Category: Semasa

  • 12 individu termasuk 3 wanita didenda RM3,000 tawar pinjaman tidak wujud

    12 individu termasuk 3 wanita didenda RM3,000 tawar pinjaman tidak wujud

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    SERAMAI 12 individu termasuk tiga wanita dijatuhi hukuman RM3,000 seorang atau penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinanh hari ini atas kesalahan menawarkan aktiviti pinjaman wang tidak wujud sejak tahun lepas.

    Hukuman itu dijatuhi ke atas Foo Shi Jie, 19; Muhammad Syafiq Aiman Mohd. Sofian, 19; Nornajihah Sutiman, 19; Chan Zi Quan, 21; Ryman Shah Razes, 21; Ng Zi Xuan, 21; Muhammad Faisal Zainal Akbar, 22; Tan Chia Yee, 22; Ainul Taherah Johari, 22; Low Jia Chun, 22; Muhammad Hafiz Shamsul, 26; Muhammad Norzulhilme Sumari, 29, selepas kesemua mereka mengaku bersalah sebaik sahaja pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Majistret Mohd. Harith Mohd. Mazlan.

    Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh dengan tujuan untuk melakukan pakat jahat jenayah, telah bersetuju melakukan perbuatan yang salah di sisi undang-undang iaitu menawarkan pinjaman tidak wujud (PTW).

    Kesalahan itu dilakukan pada 15 Jun lalu kira-kira pukul 12.45 tengah hari di sebuah kediaman beralamat di A-18-Tower A, Kondominium BM City, Jalan Perda dalam daerah Seberang Perai Tengah, Bukit Mertajam.

    Kesalahan itu boleh dihukum di bawah Seksyen 120B (2) Kanun Keseksaan dan dibacakan di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih enam bulan atau didenda atau kedua-duanya sekali.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Syafiq Nasrullah Saleem Ali manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Benjamin Tan Yi Bin.

    Terdahulu, ketika prosiding, Mohamad Syafiq Nasrullah memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal kerana kesalahan yang dilakukan tertuduh turut membabitkan kepentingan orang awam.

    Bagaimanapun, Benjamin merayu mahkamah kebanyakan anak guamnya masih muda, masih belajar dan ada yang tidak bekerja gara-gara pandemik Covid-19 serta telah insaf dengan perbuatan masing-masing.

    Difahamkan kesemua tertuduh membayar denda tersebut hari ini.

  • Tak puas hati kena hon, lelaki tunjuk isyarat lucah

    Tak puas hati kena hon, lelaki tunjuk isyarat lucah

    GARA-GARA tidak puas hati dihon, seorang pemandu kenderaan pacuan empat roda mengamuk dan menunjukkan isyarat lucah.

    Memetik laporan FMT, kelakuan kurang sopan lelaki itu dirakamkan dalam kamera papan pemuka yang seterusnya dimuat naik dalam kumpulan Facebook ‘DashCam Owners Malaysia’.

    Pemandu Mitsubishi Pajero itu dikatakan memandu secara berbahaya dan memotong barisan tanpa memberi isyarat.

    Akibatnya, pemandu kereta yang merakam kejadian tersebut terkejut dan membunyikan hon.

    Lelaki yang memandu Pajero itu kemudian tiba-tiba memberhentikan kenderaannya di tengah jalan sebelum mereka bertikam lidah.

    Difahamkan, insiden tersebut berlaku di Mount Austin, Johor Bahru.

    Netizen yang menyaksikan rakaman tersebut meluahkan kekesalan mengecam perbuatan lelaki itu menunjukkan isyarat lucah serta mementingkan diri sendiri di atas jalan raya.

  • Pengerusi Suhakam perlu utamakan isu kematian dalam tahanan – CENTHRA

    Pengerusi Suhakam perlu utamakan isu kematian dalam tahanan – CENTHRA

    PENGERUSI Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang baharu, Datuk Rahmat Mohamad perlu meletakkan isu kematian dalam tahanan polis sebagai keutamaan beliau, kata Ketua Eksekutif Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA) Azril Mohd. Amin.

    Dalam satu kenyataan hari ini, Azril berkata, sebagai seorang yang berpengetahuan luas dan dihormati dalam sektor perundangan, pelantikan Rahmat adalah bertepatan dalam usaha merungkai beberapa isu berkaitan hak asasi manusia di negara ini.

    Tambahnya, CENTHRA berpuas hati melihat arah tujuan Suhakam selepas mengambil seorang bekas Timbalan Naib Cancelor Universiti Teknologi Mara, serta Dekan di Fakulti Undang-undang universiti tersebut.

    “Sebagai individu yang mempunyai latar belakang dan pengetahuan, Rahmat mempunyai pemahaman tentang masyarakat, budaya, serta perundangan di negara ini.

    “CENTHRA telah sekian lama menyokong rangka kerja berkaitan hak asasi manusia yang tulen, berpandukan kepercayaan, tradisi dan sejarah kita yang kurang bergantung kepada konsep barat,” katanya lapor Astro Awani.

    Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 1 Julai lepas mengumumkan pelantikan pelantikan Rahmat bersama tujuh lagi anggota baharu Suhakam bagi sesi 2022-2025 yang berkuat kuasa pada 22 Jun lepas.

    Dalam satu kenyataan rasmi, beliau berkata, pelantikan tersebut telah menerima perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

    Turut dilantik ialah turut dilantik Pensyarah Undang-undang UKM Profesor Datuk Noor Aziah Mohd. Awal; Bekas Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim; Dr. Chew Chee Ming (Sarawak); bekas Peguam Besar Sabah, Datuk Mary@Mariati Robert (Sabah), Timbalan Ketua UMNO Selayang, Datuk Hasnal Rezua Merican Habib Merican; Ketua Wanita UMNO Kulim-Bandar Baharu, Nazira Abdul Rahim; dan bekas Presiden Majlis Peguam, K. Ragunath.

    Mengulas lebih lanjut, Azril berkata, Suhakam sedang menghadapi pelbagai isu yang mendesak, namun telah diketepikan, kerana terlalu menekankan kepentingan isu yang dianggap penting oleh komuniti hak asasi manusia di peringkat antarabangsa.

    “Keutamaan terbesar setakat ini adalah untuk menangani isu kematian dalam tahanan polis, yang perlu dianggap sebagai memalukan.

    “Tiada negara boleh bertolak ansur dengan situasi di mana penahanan untuk sebarang jenayah, boleh mengakibatkan suspek yang belum dibicarakan kehilangan nyawa. Suhakam mesti segera mengarahkan perhatiannya ke arah memastikan trend ngeri ini berakhir,” katanya.

    Selain itu Azril berkata, Suhakam perlu dengan segera menghasilkan pelan untuk memastikan akses pendidikan terhadap kanak-kanak imigran, serta yang tidak mempunyai kewarganegaraan.

    “Kami berharap hala tuju baharu Suhakam, penjajaran semula dengan nilai dan budaya asli Malaysia dan rantau ini, akan membawa kepada kerjasama yang lebih erat dengan organisasi rakan sejawatannya di seluruh Asean dan Pertubuhan Komuniti Islam (OIC).

    “Membangunkan pendekatan serantau yang bersatu terhadap hak asasi manusia, bergerak sekali dengan dengan dunia Islam yang lebih luas, merupakan satu langkah besar ke hadapan untuk kedaulatan budaya dan kesejahteraan negara kita,” tambahnya.

  • Seorang jemaah haji Malaysia meninggal dunia di Makkah

    Seorang jemaah haji Malaysia meninggal dunia di Makkah

    Daripada ZALINA MAIZAN NGAH

    SEORANG jemaah haji lelaki berusia 62 tahun telah meninggal dunia di Makkah, lebih seminggu lepas.

    Perkara itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad dan menurut beliau kematian warga emas tersebut disebabkan oleh jangkitan kuman yang teruk.

    Warga emas berasal dari Kuala Nerang, Kedah itu meninggal dunia pada 25 Jun di Hospital King Faisal setelah dirujuk pakar kesihatan Lembaga Tabung Haji (TH).

    Selain itu, Idris berkata setakat Sabtu (2 Julai) lepas seramai 13 jemaah haji Malaysia sedang dirawat di Pusat Rawatan TH di Makkah manakala tiga lagi di Hospital Arab Saudi.

    “Tabung Haji sentiasa prihatin dengan kebajikan setiap jemaah, terutama dalam memberikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik,” katanya ketika sidang media di bangunan Abraj Al Janadriyah yang menempatkan ibu pejabat dan penginapan jemaah Malaysia.

    Selain itu, Idris mengingatkan jemaah haji supaya sentiasa mematuhi segala peraturan yang dikeluarkan kerajaan Arab Saudi dan mengikut arahan petugas TH.

    “Saya berharap semua jemaah haji Malaysia mengelakkan diri dari terlibat dalam aktiviti yang menyalahi undang-undang.

    “Kerajaan Malaysia dan TH sentiasa memantau dengan teliti berhubung perkara berkaitan isu keselamatan di Tanah Suci dari semasa ke semasa,” katanya.

    Beliau turut menasihatkan jemaah haji supaya terus menjaga kesihatan dan tidak terlalu terdedah dengan cuaca panas yang boleh menyebabkan strok haba. – BERNAMA

  • Bapa rogol, liwat anak kandung dipenjara 32 tahun, 22 sebatan

    Bapa rogol, liwat anak kandung dipenjara 32 tahun, 22 sebatan

    MAHKAMAH Sesyen Kuala Terengganu hari ini menjatuhkan hukuman penjara 32 tahun dan 22 sebatan terhadap seorang bapa setelah didapati bersalah merogol dan meliwat anak kandungnya tiga tahun lalu.

    Hakim Nooriah Osman menjatuhkan hukuman ke atas tertuduh yang berusia 50 tahun mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan dan Seksyen 377 (c) Kanun Keseksaan, lapor Sinar Harian.

    Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh yang telah bercerai dengan ibu mangsa didakwa melakukan kesalahan sumbang mahram ke atas mangsa pukul 12 tengah hari, 14 Ogos 2019 di sebuah rumah di Kuala Berang, Hulu Terengganu.

    Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama terhadap mangsa pukul 2 petang pada 26 November 2019 di lokasi yang sama.

    Tertuduh turut didapati bersalah atas kesalahan liwat yang didakwa dilakukan pukul 2 petang pada 26 November 2019 di lokasi sama.

    Dengan itu, tertuduh dijatuhi hukuman penjara 16 tahun dan 10 sebatan bagi pertuduhan pertama dan kedua manakala bagi kesalahan liwat tertuduh dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan.

    Mahkamah mengarahkan hukuman bagi pertuduhan pertama dan kedua dijalankan secara berasingan manakala hukuman bagi kesalahan liwat berjalan serentak dengan pertuduhan kedua.

    Hukuman ke atas tertuduh berkuat kuasa bermula dari tarikh tangkapan pada 2 Disember 2019.

    Pendakwaan kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh diwakili peguam Mohd. Hayyatuddin Muhamad.

    Dalam pada itu, pihak peguam akan mengemukakan rayuan ke Mahkamah Tinggi atas sabitan dan hukuman terhadap tertuduh.

  • Polis panggil sembilan ahli politik beri keterangan

    Polis panggil sembilan ahli politik beri keterangan

    POLIS memanggil sembilan individu untuk memberi keterangan berhubung Himpunan Barang Naik di Masjid Jamek Kampung Baru, di Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

    Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad; bekas Ketua Menteri Melaka yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Adly Zahari; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil; ADUN Pandan Indah yang juga Pengerusi Amanah Selangor, Izham Hashim dan Setiausaha Publisiti DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali antara yang hadir.

    Selain itu ADUN Taman Templer, Mohd. Sany Hamzan, Ketua Pemuda Amanah; Mohd. Hasbie Muda, Ketua Wanita Muda Amanah, Nurthaqaffah Nordin dan wakil Angkatan Wanita Amanah Anfal Saari turut hadir.

    Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, seramai enam individu diambil keterangan hari ini manakala tiga lagi individu sudah diambil keterangan kelmarin dan semalam.

    “Tiga yang diambil keterangan sebelum ini adalah Khalid, Mohd. Hasbie dan Sheikh Umar bagi membantu siasatan berhubung perhimpunan berkenaan manakala enam lagi individu pula diambil keterangan hari ini.

    “Polis juga sudah memanggil seorang lagi individu iaitu Ahli Parlimen Lumut yang juga Setiausaha Agong Amanah, Datuk Dr. Mohd. Hatta Md. Ramli dan beliau dijangka hadir memberi keterangan pada pagi Rabu ini,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Enam pemimpin parti yang dipanggil untuk dirakam keterangan hari ini tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada pukul 9.50 pagi dan proses rakaman keterangan ke atas mereka selesai kira-kira 50 minit kemudian.

    Beliau berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

    Sementara itu, peguam mewakili mereka, Ahmad Fadhli Umar Aminolhuda ketika ditemui berkata, seramai sembilan pemimpin parti sudah memberi keterangan kepada polis sejak kelmarin hingga hari ini.

    Katanya, kesemua mereka memberi kerjasama yang baik kepada polis sepanjang proses rakaman keterangan dijalankan.

    Pada Jumaat lalu, kira-kira 100 orang menghadiri Himpunan Barang Naik yang bermula jam 2 petang sebelum disuraikan oleh anggota polis kira-kira 30 minit kemudian.

  • Hina polis ‘bodoh’, Lokman mesti jawab notis tunjuk sebab Jumaat ini

    Hina polis ‘bodoh’, Lokman mesti jawab notis tunjuk sebab Jumaat ini

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menetapkan Jumaat ini untuk bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam menjawab notis tunjuk sebab atas tindakannya menghalang penjawat awam dan mendakwa sistem perundangan negara tidak adil.

    Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata, ia sepatutnya dilakukan hari ini, namun ditangguhkan kerana peguam Lokman hanya boleh hadir ke mahkamah pada hari itu.

    “Mahkamah menghargai bantuan (peguam Ahmad Zaidi Zainal yang mewakili Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) dalam hal ini. Lokman perlukan peguam, maka mahkamah tiada alternatif lain untuk membawa kes ini pada Jumaat ini.

    “Beritahu kepada Lokman supaya pastikan peguamnya hadir. Kes beliau Jumaat ini,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

    Khamis lalu, media melaporkan Lokman dikenakan notis tunjuk sebab kerana didakwa menghina anggota polis dengan menggelarnya ‘bodoh’ dan mempersoalkan undang-undang ketika hadir di mahkamah untuk mengikuti perbicaraan rasuah Ahmad Zahid.

    Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran membangkitkan perkara itu kepada Sequerah selepas mahkamah berehat seketika.

    “Seorang orang awam bertindak balas apabila seorang anggota polis memintanya supaya tidak ‘bermain’ dengan telefon bimbitnya. Dia memanggil polis itu ‘bodoh’,” kata Raja Rozela sambil menambah individu terbabit turut menyatakan “undang-undang ini tidak adil”.

    Sequerah bertanya sama ada individu terbabit masih berada dalam mahkamah dan Lokman, yang berada di galeri awam berdiri dan memaklumkan beliau sedang “menaip” di telefon bimbitnya.

    Sequerah kemudiannya mengeluarkan surat tunjuk sebab terhadapnya.

  • Mahkamah tangguh perbicaraan kes perceraian MB Perlis pada 25 Ogos

    Mahkamah tangguh perbicaraan kes perceraian MB Perlis pada 25 Ogos

    MAHKAMAH Rendah Syariah Hulu Langat, hari ini, menetapkan 25 Ogos depan sebagai tarikh perbicaraan kes pengesahan lafaz cerai Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man terhadap isterinya, Sova Ali.

    Hakim Syarie, Abdullah Zuhdee Ab. Halim menetapkan tarikh itu selepas peguam syarie, Nurul Atikah Abd. Rashid yang mewakili Azlan selaku defendan membuat permohonan memberitahu bahawa anak guamnya tidak hadir kerana mempunyai urusan kerja yang tidak dapat dielakkan.

    Dalam prosiding itu, Sova selaku plaintif hadir dengan memakai jubah hitam dan diwakili peguam Muhammad Syafiq Ibrahim manakala Menteri Besar Perlis itu tidak hadir dan hanya mewakilkan Nurul Atikah.

    Dalam prosiding itu, Muhammad Syafiq memberitahu mahkamah yang pihaknya sudah cuba membuat serahan surat saman sebelum ini tetapi tidak berjaya dan turut gagal menghubungi defendan.

    Bagaimanapun, salinan saman itu dapat diserahkan kepada peguam syarie defendan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bintong pada hari ini, lapor Harian Metro.

    “Hari ini adalah sebutan kali pertama untuk defendan menjawab permohonan pengesahan lafaz cerai.

    “Saya difahamkan defendan tidak hadir kerana ada urusan kerja namun peguam beliau ada.

    “Prosiding ini tidak dibuat di Perlis kerana permohonan difailkan oleh Sova (anak guam) yang menetap di sini.

    “Serahan saman kepada defendan dibuat sejurus permohonan difailkan bulan lalu dan kita memfailkan pengesahan lafaz cerai itu mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003, pada lalu,” katanya ketika ditemui di lobi mahkamah.

    Sementara itu, Nurul Atikah dalam prosiding memberitahu hakim, anak guamnya sudah menerima salinan surat saman sebelum ini tetapi melalui pembantu.

    Menurut Nurul Atikah, pihaknya maklum mengenai perkara itu selepas defendan melantiknya sebagai peguam syarie di Mahkamah Syariah Shah Alam pada 1 Julai lalu menerusi panggilan video.

    Dalam prosiding sama, Nurul Atikah turut memohon perbicaraan akan datang diadakan secara tertutup kerana status anak guamnya sebagai Menteri Besar Perlis dan bimbang berlaku salah faham masyarakat terhadap reputasinya.

    Bagaimanapun, Abdullah Zuhdee memberitahu keputusan mengenai permohonan itu akan dimaklumkan kelak sebelum perbicaraan.

    “Anak guam saya tiada masalah dalam kes pengesahan lafaz cerai ini cuma tidak hadir kerana ada urusan kerja dan menerima pemberitahuan pada saat akhir.

    “Ada beberapa isu perlu dijawab dan atas sebab itu saya memohon perbicaraan tertutup namun terpulang kepada budi bicara hakim,” katanya.

    Dalam pada itu, Abdullah Zuhdee dalam prosiding itu memberitahu mahkamah tidak dapat merekodkan keterangan dan persetujuan hari ini kerana defendan tidak hadir.

    “Mahkamah tidak dapat ambil kenyataan lisan sama ada defendan bersetuju atau tidak dengan kenyataan plaintif.

    “Kena dengar kedua-dua pihak jadi prosiding ditangguhkan ke tarikh akan datang,” katanya.

  • Permohonan Zahid tangguh prosiding kes rasuah ditolak

    Permohonan Zahid tangguh prosiding kes rasuah ditolak

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menangguhkan pemeriksaan balas pihak pendakwaan ke atasnya sementara menunggu keputusan rayuan, memutuskan bahawa tertuduh tidak akan diprejudis semasa pemeriksaan balas.

    Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah dalam keputusannya berkata tiada keadaan khas untuk membenarkan permohonan Ahmad Zahid bagi penangguhan.

    “Tertuduh (Ahmad Zahid) bebas menemu bual saksi bila-bila masa, sebahagian daripada mereka adalah ahli keluarganya malah pihak pendakwaan komited untuk membantu beliau. Beliau tidak dinafikan perbicaraan yang adil,” kata hakim.

    Bekas timbalan perdana menteri itu memfailkan permohonan untuk menangguhkan prosiding membela diri dalam kes rasuah membabitkan dana Yayasan Akalbudi (YAB) sehingga rayuannya untuk mendapatkan salinan percakapan saksi daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diputuskan Mahkamah Rayuan.

    Pemeriksaan balas terhadap Ahmad Zahid bermula Khamis lalu selepas beberapa hari memberi keterangan membela diri dalam kes itu.

    Ketika menolak permohonan penangguhan itu, Hakim Sequerah berkata mahkamah terikat dengan kes terdahulu melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak apabila Mahkamah Persekutuan menolak permohonan beliau untuk akses kenyataan saksi yang dicarinya.

    “Mengikut prinsip penentu dalam kes Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Persekutuan yang sudah tentu mengikut mahkamah ini, saya mendapati pemohon (Ahmad Zahid) gagal memenuhi ambang yang ditetapkan.

    “Permohonan ditolak, proses perbicaraan dan pemeriksaan balas terhadap tertuduh akan diteruskan,” katanya.

    Hakim Sequerah menangguhkan perbicaraan itu sehingga esok selepas peguam utama Ahmad Zahid, Hisyam Teh Poh Teik memberitahu bahawa beberapa peguam yang mewakili anak guamnya tidak sihat.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran berhujah meneruskan prosiding itu di Mahkamah Tinggi tidak prejudis terhadap hak pemohon untuk mendapatkan perbicaraan yang adil dan tidak akan menyebabkan ketidakadilan.

    Beliau berhujah bahawa pemohon tidak pernah dihalang daripada menyediakan dan meneruskan pembelaannya kerana saksi-saksi yang tersenarai dalam afidavitnya sama ada dikenalinya atau mempunyai pertalian darah dengannya.

    “Ia adalah lebih bermanfaat kepada pemohon bahawa kesnya diteruskan di Mahkamah Tinggi kerana beliau akan mendapat peluang lebih awal untuk membela diri,” katanya.

    Raja Rozela menambah bahawa Ahmad Zahid berdepan dengan pertuduhan yang serius dan perbicaraan melibatkan bekas timbalan perdana menteri itu diikuti oleh orang ramai.

    Beliau berkata perbicaraan itu telah memakan masa tiga tahun dan permohonan itu adalah percubaan untuk menangguhkan penyelesaian awal perbicaraan itu.

    “Perbicaraan ini juga mempunyai kepentingan awam dan nasional dan sebarang cubaan untuk menghalang kemajuan prosiding mesti ditolak,” katanya.

    Hisyam pula membalas bahawa permohonan itu bukan untuk melengahkan perbicaraan tetapi adalah untuk memastikan anak guamnya mendapat perbicaraan yang adil.

    Beliau berkata kes itu melibatkan kepentingan awam dan Ahmad Zahid perlu memberi keterangan penuh dan lengkap semasa pemeriksaan utama sebelum pemeriksaan balas.

    Berhubung kes itu yang telah berjalan selama tiga tahun sejak 2019, Hisyam berkata pihak pembelaan tidak harus dipersalahkan atas penutupan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa tercetusnya pandemik COVID-19.

    Pada 24 Jan lepas, mahkamah memerintahkan Ahmad Zahid membela diri atas 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh. – BERNAMA

  • Kenaikan harga: Golongan B40, M40 akui tertekan

    Kenaikan harga: Golongan B40, M40 akui tertekan

    KENAIKAN harga barangan memberi tekanan terhadap pelbagai lapisan masyarakat terutamanya golongan B40 dan M40.

    Situasi itu lebih dirasai bagi mereka dengan tanggungan atau bilangan ahli keluarga yang ramai.

    Tinjauan di Pasar Besar Dungun mendapati, pengguna terpaksa mengeluarkan belanja berganda demi menampung keperluan semasa.

    Menurut suri rumah, Wan Maznah Wan Abdullah wang RM50 yang dibawanya ke pasar ketika ini tidak mencukupi untuk membeli barangan keperluan.

    “Dulu kalau RM50 banyak barang boleh dapat. Sekarang kalau RM50 boleh dapat dalam dua barang sahaja. Macam kalau beli ikan, kalau beli ayam, begitulah.

    “Sedih sekarang ini, sekarang ini harga barang semuanya naik,” katanya,” lapor Astro Awani, hari ini.

    Bagi penjawat awam, Azman Mohd. Nor, harga minyak masak ketika ini sangat tidak munasabah.

    “Harga minyak masak memang betul-betul tidak munasabah. Saya rasa Kementerian Hal Ehwal Pengguna memang kena pantau harga ini.

    “Sebagai pengguna minyak masak ini, memang amat terasalah dengan kenaikan harga minyak yang begitu melambung,” katanya.

    Bagi peniaga keadaan itu amat membimbangkan selain terpaksa bersoal jawab tentang kenaikan harga semasa dengan pengguna.

    “Kalau kita beli barang hari ini dan dua tiga hari akan datang kita beli lagi, harga itu sudah berubah.

    “Memang terkesanlah dengan kita peniaga pastu kalau kita meniaga dekat orang hari ini harga lain, lepas itu kalau harga barang naik esok lusa, kita akan naik harga, orang akan tanya kenapa naik, orang tanya kita,” kata pengusaha kantin, Suriana Ismail.

    Justeru, kerajaan diminta mencari jalan penyelesaian terbaik dalam menangani isu kenaikan harga barangan asas yang membebankan rakyat.