Category: Semasa

  • Mahaguru Taekwondo Saberi Salleh meninggal dunia

    Mahaguru Taekwondo Saberi Salleh meninggal dunia

    TOKOH seni bela diri Taekwondo dan Pengasas Global International Taekwondo Federation (GITF ), Prof Datuk Dr Md Saberi Md Salleh meninggal dunia pada usia 72 tahun pada pukul 7.33 pagi tadi.

    Perkara tersebut telah disahkan oleh anak Allahyarham, Shareen dan Suzlan.

    Allahyarham Saberi, bekas dekan pertama Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu dilaporkan berada dalam keadaan yang tenat dan telah dimasukkan ke Hospital Shah Alam akibat pelbagai komplikasi awal Mei lepas.

    “Dengan rasa sedih dan penuh dukacitanya dimaklumkan bahawa ayahanda kami Md Saberi Md Salleh telah kembali menemui penciptanya pada pukul 7.33 pagi, Selasa 14, Jun 2022.

    “Dengan rendah diri, saya ingin memohon jasa baik semua untuk mendoakan agar ayah ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang dikasihi-Nya” menurut kenyataan ringkas daripada keluarganya.

    Jenazah Allahyarham akan dibawa ke Surau Al-Amin Kuarters Polis Seksyen 20 Shah Alam untuk urusan selanjutnya.

    Pada 2006 Allahyarham mendapat sokongan 32 negara anggota gabungan untuk menubuhkan GITF sekali gus menjadi presiden.

    Beliau seorang antara bukan warga Korea yang dilatih secara peribadi oleh mendiang Jeneral Choi Hong Hi iaitu pengasas taekwondo di negara Asia Timur dan mantan Presiden Persekutuan Taekwondo Antarabangsa (ITF).

    Saberi juga terkenal sebagai Pengasas Persekutuan Taekwondo Global Malaysia (MGTF), Pengasas Akademi Taekwondo Sabree dan penerima International Hall of Fame Award 2008 The World Head of Family Sokeship Council yang hanya dianggotai pakar seni bela diri seperti Jackie Chan dan Chuck Norris.

    Pada Januari 2010, Saberi dianugerahkan Tali Pinggang Hitam Tahap Ke-10 dan gelaran Mahaguru Agung (Grandmaster Chong Kwan Jang Nim) daripada Persekutuan Song Do Kwan Kong Soo Doo. – BERNAMA

  • Siti Nurhaliza ‘berguru’ dengan Azizan Osman

    Siti Nurhaliza ‘berguru’ dengan Azizan Osman

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengambil langkah untuk ‘berguru’ dengan mentor usahawan terkenal, Datuk Dr. Azizan Osman bagi merangka transformasi serta memperkembangkan perniagaan SimplySiti yang diasaskannya sejak Mac 2010.

    Menurut isteri kepada Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa itu, beliau secara peribadi merasakan ilmunya masih kurang dan memerlukan bimbingan walaupun sudah lebih 10 tahun menceburi bidang perniagaan.

    “Sepanjang dua hari saya berada dalam kelas Azizan, saya boleh rasakan yang saya perlukan beliau untuk lebih berkembang dalam dunia perniagaan. Jika dunia hiburan boleh dianggap sebagai ‘makanan’, namun dalam dunia perniagaan saya masih kurang ilmu dan perlukan bimbingan.

    “Saya seronok dapat kembali menjadi pelajar. Dalam kelas ini, saya tak fikir yang saya seorang penyanyi atau selebriti sebaliknya merasa gembira kerana dapat sama-sama melakukan tugasan bersama ‘pelajar’ lain.

    “Sepanjang berada di sini, saya belajar memperbaiki diri. Saya sedar yang saya memiliki tanggungan di bawah iaitu individu yang bersama-sama memperjuangkan Simplysiti dan saya akan dapatkan ilmu itu bagi dikongsi bersama mereka,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Majlis Menandatangani Keahlian Titanium Premier Partner (TPP) dan Watikah Penyedia Latihan Richwork di The Datai, Langkawi, Kedah, hari ini.

    Siti Nurhaliza merupakan individu pertama yang diterima untuk dibimbing dan menjadi rakan niaga strategik oleh Richworks sebagai TPP. Selain beliau, pasangan suami isteri, Siti Fatimah Abd. Samad dan Mohd. Sufian Sulaiman yang mengasaskan jenama pakaian terkenal, Sabella turut menandatangani perjanjian sama.

    Dalam majlis itu juga Richworks turut mengumumkan pelantikan pengacara terkenal, Datuk Aznil Nawawi sebagai rakan latihan bagi membimbing usahawan jutawan.

    Penyanyi yang terkenal dengan lagu Aku Bidadari Syurgamu itu menambah, Richworks dianggap sebagai universiti yang mampu mendidiknya untuk lebih berjaya dalam bidang perniagaan.

    “Kadang-kadang apa yang kita belajar dalam buku, keadaannya tidak sama di luar. Bukan senang untuk mempraktikkan apa yang dipelajari di luar dan saya dapati, Richworks memiliki kepakaran itu untuk membantu saya lebih berkembang.

    “Sebagai pemilik perniagaan, sudah tentu saya nak tembusi pasaran antarabangsa. Sebelum ini pun kita sudah masuk ke pasaran Indonesia namun terjejas akibat kedatangan pandemik Covid-19.

    “Dalam masa sama, saya mahu perkukuhkan dulu perniagaan ini sebelum mungkin menceburi perniagaan lain pula. Sebab itulah saya mahu kembali belajar bagi mendapatkan bimbingan di Richworks,” katanya.

    Dalam pada itu Azizan yang merupakan pengasas dan pengerusi Richworks berkata, beliau melihat empayar Simplysiti mampu melangkah lebih jauh memandangkan kekuatan yang ada pada Siti Nurhaliza sendiri selaku pengasas perniagaan tersebut.

    “Melalui perbincangan dijalankan, kita akan menstruktur dan merangka semula strategi untuk Simplysiti. Apa pun kejayaan itu tidak mungkin dapat dicapai esok pagi dan pastinya memerlukan masa.

    “Kita menetapkan untuk mencapai sasaran tertentu pada 2024, insya-Allah. Kita akan berusaha untuk memastikan perniagaan ini dapat dikembangkan ke luar negara termasuk di Indonesia yang memiliki pasaran cukup besar,” katanya.

  • Ayob nafi dakwa pegawai polis terlibat sindiket dadah

    Ayob nafi dakwa pegawai polis terlibat sindiket dadah

     

    PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menafikan laporan mendakwa beliau pernah mengeluarkan kenyataan mengatakan ramai pegawai polis terbabit dalam sindiket pengedaran dadah.

    “Saya menafikan sekeras-kerasnya bahawa kenyataan tersebut dikeluarkan oleh saya kepada Telegram Edisi Siasat.

    “Laporan tersebut adalah rekaan semata-mata yang berniat jahat untuk menjejaskan kredibiliti di pucuk pimpinan tertinggi polis dan imej polis secara keseluruhannya,” katanya dalam kenyataan lapor FMT.

    Ayob berkata, sekiranya terdapat bukti ada pegawai dan anggota polis terlibat dengan sindiket dadah, mereka tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas.

    Katanya, semua kejayaan polis adalah hasil kerjasama mantap semua jabatan dalam pasukan itu bersama jabatan dan agensi luar.

    “Ia bukan kejayaan individu. Masyarakat diingatkan tidak mudah percaya dan terpengaruh dengan sebarang kenyataan tidak berasas dan tidak ditentukan kesahihannya,” katanya.

  • Majikan Kemboja ugut bayar AS$15,000 atau jual organ dalaman

    Majikan Kemboja ugut bayar AS$15,000 atau jual organ dalaman

    DEMI mengharapkan pekerjaan yang memberikan gaji lumayan, Tay Poh Chai, 39, berlepas ke Kemboja Disember lepas, namun malang yang menimpa menyebabkan beliau kini hidup dalam tekanan dan terancam di negara asing, menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran kerja.

    Ibunya Khor Cha Bo, 68, kini hanya mampu merayu bantuan pihak kerajaan, terutama Kementerian Luar dan polis agar membantu membawa anak lelakinya itu kembali ke tanah air.

    Khor berkata, anaknya diajak oleh kawannya ke Kemboja kerana mendapat tawaran kerja dalam bidang perjudian atau kasino dalam talian dengan gaji yang lumayan, menjangkau RM8,000 hingga RM9,000 sebulan.

    “Anak saya bekerja secara sambilan sebagai juruteknik elektrik di sini dan dia yang diajak kawan ke Kemboja kerana gaji yang lumayan di sana, tetapi saya dan ahli keluarga yang lain telah nasihatkan agar tidak pergi, namun dia berkeras mahu ke sana sebab boleh kumpul duit serta tambah pendapatan.

    “Sepanjang dia di sana, ada beberapa kali kami berhubung dan dia beritahu yang dia berada dalam keadaan baik… sehinggalah 28 Mei lepas dia hubungi kami menerusi aplikasi wechat dan maklumkan minta pertolongan kewangan AS$15,000 kerana majikan dia beritahu yang dia tidak lagi sesuai untuk kerja itu.

    “Wang itu adalah untuk ganti rugi dan majikan mengugut, jika gagal membayar jumlah yang diminta mereka akan jual organ dalaman anak saya… kami bimbang dan takut apa-apa terjadi kepadanya, dan sebab itu saya mohon bantuan kerajaan dan pihak berkuasa untuk selamatkan dia,” katanya kepada pemberita dalam sidang media anjuran Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim, di Bukit Mertajam hari ini.

    Khor berkata, Poh Chai ada memaklumkan ketika ini dia tidak lagi bekerja kerana majikannya telah membuangnya dan dia perlu meneruskan hidup, terutama membeli makanan menggunakan wang sendiri yang hampir kehabisan sekarang ini.

    “Menurut Poh Chai, semasa bekerja juga gajinya sering dipotong oleh majikan kerana mendakwa dia buat salah ketika kerja jadi setiap bulan gajinya sedikit sahaja… sekarang ini dia dikurung di satu kawasan dan sentiasa diawasi pihak majikannya,” katanya.

    Abang kepada Poh Chai, Poh Heng berkata adiknya turut memaklumkan dia pernah diseksa dengan renjatan elektrik dan bukan hanya dia seorang rakyat Malaysia di sana, (Kemboja) malah terdapat ramai juga lagi mengalami nasib sepertinya.

    Sementara itu Steven berkata, beliau terus menghubungi pejabat Menteri Luar sebaik menerima maklumat daripada keluarga Poh Chai yang memohon pertolongan semalam supaya tindakan segera dapat diambil.

    April lepas, 12 rakyat Malaysia yang diperdaya dengan iklan peluang pekerjaan sebagai pegawai khidmat pelanggan yang menawarkan gaji lumayan di Kemboja, berjaya dibawa pulang ke tanah air, hasil kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), polis Kemboja, Polis ASEAN (Aseanapol) dan Wisma Putra. – BERNAMA

  • SPRM tak gugur kes salah guna kuasa pegawai Mara Corp

    SPRM tak gugur kes salah guna kuasa pegawai Mara Corp

    DAKWAAN sebuah portal kononnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menggugurkan kes salah guna kuasa melibatkan tiga pegawai Mara Corp adalah tidak benar.

    Memetik laporan Astro Awani, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menegaskan, siasatan telah dijalankan oleh pihaknya dan beberapa individu dicadangkan untuk dituduh.

    “Kita telah hantar ke Jabatan Peguam Negara untuk dikaji dan seperti yang lepas kita mencadangkan untuk dituduh beberapa pihak dalam kes ini.

    “Jadi setakat ini tidak ada sebarang maklumat dari Jabatan Peguam Negara mengenai tiada pihak dituduh, jadi saya tiada komen mengenai kes ini tidak dituduh,” katanya ketika ditemui media dalam Majlis Anugerah SPRM 2021 di Putrajaya hari ini.

    Beliau menambah, siasatan yang dijalankan sebelum ini mendapati terdapat keterangan yang memadai untuk pertuduhan dibuat terhadap beberapa individu.

    “Dari pihak kami telah menyiasat dan pada pandangan kami ada keterangan memadai dan mencukupi untuk pertuduhan terdahadap beberapa pihak,” katanya lagi.

    Pada 5 Februari lalu, SPRM mengesahkan menerima satu laporan berhubung dakwaan isu integriti melibatkan beberapa pegawai kanan Mara, yang sedang disiasat secara dalaman oleh agensi itu sebelum menyerbu dan merampas beberapa dokumen daripada Mara, Mara Corp dan sebuah syarikat setiausaha korporat pada 7 Februari.

  • Pengarah APM Melaka meninggal dunia selepas rebah di pejabat

    Pengarah APM Melaka meninggal dunia selepas rebah di pejabat

    PENGARAH Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra meninggal dunia di Hospital Melaka hari ini.

    APM Melaka dalam kenyataan memaklumkan, Cuthbert John Martin, 47, menghembuskan nafas terakhir di jabatan kecemasan hospital berkenaan kira-kira 10 pagi tadi.

    Mendiang yang berasal dari Keningau, Sabah dilaporkan rebah secara tiba-tiba di pejabatnya di Ayer Keroh sebelum disahkan meninggal dunia di hospital itu.

    Beliau pernah berkhidmat di APM Pulau Pinang sebelum dilantik sebagai Pengarah APM Melaka berkuat kuasa 1 Jan 2021.

    Menurut kenyataan itu, bedah siasat ke atas mendiang akan dijalankan di hospital tersebut sebelum dibawa pulang ke kampung halamannya di Keningau untuk disemadikan. – BERNAMA

  • SPRM Johor tahan CEO syarikat telekomunikasi minta,terima rasuah RM200,000

    SPRM Johor tahan CEO syarikat telekomunikasi minta,terima rasuah RM200,000

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor telah menahan seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat rangkaian telekomunikasi bagi membantu siasatan kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah berjumlah lebih RM200,000 menerusi satu operasi yang dijalankan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

    Menurut sumber, suspek lelaki yang berusia 43 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Selangor, kira-kira pada jam 8.00 malam semalam selepas hadir memberikan keterangan.

    Difahamkan, sekitar April tahun lalu, suspek telah meminta dan menerima wang rasuah tersebut daripada sebuah syarikat lain sebagai dorongan memberikan kerja berkaitan projek kejuruteraan pembinaan dan pembaikian menara telekomunikasi yang berjumlah hampir RM50 juta.

    Susulan itu, Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini membenarkan suspek direman selama empat hari selepas SPRM Johor membuat permohonan reman pagi tadi.

    Perintah reman yang bermula hari ini sehingga 17 Jun depan itu keluarkan oleh Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali

    Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Dato’ Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009.

  • Polis Kelantan tumpas pengedaran rokok tidak bercukai

    Polis Kelantan tumpas pengedaran rokok tidak bercukai

    POLIS Kelantan berjaya menahan seorang lelaki dan merampas pelbagai jenis rokok tidak bercukai bernilai RM277,000 dalam serbuan di sebuah rumah dekat Kampung Telok Kitang, Pengkalan Chepa, di Kota Bharu, Ahad lepas.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kelantan, Datuk Mohd Nor Yhazid Idris berkata, dalam serbuan Op Kontraban pada 10 malam itu, pasukannya telah menjumpai rokok-rokok berkenaan tersimpan dalam beberapa kotak rokok berwarna coklat.

    “Terdapat 2,474 karton pelbagai jenis rokok pelbagai jenama dengan anggaran nilai rampasan termasuk cukai RM277,000 ditemukan, dan suspek berumur dalam lingkungan 30-an itu mengaku terlibat dalam kegiatan penyeludupan rokok tanpa cukai sejak Mac lepas,” katanya.

    Bercakap kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kelantan, di Kota Bharu hari ini beliau berkata, suspek direman hingga 16 Jun depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. – BERNAMA

  • 2 pekerja maut di Stadium Sultan Ibrahim jatuh dari ketinggian 27 meter

    2 pekerja maut di Stadium Sultan Ibrahim jatuh dari ketinggian 27 meter

    DUA mangsa yang dilaporkan maut di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri semalam, dipercayai terjatuh dari bumbung kanvas ke atas pagar ‘British Reinforced Concrete’ (BRC) stadium pada ketinggian dianggarkan 27 meter.

    Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Johor, Husdin Che Amat berkata, jabatan itu telah menghantar sepasukan pegawai penyiasat untuk menjalankan siasatan berhubung kes kemalangan itu yang melibatkan dua lelaki warga tempatan berusia 34 dan 35 tahun.

    “Hasil siasatan awal mendapati bahawa kedua-dua mangsa yang bekerja sebagai juruteknik ditugaskan secara berpasangan bagi membuat kerja-kerja pembersihan bumbung kanvas stadium menggunakan teknik ‘rope access’ di atas kawasan berdekatan pintu masuk Gate A berhadapan Ibu Pejabat Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT).

    “Bagaimanapun, kedua-dua mangsa dilaporkan terjatuh dari atas bumbung kanvas ke atas pagar BRC (anggaran ketinggian 27 meter) dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Husdin berkata, JKKP memandang serius setiap kemalangan serta penyakit pekerjaan yang berpunca daripada aktiviti pekerjaan dan siasatan lanjut akan dijalankan bagi melengkapkan hasil siasatan.

    Beliau berkata, tindakan perundangan akan diambil ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya terdapat pelanggaran peraturan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

    “Pekerja yang bekerja di tempat tinggi terdedah kepada risiko bahaya, namun ia boleh dikurangkan sekiranya majikan menggunakan instrumen (peralatan) yang sistematik terdiri daripada tiga proses utama iaitu pengenalpastian hazard (bahaya), penaksiran risiko dan kawalan risiko (HIRARC).

    “Selain itu, majikan juga boleh merujuk kepada Garis Panduan Pencegahan Jatuh di Tempat Kerja yang dikeluarkan oleh JKKP pada 2007,” katanya.

    Semalam, dua pekerja pembersihan kontrak di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, dilaporkan maut terjatuh ketika membuat kerja-kerja pembersihan di stadium berkenaan kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat dilaporkan berkata, kedua-dua mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – BERNAMA

  • Lelaki warga emas maut dihempap forklift

    Lelaki warga emas maut dihempap forklift

    SEORANG pengendali forklift maut dihempap oleh jentera angkat-susun itu ketika beliau sedang menjalankan kerja mengangkat sebuah mesin berat di Pelabuhan Sandakan pagi tadi.

    Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dalam kenyataan berkata, insiden kira-kira pukul 5.30 pagi itu mengakibatkan Said Hassan yang berumur sekitar 60-an, meninggal dunia di tempat kejadian.

    Kejadian berlaku apabila forklift itu dipercayai tiba-tiba tumbang ketika ia sedang mengangkat sebuah mesin berat, dan bahagian kepala pengendali jentera itu tersepit di sisi kiri bumbung forklift berkenaan.

    Menurut bomba, operasi mengeluarkan mayat Said dijalankan dengan menggunakan sebuah lagi forklift. – BERNAMA