Category: Semasa

  • Dua nelayan cedera di kepala, melecur perut bergaduh atas bot

    Dua nelayan cedera di kepala, melecur perut bergaduh atas bot

    DUA nelayan warga Thailand selepas didapati bergaduh di atas sebuah bot nelayan tempatan di kedudukan 7.8 batu nautika barat daya Pulau Kalumpang, Parit Buntar, Rabu lalu.

    Kedua-duanya ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selepas ejen bot terbabit membuat aduan tentang kejadian tersebut.

    Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd. Sharenliza Ghazali berkata, pasukan bot peronda APMM kemudian diatur gerak ke lokasi untuk pengesahan.

    “Sebaik tiba di lokasi, pasukan bot ronda bertindak merapati bot nelayan berkenaan untuk pemeriksaan lanjut dan mendapati dua nelayan warga Thailand berusia 37 dan 39 tahun cedera.

    “Seorang daripadanya cedera di kepala manakala seorang lagi melecur di bahagian perut,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Beliau berkata, kedua-dua nelayan itu ditahan dan sebilah pisau yang disyaki digunakan dalam pergaduhan itu turut dirampas bagi tujuan siasatan.

    “Nelayan yang cedera itu dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau dan dikejarkan ke Hospital Parit Buntar dengan bantuan Angkatan Pertahanan Awam Daerah Kerian untuk rawatan.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • Bot nelayan ditahan langgar syarat lesen

    Bot nelayan ditahan langgar syarat lesen

    SEBUAH bot nelayan tempatan kelas C ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kerana melanggar syarat sah lesen di kedudukan 2.4 batu nautika barat daya Pulau Puchong Langkawi, malam tadi.

    Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Kapten Maritim Saliza Ahmad berkata, bot itu ditahan oleh bot ronda Maritim Malaysia semasa rondaan rutin dan penguatkuasaan di sekitar perairan Langkawi.

    Katanya, bot nelayan yang bernombor pendaftaran tempatan itu ditahan pada pukul 10.45 malam ketika menunda dalam keadaan bergelap dan mencurigakan.

    “Hasil pemeriksaan mendapati, bot terbabit dikendalikan oleh tekong bersama empat awak-awak warga Thailand dan dua daripadanya adalah warga tempatan.

    ““ot nelayan tempatan itu disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen dengan menunda ikan di kawasan yang tidak dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Saliza berkata, bot, tekong dan kru termasuk hasil tangkapan yang dianggarkan seberat 150 kilogram dibawa ke Jeti Maritim Bukit Malut untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia bagi siasatan lanjut.

    Beliau berkata, Maritim Malaysia memandang serius terhadap operasi penguatkuasaan di laut dan akan mengambil tindakan tegas kepada individu yang melakukan aktiviti jenayah di perairan negara.

    Sebarang aduan dan maklumat mengenai kegiatan jenayah maritim serta kecemasan di laut, sila hubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis di talian 04-9662750 atau di talian kecemasan MERS 999 untuk tindakan segera.

  • PM ingatkan jangan persoal kuasa Agong, Tajudin sudah dilantik sebagai duta

    PM ingatkan jangan persoal kuasa Agong, Tajudin sudah dilantik sebagai duta

    DESAKAN supaya pelantikan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia dibatalkan adalah cubaan mempersoalkan kuasa Yang di-Pertuan Agong, kata Datuk Seri Ismail Sabri.

    Menurut Perdana Menteri, ini kerana cadangan melantik Ahli Parlimen Pasir Salak itu ke jawatan berkenaan sudah pun mendapat perkenan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

    “Itu (pelantikan Tajuddin) sudah pun diluluskan oleh Kabinet, sudah diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan sudah pun mendapat perkenan.

    “Sepatutnya sudah serahkan watikah tempoh hari, tetapi Yang di-Pertuan Agong gering waktu nak diserahkan dan saya percaya akan diserahkan watikah itu.

    “Janganlah kita persoalkan kuasa Yang di-Pertuan Agong pula. Agong dah perkenan, kita pula nak tarik balik, nak desak Agong la tu, maknanya mendesak Yang di-Pertuan Agong kerana baginda yang memberi perkenan,” katanya, lapor Berita Harian.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Ke-42, di Kuala Lumpur hari ini.

    Antara pihak membuat desakan sedemikian adalah Exco Pemuda UMNO, Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin atas alasan Ahli Parlimen Pasir Salak itu tidak layak memegang jawatan besar berkenaan, selain bagi menjaga imej negara daripada tercalar.

    Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera, Wong Hon Wai juga membuat desakan sama dengan menyifatkan cara percakapan Tajuddin amat memalukan negara dan perkara sama turut berlaku dalam insiden lain di Parlimen serta Prasarana sebelum ini.

  • Terengganu anjur semula perkahwinan beramai-ramai secara percuma

    Terengganu anjur semula perkahwinan beramai-ramai secara percuma

    SELEPAS dua tahun terhenti akibat pandemik COVID-19, kerajaan Terengganu akan menganjurkan semula Majlis Walimatulurus Perdana untuk membantu bakal pengantin berkahwin secara percuma bermula September depan.

    Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, program itu bertujuan membantu meringankan beban ahli keluarga yang tidak berkemampuan serta menggalakkan perkahwinan semula ibu dan bapa tunggal di Terengganu.

    “Majlis akad nikah dan resepsi pengantin akan dikendalikan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) dan pengantin yang terpilih tidak perlu mengeluarkan wang perbelanjaan kerana semuanya ditanggung oleh kerajaan negeri.

    “Antara manfaat semasa program (majlis akad nikah dan resepsi) yang akan diterima oleh setiap pasangan ialah satu set persalinan akad nikah, khidmat jurunikah, pelamin, kad jemputan kahwin dan khidmat jurugambar, jemputan jamuan khas pengantin bersama keluarga terdekat serta cenderahati untuk tetamu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sejak dimulakan pada 2016 hingga 2019, seramai 1,167 pasangan mendapat manfaat daripada program terbabit.

    Hanafiah berkata, bakal pengantin terdiri ibu atau bapa tunggal juga layak menerima insentif RM1,000 setiap seorang.

    “Bagi pasangan belia, mereka ditawarkan Skim Pinjaman Modal Perniagaan di bawah Skim Pinjaman Jaya Diri (PJD) dengan jumlah maksimum RM20,000 kepada yang berminat dan layak,” katanya.

    Bakal pengantin yang berminat boleh melayari laman web rasmi atau menghubungi YPKT daerah masing-masing untuk maklumat lanjut. – Bernama

  • CAP dakwa ayam dijual sehingga RM11 sekilogram di P. Pinang

    CAP dakwa ayam dijual sehingga RM11 sekilogram di P. Pinang

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendedahkan terdapat peniaga di negeri itu yang menjual ayam mentah pada harga lebih mahal daripada harga siling ditetapkan iaitu RM9.40 sekilogram.

    Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, tinjauan pihaknya di tiga buah pasar di daerah Barat Daya dan Timur Laut mendapati, terdapat peniaga yang menjual ayam itu pada harga sehingga mencecah RM11 sekilogram.

    “Walaupun segelintir mereka telah menulis harga lama di papan kenyataan, tetapi mereka menjual ayam secara terbuka pada harga RM11 sekilogram, iaitu sekurang-kurangnya seekor dijual pada harga RM12 sekilogram.

    “Menurut peniaga, terdapat banyak bekalan ayam di pasaran berbanding aduan sebelum ini yang mendakwa berlaku kekurangan ayam,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Mesyuarat Jemaah Menteri pada 29 Jun lalu mengambil keputusan untuk tidak mengapungkan harga ayam sebaliknya meneruskan subsidi dan menetapkan harga siling runcit ayam standard pada RM9.40 sekilogram bagi Semenanjung Malaysia mulai semalam.

    Dalam pada itu, Mohideen menggesa Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyiasat isu berkaitan kenaikan harga bekalan ayam yang jelas boleh menjejaskan golongan berpendapatan rendah.

    “Kita berharap tindakan segera dapat diambil oleh pihak berkuasa berkaitan terhadap peniaga yang menaikkan harga ayam secara berlebihan dan melanggar Akta Antipencatutan 2010.

    “Ini kerana mereka yang berpendapatan rendah akan terjejas teruk akibat kenaikan harga barang,” tambahnya.

  • Ops Khas lori balak:JPJ keluarkan 112 notis termasuk 60 saman

    Ops Khas lori balak:JPJ keluarkan 112 notis termasuk 60 saman

    SEBANYAK 112 notis termasuk 60 saman dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang ke atas pemandu lori balak dalam Ops Khas Lebih Muatan Lori Balak yang diadakan di seluruh negeri ini pada Selasa lalu.

    Pengarahnya, Kamarul Iskandar Nordin berkata, dalam operasi itu, 179 lori balak diperiksa dan 45 daripadanya telah diambil tindakan atas pelbagai kesalahan.

    Menurutnya, antara kesalahan yang dikesan termasuk 13 kes lebih muatan dan tujuh kes membawa muatan secara bahaya.

    “Kesalahan lain yang turut dikesan ialah melibatkan teknikal kenderaan, pelesenan pemandu dan pelesenan kenderaan,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Kamarul Iskandar berkata, operasi yang dilaksanakan serentak seluruh negeri itu diadakan bagi memastikan tahap kepatuhan pengusaha dan pemandu lori balak terhadap peraturan yang ditetapkan.

    “Ia berikutan isu kesalahan tatacara pemuatan dan pengangkutan kayu balak di negeri ini masih lagi berada pada tahap yang tidak memuaskan.

    “Operasi berterusan yang dijalankan seolah-olah tidak memberi kesan apabila ada dalam kalangan pemandu lori balak terus melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan Jalan (APJ) 1987 dan Kaedah-kaedah Pembinaan dan Penggunaan (C&U) 1959,” katanya.

    Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap lori yang membawa muatan balak akan sentiasa dilaksanakan secara berterusan dan berkala bagi memastikan undang-undang sentiasa dipatuhi demi kebaikan semua pihak.

  • Maritim Terengganu tahan tekong, kru bot nelayan bantu siasatan

    Maritim Terengganu tahan tekong, kru bot nelayan bantu siasatan

    TIGA individu melibatkan seorang tekong dan dua kru bot nelayan yang membawa 10 pemancing ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu bagi membantu siasatan.

    Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, mereka disiasat di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen yang dikeluarkan.

    Menurut beliau, bot nelayan kelas A itu hanya boleh menangkap ikan dalam kawasan dibenarkan bersama tiga kru namun melanggar syarat apabila membawa 10 pemancing memancing di lokasi lebih jauh tanpa sebarang alatan komunikasi.

    Katanya, mengikut rekod, bot ini dikesan melakukan kesalahan sama pada tahun 2020 namun ketika itu pihaknya hanya memberi amaran.

    “Bila kejadian sama berlaku lagi, kita perlu ambil tindakan tegas untuk memberi pengajaran kepada pengusaha bot lain supaya mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya kepada pemberita di pejabat Maritim Terengganu, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Muhamamd Suffi berkata, 10 pemancing bersama tekong dan kru yang terlibat dalam kejadian tersebut berjaya dibawa pulang oleh KM Redang dan tiba di jeti Maritim Terengganu pada pukul 9 pagi ini.

    Menurut beliau, sejak 24 Jun lalu pihaknya sudah mengadakan empat operasi mencari dan menyelamat kes kecemasan di laut membabitkan nelayan.

    Sehubungan itu, Muhammad Suffi meminta nelayan dan pengusaha bot memasang peralatan komunikasi bagi membolehkan bantuan segera dihantar sekiranya berlaku kecemasan ketika berada di laut.

    “Bagi pemancing pula, mereka perlu memastikan bot dinaiki dilengkapi sistem komunikasi dan kecemasan. Bantuan boleh tiba dalam tempoh dua jam sekiranya butang kecemasan ditekan dan ini memudahkan pasukan penyelamat,” katanya.

  • Keputusan tawaran ke Tingkatan Enam diumum Khamis ini

    Keputusan tawaran ke Tingkatan Enam diumum Khamis ini

    KEPUTUSAN tawaran bagi kemasukan ke Tingkatan Enam bagi 2022 akan diumumkan pada Khamis (7 Julai).

    Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2021 boleh membuat semakan keputusan tawaran dan pendaftaran kemasukan ke Tingkatan Enam tahun 2022 melalui aplikasi dalam Talian Tingkatan Enam melalui pautan https://sst6.moe.gov.my/ atau menyemak keputusan tawaran melalui sekolah asal masing-masing.

    “Murid lepasan SPM tahun 2021 yang tidak menerima tawaran ke Tingkatan Enam boleh mengemukakan permohonan rayuan secara dalam talian melalui pautan https://sst6.moe.gov.my/ mulai 7 hingga 24 Julai 2022.

    “Bagi murid yang tidak mempunyai capaian Internet pula, rayuan boleh dibuat melalui sekolah masing-masing,” katanya.

    Menurut KPM keputusan permohonan rayuan kemasukan ke Tingkatan Enam Semester 1 akan dimaklumkan pada 1 Ogos 2022 melalui portal yang sama, manakala bagi pelajar yang tidak mempunyai capaian Internet, keputusan permohonan rayuan akan dimaklumkan oleh pihak sekolah pada tarikh yang sama.

    Pelajar yang ditawarkan ke Tingkatan Enam perlu melapor diri pada 25 Julai 2022 di kolej atau Pusat Tingkatan Enam yang dinyatakan dalam surat tawaran,” katanya.

    Bagi ambilan rayuan, tarikh lapor diri adalah pada 2 Ogos 2022. – Bernama

  • Jurujual rugi RM16,500 selepas dituduh terlibat pengubahan wang haram

    Jurujual rugi RM16,500 selepas dituduh terlibat pengubahan wang haram

    SEORANG jurujual kerugian apabila wang simpanannya RM16,500 lesap akibat diperdaya sindiket Macau Scam semalam, selepas dituduh terlibat dalam kes pengubahan wang haram.

    Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, mangsa yang merupakan wanita berusia 31 tahun mula diperdaya selepas menerima panggilan daripada pihak bank yang mendakwa mangsa mempunyai tunggakan bayaran bulanan kad kredit.

    “Mangsa menafikan perkara tersebut, namun talian mangsa disambungkan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) yang mendakwa mangsa terlibat dengan kes jenayah.

    “Kemudian Mangsa diminta menyerahkan butiran perbankan dalam talian iaitu ID bersama kata laluan dengan alasan untuk memudahkan seliaan dan pemantauan.

    “Mangsa menyerahkan segala butiran maklumat akaun kepada lelaki yang dikenali sebagai Suhaimi Ali kononnya daripada pihak BNM,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Menurutnya, mangsa menyedari ditipu apabila terdapat tiga transaksi dipindah secara berperingkat.

    “Transaksi berjumlah RM8,000, RM7,000 dan RM1,500 yang dipindahkan ke dalam akaun sebuah bank yang tidak dikenali.

    “Mangsa kemudiannya pergi ke Balai Polis Teluk Intan untuk membuat laporan polis setelah merasa dirinya tertipu,” katanya.

    “Orang ramai diingatkan jangan mudah percaya kepada panggilan telefon yang tidak dikenali selain tidak melayan layan panggilan tersebut bagi mengelakkan diperdaya sindiket Macau Scam ini.

    “Mana-mana agensi tidak boleh menyambungkan sebarang panggilan telefon yang dibuat ke atas orang awam kepada agensi berbeza dalam satu panggilan sama,” katanya.

  • Segerakan penubuhan majlis pemulihan negeri – Muhyiddin

    Segerakan penubuhan majlis pemulihan negeri – Muhyiddin

    MAJLIS pemulihan negeri perlu segera dibentuk bagi melancarkan usaha memulihkan ekonomi secara bersepadu melibatkan kerjasama Pusat dan negeri, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) itu berkata, cadangan berkenaan telah diusulkan beliau kepada kerajaan yang kemudiannya dipersetujui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Katanya, majlis pemulihan itu seeloknya diketuai oleh Menteri Besar atau exco yang bertanggungjawab dalam soal ekonomi di peringkat negeri masing-masing.

    Beliau menjelaskan, majlis sedemikian amat penting kerana terdapat banyak perkara khsusnya aspek peraturan berkaitan ekonomi yang berada dalam bidang kuasa kerajaan negeri.

    “Soal pentadbiran dan yang berkaitan soal perniagaan ada kaitan dengan bidang kuasa kerajaan negeri atau pihak berkuasa tempatan (PBT), yang mana ini tidak terletak haknya pada Kerajaan Persekutuan.

    “Sewajarnya kerajaan negeri juga harus bertindak mengambil langkah-langah yang diperlukan untuk menyelesaikan pelbagai isu malahan beri bantuan dan sokongan supaya mereka yang terkesan seperti peniaga terutama usahawan Bumiputera kecil yang perlukan bantuan dipermudahkan,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada Majlis Dialog Pengerusi MPN Bersama Badan Bukan Kerajaan Negeri Kelantan yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, di Kota Bharu hari ini.

    Mengulas lanjut, Muhyiddin memberikan contoh tentang operasi perniagaan kecil memerlukan lesen daripada PBT dan ia sewajarnya diberi kelonggaran dengan mengambil kira keadaan semasa.

    Katanya, adalah tidak wajar golongan yang mahu berniaga untuk meneruskan kehidupan terpaksa menunggu lesen terlebih dahulu kerana ia akan menjejaskan kehidupan keluarga.

    “Itu contoh paling kecil, apatah lagi jika nak dilihat dalam konteks lebih besar

    “Sebab itu kita ada tanggungjawab bersama, Kerajaan Pusat, MPN yang beri pandangan dan nasihat dan di peringkat negeri perlu berganding bahu mengambi langkah tertentu yang diperlukan untuk selesaikan masalah ini,” katanya.

    Muhyiddin berkata, aspek sedemikian jika tidak diberi tumpuan segera akan memberikan kesan besar dan salah satu daripadanya ialah pertambahan kadar kemiskinan.

    Beliau berkata, berikutan pandemik COVID-19, semakin ramai golongan T20 sudah menjadi M40 dan begitu juga dengan M40 dan B40 yang turun kategorinya.

    “Jelas terbukti bilangan yang sudah jatuh miskin sangat ramai. Sebahagian besar kategori itu orang Islam termasuk Bumiputera Sabah dan Sarawak,” kataya.