Category: Semasa

  • IPD Kulim siasat dakwaan anggota ambil wang dari dompet didakwa hilang

    IPD Kulim siasat dakwaan anggota ambil wang dari dompet didakwa hilang

    Oleh RIZQI ZABIDI

    POLIS masih belum menerima laporan daripada mana-mana pihak berhubung dakwaan yang tular di media sosial menyatakan terdapat anggota polis mengambil wang dari dompet seorang individu di Kulim, Kedah baru-baru ini.

    Ketua Polis Daerah Kulim, Supritendan Mohd. Redzuan Salleh berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan meminta supaya individu berkenaan membuat laporan polis.

    Meskipun tiada laporan diterima katanya, pihaknya kini sudah pun menjalankan siasatan terhadap isu berkenaan.

    “Ketua Polis Balai terlibat akan memanggil semua pihak terbabit bagi mendapatkan keterangan dalam isu berkenaan.

    “Tindakan mengikut peruntukan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati melakukan kesalahan dalam kejadian itu termasuk pegawai dan anggota polis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Baru-baru ini seorang lelaki membuat hantaran berserta gambar di kumpulan Facebook ‘Kulim Info’ meminta mana-mana individu yang kehilangan dompet agar menuntutnya di Balai Polis Kulim Hi Tech kerana dia telah menyerahkan dompet tersebut kepada pihak polis.

    Susulan itu, seorang lelaki lain menulis komen di hantaran tersebut.

    Sambil mengucapkan terima kasih kepada individu yang menemui dompet berkenaan, dia memaklumkan bahawa adiknya yang merupakan pemilik dompet tersebut sudah pun menuntut dompetnya di balai polis dimaksudkan.

    Begitu pun katanya, berlaku kejadian tidak diduga di balai polis tersebut apabila adiknya mendapati wang miliknya kurang RM200 daripada jumlah sepatutnya sedangkan gambar dompet yang dipaparkan di Facebook, jelas menunjukkan bahawa wang itu masih ada.

    Berikutan itu dakwanya, adiknya mahu membuat laporan berhubung perkara tersebut sebelum polis terlibat memulangkan wang berkenaan.

    Mengulas lanjut Mohd. Redzuan berkata, pihaknya memohon agar masyarakat tidak mengeluarkan kenyataan berdasarkan dakwaan yang tular itu kerana pihaknya masih menjalankan siasatan.

    “Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim tidak akan berkompromi dalam hal sebegini,” katanya.

  • Tukang gunting rambut ditahan cuba culik bekas kekasih, budak lelaki

    Tukang gunting rambut ditahan cuba culik bekas kekasih, budak lelaki

    SEORANG tukang gunting rambut ditahan polis hari ini, selepas dipercayai cuba menculik seorang wanita dan anak lelakinya di hadapan sebuah Tadika, Seksyen U12, Shah Alam, semalam.

    Pihak polis menerima laporan daripada suami mangsa berusia 41 tahun pada pukul 6.15 petang, selepas diberitahu oleh guru Tadika berkenaan.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata,
    hasil siasatan, mangsa wanita berusia 33 tahun menjelaskan bahawa suspek menolaknya ke tempat duduk penumpang dan merampas kenderaan mangsa ketika anak lelaki mangsa, 6, memasuki kenderaan.

    “Suspek yang bekerja sebagai tukang gunting rambut itu ditahan pada pukul 10.10 pagi tadi ketika hadir menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

    “Turut bersama suspek adalah wanita berkenaan dan anak lelakinya,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Berit Harian.

    Mohd. Iqbal berkata, wanita terbabit dan anaknya tidak dicederakan manakala ujian saringan awal air kencing ke atas suspek mendapati dia positif dadah.

    Beliau berkata, hasil siasatan juga mendapati suspek adalah bekas kekasih mangsa dan motif tindakannya kerana masih sayangkan mangsa.

    Katanya, suspek juga dipercayai di bawah pengaruh dadah ketika kejadian berlaku.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan suspek akan direman esok,” katanya.

  • Prosiding Lokman hina mahkamah didengar 3 Ogos

    Prosiding Lokman hina mahkamah didengar 3 Ogos

    PROSIDING menghina mahkamah terhadap bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam didakwa mengeluarkan kata-kata tidak wajar kepada seorang anggota polis dan mempersoalkan sistem mahkamah dalam perbicaraan kes Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, akan didengar 3 Ogos ini.

    Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menetapkan tarikh itu selepas peguam K Balaguru yang mewakili Lokman memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya mahu prosiding itu diteruskan selepas dinasihatkan supaya tidak membuat permohonan maaf atas perkara yang tidak dilakukannya.

    “Kejadian itu berlaku di galeri awam dan tidak mengganggu prosiding mahkamah yang sedang berlangsung ketika itu,” kata peguam itu yang turut memaklumkan anak guamnya telah membuat surat berhubung permohonan maaf kepada mahkamah, Isnin lepas.

    Hakim Sequerah yang merujuk surat permohonan maaf yang ditulis oleh Lokman bagaimanapun berkata: “Kita tidak boleh membenarkan orang awam datang ke mahkamah dan buat peraturan sesuka hati ketika kes sedang berjalan dan mencabar polis melakukan kerjanya. Apa urusan dia (Lokman) di mahkamah, dia bukan wartawan mahkamah dan bukan peguam pemerhati.

    Hakim itu turut menolak permohonan Lokman supaya prosiding itu didengar di hadapan hakim lain kerana kejadian itu berlaku di mahkamahnya dan beliau berhak mendengar kes itu.

    “Sekiranya kes itu didengar di hadapan hakim lain, ia juga membabitkan isu yang sama, jadi saya berhak untuk mendengar kes ini,” kata hakim itu.

    Terdahulu, Balaguru memohon supaya prosiding itu didengar di hadapan hakim lain kerana ia hanya bersandarkan kepada dengar cakap ‘hear say’.

    “Anak guam saya tidak memanggil anggota polis mahkamah itu ‘bodoh’ seperti yang dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran, yang mengendalikan kes Ahmad Zahid kepada mahkamah pada 30 Jun lalu, sebaliknya menyatakan prosedur operasi standard (SOP) mahkamah ‘bodoh’ kerana bersikap tidak adil kepadanya.

    “Anggota polis itu memberitahu perlakuan anak guam saya kepada penolong kanan pendaftar yang kemudian memberitahu perkara itu kepada Raja Rozela sebelum dimaklumkan kepada mahkamah,” kata peguam itu dan menambah kejadian itu sepatutnya disiasat terlebih dahulu sebelum mahkamah mengeluarkan notis tunjuk sebab kepada Lokman.

    Timbalan Pendakwa Raya, Izalina Abdullah, yang membantu mahkamah dalam prosiding itu, membantah permohonan peguam supaya hakim lain mendengar kes itu kerana kejadian tersebut berlaku di hadapan Hakim Sequerah dan beliau berhak mendengarnya.

    “Isu menghina mahkamah ini bukan melibatkan penggunaan telefon, sebaliknya melibatkan kehormatan sistem kehakiman yang ketika itu prosiding perbicaraan sedang berlangsung di mahkamah. Apabila masuk di sesuatu tempat, ada peraturan yang perlu diikuti supaya prosiding berjalan lancar dan apabila seseorang itu tidak mengikut peraturan, ia dikira sebagai menghina mahkamah,” kata Izalina.

    Dalam pada itu, Balaguru berkata beliau akan memfailkan notis sapina kepada Raja Rozela minggu depan untuk menyoal balasnya di mahkamah, namun ia dibantah oleh Izalina atas alasan sudah memadai dengan memanggil polis mahkamah itu bagi memberikan keterangan.

    Hakim Sequerah kemudian berkata, peguam itu boleh memfailkan notis sapina terhadap Raja Rozela. – BERNAMA

  • Peniaga didakwa lakukan amang seksual terhadap remaja

    Peniaga didakwa lakukan amang seksual terhadap remaja

    SEORANG peniaga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan, sejak April lalu.

    Tertuduh berusia 56 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Mohd. Sabri Ismail.

    Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja berusia 17 tahun di kawasan tempat letak
    kereta di Malim, Melaka Tengah pada 10 malam, pertengahan April lalu, lapor Free Malaysia Today (FMT).

    Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama terhadap mangsa di kawasan semak di Taman Kesidang, Melaka Tengah, 11 malam, awal Mei lalu.

    Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (1)(b) dan 14(1)(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang masing-masing memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim mencadangkan jaminan sebanyak RM40,000 dikenakan terhadap tertuduh.

    Dia yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu agar jumlah jaminan itu dikurangkan dengan alasan perlu menjaga dua anak dan ibu yang sakit.

    Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, Sabri kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.

    Beliau turut menetapkan tarikh 8 Ogos untuk sebutan semula kes.

  • Lima lelaki disyaki keldai akaun sindiket penipuan ditahan

    Lima lelaki disyaki keldai akaun sindiket penipuan ditahan

    POLIS menahan lima lelaki disyaki ‘keldai akaun’ sindiket penipuan dalam siri serbuan sejak Rabu lepas sehingga semalam di sekitar negeri ini, Perak dan Kedah.

    Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superitendan Kamarul Rizal Jenal berkata, serbuan itu hasil operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah (BSJKD) Barat Daya hasil maklumat awam dan risikan yang dijalankan sejak seminggu lepas.

    “Dalam siri serbuan pada Rabu, polis menahan tiga lelaki berusia 19 tahun hingga 47 tahun di Jitra, Alor Setar dan Sungai Petani di Kedah kerana menjadi ‘keldai akaun’ sindiket penipuan menyamar sebagai Pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

    “Berdasarkan siasatan, sindiket penipuan itu turut menjalankan perniagaan pinjaman wang tanpa lesen membabitkan mangsa di beberapa buah negeri dan pinjaman tersebut diiklankan menerusi laman sosial Facebook serta aplikasi Wechat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Katanya, siasatan juga mendapati jumlah kerugian yang dialami oleh mangsa sindiket penipuan itu antara RM6,000 hingga RM88,500 dan melibatkan kes yang dilaporkan dari tahun 2018 hingga 2022.

    Kamarul Rizal berkata, manakala dalam dua serbuan semalam, polis menahan dua lelaki masing-masing berusia 40 dan 45 tahun di Butterworth dekat sini dan Ipoh, Perak.

    Katanya, siasatan mendapati dua lelaki itu disyaki dijadikan ‘keldai akaun’ oleh sindiket penipuan pekerjaan sambilan dan pembelian motosikal dalam talian.

    “Jumlah kerugian yang dialami oleh mangsa antara RM2,000 hingga RM16,710 membabitkan kes yang dilaporkan pada tahun 2020 hingga 2021. Polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung penahanan lima lelaki itu,” katanya.

    Katanya, semua lima lelaki itu direman selama empat hari bagi membantu siasatan menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu.

    “Pihak polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat sindiket penipuan jual beli di laman sosial, pinjaman tidak wujud, Macau Scam, Parcel Scam serta Love Scam,” katanya. – Bernama

  • Jemaah haji terkandas boleh tuntut ganti rugi-KPDNHEP

    Jemaah haji terkandas boleh tuntut ganti rugi-KPDNHEP

    BAKAL jemaah haji yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) boleh membuat tuntutan tebus rugi tidak melebihi RM50,000 kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).

    Menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), langkah tersebut boleh dilakukan di mana-mana pejabat KPDNHEP setelah laporan polis dilakukan.

    “Sekiranya tuntutan itu melebihi RM50,000, bakal haji terbabit boleh memfailkan tuntutan di Mahkamah Sivil.

    “Tuntutan tersebut boleh dilakukan sekiranya jalan penyelesaian di antara syarikat agensi berkaitan dan bakal jemaah haji yang terkandas tidak dapat dicapai.

    “Semua tuntutan hendaklah disertai dengan bahan bukti yang lengkap termasuk iklan, resit bayaran, segala transaksi termasuk rekod perhubungan antara bakal haji dengan syarikat agensi haji tersebut,” demikian menurut kenyataan KDNPHEP, hari ini.

    Malam tadi, seramai 380 bakal jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak pagi semalam, dipercayai telah menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan.

    Bakal jemaah haji tersebut dipercayai menggunakan visa furada untuk menunaikan haji dan tidak melalui Lembaga Tabung Haji (TH).

    Susulan itu, KPDNHEP menyeru supaya syarikat agensi haji terbabit mengadakan perbincangan dan berunding dengan segera bersama semua bakal haji yang terkandas.

    “Ini supaya jalan penyelesaian yang murni dapat dicapai demi kepentingan kedua-dua belah pihak terutama pengguna iaitu bakal haji yang terkandas ini,” jelas KPDNHEP seperti dilaporkan Sinar Harian.

    Menurut KPDNHEP, tindakan segera dari bakal haji sangat penting supaya tiada lagi syarikat agensi haji dan umrah sewenang-wenangnya mengambil kesempatan untuk memperdaya atau tidak memenuhi tanggungjawab terhadap bakal haji dan umrah di Malaysia.

    Tambahnya, sebarang maklumat lanjut berkenaan tuntutan tebus rugi dan TTPM boleh menggunakan hotline TTPM di 1 800 88 9811, atau 03-8882 5822 atau e-mel kepada [email protected]

  • Kedutaan Arab Saudi kesal insiden jemaah haji ditipu

    Kedutaan Arab Saudi kesal insiden jemaah haji ditipu

    KEDUTAAN Arab Saudi di Kuala Lumpur menyuarakan rasa kesal dengan berita mengenai kira-kira 380 bakal jemaah haji Malaysia terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

    Menurut kenyataan yang disediakan kepada Bernama hari ini, kedutaan menegaskan pihaknya tiada kaitan dengan insiden itu.

    “Kedutaan kesal dengan apa yang berlaku kepada beberapa warga Malaysia yang ditipu agensi pelancongan Malaysia yang mendakwa telah mendapatkan visa daripada kedutaan. Pihak kedutaan menegaskan ia tidak ada kena mengena dengan insiden ini,” menurut kenyataan itu.

    Kenyataan itu turut merujuk kepada kenyataan sebelum ini yang dikeluarkan pada 24 Mac, pihak kedutaan mendapati terdapat iklan oleh beberapa syarikat Malaysia yang mempromosikan pakej pelancongan dan program menunaikan haji tahun ini.

    Kenyataan itu memberi amaran dan menegaskan bahawa Kedutaan Arab Saudi tidak berkomunikasi dengan mana-mana pihak di Malaysia dari segi pengaturan haji tahun ini 1443H/2022.

    Memandangkan ibadat haji dianggap ibadah paling penting dalam Islam, Penjaga Dua Masjid Suci Raja Salman bin Abdulaziz dan Putera Mahkota Mohammed bin Salman bersedia untuk menyediakan semua kemudahan yang membolehkan jemaah haji menunaikan haji dengan mudah dan selamat.

    Kira-kira 380 bakal jemaah haji terkandas di KLIA semalam (7 Julai) dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan.

    Mereka yang berkumpul di Aras 5, Balai Pelepasan KLIA dipercayai menggunakan visa furada untuk menunaikan haji dan tidak melalui Lembaga Tabung Haji (TH).

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad daam satu kenyataan hari ini, mahu pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci.

    “Saya melahirkan rasa kecewa mengenai insiden yang tidak sepatutnya berlaku apatah lagi ia melibatkan urusan Rukun Islam yang perlu dipandang berat oleh semua umat Islam, termasuklah pihak agensi yang menguruskan jemaah haji,” katanya.

    Beliau berkata sekiranya terdapat sebarang unsur penipuan, pihak terbabit perlu dibawa ke muka pengadilan dan diberikan hukuman yang setimpal. – BERNAMA

  • AGC nafi berita ‘Pejabat Peguam Negara menetapkan perbicaraan SRC tidak sah’

    AGC nafi berita ‘Pejabat Peguam Negara menetapkan perbicaraan SRC tidak sah’

    JABATAN Peguam Negara (AGC) hari ini menegaskan bahawa berita “Pejabat Peguam Negara telah menetapkan yang perbicaraan SRC tidak sah kerana kesilapan prosiding” yang disebar, adalah sama sekali tidak benar dan palsu.

    Dalam satu kenyataan, jabatan itu menafikan bahawa AGC ada membuat ketetapan seperti yang dikatakan dalam kenyataan yang tersebar itu.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh AGC hari ini, Mahkamah Persekutuan telah menetapkan pendengaran rayuan kes SRC International Sdn Bhd melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak yang akan didengar bermula 15 Ogos depan iaitu jabatan berkenaan akan hadir sebagai responden atau pendakwa raya dalam kes berkenaan.

    Kenyataan itu juga menjelaskan bahawa, jabatan itu akan meneruskan dengan rayuan kes tersebut dan akan menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan.

    Pada 8 Dis 2021, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan Najib dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dijatuhkan ke atas Najib kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International.

    Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, yang bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, menolak rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2020.

    Mahkamah Persekutuan merupakan jalan terakhir bagi Ahli Parlimen Pekan itu untuk mengemukakan rayuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara dalam kes penyelewengan dana SRC International itu. – BERNAMA

  • Jemaah haji terkandas:Agensi pelancongan mohon maaf

    Jemaah haji terkandas:Agensi pelancongan mohon maaf

    SYARIKAT agensi pelancongan yang bertanggungjawab dalam membawa hampir 400 bakal jemaah Haji ke Tanah Suci tetapi terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) memohon maaf atas apa yang berlaku.

    Individu yang juga wakil syarikat berkenaan,
    menerusi perbualan di aplikasi Whatsapp bersama Astro Awani, memohon maaf atas kejadian yang menimpa kumpulan bakal jemaah haji itu semalam.

    “Jutaan maaf dari kami pihak UC Travel. Kami sudah sedaya upaya berusaha untuk terbangkan jemaah, tetapi kami tidak berjaya.

    “Maka pihak kami akan membuat pemulangan wang kepada jemaah yang terlibat. Saya juga terkesan bila orang panggil kami scammer. Hakikatnya, kami di UC Travel sangat berusaha untuk terbangkan jemaah,” jelasnya secara ringkas, hari ini.

    Mengulas lanjut, ujarnya, sebarang kenyataan akan dikeluarkan selepas berbincang bersama peguamnya terdahulu.

    “Saya akan bincang dengan peguam saya dahulu. Kerana bukan kami sahaja yang gagal, ramai lagi agensi pelancongan gagal.

    “Tetapi kami terkedepan kerana kami bawa jemaah ke lapangan terbang, kami memang mencuba sedaya upaya.

    “Untuk ketika ini, semua group UC Travel sedang menjawab semua (persoalan) berkaitan jemaah kami,” katanya lagi.

    Tambahnya, satu sidang media akan dijalankan minggu hadapan bagi memberi penjelasan mengenai kejadian menimpa hampir 400 bakal jemaah haji itu.

    Malam tadi, hampir 400 bakal jemaah haji terkandas di KLIA selepas tidak dapat berlepas ke Jeddah, Arab Saudi bagi mengerjakan rukum Islam kelima itu.

    Sehingga kini, 17 laporan polis telah dibuat bakal jemaah Haji yang terkandas di sekitar Lembah Klang.

    Pada masa sama, siasatan dijalankan pihak polis dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

    Turut menjalankan siasatan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dibawah Seksyen 8 (1) (d) Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482].

  • Ismail Sabri ucap takziah pemergian Shinzo Abe

    Ismail Sabri ucap takziah pemergian Shinzo Abe

    Oleh D ARUL RAJOO

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan ucapan takziah dan simpati yang mendalam kepada kerajaan Jepun dan seluruh rakyatnya di atas pemergian mantan Perdana Menteri, Shinzo Abe.

    “Saya berasa amat sedih apabila mendengar perkhabaran duka berhubung insiden melibatkan mantan Perdana Menteri Shinzo Abe, yang baru saya temui pada awal tahun ini sebagai Utusan Khas Tuan Yang Terutama,” katanya pada wartawan Malaysia di Ankara hari ini.

    Ismail Sabri yang dalam rangka lawatan rasmi ke Turkiye berkata, beliau berharap agar keluarga mendiang Abe dan seluruh rakyat Jepun tabah menghadapi dugaan dalam suasana sedih serta pilu ini.

    Katanya, Abe telah memainkan peranan yang penting dalam hubungan erat antara Malaysia dan Jepun, dan merupakan pendukung utama Dasar Pandang ke Timur.

    Abe, 67, “ditembak dari belakang” ketika sedang berucap dalam satu kempen politik di bandar raya Nara, dan penyerang beliau sudah ditahan.

    Jepun akan mengadakan pilihan raya Senat pada Ahad dan Abe berkempen untuk calon Parti Demokratik Liberal (LDP) yang memerintah.

    Abe merupakan perdana menteri paling lama berkhidmat – pertama pada 2006 dan sekali lagi dari 2012 hingga 2020. – BERNAMA