Category: Semasa

  • Enam GRO warga asing diberkas dalam serbuan

    Enam GRO warga asing diberkas dalam serbuan

    POLIS menahan enam pelayan pelanggan (GRO) warga asing selepas melakukan serbuan di sebuah pusat hiburan di Desa Sri Hartamas, Kuala Lumpur pukul 10.15 malam tadi.

    Operasi itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur semasa gadis GRO berkenaan leka melayan pelanggan.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, empat wanita warga Filipina dan dua wanita warga Indonesia itu berusia lingkungan 27 hingga 44 tahun.

    “Kita turut menahan seorang lelaki disyaki pengurus premis menggaji wanita terbabit dengan kadar RM100 hingga 130 sejam,” katanya dalam kenyataan, hari ini, memetik laporan Sinar Harian.

    Beliau berkata, siasatan awal mendapati wanita terbabit bekerja di premis itu sejak dua bulan lalu.

    “Kita turut memeriksa seramai 13 pelanggan dan tiga pekerja dalam operasi itu,” katanya.

    Habibi berkata, kes disiasat mengikut mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 6 (1) (c) akta sama.

    “Kes turut disiasat mengikut Seksyen 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen,” katanya.

  • Wanita dibunuh, dibakar, ditemukan di tepi sungai

    Wanita dibunuh, dibakar, ditemukan di tepi sungai

    MAYAT seorang wanita ditemukan dalam keadaan terbakar dan dipercayai mangsa bunuh di kawasan tepi sungai di Kampung Talang Hulu, dekat Simpang Lawin, Kuala Kangsar, petang semalam.

    Panggilan berhubung penemuan mayat itu diterima daripada orang awam pada pukul 3.05 petang.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, susulan itu anggota Unit Forensik serta Unit Anjing Pengesan (K9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak digerakkan ke lokasi.

    “Identiti sebenar mangsa bagaimanapun, belum dikenal pasti.

    “Hasil pemeriksaan awal di tempat kejadian mendapati, wanita dipercayai mati dibunuh dan dibakar di lokasi yang sama mangsa ditemukan.

    “Daripada penelitian awal berdasarkan fizikal, mangsa dipercayai wanita berbangsa India. Bagaimanapun, identiti sebenar mangsa masih belum dikenal pasti,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Katanya lagi, mayat dibawa ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat bagi mencari punca sebenar kematiannya dengan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    Beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian mahupun kehilangan ahli keluarga supaya tampil berhubung dengan mana-mana balai polis terdekat.

    “Maklumat juga boleh disampaikan dengan terus menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Asisten Superintendan Mohd. Subkey Alias di talian 013-9285436,” katanya.

  • Dua budak dikhuatiri lemas dihanyutkan arus deras

    Dua budak dikhuatiri lemas dihanyutkan arus deras

    KEGEMBIRAAN menjelang sambutan Hari Gawai di Sarawak esok bertukar hiba apabila dua kanak-kanak di Rumah Panjang Ekaw, Nanga Sungai Sawang di Kapit dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras, pukul 5.12 petang tadi.

    Mangsa merupakan seorang kanak-kanak perempuan, Chelsea Charity Darrie Ricky, 10, dan kanak-kanak lelaki, Damien Dashlley Sedan Donny, 9, yang sebelum itu mandi bersamas-ama keluarga mereka.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 5.42 petang tadi.

    “Panggilan kecemasan itu dibuat selepas kira-kira 30 minit kedua-dua mangsa hilang dibawa arus.

    “Mereka dikatakan tiba-tiba hanyut sebelum hilang dibawa arus deras,” katanya dalam kenyataan, malam ini, lapor Harian Metro.

    Menurutnya, enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit bergegas ke lokasi sebaik menerima laporan kejadian itu.

    “Komander operasi melaporkan pencarian awal dilakukan bersama dengan penduduk kampung. Bagaimanapun, keadaan cuaca gelap menyebabkan operasi terpaksa ditangguhkan pada 7.05 malam,” katanya.

  • Berkuasa bukan alasan kebal undang-undang, kata Tun M

    Berkuasa bukan alasan kebal undang-undang, kata Tun M

    TUN Dr. Mahathir Mohamad mengingatkan individu tertentu yang mempunyai pengaruh dan kuasa tidak bermaksud boleh melanggar undang-undang sesuka hati.

    Bekas Perdana Menteri itu berkata, ini kerana setiap negara, organisasi dan masyarakat memerlukan kepada peraturan dan undang-undang.

    “Ada individu-individu tertentu yang mempunyai kepentingan dan pengaruh kuasa melebihi undang-undang.

    “Namun begitu, bagi memastikan keadilan dan layanan yang adil untuk semua orang, individu yang berkuasa tidak akan diabaikan sama sekali.

    “Sebagai contoh, undang-undang melarang pembunuhan. Berada atas undang-undang tidak bermakna pembunuhan boleh dilakukan tanpa hukuman.

    “Terdapat banyak peraturan dan dasar yang tidak boleh dilanggar walaupun oleh mereka yang berada di atas undang-undang,” katanya dalam hantaran dalam Facebook rasminya, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Mengulas lanjut, beliau berkata, individu yang berkuasa perlu mengelak daripada melanggar peraturan dan undang-undang kerana ia boleh mendatangkan bahaya kepada masyarakat.

    “Malaysia masih lagi bernasib baik kerana keistimewaan itu tidak sering digunakan. Jika hak istimewa di salah guna sekalipun, rakyat Malaysia masih bertolak ansur dan pemaaf.

    “Sudah tentu, kita tidak tahu had toleransi sedemikian. Adalah lebih baik untuk mengelakkan dari penyalahgunaan kuasa.

    “Orang yang mempunyai keistimewaan itu mesti mengingati perkara ini,” ujar Ahli Parlimen Langkawi itu.

  • Peniaga didenda RM14,000 miliki, jual walkie talkie tidak diperakui

    Peniaga didenda RM14,000 miliki, jual walkie talkie tidak diperakui

    SEORANG penjual alat komunikasi hari ini didenda berjumlah RM14,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana menjual dan memiliki 16 unit walkie-talkie yang tidak diperakui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).

    Hakim M.M. Edwin Paramjothy menjatuhkan hukuman itu ke atas Lee Wan Ying, 35, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas wanita itu mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan dihadapinya.

    Bagi pertuduhan pertama, Lee didenda RM4,000 atau enam bulan penjara kerana menjual kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui sebagaimana dikehendaki oleh Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 iaitu dua unit walkie-talkie jenama Baofeng model BF-888S pada 11.33 pagi, 16 Jun 2020.

    Bagi pertuduhan kedua pula, dia didenda RM10,000 atau enam bulan penjara kerana memiliki 16 unit walkie-talkie jenama sama yang tidak diperakui di bawah peraturan sama pada 11.15 pagi, 4 Oktober 2021.

    Lee melakukan kedua-dua perbuatan itu di Plaza Low Yat, Off Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur dan didakwa mengikut Peraturan 16(1)(b) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.

    Sementara itu, dalam kes berasingan di mahkamah sama, sebuah syarikat dan pengarahnya masing-masing didenda RM12,000 dan RM5,000 atas dua pertuduhan memiliki dan menjual 28 unit kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui MCMC.

    Hakim M.M. Edwin Paramjothy menjatuhkan hukuman itu terhadap Syarikat Evpad TV Box (M) Sdn Bhd dan pengarahnya, Yap Kum Loong selaku OKS selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan tersebut dan memerintahkan OKS dipenjara enam bulan bagi setiap pertuduhan, sekiranya gagal membayar denda.

    Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Syarikat Evpad TV Box dan Yap didakwa memiliki dan menjual kelengkapan komunikasi iaitu 28 unit TV Box jenama Evpad pelbagai model yang tidak diperakui sebagaimana dikehendaki di bawah Peraturan 16(1)(b) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di premis syarikat Evpad TV Box di Wisma Menjalara, Bandar Menjalara, di sini, pada 9 September 2021 mengikut Peraturan 37 Peraturan-peraturan sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara yang boleh sampai enam bulan atau kedua-duanya.

    Terdahulu, peguam Jeffrey Wong yang mewakili OKS memohon hukuman berbentuk denda minimum atas alasan anak guamnya kini tidak bekerja selain syarikat yang dimilikinya sudah tidak beroperasi.

    “Anak guam saya masih dalam proses mencari pekerjaan untuk menyara keluarganya dan memohon maaf atas kesalahan yang dilakukan,” kata peguam itu.

    Pegawai Pendakwa MCMC bagi kedua-dua kes berkenaan Nazrul Nizam Mohd Zameri memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal yang konsisten dengan trend hukuman semasa.

  • Pemain bola sepak rogol remaja perempuan

    Pemain bola sepak rogol remaja perempuan

    SEORANG pemain bola sepak liga tanah air ditahan bagi membantu siasatan kes rogol remaja perempuan berusia 18 tahun.

    Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, lelaki berusia 28 tahun itu ditahan di Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB), Kota Bharu, malam kelmarin selepas pihaknya menerima laporan yang dibuat mangsa.

    “Dalam laporan dibuat, mangsa yang juga seorang jurujual kain dan tudung berada di rumahnya di sebuah kampung di Jalan PCB, keluar dari bilik untuk membuang sampah pada 12.30 tengah hari Ahad lalu.

    “Mangsa mendakwa didatangi suspek yang tiba-tiba menolaknya dari belakang sebelum mengheretnya ke katil dalam bilik tidur.

    “Dia (mangsa) cuba melawan dan menjerit namun ketika kejadian tiada ahli keluarga dan dia yang tidak berdaya akhirnya dirogol suspek,” katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini, lapor Harian Metro.

    Katanya, mangsa sudah dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dan hasil pemeriksaan mengesahkan terdapat satu kesan koyakan baharu.

    Muhamad Zaki berkata, hasil siasatan dan temubual dijalankan, mangsa mengenali suspek yang juga pelanggan tetap kedai makan milik emaknya.

    Katanya, mangsa juga mendakwa pernah menerima gambar dan mesej berbaur lucah melalui WhatsApp daripada suspek tahun lalu ketika masih bersekolah.

    “Suspek ditangkap pada hari sama di Kampung Kijang, Jalan PCB. Semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau.

    “Polis turut merampas baju dan seluar digunakan suspek semasa kejadian jenayah itu dilakukan. Suspek direman selama empat hari bermula semalam sehingga 2 Jun dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan (KK),” katanya.

  • Warga emas maut jatuh pangsapuri 14 tingkat

    Warga emas maut jatuh pangsapuri 14 tingkat

    SEORANG lelaki warga emas ditemui maut selepas terjatuh dari sebuah bangunan pangsapuri 14 tingkat di Banda Hilir, Melaka awal pagi tadi.

    Orang awam kemudian membuat laporan kepada pihak polis berhubung penemuan mayat lelaki berusia 67 tahun itu pada pukul 8.50 pagi.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, siasatan awal mendapati sebelum kejadian mangsa memandu sebuah kereta ke pangsapuri berkenaan.

    “Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Melaka untuk proses bedah siasat.

    “Setakat ini kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan siasatan punca kematian masih diteruskan,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Tambahnya, berdasarkan siasatan awal, mangsa yang sering sakit pernah memaklumkan kepada isterinya yang dia tidak mahu hidup lama.

  • Polis buru penagih dadah bakar rumah

    Polis buru penagih dadah bakar rumah

    SEORANG lelaki yang dipercayai penagih dadah diburu polis kerana disyaki membakar sebuah rumah di Kampung Keruak di Hulu Besut, di Jertih petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Besut, Supt Abdul Rozak Muhammad berkata, lelaki tempatan berusia 40an itu dipercayai sedang bersembunyi di dalam hutan di sekitar kampung tersebut selepas melakukan perbuatan khianat itu kira-kira pukul 4 petang.

    “Polis turut meminta orang awam yang mempunyai maklumat mengenai suspek supaya menghubungi mana-mana balai polis berhampiran dan kes ini sedang disiasat menurut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api.

    “Suspek dikatakan mahir dengan selok-belok di dalam hutan di situ menyebabkan usaha memberkasnya berdepan kesulitan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Dalam kejadian tersebut, rumah milik Nor Baidi Abdullah, 60, musnah sepenuhnya dipercayai dibakar oleh lelaki itu menggunakan minyak petrol.

    Menurut Nor Baidi, perbuatan suspek itu sempat dilihat oleh anak lelakinya berusia 16 tahun yang ketika itu berada di dalam bilik air sebelum terdengar suatu bunyi mencurigakan.

    “Anak saya terkejut kerana ketika mengintai melalui lubang bilik air, dia ternampak suspek sedang menjirus cecair dipercayai petrol ke dinding rumah sebelum suspek bertindak membaling kain yang dinyalakan api ke salah satu bilik tidur.

    “Kejadian kali ini merupakan perbuatan kali keenam suspek membakar rumah saya termasuk ada sekali suspek membakar kereta saya dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, namun kami sekeluarga sempat memadamkan api sebelum merebak pada lima cubaan sebelum ini,” katanya ketika ditemui Bernama hari ini.

    Nor Baidi berkata, beliau tidak mengetahui motif lelaki berkenaan bertindak sedemikian kerana beliau sekeluarga tidak pernah mengganggunya selama ini. – BERNAMA

  • Bekas ahli lembaga persatuan Cina didakwa hantar video lucah pada anak veteran MCA

    Bekas ahli lembaga persatuan Cina didakwa hantar video lucah pada anak veteran MCA

    BEKAS ahli lembaga Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), Yeo Kwi Seng didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menghina kehormatan seorang peguam wanita tahun lalu.

    Tertuduh tidak mengaku bersalah dan memohon dibicarakan selepas didakwa melakukan gangguan seksual terhadap Veronica Wong Pei Huan.

    Malaysiakini melaporkan, Wong, yang merupakan anak perempuan pemimpin veteran MCA, Wong Mook Leong membuat laporan polis terhadap Yeo pada 27 Jun tahun lepas.

    Pada awal bulan itu, Yeo, yang ketika itu merupakan ahli lembaga Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), dilaporkan enggan mengulas lanjut mengenai kes berkenaan dan menyerahkan perkara itu kepada peguam.

    Dia juga membuat laporan polis berhubung dakwaan cubaan seorang lelaki tidak dikenali memeras ugut dan meminta sebanyak RM10,000 daripadanya sebagai balasan untuk menarik balik dakwaan gangguan seksual.

    Tertuduh yang didakwa di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan mengaku tidak bersalah di hadapan hakim Majistret Wong Chai Sia.

    Ahli perniagaan berusia 68 tahun itu didakwa melakukan kesalahan itu dengan menghantar video lucah menerusi WhatsApp kepada mangsa.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di Suite 5.05-5.10, tingkat lima, Imbi Plaza, di Jalan Imbi, Dang Wangi, Kuala Lumpur, antara 23 Mei dan 16 Jun 2021.

    Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga lima tahun, denda, atau kedua-duanya.

    Pegawai pendakwa Nom Phot Prackdit kemudian memohon ikat jamin ditetapkan sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin.

    Peguambela tertuduh, Kitson Foong berkata mereka tiada bantahan mengenai jumlah ikat jamin berkenaan.

    Peguam itu berkata Yeo, yang merupakan bapa kepada dua anak, tidak mempunyai risiko akan melarikan diri kerana kesalahan itu boleh diikat jamin.

    “Dia (Yeo) adalah ahli masyarakat yang terkemuka, oleh itu tidak ada risiko (dia) melarikan diri,” kata Kitson sambil diperhatikan tertuduh dari kandang tertuduh.

    Majistret kemudian membenarkan ikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin iaitu kakak ipar Yeo.

    Mahkamah juga menetapkan 27 Julai ini untuk tarikh sebutan kes.

  • Tubuh warga emas berkecai digilis beberapa kenderaan

    Tubuh warga emas berkecai digilis beberapa kenderaan

    SEORANG lelaki warga emas maut selepas digilis beberapa kenderaan dalam nahas di Jalan Ipoh-Lumut berhampiran Menglembu di Ipoh pada pukul 6.15 pagi tadi.

    Mangsa, K. Muniandy, 69, yang mengalami kecederaan parah dengan sebahagian badannya berkecai disahkan maut di tempat kejadian.

    Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, laporan diterima daripada orang awam memaklumkan terdapat kemalangan maut membabitkan pejalan kaki.

    “Siasatan mendapati sebuah kereta Toyota Vios yang dipandu lelaki berusia 60 tahun dalam perjalanan pulang ke rumah.

    “Disebabkan keadaan jalan gelap dan jarak yang dekat, lelaki terbabit tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Menurutnya, mangsa dipercayai turut dilanggar oleh beberapa kenderaan yang tidak pasti.

    “Seorang wanita berusia 34 tahun yang memandu Proton Persona kemudiannya telah datang ke balai polis membuat laporan telah terlanggar objek dipercayai mangsa di tengah jalan.

    “Akibat kemalangan itu, anggota badan mangsa berkecai sebahagiannya. Anggota bomba turut membantu membersihkan jalan dan operasi tamat pada pukul 9 pagi,” katanya.

    Yahaya berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat.

    “Usaha mengesan waris sedang giat dilakukan dan orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diminta tampil bagi membantu siasatan.

    “Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.