SEORANG lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabas dan menghempap bumbung sebuah rumah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Batu 29, Jalan Kuching-Serian, Sarawak, pagi tadi.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Serian, Bilong Usat berkata, kemalangan berlaku pukul 6.55 pagi itu membabitkan mangsa berusia 50-an yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Innova.
Katanya, semua mangsa dalam kemalangan membabitkan MPV Toyota Innova, Perodua Kancil dan motosikal itu terdiri empat orang dengan tiga daripadanya cedera ringan.
“Pemandu Toyota Innova yang masih berada di tempat duduk pemandu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan.
“Anggota pasukan BBP Serian kemudian membantu mengangkat dan mengalihkan mangsa dari dalam kenderaan seterusnya menyerahkannya kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Satu Berita.
Bilong berkata, mangsa yang cedera diberikan rawatan awal oleh pegawai perubatan dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Serian sebelum dihantar ke Hospital Serian untuk rawatan lanjut.
HARGA ayam dijangka naik bulan depan apabila ia diapungkan ekoran berakhirnya skim harga maksimum runcit ayam pada 30 Jun ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, susulan jangkaan kenaikan harga ayam, Kementerian Kewangan (MOF) sedang merangka pemberian bantuan kepada golongan memerlukan, yang akan dimuktamadkan hujung bulan ini.
“MOF akan laksanakan sesuatu untuk bantu mereka yang memerlukan, dalam berdepan dengan kenaikan harga ayam di pasaran,” katanya kepada sidang media selepas majlis perhimpunan bulanan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di Putrajaya hari ini.
Pada masa ini, kerajaan menetapkan harga maksimum runcit ayam dan telur bagi Semenanjung Malaysia bagi ayam bulat standard adalah pada RM8.90 sekilogram dan ayam bulat super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal) pada RM9.90 sekilogram.
Sebelum ini, dilaporkan pihak penternak berharap kerajaan mengapungkan harga ayam susulan penamatan subsidi kepada mereka. Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata berkuat kuasa 1 Julai, Putrajaya tidak lagi akan memberikan subsidi kepada penternak ayam.
Nanta berkata, penamatan skim harga maksimum ayam bukan bermaksud kerajaan tidak mempedulikan pengguna, tetapi ia boleh menjejaskan industri ternakan ayam dalam jangka masa panjang, termasuk keadaan negara tidak lagi dapat mengeluarkan sumber ayam sendiri dan terpaksa mengimport.
“Sebab itu perlu diteliti secara mendalam, dan seharusnya kita hentikan harga maksima dan bantu pengguna yang berpendapatan rendah cara lain, bukan lagi subsidi pukal,” katanya.
Nanta dalam pada itu mengingatkan pemain industri agar tidak menggunakan kesempatan menerusi harga apungan dengan menaikkan harga ayam sewenang-wenangnya.
Apabila harga ayam diapungkan, katanya KPDNHEP akan turut memantau aspek harga dan jika perlu akan menggunakan kuasa di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 sekiranya terdapat peniaga mencatut, yakni mengambil untung suatu barangan atau perkhidmatan secara berlebihan.
“Saya harap pihak industri tidak akan mengambil kesempatan dan menaikkan harga terlalu tinggi. Kita boleh terima sekiranya ia dilaksanakan dengan berpatutan, kerana kita pun tahu bahawa kos operasi telah meningkat,” katanya.
Pada majlis perhimpunan bulanan itu, Nanta menyerahkan watikah pelantikan kepada 12 daripada 16 Ahli Majlis Penasihat Pengguna Negara (MPPN) 2022-2023. Ditubuhkan pada 2000, MPPN dianggotai wakil persatuan pengguna, ahli akademik dan pertubuhan bukan kerajaan bagi membincangkan isu kepenggunaan. – BERNAMA
MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor tidak mahu mendahului Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dana bantuan pakej rangsangan ekonomi yang turut melibatkan salah seorang Exco di negeri itu.
Beliau mahu SPRM diberi ruang untuk menjalankan siasatan selain enggan mengulas perkara tersebut yang didakwa ‘didedahkan’ Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan, Asmirul Anuar Aris.
“Mana-mana pihak khususnya wartawan yang berhasrat bertanya lanjut mengenai isu ini boleh merujuk kepada ADUN Kubang Rotan, Asmirul Anuar Aris yang dilihat ‘over’ (melampau) dalam perkara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Projek Menaiktaraf Loji Rawatan Air (LRA) Pelubang, di Stargate, Alor Setar, hari ini, lapor Astro Awani.
Pada masa sama Muhammad Sanusi menolak gesaan dan cabaran yang dibuat bekas Exco kerajaan negeri Kedah itu bagi mendedahkan nama individu yang terlibat selain menyifatkannya sebagai sesuatu yang tidak signifikan.
“Saya baca, Asmirul yang tulis cerita itu, kena pi tanya Asmirul, saya tidak ada jawapan… saya tidak terima cabaran dia (untuk dedahkan nama pelaku).
“Cabaran itu tidak signifikan, buat apa saya nak bising-bising (dan mendahului SPRM), biar agensi (itu) buat kerja…,dia (Asmirul) pun nampak ‘over’ sikit, nak suruh orang bercakap, kena pi tanya dia,” katanya.
Minggu lalu, SPRM dilaporkan sedang menyiasat satu kes melibatkan penyelewengan dana bantuan pakej rangsangan ekonomi di Kedah.
Sebuah media yang memetik sumber memaklumkan, langkah itu turut melibatkan siasatan terhadap portfolio dipegang salah seorang Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri atau Exco Kedah.
Asmirul dalam kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya menggesa Muhammad Sanusi membuat kenyataan akhbar menafikan wujudnya sebarang salah laku Exco Kedah terbabit dengan terus memberikan kerjasama sebaik-baiknya kepada SPRM menjalankan siasatan selain mendedahkan nama individu terlibat.
LELAKI yang ditahan berkaitan kes rogol yang berlaku 19 tahun lepas dibebaskan dengan jaminan polis, kata Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid.
Beliau berkata suspek berumur 40 tahun itu dibebaskan berikutan tempoh reman ke atasnya telah berakhir hari ini.
“Kami akan merujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Sebelum ini, suspek direman selama empat hari di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian, Bagan Serai bermula 10 Jun sebelum tempoh reman disambung selama tiga hari bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
Pada 9 Jun lepas, polis berjaya menahan suspek yang disyaki terlibat kes rogol di Bagan Serai selepas 19 tahun berjaya meloloskan diri daripada pihak berkuasa.
Hasil padanan data profil asid deoksiribonukleik (DNA), polis percaya dapat menyelesaikan kes rogol yang berlaku pada 2003 dengan tertangkapnya suspek. – Bernama
POLIS menahan dua lelaki warga emas ditahan kerana terlibat kes pecah amanah sebuah persatuan membabitkan kerugian RM65,000, di Ampang Jaya, semalam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, tangkapan itu susulan laporan polis daripada wakil ahli persatuan itu yang mendapati baucar pembayaran persatuan yang disyaki palsu digunakan oleh pengerusi, setiausaha dan bendahari persatuan.
“Dua lelaki berkenaan yang berusia 64 dan 73 tahun itu ditahan secara berasingan di Petaling Jaya dan Shah Alam.
“Hasil semakan terhadap penyata bank dan baucar pembayaran mendapati wang persatuan dipindahkan ke akaun peribadi presiden persatuan.
“Baucer pembayaran dikeluarkan sebanyak empat kali dengan jumlah keseluruhan RM65,000,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Mohamad Farouk berkata, terdapat empat cek bank digunakan bagi pengeluaran ini dibuat tanpa kelulusan ahli mesyuarat agung jawatankuasa persatuan.
“Reman bagi kedua-dua suspek ditolak di Mahkamah Ampang hari ini, bagaimanapun keterangan dua suspek ini sudah diambil bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan,” katanya.
SERAMAI 321 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di Terengganu yang diumumkan hari ini berjaya memperoleh keputusan cemerlang dengan kombinasi gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran.
Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Abdul Muie Ngah berkata, daripada jumlah itu, tujuh pelajar mencatatkan keputusan memperoleh A+ dalam semua mata pelajaran yang diambil semasa peperiksaan SPM 2021 pada Mac lalu.
Menurut beliau, Terengganu juga merekodkan Gred Purata Negeri (GPN) bagi SPM 2021 adalah 4.72 berbanding GPN kebangsaan iaitu 4.86.
“Seramai 17,206 calon mengambil peperiksaan SPM pada tahun 2021 di 169 pusat peperiksaan di seluruh Terengganu melibatkan 1,717 petugas,” katanya ketika mengumumkan keputusan SPM 2021 di Sekolah Menengah (SM) Sains Kuala Terengganu, di Kuala Nerus, hari ini, lapor Sinar Harian.
Abdul Muie berkata, seramai 9,674 calon memperoleh keputusan lulus semua mata pelajaran yang diambil.
Selain itu katanya, lapan sekolah turut mempamerkan keputusan baik apabila semua calonnya lulus semua mata pelajaran.
Lapan sekolah itu kata beliau adalah SM Sains Kuala Terengganu, SM Imtiaz Kuala Terengganu, SM Sains Sultan Mahmud, SM Sains Dungun, SM Imtiaz Besut, SM Imtiaz Kemaman, SM (Atas) Sultan Zainal Abidin dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Durian Guling.
“Calon SPM 2021 merupakan kohort pertama yang mengikuti Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dan Terengganu berjaya merekodkan keputusan cemerlang.
“Saya harap keputusan SPM tahun 2022 nanti akan bertambah baik,” katanya.
Sementara itu, di Pahang seramai 300 daripada 17,008 atau 1.76 peratus calon yang mengambil peperiksaan SPM 2021 di negeri ini memperoleh keputusan cemerlang gred A dalam semua mata pelajaran.
Pengarah JPNP Rosli (tengah) menyerahkan slip keputusan SPM kepada pelajar terbaik calon SPM dari SMK Abdul Rahman Talib, Kuantan Nur Arisha Amyrul Naim,18, sempena pengumuman keputusan peperiksaan SPM 2021 Negeri Pahang, di Kuantan hari ini.
Pengarah Pendidikan Pahang, Mohammad Rosli Abdul Rahman berkata, calon dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanah Putih Kuantan,Tham Kai Wen menjadi calon tunggal memperoleh kesemua gred A+ di Pahang.
Menurutnya, pencapaian keseluruhan prestasi Gred Purata Negeri (GPN) negeri ini, 4.74 pada SPM 2021.
“Sebanyak 10 buah sekolah tersenarai sebagai sekolah terbaik di negeri ini termasuk tiga sekolah harian.
“Sekolah yang tersenarai ialah Sekolah Berasrama Penuh Intergrasi (SBPI) Kuantan (Kuantan), Sekolah Menengah (SM) Sains Tengku Abdullah (Raub), SBPI Temerloh (Temerloh), Sekolah Menengah Agama (SMA) Persekutuan Bentong (Bentong), SM Sains Sultan Haji Ahmad Shah (Kuantan), SBPI Tun Abdul Razak (Pekan) dan Sekolah Sultan Haji Ahmad Shah (Pekan).
“Sementara itu, tiga sekolah harian, SMK Abdul Rahman Talib (Kuantan), SMK Seri Bera (Bera) dan SMK Jengka Pusat (Maran) turut tersenarai sebagai 10 sekolah terbaik di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena pengumuman keputusan peperiksaan SPM 2021 Negeri Pahang di SMK Abdul Rahman Talib (Smart) Kuantan, hari ini.
Rosli berkata, daripada 106 Calon Berkeperluan Khas (CBK), lima calon memperoleh sekurang-kurang 5A dalam SPM 2021 melibatkan dua calon kurang upaya penglihatan dan tiga calon masalah pembelajaran.
“Sementara itu, prestasi calon dalam kalangan pelajar Orang Asli, seramai 24 orang daripada 616 calon memperoleh keputusan sekurang-kurang 5A.
“Seorang calon dalam kalangan kaum itu memperoleh 11A, 9A (seorang), 8A (seorang), 7A (empat), 6A (empat) dan 5A (13),” katanya.
SEORANG wanita merupakan antara 11 individu yang ditahan polis Kelantan dalam Op Tapis Bersepadu yang diadakan selama seminggu sejak 5 hingga 12 Jun lalu membabitkan enam daerah di negeri ini.
Dalam serbuan di Kota Bharu, Pasir Mas, Gua Musang, Pasir Puteh dan Bachok itu, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) berjaya merampas pelbagai jenis dadah dengan nilai lebih RM200,000.
Menurut Ketua JSJN Kelantan, Asisten Komisioner Sheik Azhar Sheik Omar, menerusi serbuan berkenaan pihaknya menahan 10 lelaki dan seorang wanita berusia antara 20 hingga 51 tahun.
Beliau berkata, polis berjaya merampas 18,500 biji pil yaba, 211.57 gram heroin heroin, 75.9 gram syabu dan 14.64 gram ganja dengan anggaran nilai lebih RM200,000.
“Jumlah dadah berkenaan boleh digunakan kepada seramai 94,200 sekiranya bekalan itu terlepas ke pasaran.
“Pada masa sama, kita turut menyita sembilan motosikal, dua kereta, wang tunai, dua utas gelang emas dan sebentuk cincin dengan nilai lebih RM123,000,” katanya menerusi kenyataan media di Kota Bharu hari ini, lapor Harian Metro.
Beliau berkata, kesemua suspek kini ditahan reman seminggu dari tarikh ditangkap dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor melupuskan pelbagai barangan bernilai RM324,039.50 melibatkan 27 kes bermula Januari sehingga Jun lalu.
Antara barangan yang dilupuskan adalah melibatkan barang tiruan seoercermin mata, telefon bimbit, kasut, selipar, sarung kaki, baju, aksesori telefon bimbit, beg tangan, tudung, daging dan lain-lain.
Semua barangan rampasan berkenaan melibatkan pelanggaran Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Hak Cipta 1987, Akta Jualan Langsung 1993 dan Akta Cap Dagang 2019.
Menurut Timbalan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Mohd. Khairi Jamaludin, semua barangan rampasan berkenaan melibatkan pelanggaran Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Hak Cipta 1987, Akta Jualan Langsung 1993 dan Akta Cap Dagang 2019.
“Pelupusan yang dijalankan di stor ekshibit Bukit Raja, Shah Alam ini adalah terbesar yang dijalankan pada tahun ini dan ia dilupuskan selepas mendapat arahan oleh pengawal dan mahkamah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media yang dijalankan di Stor Ekshibit Bukit Raja, Shah Alam, hari ini, lapor Sinar Harian.
Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi undang-undang perniagaan yang ditetapkan kementerian dan tidak melanggar undang-undang membabitkan penjualan dan pengedaran barangan tiruan bagi mengelak dikenakan tindakan.
“Sebarang perlakuan yang melanggar mana-mana peruntukan perundangan yang dikuatkuasakan KPDNHEP tidak akan berkompromi dan boleh mengenakan tindakan perundangan yang sewajarnya.
“KPDNHEP Selangor menggalakkan pengguna menjadi mata dan telinga kepada kerajaan untuk menyalurkan maklumat berkaitan pelanggaran undang-undang di bawah bidang kuasa KPDNHEP,” katanya.
SATU sindiket menyeludup minyak diesel yang didalangi seorang individu bergelar Datuk berjaya dilumpukah pihak polis selepas melakukan serbuan di sebuah stor di Kawasan Perindustrian Desa Plentong, Masai, Johor Bahru, malam tadi.
Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas (CPSK), Pasukan Gerakan Khas, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman bersama-sama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua serta Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor terlibat serbuan itu.
Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, menerusi serbuan pada pukul 11 malam itu pihaknya menahan 30 individu terdiri daripada 28 lelaki tempatan, seorang wanita tempatan dan seorang lelaki warganegara asing berusia antara 22 hingga 46 tahun.
“Sindiket ini yang dipercayai sudah beroperasi sejak lebih seminggu lalu didalangi seorang warga tempatan bergelar Datuk berusia 46 tahun. Datuk ini mempunyai rekod lampau bersabit kes jenayah iaitu ugut, curi dan menipu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar khas di stor berkenaan hari ini.
Katanya, menerusi serbuan tersebut pihaknya merampas 29 lori tangki seberat satu, tiga dan 10 tan yang sudah diubah suai, sebuah van, 11 pam penyedut serta empat tangki besar dengan kapasiti 19,000 dan 15,000 liter.
Pihaknya turut merampas 79 tong kapasiti 1,000 liter, minyak diesel berjumlah 95,000 liter dan wang tunai RM12,507 manakala jumlah keseluruhan rampasan lebih RM3 juta.
Kamarul Zaman berkata, diesel subsidi itu dipercayai dijual di negara jiran dengan menggunakan jalan laut dan rampasan berkenaan merupakan yang terbesar di Johor setakat ini dalam tahun ini.
Menurutnya, modus operandi sindiket itu adalah menggunakan lori yang sudah diubah suai dengan meletakkan tangki di bahagian muatan sebelum membeli diesel di stesen minyak menggunakan satu saluran kecil di bahagian bawah lori.
“Terdapat satu pam khas yang akan menyedut dari saluran kecil tersebut sebelum masuk ke tangki besar di bahagian muatan lori. Mereka cuba mengelirukan dengan menggunakan modus operandi ini,” katanya.
Selain itu, beliau percaya masih terdapat saki baki ahli sindiket berkenaan dan pihaknya akan memburu mereka sekali gus melumpuhkan terus kegiatan haram berkenaan.
Pihaknya juga akan menyiasat sama ada mana-mana penguat kuasa terlibat atau bersekongkol dengan sindiket berkenaan sebelum mengambil tindakan sewajarnya.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu memiliki barangan kawalan dan dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa lesen,” katanya.
Jika sabit kesalahan katanya, boleh didenda tidak lebih RM1 juta dan tidak melebihi RM3 juta bagi kesalahan berikutnya.
Beliau memberitahu, setakat ini pihak polis marin sudah membuat lapan kes tangkapan bersabit kes di bawah peruntukan Akta Kawalan Bekalan 1961 di seluruh negeri.
BEKAS pengurus pentadbiran Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa catatan ‘monster’, ‘young boy’ dan ‘yb’ dalam lejar syarikat merujuk kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
David Tan Siong Sun, 47, berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran, ketika lejar itu dirujuk kepadanya semasa perbicaraan kes rasuah Ahmad Zahid hari ini.
Lejar tersebut mengandungi butiran pembayaran yang dibuat oleh UKSB kepada beberapa individu antara 2014 dan 2018.
Semasa disoal Raja Rozela sama ada beliau menamakan Ahmad Zahid di dalam lejar itu, saksi menjawab: “Tidak”.
Saksi pendakwaan ke-17 itu berkata, beliau menggunakan beberapa nama kod untuk Ahmad Zahid seperti ‘z’, ‘zh’, ‘yb’, ‘young boy’, ‘mon’ dan ‘monster’.
“Sebab saya menggunakan nama kod ‘monster’ adalah kerana semasa saya memasukkan lejar saya sedang makan snek Mamee Monster,” katanya.
Terdahulu, saksi pendakwaan ke-15, bekas Pengarah UKSB Harry Lee Vui Khun memberitahu mahkamah bahawa ‘KJ’ dan ‘bomoh’ adalah antara perkataan yang direkodkan dalam lejar UKSB yang dibentangkan dalam perbicaraan rasuah bekas timbalan perdana menteri itu.
Tan juga berkata beliau mengadakan nama kod itu kerana bimbang jika lejar itu terdedah kepada orang lain.
Raja Rozela: Ada sesiapa tahu tentang nama kod?
Tan: Tiada siapa, hanya saya.
Ketika membaca pernyataan saksinya, Tan berkata, beliau menyimpan rekod semua pembayaran yang dibuat kepada Ahmad Zahid sejak 2014 hingga 2018 untuk rekod peribadinya kerana jumlah wang tunai yang terlibat adalah besar.
“Saya menyediakan lejar menggunakan Microsoft Excel pada komputer riba peribadi saya. Saya bukan seorang akauntan, jadi lejar itu hanyalah rekod wang masuk, wang keluar,” katanya.
Beliau berkata, entri utama yang terdapat dalam lejar itu ialah amaun yang tersedia untuk setiap bulan, amaun yang dikeluarkan, dan nama atau nama panggilan penerima yang dimaksudkan.
“Individu yang dinamakan dalam lejar itu termasuk Menteri, ahli politik dan penjawat awam. Selalunya, saya akan masukkan catatan setiap hari tetapi pada hari-hari sibuk, saya akan catat pada sehelai kertas terlebih dahulu sebelum memasukkan butiran dalam lejar pada keesokan harinya atau pada hari berikutnya,” katanya.
Ahmad Zahid, 69, menghadapi 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri bagi menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan sistem Sistem Visa Luar Negara (VLN) serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat yang sama oleh Kementerian Dalam Negeri.
Bagi tujuh lagi pertuduhan, dia didakwa memperoleh untuk dirinya SG$1,150,000, RM3 juta, EURO15,000 dan AS$15,000 daripada syarikat yang sama yang mempunyai kaitan rasmi dengan tugas rasminya.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya, dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa bersambung. – BERNAMA