Category: Semasa

  • Juruteknik didakwa rogol, lakukan persetubuhan luar tabii terhadap remaja 13 tahun

    Juruteknik didakwa rogol, lakukan persetubuhan luar tabii terhadap remaja 13 tahun

    SEORANG juruteknik didakwa di Mahkamah Sesyen Melaka hari ini atas enam tuduhan merogol dan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap remaja perempuan pada Mac dan Mei lalu.

    Tertuduh, Norhairul Fitri Norhan, 25, mengaku tidak bersalah selpas pertuduhan itu di hadapan Hakim Maziah Joary Mohd. Tajudin.

    Harian Metro melaporkan, mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa merogol remaja yang ketika kejadian berusia 13 tahun 10 bulan di sebuah bilik hotel di Melaka Tengah, kira-kira 2 petang 15 Mac lalu.

    Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan amang seksual terhadap mangsa sama pada tarikh, tempat dan masa sama.

    Dia juga didakwa merogol remaja itu yang ketika kejadian berusia 14 tahun di hotel pada 3 petang, 18 Mei lalu, manakala bagi pertuduhan keempat dan kelima, Norhairul Fitri didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa sama.

    Tertuduh menghadapi pertuduhan keenam, melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa pada tarikh, tempat dan masa sama.

    Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebatan; Seksyen 14(a) dan 14 (b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan; serta Seksyen 377C Kanun Keseksaan.

    Timbalan Pendakwa Raya N. Sivashangari menawarkan jaminan RM30,000 terhadap semua pertuduhan dan syarat tidak mengganggu mangsa sehingga perbicaraan selesai.

    Mahkamah membenarkan permohonan itu dan menetapkan 4 Julai depan untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.

  • Lelaki rempuh suami isteri OKU hingga maut direman empat hari

    Lelaki rempuh suami isteri OKU hingga maut direman empat hari

    SEORANG lelaki yang terlibat dalam kemalangan mengakibatkan kematian pasangan suami isteri Orang Kurang Upaya (OKU) di Jalan Serkam Pantai, Merlimau, Jasin semalam, ditahan reman empat hari bermula hari ini.

    Perintah reman terhadap operator kilang berusia 24 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Nabihah Mohd Noor di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini.

    Dalam kejadian pada 7.45 pagi itu, pemuda itu yang dipercayai memandu dalam keadaan mabuk telah merempuh motosikal yang dinaiki mangsa Ezuddin Mohammad, 50, dan Surayah Muhamat, 48.

    Seorang penunggang motosikal Ya’akob Mohamad, 57, turut mengalami cedera ringan

    Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.–Bernama

  • Pekerja pembekal makanan dipenjara pukul isteri guna kerusi

    Pekerja pembekal makanan dipenjara pukul isteri guna kerusi

    SEORANG pekerja pembekal makanan dipenjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur hari ini atas kesalahan memukul kepala isterinya menggunakan kerusi.

    Tertuduh, A. Ramasamy, 48, dikenakan hukuman itu bermula tarikh tangkapan pada Sabtu lalu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Aina Azahra Arifin.

    Sinar Harian melaporkan, mengikut pertuduhan, dia didakwa sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya yang berusia 44 tahun dengan memukul menggunakan kerusi di bahagian kepala.

    Kesalahan dilakukan di sebuah rumah flat projek perumahan rakyat (PPR) di Kepong, Kuala Lumpur pada pukul 6 petang, 4 Jun lalu.

    Dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau dengan kedua-duanya.

    Semasa prosiding, tertuduh dalam rayuannya memohon agar dikenakan hukuman pemenjaraan pada kadar minimum kerana perlu menjaga keluarga termasuk empat anaknya yang berusia 23 hingga enam tahun.

    Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Amalina Johar mencadangkan mahkamah menjatuhi hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.

  • 1MDB : Najib tidak mahu Husni campur tangan

    1MDB : Najib tidak mahu Husni campur tangan

    BEKAS Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah berkata, beliau cuba memberi amaran kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengenai penubuhan 1MDB tanpa kajian kebolehlaksanaan.

    Malaysiakini melaporkan, saksi pendakwaan ke-20 itu memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa beliau cuba menasihati Najib daripada melibatkan 1MDB dalam pelaburan dengan Petrosaudi International Limited (PSI).

    Bagaimanapun, bekas Ahli Parlimen Tambun itu mendakwa Najib yang merupakan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu, tidak mengendahkan nasihatnya berhubung 1MDB.

    “Saya menyatakan bahawa ‘1MDB tidak mempunyai pengalaman dalam bidang itu dan ia hanya perlu diberikan kepada (syarikat minyak nasional Malaysia) Petronas’. Tetapi PM menjawab saya dengan ‘Husni, saya tidak mahu anda terlibat dan campur tangan mengenai 1MDB’.

    “Selepas PM menjawab begitu kepada saya, saya tidak membalas lagi. Saya mengesahkan bahawa pertemuan antara saya dan PM adalah di pejabat PM dan sejak itu, saya langsung tidak terlibat dalam sebarang keputusan atau dimaklumkan mengenai pelaburan berkaitan 1MDB,” dakwa Husni mengenai pertemuan 2009 itu.

    Saksi itu memberi keterangan semasa perbicaraan rasuah 1MDB bernilai RM2.28 bilion terhadap Najib hari ini.

    Sebelum ini semasa perbicaraan berasingan kes rasuah RM42 juta SRC International terhadap Najib pada 19 Ogos 2019, Husni selaku saksi pendakwaan turut memberi keterangan bahawa Najib memberitahunya untuk tidak terlibat dalam 1MDB. (SRC adalah bekas anak syarikat 1MDB)

    BERITA LANJUT MENYUSUL

  • Pegawai penyelidik didakwa sebabkan kematian penunggang basikal warga emas

    Pegawai penyelidik didakwa sebabkan kematian penunggang basikal warga emas

    SEORANG pegawai penyelidik sebuah syarikat utiliti mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas pertuduhan memandu kereta secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang basikal warga emas, pada 1 Jun lepas.

    Munirah Stapah@Salleh, 26, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Intan Syafinaz Ros’lin.

    Mengikut pertuduhan, Munirah didakwa memandu Perodua Axia secara laju dan melulu sehingga menyebabkan kematian Khalid Mohd Isa, 72, dalam kejadian pada pukul 8.25 pagi di Jalan Temiang-Pantai di Seremban pada 1 Jun.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda maksimum RM50,000, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa ASP M. Shanmugavel manakala Munirah tidak diwakili peguam.

    Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin selain lesen memandunya digantung.

    Sebutan semula kes ditetapkan pada 21 Jun ini. – Bernama

  • Bayi lapan bulan patah tangan kiri disyaki didera di Taska

    Bayi lapan bulan patah tangan kiri disyaki didera di Taska

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Seorang bayi lelaki patah tulang tangan kiri disyaki akibat didera di sebuah taman asuhan kanak-kanak (Taska) di Alor Setar, minggu lepas.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner (ACP) Ahmad Shukri Mat Akhir, kejadian menimpa bayi tersebut yang difahamkan baru beberapa hari dipindahkan ke taska tersebut, berlaku pada 2 Jun lalu.

    Katanya, keluarga bayi tersebut membuat laporan polis sehari kemudian sebelum bayi itu dirujuk ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

    “Pada awalnya doktor mendapati terdapat bengka pada lengan kiri namun tiada kesan luka. Setelah dirujuk ke pakar tulang Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), bayi tersebut disahkan patah tulang di bahagian atas lengan kiri.

    “Berikutan itu pihak polis menahan seorang wanita berusia 20 tahun yang merupakan pengasuh di taska terlibat, untuk membantu siasatan,” katanya.

    Tambahnya, setakat ini pihak polis masih menyiasat punca kejadian itu serta beberapa perkara berkaitan.

    “Wanita yang ditahan itu direman selama enam hari hingga 9 Jun depan.

    “Siasatan lanjut kini masih dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

  • Duda 65 tahun kantoi berkhalwat dengan isteri orang

    Duda 65 tahun kantoi berkhalwat dengan isteri orang

    SEORANG duda berusia 65 tahun dicekup semasa berkhalwat dengan wanita berusia 56 tahun yang masih berstatus isteri orang di sebuah hotel bajet di Kota Bharu, malam tadi.

    Anggota Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Syariah (BPUS) Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (Jaheaik) menahan pasangan berkenaan pada pukul 11.30 malam tadi.

    Ketua Penolong Pengarah BPUS Jaheaik, Mohd. Fadzuli Mohd. Zain berkata, pasangan berkenaan datang dari Selangor dengan menaiki bas ke bandar ini sebelum ditahan ketika berdua-duaan dalam bilik di hotel terbabit.

    “Lelaki warga emas itu memberi alasan mahu membeli emas di Kelantan, manakala pasangannya mendakwa mahu menghadiri kelas senam aerobik di Terengganu.

    “Kami menahan mereka untuk siasatan lanjut dan dilepaskan dengan bon jamin sebelum diminta hadir ke Mahkamah Syariah mengikut tarikh yang ditetapkan,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Dalam pada itu, menerusi operasi berkenaan sempena cuti sekolah yang diadakan antara 5 petang semalam sehingga 1 pagi tadi, Mohd. Fadzuli berkata, pasangan kekasih berusia 20-an turut ditahan di sebuah hotel bajet di Kota Bharu.

    “Dua pasangan ini akan disiasat mengikut Seksyen 50, Undang-undang Islam, Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019.

    “Kami turut memberi notis kepada tiga pasangan kekasih kerana melakukan perbuatan tidak sopan di tepi Sungai Kelantan di Lembah Sireh, kira-kira 5 petang semalam,’ katanya.

    Katanya, pasangan yang diberi notis diminta hadir mendapatkan perkhidmatan kaunseling dalam tempoh dua minggu, jika gagal hadir mereka boleh didenda.

  • Wanita jalankan amalan pergigian haram individu pertama didakwa ikut akta 804

    Wanita jalankan amalan pergigian haram individu pertama didakwa ikut akta 804

    WANITA warga Indonesia menjadi individu pertama dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, hari ini bagi pendakwaan mengikut Akta Pergigian 2018 (Akta 804).

    Harian Metro melaporkan, Putri Wahyuni, 22, yang juga Orang Kena Saman (OKS) menghadapi pertuduhan menjalankan amalan pergigian tanpa lesen, bulan lalu.

    Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin.

    Kesalahan itu dilakukan di sebuah premis kecantikan di Bandar Puteri Puchong, Selangor, pada jam 11.47 pagi, 26 Mei lalu, dengan pendakwaan mengikut Seksyen 62(1) Akta 804.

    OKS boleh dihukum mengikut Seksyen 62(3) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara sehingga enam tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Mohamad Shafiq Mohd. Sazali, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mahkamah menetapkan 19 Julai depan untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

    Pertuduhan mengikut seksyen itu adalah yang pertama sejak Akta 804 berkuat kuasa 1 Januari lalu yang menggantikan Akta Pergigian 1971 (Akta 51) yang sudah digunakan selama 50 tahun.

    Akta itu bagi mengawal selia amalan dalam bidang pergigian dan mengambil tindakan terhadap mana-mana aktiviti yang tidak mematuhi peruntukanm terutamanya yang dilaksana secara haram.

  • Penubuhan 1MDB sebagai dana politik BN, kata Mohd. Sidek

    Penubuhan 1MDB sebagai dana politik BN, kata Mohd. Sidek

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ditubuhkan untuk dijadikan sebagai dana politik kepada parti kerajaan ketika itu, iaitu Barisan Nasional (BN).

    Bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd. Sidek Hassan yang memberikan keterangan pada perbicaraan penyelewengan dana RM2.3 bilion milik 1MDB dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata, itu adalah pemahamannya berkenaan penubuhan 1MDB.

    Sehubungan itu beliau tidak pernah bertanya kepada Najib atau mana-mana pihak dalam 1MDB mengenai permasalahan yang berlaku dalam syarikat pelaburan strategik negara itu, lapor Berita Harian, hari ini.

    Saksi ke-19 pendakwaan yang juga bekas ahli Lembaga Penasihat 1MDB berkata, beliau mendapat tahu mengenai isu berkaitan 1MDB melalui media massa berhubung dakwaan salah guna dana dan mengetahui ada penyiasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    “Namun saya tidak pernah diberi taklimat atau diberitahu secara lanjut apakah butiran penyiasatan ke atas 1MDB ini. Datuk Seri (Najib) selaku Perdana Menteri ketika itu juga tidak pernah memberitahu saya terdapat isu dalam 1MDB walaupun saya dilantik menjadi seorang daripada ahli Lembaga Penasihat 1MDB.

    “Saya juga tidak pernah bertanya dengan Najib kenapa tiada sebarang mesyuarat Ahli Lembaga Penasihat 1MDB diadakan sepanjang tempoh saya menjawat jawatan itu. Saya juga tidak ada dilaporkan oleh mana-mana wakil 1MDB mengenai operasi dan pelaburan yang dibuat oleh syarikat.

    Sementara itu, Mohd. Sidek berkata, beliau beranggapan pelantikannya dalam 1MDB hanya untuk menambah pendapatan sebagai KSN yang dianggap tidak setimpal oleh Najib.

    Katanya, Najib pernah bertanyakan mengenai gaji yang diterimanya selaku KSN dan bekas Perdana Menteri itu merasakan gajinya selaku KSN adalah agak kecil.

    Mohd. Sidek berkata, beliau yang dilantik sebagai KSN bermula 3 Disember 2006 sehingga 23 Jun 2012, menerima ‘monthly advisory fee’ (bayaran penasihat bulanan) 1MDB sebanyak RM30,000 sejak 1 Julai 2010 .

    Katanya, walaupun selepas bersara daripada perkhidmatan awam, perkhidmatannya sebagai ahli Lembaga Penasihat 1MDB diteruskan dan dibayar fi bulanan berjumlah RM10,000.00 bermula Januari 2013.

    “Selepas menerima pemakluman lantikan daripada 1MDB, mana-mana wakil pengurusan 1MDB atau Lembaga Pengarah tidak ada hadir untuk memberikan taklimat atau berjumpa dengan saya. Melalui pengetahuan saya sendiri, saya tahu 1MDB adalah sebuah syarikat milik Kerajaan Persekutuan yang diambil alih daripada Terengganu Investment Authority Berhad (TIAB).

    “Syarikat 1MDB juga menerima terbitan bon berjumlah RM5 bilion untuk melaksanakan pelaburan jangka masa panjang namun saya tidak diberitahu terperinci oleh mana-mana pihak pengurusan 1MDB mengenai operasi syarikat mereka.

    “Saya tidak meminta melalui Najib atau kepada pihak 1MDB untuk meneruskan perkhidmatan saya…Selepas perkhidmatan saya diteruskan, saya tidak ada dijemput hadir dalam mana-mana mesyuarat ahli Lembaga Penasihat atau lain-lain mesyuarat berkaitan isu 1MDB. Saya tidak tahu kenapa khidmat saya diteruskan selepas persaraan sebagai KSN,” katanya.

    Mohd. Sidek berkata, beliau menerima surat Pembubaran Lembaga Penasihat melalui satu surat iringan yang dihantar oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Arul Kanda Kandasamy pada 3Jun 2016 dan ditandatangani oleh Najib bertarikh 31 Mei 2016.

    melalui surat itu, Mohd, Sidek berkata, beliau tidak diberitahu alasan pembubaran Lembaga Penasihat 1MDB dan juga tidak bertanya kepada kepada Najib ataupihak 1MDB mengenainya.

    Mahkamah sebelum ini diberitahu, Najib melantik tujuh individu sebagai Ahli Lembaga Penasihat dan pelantikan itu dilakukan berikutan beliau memiliki kuasa kerana tiga peranan utama bekas Perdana Menteri itu terkandung dalam Artikel Persatuan (M&A) 1MDB iaitu sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB.

    Tujuh individu yang dilantik termasuk Menteri Qatar, Sheik Hamad Jassim Jabar Al-Thani; bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Unit Perancang Ekonomi),Tan Sri Datuk Nor Mohamed Yakcob dan bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

    Turut dilantik ialah bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan Malaysia, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mubadala Development Emiriah Arab Bersatu (UAE), Khaldoon Khalifa Al Mubarak dan Chang Zhenming iaitu Pengerusi CITIC Group dari China.

  • Polis rampas 142.1 kg ganja dari MPV mewah

    Polis rampas 142.1 kg ganja dari MPV mewah

    POLIS melakukan serbuan dan merampas 142.1 kilogram (kg) ketulan mampat disyaki ganja di tempat letak kenderaan bawah tanah pasar raya di Bangsar, Kuala Lumpur, Selasa lalu.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Asisten Komisioner Ahmad Jefferi Abdullah, tiga lelaki ditahan dalam serbuan pada pukul 2 petang itu.

    “Mereka ditahan sejurus selesai memindahkan ketulan mampat itu dari kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah ke kereta lebih kecil.

    “Serbuan itu dilakukan dengan kerjasama JSJN Kuala Lumpur, selepas risikan empat bulan terhadap semua suspek yang dipercayai berperanan sebagai penghantar dadah.

    “Polis menemui 145 ketulan mampat disyaki ganja bernilai kira-kira RM355,250,” katanya memetik laporan Berita Harian, hari ini.

    Pihaknya juga merampas tiga kenderaan yang digunakan suspek yang berusia 23 hingga 49 tahun dan nilai rampasan keseluruhan termasuk dadah hampir RM500,000.

    “Kumpulan berkenaan mula aktif sejak empat bulan lalu dan dadah yang dirampas untuk pasaran Lembah Klang,” katanya lagi.

    Beliau berkata, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati dua suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan THC.

    Katanya, semua suspek berkenaan dipercayai mendapat upah RM2,500 bagi penghantaran dadah itu.

    “Siasatan masih dijalankan untuk mengesan dalang di sebalik kegiatan pengedaran ini,” katanya.

    Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.