Category: Semasa

  • Pembantu kedai ditahan disyaki bunuh warga asing

    Pembantu kedai ditahan disyaki bunuh warga asing

    POLIS menahan seorang pembantu kedai disyaki terbabit dalam kes bunuh seorang lelaki warga asing di Jalan AU2A/14, Taman Keramat, di Kuala Lumpur, malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata lelaki warga asing berusia 22 tahun itu ditahan di lokasi kejadian sejurus selepas pihaknya menerima maklumat berhubung insiden tersebut kira-kira 10.36 malam.

    Menurutnya dalam kejadian tersebut mayat lelaki warga asing berusia 37 tahun yang bekerja sebagai buruh ditemukan di atas jalan raya dengan kesan kecederaan dan tikaman pada dada.

    “Kita merampas sebilah pisau pemotong sayur yang disyaki senjata digunakan dalam kejadian itu.

    “Mayat mangsa dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata kedua-dua lelaki itu mempunyai dokumen perjalanan sah dan permohonan reman terhadap suspek akan dibuat di Mahkamah Ampang hari ini.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – Bernama

  • Lapan rumah musnah dalam kebakaran awal pagi

    Lapan rumah musnah dalam kebakaran awal pagi

    LAPAN buah rumah musnah dalam satu kebakaran di Kampung Sebiew, di Bintulu, awal pagi tadi.

    Menurut Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar pukul4 pagi.

    “Dua jentera dengan kekuatan 16 anggota diatur gerak ke lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu dan Kidurong.

    “Sekitar pukul 4.33 pagi, pasukan yang tiba membuat laporan awal bahawa kebakaran telah berjaya dikawal.

    “Setelah proses overhaul dilaksanakan, dua jam kemudian, ketua operasi mengesahkan jumlah rumah yang musnah sama sekali ialah lapan buah,” lapor Astro Awani.

    Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian yang menyebabkan 49 orang hilang tempat berteduh.

    Punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan pasukan forensik bomba.

  • Cari jalan bantu B40, M40 yang sudah jatuh miskin, bankrap akibat pandemik-Muhyiddin

    Cari jalan bantu B40, M40 yang sudah jatuh miskin, bankrap akibat pandemik-Muhyiddin

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PANDEMIK Covid-19 yang melanda negara kira-kira dua tahun lalu meninggalkan kesan yang besar terhadap negara antaranya kadar kemiskinan semakin meningkat sehingga mencecah lebih 700,000 orang.

    Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ramai dalam kalangan B40 sebelum ini sudah jatuh miskin manakala golongan M40 pula menjadi B40 akibat pendemik tersebut.

    “Data menunjukkan ramai yang sudah jatuh miskin, B40 sudah jatuh miskin manakala M40 iaitu golongan sederhana yang berniaga sudah bangkrap dan runtuh perniagaan sehingga mereka kini menjadi B40.

    “Sebahagian besar mereka yang jatuh dalam kumpulan ini merupakan orang-orang Melayu dan Islam serta kaum pribumi Sabah dan Sarawak,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada Majlis Dialog Pengerusi MPN Bersama Badan Bukan Kerajaan Negeri Kelantan yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, di Kota Bharu, hari ini.

    Muhyiddin berkata, usaha membantu mereka dan memulihkan keadaan perlu dilakukan dengan mengumpulkan maklumat termasuk melibatkan pandangan serta nasihat daripada pakar tentang tindakan yang perlu diambil.

    Bekas Perdana Menteri itu berkata, perkara paling segera adalah tindakan seberapa segera yang boleh dan MPN akan akan terus berperanan sebagai badan penasihat kepada kerajaan dalam membantu usaha tersebut.

    Bagi membincangkan soal pemulihan selepas pandemik, beliau berkata, kerajaan tidak boleh hanya melihat soal isu tetapi mencari jalan penyelesaian termasuk merealisasikan cadangan penubuhan MPN di peringkat negeri.

    Jelasnya, sebagai contoh bagi membantu golongan IKS yang terkesan, terdapat urusan perniagaan berada di bawah pentadbiran kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

    Menurutnya, kerajaan negeri boleh bertindak dengan mengambil langkah sesuai untuk selesaikan masalah atau dengan memberikan bantuan kepada peniaga-peniaga berkenaan.

    Para peringkat awal juga katanya, sekiranya mereka tidak mempunyai lesen tetapi perlu berniaga untuk meneruskan hidup, PBT perlu memberi peluang dan kelonggaran sementara kerana bagi membolehkan mereka berniaga kerana itu merupakan sumber pendapatan mereka.

  • Zahid usah tuding jari, selesai dulu masalah parti sendiri – Gerakan

    Zahid usah tuding jari, selesai dulu masalah parti sendiri – Gerakan

    PARTI Gerakan hari ini mengecam tindakan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang tidak fokus terhadap masalah dalaman parti pimpinannya, UMNO, sebaliknya, mengalih perhatian orang ramai terhadap pemimpin-pemimpin Perikatan Nasional (PN) yang lain di dalam kes perbicaraan mahkamah beliau.

    Ketua Biro Perpaduan Nasional Gerakan, Puvaniten Helan Gova berkata, pendedahan yang dibuat oleh bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman baru-baru ini jelas menunjukkan kedudukan sebenar UMNO di peringkat kepimpinan tertinggi.

    “Sila selesaikan masalah dalaman UMNO dahulu. Amat jelas situasi sebenar UMNO yang didedahkan oleh Tajuddin berhubung politik dalaman UMNO ketika ini.

      “Pendedahan ini sudah pasti mencetuskan banyak persoalan di peringkat akar umbi parti itu sendiri. Cubalah lihat apa reaksi orang ramai yang meledak di dalam media sosial satu dua hari ini. Rakyat nak kepastian berhubung apa yang sedang berlaku di dalam pucuk pimpinan parti berkenaan dan bukannya menyerong perhatian orang ramai atau menuding jari terhadap parti politik lain dan ahli-ahlinya,” katanya dalam kenyataan, lapor Astro AWANI.

    Puvaniten turut mempersoalkan pendirian Presiden UMNO itu yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk dari segi isu yang diketengahkan Tajuddin.

    ” Pengerusi Barisan Nasional itu kini menghala serangan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara. Rakyat sedang membuat perhatian dan ini bukan budaya politik zaman dulu yang boleh menyalahkan sesiapa pun atau rakyat senang mempengaruhi untuk apa tohmahan,” ujarnya lagi.

    Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak beberapa hari lalu mendakwa Ahmad Zahid tidak layak memimpin UMNO dan perlu undur diri secara terhormat, selain mendedahkan keputusan mesyuarat MKT parti itu selama ini dibuat mengikut kehendak bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

  • Kes ‘scam’ di Perlis meningkat 80 peratus, kerugian RM1.1 juta

    Kes ‘scam’ di Perlis meningkat 80 peratus, kerugian RM1.1 juta

    KES jenayah komersial melibatkan penipuan dalam talian di Perlis dari Januari hingga Mei tahun ini meningkat sehingga 80 peratus kata Ketua Polis negeri Datuk Surina Saad.

    Beliau berkata stastistik menunjukkan bagi tempoh itu kerugian sebanyak RM1.1 juta, yang menghampiri jumlah kerugian RM1.8 juta pada keseluruhan tahun lepas dengan kes penipuan paling banyak dilaporkan melibatkan penipuan e-dagang.

    “Peningkatan kes penipuan dalam talian ini amat ketara sejak kebelakangan ini, boleh dikatakan setiap hari ada sahaja laporan polis dibuat… Antara kes yang kerap berlaku penipuan tawaran pekerjaan, ‘love scam’ dan sebagainya,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas pelancaran Kempen Anti Scam Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2022 peringkat Kontinjen Perlis, di Kangar hari ini.

    Surina berkata sehingga Mei tahun ini, sebanyak 150 tangkapan telah dibuat dan 46 peratus kes telah dituduh di mahkamah, dengan terdapat 41 kes penipuan itu melibatkan 19 orang pelajar lelaki dan 22 orang pelajar perempuan.

    Bagaimanapun beliau berkata kes melibatkan penggunaan akaun keldai menunjukkan pengurangan, kerana semakin banyak pertuduhan telah dibuat ke atas pemilik akaun.

    Surina turut menasihatkan orang ramai untuk membuat semakan terlebih dahulu di laman web https://semakmule.rmp.gov.my/ sebelum membuat sebarang transaksi dengan membuat semakan.

  • MB Johor perlu fahami, hormati proses tuntutan Batu Puteh

    MB Johor perlu fahami, hormati proses tuntutan Batu Puteh

    Oleh ABU UBAIDILAH RAHMAN

    MENTERI Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi perlu menghormati proses tuntutan Batu Puteh yang sedang dilakukan kerajaan.

    Penyelaras Parlimen Parit Sulong, Mahdzir Ibrahim berkata, kedua-duanya tidak wajar mengeluarkan sebarang kenyataan secara semberono sekali gus memperlihatkan seolah-olah mereka tidak memahami proses tersebut.

    “Saya ingin menasihatkan orang-orang politik, agar meneliti dan mengarifi sesuatu isu terlebih dahulu dengan lebih mendalam sebelum

    membuat apa-apa ulasan. Saya juga ingin mengingatkan bahawa isu ini bukan isu peribadi antara beliau dengan Tun Dr. Mahathir Mohamed.

    “Batu Puteh adalah isu perundangan yang melibatkan Jabatan Peguam negara dan kerajaan. Beliau tidak seharusnya bertindak semberono dengan mengulas tanpa merujuk dan meminta nasihat daripada pegawai perundangan yang lebih arif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Pada 29 Oktober 2021, Kabinet membentuk Pasukan Petugas Khas bagi menyemak isu-isu dan tindakan perundangan berhubung kes Batu Puteh.

    Penubuhan iu ekoran keputusan kerajaan ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) di bawah Dr. Mahathir untuk tidak meneruskan permohonan semakan semula kes Batu Puteh di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di Hague, Belanda pada 2018.

    Pada 26 Jun lalu, Onn Hafiz berkata, kerajaan Johor mahu tindakan undang-undang diambil ke atas pihak yang menyebabkan negara kehilangan hak dan kedaulatan terhadap Batu Puteh manakala semalam Dr. Puad menawarkan diri untuk menyaman Dr Mahathir.

    Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, jika disemak kenyataan media Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkenaan isu tersebut pada 26 April lalu, menjelaskan bahawa laporan siasatan tersebut merupakan laporan interim.

    Jelasnya, ini bermaksud laporan tersebut belum selesai malah dalam kenyataan yang sama, menteri yang bertanggungjawab itu telah memohon tempoh lanjutan untuk menyiapkan laporan tersebut.

    Katanya, Dr. Wan Junaidi turut menyatakan bahawa kesulitan oleh Pasukan Petugas Khas (PPK) untuk melengkapkan siasatan atas faktor-faktor dokumentasi dan pelbagai lagi masalah teknikal yang perlu dilakukan dengan penuh cermat.

    Justeru katanya, sebagai Menteri Besar Johor dan Speaker DUN, mereka harus menghormati proses yang sedang dijalankan dan tidak mengeluarkan kenyataan yang akan menggangu gugat ketenteraman dan keharmonian rakyat.

    “Saya ingin menasihati Menteri Besar Johor dan Speaker DUN bahawa apabila selesai siasatan ini, perkara pertama yang perlu dibuat ialah meminta kerajaan agar laporan siasatan ini didedahkan kepada pihak awam supaya rakyat dapat membaca dan memahami punca sebenar kegagalan Malaysia mempertahankan Pulau Batu Puteh,” katanya.

    Jelas beliau, tidak timbul pihak mana yang patut dipersalahkan atau siapa patut disaman dalam isu Batu Puteh itu.

    “Perkara kedua yang perlu diberi perhatian ialah, Menteri Besar Johor tidak seharusnya menggunakan isu ini untuk mengelak daripada isu yang lebih utama iaitu mencari penyelesaian terhadap isu-isu rakyat yang semakin meruncing ketika ini.

    “Ada banyak perkara yang beliau boleh dilakukan untuk membantu rakyat dalam menghadapi pelbagai kenaikan kos sara hidup yang semakin membebankan. Ini tugas utama sebagai Menteri Besar Johor,” katanya.

  • 71% rakyat tak cukup gaji tampung inflasi

    71% rakyat tak cukup gaji tampung inflasi

    MAMPUKAH rakyat Malaysia berdepan dengan krisis kenaikan harga barangan yang semakin menggila ketika ini?

    Persoalan itu timbul ekoran kaji selidik Pusat Kajian UCSI yang mendapati 71 peratus rakyat berpandangan gaji mereka tidak mencukupi untuk menampung inflasi dalam masa beberapa bulan akan datang.

    Memetik laporan Malaysia Gazette, kaji selidik tersebut dijalankan terhadaps serami 1,178 responden.

    Pusat Kajian Undian UCSI turut mendapati 90 peratus rakyat berdepan dengan isu kenaikan harga barangan keperluan harian sejak dua bulan lalu.

    Manakala, 84 peratus daripada mereka bersetuju bahawa negara ini sedang menghadapi inflasi.

    “Bagi soalan mengenai status kewangan mereka untuk tempoh tiga atau enam bulan ke depan, 16 peratus berpendapat kewangan mereka akan bertambah baik.

    “Dan 45 peratus lagi berpendapat kewangan mereka akan bertambah teruk manakala 39 peratus berpendapat ia akan kekal sama,” kata pusat kajian itu.

    Kajian yang sama turut mendapati sebanyak 86 peratus responden telah berdepan kenaikan harga daging sejak dua bulan lalu.

    Kenaikan harga buah dan sayur dicatatkan pada kadar 85 peratus diikuti kenaikan harga produk import (81 peratus), kenaikan produk elektrik (80 peratus) dan kenaikan harga barang kemas (77 peratus).

    Kaji selidik tersebut menunjukkan majoriti responden berdepan kenaikan harga bagi barangan keperluan dan kehendak.

    Malah, bantuan yang diberikan kerajaan melalui Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) mungkin tidak akan meredakan keresahan rakyat dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang.

    “Kerajaan cuba membantu rakyat B40 berdepan situasi ini dengan memberi tambahan RM100 bagi isi rumah dan RM50 bagi golongan bujang yang layak melalui BKM.

    “Namun dengan kurangnya keyakinan terhadap situasi kewangan bagi tempoh tiga atau enam bulan ke depan, mampukah ia membantu rakyat Malaysia berdepan kesukaran kewangan?” soalnya.

    Dapatan kaji selidik itu adalah selari dengan kegelisahan sebahagian besar rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana selepas kerajaan mengumumkan penarikan subsidi minyak sawit berbotol mulai hari ini.

    Selain itu, kenaikan harga siling ayam turut membebankan mereka yang masih bergelut untuk memulihkan ekonomi keluarga selepas krisis pandemik COVID-19.

    Bantuan yang diumumkan kerajaan juga tidak bersifat menyeluruh dan gagal menangani isu sebenar yang berpunca daripada kenaikan harga barangan keperluan harian.

    Ramai yang mempertikaikan mengapa Malaysia sebagai sebuah negara pengeksport minyak sawit tidak berupaya mengawal kenaikan harga komoditi itu di pasaran tempatan.

  • Pusat Rawatan TH, yang pertama di Arab Saudi dapat kelulusan permit

    Pusat Rawatan TH, yang pertama di Arab Saudi dapat kelulusan permit

    PUSAT  Rawatan Lembaga Tabung Haji (TH) di Makkah dan Madinah menjadi pusat rawatan jemaah haji luar negara pertama yang mendapat kelulusan permit (Tarkhis) daripada Kementerian Kesihatan Arab Saudi untuk pembukaan dan pengoperasian hospital bagi musim haji kali ini.

    Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkhidmatan yang ditawarkan di Pusat Rawatan TH itu adalah hampir setara dengan hospital pakar minor.

    Beliau berkata pusat rawatan itu mendapat permit ambulans (Tasrih) untuk menjalankan perkhidmatan ambulan dimana pihak Malaysia mempunyai 20 buah ambulan spesifikasi tinggi.

    “Kelulusan permit-permit ini diberikan setelah melalui pemeriksaan yang ketat dan teliti oleh Kementerian Kesihatan Arab Saudi.

    “Ini merupakan suatu pengiktirafan kepada kualiti dan standard fasiliti serta perkhidmatan kesihatan bagi jemaah haji Malaysia di Makkah dan Madinah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Pada 13 Mei lepas, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memaklumkan Kementerian Kesihatan (KKM) menghantar sejumlah 255 petugas perubatan merangkumi 128 petugas yang berpengalaman menyertai operasi sebelum ini serta 127 petugas baharu.

    Dr Noor Hisham berkata secara umumnya, KKM memberi perkhidmatan kesihatan di semua tempat penginapan jemaah haji di bawah kelolaan TH antaranya rawatan pesakit luar di klinik zon atau maktab, rawatan kecemasan, rawatan pesakit dalam, rawatan pakar bagi perubatan keluarga, kecemasan, perubatan, ortopedik, anestesiologi atau bius, radiologi, psikiatri dan kesihatan awam.

    Turut ditawarkan ialah perkhidmatan panggilan ambulans, makmal perubatan, farmasi pesakit dalam dan pesakit luar, fisioterapi, khidmat penjagaan spiritual, khidmat pemakanan diet pesakit, survelan kawalan penyakit, serta pemantauan kualiti dan keselamatan makanan.

    Menurutnya, secara keseluruhannya di Makkah dan Madinah, kapasiti katil di pusat rawatan pesakit dalam adalah sebanyak 268 katil manakala pusat rawat dan rehat, 184 katil.

    Dr Noor Hisham berkata antara penyakit yang paling kerap diterima di klinik pesakit luar di Makkah dan Madinah adalah jangkitan kuman paru-paru seperti jangkitan kuman pernafasan atas (URTI), radang paru-paru dan lelah, selain penyakit tidak berjangkit seperti penyakit darah tinggi tidak terkawal dan kencing manis tidak terkawal dan serangan jantung.

    Penyakit lain adalah berkaitan kulit seperti rekahan kulit dan alahan, selain tekanan haba, keletihan haba dan kepenatan badan, katanya.

    “Keadaan cuaca panas terik dan kering di Tanah Suci Makkah dan Madinah boleh memberi kesan mudarat kepada kesihatan dan langkah penjagaan kesihatan perlu diambil serius oleh para jemaah Haji,” katanya.

    Selain itu, katanya penularan jangkitan penyakit berjangkit yang kerap dilihat seperti musim Haji tahun-tahun dahulu masih boleh berlaku di Tanah Suci.

    “Jemaah Haji Malaysia adalah disarankan untuk sentiasa memakai pelitup muka terutama di kawasan berisiko seperti kawasan yang sesak dan tertutup seperti dalam lif, surau dan di luar bangunan penginapan jemaah Haji,” katanya.

    Jemaah Haji juga perlu mendapatkan rawatan awal di klinik maktab di Makkah atau zon di Madinah jika bergejala bagi pengesanan awal penyakit seterusnya rawatan awal boleh diberikan bagi mengelak komplikasi penyakit yang teruk, katanya.

    — BERNAMA

  • Suami isteri, rakan ditahan bersama ganja bernilai RM33,813

    Suami isteri, rakan ditahan bersama ganja bernilai RM33,813

    POLIS menumpaskan sindiket pengedaran dadah selepas menahan tiga individu tempatan termasuk sepasang suami isteri dan merampas 13.5 kilogram (kg) ganja bernilai RM33,813 dalam dua serbuan di Sungai Dua dan Perai, dekat sini pada Rabu.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Mohd Radzi Ahmad berkata bertindak hasil maklumat awam dan risikan dijalankan sejak seminggu lepas, sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Pulau Pinang telah menyerbu sebuah rumah di Sungai Dua pada 10.30 pagi.

    “Dalam serbuan itu, polis menahan pasangan suami isteri berusia 35 dan 44 tahun tersebut dan pemeriksaan dalam rumah sewa mereka telah menemukan lapan ketulan mampat ganja seberat 8.7kg bernilai RM21,680.

    “Berikutan penahanan pasangan itu, polis kemudiannya menyerbu sebuah bengkel di Perai pada 1.30 tengah hari dan menahan seorang lelaki berumur 44 tahun di situ, kami merampas lima ketulan mampat  ganja seberat 4.85kg bernilai RM12,133,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

    Beliau berkata siasatan awal mendapati lelaki yang ditahan di bengkel itu adalah dalang utama sindiket tersebut dan mereka bergiat aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah sejak awal tahun ini.

    Mohd Radzi berkata sindiket itu mendapatkan bekalan dadah daripada rangkaian mereka sebelum membungkus semula dalam kuantiti kecil dan mengedarkannya kepada penagih di sekitar daerah SPU serta Seberang Perai Tengah.

    Katanya, tiga suspek yang ditahan itu bekerja sendiri namun mereka dipercayai hidup mewah hasil kegiatan pengedaran dadah kerana mampu mengaut keuntungan sehingga puluhan ribu ringgit setiap bulan.

    “Semakan mendapati ketua sindiket itu mempunyai rekod jenayah lampau manakala ujian air kencing seorang lagi lelaki positif dadah,” katanya semua ganja dirampas itu boleh digunakan oleh 27,050 penagih dadah.

    Beliau berkata polis turut menyita barang kemas dan wang tunai kesemuanya bernilai RM15,000 daripada tiga suspek yang kini direman selama 6 Julai bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.—Bernama

  • 10 pemancing, 3 kru ditemui selamat

    10 pemancing, 3 kru ditemui selamat

    SERAMAI 13 lelaki terdiri daripada pemancing dan tiga kru yang dikhuatiri hilang di laut ditemui selamat, hari ini.

    Semua mangsa yang berusia antara 32 hingga 52 tahun ditemui kira-kira jam 1.40 tengah hari berhampiran pelantar Cendor, kira-kira 80 batu nautika dari perairan Kuala Terengganu.

    Pegawai Mencari dan Menyelamat (SAR) Maritim Terengganu, Leftenan Komander (M) Mohd Arizan Hakimi Mohd Zin, berkata semua mangsa yang keluar memancing sejak Sabtu lalu sepatutnya pulang pada Rabu lalu, namun gagal berbuat demikian sebelum laporan polis dibuat.

    Katanya, bot dinaiki mereka dikatakan mengalami kerosakan enjin sehingga hanyut berhampiran pelantar terbabit.

    “Bot dinaiki mereka ditemui kapal pembekal dan semua mangsa berada dalam keadaan selamat. Mereka kini dalam proses dibawa ke Jeti Maritim Malaysia.

    “Mereka dijangka tiba di jeti pada jam 10 malam ini tetapi ia tertakluk kepada keadaan cuaca semasa,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan taklimat kepada keluarga mangsa di Pejabat Maritim Malaysia Terengganu di Kuala Terengganu, hari ini, lapor Berita Harian.

    Media semalam melaporkan seramai 10 pemancing bersama tiga kru dikhuatiri hilang di laut selepas bot dinaiki mereka tidak pulang sejak Rabu.