BEKAS diplomat dan anaknya yang dikaitkan dengan pertuduhan memiliki ganja di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB)1952 akan disebut Mahkamah Majistret Raub, Pahang, esok.
Sebelum ini, Datuk Zainal Abidin Alias, 78, bersama anaknya, Mohamed Rizal Zainal Abidin, 53, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bentong atas tuduhan di bawah Seksyen 39B (1)(a) dan Seksyen 9(1)(b) ADB 1952 kerana mengedar dan menyimpan minyak ganja, lapor Sinar Harian.
Dalam sebutan kes tersebut pada 3 Jun lalu, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh.
Sementara itu, Mohamed Rizal turut dituduh dan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan THC (komponen aktif ganja).
Bekas diplomat itu ditahan ketika serbuan polis dilakukan di rumahnya pada 21 Mei lalu.
Hasil serbuan itu, polis menemui dan merampas 102 pokok disyaki pokok ganja yang ditanam sekeliling rumah di Kampung Sum Sum Hilir, Janda Baik, Bentong manakala anaknya ditahan dua hari kemudian di Shah Alam, Selangor.
AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berharap dapat menerima sekurang-kurangnya sebuah kapal peronda luar pesisir pantai (OPV) tahun ini bagi meningkatkan rondaan di kawasan perairan negara yang kian mencabar.
Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) Maritim, Laksamana Madya (M) Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, ketika ini agensinya memiliki 70 kapal dan 190 bot di seluruh negara, namun sebahagian besarnya sudah usang dan tidak dapat berfungsi dengan baik.
“Kita sepatutnya sudah terima tiga kapal OPV lama dulu tetapi disebabkan beberapa masalah tertentu, kita masih belum menerimanya.
“Dengan perkembangan terkini, Insya-Allah perkara itu sedang diatasi dan kita harapkan seperti yang dijanjikan pihak kementerian (Kementerian Dalam Negeri) kepada Maritim Malaysia untuk terima tahun ini sekurang-kurangnya satu kapal dahulu,” katanya selepas melancarkan Hari Kesedaran Keselamatan Maritim dan ‘World Ocean Week’ di Pantai Batu Burok, Kuala Terengganu, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Maritim Terengganu, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli.
Saiful Lizan berkata, selain kapal OPV pihaknya juga menjangkakan menerima enam bot pemintas laju (FIC) menjelang akhir tahun ini bagi meningkatkan pemantauan dan mengawal perairan terutama daripada pencerobohan nelayan asing.
Dalam pada itu katanya, sepanjang 16 tahun Maritim Malaysia, agensi tersebut telah berjaya mengendalikan 2,500 kes melibatkan pelbagai insiden.
“Sebanyak 805 kes yang dikoordinasikan melibatkan insiden kapal dan bot; koordinasi melibatkan manusia (944 kes), bantuan aset (525 kes); khidmat nasihat perubatan (19 kes) dan khidmat bantuan sokongan dan platform logistik kepada agensi lain (207 kes),” katanya. – Bernama
MENTERI Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin mengumumkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi calon 2021 akan diumumkan mulai 10 pagi pada 16 Jun ini.
Menurutnya, terdapat tiga kaedah untuk mendapatkan keputusan tersebut iaitu pertama, calon-calon sekolah boleh mendapatkan keputusan dengan hadir di sekolah masing-masing.
“Kedua, secara dalam talian melalui pautan yang akan diberikan dan ketiga, melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).
“Apa yang paling penting untuk anak-anak, perjalanan masih jauh, banyak peluang dan ruang di hadapan sana.
“Apa saja keputusan SPM nanti terimalah dengan hati yang terbuka, terus bergerak ke hadapan dan lakukan yang terbaik,” katanya dalam muat naik video menerusi media sosial, hari ini, lapor Astro Awani.
Seramai 407,097 calon menduduki peperiksaan SPM yang diadakan pada Mac lalu.
Peperiksaan Tingkatan 5 berkenaan ditangguhkan pada Mac tahun ini berbanding kebiasaan yang diadakan pada akhir tahun persekolahan, ekoran negara dilanda pandemik Covid-19.
SEORANG penolong akauntan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terenganu hari ini atas pertuduhan meminta suapan berkaitan perbekalan alatan pejabat berjumlah RM10,640 tahun lalu.
Sazawati Salleh, 49, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali.
Tertuduh yang merupakan kakitangan di Majlis Daerah Marang (MDM) didakwa menggunakan jawatan untuk mendapatkan suapan pada 12 Januari 2021.
Dia didakwa mengambil tindakan dengan mencadangkan sebut harga untuk menjalankan kerja memasang karpet di ruang pejabat dan bilik pegawai bahagian kewangan MDM terbabit bernilai RM10,640 yang secara tidak langsung mempunyai kepentingan dengan suaminya.
Dengan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Husni Mubarak Ghazali.
Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM5,000 oleh seorang penjamin beserta syarat tambahan menyerahkan pasport antarabangsa ke mahkamah, serta melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan.
SATU jawatankuasa khas bagi membanteras penipuan dalam talian perlu ditubuhkan segera bagi mengelakkan rakyat dan pelabur hilang keyakinan terhadap keselamatan sistem kewangan negara.
Timbalan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Oh Tong Keong berkata, kerajaan serta pihak berkuasa berkaitan seperti Bank Negara Malaysia (BNM); polis; Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu mengambil serius dan menggandakan usaha dalam membanteras sindiket penipuan dalam talian yang semakin meningkat ketika ini.
Jelas beliau, trend kes penipuan dalam talian yang berlaku kebelakangan ini bukan disebabkan mangsa kehilangan kad bank atau mendedahkan maklumat OTP mereka kepada pihak ketiga, sebaliknya duit simpanan mereka didapati hilang begitu sahaja.
“Selain duit di dalam akaun simpanan semasa, pengguna turut kehilangan wang mereka di dalam akaun simpanan tetap.
“Ini adalah sangat mengejutkan dan mengecewakan kerana orang ramai menyimpan duit di bank kerana yakin dengan sistem keselamatan bank, namun apa yang berlaku ada sebaliknya,” katanya kepada pemberita hari ini.
Tambah beliau, walaupun ramai mangsa sudah membuat laporan polis, namun dalam kebanyakan kes mereka tidak mendapat maklum balas.
“Bukankah ini satu insiden yang menakutkan dan menunjukkan terdapat kelemahan dalam sistem keselamatan bank negara?
“Mengapa boleh berlakunya transaksi kewangan tanpa perkongsian maklumat OTP? Adakah ini disebabkan kecuaian pihak bank?” katanya.
Tambah beliau, pihak berkuasa khususnya polis dan BNM perlu menjalankan siasatan dengan segera sebaik sahaja menerima aduan atau laporan daripada mangsa termasuk membekukan akaun yang telah menerima duit daripada mangsa dengan segera.
Dalam masa sama ujar beliau, BNM juga perlu mengarahkan semua bank mengukuhkan kembali sistem keselamatan mereka bagi mengelakkan jenayah dalam talian daripada berterusan.
“Isu ini jika tidak ditangani dengan baik boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan rakyat termasuk pelabur terhadap keselamatan sistem kewangan negara,” katanya.
SEORANG warga emas kerugian kerugian hampir RM700,000 apabila diperdaya seorang lelaki yang menyamar sebagai anggota polis dari Sabah.
Mangsa yang merupakan kerani wanita sebuah syarikat kontraktor menerima satu pangggilan ‘polis’ pada pukul 8.45 pagi, 15 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, mangsa, 77, menerima panggilan daripada lelaki yang memperkenalkan diri sebagai seorang anggota polis bernama Ah Seng yang mendakwa bertugas di Sabah.
“Dalam perbualan itu, suspek memaklumkan bahawa kad pengenalan milik mangsa digunakan dalam satu kes penipuan.
“Menerusi perbualan tersebut juga, suspek menggertak mangsa dengan mengatakan mangsa akan dimasukkan ke penjara atas kesalahan itu.
“Susulan itu, suspek menawarkan diri untuk menyelesaikan perkara itu dan mengarahkan mangsa untuk membayar wang sebanyak RM600,000 hingga RM700,000.,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.
Katanya, akibat terlalu takut akan dipenjarakan, mangsa bersetuju dengan apa yang dipinta oleh suspek dengan membuat deposit cek sebanyak dua kali di sebuah bank di Taiping.
Menurutnya, deposit cek pertama berjumlah sebanyak RM320,000 dan kali kedua, sebanyak RM350,000.
Osman berkata, suspek turut mengarahkan supaya memberitahu bank bahawa deposit itu bertujuan untuk membeli rumah supaya pihak bank tidak mempertikaikannya.
Tambahnya, menyedari dirinya ditipu, mangsa datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping semalam.
“Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
SEORANG lelaki maut manakala isterinya patah tangan apabila motosikal berkuasa besar yang dinaiki mereka hilang kawalan dan melanggar bahagian tepi sebuah lori di Kilometer 16 Jalan Gula dekat pintu masuk Kampung Lian Seng, di Kerian, pada Isnin.
S Muraly, 55, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan, manakala M Lechmy, 53, dihantar ke Hospital Taiping untuk rawatan susulan.
Memetik Astro AWANI, bagaimanapun pemandu lori berusia 54 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan. Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, insiden itu berlaku pada jam 10.30 pagi tadi.
Katanya siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika motosikal berkenaan datang dari arah Teluk Intan menghala ke Kuala Gula.
“Apabila sampai di tempat kejadian mangsa dipercayai telah gagal mengawal motosikal lalu melanggar bahagian tepi sebelah kanan lori. Ketika kejadian lori berada di hadapannya sedang membelok ke simpang di sebelah kanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mazuki berkata kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
DEMI memberi perkhidmatan terbaik dalam aspek kesihatan, Lembaga Tabung Haji (TH) telah menyediakan pusat rawatan dan doktor pakar untuk jemaah haji Malaysia agar lebih mudah serta teratur.
Pengarah Operasi Makkah (Perubatan) Dr Abdul Marsudi Manah berkata selain itu, petugas kesihatan awam akan melakukan rondaan dari bilik ke bilik untuk memberi penjelasan mengenai kepentingan penjagaan asas kesihatan.
“TH telah membuat persediaan dengan menubuhkan Pusat Rawatan Kesihatan di Madinah iaitu di bangunan Roha Al Madinah, yang mempunyai 37 buah katil dengan kekuatan 44 anggota iaitu lima terdiri daripada tiga pakar perubatan dalam bidang dalaman, bius dan awam.
“Pusat rawatan ini juga disokong oleh tujuh pegawai perubatan serta 32 petugas lagi termasuk jururawat,” katanya kepada pemberita di Bangunan Roha Al Madinah, lapor Bernama.
Beliau berkata pihaknya turut menyediakan klinik bergerak di bangunan penginapan jemaah iaitu Hotel Anwar Al Madinah Moveinpick dan Hotel Saja Al Madinah serta di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Abdulaziz.
Dr Abdul Marsudi, yang merupakan pakar perubatan kesihatan awam di Pejabat Kesihatan Kawasan Kudat, berkata aktiviti rondaan dari bilik ke bilik bukan sahaja membabitkan kesihatan asas tetapi juga memberi ruang kepada petugas menasihati jemaah mengenai kaedah berdepan cuaca panas.
“Dari segi masalah kesihatan sepanjang musim haji ini, dengan keadaan suhu melebihi 46 darjah Celsius berkemungkinan berlaku dehidrasi.
“Sebab itu jemaah perlu minum air secukupnya dan mengelak berada di luar pada waktu siang. Hanya jika berada dalam keadaan tertentu dan perlu berada di luar pada waktu siang… kita galakkan mereka berada di tempat yang teduh atau menggunakan payung,” katanya.
Beliau turut mengingatkan jemaah haji supaya segera mendapatkan rawatan awal dan bukan menunggu di saat akhir iaitu setelah keadaan tubuh badan semakin lemah.
Katanya jemaah haji juga disaran agar peka dengan keadaan sekeliling yang sesak, berdebu serta kering yang mampu menyumbang kepada pelbagai penyakit seperti batuk dan ia tidak boleh dianggap perkara biasa kerana lama-kelamaan mampu membawa kepada jangkitan paru-paru.
Sementara itu, hari seramai 293 orang jemaah haji Malaysia telah bertolak dari Movenpick Hotel and Covention Centre (MHC) di Sepang CC ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 9:45 pagi dan berlepas ke Madinah pada jam 12:43 tengah hari dan dijangka sampai pada jam 4:20 petang waktu Arab Saudi (10.20 malam waktu Malaysia).
Malam tadi, penerbangan jemaah haji KT03 (MAS) yang membawa seramai 284 orang jemaah haji berlepas ke Tanah Suci pada pukul 12.45 tengah malam.
*Ikuti laporan ibadah haji 1443 oleh Lembaga Tabung Haji melalui media sosial Facebook, Twitter,Instagram dan Tik Tok.
Ahli Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Nazri Aziz membidas kenyataan Timbalan Pengerusi UMNO Johor Datuk Nur Jazlan Mohamed bahawa beliau penakut apabila tidak mahu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan dengan segera.
Nazri yang pernah menjadi Menteri bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Najib Razak menyifatkan, hujah Nur Jazlan tidak logik.
“Beliau kata saya tidak mahu PRU diawalkan sebab saya takut. Kalau tengok sejarah PRU14 waktu tsunami pilihan raya, UMNO di peringkat paling rendah sekali di mata rakyat. Saya berani lawan jadi calon dan saya menang dengan majoriti bertambah di Padang Rengas.
“Berdasarkan kenyataannya (Nur Jazlan) bahawa suasana sedang elok, baik buat cepat PRU, (sepatutnya) saya menang besar. Buat apa takut?,’’ katanya lapor FMT.
Semalam, Nur Jazlan meminta Nazri, Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman tidak lagi “bercakap” kerana tidak menyumbang kepada kebaikan parti susulan keengganan mereka menyokong pembubaran Parlimen lebih awal bagi membolehkan PRU15 diadakan.
Nur Jazlan yang kalah dalam PRU-14 di Parlimen Pulai menggambarkan ketiga-tiga mereka sebagai “penakut”, selain hanya mahu menjaga “tembolok” sendiri.
Nazri turut juga menafikan tuduhan Nur Jazlan bahawa beliau takut kehilangan gaji.
“Saya tiada gaji tetapi hanya elaun (sebagai wakil rakyat) yang saya tak sentuh untuk diri saya. (Juga) peruntukan diberikan untuk digunakan buat rakyat. Saya bukan ada gaji dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau menteri,” katanya.
Nazri berkata, beliau tidak setuju PRU15 diadakan awal kerana ia akan memakan belanja yang banyak.
“Duit itu baik guna bantu rakyat daripada adakan pilihan raya yang tak perlu sekarang,” katanya.
POLIS menahan seorang lelaki positif dadah jenis ganja yang disyaki menyebabkan nahas membabitkan lima kenderaan di Kilometer 243.3 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah Selatan, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Seremban ACP Nanda Maarof berkata lelaki berusia 28 tahun yang memandu kereta jenis Perodua Myvi itu ditahan di lokasi kejadian sejurus kemalangan.
“Ketika ditahan dia berada dalam keadaan khayal dan pemeriksaan ke atas keretanya menemukan sepaket plastik lut sinar berisi tumbuhan kering yang disyaki dadah jenis ganja seberat 3.39 gram.
“Lelaki itu yang merupakan penganggur kemudian direman empat hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) akta yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam insiden pada pukul 10.40 pagi semalam, Perodua Myvi yang dipandu lelaki tersebut dipercayai hilang kawalan dan melanggar sebuah Toyota Avanza yang berada di hadapan keretanya.
Nanda berkata akibat rempuhan itu, Toyota Avanza dipandu lelaki berusia 44 tahun itu berpusing beberapa kali dan melanggar dua kereta lain, selain tayar belakang kiri kereta itu tercabut lalu terpelanting masuk ke laluan arah bertentangan dan mengenai sebuah lagi Perodua Myvi.
Bagaimanapun, beliau berkata kesemua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat di bawah Peraturan 10 LN 166/69.
Terdahulu, rakaman kemalangan itu turut tular di laman sosial Facebook sejak semalam.