Category: Semasa

  • Jemaah Malaysia mula bergerak ke Arafah

    Jemaah Malaysia mula bergerak ke Arafah

    SERAMAI 14,306 jemaah haji Malaysia mula bergerak ke Arafah hari ini, kata Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

    Beliau berkata pergerakan secara berperingkat itu bermula pukul 7 pagi waktu Arab Saudi, melibatkan jemaah dari tiga bangunan penginapan iaitu di Abraj Al Janadriyah, Qsar Al Janadriyah dan Land Premium serta jemaah haji pakej.

    “Lembaga Tabung Haji (TH) dan Syarikat Tewafa Asia Tenggara telah menyediakan 17 bas bagi membawa kira-kira 2,500 jemaah haji untuk setiap maktab dan pergerakan itu dibuat secara tiga pusingan (tiga waktu berlainan).

    “Urusan membawa jemaah dari Makkah ke Arafah dijangka selesai sebelum pukul 10 malam bagi pergerakan 8 Zulhijjah,” katanya kepada pemberita di Makkah.

    Katanya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad dijangka akan menyampaikan khutbah Arafah di khemah jemaah haji.

    Menurut Syed Saleh jemaah haji tahun ini bertuah kerana kerajaan Arab Saudi telah melakukan pelbagai penambahbaikan termasuk penyediaan tilam dan bantal di khemah penginapan, serta bekalan elektrik disambung secara terus tanpa menggunakan ‘genset’ untuk memastikan ia lebih baik dan stabil.

    Selain itu, beliau berkata bagi pergerakan ke Muzdalifah, bas akan bersedia di Arafah pada pukul 6 petang dan jemaah mula menaiki bas setengah jam selepas itu untuk bergerak ke sempadan Arafah.

    “Bas akan bergerak dari Arafah ke Muzdalifah sebaik sahaja azan maghrib berkumandang pada pukul 7.08 malam. Jemaah haji kemudiannya akan bermabit di Muzdalifah sehingga pukul 11.45 malam,” katanya.

    Bagi pergerakan ke Mina pula, bas pertama dijangka bergerak dari Muzdalifah pada pukul 11.45 malam dan berdasarkan perancangan awal, urusan pergerakan jemaah haji di Muzdalifah dijangka selesai  pukul 6 pagi Sabtu.

    “Mereka akan berada di Mina untuk bermalam dan melontar di tiga jamrah. Semasa berada di Mina pelbagai aktiviti telah dirancang bagi mengisi masa sepanjang berada di situ seperti berzikir dan ceramah.

    “Untuk melontor mereka akan bergerak dari khemah ke jamrah yang jaraknya kira-kira 10 kilometer pergi dan balik. Jemaah haji akan bergerak pada waktu malam bagi mengelakkan cuaca panas dan sepanjang pergerakan akan ada petugas menunggu di kawasan tertentu untuk memberi pandu arah,” katanya.

    Syed Saleh berkata kesemua jemaah telah diberi taklimat lebih awal mengenai pergerakan yang akan berlaku sepanjang operasi di Arafah, Muzdalifah dan Mina.

    Katanya pergerakan dan suasana semasa operasi masyair adalah sesuatu yang amat mencabar dan berharap jemaah haji bersedia dari segi mental dan fizikal.

    Sementara itu, bagi jemaah yang sedang dirawat di Pusat Rawatan TH Syisyah dan Hospital Arab Saudi, mereka akan dibawa wukuf di Arafah dengan menggunakan ambulans sekiranya mendapat kebenaran daripada doktor. – Bernama

  • Kes bunuh suami isteri: Polis buru adik mangsa

    Kes bunuh suami isteri: Polis buru adik mangsa

    POLIS sedang memburu adik kepada lelaki yang ditemukan meninggal dunia bersama-sama isteri dipercayai dibunuh di kediaman mereka di Taman Bercham Aman di Ipoh hari ini.

    Mangsa, Ng Chun Hon, 64, dan isterinya Ooi Tin Lu, 59, ditemukan meninggal dunia dalam keadaan berlumuran darah.

    Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, abang mangsa lelaki hadir di Balai Polis Bercham pada pukul 8.50 pagi.

    “Dia memaklumkan menemukan adik dan isterinya dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah sebelum anggota bergegas ke lokasi kejadian.

    “Setibanya pasukan polis tiba bersama paramedik dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) mendapati dua mangsa lelaki dan wanita yang tidak sedarkan diri dan berlumuran darah.

    “Kedua-dua mangsa ditemukan berdekatan di ruang tamu dengan lelaki dalam keadaan tertiarap manakala wanita tersandar pada dinding yang disahkan sudah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di Ipoh, hari ini.

    Yahaya berkata, siasatan polis mendapati kedua-dua mangsa maut akibat cedera parah pada bahagian kepala kerana senjata tajam dan objek tumpul.

    “Pihak polis masih menjalankan siasatan punca kematian, kita mempercayai mangsa meninggal dunia malam tadi. Sehingga kini kita masih belum menemui senjata yang digunakan suspek.

    “Kes ini akan disiasat sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mandatori. Mangsa lelaki merupakan seorang mekanik dan manakala isterinya suri rumah,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

    Beliau berkata, susulan kes ini polis juga sedang memburu Ng Chun Ming, 61, yang juga adik kepada mangsa lelaki yang maut.

    “Pihak polis memburu suspek yang juga ahli keluarga mangsa, yang mana sudah menghilangkan diri bersama kenderaan jenis Proton Saga milik mangsa wanita.

    “Kita berharap orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek dapat berhubung terus dengan balai polis berhampiran untuk membantu siasatan,” katanya.

    Katanya, siasatan mendapati suspek yang tidak bekerja mempunyai rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan mendatangkan cedera parah.

    Menurutnya, ibu mangsa lelaki berusia 90 tahun yang sudah uzur dan berkerusi roda yang juga tinggal bersama-sama berada di rumah berkenaan ketika kejadian.

    “Siasatan mendapati ada terdengar bunyi pergaduhan tetapi setakat ini tidak ada sesiapa yang melaporkan berkenaan perkara terbabit kepada pihak polis.

    “Bedah siasat akan dijalankan dan kita masih lagi menyiasat motif kes pembunuhan ini,” katanya.

  • Cubaan seludup barang subsidi RM17.4 juta dipatahkan

    Cubaan seludup barang subsidi RM17.4 juta dipatahkan

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mematahkan cubaan menyeludup pelbagai barangan bersubsidi bernilai RM17.4 juta dalam siri serbuan dari Januari hingga Jun pada tahun ini.

    Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim, Datuk Mohd. Zubil Mat Som berkata, 29 kes telah direkodkan membabitkan 82 tangkapan di sepanjang tempoh enam bulan tersebut.

    “Daripada jumlah itu, 21 orang adalah warga tempatan, Filipina (11 orang), Indonesia (tujuh orang) dan selebihnya lain-lain negara.

    “Pelbagai barang bersubsidi dirampas iaitu 333,000 liter minyak diesel, 2,650 liter minyak petrol dan 10,626 kilogram (kg) tong gas.

    “Turut dirampas adalah 3,732kg minyak masak, 2,514kg gula, 3,460kg tepung serta 40kg beras,” katanya memetik laporan Sinar Harian hari ini.

    Mohd. Zubil berkata, kesemua rampasan bernilai RM17.4 juta ini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

    Tegas Mohd. Zubil, pihak Maritim tidak akan mengendurkan kesiapsiagaan operasi bagi mengekang dan memerangi aktiviti jenayah rentas sempadan di perairan negara supaya keselamatan dan kesejahteraan perairan negara terus terpelihara.

    “Sebarang maklumat kegiatan jenayah maritim boleh disalurkan kepada Pusat Operasi Maritim di talian 03-89434001 atau mana-mana Pusat Operasi Maritim yang berhampiran di setiap Maritim Negeri seluruh negara,” katanya.

    Pada Isnin, kerajaan mengerahkan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, (KPDNHEP), polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menggempur penyelewengan minyak masak bersubsidi dari peringkat kilang sehingga ke sempadan negara.

    Laporan eksklusif Sinar Harian semalam mendedahkan minyak masak bersubsidi dari Malaysia dikesan dijual secara berleluasa tanpa kawalan di sekitar pekan Sungai Golok, Thailand.

    Bukan sahaja minyak masak peket bersubsidi seberat satu kilogram, malah minyak masak botol seberat lima dan 10kg turut dijual dan boleh didapati dengan begitu mudah tanpa sebarang had pembelian.

  • Lori rempuh trafik sibuk di Tambak Johor

    Lori rempuh trafik sibuk di Tambak Johor

    KEMENTERIAN Pengangkutan akan melakukan siasatan segera dan mengambil tindakan tegas berhubung insiden sebuah lori perdagangan terbabit perlanggaran dengan beberapa kenderaan di Tambak Johor, pagi tadi.

    Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata ia termasuk menggantung permit syarikat serta Lesen Kenderaan Perdagangan (GDL) pemandu lori berkenaan jika didapati gagal mematuhi peraturan ditetapkan

    Beliau berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai kejadian itu, sekali gus amat memandang serius kes sedemikian dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak kerana ia membabitkan keselamatan orang ramai.

    “Agensi bawah kementerian, termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), akan segera menjalankan siasatan Tata Amalan Industri Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Bagi Aktiviti Pengangkutan Jalan 2010 (ICOP) berhubung insiden itu.

    “Selain itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga akan melakukan ujian saringan air kencing terhadap pemandu lori berkenaan.

    “Tindakan tegas akan dikenakan kepada pemandu lori atau syarikat terbabit sekiranya didapati gagal mematuhi peraturan ditetapkan, selepas JPJ melengkapkan audit ICOP.

    “Ia termasuk menggantung lesen GDL pemandu lori, menggantung permit syarikat atau lain-lain hukuman termaktub dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Berita Harian.

    Terdahulu, beberapa rakaman video tular dalam media sosial yang menunjukkan kira-kira 10 kenderaan dirempuh ketika trafik sibuk di Tambak Johor.

    Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) akan melakukan siasatan dari aspek teknikal, bagi mencari punca kemalangan itu.

    “Orang ramai yang berada di tempat kejadian ketika kemalangan itu berlaku pula diminta menyerahkan bukti-bukti seperti rakaman video sekiranya ada, bagi membantu siasatan.

    “Saya amat memandang serius kes seperti ini dan tidak akan berkompromi. Mana-mana pihak yang didapati bersalah akan dikenakan hukuman tegas kerana ia membabitkan soal keselamatan dan nyawa pengguna jalan raya,” katanya.

  • APMM Pahang tahan nelayan Myanmar cari hasil laut guna bot nelayan tempatan

    APMM Pahang tahan nelayan Myanmar cari hasil laut guna bot nelayan tempatan

    SEBUAH bot nelayan tempatan dikemudi tekong dan empat awak-awak warga Myanmar ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pahang pada kedudukan 20 batu nautika dari muara Kuala Pahang, Pekan, Ahad lalu.

    Pengarahnya, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh berkata, bot itu kelihatan mencurigakan ditahan untuk pemeriksaan.

    Menurut beliau, pemeriksaan mendapati, kru bot tidak memiliki permit kerja selain dokumen pengenalan diri mereka mencurigakan.

    “Kami turut merampas 950 kilogram hasil laut serta peralatan menangkap ikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

    Beliau berkata, kru serta barangan rampasan dibawa ke Jeti Penerpa dan kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

    Kamal Ariffin meminta komuniti maritim, terutamanya nelayan tempatan, supaya mematuhi undang-undang dan syarat lesen selain mengutamakan keselamatan apabila berada di laut.

    Maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau kecemasan di laut boleh disalurkan dengan menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau MERS 999.

  • Penganggur dipenjara dua tahun culik kanak-kanak

    Penganggur dipenjara dua tahun culik kanak-kanak

    MAHKAMAH Majistret di Johor Bahru, hari ini menjatuhkan hukuman penjara dua tahun terhadap seorang penganggur selepas mengaku salah menculik seorang budak lelaki di Taman Scientex, Pasir Gudang pada 11 Mei lalu.

    Muhammad Rahim Ahmad, 26, dijatuhkan hukuman itu selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah di hadapan Majistret Mohd. Zulhilmi Ibrahim, lapor Harian Metro.

    Pada 17 Mei lalu, Muhammad Rahim mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Mohd. Zulhilmi.

    Prosiding hari ini sepatutnya ditetapkan untuk sebutan semula kes itu namun tertuduh yang tidak diwakili peguam menukar pengakuannya sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu 11 Mei lalu.

    Mengikut pertuduhan, dia didakwa menculik kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun daripada penjagaan yang sah berhampiran Sekolah Agama Taman Scientex di sini, pada 11.30 pagi, 11 Mei lalu.

    Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Arif Marzuki dan Danial Munir.

    Pada 11 Mei lalu, video menunjukkan seorang lelaki melarikan kanak-kanak berpakaian seragam sekolah agama tular di media sosial.

    Lelaki itu bagaimanapun berjaya ditahan orang awam sebelum diserahkan kepada polis.

  • Suami isteri ditemukan mati dibunuh ahli keluarga

    Suami isteri ditemukan mati dibunuh ahli keluarga

    SEPASANG suami isteri ditemukan meninggal dunia dipercayai dibunuh ahli keluarga dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Bercham Aman, Ipoh, hari ini.

    Pasangan itu yang berusia lingkungan 40-an itu ditemui meninggal dunia di ruang tamu rumah berkenaan lapor Sinar Harian.

    Setakat pukul 11.50 pagi, polis masih menjalankan siasatan lanjut di lokasi kejadian dan kedua-dua mangsa belum dibawa keluar.

    Turut berada di lokasi kejadian, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Anuar Othman.

  • Elak denda buat kad pengenalan baharu, dua lelaki ditahan buat laporan palsu

    Elak denda buat kad pengenalan baharu, dua lelaki ditahan buat laporan palsu

    HANYA kerana tidak mahu membayar denda bagi membuat kad pengenalan baharu, dua lelaki sanggup membuat laporan palsu kononnya menjadi mangsa ragut dan samun dalam kejadian berasingan pada Ahad dan Isnin lepas.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd Wahid berkata, tindakan tersebut mengundang padah apabila hasil siasatan mendapati kejadian berkenaan tidak pernah berlaku dan kedua-dua lelaki berusia 30 dan 43 tahun itu ditahan pihaknya

    “Pada Ahad lepas, lelaki berusia 43 tahun itu membuat laporan polis dan mendakwa telah diragut dua lelaki bermotosikal yang tidak diketahui bangsanya ketika sedang berjalan kaki serta mengalami kerugian kira-kira RM500 termasuk dokumen pengenalan diri.

    “Bagaimanapun, hasil soal siasat yang dijalankan mendapati pengadu membuat laporan palsu dan mengakui kejadian ragut itu tidak berlaku, sebaliknya laporan itu dibuat bagi mengelakkan didenda oleh Jabatan Pendaftaran Negara,” katanya dalam kenyataan semalam, lapor Astro AWANI.

    Rupiah berkata pada Isnin lepas pula, seorang lelaki berusia 30 tahun membuat laporan dan mendakwa menjadi mangsa samun oleh seorang lelaki yang tidak diketahui bangsanya ketika berada di depan sebuah kedai serbaneka di Taman Ungku Tun Aminah di Johor Bahru.

    “Hasil soal siasat mendapati pengadu berkenaan juga telah membuat laporan polis palsu,” katanya sambil menambah kedua-dua lelaki berkenaan akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini untuk didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

  • JKM nafi berita palsu bantuan warga emas RM500 sebulan

    JKM nafi berita palsu bantuan warga emas RM500 sebulan

    BERIKUT adalah penafian berita tular dalam media sosial oleh agensi yang bertanggungjawab melalui kenyataan media Pasukan Respons Pantas Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) hari ini.

    Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menafikan bahawa agensi itu membuka permohonan secara dalam talian (online) yang menawarkan bantuan sebanyak RM500 sebulan kepada semua warga emas bagi 2022 seperti tular di media sosial.

    JKM menegaskan bahawa pemakluman berkenaan yang tersebar itu merupakan kenyataan palsu dan orang ramai dinasihati tidak mudah percaya dengan maklumat palsu, sebaliknya menjadi warga digital bijak dan bertanggungjawab.

    Orang ramai boleh membuat semakan terlebih dahulu dan merujuk sumber di laman portal rasmi www.jkm.gov.my untuk mendapatkan maklumat yang tepat mengenai skim bantuan yang ditawarkan oleh JKM. – BERNAMA

  • Ketika menanti ajal, pengantin terima jantung baharu sebagai hadiah perkahwinan

    Ketika menanti ajal, pengantin terima jantung baharu sebagai hadiah perkahwinan

    SEORANG warga Itali yang berkahwin atas katil hospital sebagai hajat terakhir diberikan hadiah perkahwinan yang sempurna ketika hujung nyawa.

    Maurizio Calorio, 47 ketika itu disambung kepada alat bantuan pernafasan dan dikatakan tidak mempunyai peluang untuk hidup selepas terkena serangan jantung bulan lepas.

    Semasa terbaring di hospital, dia membuat keputusan untuk berkahwin dengan tunangnya, Silva Duca, 42 sebagai permintaan terakhirnya.

    Duca berkata, “Kami sepatutnya berkahwin pada bulan September tetapi kami tidak tahu jika sempat.”

    Seorang wakil Dewan Bandar merasmikan ‘majlis’ kecil namun bermakna antara pasangan tersebut di kaki katil Calorio. Wadnya turut dihiasi belon.

    Calorio diletakkan dalam senarai menunggu untuk jantung yang baharu namun keadaannya semakin teruk.

    Beberapa jam selepas majlis perkahwinan mereka, Caloria diberikan berita bahawa terdapat satu jantung yang akan diterbangkan dari Naples dan pada malam tersebut, dia melalui pembedahan jantung yang berlangsung selama 7 jam.

    Duca memberitahu The Times, “Satu keajaiban berlaku pada malam itu. Selepas kami berkahwin, kami menerima hadiah yang sempurna – jantung baharu untuk Maurizio.”

    Calorio kini masih dibawah pemerhatian hospital namun pembedahannya berjaya dan doktor-doktor  berkata dia akan pulih dengan baik.