Category: Semasa

  • PGA bongkar kegiatan seludup diesel bersubsidi di kawasan industri

    PGA bongkar kegiatan seludup diesel bersubsidi di kawasan industri

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PASUKAN Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam membongkar aktiviti penyeludupan diesel bersubsidi menerusi serbuan di sebuah premis di Kawasan Perindustrian Pasir Gudang, tengah malam tadi.

    Menerusi serbuan pukul jam 12.45 malam, dua lelaki tempatan masing-masing berusia 29 dan 31 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.

    Pegawai Permerintah Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam, Superintendan Mohd. Razali Melin berkata, penahanan itu dibuat selepas kedua-dua suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen bagi memiliki, menyimpan dan membawa barang kawalan.

    Siasatan awal katanya, mendapati sindiket ini telah beroperasi kira-kira dua bulan yang mana dua suspek ditahan dipercayai merupakan pemandu lori yang membawa diesel bersubsidi manakala seorang bertindak sebagai penjaga premis.

    “Hasil serbuan berjaya merampas 22,000 liter minyak diesel subsidi berserta empat kenderaan dan peralatan sindiket yang dianggarkan bernilai RM357,200.

    “Tangkapan dan rampasan berkenaan berjaya memutuskan satu rangkaian sindiket penyeludupan minyak diesel bersubsidi di sekitar Johor Bahru sejak kira-kira dua bulan lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mohd Razali berkata, kedua-dua suspek bersama barang rampasan kemudiannya diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

    Dalam pada itu, pihaknya memohon kerjasama orang awam untuk terus menyalurkan sebarang maklumat kepada bagi membantu mengekang lambakan barangan kontraban serta kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini.

  • Suspek rogol remaja bukan pemain Kelantan FC

    Suspek rogol remaja bukan pemain Kelantan FC

    KELANTAN FC hari ini mengesahkan bahawa tiada pemain pasukan itu ditahan bagi membantu siasatan kes rogol seorang remaja berusia 18 tahun, di Kota Bharu Ahad lepas.

    Pengurus Operasi TRW Kelantan FC, Qusmaini Noor Rosli berkata, perkara itu disahkan selepas siasatan dalaman oleh pihak pengurusan tertinggi pasukan berhubung isu tersebut.

    “Kami (Kelantan FC) mengesahkan bahawa tiada pemain Kelantan FC yang terlibat mahupun berkait rapat dengan isu tidak bermoral ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

    Sebelum ini, media melaporkan suspek seorang pemain bola sepak liga tempatan berusia 28 tahun ditahan di Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB) di sini, selepas mangsa yang berusia 18 tahun membuat laporan polis.

    Qusmaini berkata, Kelantan FC juga mengambil serius tohmahan yang dilemparkan oleh pengguna media sosial terhadap pasukan itu berikutan kes tersebut.

    “Kelantan FC telah mengenal pasti beberapa pemilik akaun yang menabur fitnah kepada pemain pasukan,” katanya. – Bernama

  • Dua budak hilang menjelang Hari Gawai ditemukan lemas pagi ini

    Dua budak hilang menjelang Hari Gawai ditemukan lemas pagi ini

    DUA kanak-kanak yang dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus deras ketika mandi di Sungai Semawang, Kapit, kelmarin, ditemukan lemas oleh orang awam pada pukul 7.15 pagi tadi.

    Mayat mangsa pertama, Damien Dashlley Sedan Donny yang merupakan kanak-kanak lelaki sembilan tahun ditemukan hanyut berdekatan Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Embuau.

    Sementara mayat mangsa kedua, Chelsea Charity Darrie Ricky, kanak-kanak perempuan 10 tahun pula ditemukan di kawasan Song.

    Dua kanak-kanak yang dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus deras ketika mandi di Sungai Semawang, Kapit, kelmarin, ditemukan lemas, hari ini.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 5.42 petang kelmarin.

    “Kejadian itu berlaku sehari menjelang perayaan Hari Gawai ketika dua kanak-kanak yang tinggal di Rumah Panjang Ekaw itu mandi di tepi sungai bersama beberapa ahli keluarga mereka.

    “Mereka dikatakan tiba-tiba hanyut dan hilang dibawa arus deras, kira-kira pukul 5 petang,” katanya memetik laporan Harian Metro.

  • Wanita maut, Mercedes-Benz rempuh lori baiki jalan

    Wanita maut, Mercedes-Benz rempuh lori baiki jalan

    SEORANG wanita maut selepas kereta dipandunya merempuh belakang sebuah lori di Kilometer 9.6 Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) menghala ke Puchong, Petaling Jaya, pukul 12.20 tengah malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu membabitkan sebuah Mercedes Benz dan sebuah lori.

    “Ketika kejadian, lori berkenaan berhenti di lorong kanan laluan terbabit untuk menjalankan kerja-kerja pembaikan jalan.

    “Kereta dipandu mangsa secara tiba-tiba datang dari arah belakang di lorong sama dan melanggar bahagian belakang lori terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Harian Metro.

    Katanya, pelanggaran itu mengakibatkan mangsa berusia 22 tahun disahkan maut di lokasi kejadian.

    Dalam kemalangan berasingan, seorang lelaki maut apabila motosikal dinaikinya melanggar bahagian belakang sebuah kereta di Kilometer 23.3 Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) menghala ke Plaza Tol Duta, Petaling Jaya, malam tadi.

    Mohamad Fakhrudin berkata, kedua-dua kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor R. Navalan di talian 014-2536820 bagi membantu siasatan,” katanya.

  • Bekas Puteri Qatar maut akibat terlebih ambil dadah

    Bekas Puteri Qatar maut akibat terlebih ambil dadah

    BEKAS Puteri Qatar ditemukan mati di rumahnya Ahad lalu disebabkan terlebih ambil dadah.

    Kasia Gallano, 45, merupakan bekas isteri kepada Abdelaziz bin Khalifa Al Thani, 73, bapa saudara kepada Emir Qatar.

    Mereka berkahwin pada 2004 dan mempunyai tiga anak perempuan.

    Selepas bercerai berlaku perebutan hak penjagaan anak-anak mereka selama 10 tahun. Gallano menuduh Abedlaziz telah membuat serangan seksual terhadap anak sulungnya, lapor Mirror. Bagaimanapun Abdelaziz menafikan tuduhan tersebut. Selepas

    Selepas Gallano dinafikan hak penjagaan anak-anaknya. Mereka tinggal bersama Abdulaziz di salah satu kawasan perumahan mewah di Montaigne, Paris.

    Beberapa minggu sebelum kematian, Gallanio dalam satu wawancara , dia tidak memiliki kebebasan dan terkena sumpahan wang.

    Dalam wawancara yang dikongsi melalui akaun Instagramnya, Gallanio mendedahhkan bagaimana perkahwinan semata-mata kerana wang telah disumpah.

  • Identiti wanita dibunuh, dibakar dikenal pasti

    Identiti wanita dibunuh, dibakar dikenal pasti

    MAYAT wanita tanpa identiti yang dipercayai dibunuh dan dibakar di tepi Sungai Kuala Kangsar di Kampung Talang pada Selasa telah dikenal pasti.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, mangsa berusia 21 tahun dapat diketahui identiti selepas susulan pengecaman dilakukan seorang lelaki yang mendakwa adik kepada wanita terbabit.

    “Lelaki berusia 19 tahun itu telah hadir ke Balai Polis Kuala Kangsar pada pukul 2.45 petang untuk membuat laporan mengenai kakaknya yang tidak pulang ke rumah mereka di Kampung Stesen sejak Selasa.

    “Berdasarkan laporan itu, lelaki terbabit memberitahu ada menghubungi kakaknya, namun panggilan yang dibuat tidak berjawab.

    “Lelaki itu mengecam mangsa sebagai kakaknya berdasarkan selipar yang digunakan selain subang hidung yang dipakai di sebelah kanan, penyepit rambut dan pengecaman wajah yang hampir sama,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Beliau berkata, polis akan menunggu laporan bedah siasat dijalankan pakar forensik di Hospital Kuala Kangsar bagi tujuan pengesahan.

    Katanya, ujian asid deoksiribonukleik (DNA) juga akan dilakukan dengan mengambil sampel darah bapa wanita terbabit bagi pengesahan tepat identiti.

    “Kita juga akan membuat pemadanan gigi si mati dengan rekod pergigian kerana dimaklumkan mangsa ada membuat pemeriksaan di klinik pergigian di Kuala Kangsar.

    “Buat masa sekarang, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif mangsa dibunuh dan dibakar di kawasan berkenaan,” katanya.

    Mayat dengan kesan luka di kepala itu dipercayai dibunuh dalam tempoh 24 jam sebelum dijumpai orang awam dalam keadaan terbakar di tepi sungai berkenaan sekitar pukul 3.05 petang Selasa.

  • Polis lepas 6 das tembakan kereta dipandu pengedar dadah melarikan diri

    Polis lepas 6 das tembakan kereta dipandu pengedar dadah melarikan diri

    POLIS melepaskan enam das tembakan ke arah tayar kereta dipandu seorang lelaki dipercayai pengedar dadah dalam kejadian di Ayer Tawar, Manjung, pukul 4 petagn tadi.

    Suspek, 61, yang memandu kereta bersama-sama isteri dan seorang anak lelakinya cuba melarikan diri, namun dikejar polis sejauh kira-kira 800 meter dari lokasi kejadian sebelum ditahan.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, lelaki itu ditahan bersama 33 paket syabu seberat 62.5 gram yang ditemukan dalam kereta berkenaan.

    “Kejadian berlaku ketika anggota polis dari Balai Ayer Tawar sedang melakukan rondaan cegah jenayah sebelum menahan kereta dinaiki suspek.

    “Bagaimanapun suspek bertindak agresif dengan melanggar hadapan kenderaan polis sebelum memecut laju keretanya melarikan diri. Polis terpaksa melepaskan enam das tembakan ke arah tayar kereta suspek.

    “Anggota mengejar kenderaan itu sejauh 800 meter sebelum berjaya menahannya. Turut ditahan isteri, 38, dan anak lelaki berusia dua tahun,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Mior Faridalathrash berkata, kejadian tidak membabitkan sebarang kecederaan.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

  • Baru sebulan bebas, bekas banduan ditahan bersama 48,000 pil yaba

    Baru sebulan bebas, bekas banduan ditahan bersama 48,000 pil yaba

    SEORANG lelaki yang baru dibebaskan selepas menjalani hukuman penjara lebih 14 tahun di Penjara Songkhla, Thailand ditahan bersama 48,000 biji pil yaba bernilai RM480,000 di Kampung Dangar, Pasir Mas, Kota Bharu, semalam.

    Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata suspek berusia 42 tahun ditahan di tepi jalan di hadapan sebuah sekolah pada 5.30 petang, dan semasa ditahan, polis merampas sebuah beg galas yang mengandungi 48,000 biji pil yaba bernilai RM480,000.

    “Suspek dalam kes ini merupakan seorang bekas banduan yang pernah dipenjarakan di Penjara Songkhla, Thailand selama 14 tahun tiga bulan dan baru dibebaskan pada 27 April lepas,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Beliau berkata susulan penahanan itu, polis seorang lagi lelaki yang disyaki tokan dadah berusia 35 tahun di Kampung Keroh Bayu Lalang, Pasir Mas.

    “Suspek didapati positif methamphetamine, dan polis turut menyita sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Honda Stream bernilai RM40,000,” katanya. – Bernama

  • Timbalan Pengarah Bomba Sabah bantu wanita bersalin dalam kereta

    Timbalan Pengarah Bomba Sabah bantu wanita bersalin dalam kereta

    SEORANG wanita berdepan detik cemas apabila terpaksa bersalin dalam kereta kerana tidak sempat ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS), Likas, Kota Kinabalu pada pukul 1.45 tengah hari akibat kesesakan jalan.

    Wanita berusia 39 tahun terbabit yang menaiki Perodua Viva dipandu suaminya terpaksa berhenti di tepi jalan kerana sudah tidak sakit sebelum melahirkan anak perempuan dalam kenderaan berkenaan.

    Kebetulan Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Farhan Sufyan Borhan yang melihat kereta tersebut di tepi jalan tersebut dalam keadaan mencurigkan menarik perhatiannya.

    Farhan kemudian berhenti untuk memeriksa kereta itu ketika dalam perjalanan menuju ke Ibu Pejabat JBPM Sabah yang terletak kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian.

    “Saya melihat kelibat seorang wanita terbaring dalam kenderaan dan gelagat lelaki berdepan kecemasan.

    “Sebaik menyedari kejadian sebenar, saya menghubungi pasukan bomba dan membantu menenangkan mangsa serta mengikat tali pusat bayi terbabit.

    “Pasukan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) yang hadir di lokasi terus memberi rawatan awal sebelum diserahkan kepada ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan selanjutnya,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Farhan berkata, mangsa dan bayi terbabit dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan kini ditempatkan di Hospital Likas untuk rawatan lanjut.

    Sementara itu, Farhan berkata, kes kecemasan seperti ini bukanlah yang pertama dihadapinya selaku pegawai bomba.

    Katanya, pernah juga ada kes di mana wanita terpaksa melahirkan anak di balai bomba akibat masalah kesesakan untuk ke hospital yang memaksa mangsa singgah ke balai bomba untuk meminta bantuan dihantar ke hospital berhampiran.

    “Ada juga kes di kawasan pedalaman yang mana wanita terpaksa melahirkan anak dalam helikopter bomba semasa dalam penerbangan ke hospital.

    “Menerusi pengalaman seperti ini, jabatan ini akan sentiasa menerapkan ilmu berkaitan kes kecemasan kepada pasukan bomba terutama kepada unit EMRS supaya lebih bersedia,” katanya.

  • Bekas pengawal keselamatan, penganggur terlepas hukuman gantung

    Bekas pengawal keselamatan, penganggur terlepas hukuman gantung

    MAHKAMAH Tinggi Muar hari ini menjatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun dan 10 tahun masing-masing terhadap bekas pengawal keselamatan dan penganggur atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang wanita empat tahun lalu.

    Mohammad Zahrynnazha Abdullah, 26, dan Mohamad Danish Izzuddin Ab Razak, 22, mengaku bersalah selepas pertuduhan pilihan dibacakan oleh jurubahasa dihadapan Hakim Mahkamah Tinggi Muar, Datuk Abu Bakar Katar.

    Mahkamah memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman berkenaan bermula daripada tarikh tangkap pada 20 Februari 2018, lapor Harian Metro.

    Mengikut kertas pertuduhan pilihan, Mohammad Zahrynnazha dan Mohamad Danish Izzuddin mencapai niat bersama menyebabkan kematian Tan Chi Ann, 47, di Jalan Sutera 1, Taman Sutera, Yong Peng, Batu Pahat, antara 12.35 pagi dan 1.21 pagi, 13 Februari 2018.

    Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

    Kedua-dua tertuduh itu sebelum ini menghadapi pertuduhan membunuh Chi Ann di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

    Mengikut fakta kes, tertuduh pertama Mohammad Zahrynnazha yang juga pembonceng dan tertuduh kedua Mohamad Danish Izzuddin merupakan penunggang merancang untuk meragut dan berlegar-legar di lokasi kejadian dengan menaiki motosikal.

    Apabila mangsa berada di lokasi kejadian, tertuduh kedua bertindak menendang motosikal yang dinaiki mangsa menyebabkan wanita berkenaan terjatuh, kemudian tertuduh pertama pergi ke arah mangsa sambil mengacukan pisau dan meminta duit daripadanya.

    Ketika mangsa enggan memberikan duit dan beg, berlaku pergelutan sehingga tertuduh pertama menikam mangsa menyebabkan mangsa rebah.

    Tertuduh kemudian mengambil beg tangan mangsa dan melarikan diri bersama-sama tertuduh kedua.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Azfar Mahmod, manakala peguam Mohd. Radzi Yatiman mewakili Mohammad Zahrynnazha dan peguam Rosli Kamaruddin mewakili Mohamad Danish Izzuddin.