Category: Semasa

  • Tindakan Zuraida sudah dijangka, kata Bersatu…Pas kata tak jejas PN

    Tindakan Zuraida sudah dijangka, kata Bersatu…Pas kata tak jejas PN

    PARTI Bersatu menyifatkan tindakan  peletakan jawatan oleh Datuk Zuraida Kamaruddin sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi bukan suatu yang mengejutkan  sebaliknya ia sudah dijangka.

    Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata Ahli Parlimen Ampang itu yang mengumumkan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM)  sudah menunjukkan tindak-tanduk bertentangan dengan parti terlibat sejak kebelakangan ini.

    “Bersatu memang sudah membincangkan kedudukan Zuraida, selepas meneliti tindak-tanduk beliau yang terkini. Surat tunjuk sebab juga telah dikeluarkan hasil daripada pertimbangan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Wan Saiful berkata, Biro Politik Bersatu juga sudah mengambil ketetapan mengenai kedudukan Zuraida dalam parti itu.

    “Dalam keadaan seluruh negara sedang bercakap mengenai peri pentingnya kestabilan politik, nampaknya Zuraida bertindak berdasarkan pertimbangan sendiri saja,” katanya.

    Beliau menjelaskan,  Presiden Bersatu yang juga  Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, akan mencalonkan pemimpin Bersatu untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Zuraidah.

    DI KUALA TERENGGANU, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, tindakan Zuraidah tidak akan menjejaskan PN.

    Beliau parti itu yakin sokongan rakyat adalah kekuatan yang seterusnya menjadi penentu kepada kejayaan sesebuah parti.

    ‘’Setiap individu bebas membuat keputusan memandangkan Malaysia adalah sebuah negara demokrasi. (Ini) negara demokrasi, boleh ikut mana-mana parti (kerana kita) negara demokrasi.”(Peletakan jawatan itu) tak jejaskan PN (sebab) kita (bergantung kepada) sokongan rakyat, Pas bergantung pada rakyat (tetapi) pemimpin boleh pergi boleh datang,” katanya

    Menjawab satu soalan, Abdul Hadi berkata, partinya akan berusaha mempertahankan  gabungan parti politik dalam PN serta mengekalkan prinsip penyatuan ummah yang dimeterai menerusi piagam MN bersama UMNO.

    Katanya agenda perpaduan ummah merupakan agenda terbesar kekal dipertahankan.

    “Kita yakin akan menang (dalam PRU15) dengan mempertahankan PN dan masih kekal bersama MN,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Pas Terengganu.

  • Tuntutan palsu:Penyelia Rela dipenjara 14 hari, denda RM10,000

    Tuntutan palsu:Penyelia Rela dipenjara 14 hari, denda RM10,000

    MAHKAMAH Sesyen Seremban hari ini menjatuhkan hukuman penjara 14 hari dan denda RM10,000 terhadap seorang penyelia Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) atas pertuduhan membuat tuntutan penugasan palsu daripada jabatan berkenaan, tahun lalu.

    Hakim Rushan Lutfi Mohamed menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, S. Vijaiyan, 56, selepas dia membuat pengakuan bersalah, lapor Sinar Harian.

    Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara lima bulan jika gagal membayar denda terbabit.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai penyelia Rela Seremban telah mengemukakan Borang Tuntutan Elaun Penugasan Rela bagi penugasan di sebuah pusat kuarantin Covid-19 atas nama seorang wanita bagi bulan November 2021 berjumlah RM960, walhal wanita itu tidak hadir bertugas pada masa dan tarikh yang dicatatkan.

    Kesalahan itu dilakukan di Pejabat Rela Daerah Seremban pada Disember 2021.

    Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (2) akta yang sama.

    Selain itu, mahkamah melepas dan membebaskan tertuduh bagi enam pertuduhan lain di bawah Seksyen 171A Kanun Prosedur Jenayah, selepas mengambil kira pengakuan bersalah serta persetujuan pihak pendakwaan dan tertuduh untuk mengguna pakai TIC (Take Into Consideration).

    Sebelum itu, peguam R. Subash memohon hukuman paling minimum untuk anak guamnya yang perlu menanggung seorang isteri dan 12 anak.

    Katanya, pengakuan salah tertuduh juga dapat menjimatkan masa mahkamah dan sepanjang proses siasatan dilakukan, tertuduh memberikan kerjasama.

    “Tertuduh sudah berkhidmat dengan jabatan Rela selama 16 tahun dan mempunyai rekod yang cemerlang. Ini kesalahan pertamanya jadi pihak pembelaan merayu satu hukuman penjara paling minimum,” katanya.

    Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali.

  • Rakyat Malaysia hilang di Korea Selatan sudah ditemui

    Rakyat Malaysia hilang di Korea Selatan sudah ditemui

    RAKYAT Malaysia, Noorizlin Farahin Ayob, 24, yang dilaporkan hilang di Korea Selatan semalam sudah ditemui.

    Perkara itu dimaklumkan oleh seorang individu dikenali sebagai Ling Ling, yang sebelum ini berkongsi maklumat mengenai kehilangan Noorizlin.

    “Alhamdulillah, dah jumpa tapi minta maaf, saya hanya boleh beritahu Noorizlin sudah ditemui kerana kes kehilangannya rumit sedikit.

    “Saya tidak dapat nak cakap lebih banyak lagi, minta maaf ya,” katanya lapor Sinar Harian.

    Semalam, Sinar Harian melaporkan berkaitan kehilangan Noorizlin Farahin.

  • Zikir dan selawat sumber kekuatan warga emas ketika hilang seminggu dalam kebun

    Zikir dan selawat sumber kekuatan warga emas ketika hilang seminggu dalam kebun

    ZIKIR dan selawat menjadi sumber kekuatan buat seorang pesara kakitangan awam, Yaakub Ismail, 76, sepanjang seminggu dia dilaporkan hilang di kawasan kebun durian dan buah-buahan miliknya di Kampung Pasir Dusun di sini, sebelum ditemukan selamat pada Rabu.

    Yaakub yang hilang sejak 19 Mei itu ditemui oleh orang ramai yang turut serta dalam operasi dan menyelamat (SAR) pada pukul 6.45 petang selepas berada dalam sebuah pondok berhampiran kawasan kejadian, kira-kira empat kilometer dari kawasan kebunnya.

    Anak mangsa, Mohd Sufian Yaakub, 49, berkata, sepanjang tempoh tersebut ayahnya tidak putus-putus berzikir dan berselawat sepanjang perjalanan untuk mencari jalan keluar dari kawasan kebun tersebut.

    “Ayah juga makan pisang hutan, daun-daun kayu dan minum air daripada lopak-lopak anak sungai bagi meneruskan kelangsungan hidup sepanjang tersesat di dalam hutan.

    “Itu antara cerita yang dikongsikan oleh ayah kepada kami sebaik sahaja dia selamat ditemukan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

    Menurutnya, dia bersyukur ayah ditemukan dalam keadaan sedar walaupun badan agak lemah selepas mengharungi perjalanan panjang untuk mencari jalan keluar selepas tersesat.

    Katanya, mengikut cerita ayah, dia mahu melihat kawasan kebun sebelah yang baharu diusahakan namun terlajak jalan.

    “Ayah telah cuba laluan baharu dan kemudian tersesat di kawasan tersebut. Alhamdulillah, kesihatan ayah bertambah baik pada hari ini dan dia kini sedang berehat di rumah di Kampung Berangan, Tumpat.

    “Saya mengucapkan terima kasih kepada semua iaitu Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), pengamal perubatan tradisional dan penduduk kampung yang membantu mencari ayah,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jeli, Superintendan Ahmad Ariffin berkata, ketika ditemukan mangsa berada dalam keadaan sedar dan mampu bercakap serta tidak mengalami sebarang kecederaan.

    “Mangsa memberitahu sebelum hilang dia keluar dari kebunnya untuk melihat anak pokok getah.

    “Kemudiannya, dilaporkan mangsa hilang arah disebabkan tidak tahu jalan untuk kembali semula ke kebun,” katanya.

    Menurutnya, mangsa telah dihantar ke Hospital Jeli untuk mendapatkan rawatan sebelum diserahkan kepada pihak keluarga.

  • Tambang bas sekolah mungkin naik

    Tambang bas sekolah mungkin naik

    PERSATUAN Bas Sekolah Selangor Putrajaya dan Kuala Lumpur (PBSSPKL) berkemungkinan akan menaikkan tambang bas sekolah.

    Perkara itu dimaklumkan Pengerusi, Mohd. Haron Mohd. Sidik yang berkata, kenaikan itu akan dilakukan sama ada pada bulan depan atau Julai ini. 

    Beliau berkata, kenaikan itu adalah bagi menampung kos penyelenggaran dan alat ganti kenderaan telah naik mendadak antara 50 hingga 80 peratus.

    Bagaimanapun, katanya, jumlah kenaikan itu bergantung kepada perbincangan dan persetujuan antara pengusaha dengan pelanggan.

    “Bayaran tambahan juga akan dikenakan untuk penghantaran dan pengambilan pelajar dari kelas kokurikulum, kelas-kelas tambahan, latihan sukan, tuisyen dan sebagainya yang luar dari waktu rasmi balik dari sekolah.

    “Pengusaha terpaksa mengkaji dan menaikkan tambang kerana pihak kami sudah tiada pilihan lagi untuk menampung kos penyelenggaraan bas,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Satu Berita.

    Jelas beliau, PBSSPKL ada mengemukakan cadangan dan menghantar memorandum kepada kerajaan supaya menanggung separuh tambang bas sekolah dan selebihnya ditanggung oleh ibu bapa.

    Tambahnya, pihaknya turut memohon kerajaan memberikan subsidi minyak petrol dan diesel RM1 seliter kepada pengusaha-pengusaha bas sekolah seluruh Malaysia.

    “Sekiranya berlaku sebarang bencana dan sekolah ditutup, hanya kerajaan sahaja yang perlu membayar tambang bas sekolah untuk memastikan kelangsungan pengusaha bas sekolah,” katanya.

  • Penunggang motosikal mengaku tidak bersalah pukul warga emas

    Penunggang motosikal mengaku tidak bersalah pukul warga emas

    SEORANG penunggang motosikal dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini atas pertuduhan mencederakan warga emas, Ahad lalu.

    Tertuduh, Muhammad Zulkifli Che Su, 24, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman.

    Mengikut pertuduhan, dia didakwa sengaja menyebabkan kecederaan kepada Zainol Din Hussain di Padang Jawa, Shah Alam pada pukul 12 tengah hari, lapor Harian Metro.

    Ia adalah kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

    Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Erneetha Kaur mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu tidak mengganggu mangsa atau saksi berkaitan kes berkenaan.

    Tertuduh yang diwakili peguam Abi Mursyidin Awal memohon agar anak guamnya dikenakan ikat jamin pada kadar rendah kerana dia hanya bekerja sebagai mekanik serta perlu menanggung ibu bapanya di kampung.

    Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM2,000 dengan syarat tambahan tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa atau saksi berkaitan.

    Ahad lalu, seorang lelaki tempatan ditahan polis selepas memukul warga emas di tengah jalan raya berhampiran jejantas di Padang Jawa.

    Kejadian itu tular di media sosial.

    Mahkamah menetapkan 13 Julai depan untuk sebutan semula kes.

  • APM berkas dua lelaki cuba seludup barang kawalan ke negara jiran

    APM berkas dua lelaki cuba seludup barang kawalan ke negara jiran

    CUBAAN dua lelaki menyeludup keluar barang kawalan termasuk 27 tong gas cecair petroleum (LPG) tanpa permit di perairan Kuala Sungai Melayu, Tawau, semalam, berjaya dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

    Pihak maritim pada awalnya mengesan dua bot kargo mencurigakan bergerak secara bersama dari arah Sungai Tawau menuju ke Pulau Sebatik, iaitu pada kedudukan 1.9 batu nautika timur laut Kuala Sungai Melayu, pukul 5.15 petang.

    Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, curiga dengan pergerakan itu, aset APMM yang sedang dalam tugasan Ops Sejahtera kemudiannya menahan kedua-dua bot kargo terbabit untuk pemeriksaan.

    “Pemeriksaan awal ke atas bot kargo pertama yang dikendalikan juragan tempatan berusia 55 tahun menemukan lima tong gas LPG yang disembunyikan di sebalik timbunan kotak polisterin.

    “Pemeriksaan ke atas bot kargo kedua dengan seorang tekong warga tempatan berumur 49 tahun, menemukan muatan barangan runcit serta 22 tong gas LPG berisi yang disembunyikan di ruang tertutup di dalam bot kargo itu,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Shahrizan berkata, siasatan lanjut juga mendapati kedua-dua juragan terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen atau permit berkaitan pemilikan barangan kawalan yang dibawa.

    Katanya, kedua-kedua juragan ditahan bersama bot kargo serta barang rampasan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk siasatan lanjut.

    “Nilai keseluruhan barang rampasan termasuk dua bot kargo berserta enjin dianggarkan berjumlah RM80,000 dan kes masing-masing disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002,” katanya.

  • Tempoh perkhidmatan guru interim dilanjutkan-KPM

    Tempoh perkhidmatan guru interim dilanjutkan-KPM

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) memaklumkan tempoh perkhidmatan guru interim lantikan tahun 2019 di bawah KPM akan dilanjutkan untuk tempoh setahun lagi.

    KPM dalam satu kenyataan memberitahu, pelanjutan tempoh tersebut adalah bagi membolehkan urusan temu duga dan lantikan tetap bagi guru yang telah memenuhi syarat diselesaikan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).

    “Sementara itu, bagi guru interim lantikan sebelum tahun 2019, mereka juga hendaklah memastikan syarat lantikan Skim Perkhidmatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) dipenuhi bagi membolehkan perakuan dibuat oleh KPM sebelum dikemukakan kepada SPP untuk urusan temuduga dan lantikan tetap.

    “KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik,” menurut kenyataan seperti dilaporkan Sinar Harian, hari ini.

  • Peter Anthony dipenjara tiga tahun, denda RM50,000

    Peter Anthony dipenjara tiga tahun, denda RM50,000

    (KEMAS KINI) MAHKAMAH Sesyen di Kuala Lumpur hari ini menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 terhadap Datuk Peter Anthony selepas didapati bersalah memalsukan surat berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan Sistem Mekanikal dan Elektrik (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

    Hakim Azura Alwi juga memerintahkan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah itu menjalani hukuman penjara 15 bulan jika gagal membayar denda itu.

    Mengikut pertuduhan, Peter sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd, didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 iaitu memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan untuk tujuan menipu.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda. – Bernama

    Terdahulu, Hakim Azura Alwi berkata pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah. – Bernama

  • Wanita cedera parah ditikam anak berusia 14 tahun di Pasir Puteh

    Wanita cedera parah ditikam anak berusia 14 tahun di Pasir Puteh

    SEORANG wanita cedera parah selepas ditikam menggunakan sebilah pisau oleh anak lelakinya yang berusia 14 tahun di rumahnya dekat Bukit Yong, Pasir Puteh, kelmarin.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan Datuk Mohd Nor Yazhid Idris berkata kejadian dipercayai berlaku lebih kurang 11.45 malam ketika mangsa yang berusia 41 tahun sedang tidur bersama anaknya itu di dalam bilik, sebelum tiba-tiba terasa sakit pada bahagian dada.

    “Mangsa kemudian melihat sebilah pisau tertusuk pada dadanya lantas memanggil suaminya yang sedang tidur di ruang tamu.

    “Mangsa kemudiannya tidak sedarkan diri setelah bertindak mengeluarkan pisau tersebut sendiri sebelum dibawa ke Hospital Tengku Anis (HTA) Pasir Puteh oleh suaminya,” katanya dalam kenyataan.

    Mohd Nor berkata wanita itu kehilangan banyak darah dan sedang menerima rawatan di zon merah Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) serta doktor mengesahkan paru-paru bahagian kirinya bocor.

    “Siasatan awal polis mendapati mangsa telah ditikam oleh suspek yang juga anak ketiga dengan menggunakan sebilah pisau yang diambil daripada dapur,” katanya dan menambah ketika kejadian remaja itu demam sejak dua hari dan memerlukan pemantauan daripada mangsa.

    Beliau berkata suspek telah ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

    — BERNAMA