Category: Semasa

  • Lelaki nyaris tertimbus ketika buat kerja pembaikan paip

    Lelaki nyaris tertimbus ketika buat kerja pembaikan paip

    SEORANG  lelaki warga Indonesia berdepan detik cemas apabila separuh badannya tertimbus dalam lubang ketika melakukan kerja pembaikan paip di Laman View Cyberjaya petang semalam.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, berkata ketika kejadian, mangsa, Samsul Maarif, 43, sedang menjalankan kerja-kerja pembaikan paip di dalam lubang yang digali sedalam 3.04 meter.

    “Ketika sedang membuat kerja-kerja pembaikan itu, secara tiba-tiba tanah yang digali telah runtuh lalu menimbusi sebahagian badan mangsa dari paras pinggang dan ke bawah,” katanya dalam kenyataan.

    Norazam berkata bomba yang tiba di tempat kejadian pada jam  2.16 petang, tidak membuat sebarang penyelamatan kerana mangsa telah dikeluarkan oleh rakan sekerja sebelum pihak bomba sampai.

    Beliau berkata mangsa yang mengalami kecederaan dan pendarahan di mulut telah diberikan rawatan awal oleh anggota Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) di lokasi kejadian dan dihantar ke Hospital Putrajaya untuk tindakan lanjut.

    — BERNAMA

  • Kenyataan Shafie Apdal ‘’tidak berprinsip’’, tidak masuk akal – Anthony Loke

    Kenyataan Shafie Apdal ‘’tidak berprinsip’’, tidak masuk akal – Anthony Loke

    SETIAUSAHA Agung DAP Loke Siew Fook menmembidas Datuk Ser Shafie Apdal kerana “tidak berprinsip” selepas bekas Ketua Menteri Sabah itu berkata, Warisan akan bekerjasama dengan gabungan yang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) untuk memastikan kestabilan politik.

    Menerusi program dalam talian, Loke melahirkan kekecewaan terhadap kenyataan Presiden Warisan itu dan menyifatkan ia sebagai “tidak masuk akal”.

    “Kalau sesuatu gabungan itu dah menang, adakah dia nak bekerjasama dengan parti lain lagi? Kecuali kalau beliau tak menang. Baru dia nak bekerjasama.

    “Saya berasa dukacita dengan kenyataan tersebut. Saya rasa ini satu pandangan yang mungkin nampak macam tak berprinsip, yang pertama. Yang Kedua, tak masuk akal,” kata Ahli Parlimen Seremban itu, lapor portal FMT.

    Ahad lalu, media melaporkan Shafie sedia bekerjasama dengan mana-mana gabungan politik yang memenangi PRU15 bagi memastikan kestabilan politik dan menjaga kepentingan rakyat.

    Shafie berkata, ini kerana gabungan yang menang dipilih oleh rakyat dan dengan bekerjasama dengan mereka, Warisan menunjukkan bahawa ia menghormati pilihan mereka.

    Bagaimanapun, Shafie menegaskan ia harus menjadi kerjasama yang bijak dan adil, dan mesti mengutamakan kepentingan rakyat.

  • Jenazah lima beranak selamat dikebumikan di Padang Rengas

    Jenazah lima beranak selamat dikebumikan di Padang Rengas

    JENAZAH lima beranak yang maut dalam kemalangan di Jalan Kuantan-Segamat, Pahang kelmarin selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Labu Kubong, malam tadi.

    Terdahulu, dengan diiringi kereta peronda polis, tiga van polis membawa semua jenazah ke rumah keluarga mereka di Kampung Labu Kubong dekat Lubuk Merbau sebelum disembahyangkan serta diberi penghormatan terakhir oleh kira-kira 300 ahli keluarga dan kenalan.

    Jenazah kemudiannya dibawa ke tanah perkuburan kira-kira 500 meter dari rumah keluarga mereka untuk disemadikan sekitar pukul 10 malam dalam suasana pilu serta penuh hiba dan hujan renyai.

    Kelima-lima mereka, Muhammad Rosli Ibrahim 33, bersama isterinya Nor Afiqah Abdullah Sani, 35, dan anak mereka Nur Safwa Irdina, 7, Nur Sofea Raida, 6, dan bayi lelaki Rizqy Ramadhan berusia setahun bulan maut dalam satu kemalangan kira-kira pukul 3 petang kelmarin.

    Kejadian tragis itu dipercayai berlaku apabila kereta jenis Toyota Corolla dipandu Muhammad Rosli dari arah Muadzam Shah menghala ke Kuantan telah memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah treler di Jalan Kuantan-Segamat. – BERNAMA

  • Dua individu tinggal mayat kanak-kanak akibat kemalangan bukan pasangan suami isteri – polis

    Dua individu tinggal mayat kanak-kanak akibat kemalangan bukan pasangan suami isteri – polis

    DUA individu yang ditahan polis susulan tindakan mereka melarikan diri dan meninggalkan mayat seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun selepas terbabit dalam nahas di Jalan Sungai Kelamah, Jelai, Gemas, dekat sini, pada Ahad lepas disahkan bukan pasangan suami isteri.

    Ketua Polis Daerah Tampin Supt Anuwal Ab Wahab berkata lelaki itu berusia 30 tahun manakala wanita yang berusia 27 tahun itu merupakan ibu kepada kanak-kanak lelaki berusia dua tahun berkenaan yang menaiki kereta Proton Iswara pada hari kejadian.

    “Kanak-kanak itu tercampak di tengah jalan dan digilis oleh sebuah kenderaan yang tidak dapat dikenal pasti akibat kemalangan tersebut,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

    Beliau berkata pasangan tersebut positif dadah menerusi ujian air kencing, selain lelaki itu turut mempunyai rekod jenayah lampau termasuk 14 kesalahan narkotik manakala wanita tersebut mempunyai satu rekod kesalahan narkotik.

    Katanya lelaki berkenaan direman selama empat hari bermula Isnin lepas di Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1985 sehingga esok manakala bagi kesalahan mencuri kenderaan pula reman akan dimohon esok manakala wanita itu pula hanya dikenakan reman selama sehari bagi membantu siasatan.

    Semalam media melaporkan kedua-dua suspek meninggalkan mayat seorang kanak-kanak lelaki selepas mereka terlibat dalam kemalangan kira-kira pukul 11.30 malam di Jalan Sungai Kelamah, Jelai, Gemas, dekat sini, pada 26 Julai lepas.

    Kedua-dua suspek difahamkan melarikan diri dari lokasi kejadian menggunakan sebuah kereta pacuan empat roda milik pengguna jalan raya lain yang ingin membantu mereka.

    Pasangan itu telah ditahan di rumah mereka di Felda Bukit Jalor pada pukul 4.30 pagi dan polis menemukan dadah dalam kenderaan yang dipandu lelaki berkenaan.

    — BERNAMA

  • Kedudukan Nazlan di Maybank sebelum ini tiada kaitan dengan kes Najib – Pendakwa Raya

    Kedudukan Nazlan di Maybank sebelum ini tiada kaitan dengan kes Najib – Pendakwa Raya

    PIHAK  pendakwaan dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd yang melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata, kedudukan hakim perbicaraan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali di Maybank Berhad sebelum ini adalah tidak relevan dengan kes terhadap bekas perdana menteri itu.

    Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mohd Ashrof Adrin Kamarul dalam afidavit balas yang difailkan di Mahkamah Persekutuan hari ini bagi membantah permohonan Najib untuk mengemukakan bukti baharu berkata, bukti yang didakwa dicari itu mempunyai lebih banyak kaitan dengan satu lagi kes perbicaraan yang sedang dihadapi Najib melibatkan 1Malaysia Development Berhad berkaitan RM2.3 bilion.

    “Tuduhan pemohon (Najib) ini tidak lain hanyalah untuk mengalih perhatian umum semata-mata bagi mengisytiharkan perbicaraan SRC sebagai terbatal. Saya katakan bahawa isu pengambilalihan 1MDB terhadap Tanjong Energy Holdings, penglibatan Maybank dan Hakim Mohd Nazlan dalam perkara 1MDB ini, tidak relevan dengan fakta berhubung pertuduhan SRC yang dihadapi oleh pemohon dalam rayuan ini.

    “Isu-isu ini tidak relevan dengan rayuan SRC, sebaliknya ia berkaitan dengan kes 1MDB yang tidak didengar oleh Hakim Mohd Nazlan. Tiada bukti sebarang konflik kepentingan oleh hakim yang diterjemahkan kepada bahaya sebenar berat sebelah dalam perbicaraan SRC,” katanya.

    Hakim Mohd Nazlan yang kini hakim Mahkamah Rayuan telah disahkan bahawa pada 2006 beliau memegang jawatan sebagai Peguam Am dan Setiausaha Syarikat Maybank Investment Bank Berhad.

     Mohd Ashrof seterusnya berkata peranan Hakim Mohd Nazlan dalam bank itu memang diketahui umum dan memang diketahui oleh Najib sepanjang masa, termasuk semasa permulaan dan penerusan perbicaraan seperti yang ditunjukkan oleh dokumen awam dan dokumen yang dimiliki pemohon.

    Bagaimanapun beliau berkata Najib tidak membantah untuk beliau (Nazlan) menjadi hakim perbicaraan ketika itu.

    Pendakwa Raya itu menambah, tiada bukti bahawa hakim terlibat dalam penubuhan atau pemerbadanan SRC, kerana 1MDB adalah pihak yang menubuhkan SRC pada ketika itu.

    Mohd Ashrof berkata dakwaan Najib mengenai pengetahuan yang dikatakan oleh Hakim Mohd Nazlan mengenai pinjaman Maybank kepada 1MDB tidak menghalang hakim itu daripada mendengar kes SRC.

    Beliau berhujah bahawa bekas perdana menteri itu gagal menunjukkan sebarang kaitan antara dakwaannya dengan pertuduhan SRC yang didengar oleh hakim.

     Beliau berkata 1MDB dan SRC adalah entiti undang-undang yang berbeza, dengan SRC beroperasi secara berasingan dan bebas daripada 1MDB pada setiap masa.

    “Semua bukti relevan dan material telah dikemukakan pada perbicaraan. Tiada penyembunyian bukti seperti yang didakwa, dan pemohon tidak dinafikan perbicaraan yang adil. Permohonan yang difailkan ini adalah untuk memanjangkan prosiding SRC bagi tujuan kolateral.

    “Saya menegaskan bahawa bukti terkumpul yang kini ingin dikemukakan oleh pemohon tersedia kepada pemohon dan dalam apa jua keadaan, tidak relevan dengan rayuan di Mahkamah Persekutuan,” katanya sambil menambah bahawa perkara itu telah ditetapkan untuk pengurusan kes di Mahkamah Persekutuan esok.

    Pada 7 Jun Najib memfailkan permohonan untuk mengemukakan bukti lanjut kepada Mahkamah Persekutuan bagi membatalkan keseluruhan perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta yang mendapati beliau bersalah atas tujuh pertuduhan.

    Mahkamah Persekutuan telah menetapkan 10 hari dalam bulan Ogos untuk mendengar rayuan terakhir Najib terhadap sabitan dan hukuman penjara bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International.

    Pada 8 Dis 2021, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dijatuhkan ke atas Najib bagi kesalahan itu.

    Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, sebulat suara menolak rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2020.

    — BERNAMA

  • Jenazah pesakit COVID-19 boleh dimandi, dikafankan – Khairy

    Jenazah pesakit COVID-19 boleh dimandi, dikafankan – Khairy

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) menetapkan tatacara pengurusan jenazah Islam yang dijangkiti COVID-19 dibenarkan untuk dimandi dan dikafankan dengan amalan langkah berjaga-jaga, kata Menterinya Khairy Jamaluddin.

    Khairy berkata urusan mandi dan kafan akan dilakukan oleh pengendali jenazah yang terlatih di hospital dengan pemakaian peralatan pelindung diri (PPE) lengkap dan bersesuaian serta mengelakkan aktiviti yang berunsur prosedur penjanaan aerosol (AGP).

    Beliau berkata selain itu hanya dua orang waris dengan status vaksinasi lengkap serta memakai PPE yang lengkap dibenarkan membantu urusan memandikan dan mengafankan jenazah di hospital.

    “KKM ingin memaklumkan tatacara pengurusan jenazah Islam dan bukan Islam yang dijangkiti COVID-19 disemak semula agar ia relevan dengan situasi semasa.

    “Semakan semula ini juga adalah sejajar dengan Resolusi Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ketiga Tahun 2021 yang bersidang pada 26 Julai 2021,”  katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sebelum ini, KKM menetapkan tatacara pengendalian jenazah pesakit COVID-19 beragama Islam hanya melakukan proses tayamum di atas permukaan paling luar beg jenazah tanpa perlu dimandikan dan diuruskan sepenuhnya di hospital tanpa penglibatan waris.

    Sementara itu, bagi pengurusan mayat bukan Islam yang dijangkiti COVID-19, Khairy berkata sekiranya prosedur last rite atau upacara terakhir memerlukan penukaran pakaian baharu, pakaian tersebut boleh diletakkan di atas badan mayat tanpa prosedur AGP dan hanya dua waris lengkap vaksinasi dibenarkan sertai urusan itu.

     Selain itu, turut disemak semula adalah penggunaan satu beg mayat bagi setiap jenazah atau mayat yang dijangkiti COVID-19 berbanding sebelum ini yang perlu menggunakan dua beg mayat.

    Menurut Khairy, KKM tidak menetapkan jumlah waris yang boleh terlibat dalam upacara pengebumian jenazah tetapi perlu memakai PPE.

    “KKM juga tidak menetapkan jumlah individu yang hadir ke upacara itu, namun perlu memakai pelitup muka dan elakkan dari bersesak-sesak,” katanya.

    — BERNAMA

  • Haji: Jemaah diingat jaga kebersihan, nama baik Malaysia

    Haji: Jemaah diingat jaga kebersihan, nama baik Malaysia

    haramain

    SEIRING kempen ‘Kebersihan Mencerminkan Kemakburan Haji’, jemaah Malaysia bukan sahaja diingatkan tentang kepentingan bergotong-royong, tetapi juga keperluan menjaga nama baik negara.

    Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Abdul Rahman berkata ibadah bukan sahaja berkaitan diri sendiri tetapi juga penjagaan persekitaran.

    Katanya kempen sama pernah diadakan bermula 2017, dalam operasi di Arafah, Mudzlifah dan Mina sehingga mendapat pujian Menteri Haji Arab Saudi dan selepas itu diteruskan di peringkat kawasan penginapan.

    Melalui kempen kebersihan ini, setiap Rabu di maktab (penginapan) akan diadakan program gotong-royong bermula dengan membersihkan bilik masing-masing, surau, lobi dan lorong laluan ke bilik.

    “Kita dapat lihat semua jemaah memberi kerjasama yang baik dan bersemangat untuk bergotong-royong di kawasan yang mereka duduki.

    Program ini akan memupuk gotong-royong dan kerjasama sesama jemaah haji dalam menjaga kesejahteraan, keharmonian dan keakraban di kalangan mereka ” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Kebersihan melibatkan jemaah dan petugas di Abraj Al Janadriyah, Mekah yang menempatkan ibu pejabat serta penginapan jemaah.

    Syed Saleh berkata jemaah haji Malaysia perlu mengekalkan budaya kebersihan seperti yang diamalkan jemaah sebelum ini bagi menjaga imej Malaysia di mata dunia dan menjadi contoh kepada jemaah negara lain.

    Musim haji tahun ini menyaksikan 14,306 jemaah Malaysia akan mengerjakan rukun Islam kelima itu yang tinggal di lima penginapan di sini dengan dibantu 320 petugas TH.

    Sementara itu malam tadi 300 petugas TH menyertai majlis bacaan yassin dan solat hajat bagi mendoakan kelancaran operasi masyair di Arafah, Muzdalifah dan Mina.

    Ketika itu petugas akan berdepan dengan pelbagai senario bagi menyantuni Tetamu Allah di samping keperluan mengerjakan ibadah haji.

    Hari Wukuf dijangka bermula kira-kira 10 hari lagi dan segala persiapan rapi sedang diatur termasuk penginapan di khemah serta pergerakan jemaah.

    *Ikuti perkembangan jemaah haji Malaysia di Tanah Suci melalui media sosial Facebook, Instagram dan Tik Tok Lembaga Tabung Haji.

    — BERNAMA

  • Aidiladha disambut hari Ahad, 10 Julai

    Aidiladha disambut hari Ahad, 10 Julai

    UMAT Islam di Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidiladha pada Ahad, 10 Julai susulan tarikh 1 Zulhijjah 1443 jatuh pada Jumaat ini.

    Perkara itu diumumkan Penolong Setiausaha Majlis Raja-Raja, Mohd Aseral Jusman sebentar tadi, selepas aktiviti cerapan dilaksanakan di 29 lokasi di seluruh negara, petang tadi.

    “Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, maka dengan ini saya bagi pihak Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, mengisytiharkan bahawa 1 Zulhijah 1443 Hijrah ialah pada Jumaat, 1 Julai 2022.

     “Oleh yang demikian, Hari Raya Korban (10 Zulhijah) bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia ditetapkan pada hari Ahad, 10 Julai 2022,” katanya menerusi pengumuman yang disiarkan malam ini.

  • ”Peranan beliau sebagai wakil rakyat amat besar”- Abdul Hakim bidas Mohamaddin

    ”Peranan beliau sebagai wakil rakyat amat besar”- Abdul Hakim bidas Mohamaddin

    KETUA  Bersatu Lahad Abdul Hakim Gulam Hassan bidas dakwaan Mohamaddin Ketapi yang mengumumkan keluar parti itu kerana tidak diberi peranan.

    Beliau sebagai Ahli Parlimen Lahad Datu dan ADUN Segama yang sebelum ini mewakili Bersatu, Mohamaddin memikul peranan lebih besar untuk membantu rakyat.

    “Jadi tidak timbul soal tidak diberi peranan kerana sebagai Ahli Parlimen dan ADUN, peranan beliau sebagai wakil rakyat adalah amat besar. Seperkara lagi, selepas menyertai Bersatu, beliau (Mohamaddin) sebenarnya adalah AJK (ahli jawatankuasa) Bersatu Lahad Datu, kerana perlembagaan parti ini jelas menyatakan bahawa setiap wakil rakyat adalah secara automatik menjadi AJK bahagian.

    “Selaku AJK bahagian parti yang dianggotai juga tidak pernah menghalang beliau untuk menjalankan peranannya,” katanya pada sidang media di Lahad Datu, lapor FMT.

    mohamaddin ketapi
    Mohamaddin Ketapi

    Hakim berkata, jika Mohamaddin inginkan jawatan lebih tinggi seperti ketua bahagian, beliau perlu menunggu sehingga pemilihan parti akan datang.

    “Selepas pemilihan parti yang lalu saya telah dipilih sebagai ketua bahagian dan menjadi tanggungjawab saya untuk mengurus tadbir parti dan juga ahli. Sekiranya beliau mahu jadi ketua bahagian, beliau perlu bertanding pada pemilihan akan datang, kena tunggu dan sabarlah,” katanya.

    Hakim berkata, beliau juga tidak tahu langsung berkenaan dakwaan Mohamaddin yang mengatakan dijanjikan peranan dalam Bersatu di Lahad Datu.

    Katanya, beliau kurang jelas apakah bentuk peranan yang konon dijanjikan kepada Mohamaddin seperti dikatakan dalam sidang medianya semalam.

    “Sebenarnya, saya tidak tahu apa-apa tentang janji tersebut, saya tidak tahu siapa yang menjanjikan beliau dan saya tidak tahu apa sebenarnya dijanjikan kepada beliau.

    “Tetapi, sekiranya maksud beliau dijanjikan peranan untuk memimpin parti adalah jawatan tertentu dalam parti atau bahagian, maka selaku ahli politik yang cukup berpengalaman dan lama terlibat dalam empat parti besar iaitu sejak PBS, PKR, Warisan dan kemudian Bersatu, beliau sepatutnya sedia maklum, untuk menjawat satu-satu jawatan dalam parti harus menawarkan diri bertanding merebut jawatan dalam pemilihan parti,” katanya.

    Sementara itu, Hakim juga menyelar sindiran sinis Mohamaddin terhadapnya yang mengatakan beliau berlagak seperti wakil rakyat.

    “Sebetulnya, saya sebagai ketua parti di peringkat bahagian, saya tidak mempunyai apa-apa peruntukan yang boleh disalurkan kepada rakyat, tetapi saya berusaha semampu yang boleh untuk membantu rakyat. Saya hanya mahu berkhidmat kepada rakyat, walaupun sedar tidak dapat memenuhi atau membantu keseluruhan rakyat di kawasan saya, adakah dengan membantu rakyat itu perlu berlagak sebagai wakil rakyat,” katanya.

    Mohamaddin yang menyertai Bersatu selepas keluar Warisan pada November lalu mengumumkan keluar daripada parti itu untuk menjadi wakil rakyat bebas mesra kerajaan.

  • Mustapa nafi seleweng dana PRU-14 UMNO Kelantan

    Mustapa nafi seleweng dana PRU-14 UMNO Kelantan

    AHLI Parlimen jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed hari ini menafikan sekeras-kerasnya kenyataan Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi bahawa beliau menyeleweng peruntukan kepada Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    Mustapa turut menafikan tuduhan Ahmad Zahid bahawa penyertaannya dalam Bersatu adalah bertujuan untuk mengelak siasatan oleh pihak berkuasa.

    Berikut kenyataan penuh Mustapa;

     Saya merujuk kepada laporan media mengenai perbicaraan di Mahkamah Tinggi melibatkan Ahli Parlimen Bagan Datuk yang telah membuat kenyataan bahawa saya, Ahli Parlimen Jeli merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan pada masa itu, telah menyeleweng peruntukan kepada Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

    Saya menafikan sekeras-kerasnya kenyataan Ahli Parlimen Bagan Datuk bahawa saya telah menyeleweng peruntukan yang disalurkan kepada UMNO Kelantan.

    Semua dana parti telah diuruskan mengikut garis panduan parti termasuklah dana untuk pilihan raya. Ianya diuruskan oleh Jawatankuasa berkenaan di peringkat Badan Perhubungan.

    Saya juga menafikan bahawa penyertaan saya dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) adalah bertujuan untuk mengelak siasatan oleh pihak berkuasa.

    Selepas PRU-14, saya telah dipanggil untuk memberi keterangan kepada pihak berkuasa sebanyak dua kali, iaitu pada akhir tahun 2018 dan pada awal tahun 2019. Saya dipanggil memberi keterangan mengenai perkara- perkara berikut:

    i) Sebagai bekas Ahli Jemaah Menteri, saya diminta memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan minit Mesyuarat Jemaah Menteri mengenai projek Trans Sabah Gas Pipeline; dan

    ii) Sebagai bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, saya telah memberi keterangan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkaitan dana yang dimasukkan ke dalam akaun Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan yang didakwa diperolehi daripada sumber 1MDB.

    Kenyataan Ahli Parlimen Bagan Datuk pernah dibangkitkan oleh beberapa pihak sebelum ini. Pihak SPRM telah menafikan perkara ini pada 20 September 2018 manakala Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Kelantan pada masa itu telah memberi penjelasan mengenai pengurusan dana PRU-14 pada 16 Januari 2019.

    Tuduhan-tuduhan seumpama ini berniat untuk mencemarkan reputasi saya sebagai Ahli Jemaah Menteri dan Ahli Parlimen.

    Saya tidak pernah menerima tekanan daripada mana-mana pihak untuk menyertai PPBM dan tidak pernah menyeleweng dana Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan bagi PRU-Saya bersedia untuk memberi kerjasama kepada pihak berkuasa sekiranya diperlukan.