Category: Semasa

  • 3 termasuk remaja ditahan seleweng petrol bersubsidi, rampasan RM109,020

    3 termasuk remaja ditahan seleweng petrol bersubsidi, rampasan RM109,020

    PASUKAN Gerakan Am (PGA) menahan tiga individu termasuk seorang remaja warga asing selepas terbabit dalam aktiviti menyeludup minyak petrol bersubsidi di sebuah stesen minyak di Batu 32, Sandakan, semalam.

    Menerusi operasi pada jam 1.30 pagi itu, anggota Tiger Platon Batalion 15 Pasukan Gerakan Am (PGA) dibantu anggota Task Force Perisikan batalion tersebut.

    Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, bertindak atas maklumat orang awam, pasukan operasi mengesan terdapat kegiatan pengisian minyak petrol bersubsidi secara tidak sah.

    “Pasukan operasi kemudiannya membuat pemerhatian selama tempoh 30 minit di stesen minyak berkenaan.

    “Hasil pemerhatian membawa kepada penahanan tiga lelaki berusia 19 hingga 36 tahun, membabitkan dua warga tempatan dan seorang warga Indonesia.

    “Pasukan operasi terus merampas dua lori yang dipercayai terbabit dalam kegiatan mengendalikan minyak petrol bersubsidi secara tidak sah,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Abdul Rani berkata, semua tangkapan kemudiannya dibawa ke Balai Polis Sandakan untuk laporan polis.

    Katanya, semua suspek seterusnya diserahkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk tindakan selanjutnya.

    “Semua rampasan membabitkan dua lori tiga bersama 58 tong biru membabitkan 4,400 liter minyak petrol.

    “Anggaran nilai keseluruhan barang rampasan dianggarkan sebanyak RM109,020 dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

  • Wanita maut motosikal rempuh pembahagi jalan

    Wanita maut motosikal rempuh pembahagi jalan

    SEORANG wanita maut selepas motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan sebelum merempuh pembahagi jalan di Kilometer 182.6 Lebuhraya utara selatan arah utara, Bagan Serai petang semalam.

    Mangsa, Lau Boon Lan, 47, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah, lapor Astro Awani hari ini.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden pada pukul 6.08 petang.

    Seterusnya anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Serai bergegas ke lokasi kejadian.

    “Setibanya jentera di lokasi mendapati kemalangan membabitkan sebuah motosikal skuter jenis Honda Vario telah terbabas dan melanggar pembahagi jalan.

    “Mangsa disahkan maut oleh pihak ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) yang hadir di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan.

    Kenyataan itu memberitahu, anggota bomba kemudiannya bertindak membantu mengangkat mayat dan mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

    Operasi yang diketuai oleh PBK II Zakaria Mustafa itu tamat pada pukul 6.54 petang.

  • Warga emas maut dalam kebakaran rumah kedai

    Warga emas maut dalam kebakaran rumah kedai

    SEORANG wanita warga emas meninggal dunia dalam kebakaran rumah kedai dua tingkat yang disewanya di Jalan Hang Kasturi, Jonker Walk, Melaka, pukul 9.30 malam tadi.

    Mangsa melecur hampir 70 peratus pada anggota badan ditemukan di tingkat atas unit rumah kedai itu yang didiami sejak lebih 70 tahun.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Raiz Mukhliz Azman Aziz, mangsa yang maut dikenali sebagai Koo Kim Foong.

    Menurutnya, hasil temubual dengan anak mangsa difahamkan wanita itu tinggal seorang diri di rumah kedai terbabit yang disewakan kepada keluarganya.

    Pihaknya menerima panggilan daripada Malaysian Emergency Response Services 999 (MERS 999) pada 9.35 malam sebelum pasukan bomba tiba lapan minit kemudian.

    “Mengikut saksi yang juga anak mangsa, ibunya berusia 75 tahun tinggal sendirian di bangunan itu.

    “Selepas 30 minit api dipadamkan, pasukan bomba menemui mayat mangsa di tingkat atas rumah kedai terbabit dan pemeriksaan mendapati mangsa melecur antara 60 hingga 70 peratus di bahagian paha dan perut,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Raiz Mukhliz berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat dan setakat ini kes diklasifikasikan kematian mengejut.

    “Siasatan lanjut masih dijalankan oleh unit Forensik Bomba bagi mengetahui punca kebakaran,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Zon Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia Melaka, Mohd. Khairul Nizam Mohd. Anuar memaklumkan seramai 23 pegawai dan anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Melaka Tengah dan Padang Temu dikejarkan ke lokasi kejadian.

    “Kebakaran dapat dikawal dalam masa 20 minit dan padam sepenuhnya pada 9.42 malam,” katanya.

  • Pakar ekonomi diminta kemuka kertas cadangan atasi kos sara hidup

    Pakar ekonomi diminta kemuka kertas cadangan atasi kos sara hidup

    PAKAR-pakar ekonomi telah diminta mengemukakan satu kertas cadangan kepada Majlis Pemulihan Negara (MPN) bagi mengatasi isu kos sara hidup dan kenaikan harga barang yang dihadapi oleh rakyat Malaysia sekarang, terutamanya golongan B40.

    Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, golongan M40 juga terjejas dengan isu inflasi dan kenaikan harga barang.

    ‘’Sememangnya, saya memandang serius isu peningkatan harga barang sejak kebelakangan ini dan impaknya terhadap kebajikan rakyat. Sewaktu pandemik Covid-19, kerajaan telah membelanjakan lebih RM80 bilion secara suntikan langsung melalui 8 pakej rangsangan bagi membantu rakyat Malaysia yang terjejas,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

    Hari ini Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri menghadiri sesi perbincangan meja bulat anjuran Institut Masa Depan Malaysia berkenaan isu-isu ekonomi semasa bersama tokoh-tokoh ekonomi.

    Mereka ialah Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Datuk Michael Kang merangkap ahli Majlis Pemulihan Negara serta pakar ekonomi Prof Emeritus Datuk Dr Norma Mansor dan Prof Dr Jamal Othman.

    Turut hadir Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Uzir Mahidin yang membentangkan kedudukan semasa ekonomi negara.

    Muhyiddin berkata, Malaysia telah merekodkan pertumbuhan yang memberangsangkan pada kadar 5% bagi suku pertama tahun 2022 berbanding 3.6% bagi suku sebelumnya.

    ‘’Walaupun trend pemulihan negara menunjuk penambahbaikan, isu inflasi dan kenaikan harga barang keperluan perlu diberi tumpuan khusus mengambil kira faktor-faktor situasi global seperti konflik di Ukraine, perintah kawalan pergerakan di China serta kadar tukaran wang asing negara yang lemah.

    ‘’Sektor-sektor yang terjejas akibat pandemik COVID-19 terutama perladangan, perkhidmatan dan pembinaan juga masih berdepan isu kekurangan pekerja yang menjejaskan pemulihan dalam sektor tersebut,’’ katanya.

    Dalam negara bergerak ke hadapan, Muhyiddin berkata, rangka pertumbuhan ekonomi makro yang dicatatkan akan lebih bermakna apabila ekonomi rakyat turut berkembang seiring.

    ‘’Kenaikan harga barang perlu diatasi dengan segera oleh semua pemegang taruh supaya rakyat dapat menikmati hasil pemulihan ekonomi pasca pandemik yang lebih menyeluruh dan bermakna, insya-Allah,’’ katanya.

  • Lori pecah tayar, brek rosak rempuh tujuh kenderaan

    Lori pecah tayar, brek rosak rempuh tujuh kenderaan

    GARA-gara tayar belakang pecah secara tiba-tiba dan berdepan masalah brek, sebuah lori muatan barang runcit hilang kawalan lalu merempuh tujuh kenderaan lain di Kilometer 81.5 Jalan Ipoh- Butterworth, Butterworth pagi tadi.

    Kejadian yang berlaku sekitar pukul 7.30 pagi itu mengakibatkan empat orang pemandu termasuk seorang penunggang motosikal cedera.

    Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada orang awam yang memaklumkan terdapat lapan kenderaan terbabit dalam kemalangan itu.

    “Kenderaan yang terlibat ialah Proton Saga, Proton Wira, Perodua Axia, Toyota Wald, dua buah Perodua Myvi, Yamaha Ego dan lori jenis Hino.

    “Akibat kemalangan itu, pemandu Perodua Axia, Toyota Wald, Perodua Myvi dan penunggang motosikal mengalami kecederaan, manakala pemandu lain selamat,” katanya seperti dalam laporan Astro Awani, hari ini.

    Beliau berkata, siasatan awal mendapati pemandu lori itu dari arah Kamunting ke Kuala Kangsar.

    “Sampai di tempat kejadian semasa pemandu lori meneruskan perjalanan, tiba-tiba tayar belakang sebelah kirinya pecah.

    “Dalam masa sama lori itu mengalami masalah brek, menyebabkan dia hilang kawalan dan merempuh tujuh lagi kenderaan lain,” katanya lagi.

    Osman berkata, ujian saringan air kencing pemandu lori itu juga negatif.

    “Tiada sebarang tangkapan dibuat, punca kemalangan disebabkan pemandu lori hilang kawalan,” katanya.

    Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

  • 2 warga emas termasuk pesara guru maut kemalangan

    2 warga emas termasuk pesara guru maut kemalangan

    SEORANG pesara guru maut selepas tercampak apabila trak pikap dipandunya terbabit kemalangan dengan dua lagi kenderaan di Kampung Pichin, Kilometer 14, Jalan Tebedu-Serian, Serian, pukul 10.30 pagi tadi.

    Insiden itu membabitkan trak pikap Isuzu Dmax, van dan motosikal turut mengorbankan penunggang motosikal berusia 62 tahun.

    Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintendan Bingkok John berkata, pemandu pikap, Bernard Lohin, 63, dari Kampung Tebedu Mawang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

    Sementara penunggang motosikal, Mat Lumpeng, 62, dari Kampung Pichin yang parah meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Serian.

    “Pikap yang dipandu pesara guru itu bergerak dari arah Serian menuju ke Tebedu tidak sempat mengelak sebuah motosikal yang tiba-tiba keluar dari simpang.

    “Mangsa terlanggar dan mengheret motosikal itu sebelum bergesel dengan sebuah van lalu terbalik,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Menurutnya, pemandu van tidak mengalami sebarang kecederaan dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 10.52 pagi.

    Menurutnya, tujuh anggota termasuk dari Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan itu.

  • Siasatan punca dua remaja maut dalam MPV ambil masa dua bulan

    Siasatan punca dua remaja maut dalam MPV ambil masa dua bulan

    SIASATAN punca kematian dua remaja yang meninggal dunia di dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard akan mengambil masa sekurang-kurangnya dua bulan kerana melibatkan pakar dari agensi lain, kata Ketua Polis Daerah Cheras ACP Muhammad Idzam Jaafar.

    Beliau berkata pasukan perubatan sudah melakukan proses bedah siasat terhadap dua remaja iaitu  lelaki dan perempuan masing-masing berusia 19 tahun tetapi masih belum mengetahui punca sebenar kematian mereka.

    “Kami sedia maklum, dua mayat itu ditemukan selepas lima hari. Banyak organ sudah dalam keadaan tidak sempurna yang memerlukan kepakaran daripada jabatan lain seperti Jabatan Kimia,” katanya pada sidang media di IPD Cheras, Kuala Lumpur hari ini.

    Muhammad Idzam berkata selagi laporan pakar daripada jabatan berkenaan tidak dikeluarkan, polis tidak dapat memberi sebarang kenyataan berhubung punca kematian dua remaja terbabit.

    “Selain itu, polis turut merakam keterangan daripada kawan, keluarga dan mereka yang mengenali si mati. Lebih 10 orang telah dipanggil untuk membantu siasatan dan sehingga kini tiada unsur jenayah ditemui,” katanya.

    Sebelum ini polis telah mengenal pasti dua remaja terbabit dikenali sebagai Ahmad Danish Hakeem Hanafiah dan Akmalharith Damia Zainul.

    Kedua-dua mereka yang dilaporkan hilang oleh keluarga masing-masing ditemukan di dalam sebuah MPV di ruang parkir bawah tanah sebuah kondominium di Bandar Sri Permaisuri, Cheras di Kuala Lumpur, 29 Mei lepas. – Bernama

  • Program lawatan ke lokasi bersejarah di Madinah mampu perkuat ketakwaan

    Program lawatan ke lokasi bersejarah di Madinah mampu perkuat ketakwaan

    PROGRAM lawatan anjuran Lembaga Tabung Haji (TH) ke tempat bersejarah untuk jemaah haji Malaysia dilihat mampu mengukuhkan lagi ketakwaan mereka kepada Allah.

    Ustaz Wafa Abdul Jabbar, mutawif yang bertanggungjawab membawa rombongan ziarah luar, berkata rata-rata jemaah yang tiba di Madinah sejak dua hari lepas teruja untuk menziarahi beberapa lokasi bersejarah.

    “Kota Suci Madinah mempunyai pelbagai kelebihan dan keistimewaan di samping dapat menghayati perjuangan Rasulullah SAW serta para sahabat dengan rasa takwa dan berusaha bersungguh-sungguh menyebarkan agama Islam ke seluruh dunia, “ katanya kepada pemberita di dataran Masjid Quba, Madinah.

    Beliau berkata sebanyak tujuh bas digunakan untuk membawa jemaah ke Masjid Quba yang merupakan masjid pertama didirikan pada tahun pertama penghijrahan Nabi Muhammad dari Makkah.

    Jemaah haji juga  dibawa menziarahi kawasan Bukit Uhud dan Makam Syuhada Uhud yang merupakan tapak sejarah mengenai peristiwa kekalahan tentera Islam ketika menentang tentera bani Quraisy.

    Jemaah haji Malaysia menunaikan solat di Masjid Quba

    “Tewasnya tentera Islam ketika itu disebabkan keingkaran sebahagian tentera Islam dengan arahan Nabi  Muhammad yang menyaksikan baginda mengalami cedera teruk serta 70 tentera Islam gugur syahid” katanya.

    Beliau juga berkata Perang Uhud jelas menunjukkan bahawa tarikan dunia, sikap tamak dan mengingkari perintah Rasul akhirnya hanya membawa kepada kebinasaan.

    Pasangan suami isteri Ishak Hasan dan Siti Yulina Baharon pula berkata lawatan ke Bukit Uhud memberi kesedaran kepada mereka mengenai kewibawaan serta kehebatan Nabi Muhammad.

    Bagi Hapiz Ab Majid, 50-an, yang pertama kali menjejak kaki ke tanah suci, berkata penerangan mutawif ketika ziarah itu sangat baik dan jelas terutama dalam mengetengahkan kepentingan mematuhi arahan seorang ketua.

    Menerusi program sama, jemaah haji turut dibawa menziarahi Masjid Qiblatain (yang pernah berkiblatkan Baitulmaqdis) dan Masjid Tujuh iaitu tempat berlakunya peperangan Khandaq serta ladang kurma bagi membolehkan mereka membeli buah tangan untuk keluarga apabila pulang ke tanah air kelak.

    Rosni Hassan antara 297 jemaah haji yang berlepas ke Madinah hari ini.

    Seramai 1,309 daripada 14,306 jemaah haji Malaysia selamat tiba ke Madinah dengan kumpulan pertama pada 4 Jun lepas yang dijadualkan bertolak ke Makkah pada 9 Jun bagi melaksanakan ibadat umrah.

    SEMENTARA itu,  seramai 297 orang jemaah haji termasuk empat petugas untuk kumpulan KT06B telah bertolak dari Movenpick Hall and Convention Centre (MHCC), Sepang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 9:20 pagi dan telah berlepas ke tanah suci (Madinah) pada jam 11:30 pagi,dan dijangka sampai pada jam 3 petang waktu Arab Saudi.

    Semoga perjalanan para jemaah haji Malaysia dipermudahkan dan selamat sampai.

    *Ikuti laporan ibadah haji 1443 oleh Lembaga Tabung Haji melalui media sosial Facebook, Twitter,Instagram dan Tik Tok.

  • Umat elak dinasihat tidak sertai Bon Odori, bimbang jatuh syirik

    Umat elak dinasihat tidak sertai Bon Odori, bimbang jatuh syirik

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    MUFTI Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor menasihatkan umat Islam mengelak daripada menyertai festival Bon Odori kerana dibimbangi akan terjatuh ke dalam dosa syirik kepada Allah SWT.

    Menurut beliau, festival itu yang ada kaitan dengan memperingati semangat atau roh nenek moyang dibimbangi boleh membawa kepada syirik.

    Malah jelasnya, di dalam Islam cara mengingati ahli keluarga adalah dengan mendoakan kesejahteraan bagi roh-roh mereka agar dirahmati oleh Allah SWT serta diampunkan segala dosa mereka.

    Tambah beliau, waris mereka yang sudah meninggal dunia juga disarankan supaya selalu membaca ayat-ayat suci al-Quran dan bersedekah dengan diniatkan pahala segala amalan baik itu sampai kepada arwah ahli keluarga yang telah berpindah ke alam abadi.

    “Cara memperingati roh nenek moyang dengan menari, memuja roh mereka dan sebagainya tidak digalakkan di dalam Islam.

    “Maka, saya ingin menasihatkan umat Islam agar sentiasa memelihara kemurnian akidah Islamiyah masing-masing dengan mengelak daripada terlibat dalam festival seperti itu,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad, menggesa umat Islam supaya tidak menyertai sebarang aktiviti keagamaan yang tidak mempunyai kaitan dengan Islam terutama Bon Odori yang akan berlangsung di Shah Alam, Selangor pada Sabtu hadapan.

    Selain di Shah Alam, festival itu juga dijadualkan berlangsung di Padang Kota Lama, Georgetown pada 30 Julai depan bermula pukul 5 petang hingga 11 malam.

    Difahamkan, aktiviti itu yang merupakan tradisi masyarakat Jepun beragama Buddha mengandungi unsur pemujaan terhadap nenek moyang yang sudah meninggal dunia dan dalam masa sama mendoakan mereka tidak menderita selepas mati.

  • Pegang prinsip Islam yang melarang hina agama lain – Idris

    Pegang prinsip Islam yang melarang hina agama lain – Idris

    MASYARAKAT Islam di negara ini perlu berpegang dengan prinsip dan ajaran agama itu yang melarang penganutnya daripada menghina dan menabur kebencian terhadap agama lain.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad berkata berikutan itu, umat Islam tidak perlu memberi sebarang reaksi terhadap perbuatan individu atau pihak yang cuba menghina agama itu.

    “Kerana kita (umat Islam) lebih kepada soal (bertindak) dalam bentuk intelektual, wacana, muzakarah dan sebagainya. Tidak elok kalau kita bersikap demikian (menghina agama lain).

    “Ia tidak sepatutnya berlaku pada mana-mana agama sekali pun,” katanya selepas menghadiri Majlis Pelancaran Buku Terbitan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) 2022 sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 di Kuala Lumpur, hari ini.

    Idris merasmikan Majlis Pelancaran Buku Terbitan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) 2022 sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 di Kuala Lumpur, hari ini.

    Idris berkata demikian bagi mengulas isu baru-baru ini mengenai dua jurucakap Parti Bharatiya Janata (BJP) yang mentadbir India telah mengeluarkan kenyataan menghina Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda Saidatina Aisyah RA.

    Perkara itu telah membangkitkan kemarahan umat Islam di seluruh negara, terutama di Asia Barat, yang mengutuk tindakan itu sehingga terdapat pusat beli-belah yang memunggah keluar produk India dari rak jualan.

    Ditanya sama ada Malaysia akan mengikut jejak langkah negara lain yang memboikot produk keluaran dari India, Idris berkata perkara itu akan dibincangkan kemudian.

    Mengenai kejadian amalan khurafat yang tular di media sosial baru-baru ini, Idris meminta pihak berkuasa tempatan untuk menyiasat dan mengambil tindakan mengenai perkara itu memandangkan sebarang perkara melibatkan agama adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

    Katanya perkara yang jelas bertentangan dengan agama Islam tidak sepatutnya terjadi kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan dan kecelaruan terhadap umatnya.

    “Kita tidak mahu budaya lama terjadi lagi. Kita telah berjaya hapuskan, contohnya amalan ‘mandi Safar’ dan ‘semah laut’, hasil daripada penerangan ulama kita, takkan kita mahu hidupkan balik perkara itu?” katanya.

    Mengenai program buku Yadim sebanyak lima buku baharu terbitan yayasan itu dilancarkan hari ini iaitu ‘Atlas Sirah Al-Nabawiyyah Perjalanan Hidup Nabi Muhammad SAW’, ‘Melodi Iman Dalam Solat Lima Waktu’, ‘Fiqh Keluarga Syurgawi’, ‘Menelusuri 1,000 Tahun Fiqh Syafii Alam Melayu’ dan ‘Komik YADIM: Sahabah MISI Q3’. – Bernama