CUBAAN dua lelaki menyeludup keluar barang kawalan termasuk 27 tong gas cecair petroleum (LPG) tanpa permit di perairan Kuala Sungai Melayu, Tawau, semalam, berjaya dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Pihak maritim pada awalnya mengesan dua bot kargo mencurigakan bergerak secara bersama dari arah Sungai Tawau menuju ke Pulau Sebatik, iaitu pada kedudukan 1.9 batu nautika timur laut Kuala Sungai Melayu, pukul 5.15 petang.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, curiga dengan pergerakan itu, aset APMM yang sedang dalam tugasan Ops Sejahtera kemudiannya menahan kedua-dua bot kargo terbabit untuk pemeriksaan.

“Pemeriksaan awal ke atas bot kargo pertama yang dikendalikan juragan tempatan berusia 55 tahun menemukan lima tong gas LPG yang disembunyikan di sebalik timbunan kotak polisterin.

“Pemeriksaan ke atas bot kargo kedua dengan seorang tekong warga tempatan berumur 49 tahun, menemukan muatan barangan runcit serta 22 tong gas LPG berisi yang disembunyikan di ruang tertutup di dalam bot kargo itu,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

Shahrizan berkata, siasatan lanjut juga mendapati kedua-dua juragan terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen atau permit berkaitan pemilikan barangan kawalan yang dibawa.

Katanya, kedua-kedua juragan ditahan bersama bot kargo serta barang rampasan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk siasatan lanjut.

“Nilai keseluruhan barang rampasan termasuk dua bot kargo berserta enjin dianggarkan berjumlah RM80,000 dan kes masing-masing disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here