Category: Semasa

  • Kos sara hidup naik, ‘bom jangka’ ganggu prestasi mahasiswa

    Kos sara hidup naik, ‘bom jangka’ ganggu prestasi mahasiswa

    ISU kenaikan harga barang dan kos sara hidup yang tidak dibendung boleh menjadi ‘bom jangka’ yang dibimbangi akan menganggu prestasi mahasiswa.

    Presiden Kesatuan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa, Aliff Naif berkata, hal itu tidak mustahil jika mahasiswa terus terbeban dengan tekanan kenaikan kos sara hidup.

    “Isunya sekarang, macam mana cara golongan yang susah ini menampung kos keperluan harian mereka dalam keadaan situasi harga barang naik.

    “Sejauh mana kebenarannya? Adakah sampai ada pelajar yang terpaksa ikat perut, itu saya memang tidak tolak ada kemungkinannya,” kata seperti dilaporkan FMT.

    Setiausaha Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM), Ooi Guo Shen tidak menafikan ada pelajar yang mengadu mula tertekan dengan kenaikan harga barang.

    Menerusi luahan di laman sosial kumpulan pelajar, katanya, ada di antara mereka yang bimbang menempuh semesta baharu kerana perlu memikirkan yuran pengajian dan kos keperluan harian.

    “Risau nak naik semester baharu nanti. Sekarang hujung-hujung semester ini pun tengah berkira duit makan dan yuran.

    “Lapar, nak minta duit dekat orang tua, duit pun cukup-cukup makan saja. Setiap malam lapar, tapi tahan diri, dapat makan nasi boleh menitis air mata, rindu rumah,” demikian antara luahan yang dikongsikan pelajar dalam media sosial.

    Seorang pelajar universiti awam yang hanya mahu dikenali sebagai Nur Fazlina, 21, berkata, masalah kenaikan harga barang cukup membebankan, khasnya buat pelajar seperti dirinya yang bukan datang dari keluarga senang.

    Pelajar tahun tiga jurusan sains kemanusiaan itu berkata, dia terpaksa berjimat cermat dan membuat kerja sambilan kerana wang pinjaman yang diterima tidak mencukupi serta perlu membantu menambah pendapatan keluarga di kampung.

    “Rasa terbeban juga sekarang dengan harga makanan makin mahal, jadi walaupun sibuk dengan kuliah, cari masa juga buat kerja sambilan sebab mak ayah saya pun pendapatan tak tentu, ada duit lebih bolehlah tolong mereka.

    “Ada masa sedih juga, bila mak telefon tanya ada duit tak, walaupun memang tengah susah, tapi cakap saja ada duit sebab tak sampai hati nak minta,” katanya ketika dihubungi FMT.

    Sebelum ini, media melaporkan kira-kira 20 kumpulan pelajar memberi amaran akan turun ke jalanan untuk mengadakan protes, jika kerajaan gagal menangani kenaikan kos sara hidup.

    Kumpulan itu menyenaraikan lima tuntutan kepada kerajaan, termasuk memotong gaji menteri dan timbalannya serta menyediakan bantuan tambahan kepada rakyat.

    Tuntutan lain termasuk pemberian subsidi berterusan, kawalan harga makanan yang dijual di universiti dan penyelesaian kepada masalah jaminan makanan negara.

    Seorang lagi pelajar universiti awam di Perak, Hamizan Abdul mengakui ada ketikanya dia terpaksa bercatu makan sekali sehari kerana perlu berjimat cermat.

    Luahnya, dia yang tinggal di luar kampus ada kalanya merasa terbeban dengan kos sewa rumah, termasuk utiliti yang perlu dibayar setiap bulan.

    “Bila duduk luar cukup bulan kena fikir nak bayar sewa rumah, bil api, air dan wifi. Duit untuk makan kadang-kadang habis dekat situ saja.

    “Sebab tu kadangkala kena ikat perut, makan sekali saja sehari sebab nak jimat,” kata pelajar tahun tiga jurusan ekonomi itu.

  • Bunuh kekasih tingkatan empat, penganggur didakwa

    Bunuh kekasih tingkatan empat, penganggur didakwa

    SEORANG penganggur didakwa di Mahkamah Majistret Klang, hari ini, atas pertuduhan membunuh kekasihnya di sebuah rumah di Kampung Idaman, Pandamaran, pada 26 Jun lalu.

    Menurut laporan Berita Harian, tertuduh, Lee Wei Shen, 24, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Amirul Asyraf Abd. Rashid dalam bahasa Mandarin.

    Dia didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian ke atas seorang remaja perempuan berusia 16 tahun di dalam bilik sebuah rumah di Kampung Idaman, Pandamaran, pada pukul 3.40 pagi, 26 Jun lalu.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nuruljannah Aimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mahkamah menetapkan 7 September depan untuk serahan laporan kimia, bedah siasat, toksikologi dan forensik.

    Media sebelum ini melaporkan seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat ditemui mati disyaki dibunuh kekasihnya selepas dikatakan berlaku perselisihan faham di rumah lelaki berkenaan.

    Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong, berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 3.40 pagi berhubung penemuan seorang remaja perempuan dalam keadaan tidak sedarkan diri di halaman rumah itu.

    Katanya, suspek membawa mangsa ke bilik rumahnya pada jam 2 pagi sebelum berlaku perselisihan faham dan suspek dipercayai menyebabkan kematian mangsa.

    “Siasatan juga mendapati, suspek mengangkat mangsa dan membawa keluar dari bilik hingga ke halaman rumah itu sebelum suspek meminta bantuan daripada ahli keluarganya.

    “Ahli keluarga suspek kemudian menelefon polis memaklumkan mengenai kejadian dan kematian mangsa disahkan oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi berkenaan.

    “Hasil pemeriksaan awal pada badan mangsa mendapati terdapat beberapa kesan calar dan lebam pada muka serta leher,” katanya.

  • Hakim tegur jangan buat kenyataan kes Syed Saddiq

    Hakim tegur jangan buat kenyataan kes Syed Saddiq

    PESURUHJAYA Kehakiman (JC) Datuk Azhar Abdul Hamid, yang mendengar perbicaraan kes Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang berdepan empat pertuduhan berkaitan pecah amanah serta pengubahan wang haram, hari ini mengingatkan semua pihak agar tidak membuat sebarang kenyataan berhubung kes itu.

    Azhar membuat teguran itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan kepada mahkamah bahawa satu laporan polis dibuat terhadap peguam Lim Wei Jit selepas beliau membuat kenyataan mendedahkan pembelaan tertuduh (Syed Saddiq) ketika sidang media pada 21 Jun lepas.

    “Saya rasa perkara seperti ini telah berlaku di mahkamah lain dan kali ini ia berlaku di mahkamah saya. Saya mengingatkan semua orang…biarkan bukti yang berbicara,” kata Azhar.

    Terdahulu, Wan Shaharuddin memohon mahkamah memberi teguran agar perkara sedemikian tidak berlaku lagi.

    “Saya tidak minta prosiding menghina mahkamah dikenakan…tetapi mohon mahkamah memberikan teguran kerana kita sudah dewasa,” katanya.

    Peguam Haijan Omar, yang mewakili Syed Saddiq bagaimanapun memohon maaf atas keterlanjuran yang berlaku dan memaklumkan perkara itu tidak akan berulang.

    Laporan polis itu dibuat seorang pegawai siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 24 Jun membabitkan satu video yang dimuat naik di YouTube mendakwa pertuduhan yang dikenakan terhadap Ahli Parlimen Muar itu bermotifkan politik.

    Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq, 29, didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Armada, Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta telah melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

    Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 2018.

    Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

    Perbicaraan di hadapan Azhar bersambung. – BERNAMA

  • JHEAT siasat video pelanggan lelaki peluk wanita

    JHEAT siasat video pelanggan lelaki peluk wanita

    JABATAN Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) sedang menyiasat sebuah video tular memaparkan dua pelanggan lelaki memeluk bahu dan pinggang seorang wanita di sebuah kedai makan di Setiu.

    Menurut Pesuruhjaya JHEAT, M. Rozi Bidin, pihaknya akan melihat tindakan yang boleh diambil mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001.

    “Premis (kedai makan) ini memang dalam pemantauan kita sebelum ia tular lagi dan dakwaan mengatakan JHEAT tak beri perhatian… itu tak betul sebab premis ini sedang dalam pemantauan.

    “Kita tak akan biarkan benda-benda atau perkara yang tidak baik, perlakuan tak senonoh dan kita akan tengok mengikut bidang kuasa yang ada.

    “Tiada kompromi dalam hal sebegini kerana ia bukan hanya mencemarkan agama Islam itu sendiri tetapi bertujuan membendung gejala atau kelakuan tidak bermoral dalam kalangan masyarakat,” katanya, lapor Harian Metro.

    Terdahulu, tular dalam media sosial video berdurasi 34 saat yang memperlihatkan dua pelanggan tanpa segan silu bergambar dengan pekerja wanita di kedai berkenaan semalam sambil memeluk bahu dan pinggang wanita tersebut.

    Video berkenaan menimbulkan kecaman warganet sambil meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas.

  • Penganggur dituduh bunuh wanita baru dikenali

    Penganggur dituduh bunuh wanita baru dikenali

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG penganggur didakwa di Mahkamah Majistret Kota Tinggi hari ini atas pertuduhan membunuh seorang wanita yang baru dikenalinya melalui aplikasi sembang media sosial, 1 Jun lalu.

    Muhamad Safuan Ridzuan, 32, mengangguk faham terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Rashidah Baharom.

    Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh tersebut.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan niat melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian seorang wanita berusia 35 tahun.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kilometer 6 Jalan Kota Tinggi-Kluang berdekatan Kampung Lipat Kajang di Kota Tinggi pukul 10 malam pada 1 Jun lalu.

    Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

    Selain itu, tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memasukkan dadah jenis methamphetamine dalam badan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Daerah ( IPD) Kota Tinggi, pukul 1.25 petang, pada 23 Jun lalu.

    Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

    Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Irsyad Mardi.

    Mahkamah kemudiannya menetapkan 1 Ogos depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan forensik, kimia dan patologi.

  • Musim kemarau landa negara di Asia Tenggara

    Musim kemarau landa negara di Asia Tenggara

    MUSIM kemarau bagi wilayah Asia Tenggara, termasuk Brunei, Indonesia, Malaysia, Singapura dan selatan Thailand telah bermula, menurut Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC).

    Musim ini dikaitkan dengan permulaan Monsun Barat Daya yang berkemungkinan berlanjutan hingga Oktober 2022.

    “Fenomena cuaca La Nina di Lautan Pasifik khatulistiwa diramalkan akan terus melemah, dan dijangka kekal tidak berubah sepanjang tahun ini,” jelas ASMC dalam satu kenyataan, menurut laporan Astro AWANI.

    Selain itu, fenomena iklim La Nina dan fasa negatif Dipole Lautan Hindi (IOD), dijangka akan membawa hujan lebat ke wilayah ini antara Julai dan Oktober 2022.

    Namun, ASMC memberi amaran masih terdapat risiko kebakaran dan jerebu ketika cuaca kering dan panas berpanjangan untuk tempoh beberapa bulan akan datang.

    Oleh itu, ASMC menggesa penduduk di rantau ini agar terus berwaspada dan mengambil langkah pencegahan awal bagi mengurangkan kejadian kebakaran hutan.

    ASMC juga menjangkakan keadaan jerebu tahun ini tidak seburuk seperti 2015 dan 2019.

  • KPDNHEP bongkar kegiatan dua premis jualan minyak masak dalam talian

    KPDNHEP bongkar kegiatan dua premis jualan minyak masak dalam talian

    KEGIATAN dua premis di Petaling Jaya dan Puchong menjalankan aktiviti penjualan minyak masak secara dalam talian melalui platform e-dagang terkenal terbongkar apabila diserbu Jumaat lalu.

    Serbuan tersebut dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada pukul 12 tengah hari membabitkan seramai tujuh anggota penguat kuasa KPDNHEP Selangor, dibuat hasil aduan orang awam.

    Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, premis yang diserbu di Petaling Jaya adalah sebuah kediaman yang disewa dan dijadikan stor penyimpanan dan pembungkusan barang runcit secara dalam talian.

    “Premis yang diserbu di Puchong membabitkan rumah kedai yang dijadikan stor penyimpanan dan pembungkusan barang runcit yang dijual\secara dalam talian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Azman memaklumkan pemeriksaan terhadap premis di Petaling Jaya itu, pihak berkuasa menemukan 255 kilogram (kg) minyak masak paket sekilogram bersubsidi bersama beberapa jenis barangan runcit lain sebelum dijual/diedar kepada pelanggan secara dalam talian.

    “Pemeriksaan lanjut mendapati hanya barang kawalan minyak masak paket sekilogram sahaja ditemukan dan premis gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 daripada Pengawal Bekalan untuk berurusniaga barang kawalan berjadual itu.

    “Hasil maklumat, minyak masak paket itu dijual pada harga RM 2.50 sekilogram,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

    Tindakan ke atas premis terbabit diambil mengikut Seksyen 16 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menjual barang kawalan tanpa lesen dan Subperaturan 3(1) Peraturan Kawalan Bekalan 1974, berurusan secara borong dan runcit apa-apa barang berjadual tanpa lesen yang dikeluarkan di bawah Peraturan 4 Akta yang sama.

    Melalui serbuan itu seorang lelaki warga tempatan yang mengaku sebagai pembantu dan pekerja premis terbabit telah direkodkan keterangan bagi membantu siasatan.

    Sejumlah 255 kg minyak masak paket sekilogram disita bersama beberapa dokumen perniagaan lain untuk siasatan lanjut dan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM637.50.

    Azman memaklumkan serbuan di Puchong, pasukan penguat kuasa menemukan sejumlah minyak masak kemasan botol sekilogram, 2kg dan 3kg dalam premis terbabit.

    “Hasil pemeriksaan lanjut, pihak premis mengemukakan lesen runcit di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang masih sah tempohnya namun alamat didaftarkan dalam lesen itu berbeza daripada alamat premis yang menyimpan barang kawalan terbabit.

    “Seorang wanita warga tempatan yang mengaku sebagai penyelia premis berkenaan direkodkan keterangan bagi membantu siasatan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyimpan barang yang dikawal selain daripada premis yang dilesenkan,” katanya.

    Sejumlah 27 unit minyak masak kemasan botol 1kg, 2kg dan 3kg disita bersama beberapa dokumen perniagaan lain untuk siasatan lanjut dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM858.

    Azman berkata, kertas siasatan dibuka dan siasatan lanjut terhadap kedua-dua kes berkenaan akan dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenalpasti rantaian pengedaran minyak masak terbabit termasuklah maklumat bekalan minyak masak itu diperoleh.

    “Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM 3 juta.

    “Selain itu, syarikat juga boleh disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001), kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat perlucutan hak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan barang kawalan bersubsidi terutamanya berkaitan minyak masak,” katanya.

    Beliau menegaskan jika disabitkan dengan kesalahan, mereka boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima belas (15) tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan dilakukan atau lima juta ringgit yang mana yang lebih tinggi.

    Azman turut memberi amaran keras kepada semua peniaga yang berurusan dengan barang kawalan dan bersubsidi, terutamanya minyak masak supaya sentiasa mematuhi undang-undang dikuatkuasakan.

    “Kementerian tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terbabit penyelewengan barang kawalan seumpama ini,” katanya.

  • Kerajaan disaran ambil alih Bernas agar bekalan beras mencukupi

    Kerajaan disaran ambil alih Bernas agar bekalan beras mencukupi

    KERAJAAN disarankan mengambil alih pemilikan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) agar bekalan beras di negara ini dapat dipastikan sentiasa mencukupi dan harganya stabil.

    Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Paduka Tan Yee Kew berkata, kerajaan tidak boleh lagi mengharapkan Bernas untuk membantu simpanan dan pengeluaran beras tempatan.

    “Bernas adalah sebuah syarikat swasta sepenuhnya. Ironinya Bernas yang mengaut keuntungan besar dengan memonopoli import beras ditugaskan untuk membantu menggalakkan pengeluaran beras tempatan.

    “Hakikatnya semakin rendah beras tempatan, semakin banyak Bernas boleh mengimport, dan semakin besar keuntungan mereka.

    “Oleh itu, kita tidak boleh mengharapkan Bernas dengan pemilikannya sekarang untuk membantu mempromosikan pengeluaran beras tempatan,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini hari ini.

    Beliau menambah, harga beras ketika ini sama ada import atau tempatan ditentukan hampir sepenuhnya oleh Bernas.

    “Jika kerajaan bersungguh-sungguh dalam soal sara diri beras dan mengawal kenaikan harga bahan itu, Putrajaya mesti mendapatkan semula kawalan ke atas beras import, mengambil alih pengurusan subsidi kepada petani daripada Bernas dan perolehan beras daripada petani,” jelasnya.

    Yee Kew menambah, Malaysia mungkin akan menghadapi kekurangan beras sekali gus menyebabkan kenaikan harga susulan harga bahan makanan ruji itu meningkat berturut-turut untuk bulan kelima pada Mei tahun ini.

    Beliau memberitahu, menurut All-Rice Index dari Organisasi Makanan dan Pertanian (FAO), Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, harga eksport beras meningkat akibat daripada kekurangan petroleum, baja, gandum dan makanan yang disebabkan perang Ukraine-Rusia.

    “Apabila perang berlarutan, harga dijangka meningkat. Negara-negara yang bergantung kepada import beras bagi menambah pengeluaran tempatan mereka hampir pasti akan menghadapi kekurangan bekalan dan kenaikan harga.

    “Keperluan tahunan beras bagi rakyat Malaysia ialah 2.5 juta tan metrik. Pengeluaran beras negara pula sekitar 70 peratus manakala bakinya bergantung kepada import.

    “Apabila perang berlarutan, kita bukan saja perlu menghadapi kenaikan harga beras tetapi juga kekurangan bekalan di pasaran,” ujarnya.

  • Kereta dipandu lawan arus, warga emas maut

    Kereta dipandu lawan arus, warga emas maut

    SEORANG lelaki warga emas maut apabila kereta yang dipandunya secara melawan arus bertembung dengan sebuah kereta dalam kemalangan di kilometer 32.8 Lebuhraya Persekutuan menghala Klang pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, dalam kejadian pada pukul 1.45 pagi, mangsa berusia 72 tahun memandu kereta jenis Proton Wira secara melawan arus sebelum bertembung dengan sebuah kereta jenis Honda City.

    “Pemandu Proton Wira itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata, orang ramai yang melihat atau berada di tempat kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor R Navalan di talian 014-2536820 bagi membantu siasatan.

  • Buruh maut motosikal langgar lori sampah, diseret 40 meter

    Buruh maut motosikal langgar lori sampah, diseret 40 meter

    SEORANG buruh maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas sebelum melanggar sebuah lori sampah Di Kilometer 11, Jalan Chukai-Ibok, berhampiran Kampung Ibok, di Kemaman pukul 1.50 petang semalam.

    Mangsa, Mazlan Yahya, 49 tahun disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di badan dan kepala selepas terseret kira-kira 40 meter.

    Lelaki itu dikatakan dalam perjalanan dari arah Bandar Chukai menuju ke arah Kampung Kemasek apabila motosikal yang ditunggangnya dipercayai terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori terbabit.

    Mangsa yang cedera parah disahkan meninggal dunia ditempat kejadian.

    Sementara pemandu lori yang berusia 39 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

    Sementara itu Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt Hanyan Ramlan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut,” katanya memetik laporan Astro Awani, hari ini.