Category: Semasa

  • Peniaga dalam talian rugi RM400,000 disamun

    Peniaga dalam talian rugi RM400,000 disamun

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG peniaga dalam talian yang sedang menunggu pelanggan cedera dilibas parang selepas disamun empat lelaki di sebuah restoran di Mount Austin, JOhor Bahru, pukul 1.45 petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, mangsa berusia 26 tahun terkejut apabila tiba-tiba didatangi empat lelaki memaksanya menyerahkan jam jenama mahal yang dijualnya.

    “Semasa kejadian mangsa membuat janji temu bertemu pelanggannya di restoran mewah tersebut dan mahu melihat sendiri jam tangan jenis Rolex yang mahu dibelinya.

    “Empat lelaki terbabit datang dan mengambil tiga jam tangan jenama Rolex dan sebentuk cincin emas sebelum melarikan diri,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Difahamkan mangsa yang enggan menyerahkan jam dilibas dengan parang pada bahagian kanan tangannya.

    Beliau memberitahu, mangsa mengalami luka dan kerugian dianggarkan RM400,000.

    Susulan itu pihaknya sedang giat mengesan semua suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 397/397 Kanun Keseksaan.

  • Anak tendang, ugut ibu dipenjara lima bulan

    Anak tendang, ugut ibu dipenjara lima bulan

    GARA-GARA menendang ibu dan mengugut wanita itu serta adik perempuannya menggunakan gunting, bekas pemandu lori dipenjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini.

    Majistret S. Mageswary menjatuhkan hukuman itu ke atas Alif Najmi Abdul Halim, 22, yang mengaku bersalah atas dua pertuduhan.

    Alif Najmi dijatuhkan hukuman penjara tiga bulan bagi kesalahan mencederakan ibunya, Suhaila Mohd Jidin, 47, dengan menendang bahagian belakang pinggang kiri wanita itu di sebuah rumah di Bandar Baru Sentul pada 8.30 pagi, semalam (8 Jun).

    Dia dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum atau denda atau sebat.

    Bagi kesalahan kedua, Alif Najmi dihukum penjara lima bulan kerana mengugut ibu dan adiknya, Nur Alia Wardina, 21, menggunakan sebilah gunting sehingga mendatangkan ketakutan kepada mereka.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan pada tempat, masa dan tarikh yang sama mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

    Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara lima bulan secara serentak bermula dari tarikh tangkap semalam.

    Timbalan Pendakwa Raya Phulrani Kaur memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran, namun peguam Edwin Tomas dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya mempunyai masalah mental serta menanggung keluarga selain insaf atas perbuatannya. – BERNAMA

  • Pelajar lemas cuba selamatkan rakan tergelincir

    Pelajar lemas cuba selamatkan rakan tergelincir

    KEGEMBIRAAN tiga rakan mandi-manda di Lata Guling, Sungai Rual, dekat Jeli hari ini berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka ditemukan lemas.

    Lebih memilukan, kejadian berlaku ketika Nor Aina Mohd Nasir, 17, pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jeli mahu menyelamatkan seorang rakannya yang tergelincir.

    Ketua Polis Daerah Jeli, Supt Ahmad Ariffin berkata, Nor Aina yang berasal dari Kampung Pasir Dusun bersama dua rakannya itu telah ke tempat kejadian untuk mandi pada 2.30 petang.

    “Kira-kira 3.05 petang, rakan Nor Aina iaitu Rosmaidayu Mohd Rasyid, 17, yang turun untuk mandi di lata itu telah tergelincir. Melihat keadaan itu, Nor Aina cuba menyelamatkan Rosmaidayu namun dia turut dihanyutkan air dan tenggelam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Ahmad berkata, Rosmaidayu berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung namun Nor Aina gagal ditemukan.

    “Pada 3.35 petang, mangsa dijumpai abang kandungnya selepas melakukan selaman di kawasan kejadian. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Jeli untuk bedah siasat. – BERNAMA

  • Cemar sungai, lesen kilang sawit digantung serta merta

    Cemar sungai, lesen kilang sawit digantung serta merta

    LESEN sebuah kilang pemprosesan kelapa sawit digantung serta merta oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS), sementara kelengkapan operasinya turut disita selepas mendapati mencemarkan Sungai Bahai di Kluang.

    JAS, dalam satu kenyataan rasmi mendapati siasatan lanjut menunjukkan punca pencemaran sungai tersebut adalah daripada ‘Empty Fruit Bunches’ (EFB) sebuah kilang sawit apabila air larutan resapan (lecet) yang terhasil mengalir ke kawasan alur air Sungai Bahai, lapor Berita Harian, hari ini.

    “Susulan aduan awam yang diterima, JAS Kluang menjalankan siasatan ke lokasi diadukan pada kelmarin dan semalam untuk mengenal pasti punca pencemaran.

    “Pihak kilang juga didapati menggunakan kaedah pelupusan di atas ‘staked fronds’ dengan menyembur ke lorong pelepah dan tidak terus ke atas tanah bagi efluen yang diolah untuk pelupusan atas tanah seperti ditetapkan dalam syarat lesen,” katanya.

    Sehubungan itu, pihak kilang tersebut dikenakan Penahanan Operasi Kelengkapan dan lesen kilang sawit digantung serta merta.

    Kenyataan itu juga mengingatkan pihak industri, termasuk kilang sawit untuk memathui Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan syarat lesen yang ditetapkan JAS.

    “Tindakan tegas termasuk menggantung atau membatalkan lesen akan diambil JAS jika berlaku sebarang pelanggaran akta yang mencemarkan alam sekitar dan menjejaskan bekalan air minuman atau kesihatan orang awam,” katanya.

    Katanya, orang ramai boleh melaporkan kes pencemaran kepada JAS di talian bebas tol 1800882727 atau melalui [email protected].

  • 1MDB pindah AS$110 juta, tiada masalah dikesan: Saksi

    1MDB pindah AS$110 juta, tiada masalah dikesan: Saksi

    MAHKAMAH Tinggi di Kuala Lumpur hari ini diberitahu oleh Pembantu Naib Presiden, Bahagian Operasi Pasaran Global Deustche Bank Malaysia (DBMB), bahawa tiada sebarang masalah dikesan dalam transaksi pindahan AS$110 juta daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada PetroSaudi International Ltd (PSI).

    Saksi pendakwaan ke-22, Fatehah Md. Salleh berkata demikian terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak yang berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

    Fatehah berkata, pada 27 Mei 2011, beliau menjawat jawatan pegawai operasi kanan menerima dokumen arahan pembayaran pertukaran mata wang asing untuk 1MDB kepada akaun pihak ketiga.

    “Arahan itu kepada JP Morgan Chase New York ke akaun RBS Coutts Bank Ltd untuk dikreditkan ke suatu akaun melalui surat yang ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

    “Menerusi pemeriksaan melalui sistem penyelidikan pencegahan jenayah (PCR) dan ‘HotScan’, tiada halangan atau masalah untuk melakukan transaksi pemindahan wang dilaksanakan,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Menerusi prosiding sebelum ini, mahkamah diberitahu bahawa akaun itu adalah milik Good Star Ltd di RBS Coutts Bank Ltd di mana syarikat berkenaan dikatakan berada di bawah kawalan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

    Sementara itu, saksi pendakwaan ke-21, Naib Presiden Bahagian Pasaran Global DBMB, Nur Hasnee Taha Mohd. Nordin berkata, pada 30 September 2009 wang berjumlah RM3.487 bilion dipindahkan 1MDB kepada DBMB.

    Menurutnya, ia dilakukan melalui lima transaksi Sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti Secara Elektronik Masa Nyata (Rentas) melalui akaun Bank RHB.

    “Wang itu dipindahkan oleh 1MDB bagi transaksi tukaran mata wang asing dengan membeli AS$1 bilion (RM3.487 bilion) di mana AS$700 juta kemudian dipindahkan ke RBS serta AS$300 juta didepositkan ke dalam akaun JP Morgan SA Geneva.

    “Ia seperti yang diarahkan oleh 1MDB dan dipersetujui kedua-dua pihak,” katanya.

    Najib, 69, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung Isnin depan.

  • Malaysia gusar tindakan hina Nabi Muhammad berulang:Saifuddin

    Malaysia gusar tindakan hina Nabi Muhammad berulang:Saifuddin

    KERAJAAN Malaysia gusar dan kecewa kerana insiden menghina Nabi Muhammad SAW sering kali berulang di India.

    Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, perkara itu telah disuarakannya dalam pertemuan dengan Pesuruhjaya Tinggi India ke Kuala Lumpur, BN Reddy pada Selasa lepas.

    “Duta mereka telah dipanggil pada Selasa dan kita sebutkan kita tak puas hati dengan apa berlaku. Tapi kita kata bagus juga kerana mereka (parti utama Kerajaan India, Bharajaya Janata) dah ambil tindakan apabila dua orang terlibat itu telah dipecat atau dihentikan.

    “Namun kita nyatakan kerisauan kita perkara ini sudah selalu berlaku sejak mutakhir ini, dan kita minta kerajaan India berusaha cuba hentikan daripada perkara ini berlaku lagi,” katanya memetik laporan Astro Awani.

    Saifuddin berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama di Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-50 Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) di Malaysia, di Putrajaya hari ini.

    Beliau berkata, pada masa sama kerajaan Malaysia menerima baik tindakan parti utama kerajaan India, Bharajaya Janata (BJP), yang menggantung seorang jurucakap, dan memecat seorang lagi kerana menghina Nabi Muhammad.

    Kerajaan India telah menerima kecaman hebat di peringkat antarabangsa selepas dua jurucakapnya Nupur Sharma, dan Naveen Jindal telah mengeluarkan kenyataan yang menghina Nabi Muhammad dan isteri Baginda, Aisyah RA.

    Dalam satu kenyataan di laman web rasmi Pejabat Pesuruhjaya Tinggi India ke Kuala Lumpur, mereka bertegas bahawa kenyataan dua jurucakap BJP tidak menggambarkan pendirian Kerajaan India.

    “Kerajaan India sentiasa memberi penghormatan tinggi kepada semua agama. Tindakan tegas telah diambil terhadap pihak berkenaan, yang membuat kenyataan atau ciapan berunsur penghinaan,” menurut kenyataan itu lagi.

  • Bayi baru lahir dibuang tepi gerai dekat UiTM

    Bayi baru lahir dibuang tepi gerai dekat UiTM

    SEORANG bayi penemuan yang masih hidup ditinggalkan di sebuah gerai makan berhampiran pintu masuk Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Perlis, Taman Seri Wang, di Arau, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Arau Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam berhubung penemuan bayi itu sekitar pukul 9.10 pagi.

    “Siasatan awal mendapati, sebelum itu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis ada menerima panggilan telefon sekitar 8.20 pagi daripada seorang perempuan memaklumkan dia meninggalkan bayi berdekatan dengan UiTM Kampus Perlis.

    “JKM yang tiba di tempat kejadian sekitar 8.40 pagi kemudian menemukan bayi perempuan masih bertali pusat dalam plastik berwarna hitam diletakkan di kawasan gerai itu seperti didakwa pemanggil perempuan sebelum itu,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Katanya, polis kemudian memaklumkan kejadian itu kepada petugas kesihatan yang kemudian tiba sekitar 9.50 pagi.

    “Bayi itu dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Tuanku Fauziah Kangar untuk rawatan susulan dan bayi itu kini dalam keadaan stabil.

    “Buat masa ini kita sedang mengesan seorang remaja perempuan berusia 19 tahun yang dipercayai membuang bayi itu,” katanya.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

  • Mayat lelaki terapung dalam longkang

    Mayat lelaki terapung dalam longkang

    SATU mayat lelaki tempatan ditemukan orang awam terapung dalam longkang Jalan Papan, Pandamaran, Klang, pukul 8 pagi tadi.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, pihkanya menerima panggilan kecemasan pukul 8.16 pagi.

    “Susulan itu sebuah jentera dan anggota dari Balai Bomba Pelabuhan Klang dikerahkan ke lokasi kejadian.

    “Setelah membuat ‘size up’ di lokasi satu mayat lelaki tempatan berusia 44 tahun ditemui dalam sebuah longkang besar.

    “Anggota bomba telah mengangkat mayat tersebut menggunakan pengusung dan tangga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata, mayat terbabit diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

  • Polis tahan penganggur warga asing pecah rumah

    Polis tahan penganggur warga asing pecah rumah

    POLIS menahan seorang penganggur warga asing kerana disyaki terlibat dalam kes pecah rumah di Taman Cheras Indah, kelmarin.

    Suspek berusia 34 tahun itu ditahan pada pukul 5 petang di Taman Lembah Maju, Ampang.

    Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, penahanan suspek itu merupakan susulan laporan daripada seorang lelaki yang bekerja sebagai juruelektrik mendakwa seorang lelaki memecah masuk rumahnya.

    “Suspek dikatakan masuk melalui tingkap bilik pada 24 Mei lalu.

    “Susulan itu pihak polis merampas 12 utas jam pelbagai jenama, tiga buah kamera serta pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk kegiatan pecah rumah.

    “Semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai dua rekod berkaitan kes dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

    Mohamad Farouk berkata, semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai dua rekod berkaitan kes dadah.

    Pihaknya masih mengesan rakan sejenayah suspek yang masih bebas.

    “Penangkapan suspek itu, kita percaya telah berjaya menyelesaikan empat kes pecah rumah di sekitar Ampang.

    “Suspek direman selama tujuh hari bermula semalam hingga Selasa ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • Tiada dam untuk wanita yang pakai pelitup muka ketika ihram

    Tiada dam untuk wanita yang pakai pelitup muka ketika ihram

    WANITA yang memakai pelitup muka ketika berada dalam ihram tidak perlu membayar dam, kata Pengarah Operasi Bimbingan Lembaga Tabung Haji (TH) Tengku Aziz Raja Abdullah.

    Beliau berkata ia merupakan keputusan yang dicapai menerusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan ke-37 sempena musim haji tahun ini berikutan timbul beberapa persoalan mengenai pemakaian pelitup muka yang dikuatkuasakan oleh kerajaan Arab Saudi ketika ini.

    Tengku Aziz berkata semasa wabak melanda, pemakaian pelitup muka yang diarahkan oleh pihak berkuasa bagi wanita adalah diharuskan dan tidak berdosa.

     “Menutup muka dalam masa ihram mengikut hukum asalnya bagi lelaki tiada masalah dan tidak dikenakan dam, bagi wanita jika dia menutup muka maka akan dikenakan dam kerana ia larangan dalam ihram.

    “Jadi timbul persoalan apabila musim wabak, sebagaimana yang kita putuskan dalam muzakarah haji iaitu sekiranya pelitup muka itu diarahkan oleh pemerintah dan terpaksa setiap orang mesti memakai pelitup muka kerana wabak maka ketika itu hukumnya akan jadi harus dan tidak dikenakan dam,” katanya.

    Tengku Aziz berkata demikian ketika ditemui pemberita di bangunan penginapan dan pengurusan TH di Abraj Al Janadriah, Makkah susulan timbul pendapat berbeza berkaitan larangan terkini kerajaan Arab Saudi yang mewajibkan pemakaian pelitup muka di kawasan terbuka dan tertutup.

    Dam ialah satu daripada kaedah untuk menyempurnakan ibadah haji dan umrah di atas sebab-sebab tertentu.

    Bagi memastikan semua jemaah haji memperoleh maklumat tepat berhubung perkara itu, pihaknya telah mengarahkan semua pembimbing yang bertugas di bawah TH memaklumkannya menerusi sesi kursus serta ceramah di tanah air dan Tanah Suci.

    Menurut Tengku Aziz, perkembangan itu mungkin akan berubah dari semasa ke semasa, berdasarkan arahan daripada kerajaan Arab Saudi.

    Dalam perkembangan lain, seramai 200 petugas mengadakan majlis tahlil dan bacaan Yasin malam tadi, bagi mendoakan agar urusan menyambut  ketibaan 295 jemaah di Makkah, kira-kira 8 malam ini waktu Arab Saudi dipermudahkan.

    Seramai 14,306 jemaah Malaysia akan menunaikan haji pada tahun ini dengan 48 penerbangan, iaitu yang terakhir pada 2 Julai.

    SEMENTARA itu, seramai 287 orang jemaah haji telah bertolak dari Movenpick Hotel and Convention Centre, Sepang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 9:40 pagi dan telah berlepas ke Madinah pada jam 12:47 tengah hari, dan dijangka sampai pada jam 4:10 petang waktu Arab Saudi (pukul 10.10 malam waktu Malaysia).

    *Ikuti laporan perkembangan jemaah haji Malaysia melalui media sosial Facebook, Twitter,Instagram dan Tik Tok Lembaga Tabung Haji.

    — BERNAMA