Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

PASUKAN Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam membongkar aktiviti penyeludupan diesel bersubsidi menerusi serbuan di sebuah premis di Kawasan Perindustrian Pasir Gudang, tengah malam tadi.

Menerusi serbuan pukul jam 12.45 malam, dua lelaki tempatan masing-masing berusia 29 dan 31 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.

Pegawai Permerintah Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam, Superintendan Mohd. Razali Melin berkata, penahanan itu dibuat selepas kedua-dua suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen bagi memiliki, menyimpan dan membawa barang kawalan.

Siasatan awal katanya, mendapati sindiket ini telah beroperasi kira-kira dua bulan yang mana dua suspek ditahan dipercayai merupakan pemandu lori yang membawa diesel bersubsidi manakala seorang bertindak sebagai penjaga premis.

“Hasil serbuan berjaya merampas 22,000 liter minyak diesel subsidi berserta empat kenderaan dan peralatan sindiket yang dianggarkan bernilai RM357,200.

“Tangkapan dan rampasan berkenaan berjaya memutuskan satu rangkaian sindiket penyeludupan minyak diesel bersubsidi di sekitar Johor Bahru sejak kira-kira dua bulan lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Razali berkata, kedua-dua suspek bersama barang rampasan kemudiannya diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Dalam pada itu, pihaknya memohon kerjasama orang awam untuk terus menyalurkan sebarang maklumat kepada bagi membantu mengekang lambakan barangan kontraban serta kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here