Category: Semasa

  • 840kg ganja dirampas di Pulau Pinang, terbesar tahun ini

    840kg ganja dirampas di Pulau Pinang, terbesar tahun ini

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    POLIS Pulau Pinang berjaya merampas sebanyak 840 kilogram (kg) dadah jenis ganja bernilai RM2.12 juta daripada satu sindiket di negeri itu iaitu rampasan terbesar bagi tahun ini.

    Rampasan itu dilakukan menerusi operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan kerjasama JSJN Pulau Pinang dalam dua serbuan pada Jumaat dan Sabtu lalu di Sungai Bakap dan Nibong Tebal.

    Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dalam serbuan antara pukul 10.50 malam hingga 1 pagi itu, seramai lapan lelaki iaitu enam rakyat tempatan dan dua warga Thailand berumur antara 35 hingga 59 tahun dipercayai terbabit dalam sindiket berkenaan.

    “Modus operandi sindiket ini adalah menyeludup masuk dadah ganja dari selatan Thailand melalui jalan laut untuk diedarkan di pasaran tempatan.

    “Sindiket ini dipercayai mula aktif sejak hujung 2021 dan dadah yang dirampas ini jika terlepas ke pasaran boleh digunakan oleh seramai kira-kira 1.68 juta penagih,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat kontinjen polis (IPK) Pulau Pinang, hari ini.

    Polis turut menyita pelbagai aset sindiket terbabit yang dianggarkan bernilai RM80,000 menjadikan jumlah rampasan dadah dan sitaan adalah RM2.2 juta

    Menurut Ayob Khan, ujian air kencing ke atas suspek mendapati empat daripada mereka positif dadah jenis THC manakala seorang positif morfin.

    Sementara itu tambahnya, seramai lima daripada mereka juga didapati mempunyai rekod lampau di bawah kesalahan dadah dan jenayah.

    “Menerusi operasi ini juga, kita turut menyita pelbagai aset sindiket terbabit yang dianggarkan bernilai RM80,000 menjadikan jumlah rampasan dadah dan sitaan adalah RM2.2 juta,” katanya.

    Tambah beliau, kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula 11 Jun lalu bagi membantu siasatan.

  • Buruh dituduh rogol anak kandung 14 tahun

    Buruh dituduh rogol anak kandung 14 tahun

    SEORANG buruh didakwa di Mahkamah Sesyen di Pasir Mas, hari ini, atas pertuduhan merogol anak kandungnya pada bulan lalu.

    Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Penolong Pendaftar Kanan Mahkamah, Rozaidi Yaakob.

    Menurut laporan Berita Harian, tertuduh berusia 39 tahun itu didakwa merogol mangsa berusia 14 tahun tanpa kerelaan di sebuah rumah di Tanah Merah, kira-kira pukul 12 tengah malam 31 Mei lalu.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (2) (d) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum bawah Seksyen 376 (2) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara 10 hingga 30 tahun dan juga sebat, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Syafiq Aizat Nazri, manakala tertuduh tiada diwakili peguam.

    Sebelum ini, Ahmad Syafiq tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh memandangkan pertuduhan membabitkan kesalahan serius.

    Mahkamah kemudian menetapkan 15 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes di hadapan hakim Mahkamah Sesyen.

  • Siti Bainun paksa Bella makan nasi goreng cili

    Siti Bainun paksa Bella makan nasi goreng cili

    MAHKAMAH Sesyen di Kuala Lumpur hari ini diberitahu, remaja Sindrom Down dikenali sebagai Bella disuap secara paksa sepinggan nasi goreng bersama jumlah cili yang banyak oleh pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd. Razali.

    Saksi pendakwaan kelapan, Suhana Zam, 40, membuat pendedahan tersebut ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad.

    Menurut Suhana, tindakan Siti Bainun itu dilihat ketika bersama-sama beberapa penghuni berada di Rumah Bonda untuk makan tengah hari.

    “Saya nampak Siti Bainun letak sepinggan nasi goreng dan cili dipotong yang pada saya nisbah cili tu banyak berbanding nasi.

    “Dia (Siti Bainun) gaul dan nampk dia pegang dagu Bella untuk suapkan Bella…Bella mengelak tapi terpaksa makan sebab dipaksa..Dalam hati saya kenapa jadi macam ini?.

    “Saya terkejut tapi tidak cakap apa-apa sebab tidak mahu ada tegur dengan Siti Bainun pada waktu itu sebab bimbang dan tak pasti reaksi dia (Siti Bainun),” katanya dalam sesi pemeriksaan utama, hari ini, lapor Harian Metro.

    Dalam sesi sama, Suhana memaklumkan dia melihat keadaan Bella yang tidak terurus dengan kesan lebam pada muka remaja itu ketika datang ke Rumah Bonda pada 13 Jun 2021 selepas diajak Siti Bainun untuk makan ‘king crab’.

    Beliau berkata, ketika tiba pukul 5 petang di rumah berkenaan, dia terkejut apabila nampak rambut Bella sudah dipotong pendek dengan potongan tidak kemas.

    “Saya nampak bahagian kanan muka Bella ada lebam sebesar tapak tangan dari atas kening hingga bawah mata.

    “Muka Bella ketakutan sangat dan ini adalah keadaan Bella paling teruk, rambut ‘tobek’ dan berbaju lengan panjang. Ketika itu saya agak emosional dan ada bertanyakan kepada Siti Bainun kenapa teruk sangat keadaan Bella.

    “Siti Bainun memaklumkan Bella bergaduh (dengan penghuni lain) dan hanya letak ubat sendiri tanpa bawa ke klinik.

    “Dalam hati saya dah marah…saya tidak tanya lebih lanjut sebab tidak mahu bergaduh…saya nampak Bella beberapa kali dan dalam hati saya kata ini tidak betul..saya rasa marah dengan keadaan Bella,” katanya.

    Suhana juga memaklumkan dia dan beberapa rakan rapat dengan Siti Bainun mengambil masa untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai keadaan Bella kerana bimbang remaja itu akan disorok selain mereka tidak lagi boleh bertemu.

    Terdahulu, Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

    Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

  • Tukang masak ditemukan meninggal dunia di tepi jalan

    Tukang masak ditemukan meninggal dunia di tepi jalan

    SEORANG tukang masak ditemukan meninggal dunia semasa ingin menongkat motosikal di tepi jalan dekat Taman Cengal Emas, Subai Petani, kira-kira 12 tengah hari semalam.

    Seorang saksi melihat Tan Kean Ong, 55, rebah di hadapan rumahnya menyebabkan bertindak mendapatkan bantuan.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, bagaimanapun, pasukan perubatan yang tiba ke lokasi kejadian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

    “Saksi ternampak mangsa berhenti dan semasa ingin menongkat motosikal, dia telah terjatuh dan tidak sedarkan diri.

    “Maklumat dari ahli keluarga memaklumkan, lelaki terbabit bekerja sebagai tukang masak dan tinggal seorang diri setelah berpisah dengan bekas isteri serta sentiasa berpindah rumah sewa.

    “Kali terakhir mereka bertemu ialah pada sambutan Tahun Baharu Cina 2022,” katanya menurut laporan Sinar Harian, hari ini.

    Menurut Zaidy, proses sanitasi dilakukan pihak kesihatan di lokasi kejadian dan mayat dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim bagi tujuan ujian swab Covid-19 serta bedah siasat.

  • Harga alat ganti tidak terkawal, tambang bas sekolah dikaji semula

    Harga alat ganti tidak terkawal, tambang bas sekolah dikaji semula

    KENAIKAN mendadak kos penyelenggaraan kenderaan menyebabkan pengusaha bas sekolah terpaksa mengkaji semula tambang ditetapkan.

    Presiden Gabungan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (GPBSM), Mohd. Rofik Mohd. Yusof berkata, pihaknya terpaksa menaikkan harga bagi menampung kos operasi serta penyelenggaraan kenderaan yang terpaksa ditanggung mereka.

    “Ibu bapa sedia maklum dengan kos operasi yang terlalu tinggi sekarang. Cuma saya jangkakan pengusaha akan bagi kelonggaran.

    “Contohnya dalam satu keluarga itu sekiranya ada lima orang naik bas yang sama, seorang sahaja yang akan dinaikkan tambang,” katanya, lapor Astro Awani, hari ini.

    Mohd. Rofik berkata, pengusaha bas sekolah sebenarnya tersepit dengan kos operasi yang meningkat.

    “Jika dilihat daripada kos alat ganti, langsung tidak terkawal. Harga alat ganti dan tayar (semuanya) naik,” ujarnya.

    Di samping itu, katanya, industri bas juga mengalami kekurangan pemandu sama ada melibatkan pemandu bas sekolah atau bas ekspres.

    “Boleh dikatakan 80 peratus dulunya pemandu bas sekarang ini sudah bawa lori. Bila sudah bawa lori, mereka tak mahu bawa semula bas sekolah.

    “Hampir 60 peratus pengusaha bas sekolah juga sudah ‘gulung tikar’. Mereka tak mampu lagi (tanggung kos operasi) sebab sudah dua tahun tersadai,” ujarnya.

  • Tiga sahabat maut kereta bertembung lori tangki minyak

    Tiga sahabat maut kereta bertembung lori tangki minyak

    TIGA sahabat lelaki maut manakala dua lagi cedera parah apabila kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori tangki minyak di Kilometer 7 Jalan Maharajalela di Teluk Intan, malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Ahmad Adnan Basri berkata, kejadian pada pukul 9.40 malam itu dimaklumkan oleh orang awam kepada pihak polis yang melibatkan mangsa lima sahabat lelaki berusia lingkungan 19 hingga 26 tahun yang menaiki kereta Volkswagen.

    “Pemandu kereta berusia 26 tahun dan seorang penumpang berumur 19 tahun mengalami cedera parah manakala pemandu lori tangki minyak itu tidak cedera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kereta Volkswagen itu dari arah Hutan Melintang menuju ke Teluk Intan sebelum bertembung dengan lori tangki minyak tersebut.

    Menurutnya, kesemua mayat mangsa dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat. – BERNAMA

  • Lelaki ceroboh kubur, cabut nisan direman

    Lelaki ceroboh kubur, cabut nisan direman

    POLIS menahan reman seorang lelaki kerana disyaki menceroboh dan melakukan khianat di kawasan tanah perkuburan di Kampung Jawa, Semanggol di Bagan Serai yang videonya tular di media sosial.

    Ketua Polis Daerah Kerian, Supt Mazuki Mat berkata, lelaki berumur 36 tahun itu ditahan hasil maklumat awam kira-kira pukul 9 pagi pada 9 Jun lepas dan direman bermula 10 hingga 15 Jun ini.

    “Berdasarkan rakaman video berdurasi 1 minit 21 saat itu yang dimuat naik dalam media sosial pada 8 Jun, seorang lelaki bertindak di luar kawalan dengan menceroboh dan melakukan khianat di sekitar kawasan perkuburan terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mazuki berkata, hasil siasatan dan semakan video itu mendapati, suspek tinggal berdekatan di kawasan itu.

    “Polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 297 Kanun Keseksaan. Motif kejadian masih disiasat,” katanya. – BERNAMA

  • Saran BNM tubuh tribunal khas bantu mangsa penipuan kewangan

    Saran BNM tubuh tribunal khas bantu mangsa penipuan kewangan

    BANK Negara Malaysia (BNM) disaran menubuhkan satu tribunal khas bagi menyelesaikan isu tuntutan mangsa kes penipuan kewangan susulan semakin banyak kes dilaporkan kebelakangan ini.

    Menurut Ketua Biro Kempen Masyarakat Sivil MCA Kebangsaan, Ng Kian Nam, ini kerana platform sedia ada ketika ini yang dikenali sebagai ‘Ombudsman for Finacial Services’ (OFS) tidak telus dan tidak lagi relevan buat masa ini.

    “Kami percaya BNM sebagai pengawal selia utama kerajaan dalam bidang kewangan untuk mempertahankan kepentingan pemegang akaun di institusi perbankan, yang sebenarnya hak mereka dipertahankan mengikut Artikel 13 Perlembagaan Persekutuan.

    “Platform untuk mangsa mendapatkan bantuan sangat terbatas ketika ini. Jika ke mahkamah, mereka perlu menanggung kos guaman, manakala satu lagi platform iaitu OFS tidak telus kerana tiada pendengaran dilakukan.

    “Kedua-dua pihak hanya memberikan bukti kepada pihak yang terbabit dalam OFS dan keputusan dikeluarkan tanpa sebarang pendengaran atau hujahan dan soal balas daripada kedua-dua pihak,” katanya memetik laporan Berita Harian, hari ini.

    Semalam, BNM memaklumkan, semua bank berlesen dikehendaki menerapkan standard keselamatan yang tinggi, terutama untuk perkhidmatan perbankan internet serta mudah alih.

    Selain itu, semua keperluan untuk meningkatkan kawalan sedia ada dan memastikan perlindungan yang mencukupi terhadap ancaman terkini, sambil mengekalkan perkhidmatan yang cekap kepada pelanggan.

    Kian Nam yang juga seorang peguam berkata, BNM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga perlu bertindak pantas dengan membekukan akaun terbabit penipuan kerana orang ramai terus tertipu dengan jumlah mencecah jutaan ringgit menerusi akaun berkenaan.

    Pihaknya juga mencadangkan BNM menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi meneliti semula sistem keselamatan perbankan dalam talian setiap penyedia kemudahan di istitusi perbankan yang ada bagi memastikan mereka mengikut piawaian yang ditetapkan.

    Tujuannya kata beliau, bagi memastikan keselamatan siber yang dibekalkan mereka dalam perkhidmatan dalam talian ini adalah selamat, boleh dipercayai dan profesional selaras dengan standard antarabangsa.

  • PGA8 gagalkan cubaan seludup cecair vape RM1.18 juta guna lori syarikat kurier

    PGA8 gagalkan cubaan seludup cecair vape RM1.18 juta guna lori syarikat kurier

    TAKTIK penyeludup menggunakan lori syarikat perkhidmatan kurier untuk membawa 21,600 botol cecair vape bernilai RM1.18 juta gagal apabila berjaya dikesan anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA8) di Pos Simpangan, Tumpat semalam.

    Timbalan Komander Briged Tenggara PGA ACP Hakemal Hawari berkata rampasan dilakukan oleh anggota yang menahan lori dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 34 tahun ketika melaksanakan penugasan Op Wawasan di lokasi terbabit pada 12 tengah hari.

    Beliau berkata ketika pemeriksaan, anggotanya menemukan beberapa kotak berwarna coklat yang mengandungi pelbagai jenis perisa cecair vape.

    “Ketika pemeriksaan dilakukan, anggota itu didatangi seorang lelaki berusia 20 tahun yang mengaku sebagai penerima kotak-kotak tersebut.

    “Barang rampasan, lori serta kedua-dua lelaki telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di Markas Taktikal PGA Lubok Setol, Rantau Panjang hari ini.

     Hakemal berkata cecair vape yang dirampas akan diserah kepada Kementerian Kesihatan untuk disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Racun 1952.

    Beliau berkata PGA8 turut merampas 8,800 unit rokok elektronik bernilai RM220,000 di kawasan Pangkalan Haram Pok Leh, Kampung Tualang, Tumpat semalam.

    Rampasan dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota PGA8 yang melihat dua lelaki sedang memunggah beberapa kotak dari tebing sungai ke dalam sebuah perahu pada 3.30 petang.

    Bagaimanapun, Hakemal berkata kehadiran mereka disedari oleh kedua-dua lelaki yang bertindak melarikan diri ke negara jiran menggunakan perahu terbabit.

    “Pemeriksaan pada kotak tersebut menemukan rokok elektronik berkenaan yang disyaki untuk diseludup ke negara jiran.

    “Barangan rampasan telah dibawa kepada IPD Tumpat untuk siasatan sebelum diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967,” katanya.

    — BERNAMA

  • Kerajaan stabil, tidak perlu desak bubar Parlimen – Annuar

    Kerajaan stabil, tidak perlu desak bubar Parlimen – Annuar

    KERAJAAN pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merupakan sebuah kerajaan stabil hasil dukungan semua pihak termasuk pembangkang, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

    Justeru, beliau berkata tiada keperluan mendesak ketika ini untuk membubarkan Parlimen bagi membolehkan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) diadakan.

    “Soal pembubaran ini kalau kita tengok pilihan raya umum sebelum ini pun bukan berdasarkan desakan. Kabinet kena buat keputusan kalau rasa dapat mandat serta rasa dah cukup masa nak bubar, Kabinet serta perdana menteri cuma boleh menasihatkan, namun Yang di-Pertuan Agong yang mempunyai kuasa mutlak.

    “Setakat ini, Yang di-Pertuan Agong titah kita (kerajaan) suruh kerja, Yang di-Pertuan Agong tidak titah kita (kerajaan) suruh ‘politiking’ malah Yang di-Pertuan Agong sebut kurangkan ‘politiking.’ Kerajaan ini akan junjung titah Yang di-Pertuan Agong,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Khas Bersama Warga Jabatan Penerangan Kelantan.

    Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, kerajaan pimpinan perdana menteri ketika ini mahu terus memberi tumpuan melaksanakan banyak agenda kepada rakyat.

    “Tetapi cuba digambarkan kerajaan ini tidak stabil, kerajaan ini perlu dibubarkan, adakan pilihan raya umum dan sebagainya sedangkan ini dua dunia berbeza, ini adalah sebuah kerajaan yang cukup stabil.

    “Jangan lupa kerajaan ini turut ditadbir berasaskan memorandum persefahaman (MoU) di antara kerajaan dan pembangkang, MoU tentang kestabilan dan transformasi,” katanya.