oleh ahli UMNO.

    Semoga ahli-ahli UMNO akar umbi akan kembali bersuara demi mengelakkan mereka terperdaya dengan sebarang ‘sandiwara politik kelas tertinggi’ oleh segelintir pemimpin-pemimpin mereka. Tolaklah pemimpin yang bijak bersandiwara ini, jika tidak mahu  pengumuman  ‘poster boy’ bagi PRU-15 hanyalah satu sandiwara.

  • Saya bukan ibu saudara Jho Low, kata bekas setiausaha syarikat 1MDB

    Saya bukan ibu saudara Jho Low, kata bekas setiausaha syarikat 1MDB

    BEKAS setiausaha syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Goh Gaik Kim memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa beliau bukan ibu saudara ahli perniagaan yang diburu pihak berkuasa, Low Taek Jho atau Jho Low.

    Goh, 54, yang merupakan setiausaha syarikat 1MDB dari 31 Mac 2011 hingga 1 April 2016 menafikan dakwaan beliau mempunyai sebarang hubungan dengan Jho Low.

    Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Seri Najib Tun Razak, Wan Aizuddin Wan Mohammed pada perbicaraan bekas perdana menteri itu terhadap pertuduhan penyelewengan dana 1MDB bernilai RM2.3 bilion.

    “Saya dengan tegas mengatakan saya bukan ibu saudaranya. Bukan itu sahaja, malah saya juga tidak ada apa-apa kaitan dengannya. Sebenarnya pertama kali saya bertemu Jho Low ialah pada 2011 sebulan selepas saya menyertai 1MDB. Ketika itu saya sedang makan tengah hari dengan pengarah 1MDB, Tan Sri Ong Gim Huat dan Radhi Mohamad.

    “Saya rasa semasa dia sampai ketika itu, Radhi berkata ‘oh, itu Jho Low’, dan Tan Sri Ong bersama Radhi kemudiannya bangun dan pergi menyapanya. Saya cuma lihatnya dari jauh, pada masa itu saya tidak tahu siapa dia (Jho).

    Selepas makan tengah hari, saya bertanya kepada mereka siapa Jho Low kerana pada pandangan saya sudah pasti dia mempunyai kaitan dengan syarikat ini kerana kedua-dua mereka pergi untuk menyapanya, namun mereka hanya berdiam diri,” kata saksi ke-17 pendakwaan.

    Wan Aizuddin: Jadi anda tidak diperkenalkan kepada Jho Low? Beliau menjawab “tidak”.

    Apabila peguam itu menunjukkan gambar Jho Low, saksi itu berkata beliau tidak cam dengan gambar itu kerana beliau hanya melihat wajah Jho Low dari jauh sahaja.

    Katanya beliau kemudiannya tidak pernah melihat Jho Low selepas makan tengah hari pada 2011 itu.

    Menjawab satu soalan, saksi itu berkata beliau tidak pernah dimaklumkan oleh pengurusan kanan 1MDB bahawa Jho Low mempunyai apa-apa peranan dalam syarikat itu.

    Najib, 68, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung. – BERNAMA

  • Kes solar hibrid: Nasib Rosmah diketahui 7 Julai

    Kes solar hibrid: Nasib Rosmah diketahui 7 Julai

    KEPUTUSAN dalam perbicaraan kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor terhadap pertuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak akan diketahui pada 7 Julai ini.

    Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan menetapkan tarikh itu semasa sebutan kes berkenaan hari ini.

    “Kita telah sampai ke penghujung kes ini dan sudah tiba masa untuk penentuannya. Saya bercadang untuk mengambil masa selama dua bulan dari tarikh hari ini untuk mengemukakan penghakiman penuh bertulis pada 7 Julai semasa menyampaikan keputusan saya.

    “Saya akan sampaikan keputusan saya pada pukul 9 pagi pada tarikh berkenaan,” katanya.

    Rosmah, 70, dilihat di mahkamah hari ini berbaju kurung berwarna kuning, dan selendang dengan warna sepadan.

    Terdahulu pendakwa utama Datuk Seri Gopal Sri Ram mengemukakan dua kes perundangan terkini sebagai nas undang-undang, manakala peguam Rosmah, Datuk Akberdin Abdul Kader pula berkata beliau baru menerimanya hari ini, dan memohon lebih masa untuk menjawabnya.

    Hakim Mohamed Zaini kemudiannya membenarkan permohonan pihak pembelaan dengan memberikan masa yang diperlukan, dan memberitahu mereka untuk menyatakan jawapan itu pada penghujahan bertulis.

    “Jangan risau, saya pasti akan lihat penghujahan itu. Saya telah pun melihat hujahan awal anda sekurang-kurangnya sekali, dan saya akan lihatnya sekali lagi,” katanya.

    Pada 23 Feb tahun ini, pihak pembelaan menutup kesnya selepas memanggil dua saksi, Rosmah dan bekas Pengarah Bahagian First Lady of Malaysia (FLOM) Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod.

    Pada 18 Feb tahun lepas, Rosmah, 70, diperintah membela diri terhadap tiga pertuduhan selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap beliau.

    Beliau berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin.

    Rasuah itu didakwa diterima melalui bekas Pegawai Khas beliau, Datuk Rizal Mansor sebagai ganjaran kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

    — BERNAMA

  • Hasrat ikut  jejak ibu dalam bidang perniagaan tidak kesampaian

    Hasrat ikut  jejak ibu dalam bidang perniagaan tidak kesampaian

    HASRAT  seorang daripada lima pelajar yang rentung dalam kebakaran kereta selepas kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan arah utara di Kuala Kangsar tengah malam tadi untuk mengikut jejak ibunya dalam bidang perniagaan tidak kesampaian.

    Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, yang beralamat di Batu Caves, Selangor adalah pelajar semester dua Diploma Pentadbiran Perniagaan di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS).

    Ibunya Siti Norazah Bahari, 42, berkata anak sulung daripada tiga beradik itu mempunyai minat mendalam dalam bidang perniagaan sejak dahulu dan bercita-cita untuk menjadi ahli perniagaan berjaya.

    “Arwah ambil jurusan perniagaan sebab dia memang minat berniaga macam saya tetapi kami keluarga terima atas apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar hari ini.

    Siti Norazah berkata kali terakhir dia berhubung dengan anaknya itu adalah petang semalam namun Muhammad Nabil Haikal tidak menunjukkan sebarang perubahan.

    “Arwah ada bertanya tentang kucing tetapi apabila dibalas sampai malam mesej menerusi aplikasi WhatsApp tidak berjawab.

    “Dia juga tidak ada memaklumkan hendak pergi ke mana-mana dan kami dapat tahu mengenai kejadian apabila rakan arwah menghubungi kami memaklumkan anak saya terlibat kemalangan,” katanya sebak.

    Katanya, dia baru sahaja menghantar Muhammad Nabil Haikal untuk pulang ke kuliah dengan menaiki Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) pada Isnin lepas bagi menjalani pembelajaran secara bersemuka buat pertama kali kerana hanya menghadiri kelas secara dalam talian sebelum ini.

    Siti Norazah berkata pemergian anak kesayangannya itu tidak disangka dan kehilangannya amat sukar dipercayai oleh mereka sekeluarga kerana amat manja dengan adik-beradiknya yang lain.

    Katanya, jenazah Muhammad Nabil Haikal akan dibawa untuk dikebumikan di Nilai, Negeri Sembilan selepas proses bedah siasat selesai di Hospital Kuala Kangsar.

    Dalam kejadian tengah malam tadi, Muhammad Nabil Haikal yang duduk di bahagian penumpang belakang rentung bersama empat rakan apabila kereta jenis Honda City dinaiki terbakar selepas kemalangan bersama dua treler KM 245.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, Kuala Kangsar.

    Empat rakannya yang turut terkorban adalah Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22, (pemandu), Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21 (penumpang hadapan), Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, dan Iqbal Hasnun Halimi, 23, yang duduk di bahagian penumpang belakang.

    Sementara itu, Halimi Ali Yahad, 50, bapa kepada Iqbal Hasnun berkata dia menghantar anaknya pulang ke kampus bagi meneruskan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam pada Ahad lepas setelah  menyambut Hari Raya di Johor.

    “Saya tidak melihat perubahan pada anak saya semasa pulang beraya. Walaupun sedih tetapi Allah lebih menyayanginya apabila meninggal dalam keadaan muda dan kami reda,” katanya.

    Mengulas mengenai perwatakan Iqbal Hasnun, dia berkata anaknya itu seorang yang penyayang dan selalu berpesan kepada adik-adiknya supaya menjaga kesihatan.

    “Ini kerana Iqbal Hasnun menghidap penyakit pneumonia (radang paru-paru) sejak kecil lagi,” katanya.

    — BERNAMA

  • Bawa masuk daging babi, tapi isytihar daging ikan

    Bawa masuk daging babi, tapi isytihar daging ikan

    JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang berjaya mematahkan percubaan menyeludup produk daging babi dari China yang dilabel sebagai daging ikan.

    Sebanyak 20,736 tin produk daging babi itu yang dimuatkan di dalam 864 kotak dirampas ketika pemeriksaan rutin Maqis Pulau Pinang di Pelabuhan Pangkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT) pada Februari lalu.

    Produk seberat kira-kira tujuh tan bernilai RM326,592 itu diimport oleh sebuah syarikat yang berpengkalan di Pulau Pinang dan difahamkan ia merupakan percubaan pertama syarikat terbabit menggunakan taktik sedemikian.

    Pengarah Maqis Pulau Pinang, Muhammad Ikram Abd. Talib berkata, meskipun dilabel sebagai produk daging ikan, namun pemeriksaan lanjut di Jabatan Kimia mengesahkan produk tersebut adalah daging babi.

    Sehubungan itu ujar beliau, pemilik produk berkenaan telah didapati cuba membawa masuk produk tersebut menggunakan maklumat palsu dan mengelirukan.

    “Sehubungan itu, kita kita telah merampas kesemua produk tersebut dan turut mengeluarkan kompaun sebanyak RM16,000 kepada syarikat pengimport berkenaan atas kesalahan mengikut Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

    “Produk itu juga telah dilucut hak dan akan dilupuskan sama ada menerusi kaedah ditanam atau dibakar menggunakan teknologi insinerator,” katanya dalam sidang akhbar hari ini yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Maqis Pulau Pinang, Dr. Azhari Sharidan Abu Bakar.

    Tambah Muhammad Ikram, perbuatan mengimport dengan mengemukakan maklumat palsu dan tidak tepat adalah merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

    Jelasnya, mana-mana orang yang memberikan maklumat yang palsu, tidak tepat atau mengelirukan dalam pengimportan keluaran pertanian adalah
    menjadi suatu kesalahan.

    Tambah beliau, jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau keduanya sekali,” katanya.

    “Larangan pengimportan serta membawa masuk produk babi di setiap pintu masuk negara adalah bagi menghalang risiko kemasukan virus African Swine Fever (ASF) ke negara ini yang mampu menjejaskan industri penternakan babi dan produk hasilan babi,” katanya.

    Ujar beliau, antara produk-produk yang berisiko dalam penularan virus ASF adalah babi hidup serta produk berasaskan babi seperti babi salai; sosej babi; babi yang ditinkan dan seumpamanya.

    Tambahnya, Maqis mengambil langkah lebih serius mengenai pengimportan melalui sempadan negara terutama isu melibatkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam industri pertanian negara.

    “Tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasa bagi memastikan kawalan biosekuriti serta tahap jaminan keselamatan makanan terpelihara,” katanya.

  • Kes HFMD di Pulau Pinang naik lebih 8 kali ganda

    Kes HFMD di Pulau Pinang naik lebih 8 kali ganda

    KES penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Pulau Pinang meningkat sebanyak 8.4 kali ganda iaitu 959 kes sepanjang tahun ini setakat 7 Mei lalu berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu hanya 102 kes.

    Selain itu, sebanyak 54 kluster HFMD turut dilaporkan di Pulau Pinang sepanjang tahun ini berbanding hanya tujuh kluster pada 2021 iaitu peningkatan sebanyak 6.7 kali ganda.

    Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan Pulau Pinang, Dr. Norlela Ariffin berkata, setakat ini juga jumlah kumulatif premis yang ditutup akibat HFMD adalah 54 premis, namun telah beroperasi seperti biasa yang mana pembukaan semula premis terakhir adalah pada 3 Mei lalu.

    Menurut Norlela, penyakit HFMD mudah menjangkiti orang lain terutama kanak-kanak di premis tempat tumpuan mereka seperti taska, tabika, tadika, pusat jagaan dan prasekolah.

    ”Penyakit HFMD adalah antara penyakit yang biasa dan sering kali berlaku dalam kalangan kanak-kanak.

    ”Namun, ia merupakan salah satu masalah kesihatan awam di Malaysia amnya dan di Pulau Pinang khususnya kerana cenderung untuk menyebabkan berlakunya wabak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Norlela, setakat ini tiada rawatan khusus untuk merawat penyakit HFMD sekali gus apsek pencegahan adalah amat penting.

    “Sehubungan itu, kita menasihati orang ramai terutamanya yang mempunyai anak-anak kecil mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengurangkan risiko mereka dijangkiti.

    ”Antara langkah yang perlu diambil ialah basuh tangan dengan sabun dan air bersih selepas menggunakan tandas, sebelum menyediakan makanan, selepas menukar lampin dan mencuci najis kanak-kanak,” katanya.

    Dalam masa sama, Norlela turut menasihatkan mereka yang terlibat dengan institusi penjagaan kanak-kanak supaya sentiasa mengekalkan kebersihan di pusat penjagaan kanak-kanak, tadika dan sekolah serta persekitarannya.

    Sementara itu, memetik laporan Bernama, kes HFMD di Kelantan meningkat 553 peratus kepada 1,548 kes dalam tempoh Januari hingga awal bulan ini, berbanding hanya 237 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

    Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, daripada jumlah kes HFMD yang dilaporkan, majoriti kes adalah dalam kalangan kanak-kanak berumur satu hingga empat tahun iaitu sebanyak 75.8 peratus.  

    “Secara keseluruhan 87.9 peratus daripada kes yang dilaporkan adalah berumur enam tahun dan ke bawah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Dr Zaini berkata, dari segi kejadian wabak, sebanyak 18 wabak HFMD telah dilaporkan dalam tempoh Januari hingga awal Mei, berbanding dengan hanya satu wabak sahaja bagi tempoh sama pada 2021.

    “Sebahagian besar wabak yang dilapor adalah melibatkan taska dan pusat jagaan kanak-kanak,” katanya.

    Dr Zaini menasihati orang ramai terutama yang mempunyai anak kecil supaya mengambil langkah berjaga-jaga bagi membendung penularan kes HFMD di negeri itu.

  • Gadis dibelasah kawan lelaki selepas enggan ikut masuk bilik hotel

    Gadis dibelasah kawan lelaki selepas enggan ikut masuk bilik hotel

    SEORANG pelajar perempuan di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) dibelasah rakan lelakinya selepas dia enggan mengikutnya ke bilik hotel.

    Memetik laporan Malaysiakini, mangsa yang berumur sekitar 20-an ditumbuk pada muka, ditendang dan disamun oleh suspek dalam kejadian di Jalan Kedai Mulong, Kota Bharu, kelmarin.

    Gadis berkenaan kemudian ditinggalkan begitu sahaja oleh suspek di tepi jalan.

    Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, mangsa sebelum itu keluar bersama suspek kira-kira pukul 10 malam untuk makan malam.

    Menurut beliau, selepas itu, mangsa diajak suspek menemaninya untuk berjumpa dengan seorang rakan lain di sebuah hotel.

    “Semasa berada di hotel itu, suspek bersama kawan lelakinya mengajak mangsa ke sebuah bilik penginapan.

    “Mangsa takut dan curiga dengan tindakan berkenaan menyebabkan dia meminta suspek menghantarnya pulang.

    “Ketika dalam perjalanan pulang, berlaku pertengkaran antara mereka. Susulan itu, suspek memberhentikan kereta dan bertindak menumbuk serta menendang mangsa,” katanya hari ini.

    Mohd Rosdi memberitahu, suspek turut mengambil telefon bimbit dan wang tunai mangsa sebelum meninggalkan wanita berkenaan di tepi jalan.

    “Mangsa mengalami kerugian RM3,000,” katanya.

    Dalam kejadian itu, mangsa mengalami bengkak serta lebam pada muka dan hidung dan dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk rawatan lanjut.

    Mohd Rosdi menambah, mangsa kemudian menghubungi Balai Polis Nilam Puri untuk memaklumkan kejadian tersebut.

    “Susulan laporan yang diterima, polis menahan dua lelaki berusia 20-an iaitu seorang anggota tentera dan pemandu lori yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu,” katanya.

    Menurut Mohd Rosdi, kedua-dua suspek ditahan kira-kira pukul 5.30 petang semalam selepas mereka tampil menyerah diri.

    “Sehubungan dengan itu, pihak polis berjaya selesaikan kes ini dalam tempoh 24 jam dengan tertangkapnya kedua-dua suspek, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” jelasnya.

  • [VIDEO] 5 pelajar USAS disahkan rentung kereta dirempuh treler

    [VIDEO] 5 pelajar USAS disahkan rentung kereta dirempuh treler

    LIMA mangsa yang rentung dalam kemalangan di Kilometer 245.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara dekat Terowong Menora di Ipoh, dikenal pasti pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Ipoh.

    Memetik laporan Sinar Harian, pelajar-pelajar lelaki terbabit ialah Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22, pemandu kereta; Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, penumpang hadapan; Iqbal Hasnun Halimi, 23; Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, masing-masing duduk di bahagian belakang.

    Dekan Bahagian Hal Ehwal Pelajar USAS, Dr Ahmad Zaki Hasan mengesahkan, kelima-lima mangsa merupakan penuntut universiti berkenaan.

    Beliau berkata, dua daripada mangsa merupakan pelajar diploma manakala tiga lagi adalah pelajar ijazah sarjana muda.

    “Kesemua mereka sudah pun dikenal pasti oleh pihak hospital dan pihak polis.

    “Kita juga telah maklumkan mengenai kejadian ini kepada waris untuk mereka hadir ke hospital bagi proses pengecaman.

    “Kita akan cuba bantu apa yang diperlukan oleh waris, bagi memudahkan urusan,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

    https://youtu.be/kXc3zcTnAJM

    Sementara itu, Bernama melaporkan, polis menahan pemandu treler membawa muatan besi pagar bagi membantu siasatan kemalangan melibatkan sebuah kereta dan dua treler hingga menyebabkan lima mangsa rentung.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu pada kira-kira 1.45 pagi dan lelaki berusia 28 tahun ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila treler yang membawa muatan mozek datang dari arah selatan menghala ke utara sedang memandu di lorong kanan disebabkan lorong kiri laluan dari KM 246 hingga 244.4 ditutup bagi penyelenggaraan jalan.

    “Pada masa sama, kereta jenis Honda City sedang mengekori di belakang treler itu dengan memperlahankan kenderaan namun dengan secara tiba-tiba datang treler membawa muatan besi pagar yang memandu dari arah sama di belakang kereta itu tidak sempat membrek dan mengelak lalu merempuh bahagian belakang kenderaan itu.

    “Treler itu kemudian menyeretnya ke hadapan sehingga melanggar bahagian belakang treler muatan mozek berkenaan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Beliau berkata akibat daripada kemalangan itu, kereta yang dinaiki lima lelaki dipercayai pelajar berusia 19 hingga 23 tahun berasal dari Kuala Kubu Bharu, Selangor; Chukai, Terengganu; Parit Buntar, Perak; Batu Caves, Selangor dan Senai, Johor terbakar sebelum merebak ke bahagian kepala treler di belakangnya.

    “Pemandu dan empat orang penumpang dalam kereta itu tersepit dan tidak sempat menyelamatkan diri hingga menyebabkan kesemua mereka rentung dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

    “Pihak bomba kemudian berjaya mengeluarkan kesemua mangsa yang tersepit dan rentung sebelum dibawa untuk proses bedah siasat di Hospital Kuala Kangsar hari ini,” katanya. – BERNAMA

  • 1,016 kes HFMD di Kedah, meningkat 46 peratus

    1,016 kes HFMD di Kedah, meningkat 46 peratus

    Oleh RIZQI ZABIDI  

    Sebanyak 1,016 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dicatatkan di Kedah bermula awal tahun ini hingga 7 Mei lalu.

    Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman berkata, jumlah itu merupakan peningkatan sebanyak 46.6 peratus berbanding tempoh sama pada 2019 iaitu sebelum kedatangan pandemik Covid-19.

    Katanya, pada minggu epidemiologi ke-18 iaitu antara 1 hingga 7 Mei 2022, Kedah telah mencatatkan sebanyak 102 kes HFMD.

    “Trend peningkatan HFMD di negeri ini amat ketara bermula minggu epidemiologi ke-13 dan telah melepasi paras ambang epidemik (epidemic treshold).

    “Bagi minggu epidemiologi ke-18, bilangan kes tertinggi didaftarkan di daerah Kuala Muda iaitu sebanyak 29 kes diikuti Kota Setar 22 kes dan Padang Terap 17 kes,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

    Penyakit HFMD disebabkan oleh jangkitan pelbagai jenis virus, terutama virus Coxsackie A16 dan Enterovirus 71 (EV71). Virus ini merebak melalui kontak dengan air liur, cecair lepuh (blister) dan najis pesakit.

    Majoriti jangkitan menunjukkan gejala ringan (mild) seperti demam, diikuti ruam melepuh (blister) pada tangan, kaki, mulut dan lidah. Hampir keseluruhan pesakit yang menghidap HFMD pulih tanpa memerlukan rawatan khusus dalam masa tujuh (7) ke 10 hari.

    Orang ramai bagaimanapun diminta berhati-hati kerana jangkitan EV71 boleh menyebabkan komplikasi teruk seperti encephalitis (jangkitan otak), pneumonitis (jangkitan paru-paru) dan myocarditis (jangkitan otot jantung).  

    Susulan itu katanya, orang ramai terutamanya mereka yang mempunyai anak kecil, diminta mengambil langkah berjaga-jaga apatah lagi dalam suasana hari raya bagi mengurangkan risiko dijangkiti.

    “Sentiasa amalkan kebersihan diri dan cuci tangan dengan kerap. Dalam masa sama, sentiasa jaga kebersihan persekitaran.

    “Pihak terlibat diminta menjalankan pemeriksaan atau saringan di pintu masuk taska, tadika, tabika, pra-sekolah atau sekolah. Selain itu, lakukan disinfeksi atau nyah kuman pada permukaan yang tercemar,” katanya.

    Tambahnya, ibu bapa juga dinasihati untuk membawa anak mereka ke klinik atau hospital terdekat jika mempunyai tanda mahu pun gejala jangkitan seperti demam mahu pun ruam di tangan, kaki serta mulut.

    “Jangan bawa anak ke tempat awam yang sesak seperti kolam renang, pasar, pusat membeli-belah dan stesen bas. Elakkan menghantar anak yang menunjukkan gejala atau tanda jangkitan ke pusat jagaan kanak-kanak atau sekolah,” katanya.