Category: Semasa

  • [VIDEO] JHEAIK siasat dakwaan amalan khurafat Gunung Jerai

    [VIDEO] JHEAIK siasat dakwaan amalan khurafat Gunung Jerai

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) menjalankan siasatan terhadap amalan yang dikatakan bersifat khurafat, dilakukan beberapa individu di Gunung Jerai seperti yang tersebar di media sosial, baru-baru ini.

    Pengarahnya, Datuk Mohd. Yusri Daud berkata, siasatan itu dijalankan setelah pihaknya menerima aduan daripada orang ramai berhubung penularan video berkenaan, yang berdurasi kira-kira seminit.

    Menurutnya, JHEAIK amat memandag berat dan menyiasat aduan tersebut mengikut Seksyen 4 dan Seksyen 7 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah Darul Aman 2014 atas kesalahan doktrin palsu dan menghina atau menyebabkan agama Islam dipandang hina.

    “Jika sabit kesalahan, Seksyen 4 enakmen tersebut memperuntukkan hukuman didenda tidak lebih RM5,000 atau dipenjarakan tidak lebih tiga tahun atau disebat tidak lebih enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.

    “Untuk kesalahan di bawah Seksyen 7 pula, mereka yang terlibat boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau dipenjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Tambahnya, pihaknya menerusi Bahagian Penyelidikan JHEAIK dalam masa sama akan terus mengadakan siri penerangan di seluruh negeri Kedah berkaitan bahaya amalan khurafat kepada masyarakat.

    “JHEAIK amat berharap golongan pendakwah dan asatizah di negeri ini menyampaikan ilmu berdasarkan fakta, berpandukan sumber dalil dari al-Quran dan sunnah.

    “JHEAIK juga amat berharap masyarakat seluruh Kedah sentiasa berwaspada dan berhati-hati dalam menerima sebarang dakwaan berkaitan agama Islam,” katanya.

    Sejak beberapa hari lepas, tular satu video dimuat naik di Tik Tok memaparkan tindakan individu tertentu yang naik ke Gunung Jerai.

    https://www.tiktok.com/@fikry_nuuri/video/7101946234402819354?is_copy_url=1&is_from_webapp=v1&q=gunung%20jerai&t=1653807793322
    Rakaman video yang tular dalam aplikasi TikTok berhubung kegiatan yang dilakukan pihak tertentu di Gunung Jerai.

    Pada video tersebut, terpapar tulisan menyatakan adab untuk naik ke satu lokasi bernama Padang Tok Sheikh, hendaklah bermandi dan berwuduk di Telaga Tok Sheikh terlebih dulu.

    Turut ditulis dalam video tersebut, adab mandi dimulakan dari bahagian bawah sebelah kanan dengan tindakan itu kemudiannya dipersoalkan beberapa individu di media sosial.

  • Usahawan perlu strategi menang lawan ketidaktentuan ekonomi

    Usahawan perlu strategi menang lawan ketidaktentuan ekonomi

    BISNES dan usahawan dinasihatkan untuk terus berhati-hati dengan mencari langkah proaktif di sebalik peningkatan kadar faedah pinjaman bank susulan kawalan terhadap inflasi.

    Mentor Usahawan, Datuk Wira Dr Azizan Osman berkata, peningkatan kadar faedah pinjaman tersebut dijangka memberi kesan terhadap kuasa membeli rakyat manakala usahawan berhadapan pelbagai kenaikan kos bahan mentah mahupun kos operasi.

    “Banyak bantuan diberikan kerajaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (SME) susulan pandemik Covid-19 dalam bentuk moratorium, insentif dan pinjaman. Namun inisiatif yang akan berakhir tidak lama lagi ini dijangka akan menaikkan kadar hutang tak berbayar (NPL).

    “Belum ada data rasmi dikeluarkan di negara ini, bagaimanapun kebanyakan negara asing sekarang mengunjurkan NPL di negara itu akan naik secara ketara.

    “Ini memberi kesan besar terhadap ekosistem ekonomi berikutan ketidakmampuan membayar pinjaman. Bisnes tidak lagi dapat membayar cukai dan banyak lagi kesan rantaian lain yang akhirnya merugikan negara,” kata Azizan dalam sidang akhbar di Setia Alam pada Sabtu.

    Turut hadir ialah Ketua Pegawai Perniagaan RichWorks, Radz Mohd. Terdahulu, Azizan yang merupakan pengasas RichWorks meraikan kira-kira 300 usahawan jutawan dan tetamu dalam Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri RichWorks 2022.

    Kata Azizan, usahawan perlu cepat mencari langkah strategik untuk menang berbanding pasaran semasa atau pesaing terdekat masing-masing.

    “Kadar pemulihan SME, saya percaya ramai tidak tahu bagaimana untuk mengurus keadaan ini, mereka perlu ada strategi penyelesaian.

    “Kami juga ingin menjemput mana-mana badan, agensi kerajaan atau kementerian untuk bersama-sama menggunakan platform RichWorks dalam membantu usahawan bangkit daripada kesan pandemik Covid-19,” katanya.

    Sementara itu, kata Radz, seramai 9,000 usahawan memohon untuk menyertai program Bangkit Bisnes Dari Krisis yang akan berlangsung pada 4 dan 5 Jun ini di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) di sini.

    “Kita masih lagi membuka pendaftaran bagi program ini di www.binabisnesberjaya.com. Kita juga sedang mempertimbangkan untuk memasang beberapa khemah besar serta layar skrin gergasi supaya mereka yang tidak dapat masuk ke pusat itu, dapat mengikuti program berkenaan,” kata Radz.

  • [VIDEO] 9 rumah sewa musnah dalam kebakaran

    [VIDEO] 9 rumah sewa musnah dalam kebakaran

    DERETAN sembilan premis rumah sewa satu tingkat musnah hampir 90 peratus dalam kebakaran di Kampung Jenderam Hilir, di Dengkil malam tadi.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pasukan bomba menerima panggilan kecemasan pada 9.52 malam dan anggota tiba di lokasi pada 10 malam dan kebakaran berjaya dipadamkan sejam kemudian.

    “Anggaran kemusnahan keseluruhan adalah 90 peratus dan tidak melibatkan mangsa. Punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    https://www.tiktok.com/@rosenieja90/video/7102798888322485531?is_copy_url=1&is_from_webapp=v1&q=rumah%20sewa%20jenderam%20hilir&t=1653797169712

    Difahamkan, seramai 25 individu tinggal di rumah sewa berkenaan iaitu 20 dewasa dan lima kanak-kanak termasuk warganegara Indonesia dan Pakistan. – BERNAMA

  • Agong zahir ucapan selamat Hari Wartawan Nasional

    Agong zahir ucapan selamat Hari Wartawan Nasional

    YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2022 kepada seluruh wartawan dan pengamal media serta mereka yang telah bersara.

    Menerusi catatan di Facebook rasmi Istana Negara, Al-Sultan Abdullah menzahirkan penghargaan terhadap komitmen dan dedikasi yang diberikan oleh wartawan serta pengamal media dalam menjalankan tugas.

    Ini termasuk menyampaikan maklumat dan melaporkan berita yang tepat, terkini sama ada menerusi televisyen, surat khabar, radio mahupun portal-portal dalam talian.

    “Seri Paduka turut menzahirkan penghargaan kepada wartawan dan pengamal media atas pengorbanan masa, tenaga, buah fikiran dan keselamatan diri tanpa mengira cuaca dan situasi dalam menjalankan tugas mendapatkan maklumat,” menurut catatan itu hari ini.

    Dengan ledakan maklumat di Internet dan media sosial, Seri Paduka menasihati wartawan dan pengamal media supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan menjaga etika kewartawanan serta memastikan integriti dan akauntabiliti dalam setiap pelaporan berita yang disiarkan.

    “Meskipun kerajaan menghormati prinsip kebebasan media, semua pihak, khususnya wartawan dan pengamal media mestilah mempunyai kebertanggungjawaban dalam pemberitaan dan laporan yang disiarkan,” menurut catatan itu.

    Menyifatkan sebagai wira yang tidak didendang, Seri Paduka bertitah, peranan wartawan dan pengamal media juga amat penting dalam pembangunan negara dan memupuk perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama.

    “Seri Paduka mendoakan semoga wartawan dan pengamal media sentiasa dilimpahi kejayaan berterusan dan dilindungi daripada sebarang bentuk musibah dalam menjalankan tugas,” menurut catatan itu.

    Sambutan kemuncak HAWANA 2022 akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di sini petang ini.

    Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional sempena penerbitan pertama akhbar di Malaysia iaitu Utusan Melayu pada 29 Mei 1939, yang menjadi platform pertama media di Malaysia.

    Kali pertama HAWANA diadakan adalah pada 11 April 2018 di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade Kuala Lumpur. Sambutan julung kali bertemakan ‘Membela Bangsa, Membina Negara’ itu dihadiri kira-kira 1,000 pengamal media dari seluruh negara.

    Pada 30 Nov 2021, kerajaan bersetuju mengekalkan tarikh 29 Mei setiap tahun sebagai Hari Wartawan Nasional. – BERNAMA

  • Rugi RM4 juta ditipu ‘Datin Ida’ sertai pelaburan Hari Raya

    Rugi RM4 juta ditipu ‘Datin Ida’ sertai pelaburan Hari Raya

    SEORANG peniaga mendakwa ditipu individu dikenali sebagai “Datin Ida” untuk menyertai skim pelaburan Hari Raya secara dalam talian melibatkan kerugian terkumpul kira-kira RM4 juta.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Terengganu, Supt M Zambri Mahmud, berkata wanita berusia 31 tahun itu membuat laporan polis pada 6 Mei lalu, apabila pulangan dijanjikan selepas pelaburan dibuat tidak diterima dalam tempoh dijanjikan.

    Beliau berkata, mangsa dijanjikan keuntungan sebanyak RM55,000 bagi RM30,000 yang dilaburkan dalam masa tiga hari.

    “Pengadu telah melabur sebanyak RM100,000 seminggu sebelum raya (tarikh tidak dinyatakan) dan pada masa sama pengadu telah mengiklankan pelaburan tersebut ke dalam kumpulan WhatsApp.

    “Ramai yang berminat untuk menyertai pelaburan itu dan sebanyak 296 individu telah menyertai skim pelaburan tersebut melibatkan nilai pelaburan oleh rangkaian bawahan pengadu sebanyak lebih kurang RM4 juta,” katanya dalam kenyataan malam ini.

    Zambri berkata, mangsa menyerahkan semua kutipan wang kepada pihak urusan pelaburan melalui akaun diarahkan “Datin Ida”.

    “Semua transaksi kemasukan wang oleh pengadu ada dalam simpanan pengadu. Hasil keuntungan pelaburan itu, pengadu turut diberi bonus daripada Datin Ida sebanyak RM190,000 atas kutipan yang besar dalam tempoh singkat,” katanya.

    Namun, menurut Zambri sehingga hari ini mangsa masih tidak mendapat apa-apa pulangan daripada wang yang telah dilaburkan dan merasakan dirinya ditipu.

    Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan menasihati orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan menjanjikan pulangan tidak masuk akal dalam tempoh singkat.

  • Sanusi bawa suara rakyat, tak perlu cetus isu untuk popular

    Sanusi bawa suara rakyat, tak perlu cetus isu untuk popular

    ANALISIS

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    ‘PERGESERAN’ antara Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dan Tunku Mahkota Johor tidaklah membawa kepada unsur derhaka atau menentang istana kerana apa yang dikatakan Menteri Besar Kedah itu mungkin berdasarkan apa yang dilihatnya sedang berlaku.

    Memang benar jika melihat kepada ‘status quo’, memberi komen terhadap raja atau kerabat dikatakan tidak manis selari prinsip kedua Rukun Negara iaitu kepercayaan kepada raja dan negara.

    Namun, dalam hal Muhammad Sanusi dengan Tunku Ismail Sultan Ibrahim ini, ‘perang dingin’ antara mereka berkisar mengenai arena bola sepak negara yang diambil berat oleh kedua-dua mereka.

    Masing-masing ada pandangan dan cara tersendiri bagi mengendalikan pasukan mereka. Yang mana baik berkongsilah…yang mana tak baik anggap sahaja sekadar pandangan, tak perlu sampai wujud suasana tidak harmoni.

    Oleh itu, tiada salah bagi Menteri Besar Kedah itu menyuarakan perkara yang sebenar kerana beliau juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), sementara Tunku Ismail pula atas kapasiti pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT).

    Muhammad Sanusi pun sebenarnya tidak perlu mencipta isu atau nak komen semua benda atas dasar mencari populariti kerana beliau memang sentiasa ‘terkenal’ yang bukan sahaja sejak menjadi Menteri Besar Kedah tetapi sebelum itu lagi.

    Malah, jika menyorot komen-komen yang diberikan pengguna media sosial terutamanya peminat dan penyokong tegar bola sepak, rata-ratanya bersetuju dengan apa yang diperkatakan oleh Muhammad Sanusi cuma mereka bimbang untuk bersuara.

    Jika hanya sebagai rakyat biasa atau penyokong biasa yang bersuara mengenai hal itu mungkin ia tidak akan membawa ke mana, tetapi dengan adanya pemimpin seperti Muhammad Sanusi yang juga seorang ‘kaki bola’ impaknya lebih meluas.

    Sebenarnya, tidak hanya Kedah bukan pasukan super kaya seperti dikatakan Muhammad Sanusi yang harus tunduk kepada gaya gaji elit tetapi pasukan-pasukan lain juga bergelut dengan perkara itu.

    Bola sepak adalah sukan rakyat, walaupun prestasi pasukan negara masih terumbang-ambing tetapi sekurang-kurangnya permainan itu mampu menyatukan rakyat di luar padang. Tidak seharusnya berlaku ‘penindasan’ dalam permainan itu kerana setiap kelab ada cara tersendiri menguruskan pasukan mereka. Kedah ada cara Kedah, Selangor ada cara Selangor dan JDT juga ada cara JDT.

    Seperkara lagi perlu diingat, JDT juga melalui proses transformasi yang panjang sebelum kini terkenal di peringkat antarabangsa, dahulu kelab itu juga bukan pasukan yang sentiasa menghuni tangga teratas Liga Malaysia.

    Maka, sewajarnya kelab-kelab lain perlu turut diberi ruang, peluang dan masa untuk berjaya seperti JDT termasuk Kedah yang sentiasa menghasilkan pemain pelapis yang bermutu sehingga disambar pasukan lain.

    Pasukan-pasukan negeri lain juga mungkin boleh berjaya atau lebih berjaya daripada JDT sekiranya mereka mempunyai kemampuan kewangan yang sama kerana zaman kini pemain beraksi sepenuhnya secara profesional.

    Seperti kata Muhammad Sanusi juga, trend pembayaran gaji yang terlampau mahal tidak boleh diikuti semua pasukan kerana Kedah contohnya perlu mengimbangi antara kepentingan rakyat dengan pembangunan bola sepak.

  • Penolong pegawai tadbir MBSA maut ketika menyelam

    Penolong pegawai tadbir MBSA maut ketika menyelam

    SEORANG kakitangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) meninggal dunia ketika melakukan aktiviti menyelam bersama rakannya di perairan Tokong Timur, Pulau Tenggol, hari ini.

    Kejadian yang menimpa Puspasari Aminuddin, 37, disedari apabila mangsa ditemui tidak bernafas ketika timbul dari penyelaman.

    Pemandu bot kumpulan itu, Mohamad Sani berkata, mangsa timbul selepas 15 minit di dalam air sedangkan masa diperuntukkan adalah 45 minit.

    Beliau pelik apabila melihat mangsa timbul selepas hanya 15 minit menyelam tetapi tidak berbuat apa-apa kerana fikirkan wanita berkenaan mahu berehat atau mengambil nafas.

    “Apabila melihat mangsa tidak bergerak, saya mula curiga sebelum menghidupkan enjin bot dan pergi mendapatkan mangsa dalam jarak kira-kira 150 meter.

    “Mangsa tidak menunjukkan tindas balas selepas saya mengejutkan beberapa kali sebelum saya menaikkan dia ke atas bot dan memeriksa nadi,” katanya memetika laporan Berita Harian.

    Mohammad berkata, selepas membuat pemeriksaan nadi, mangsa didapati meninggal dunia sebelum segera menghubungi talian kecemasan.

    Mangsa yang juga penolong pegawai tadbir MBSA bersama tiga rakan melakukan aktiviti penyelaman di situ.

    Ketika itu ada lapan penyelam lain juga menyelam di situ.

    “Kami bertolak dari Kuala Dungun pukul 8.30 pagi dan tiba di situ, pukul 9.45 pagi sebelum mangsa serta penyelam lain turun menyelam.

    “Saya dan pembantu saya di atas bot dan 15 minit selepas itu, saya pelik bila melihat mangsa timbul di permukaan air dalam sedangkan masa menyelam diperuntukkan kepada mereka sekitar 45 minit,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah, ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung dengan kejadian itu.

    Menurutnya, mangsa bersama tiga rakannya tiba di Dungun malam tadi sebelum bertolak ke kawasan Pulau Tenggol pukul 8.30 pagi ini untuk menyelam di situ.

    “Mangsa dikatakan memiliki sijil menyelam dan menyertai trip harian itu dan dijangka pulang semula ke Dungun pada petang ini.

    “Mayat mangsa dibawa oleh pemandu bot ke Kuala Dungun sebelum dibawa polis ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut,” katanya.

  • Ahmad Maslan jangan mengadu domba, rasa besar sangat – Hamzah

    Ahmad Maslan jangan mengadu domba, rasa besar sangat – Hamzah

    SETIAUSAHA Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin membidas kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang menyifatkan Bersatu lemah apabila Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin keluar Bersatu, kelmarin.

    Hamzah berkata, keputusan individu yang keluar tidak ada kena mengena dengan parti dan Bersatu masih merupakan parti yang kuat serta mempunyai wakil dalam barisan Kabinet.

    “Jangan cuba nak mengadu domba kerana Yang Amat Berhormat menjadi Perdana Menteri. Itu kedudukan jumlah yang ada dengan beliau, hanya sedikit saja.

    “Yang lain-lain itu daripada parti-parti lain. Saya nak mengingatkan kepada Ahmad Maslan, jangan rasa besar sangat,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas di Stadium Indera Mulia Ipoh, hari ini, lapor Astro Awani.

    Semalam, Ahmad Maslan dilaporkan menyifatkan tindakan Zuraida meninggalkan Bersatu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM), menunjukkan parti di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu semakin lemah.

    Selain itu beliau berkata Rang Undang-undang Antilompat Parti perlu dibentangkan di Parlimen pada Julai ini biarpun tiada Sidang Dewan Khas.

    Kelmarin, Zuraida mengumumkan meletak jawatan sebagai Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi selepas melompat parti daripada Bersatu ke PBM.

  • Cacar monyet: Pintu sempadan negara tidak ditutup-KPM

    Cacar monyet: Pintu sempadan negara tidak ditutup-KPM

    KERAJAAN tidak bercadang menutup semula pintu sempadan meskipun berlaku penularan virus cacar monyet di beberapa negara, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali.

    Sebaliknya beliau berkata, Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan (KKM) hanya akan meningkatkan tahap pengawasan di semua pintu masuk antarabangsa terutama di Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang.

    “Setakat ini tidak (ditutup). Saya tahu cacar monyet sudah mula merebak. Setakat ini tidak ada di Malaysia. Kita memperketatkan kawalan pintu masuk kita tetapi belum tutup, kita tidak tutup.

    “Kita akan melakukan saringan lebih ketat kepada pengembara dari negara endemik yang dikesan mempunyai kes virus cacar monyet.

    “Antaranya ujar beliau, ialah dari Kanada, Sepanyol, Portugal, Sweden, Perancis, Itali, Amerika Syarikat, Switzerland dan Austria.
    KKM mempunyai kepakaran dalam mengesan virus berkenaan,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Persidangan Kajian Kematian Perioperatif (POMR) Kebangsaan kali ke-7 di sebuah hotel di Ayer Keroh, hari ini, lapor Astro Awani.

    Dr. Noor Azmi mengulas mengenai satu kes virus cacar monyet di kesan di Singapura yang disyaki dibawa masuk seorang warganegara Nigeria di republik itu.

    Pihaknya juga bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia, Jabatan Veterinar serta Jabatan
    Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), bagi mengesan penularan virus berkenaan.

  • Hamzah akan bertemu Menteri Dalam Negeri Thailand bincang isu keselamatan negara

    Hamzah akan bertemu Menteri Dalam Negeri Thailand bincang isu keselamatan negara

    MENTERI Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin akan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya di Thailand bagi membincangkan isu berhubung keselamatan sempadan kedua-dua negara dalam masa terdekat.

    Beliau berkata antara perkara yang akan difokuskan termasuk isu terrorisme berikutan kejadian letupan bom dan tembakan di Tak Bai, Thailand baru-baru ini.

    “Kita sedang membuat siasatan dan mengadakan kerjasama yang perlu antara Thailand dan Malaysia untuk mengatasi isu terrorisme ini yang merugikan mana-mana negara.

    “Jadi, saya akan bertemu dengan Menteri Dalam Negeri Thailand untuk membincangkan antaranya bagaimana untuk memastikan mereka yang kita senaraikan sebagai pengganas sama ada dari sana (Thailand) masuk ke sini (Malaysia) atau mereka yang telah disenaraikan dari Malaysia ke sana (Thailand),” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS yang dihadiri Presidennya Tan Sri Abdul Hadi Awang di Stadium Indera Mulia, Terengganu di hari ini.

    Hamzah berkata tiada sekatan perjalanan dikenakan di antara kedua-dua negara berikutan ia menjadi kebiasaan bagi rakyat Malaysia dan Thailand untuk melakukan pergerakan namun kawalan sempadan giat dipertingkatkan ketika ini.

    “Isu keselamatan ini paling mustahak untuk kita semua menjaga dan minta kalau boleh berhati-hati terutama kalau rakyat Malaysia yang mahu membuat lawatan atau apa sahaja urusan,” katanya.

    Kementerian Dalam Negeri sebelum ini mengesahkan tiada pembabitan rakyat Malaysia dalam kejadian letupan bom dan tembakan senjata api di Tak Bai, Rabu lepas.

    Sebelum ini, media memetik Bangkok Post melaporkan tiga anggota keselamatan cedera selepas sebuah balai polis marin di Tak Bai diserang dengan individu bersenjata api dan bom tangan dalam kejadian itu.

    Serangan bermula 9.35 malam (waktu tempatan), kira-kira enam penyerang membaling bom ke arah balai berkenaan dan melepaskan tembakan dengan raifal automatik. – Bernama