Category: Semasa

  • Sheng Yi nama anak ketiga pasangan panda gergasi

    Sheng Yi nama anak ketiga pasangan panda gergasi

    SETELAH hampir setahun dilahirkan, anak ketiga kepada pasangan panda gergasi Xing Xing dan Liang Liang dari China akhirnya diberikan nama – Sheng Yi – yang bermaksud keamanan dan persahabatan.

    Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, panda betina yang dilahirkan pada 31 Mei tahun lepas dengan berat kira-kira 140 gram itu kini berada dalam keadaan sihat dan telah mencapai berat melebihi 27 kilogram.

    “Kerajaan Malaysia berharap Sheng Yi akan dapat mengerat dan mengukuhkan lagi persahabatan yang sedia terjalin antara Malaysia dan Republik Rakyat China,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas Majlis Penamaan Anak Giant Panda Ketiga itu.

    Majlis itu yang diadakan di Pusat Konservasi Giant Panda (PKGP), Zoo Negara turut dihadiri Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Ali Biju, Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing dan Presiden Malaysian Zoological Society (MZS) Datuk Zaharin Md Arif.

    Sheng Yi mula dipamerkan kepada umum sejak Disember 2021.

    Kelahiran kali ini merupakan kelahiran ketiga bagi pasangan panda itu selepas kelahiran Nuan Nuan pada 18 Ogos 2015 dan dihantar pulang pada 14 Nov 2017 serta Yi Yi pada 14 Jan 2018.

    Timbalan Presiden Zoo Negara, Rosly@Rahmat Amat Lana pada April berkata pihaknya masih menunggu lampu hijau daripada kerajaan berhubung penghantaran pulang Yi Yi.

    Pasangan panda gergasi yang menjadi simbol hubungan diplomatik 40 tahun antara Malaysia dan China itu tiba di negara ini pada 21 Mei 2014 dan berada di sini bagi tempoh 10 tahun menerusi Program Penjanjian Kerjasama Konservasi Antarabangsa Panda Gergasi.

    Bekas Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, dalam laporan pada 2 Dis 2020 berkata setiap anak Giant Panda perlu dihantar pulang ke China apabila usia mencecah 24 bulan dan tidak melebihi usia empat tahun. – BERNAMA

  • 14 pelajar, seorang guru maut dalam tembakan rambang di Texas

    14 pelajar, seorang guru maut dalam tembakan rambang di Texas

    KEJADIAN tembakan berulang lagi di Amerika Syarikat, kali ini melibatkan pelajar dan guru di sebuah sekolah rendah di Texas, semalam.

    Dalam ‘serangan’ itu, sekurang-kurangnya 14 pelajar dan seorang guru maut.

    Gabenor Greg Abbott memaklumkan, suspek yang dikenal pasti sebagai Salvador Ramos, 18, turut terkorban.

    Dua lagi mangsa, seorang pelajar berusia 10 tahun dan seorang wanita berusia 66 tahun cedera parah dan telah dihantar ke Hospital Universiti di San Antonio.

     Katanya, suspek yang membawa sebuah senapang patah dan sepucuk pistol, ditembak mati oleh anggota polis.

    “Suspek telah menembak mati 14 pelajar dan seorang guru.Suspek turut terkorban dalam I nsiden itu ditembak mati oleh anggota polis yang dikerah ke lokasi,” katanya.

    Ketika ini tiada maklumat lanjut dikeluarkan mengenai motif kejadian.

  • 6 pengarah, pemilik syarikat ditahan bantu siasatan kes kemuka dokumen  palsu

    6 pengarah, pemilik syarikat ditahan bantu siasatan kes kemuka dokumen palsu

    Oleh RIZQI ZABIDI

    ENAM pengarah dan pemilik syarikat berbeza ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes menggunakan penyata akaun bank syarikat mengandungi butiran palsu untuk mendapatkan tender dari sebuah syarikat pembersihan di utara tanah air.

    Sumber memaklumkan, kesemua yang ditahan itu merupakan lelaki berusia antara 38 hingga 49 tahun.

    Katanya, seorang daripada individu terlibat ditahan di Pejabat SPRM Kedah manakala lima yang lain ditangkap di Pejabat SPRM Kuala Lumpur.

    “Selain merakam percakapan individu ditahan, pihak SPRM turut merakam percakapan saksi-saksi terlibat serta mendapatkan dokumen yang relevan. Semua individu ditahan dilepaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM10,000 hingga RM15,000 berserta penjamin,” katanya.

    Difahamkan kes tersebut mempunyai kaitan dengan tender penswastaan kutipan sisa pepejal dan pengurusan pembersihan awam di wilayah utara.

    Kesemua kesalahan itu dipercayai dilakukan pada 2019.

    Sementara itu Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap ketika dihubungi Warta Rakyat mengesahkan penahanan keenam-enam individu berkenaan.

    Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana kes masih dalam siasatan.

    Menurutnya kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

  • ‘’Pendrive lama tu hang pi taroh tang mana’’ – Sanusi tanya siapa?

    ‘’Pendrive lama tu hang pi taroh tang mana’’ – Sanusi tanya siapa?

    CATATAN dalam Facebook oleh, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Noor menarik perhatian ramai apabila Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) itu melontarkan satu persoalan yang dilihat ada kaitan dengan pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

    “Satu lagi nak tanya… pendrive lama tu hang pi taroh tang mana?,” tulisnya sambil disertakan dengan emoji ketawa, lapor Berita Harian.

    Kenyataan itu dianggap kemungkinan ada kaitan dengan isu pada tahun 2016 apabila ketika itu Tunku Ismail mendakwa ada ketirisan berlaku dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan beliau menyatakan segala bukti ada dalam pendrive.

    Dalam kenyataan berkenaan Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah menjawab keputusan skuad Kenari melepaskan dua pemain senior mereka ke pasukan Sabah musim ini.

    Penjelasan itu juga dipercayai susulan kenyataan Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) menerusi InstaStory miliknya sebelum ini yang mempersoal sumbangan seseorang individu dalam pasukan Kedah hingga dua legenda mereka angkat kaki meninggalkan pasukan itu.

    Tanpa menafikan dua pemain itu bagus dari segi permainannya, Muhammad Sanusi menjelaskan gaji mereka berdua boleh digunakan untuk membayar lima pemain baru yang tidak kurang hebatnya.

    “Dalam keadaan pasukan yang baru saja berhempas pulas menyelesaikan hutang piutang lama berjumlah lebih 20 juta, faktor gaji pemain dan pembiayaan pasukan bola tentulah menjadi perhatian utama pada musim baru.

    “Kita tidak boleh berbelanja lebih daripada kemampuan kita, gara-gara ‘setting’ orang kaya di pasukan lain yang mengiurkan semua pemain, sehingga kerajaan terpaksa campurtangan memberikan kawasan balak dan kuari untuk membiayai bolasepak.

    “Negeri Kedah akhirnya berjaya mengimbangi keperluan membantu rakyat yang rata-rata masih miskin di samping membantu pasukan bola sepak yang membawa nama Kedah dikancah MFL dan Piala Malaysia,” kata Muhammad Sanusi.

    Selain itu, Muhammad Sanusi menegaskan bahawa Kedah bukan pasukan super kaya yang harus tunduk sahaja kepada gaya gaji elit ditetapkan pihak lain berkemampuan membeli pemain terbaik pasukan lain untuk dikurung dalam sangkar mereka.

    Beliau mendakwa gaji super elit itu menyebabkan banyak pasukan yang bersaing menghadapi masalah kewangan yang turut mengheret kerajaan negeri masing-masing dalam kancah kemelut gaji pemain bola sepak.

    Katanya, perkara itu boleh dilihat menerusi apa yang sedang terjadi dengan beberapa pasukan yang bergelut dengan isu kewangan.

    “Hal inilah yang meruntuhkan industri bolasepak tetapi disangkakan satu sumbangan besar. Alangkah peliknya. Sumbangan besar apa kepada siapa?

    “Sabah berkemampuan menawarkan pendapatan dan pengalaman yang lebih kepada mereka selain memilih berada dibawah kendalian jurulatih yang mereka gemari. Pertemuan jurulatih dengan pemain dan orang lain sebelum perpindahan itu berlaku pun orang Kedah tahu, tapi itu hak mutlak sebagai pemain dan jurulatih yang menjadi lumrah dalam dunia bolasepak.

    “Namun mendakwa mereka berdua itu berpindah kerana ‘benci atau marah’ dengan seorang orang Kedah tentulah sukar dibuktikan. Kami tahu apa yang terbaik untuk kami, ikut kemampuan kami. Kamu jaga pasukan kamu, kami jaga pasukan kami, kita berentap saja di padang dengan pengadil yang adil dan saksama. Jangan tambah masa sampai 20 minit pulak sudah laaa…,” tulisnya.

  • Miliki dadah : Warga Pakistan terlepas tali gantung, dihukum penjara 20 tahun

    Miliki dadah : Warga Pakistan terlepas tali gantung, dihukum penjara 20 tahun

    SEORANG warga Pakistan hari ini terlepas daripada hukuman gantung sampai mati selepas pertuduhan mengedar dadah ke atasnya digantikan dengan memiliki dadah.

    Sardar Ali Hassan Muhammad, 47, yang merupakan seorang buruh binaan sebaliknya dijatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan 10 kali sebatan kerana memiliki 1909.8 gram heroin dan “monoacetlymorphines”, lapan tahun lepas.

    Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan terdiri daripada Hakim Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Zabariah Mohd Yusof and Datuk Rhodzariah Bujang menukarkan sabitan kesalahan mengedar dadah kepada memiliki dadah selepas Timbalan Pendakwa Raya Baizura Kamal memaklumkan mahkamah bahawa pihak pendakwaan bersetuju menggantikan pertuduhan.

    Ong yang mempengerusikan panel hakim itu mengarahkan hukuman penjara 20 tahun Sardar Ali bermula dari tarikh dia ditahan pada 7 Ogos 2014.

    Menurut kertas pertuduhan , Sardar Ali melakukan kesalahan itu di kawasan tuntutan bagasi balai ketibaan antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, Selangor pada pukul 1.10 tengah hari 7 Ogos 2014.

    Pada 27 Okt 2017, Mahkamah Tinggi Shah Alam mensabitkan dan menjatuhkan hukuman mati ke atasnya kerana mengedar dadah.

    Sardar Ali gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan pada 11 Ogos, 2020.

    — BERNAMA

  • Ahmad Zahid nafi pecah amanah dana YAB, pindah RM17 juta kerana pegawai cuai

    Ahmad Zahid nafi pecah amanah dana YAB, pindah RM17 juta kerana pegawai cuai

    DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menafikan melakukan pecah amanah dana Yayasan Akalbudi (YAB) berjumlah RM 17,953,185.21, sebaliknya menyatakan wang itu dipindahkannya kepada sebuah firma guaman kerana bekas setiausaha eksekutifnya kerap melakukan kecuaian.

    Jumlah dana yayasan itu melibatkan pertuduhan keenam daripada 12 kesalahan pecah amanah, yang dihadapi bekas timbalan perdana menteri.

    Ahmad Zahid, 69, memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau melantik Tetuan Lewis & Co bagi mengendalikan wang yayasan miliknya itu, memandangkan Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly kerap melakukan kecuaian dalam menguruskan kewangan peribadinya dan YAB.

    “Yang Arif, sepertimana yang saya nyatakan di awal keterangan bahawa banyak kali kesilapan dilakukan oleh Mazlina, termasuk menulis amaun yang berbeza dengan perkataan pada cek serta tidak menghantar penyata bulanan kad kredit serta dokumen lain apabila diminta.

    “Pemindahan wang yayasan itu ke sebuah firma guaman bukan untuk pecah amanah, tetapi menggunakan firma itu bagi menguruskan akaun pelanggan yayasan berikutan firma tersebut mempunyai pegawai-pegawai yang berketerampilan atau berkemahiran untuk menjaga akaun tersebut,” katanya.

    Ahmad Zahid berkata demikian ketika disoal peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal pada hari keempat prosiding membela diri atas 47 pertuduhan membabitkan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram.

    Menurut Ahmad Zahid, beliau banyak kali memberi nasihat serta panduan kepada saksi pendakwaan ke-90 itu, memandangkan wanita itu tidak mempunyai latar belakang perakaunan.

    “Beliau (Mazlina) hanya meminta maaf tetapi mengulangi semula perbuatan itu. Apakah pilihan yang saya ada melainkan mencari jalan agar keseluruhan dana Yayasan Akalbudi dalam simpanan semasa bank (Affin Bank) dipindahkan kepada sebuah firma guaman yang mempunyai akauntan, pegawai akaun serta ‘book keeper’ yang menjaga akaun pelanggan,” katanya.

    Kepada soalan Ahmad Zaidi dalam banyak-banyak firma guaman, mengapa Ahmad Zahid memilih Lewis & Co untuk mengendalikan dana YAB, Ahmad Zahid berkata seorang pegawai di Kementerian Dalam Negeri telah memperkenalkannya dengan peguam di Lewis & Co.

    Mengenai pemindahan wang YAB kepada Lewis & Co, Ahmad Zahid berkata beliau sendiri telah memberi arahan kepada Affin Bank untuk membuat pindahan wang RM17,953,185.21 daripada bank itu kepada akaun pelanggan Lewis & Co dan wang tersebut masih milik YAB, bukan kepunyaan Yayasan Al Falah, firma guaman itu atau orang lain.

    Selain itu, Ahmad Zahid berkata beliau tidak pernah mengarahkan Mazlina menggunakan dana YAB berjumlah RM107,509.55 untuk membayar polisi insurans kenderaan dan lesen kenderaan.

    “Saya tidak tahu Mazlina akan menggunakan cek pratandatangan untuk membuat pembayaran polisi insurans kenderaan dan lesen kenderaan milik persendirian.

    “Cek-cek yang saya pratandatangan adalah untuk kegunaan segera sahaja, seperti pembayaran kepada kontraktor-kontraktor bagi pembinaan yang sedang dilaksanakan oleh yayasan pada ketika itu, atau pembayaran segera yang perlu dijelaskan apabila saya berada di luar negara,” katanya.

    Semasa di peringkat pendakwaan, mahkamah diberitahu bahawa Ahmad Zahid dan keluarga mengambil 39 polisi insurans kenderaan bagi 20 kenderaan milik keluarganya termasuk 18 kenderaan mewah miliknya, antaranya BMW X5, Mini Cooper S, Mercedes Benz CLS350, BMW 320i (A), Toyota Land Cruiser dan motosikal BMW R1200 GS.

    Ahmad Zahid berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya melibatkan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

    Pada 24 Jan lepas, mahkamah memerintahkan Ahmad Zahid membela diri terhadap kesemua pertuduhan selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

    Perbicaraan sedang berlangsung di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.–Bernama

  • Polis tunggu laporan bedah siasat kematian pelajar UUM

    Polis tunggu laporan bedah siasat kematian pelajar UUM

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KEMATIAN seorang pelajar perempuan Universiti Utara Malaysia (UUM), S. Vinosiny, 21, di asrama pusat pengajian tinggi itu di Sintok, Kedah pada Sabtu lalu setakat ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) sementara menanti laporan bedah siasat.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan, pihaknya ada menerima laporan mengenai kematian pelajar itu dengan siasatan awal mendapati, pelajar terbabit dipercayai tersebut diserang sawan.

    Begitu pun katanya, pihaknya masih hasil laporan bedah siasat serta laporan kimia lengkap berhubung kejadian itu.

    Sebelum ini tular di media sosial dakwaan menyatakan Vinosiny maut akibat terkena renjatan elektrik.

    Dalam pada itu UUM dalam satu kenyataan memaklumkan, Vinosiny merupakan pelajar semester empat Sarjana Muda Perakaunan (Sistem Maklumat) di universiti berkenaan.

    Menurut kenyataan tersebut, pihak universiti juga masih menanti laporan penuh bedah siasat dari Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.

    “Sebagai tanda keprihatinan, UUM akan membantu meringankan beban keluarga mendiang dengan menyalurkan banuan bersesuaian yang diperlukan keluarga tersebut.

    “Naib Canselor serta seluruh warga UUM merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang,” katanya.

  • Mohamed Haniff tidak pernah dilantik peguam Bersatu-Wan Saiful

    Mohamed Haniff tidak pernah dilantik peguam Bersatu-Wan Saiful

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang menolak permohonan penghakiman terus peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla terhadap parti itu, merupakan satu kelebihan kepada Bersatu.

    Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, ini memandangkan Mohamed Haniff tidak pernah dilantik sebagai peguam parti, bahkan tuntutan itu juga dianggap tidak munasabah.

    “Pagi ini saya mendapat berita baik. Hakim Mahkamah Tinggi Yang Arif Akhtar Tahir menolak permohonan peguam Haniff Khatri untuk satu penghakiman terus mengarahkan Bersatu membayar beliau RM12.5 juta, tetapi sebaliknya mengarahkan Haniff pula membayar kos kepada Bersatu.

    “Haniff Khatri tidak pernah dilantik sebagai peguam parti dan tuntutan bayaran yang begitu tinggi sebanyak RM12.5 juta adalah tidak munasabah.

    “Keputusan mahkamah pagi ini menyebelahi Bersatu,” katanya menerusi satu hantaran dalam Facebook miliknya, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Tahun lalu, media melaporkan Mohamed Haniff telah menfailkan saman terhadap Bersatu bagi menuntut yuran guaman yang tidak dibayar berjumlah RM12.5 juta.

    Tuntutan itu juga dibuat kepada anggota parti iaitu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Datuk Mohamed Salleh Bajuri yang memegang jawatan bendahari.

    Dalam tuntutannya, beliau berkata, wang yang dituntut adalah untuk khidmat guaman sebelum Bersatu ditubuhkan sehingga ia menarik diri dari gabungan Pakatan Harapan (PH) dan seterusnya menyertai Perikatan Nasional (PN).

    Sementara itu, Mohamed Haniff menerusi satu hantaran dalam Facebooknya turut memberitahu Permohonan Aturan 14 bagi tujuan perolehan penghakiman terus oleh firman guaman beliau telah dipanggil untuk bicara di hadapan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa.

    Katanya, Mahkamah telah membuat keputusan untuk menolak Permohonan Aturan 14 tersebut dengan kos sebanyak RM3,000 dibayar kepada Bersatu.

    “Selain itu, Mahkamah juga menetapkan tindakan sivil ini untuk bicara penuh dengan keperluan panggilan saksi dan penampilan dokumen yang perlu untuk tempoh awalan sebanyak lima hari mulai 18 Mac 2024 hingga 22 Mac 2024,” katanya.

  • Posmen mengaku tidak bersalah curi, jual barang kemas pelanggan

    Posmen mengaku tidak bersalah curi, jual barang kemas pelanggan

    SEORANG posmen yang bertugas di bahagian kaunter serahan sebuah syarikat penghantaran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Melaka hari ini atas pertuduhan mencuri dan menjual bungkusan berisi barang kemas milik pelanggan.

    Tertuduh, Mohamad Azizal Rebu, 42, membuat pengakuan tersebut selepas tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh, lapor Sinar Harian.

    Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mencuri seutas rantai leher emas yang mempunyai loket bertulis ‘Atieda’ dan satu loket emas kecil pada 10 Mac lalu kira-kira jam 8 hingga 10.30 pagi di Pusat Serahan Ayer Keroh, Taman Tasek Utama.

    Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

    Mohamad Azizal turut berdepan dua lagi pertuduhan mengikut Seksyen 414 kanun sama kerana menghapuskan harta curi berkenaan dengan cara menjual di sebuah premis pajak gadai di Jalan Munshi Abdullah.

    Perbuatan itu dilakukan menerusi dua transaksi berasingan pada 12 dan 21 Mac lalu dan jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

    Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri memohon jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan mengambil kira kesalahan dilakukan serius manakala tertuduh pula diwakili peguam, Amritpal Singh.

    Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM7,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 7 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

  • Amaran awal untuk PKR,  hanya 12% ahli keluar mengundi

    Amaran awal untuk PKR,  hanya 12% ahli keluar mengundi

    PEMILIHAN PKR kebangsaan menyaksikan sambutan suram dengan hanya 12.26% daripada 1.1 juta ahlinya keluar mengundi, dan sumber dalaman parti memberi amaran bahawa PKR mungkin menuju bencana pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Memetik laporan FMT yang melihat dokumen kiraan, hanya 137,127 daripada 1,118,423 ahli yang layak keluar mengundi secara fizikal atau secara dalam talian. Ini tidak termasuk lapan cabang yang perlu melalui pemilihan semula selepas terdapat gangguan dalam pemilihan pada hujung minggu.

    Jumlah itu menunjukkan undian dalam talian disambut baik dengan 70,200 daripada 76,932 yang mendaftar mengundi.

    Bagaimanapun, peratusan keluar mengundi secara fizikal sangat rendah dengan hanya 59,056 daripada 1.04 juta pengundi layak mengundi.

    Peratusan keluar mengundi tertinggi di cabang-cabang Selangor, di mana PKR menerajui kerajaan, bagaimanapun, purata bagi negeri itu adalah 13% daripada mereka yang layak mengundi.

    Yang tertinggi adalah di Shah Alam dan Sabak Bernam, di Selangor, di mana kira-kira 24% pengundi mengundi secara fizikal dan dalam talian. Yang terendah adalah di Saratok, Sarawak, di mana hanya 0.27%, atau 4,405 orang mengundi.

    “Ini adalah yang terendah keluar mengundi dalam sejarah pemilihan PKR. Pemimpin harus menganggapnya apa yang berlaku sebagai amaran kerana perkara membabitkan kepentingan dipandang enteng ahli sendiri. Tak perlu lah meneka apa tanggapan orang ramai,’’kata sumber.

    Katanya, sama ada pengundi sudah lesu atau tiada lagi keyakinan terhadap pemimpin utama, Datuk Seri Anwar Ibrahim, termasuk persengketaan kepimpinan, PKR perlu mengambil perkara ini sebagai petunjuk berhubung prestasi parti itu, pada PRU15.

    Seorang calon di Perak, berkata beberapa cara kempen membabitkan “beli undi” pada pemilihan parti menyebabkan banyak ahli tidak berminat turut serta, justeru menjadi persoalan mengenai integriti parti yang mahu melakukan pembaharuan di negara ini.

    “Akar umbi terjejas mengambil kira kurangnya jumlah keluar mengundi dan bimbang mungkin parti akan kalah teruk pada PRU15,” katanya.

    Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Dr Zaliha Mustafa, mengesahkan jumlah keluar mengundi rendah, sambil menyatakan ia mungkin dikaitkan dengan banyak jawatan tidak ditandingi di semua peringkat, membabitkan kesemua sayap.

    “Bagi perebutan jawatan tertinggi, ramai ahli tidak mengundi kerana menganggap persaingan berlaku secara kekeluargaan, terutama membabitkan jawatan timbalan presiden,” katanya.

    Sementara itu, Naib Presidennya, Tian Chua, menggambarkan jumlah keluar mengundi sebagai “agak baik”.

    “Kita hilang beberapa pemimpin utama di akar umbi yang mungkin menyumbang kepada jumlah keluar mengundi rendah di beberapa bahagian susulan kurangnya persaingan.” Katanya.

    “Saya fikir ada 20% atau lebih ketua bahagian juga menang tanpa bertanding. Selain itu, kita mengadakan pemilihan parti dengan notis singkat, dan juga ketika musim perayaan.”