Category: Semasa

  • Penghantar makanan didenda RM10,000 hantar bahan lucah

    Penghantar makanan didenda RM10,000 hantar bahan lucah

    MAHKAMAH Sesyen Johor Bahru hari ini menjatuhkan hukuman denda RM10,000 terhadap seorang penghantar makanan atas dua pertuduhan menghantar dan memulakan komunikasi bahan lucah menerusi aplikasi media sosial, dua tahun lalu.

    Tertuduh, Muhammad Khair Maani, 25x mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

    Mengikut kedua-dua pertuduhan, Muhammad Khair didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi media sosial menghantar gambar dan video lucah sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, lapor Sinar Harian.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di Blok C, Taman Ungku Tun Aminah, di Johor Bahru pada pukul 8.50 pagi 25 Januari 2020.

    Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta yang sama.

    Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

    Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Nur Nazhzilah Mohammad Hashim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Sebelum menjatuhkan hukuman, Hakim Datuk Che Wan Zaidi meminta semua yang berada dalam bilik pendakwaan keluar kecuali tertuduh dan pihak pendakwaan bagi memaparkan video dan gambar kejadian untuk tujuan pengesahan.

  • Badal haji: Hati-hati siapa pelaksananya

    Badal haji: Hati-hati siapa pelaksananya

    BERHATI-hati dengan taktik tawaran pakej badal haji terutama yang tidak menyatakan secara jelas siapa pelaksananya.

    Bukan itu sahaja, pakej harga amat mencurigakan dan tidak berasas sedangkan kerajaan Arab Saudi telah menetapkan kos permit haji pada kadar tertentu termasuk untuk rakyat tempatan.

    Pengarah Operasi Bimbingan Haji Tengku Aziz Raja Abdullah berkata lambakan iklan yang mempromosikan pakej badal haji pada harga tidak munasabah perlu diberi perhatian serius kerana ia seolah-olah tindakan sengaja mengaut keuntungan.

    Katanya, Lembaga Tabung Haji (TH) yang memainkan peranan penting di Tanah Suci pun tidak melaksanakan badal haji tahun ini kerana menyedari  pelbagai peraturan yang ditetapkan Arab Saudi.

    “Kalau tengok dari senario di Malaysia, ada yang mengambil upah badal haji pada pakej serendah RM500, RM1,500 bahkan ada yang menawarkan RM2,500 hingga RM3,000.

    Persoalannya ialah TH sendiri pun tidak laksanakan badal haji pada masa sekarang kerana peraturan kerajaan Arab Saudi yang tidak membenarkan kita untuk laksana badal haji atau pungut duit untuk badal haji,” katanya kepada pemberita.

    Tengku Aziz berkata sesetengah pakej menggunakan nama pelajar Malaysia yang tinggal di Madinah dan Makkah, sedangkan pelajar di situ hanya tinggal kira-kira 15 orang, malah mereka sendiri telah menyatakan ketidaksanggupan mengambil badal haji kerana kos yang mahal.

    Tambahnya, Arab Saudi menetapkan kos permit kira-kira SR10,000 dengan penguatkuasaan ketat dan disebabkan itu adalah mustahil sekiranya pelaksana badal haji mengambil upah terlalu murah.

    “Apabila tiba di Tanah Suci, saya bertanya kawan-kawan berkaitan badal haji dan kebanyakan mereka tidak sanggup dengan bayaran RM3,000 sebab untuk pergi haji pun penguat kuasa Arab Saudi akan teliti permit atau surat kebenaran..pakej tersebut harganya lebih kurang SR10,000 atau lebih.

    “Jadi mana mungkin dia nak ambil badal haji sedangkan dia kena bayar SR10,000…memanglah tidak berbaloi untuk mereka laksana badal haji. Mereka pun berhati-hati juga untuk laksana badal haji. Jadi permasalahan timbul apabila ada iklan sampai ada harga lebih rendah daripada itu.

    Sesetengah mendakwa upah akan diberi kepada pelajar di Tanah Suci ini sedangkan kalau pelajar itu hendak mengerjakan haji, mereka perlu ada permit untuk pergi, jadi berapa orangkah pelajar kita yang dapat permit untuk laksana ibadah haji,” katanya. 

    Menurut Tengku Aziz, badal haji bermaksud melaksanakan haji bagi orang lain yang telah meninggal dunia ataupun tidak sempat menunaikannya dan berkemampuan, malah dibolehkan juga mengerjakan badal haji untuk mereka yang tidak ada harapan untuk sembuh daripada penyakit.

    “Badal itu dibolehkan dalam Islam. Dalam hukum fiqh pun ada..oleh kerana kita melaksanakan untuk orang-orang tersebut maka dibolehkan untuk individu itu sendiri atau waris beri habuan sedikit sebagai perbelanjaan mereka untuk mengerjakan ibadah haji tersebut.

    “Saya berharap bagi mereka yang memungut badal haji janganlah menipu, janganlah mengoda dan buat perkara yang tidak benar, duit yang kita kumpul, kita dapat dosa, jangan guna agama untuk dunia kita, takutlah pada Allah,” katanya.

    Pihak yang berminat dengan badal haji juga disaran memainkan peranan dengan mengenal pasti identiti pelaksananya dan tidak hanya membayar tanpa usul periksa kerana terdapat syarat tertentu dan bukannya boleh dilakukan oleh sesiapa jua.

    Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan janji manis akan menerima sijil, air zam zam dan sejadah sebagai hadiah penyertaan badal haji kerana ia boleh dibeli di mana-mana sahaja dan apatah lagi tiada pengesahan jelas ia dapat dilakukan pada musim haji kali ini.

    “Bagi mereka yang memberi, pastikan betul-betul bagaimana mereka boleh laksanakan kerana kita di Tanah Suci pun memang kalau situasi sekarang susah hendak laksanakan badal haji dan mereka sendiri (penduduk dan pelajar)  tidak sanggup dengan kadar permit yang ditetapkan Arab Saudi,” katanya.–Bernama

  • Azmin Ali dikurnia SSDK sempena Hari Keputeraan Sultan Kedah

    Azmin Ali dikurnia SSDK sempena Hari Keputeraan Sultan Kedah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini dikurniakan Darjah Seri Setia Diraja Kedah (SSDK) yang membawa gelaran Datuk Seri bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah ke-80.

    Pengurniaan Darjah tersebut disempurnakan baginda pada Istiadat Menyembah Tahniah Dan Penganugerahan Darjah-Darjah Serta Bintang-Bintang Kebesaran di Balairong Seri, Istana Anak Bukit, hari ini.

    Terdahulu Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin mengetuai senarai penerima apabila dikurniakan Darjah Kerabat Kedah manakala Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff pula dikurniakan Darjah Kerabat Sallehuddin.

    Baginda turut berkenan mengurniakan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Kedah kepada Tunku Laksamana Kedah, Tunku Shazuddin Ariff Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin.

    Selain itu, baginda turut berkenan menganugerahkan Darjah Paduka Seri Setia (DPSS) Sultan Sallehuddin Kedah yang membawa gelaran Datuk Paduka kepada Timbalan Ketua Istiadat, Datuk Mohd. Omar Mohamed.

    Darjah Gemilang Seri Mahkota Kedah (DGMK) yang membawa gelaran Datuk Wira pula dikurniakan kepada dua penerima iaitu Presiden Majlis Jaksa Pendamai Kedah, Datuk Syed Azizan Syed Mohamad Al-Idrus dan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman.

    Sultan Sallehuddin dalam pada itu turut berkenan mengurniakan Darjah Dato’ Setia Sultan Sallehuddin Kedah (DSSS) yang membawa gelaran Datuk kepada dua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah iaitu Azman Nasrudin dan Wan Romani Wan Salin.

    Sementara itu, seramai 21 individu dikurniakan Darjah Dato’ Setia Diraja Kedah (DSDK) yang membawa gelaran Datuk.

    Antara individu yang menerima darjah tersebut adalah Peguam Cara Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh, Hakim Mahkamah Tinggi Sungai Petani (1), Chan Jit Li, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belantik Mohd Isa Shafie dan Pegawai Daerah Kulim Abdul Bari Abdullah.

    Penerima DSDK lain termasuklah Timbalan Gabenor Bank Negara Marzunisham Omar, Pengarah Cawangan Kerja Kesihatan Cawangan Kerja Kesihatan Azman Md. Hashim, Pegawai Agama Daerah Kota Setar Ahmad Faisol Omar, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Kulim Technology Park Corporation Sdn. Bhd. Mohd. Sahil Zabidi dan Timbalan Ketua Jabatan Kardiologi Institut Jantung Negara Datuk Dr. Azmee Mohd. Ghazi.

    Sultan Sallehuddin kemudiannya mengurniakan Darjah Dato’ Setia Pahlawan (DDSP) yang membawa gelaran Datuk kepada lima penerima iaitu Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad, Senarai LPK (1) Markas Tentera Darat Cawangan Sumber Manusia Mejar Jeneral Baharuddin Ahmad, Panglima Logistik MK PLTD Markas Tentera Darat Mejar Jeneral Abdul Aziz Samsi@Haji Shamsudin, Inspektor Jeneral Markas Tentera Laut Laksamana Muda Chan Peng Cheong dan Ketua Pengarah OP MK ATM-BOLP Markas Tentera Darat, Brigedier Jeneral Johari Mohd. Jaafar.

  • Pintu 4 premis di sebuah pasar raya pecah akibat letupan

    Pintu 4 premis di sebuah pasar raya pecah akibat letupan

    EMPAT pintu empat p remis dalam sebuah pasar raya di Demak Laut, di Kuching, pecah dipercayai akibat letupan dalam kejadian pada pukul 6.48 pagi ini.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, berkata, susulan itu sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jayake dikejarkan ke lokasi kejadian.

    “Sejurus jentera tiba di lokasi, Komander Operasi yang juga Ketua BBP Tabuan Jaya, Mohamat Meramit melaporkan kejadian tidak membabitkan sebarang kebakaran.

    “Tetapi berlaku kejadian letupan yang menyebabkan pintu bangunan kedai ini pecah. Premis yang terbabit ialah tiga kedai makan dan kedai pakaian di dalam pasar raya itu,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Berita Harian.

    Bagaimanapun, beliau berkata punca kejadian masih belum dapat dipastikan.

    “Kejadian tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa dan siasatan akan dilakukan oleh pihak Forensik Kebakaran Zon 1 bagi mengetahui punca sebenar letupan,” katanya.

  • Jenazah Adibah Noor selamat dikebumikan pagi ini

    Jenazah Adibah Noor selamat dikebumikan pagi ini

    JENAZAH penyanyi dan pelakon versatil Allahyarham Adibah Noor Mohamed Omar, 51, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat Permai, Kuala Lumpur pukul 11.31 pagi tadi.

    Sebelum itu, jenazah Allahyarham selesai dimandi, dikafan dan disolatkan di Masjid Al Ansar di Kuala Lumpur.

    Asteo Awani melaporkan, ratusan hadirin termasuk ahli keluarga, sahabat dan rakan artis tampil memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

    Antara rakan selebriti yang hadir memberikan penghormatan terakhir ialah penyanyi dan komposer Datuk M. Nasir, Anuar Zain, Datuk Hans Isaac, dan pelakon Remy Ishak.

    Adibah Noor meninggal dunia pada puul 7.45 malam tadi di sebuah hospitalswasta di ibu negara, akibat kanser ovari.

    Untuk rekod, kemunculan awal Allahyarham di layar perak bermula pada tahun 2005 dalam filem antaranya ‘Sepet’, ‘Gubra’ dan ‘Mukhsin’ karya sutradara Yasmin Ahmad, dan sejak itu beliau membuat kemunculan dalam puluhan drama televisyen dan filem tempatan.

    Dalam dunia nyanyian, beliau sempat merakamkan dua buah album studio iaitu ‘Terlalu Istimewa’ (2005) dan ‘Teman’ (2010), selain turut merakamkan banyak single khas, termasuk duet bersama penyanyi lain.

  • 47 PATI ditahan di sempadan Malaysia-Thailand

    47 PATI ditahan di sempadan Malaysia-Thailand

    ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) menahan 47 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar di sempadan negara Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam, semalam.

    Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam kenyataan, berkata kesemua PATI itu ditahan pada 5.45 pagi ketika merentasi sempadan di kawasan ladang getah yang dalam Sektor Op Benteng Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia.

    “Pasukan Serang dan Tangkap (SERKAP) yang ditempatkan di kawasan pagar sempadan Malaysia-Thailand telah mengesan kelibat sekumpulan orang awam yang sedang bersembunyi berhampiran laluan jalan tidak berturap dalam kebun getah.

    “Anggota bertugas seterusnya bertindak menjejaki dan menahan kesemua orang awam terbabit seramai 47 orang. Hasil pemeriksaan mendapati mereka tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah.


    “Pemeriksaan lanjut juga mendapati PATI terbabit masuk melalui pagar sempadan yang dirosakkan,” katanya memetik laporan Berita Harian.

    Menurut kenyataan, warga Myanmar itu berusia antara 15 hingga 49 tahun, terdiri daripada 40 lelaki dan tujuh perempuan.

    Turut dirampas adalah 34 telefon bimbit dan wang tunai Thailand, Myanmar dan China dengan anggaran nilai keseluruhan RM 27,608.

    PATI diserahkan kepada Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut.

  • SPRM siasat penerima wang disebut saksi kes Zahid Hamidi

    SPRM siasat penerima wang disebut saksi kes Zahid Hamidi

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membuka kertas siasatan di bawah Akta SPRM 2009 terhadap penama-penama yang dikatakan telah menerima wang daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB).

    Menerusi kenyataan hari ini, SPRM memaklumkan penama-penama berkenaan disebut saksi ketika perbicaraan kes rasuah membabitkan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor semalam.

    “SPRM juga telah menerima beberapa aduan terhadap individu-individu terlibat yang tersenarai dalam satu lejar seperti dikemukakan di mahkamah dalam perbicaraan berkenaan,” menurut SPRM.

    Dalam prosiding kes itu semalam, saksi memberitahu enam penama ahli politik iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Khairy Jamaluddin, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Anifah Aman.

    Nama-nama ahli politik itu terdapat di dalam lejar UKSB dan Laporan Analisis kes Cawangan Forensik dan Teknologi SPRM. – Bernama

  • 2 remaja dikhuatiri lemas, 4 selamat ketika mandi sungai

    2 remaja dikhuatiri lemas, 4 selamat ketika mandi sungai

    DUA remaja dikhuatiri lemas manakala empat lagi rakan mereka selamat ketika mandi sungai di Kampung Pogunon, Penampang, pukul 4 petang semalam.

    Semua remaja lelaki berusia 17 tahun dikenali sebagai Harold Walter dan Tomansi Olaf dilaporkan hanyut manakala Jeremiah Maxwell, Constant Felix, Jameson Johnwai serta Bryan Lee berjaya diselamatkan.

    Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Zeno Tingalan berkata, seramai 11 anggota bomba dikejar ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu.

    “Menurut maklumat terdapat enam mangsa, dua dipercayai lemas manakala empat lagi masih terperangkap di sungai ketika melakukan aktiviti mandi sungai bersama-sama.

    “Operasi menyelamatkan semua mangsa segera dilakukan. Empat yang terperangkap di sungai berjaya diselamatkan pasukan bomba dan tidak mengalami sebarang kecederaan namun dua lagi yang dipercayai hanyut belum ditemui,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Beliau berkata, operasi ditangguhkan pada pukul 10.48 malam tadi dan pencarian disambung bermula pukul 6.25 pagi tadi.

  • Ali Imran hilang sejak Khamis

    Ali Imran hilang sejak Khamis

    POLIS memohon bantuan orang ramai untuk mengesan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang dilaporkan hilang sejak Khamis lepas.

    Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, remaja itu dikenali sebagai Ali Imran Naseruddin yang beralamat di No 5, Nilam Terraces, Bandar Bukit Puchong 2.

    “Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang Sarjan Nur Arfidah Mohamed di talian 012-7955 961 atau balai berdekatan untuk tindakan lanjut,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, kali terakhir Ali Imran dikesan melalui kamera litar tertutup pos kawalan sedang berjalan kaki seorang diri keluar dari kawasan perumahan itu pada 3.57 pagi.

    “Laporan polis dibuat oleh ibu remaja berkenaan pada 6.52 pagi hari yang sama.

    “Remaja berkenaan memakai seluar jeans, kemeja T, jaket, bertopi, kasut serba hitam dan menggalas sebuah beg kalis air berbentuk silinder warna biru, mempunyai ketinggian 170 sentimeter dan berambut hitam pendek,” katanya. – BERNAMA

  • ‘Banyak sangat fitnah kata saya lindungi Rumah Bonda’ – Rina

    ‘Banyak sangat fitnah kata saya lindungi Rumah Bonda’ – Rina

    MENTERI Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, kompaun terhadap Pusat Jagaan Pertubuhan Kebajikan Rumah Bonda (Rumah Bonda) bukan atas dasar budi bicara beliau sebaliknya berlandaskan undang-undang sedia ada.

    “Banyak sangat fitnah yang mengatakan saya melindungi Rumah Bonda dan sebagainya… kena faham dan ingat …kita memberikan saman itu mengikut akta, jadi akta itu menyebut kompaunnya RM5,000 …bukan saya yang tentukan.

    “Ia mengikut undang-undang sedia ada… itu bukan di bawah budi bicara saya, itu adalah yang termaktub di dalam akta,” katanya selepas merasmikan Program Keusahawanan Wanita Bangkit@KPWKM yang dihadiri kira-kira 250 peserta di Kuantan hari ini.

    Rina berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas dakwaan beliau melindungi Rumah Bonda.

    Semalam, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam satu kenyataan menafikan Rina bersubahat melindungi Rumah Bonda selain menyifatkan tuduhan itu sebagai tidak berasas serta berunsur fitnah.

    KPWKM turut memaklumkan bahawa segala tindakan yang diambil oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat sejak Julai 2021 ke atas Rumah Bonda adalah berdasarkan peruntukan undang-undang.

    Kenyataan itu merujuk kepada hantaran di laman Instagram pada 12 Jun lepas yang mempertikai nilai kompaun penguatkuasaan ke atas Rumah Bonda hanya RM5,000 dan menuduh Rina bersubahat melindungi pusat jagaan berkenaan.

    Dalam pada itu, Rina berkata, perbincangan telah dilakukan bersama Kementerian Sumber Manusia berkaitan inisiatif perlindungan sosial untuk suri rumah.

    Beliau berkata, KPWKM turut menyokong penggubalan Rang Undang-Undang Keselamatan Sosial Suri Rumah dan berharap ia akan dilulus serta dilaksanakan demi kepentingan wanita.

    Rabu lepas, Setiausaha Wanita Perikatan Nasional Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata kerajaan perlu mengumumkan segera pelaksanaan inisiatif perlindungan sosial suri rumah yang telah dipersetujui sebelum ini.

    Mengulas program hari ini, Rina berkata ia memanfaatkan hampir 18,000 peserta secara keseluruhan selain membantu melatih wanita dalam bidang keusahawanan dan ia akan diteruskan di Perak, Pulau Pinang serta Sarawak. – BERNAMA