Category: Semasa

  • Warga emas antara 23 pemandu mabuk ditahan polis

    Warga emas antara 23 pemandu mabuk ditahan polis

    POLIS menahan 23 individu termasuk seorang warga emas berumur 68 tahun kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dalam operasi Samseng Jalanan, Op Motosikal/Pelbagai Kesalahan di sekitar ibu negara sejak Jumaat lepas.

    Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, ACP Sarifudin Mohd Salleh berkata, selain 23 individu berkenaan, pihaknya turut menahan lapan individu kerana menunggang dalam keadaan merbahaya dengan melakukan aksi zig-zag, roket, superman serta bersaing sesama sendiri.

    “Kesemua suspek (lapan individu) berkenaan yang berusia dalam lingkungan 16 hingga 19 tahun telah dibawa ke Balai Polis Trafik, Kuala Lumpur dan akan dituduh di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga mengganggu pengguna jalan raya yang lain,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

    Sementara itu, Sarifudin berkata, tangkapan lain melibatkan seorang individu yang melakukan kesalahan menghalang tugas penjawat awam, seorang disyaki menunggang motosikal curi manakala seorang lagi dipercayai memiliki dadah.

    Beliau berkata, dalam Operasi Motosikal dengan kolaborasi Jabatan Alam Sekitar semalam pula, pihaknya mengeluarkan sembilan saman kepada pemandu hasil ujian terhadap 20 kenderaan kerana tidak mematuhi spesifikasi struktur kenderaan (ekzos) yang ditetapkan.

    Menurutnya, secara keseluruhan 435 jumlah saman dikeluarkan kepada pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan trafik dan 13 motosikal disita atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan (ekzos) sepanjang tiga hari operasi Samseng Jalanan, Op Motosikal/Pelbagai Kesalahan itu.

    Sarifudin berkata, operasi bermula pada Jumaat dan selesai awal pagi tadi dijalankan di sekitar ibu kota termasuk Jalan Raja Laut, Jalan Genting Klang, Jalan Kuching, Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) dan Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (MRR2). – BERNAMA

  • Mesyuarat Kabinet esok bincang kos sara hidup, bahan makanan

    Mesyuarat Kabinet esok bincang kos sara hidup, bahan makanan

    MESYUARAT Kabinet akan diawalkan ke esok (23 Mei) bagi membincangkan isu peningkatan kos sara hidup dan penawaran bahan makanan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Beliau berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), masing-masing akan membentangkan laporan berkaitan isu itu, termasuk perancangan jangka pendek dan panjang mengatasinya.

    “Jadi esok, Isnin, saya panggil mesyuarat Kabinet untuk melihat khusus dari segi bagaimana kita hendak mengimbangi kenaikan harga barang yang mendadak ini dan saya minta KPDNHEP untuk membentangkannya.

    “Begitu juga dengan makanan, ‘supply’ makanan termasuk ayam, MAFI perlu membentangkannya,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Kuala Lumpur hari ini.

    Ismail Sabri berkata, kos sara hidup yang dijangka akan meningkat adalah fenomena global, antaranya berikutan konflik Rusia-Ukraine serta pandemik COVID-19 sebelum ini yang turut menjejaskan pengeluaran bahan dan hasil makanan.

    Sementara itu, Perdana Menteri berkata, selain permit import (AP) untuk bahan makanan, kerajaan juga sedang mengkaji pemansuhan AP lain bagi mengurangkan tekanan kekurangan barangan lain.

    “Kita harap apabila AP dihapuskan, sekurang-kurangnya ia boleh mengurangkan tekanan kita dari segi kekurangan supply barangan, dan mungkin banyak pihak yang terlibat boleh mengurangkan harga tetapi perlu kita tunggu kesannya,” katanya.

    Rabu lepas, Ismail Sabri memaklumkan bahawa kerajaan memutuskan untuk memansuhkan AP bagi bahan makanan dan ia berkuat kuasa serta-merta. – BERNAMA

  • Doktor wanita ditemukan mati di bilik hotel

    Doktor wanita ditemukan mati di bilik hotel

    SEORANG doktor wanita ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di sebuah bilik hotel di Pasir Panjang, Port Dickson, Seremban, kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, dalam kejadian pada pukul 2 petang itu, seorang pekerja hotel menemukan mangsa terbaring di atas katil dalam bilik hotel tersebut.

    “Mangsa disahkan telah meninggal dunia oleh Pembantu Perubatan di Klinik Kesihatan Pasir Panjang pada pukul 2.56 petang,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

    Siasatan awal polis mendapati tiada sebarang unsur jenayah di tempat kejadian selain menerusi semakan dari pihak hotel, mangsa telah mendaftar seorang diri di hotel berkenaan pada 19 Mei lepas, katanya.

    Aidi Sham berkata mangsa yang berusia 37 tahun itu masih bujang dan merupakan seorang pegawai perubatan di sebuah hospital di Petaling Jaya, Selangor.

    Menurutnya, bedah siasat telah dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Port Dickson pada pukul 10 pagi tadi dan punca kematian belum dapat dikenal pasti.

    “Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut (SDR),” katanya. – Bernama

  • Risiko virus cacar monyet tersebar ke Malaysia rendah – KP Kesihatan

    Risiko virus cacar monyet tersebar ke Malaysia rendah – KP Kesihatan

    RISIKO virus cacar monyet tersebar ke Malaysia adalah rendah  kecuali sekiranya terdapat sejarah bersentuhan dengan haiwan dijangkiti ataupun kontak langsung dengan pesakit wabak itu.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini memaklumkan kemungkinan transmisi jangkitan dari manusia ke manusia adalah terhad.

    Beliau bagaimanapun berkata Kementerian Kesihatan (KKM) akan memantau perkembangan situasi virus itu melalui laporan dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan melakukan pemantauan kes disyaki cacar monyet di Malaysia di semua pintu masuk antarabangsa.

    Beliau juga menasihatkan pengembara ke kawasan yang terdapat kejadian cacar monyet di Afrika Tengah dan Afrika Barat serta negara yang sedang mengalami wabak penyakit itu agar mengambil langkah berwaspada.

    “Mengekalkan kebersihan diri yang tinggi termasuk mencuci tangan dengan kerap selepas pergi ke tandas atau apabila tangan kotor. Mengelak sentuhan langsung dengan luka pada mereka yang dijangkiti sama ada manusia mahupun haiwan serta objek yang mungkin tercemar dengan cecair tubuh kes seperti pakaian kotor yang digunakan orang dijangkiti.

    “Mengelakkan daripada bersentuhan dengan haiwan liar atau memakan dagingnya,” kata Dr Noor Hisham.

    Bagi pengembara yang tiba di negara ini dari kawasan terdapat jangkitan wabak cacar monyet dan mengalami gejala penyakit itu dalam tempoh tiga minggu selepas meninggalkan kawasan tersebut, beliau menasihatkan supaya mereka segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran.

    “Maklumkan kepada doktor mengenai sejarah perjalanan tersebut. Elakkan daripada kontak langsung dengan individu lain dan lakukan pengasingan diri selama sekurang-kurangnya 21 hari bagi memastikan ruam makulopapular kering sepenuhnya,” katanya.

    Beliau berkata cacar monyet ini disebabkan oleh jangkitan orthopoxviruses dan virus ini ditularkan kepada manusia melalui gigitan atau sentuhan langsung dengan darah binatang atau cecair badan dan luka haiwan yang dijangkiti.

    Katanya virus ini juga boleh disebarkan melalui titisan sekresi pernafasan dan  juga boleh menular melalui kontak langsung dengan cecair daripada ruam makulopapular di badan orang yang dijangkiti atau dengan objek yang tercemar virus, seperti tempat tidur atau pakaian.

    “Mengelakkan daripada bersentuhan dengan haiwan liar atau memakan dagingnya,” kata Dr Noor Hisham.

    Bagi pengembara yang tiba di negara ini dari kawasan terdapat jangkitan wabak cacar monyet dan mengalami gejala penyakit itu dalam tempoh tiga minggu selepas meninggalkan kawasan tersebut, beliau menasihatkan supaya mereka segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran.

    “Maklumkan kepada doktor mengenai sejarah perjalanan tersebut. Elakkan daripada kontak langsung dengan individu lain dan lakukan pengasingan diri selama sekurang-kurangnya 21 hari bagi memastikan ruam makulopapular kering sepenuhnya,” katanya.

    Beliau berkata cacar monyet ini disebabkan oleh jangkitan orthopoxviruses dan virus ini ditularkan kepada manusia melalui gigitan atau sentuhan langsung dengan darah binatang atau cecair badan dan luka haiwan yang dijangkiti.

    Katanya virus ini juga boleh disebarkan melalui titisan sekresi pernafasan dan  juga boleh menular melalui kontak langsung dengan cecair daripada ruam makulopapular di badan orang yang dijangkiti atau dengan objek yang tercemar virus, seperti tempat tidur atau pakaian. – Bernama

  • Tiada kesan kehadiran harimau di Kemensah Height – Perhilitan

    Tiada kesan kehadiran harimau di Kemensah Height – Perhilitan

    Siasatan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mendapati tiada sebarang tanda atau kesan kehadiran harimau di kawasan Kemensah Height, Hulu Kelang, eperti yang tular di media sosial sejak semalam.

    Memetik laporan Astro Awani, Perhilitan Selangor menjelaskan sembilan kakitangan daripada Ibu Pejabat Perhilitan, Perhilitan Wilayah Persekutuan dan Selangor ke lokasi kejadian selepas menerima aduan penemuan seekor harimau berkeliaran di Jalan Tropika Kemensah 3, kira-kira pukul 3 petang semalam.

    “Sebaik laporan diterima kita menjalankan pemantauan susulan di kawasan aduan antara pukul 11.30 malam dan 3 pagi tadi.


    “Tiada kesan jejak Harimau Belang dijumpai di lokasi itu dan laluan rentis di sekitarnya kawasan aduan, malah pengawal keselamatan yang didakwa melihat haiwan berkenaan juga tidak dapat mengesahkan kesahihan kehadiran hidupan liar itu,” katanya dalam kenyataan yang dikongsi menerusi Instagram, hari ini.

  • Ajaran syiah melalui aplikasi digital al-Quran akan ditangani sewajarnya – Hamzah

    Ajaran syiah melalui aplikasi digital al-Quran akan ditangani sewajarnya – Hamzah

    PIHAK berkuasa termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mengambil tindakan sewajarnya bagi menangani penularan pengaruh ajaran Syiah dan mu’tazilah yang dikesan dalam aplikasi digital Al-Quran, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

    “Isu Syiah ini jelas di negara kita. Tidak perlu dibangkitkan dan dihangatkan masalah ini. Yang penting apabila keputusan telah dibuat Jemaah Mufti, kita kena terima.

    “Jakim atau sesiapa sahaja penguat kuasa, pasti mereka ambil tindakan,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri beliau bersama Perikatan Nasional Larut di Dewan Majlis Daerah Selama, hari ini.

    Jakim dilaporkan telah mengesan aplikasi digital al-Quran yang mengandungi penyelewengan atau tafsiran yang menyimpang antaranya merangkumi pengaruh mu’tazilah dan tafsiran berasaskan fahaman Syiah.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad dilapor berkata perkara itu hasil dapatan kajian yang dilaksanakan oleh Bahagian Penyelidikan Jakim pada tahun lepas mengenai penyelewengan pentafsiran dalam aplikasi digital.

    Jakim turut mendapati terdapat lebih 500 aplikasi Al-Quran dalam Google Play Store dan Apple Store di seluruh dunia.

    Dalam perkembangan lain, Hamzah berkata baki 60 dari 528 orang tahanan Depot Sementara Imigresen Relau, Kedah yang melarikan diri selepas berlaku rusuhan kecil pada 21 April lepas, masih lagi bebas dan difahamkan berada di sekitar Lembah Klang.

    “Apabila dapat jumpa, kita tangkap dan kumpulkan. Jumlahnya kadang-kadang dua tiga orang, kadang-kadang ramai, tetapi jumlah akan capai angka sebenar,” katanya.

    Dalam kejadian 4.30 pagi pada 21 April lepas, seramai 528 orang tahanan di Depot Sementara Imigresen Relau, Kedah melarikan diri selepas berlaku rusuhan kecil.–Bernama

  • Polis tahan pengawal keselamatan warga Bangladesh dakwa nampak harimau di Kemensah

    Polis tahan pengawal keselamatan warga Bangladesh dakwa nampak harimau di Kemensah

    SEORANG lelaki warga Bangladesh ditahan polis kerana disyaki menyebarkan berita palsu mendakwa terlihat kelibat harimau yang dikatakan terlepas dari Zoo Negara. 

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata lelaki berusia 51 tahun dan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah itu, ditahan di pondok pengawal di Jalan Tropika Kemensah 3, Kemensah Height, Kuala Lumpur sekitar 7 malam tadi.

    Beliau berkata suspek dipercayai bertanggungjawab menyebar maklumat melihat harimau berkenaan.

    “Polis telah menerima laporan daripada seorang pengadu yang menerima pesanan suara menerusi aplikasi WhatsApp mendakwa melihat kelibat harimau di kawasan kejiranannya dan meminta penduduk setempat berjaga-jaga.

    “Pengadu merasakan dakwaan itu tidak benar dan mendatangkan kegusaran kepada penduduk setempat kerana setakat ini tiada bukti jelas tentang kehadiran harimau terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohamad Farouk berkata lelaki itu kini disiasat di bawah Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia tanpa dokumen yang sah dan siasatan juga dibuka berhubung isu tular di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia. 

    Semalam, tular di media sosial dakwaan seekor harimau muncul dan berlegar di kawasan perumahan di Kemensah Height, Hulu Klang, namun Zoo Negara telah mengesahkan tiada harimau yang terlepas dari premisnya. –Bernama

  • SPRM selesai siasatan ke atas hakim Nazlan

    SPRM selesai siasatan ke atas hakim Nazlan

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyelesaikan siasatan ke atas hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali.

    Dalam satu kenyataan ringkas hari ini, ia berkata siasatan telah selesai pada Rabu lalu dan kini menunggu tindakan lanjut daripada Jabatan Peguam Negara.

    Memetik laporan MalaysiaKini, Nazlan ketika menjadi hakim Mahkamah Tinggi pada 2020, menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun kepada bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dan RM210 juta bagi kesalahan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

    Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan itu tahun lepas. Najib sedang merayu kes itu di Mahkamah Persekutuan.

    Dalam rayuan terakhir mereka, pasukan peguam Najib cuba memburukkan Nazlan dengan mendakwa hakim itu mempunyai konflik kepentingan dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Ini kerana Nazlan pernah menjadi peguam am Maybank, dan tempoh perkhidmatannya bertepatan dengan masa bank komersial itu mengeluarkan pinjaman kepada syarikat induk SRC, 1MDB.

    Najib berharap bukti baru itu dapat menjamin perbicaraan barunya.

    Penulis blog Raja Petra Kamaruddin juga menuduh Nazlan mempunyai ‘kekayaan yang tidak dapat dijelaskan’.

    Nazlan telah membuat laporan polis berhubung artikel itu.

    SPRM berkata ia telah melancarkan siasatan terhadap Nazlan sebagai satu prosedur selepas laporan dibuat terhadapnya.

  • Mansuh AP, Kerajaan Pusat perlu berbincang dengan nelayan, pekebun – Muhyiddin

    Mansuh AP, Kerajaan Pusat perlu berbincang dengan nelayan, pekebun – Muhyiddin

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    KEMENTERIAN Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) perlu memanggil persatuan nelayan, pekebun-pekebun sayur serta pengusaha berkaitan untuk berbincang kesan yang bakal dihadapi mereka ekoran keputusan kerajaan memansuhkan permit import (AP) makanan.

    Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau dapat membayangkan rata-rata golongan terbabit tidak bersetuju sepenuhnya dengan pelaksanaan dasar baharu tersebut.

    Jelas beliau, golongan terbabit mungkin berasakan pemansuhan AP yang akan menyaksikan pelaksanaan pasaran terbuka akan menyebabkan hasil pertanian mereka tidak akan terjual disebabkan lambakan makanan import.

    “Apabila sesuatu dasar itu berubah, kerajaan perlu memastikan pengusaha-pengusaha tempatan ini tidak rugi, jadi kita minta kerajaan berhati-hati dalam membuka pasaran terbuka ini,” katanya.

    Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Pulau Pinang di Juru Auto City hari ini.

    Pada Khamis lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan keputusan kerajaan memansuhkan keperluan lesen import (AP) terhadap bahan makanan, berkuat kuasa serta-merta sebagai langkah drastik menjamin keselamatan dan bekalan makanan di negara ini.

    Menurut Ismail Sabri, dengan pemansuhan keperluan permit itu bermakna sesiapa sahaja boleh mengimport makanan ke negara ini berbanding kemestian AP. 

    MAFI bagaimanapun memperincikan hanya empat jenis komoditi agromakanan tertentu iaitu kubis bulat, kelapa tua biji, ayam (keratan ayam dan ayam bulat) dan susu cair, tidak lagi dikenakan AP atau kelulusan kuota import dan kebenaran mengimport.

    AP untuk pengimportan beras pula masih lagi berkuat kuasa.

  • Anggota bomba tidak bertugas jadi ‘hero’ selamatkan wanita cuba terjun Jambatan Pulau Pinang

    Anggota bomba tidak bertugas jadi ‘hero’ selamatkan wanita cuba terjun Jambatan Pulau Pinang

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    SEORANG anggota Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia (PBPM) menjadi ‘hero’ apabila berjaya menyelamatkan seorang wanita yang cuba terjun dari Jambatan Pulau Pinang hari ini.

    Difahamkan, anggota bomba berkenaan yang ketika itu tidak bertugas kebetulan berada di lokasi kejadian iaitu di Kilometer (KM) 3.4, dari Perai menghala ke bahagian pulau.

    Dalam video kejadian itu yang tular di dalam media sosial petang ini, kelihatan anggota bomba terbabit meluru ke arah seorang wanita yang sedang berdiri di tebing Jambatan Pulau Pinang dipercayai untuk terjun.

    Anggota bomba itu kemudiannya berjaya menyelamatkan wanita berusia 43 tahun berkenaan sebelum beberapa individu lain dipercayai anggita keluarga atau kenalannya turut menyelamatkan wanita terbabit.

    Dalam pada itu, jurucakap PBPM Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian tersebut kira-kira pukul 3.35 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

    Jelasnya, sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian didapati wanita berkenaan telah pun diselamatkan.

    “Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak Polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 4.25 petang,” katanya.

    Difahamkan, ini merupakan kes keenam terjun dan cubaan terjun dari Jambatan Pulau Pinang sepanjang bulan ini sehingga hari ini.