PEMILIHAN PKR kebangsaan menyaksikan sambutan suram dengan hanya 12.26% daripada 1.1 juta ahlinya keluar mengundi, dan sumber dalaman parti memberi amaran bahawa PKR mungkin menuju bencana pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Memetik laporan FMT yang melihat dokumen kiraan, hanya 137,127 daripada 1,118,423 ahli yang layak keluar mengundi secara fizikal atau secara dalam talian. Ini tidak termasuk lapan cabang yang perlu melalui pemilihan semula selepas terdapat gangguan dalam pemilihan pada hujung minggu.
Jumlah itu menunjukkan undian dalam talian disambut baik dengan 70,200 daripada 76,932 yang mendaftar mengundi.
Bagaimanapun, peratusan keluar mengundi secara fizikal sangat rendah dengan hanya 59,056 daripada 1.04 juta pengundi layak mengundi.
Peratusan keluar mengundi tertinggi di cabang-cabang Selangor, di mana PKR menerajui kerajaan, bagaimanapun, purata bagi negeri itu adalah 13% daripada mereka yang layak mengundi.
Yang tertinggi adalah di Shah Alam dan Sabak Bernam, di Selangor, di mana kira-kira 24% pengundi mengundi secara fizikal dan dalam talian. Yang terendah adalah di Saratok, Sarawak, di mana hanya 0.27%, atau 4,405 orang mengundi.
“Ini adalah yang terendah keluar mengundi dalam sejarah pemilihan PKR. Pemimpin harus menganggapnya apa yang berlaku sebagai amaran kerana perkara membabitkan kepentingan dipandang enteng ahli sendiri. Tak perlu lah meneka apa tanggapan orang ramai,’’kata sumber.
Katanya, sama ada pengundi sudah lesu atau tiada lagi keyakinan terhadap pemimpin utama, Datuk Seri Anwar Ibrahim, termasuk persengketaan kepimpinan, PKR perlu mengambil perkara ini sebagai petunjuk berhubung prestasi parti itu, pada PRU15.
Seorang calon di Perak, berkata beberapa cara kempen membabitkan “beli undi” pada pemilihan parti menyebabkan banyak ahli tidak berminat turut serta, justeru menjadi persoalan mengenai integriti parti yang mahu melakukan pembaharuan di negara ini.
“Akar umbi terjejas mengambil kira kurangnya jumlah keluar mengundi dan bimbang mungkin parti akan kalah teruk pada PRU15,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Dr Zaliha Mustafa, mengesahkan jumlah keluar mengundi rendah, sambil menyatakan ia mungkin dikaitkan dengan banyak jawatan tidak ditandingi di semua peringkat, membabitkan kesemua sayap.
“Bagi perebutan jawatan tertinggi, ramai ahli tidak mengundi kerana menganggap persaingan berlaku secara kekeluargaan, terutama membabitkan jawatan timbalan presiden,” katanya.
Sementara itu, Naib Presidennya, Tian Chua, menggambarkan jumlah keluar mengundi sebagai “agak baik”.
“Kita hilang beberapa pemimpin utama di akar umbi yang mungkin menyumbang kepada jumlah keluar mengundi rendah di beberapa bahagian susulan kurangnya persaingan.” Katanya.
“Saya fikir ada 20% atau lebih ketua bahagian juga menang tanpa bertanding. Selain itu, kita mengadakan pemilihan parti dengan notis singkat, dan juga ketika musim perayaan.”