Category: Semasa

  • Kasut kurniaan Sultan Johor – Onn Hafiz

    Kasut kurniaan Sultan Johor – Onn Hafiz

     MENTERI Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi hari ini menafikan beliau telah membeli sepasang kasut yang berharga puluhan ribu ringgit.

    Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata kasut itu adalah kurniaan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.

    “Fitnah dan tohmahan perlu dihentikan. Untuk rekod, ini adalah kurniaan Kebawah Duli Tuanku Sultan. 

    “Ini bukan perkara baharu malah Kebawah Duli Tuanku ada juga memberi kurniaan kepada barisan exco kerajaan yang lepas dan kepada pegawai-pegawai kerajaan negeri sebagai motivasi untuk sentiasa bekerja keras untuk rakyat,” katanya menerusi hantaran itu.

    Terdahulu, beberapa akhbar berbahasa Cina melaporkan isu kasut itu yang dipetik daripada akaun media sosial milik seorang individu mendakwa Onn Hafiz membeli kasut berharga ribuan ringgit sehingga mendapat pelbagai reaksi daripada warga netizen.

    — BERNAMA

  • Kehadiran ribuan orang bukti PN semakin diterima rakyat – Muhyiddin

    Kehadiran ribuan orang bukti PN semakin diterima rakyat – Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan kehadiran ribuan orang ke Kenduri Rakyat Aidiladha anjuran Perikatan Nasional (PN) Perak di Manjoi, hari ini membuktikan rakyat semakin menerima gabungan itu yang berpegang kepada prinsip integriti dan berjuang menyelesaikan masalah hidup mereka.

    Pengerusi PN itu berkata,  sokongan padu yang sama seumpama itu  sudah dapat dilihat ketika majlis pelancaran PN Kelantan di Tanah Merah awal bulan ini dengan kehadiran puluhan ribu rakyat.

    ‘’Pada saya apa yang kita lihat ini merupakan petanda baik bahawa rakyat mahukan satu parti yang kurang berpolitik tetapi lebih bekerja membantu menyelesaikan masalah rakyat yang terkesan teruk sejak dua tahun lalu akibat penangan pandemik Covid-19,’’ katanya dalam Facebook beliau.

    Turut hadir isteri beliau, Puan Sri Norainee Abd.Rahman, Pengerusi PN Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumi, Naib Pengerusi 1 Razman Zakaria dan Naib Pengerusi 2 Datuk Seri See Tean Seng.

    Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri menegaskan, rakyat inginkan parti yang turun ke akar umbi mendengar keluh-kesah mereka dan cuba membantu mengurangkan bebanan hidup dengan cara menyediakan pekerjaan serta meningkatkan pendapatan mereka.

    ‘’Saya percaya rakyat akan terus  bersama dan menyokong  jika kita terus menjadikan rakyat sebagai fokus perjuangan parti. PN sendiri telah membuktikan parti ini sentiasa mengutamakan nasib hidup rakyat sewaktu menjadi kerajaan ketika wabak Covid-19 melanda negara sedikit waktu dahulu.

  • Jangan hina agama sendiri- Ahmad Faizal

    Jangan hina agama sendiri- Ahmad Faizal

    GOLONGAN muda perlu berfikir buruk dan baik sebelum melakukan sesuatu, kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

    Katanya, mereka perlu menggunakan akal fikiran yang waras termasuk perlu menjauhi sifat-sifat negatif dan sentiasa berusaha untuk memperbaiki diri.

    Beliau berpendapat, tindakan seorang wanita yang ‘membuka baju’ di khalayak ramai baru-baru ini bukanlah sifat manusia yang baik.

    “Manusia ini kita mesti ada rasa malu, kalau dah tak ada rasa malu ini, kita dah letakkan diri kita setaraf dengan mahluk-mahluk yang Allah ciptakan yang tidak mempunyai akal. Jadi ini perkara yang perlu kita jauhi.

    “Saya harap anak kita yang telah lakukan perkara itu bertaubat, jangan hina agama sendiri, jangan jolok pula perasaan dan hati rakan lain yang beragama Islam dan kembali lah ke pangkal jalan,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani.

    Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis Kenduri Rakyat Aidiladha Perikatan Nasional (PN) Perak di Manjoi hari ini.

    Kata Ahmad Faizal lagi, golongan belia juga perlu mengambil iktibar daripada kejadian itu dan cuba membaiki diri sendiri.

    Pada Sabtu, tular video berdurasi 50 saat memaparkan seorang wanita yang menyatakan telah menghafal 15 juzuk Al-Quran namun secara tiba-tiba membuka pakaiannya satu demi satu sehingga mencolok mata.

    Laporan media tempatan menyatakan kejadian dipercayai berlaku di sebuah kelab berunsurkan komedi di sekitar Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.

    Ekoran daripada itu, polis telah membuka kertas siasatan dan wanita berkenaan direman tiga hari untuk membantu siasatan.

    Dalam masa sama, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengambil tindakan untuk menggantung segera operasi kelab tersebut.

  • Jemaah haji Malaysia tinggalkan khemah lebih bersih dari asal

    Jemaah haji Malaysia tinggalkan khemah lebih bersih dari asal

    KEADAAN sesak dan sempit tidak menjadi halangan jemaah haji Malaysia untuk terus menjaga kebersihan dan berdisiplin dalam tempoh operasi Masyair.

    Sebaliknya ia memberi semangat untuk mereka memastikan penginapan di Arafah, Muzdalifah dan Mina selesa untuk diduduki dalam tempoh persiapan operasi Masyair.

    Tinjauan Bernama mendapati sesetengah khemah jemaah haji Malaysia di Arafah ditinggalkan dalam keadaan lebih bersih berbanding sebelum ketibaan mereka, malah ada yang bergotong-royong menyusun tilam, selimut serta bantal dengan lebih kemas dan teratur sebelum berangkat ke Muzdalifah.

    Ketika bermabit (bermalam) di Muzdalifah pula, rata-rata jemaah membawa plastik sampah masing-masing dan memastikan tiada sisa sampah sebelum bergerak ke Mina dengan menaiki bas.

    Dicelah laluan khemah-khemah di Mina yang sempit juga menunjukkan tiada pembuangan sampah-sarap merata-rata dan TH menyediakan tong sampah di pelbagai lokasi.

    Kebanyakan khemah jemaah membuat peraturan tersendiri dalam mematuhi penjagaan kebersihan hingga ada yang menyusun selipar dengan teratur di dalam serta di luar khemah.

    Sementara itu, Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata beliau terharu dengan sikap yang ditunjukkan jemaah haji malah Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi sentiasa memuji dan menganggap jemaah Malaysia adalah contoh terbaik.

    Katanya, disiplin tinggi jemaah Malaysia telah diketengahkan dalam Program Kebersihan Masyair dan ternyata sikap itu berjaya membentuk keperibadian terpuji seperti mana misi program tersebut iaitu Kebersihan Mencerminkan Kemabruran Haji.

    “Ketika jemaah haji berada di Arafah, sebelum mereka berangkat ke Muzdalifah mereka telah membersihkan perkhemahan dengan bersih dan kita dapat lihat usaha yang telah dilaksanakan.

    “Begitu juga ketika di Muzdalifah, jemaah haji telah memberi kerjasama terhadap program ini. Di Mina mereka akan tinggal lebih lama iaitu antara tiga ke empat hari, tempoh agak lama untuk mereka bersihkan di bilik air, kawasan dalam khemah dan lorong-lorong khemah”, katanya kepada pemberita selepas melancarkan program tersebut.

    Di Arafah sebanyak 200 khemah disediakan untuk jemaah Malaysia dan di Muzdalifah, jemaah haji perlu bermabit beralaskan tikar di kawasan lapang.

    Keadaan di Mina agak mencabar kerana bukan sahaja membabitkan 600 khemah untuk jemaah Malaysia tetapi juga berada dalam kawasan yang sangat hampir dengan khemah umat Islam negara lain. – Bernama

  • KPDNHEP serbu premis sorok diesel bersubsidi, rampasan RM170,346

    KPDNHEP serbu premis sorok diesel bersubsidi, rampasan RM170,346

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membongkar kegiatan haram sebuah premis di Taman Bayu Tinggi di Klang, Selangor, yang menyorok minyak diesel bersubsidi selepas lokasi itu diserbu pihak berkuasa Rabu lalu.

    Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP Azman Adam berkata, serbuan itu dilakukan pihaknya susulan risikan dilakukan anggota Sesyen Risikan KPDNHEP Putrajaya.

    “Ketika serbuan dilakukan, kami mendapati tiada pekerja ditemui dalam premis itu. Pemeriksaan lanjut menemui sejumlah minyak diesel, lori, beberapa tangki kosong, tangki berisi diesel dan beberapa peralatan lain digunakan untuk kegiatan penyelewengan minyak berkenaan.

    “Kami menyita diesel dan pelbagai peralatan ditemui di dalam premis dianggarkan bernilai RM170,346 untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Pihaknya sedang mengenal pasti individu atau syarikat yang terbabit dalam aktiviti itu serta rantaian pengedaran minyak diesel berkenaan termasuk dari mana ia diperolehi dan diedarkan.

    “Selain itu, syarikat terbabit juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613),” katanya.

  • Arwah pesan tunggu kepulangannya sebelum maut pada Hari Raya Aidiladaha

    Arwah pesan tunggu kepulangannya sebelum maut pada Hari Raya Aidiladaha

    SARJAN Mohd. Kamal Ramli, 41, anggota tentera Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja (2 RAMD) yang maut dihempap pokok ketika operasi di pedalaman Hutan Belum, Gerik, Perak, semalam sempat berpesan kepada anak sulung supaya menjaga keluarganya.

    Koperal Siti Nafishah Mohd. Nasir, 29, isteri kepada arwah berkata, pesanan itu dititipkan suaminya sebelum meninggalkan rumah mereka.

    “Sebelum dia (Allahyarham) bertolak dia sempat berpesan kepada anak sulung kami Muhammad Nabil Khalaf, 5, supaya menjaga ibu, adik, datuk dan ahli keluarga lain dengan baik.

    “Suami saya tidak menunjukkan tanda kelainan dan berkelakuan seperti biasa malah Allahyarham turut berpesan supaya menunggu kepulangannya,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Taman Ria Jaya, Sungai Petani, hari ini.

    Jenazah Sarjan Mohd. Kamal selamat dikebumikan mengikut istiadat pengkebumian Angkatan Tentera Malaysia (ATM), di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Solihin Taman Kelisa, Sungai Petani, malam tadi.

    Sarjan Mohd. Kamal bersama Koperal Muhammad Zaki Johari, 31, meninggal dunia akibat dihempap pokok ketika menjalani operasi di Hutan Belum, Gerik, semalam.

    Siti Nafishah berkata, hasil perkongsian hidup bersama suami mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad Nabil Khalaf dan Muhammad Nur Fariman, 2.

    Menurutnya dia sekeluarga reda dengan pemergian suaminya itu kerana kematiannya ketika menjalankan tugas dan kebetulan jatuh pula pada Hari Raya Aidiladha.

    “Damailah kau di sana perwiraku,” katanya dalam nada pilu.

    Dia mengetahui kematian suaminya itu selepas bapanya menerima panggilan daripada adiknya yang bertugas bersama Allahyarham di 2 RAMD, Kem Sungai Ara, Pulau Pinang memaklumkan kejadian berkenaan, 10 pagi semalam.

    Siti Nafishah yang juga anggota tentera bertugas di Kem Lapangan Terbang Sungai Petani berkata, kali terakhir dia bertemu arwah Kamal pada sehari sebelum suaminya melaporkan diri di Kem Sungai Ara.

    “Allahyarham lapor diri pada 30 Jun lalu dan sepatutnya pulang 1 September depan,” katanya.

  • Polis tahan teman lelaki wanita hina Islam di kelab komedi

    Polis tahan teman lelaki wanita hina Islam di kelab komedi

    TEMAN lelaki kepada seorang wanita disyaki menghina agama Islam ketika membuat persembahan di sebuah kelab komedi ditahan semalam.

    Lelaki itu ditahan di Kuala Lumpur oleh anggota dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

    Setiausaha Polis Diraja Malaysia, Datuk Noorsiah Saaduddin berkata, lelaki tersebut telah ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini hingga Rabu bagi membantu siasatan.

    “Kita akan buat permohonan untuk menyambung reman suspek wanita yang ditahan pada Sabtu lalu, selepas tempoh remannya tamat pada Selasa.

    “Kertas siasatan akan segera dirujuk ke pejabat Peguam Negara dengan cadangan pertuduhan,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Terdahulu, video berdurasi 54 saat memaparkan seorang wanita menanggalkan tudung dan pakaian ketika membuat persembahan stand up comedy (komedi solo) sekali gus menerima kecaman daripada orang ramai.

  • APMM tahan dua nelayan miliki 35 set bubu naga

    APMM tahan dua nelayan miliki 35 set bubu naga

    DUA nelayan tempatan ditahan yang berada dalam keadaan mencurigakan ditahan pada edudukan 1.6 batu nautika barat daya Pulau Sangga Besar, Kuala Kurau, pukul 11.57 pagi, kelmarin.

    Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kurau menahan bot nelayan terbabit dikesan oleh bot Maritim Malaysia semasa rondaan rutin di perairan negeri Perak.

    Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Sharenliza Ghazali berkata, hasil pemeriksaan pasukan operasi mendapati, dua nelayan warga tempatan termasuk tekong, masing-masing berumur 51 dan 53 tahun berada di atas bot.

    “Pemeriksaan lanjut mendapati, bot mempunyai dokumen vesel yang sah namun, memiliki 35 set bubu naga yang disyaki digunakan sebagai alat menangkap ikan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Menurutnya, nelayan, bot, bubu naga serta peralatan yang lain dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia.

    “Nilai rampasan kali ini dianggarkan berjumlah RM3,150 iaitu RM90 setiap satu set bubu naga,” katanya lapor Astro Awani.

    Mohd Sharenliza berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 11(3)(b) Akta Perikanan 1985 kerana memiliki peralatan menangkap ikan yang tidak dibenarkan.

    Ujarnya lagi, penggunaan bubu naga bukan sahaja menyalahi undang-undang, bahkan menjejaskan ekosistem laut dan sumber pendapatan nelayan tradisional pesisir pantai.

    Nelayan diingatkan agar sentiasa mematuhi undang-undang yang ditetapkan dan sebarang salah laku jenayah atau kecemasan boleh laporkan kepada Maritim Malaysia di talian MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau di talian 05- 7279919.

  • Operasi cari bayi 18 bulan jatuh dalam sungai diperluas

    Operasi cari bayi 18 bulan jatuh dalam sungai diperluas

    PASUKAN Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort meluaskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang bayi perempuan berusia 18 bulan yang hilang pada Sabtu lalu sejauh 63 kilometer.

    Ketua BBP Beaufort, Mohammad Hasbullah Nenggok berkata, kawasan pencarian diperluaskan sehingga ke muara Sungai Padas dari Kampung Batu 60.

    “Operasi yang memasuki hari ketiga itu dimulakan pada pukul 7 pagi. Operasi hari ini (Isnin) dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu menyusuri sungai bagi pencarian di permukaan sungai menggunakan bot dari Batu 60 ke muara Sungai Padas sejauh 63 kilometer.

    “Pencarian juga dilakukan di kawasan belukar dan ladang kelapa sawit dengan radius sejauh tujuh kilometer dari pos kawalan bomba,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Kata Mohammad Hasbullah, operasi pencarian disertai seramai 19 anggota BBP Beaufort dibantu agensi keselamatan lain dan penduduk kampung.

    “Selain dibantu seramai 70 penduduk kampung, operasi SAR turut disertai oleh anjing pengesan dari unit K9 Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sendiri yang dikenali sebagai Lexi dan Fleur,” katanya.

    Sehingga kini katanya, mangsa belum ditemui dan maklumat mengenainya akan dikemaskini dari masa ke semasa.

    Media pada Sabtu lalu melaporkan, Jude Angel Jeremy dipercayai jatuh ke sungai selepas disedari hilang dari rumahnya di Kampung Batu 66, di Beaufort.

    Ketika kejadian, mangsa dijaga oleh neneknya manakala kedua ibu bapanya berada di Tamu Beaufort (pasar mingguan) untuk berniaga.

  • Papuh saran TH lebih terbuka pilih agensi pelancongan sebagai PJH

    Papuh saran TH lebih terbuka pilih agensi pelancongan sebagai PJH

    PERSATUAN Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (Papuh) menyarankan agar Tabung Haji (TH) lebih terbuka dalam memilih agensi pelancongan yang belum menjadi Perkhidmatan Pengelola Jemaah Haji (PJH) pada setiap tahun.

    Presidennya, Datuk Seri Razali Mohd Sham berkata, ini bagi mengelakkan insiden jemaah haji yang terkandas berulang.

    “Sudah tiba masanya sistem ‘Kartel TH’ yang diamalkan oleh TH perlu dirombak tanpa birokrasi bagi memberi peluang kepada agensi pelancongan yang lain mejadi PJH dan tidak hanya tertumpu kepada yang sedia ada saban tahun.

    “Papuh mengesyorkan setiap agensi pelancongan yang menjadi PJH mesti diulang ganti setiap dua tahun.

    “TH perlu lebih peka dengan insiden (jemaah haji terkandas) yang terjadi setiap tahun dan apakah tindakan mereka bagi membenteras permasalahan ini,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Pada Khamis, seramai 380 bakal jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan dipercayai telah menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan.

    Bakal jemaah haji tersebut dipercayai menggunakan visa furada untuk menunaikan haji dan tidak melalui Lembaga Tabung Haji.

    Mengulas lanjut, Razali berkata, Papuh turut menyambut baik reaksi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yang mengambil tindakan setelah berlakunya penipuan di bawah undang-undang Akta Industri Pelancongan 1992.

    “Tindakan ini adalah wajar kerana pengurusan mengerjakan haji bukanlah terletak di bawah kuasa MOTAC,” ujarnya.

    Jelasnya, jemaah haji sepatutnya tidak perlu membayar keseluruhan kos pakej sebaliknya hanya perlu membayar sedikit wang pendahuluan.

    “Bayaran penuh boleh dibuat sekiranya mereka mendapat visa haji jemputan. Pengurusan syarikat bagi mengurus permasalahan jemaah tidak diurus dengan baik juga menjadi faktor penyumbang kepada insiden tersebut.

    “Bagi tahun ini, visa haji jemputan ini tidak menggunakan visa furada (visa sahaja) seperti tahun-tahun sebelumnya sebaliknya digantikan dengan visa mujamalah (visa termasuk pakej pengurusan dan penginapan) yang lebih efektif dan mudah,” jelasnya.