Category: Semasa

  • Warga emas maut ditembak selepas bermain mahjung

    Warga emas maut ditembak selepas bermain mahjung

    SEORANG warga emas maut ditembak di tempat letak kereta dalam satu kejadian di Amarin Kiara, Jalan Desa Kiara 1, Kuala Lumpur, tengah malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya menerima makluman mengenai kejadian daripada orang awam pada pukul 12.09 tengah malam.

    Jelasnya, mangsa merupakan lelaki warga tempatan berusia 63 tahun dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

    “Siasatan mendapati sebelum kejadian, mangsa telah mengunjungi rumah rakannya di Amarin Kiara untuk bermain mahjung. Selesai bermain mahjung, mangsa telah keluar dari rumah rakannya dan pergi ke keretanya yang diparkir di luar kawasan Amarin Kiara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, saksi di tempat kejadian telah melihat mangsa melintas di hadapannya untuk ke tempat letak kereta.

    Bagaimanapun, saksi telah terdengar bunyi tiga das tembakan dari arah tempat letak kereta mangsa.

    “Saksi mendapati mangsa sudah terbaring di sebelah kereta dalam keadaan berlumuran darah”.

    Amihizam berkata, motif kejadian masih dalam siasatan dan polis kini giat mengesan suspek yang terlibat.

    “Kes disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh orang,” ujarnya.

    Sehubungan itu, orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian di atas boleh menghubungi talian Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.

  • Pesara, guru rugi ratusan ribu ringgit diperdaya ‘Datin’

    Pesara, guru rugi ratusan ribu ringgit diperdaya ‘Datin’

    SEORANG warga emas serta seorang guru sekolah persendirian di Georgetown berputih mata apabila masing-masing kerugian RM574,000 dan RM726,500 selepas terpedaya skim pelaburan tidak wujud didalangi seorang wanita yang mengaku dirinya datin.

    Pesara jururawat yang hanya mahu dikenali sebagai Wong, 76, diperkenalkan wanita dipanggil Datin Neoh itu oleh seorang rakan pada Mei 2019 yang mendakwa dirinya mempunyai projek pelaburan besar di luar negara.

    “Datin berkenaan menjanjikan keuntungan berlipat kali ganda dalam tempoh beberapa bulan.

    “Setiap hari Datin Neoh memujuknya menyertai skim pelaburan itu selain turut menunjukkan surat kuasa tugas menyatakan kononnya dia akan ke Australia bertemu ‘pengarah projek’ terbabit,” katanya.

    Dia berkata demikian ketika ditemui di Wisma MCA Pulau Pinang, Georgetown, hari ini, lapor Harian Metro.

    Pada pada Jun hingga Ogos 2019 dia beri wang tunai RM98,500 kepadanya secara berperingkat dan kemudian Datin itu menyediakan surat perjanjian dan membawa saya ke pejabat pesuruhjaya sumpah pada 19 Ogos 2019.

    “Selepas itu Datin itu pujuk saya mengeluarkan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM220,000 serta membawa barang kemas untuk dipajak di sebuah bank bernilai RM66,100 selain menjual saham berjumlah RM264,416.54.

    “Tidak cukup dengan itu saya diperdaya membuat pinjaman bank sebanyak RM13,500 dan semua wang tunai yang dikeluarkan hasil pinjaman itu diserahkan kepadanya,” katanya.

    Menurutnya, pada November 2019 Datin terbabit menghantar gambar tiket penerbangan dan mendakwa dia pergi ke New Zealand memeterai perjanjian kontrak dengan beberapa individu penting dan memberi jaminan memperoleh keuntungan pada penghujung tahun.

    Malah, warga emas itu pernah menghadiri mesyuarat secara bersemuka lebih 10 kali yang lazimnya berakhir dengan acara minum teh bersama Datin Neoh bersama tujuh hingga lapan orang lagi yang rupa-rupanya turut menjadi mangsa penipuan skim pelaburan tidak wujud itu.

    Ibu kepada dua anak itu berkata, selain terpengaruh dengan janji manis Datin Neoh yang menunjukkan pelbagai dokumen yang dilihat meyakinkan dia turut memerlukan wang untuk rawatan perubatan mendiang suaminya yang menderita kanser pankreas sebelum akhirnya meninggal dunia pada Ogos 2020.

    Sementara itu, Kang, 53, berkata dia turut tertipu dengan individu sama yang menggunakan nama Datin Hennah dan melakukan lebih 70 transaksi pemindahan wang dari Januari 2017 hingga Oktober 2019 dengan jumlah keseluruhan kerugian RM726,500.

    “Pada mulanya saya diperkenalkan rakan dengan seorang lelaki yang kononnya tahu selok belok pelaburan dan boleh mengajar saya mengenai bidang tersebut pada tahun 2016.

    “Tetapi kira-kira dua minggu kemudian lelaki itu membawa saya berjumpa Datin Hennah. Saya juga dapat tahu anaknya semua kerja bagus dan boleh dipercayai.

    “Datin itu beritahu dia ada projek dengan kerajaan China tetapi selepas bagi duit, mereka tidak dapat dihubungi dan semua duit kami lesap begitu sahaja,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA Pulau Pinang, Ooi Teik Liang, berkata pihaknya bersedia memberi khidmat bantuan perundangan kepada mangsa terbabit.

    “Saya juga ingin mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan keuntungan yang tidak masuk akal dalam masa singkat dan meminta pandangan daripada mereka yang lebih pakar sebelum mengambil keputusan yang merugikan diri sendiri,” katanya.

  • Warisan Kesultanan Sulu rampas dua anak syarikat milik Petronas di Luxembourg

    Warisan Kesultanan Sulu rampas dua anak syarikat milik Petronas di Luxembourg

    WARIS kesultanan Sulu yang dikatakan menuntut AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) daripada Malaysia – merampas dua anak syarikat gergasi minyak Malaysia Petronas yang diperbadankan di Luxembourg.

    Portal Malaysiakini memetik laporan Financial Times yang berpangkalan di London bahawa, peguam pihak yang menuntut merampas Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus, yang dilaporkan bernilai AS$2 bilion.

    Peguam berkata bailif di Luxembourg merampas syarikat induk bagi pihak pelanggan mereka pada Isnin.

    Keturunan sultan Sulu terakhir, Sultan Jamalul Kiram II, menuntut jumlah amat besar sebagai pampasan daripada Malaysia berikutan proses timbang tara.

    Proses timbang tara itu dimulakan sebagai tindak balas ke atas Malaysia yang memotong pembayaran pajakan tahunan sebanyak RM5,300 kepada kesultanan Sulu pada 2013.

    Malaysia tidak mengambil bahagian dalam proses timbang tara di Perancis, dengan alasan bahawa pertikaian antara Malaysia dengan pihak yang menuntut bukanlah kontrak komersial dan dengan itu tidak tertakluk kepada timbang tara.

    Peguam bagi pihak yang menuntut telah berhujah bahawa memandangkan Malaysia adalah penandatangan Konvensyen Mengenai Pengiktirafan dan Penguatkuasaan Anugerah Timbang Tara Asing (Konvensyen New York), maka anak guam mereka mempunyai hak untuk merampas aset Malaysia di 167 negara penandatangan sekiranya jumlah yang dituntut tidak dibayar.

  • Kes saman fitnah terhadap Awal Ashaari dibicara

    Kes saman fitnah terhadap Awal Ashaari dibicara

    SAMAN fitnah dikemukakan syarikat perkhidmatan pengubahsuaian dan dekorasi rumah, Naz Empire Sdn Bhd (Naz Empire) terhadap personaliti televisyen, Awal Ashaari, akan diteruskan dengan perbicaraan di Mahkamah Tinggi selepas kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan bagi penyelesaian.

    Menurut laporan Berita Harian, Peguam Sareekha Roslyna Mohd Rosly yang mewakili Naz Empire selaku plaintif berkata pada prosiding tahun lalu, kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan dengan terma penyelesaian selepas merujuk kes berkenaan kepada pengantara seperti dicadangkan mahkamah.

    Susulan itu, beliau berkata, tarikh perbicaraan mungkin akan ditetapkan pada pengurusan kes seterusnya di hadapan Hakim Datuk Ahmad Bache melalui prosiding secara Zoom pada 4 Ogos ini.

    “Kedua belah pihak sudah memfailkan dokumen berkaitan perbicaraan termasuk pernyataan saksi. Plaintif akan mengemukakan dua saksi termasuk Pengarah Naz Empire, Azrianna Alyssa Azmil, manakala Awal Ashaari akan memberikan keterangan selaku saksi tunggal defendan,” katanya.

    Sareekha Roslyna berkata demikian ketika dihubungi selepas pengurusan kes itu yang dijalankan secara dalam talian (e-Review) hari ini.

    Perkara itu turut disahkan peguam Hamizah Sobree yang mewakili Awal atau nama sebenarnya, Ahmad Awaluddin Ashaari selaku defendan.

    Pada 13 November tahun lalu, Naz Empire memfailkan saman terhadap Awal dan dua lagi individu yang juga rakan kongsi perniagaan atas nama SomethingBorrowed By Nawal Enterprise iaitu Nawal Yasmin Mat Noh serta Muhammad Hilmi Zulkifli kerana didakwa memfitnah syarikat itu berhubung kerja pengubahsuaian di kediaman pelakon itu.

    Bagaimanapun, mahkamah membatalkan saman terhadap Nawal Yasmin dan Muhammad Hilmi selepas Naz Empire memfailkan notis untuk tidak meneruskan saman terhadap mereka kerana ia diselesaikan di luar mahkamah.

    Melalui writ saman dan pernyataan tuntutannya, Naz Empire berkata, Nawal Yasmin dan Muhammad Hilmi menjalankan perniagaan secara perkongsian atas nama SomethingBorrowed By Nawal Enterprise dan didakwa sering berkongsi siaran gambar atau video ubah suai atau dekorasi rumah dalam laman media sosial Instagram mereka @houseofsix.my.

    Syarikat itu mendakwa kerja pengubahsuaian dimulakan selepas Awal membayar deposit RM100,000 menerusi dua transaksi pada Ogos 2019 dan sekitar 3 September 2019, yang mana defendan menyatakan beliau mahukan ‘sky roof’ dan tambahan tingkap di dapur rumah baharunya.

    Menurut syarikat itu, ia menyebabkannya memberi sebut harga baharu kepada defendan pertama untuk kos pengubahsuaian sebanyak RM7,500.

    Plaintif seterusnya berkata, Awal secara tiba-tiba menimbulkan pelbagai isu dan menyatakan rasa tidak puas hati terhadap hasil atau kualiti kerjanya dan memberhentikan syarikat terbabit serta meminta memulangkan semula wang deposit RM100,000.

    Katanya, Awal memulakan siri fitnah secara berterusan terhadapnya dalam laman sosial Instagram dan Facebook serta memuat naik satu siaran fitnah melalui siaran YouTube di pautan dengan nama pentas ‘SchaAwal’.

    Sementara itu, pada 22 Januari tahun lalu, Awal pula memfailkan tuntutan balas menuntut ganti rugi RM750,000 daripada Naz Empire berhubung kegagalan melaksanakan kerja pengubahsuaian di kediamannya.

  • Wanita didakwa hina Islam ketika berkomedi akan didakwa esok

    Wanita didakwa hina Islam ketika berkomedi akan didakwa esok

    WANITA yang didakwa menghina Islam dengan menanggalkan tudung dan pakaian ketika membuat persembahan komedi berdiri akan didakwa di mahkamah.

    Setiausaha Polis Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, wanita itu akan didakwa mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan ketidakharmonian, perpecahan atau permusuhan, kebencian atau niat jahat atas alasan agama.

    FMT melaporkan, seorang lagi individu yang dipercayai teman lelakinya akan didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menggunakan perkhidmatan rangkaian secara tidak wajar.

    Beliau berkata, pihaknya telah menyerahkan kertas siasatan kedua-dua individu terbabit kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) dan telah menerima arahan untuk mendakwa mereka.

    Difahamkan, kedua-dua mereka akan didakwa esok, namun polis masih belum mengesahkan tarikh dan masa.

    Terdahulu media melaporkan, wanita itu telah ditahan pada 10 Julai lalu dan direman selama tiga hari.

    Pada masa sama, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menggantung sementara operasi kelab terbabit susulan satu klip video tular tersebut.

    Dalam video berdurasi 54 saat yang tular, wanita berusia pertengahan 20-an itu yang pada mulanya bertudung dan memakai baju kurung mendakwa dirinya telah menghafaz 15 juzuk al-Quran lalu menanggalkan pakaian yang menutup aurat dan hanya meninggalkan pakaian mencolok mata.

    Awal hari ini, pihak pengurusan Crackhouse Comedy Club menggesa agar DBKL menarik semula penggantungan lesen premis tersebut susulan ia disita tanpa sebarang notis bertulis awal kepada pihak pengurusan.

  • Polis Perak diberi amaran tidak melindungi kegiatan haram di sempadan negara

    Polis Perak diberi amaran tidak melindungi kegiatan haram di sempadan negara

    SEMUA anggota polis kontinjen Perak diberi amaran supaya tidak terlibat dengan kegiatan melindungi aktiviti haram khususnya penyeludupan pendatang tanpa izin dari sempadan negeri ini.

    Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalatrash Wahid berkata tindakan tegas akan diambil kepada anggota dan pegawainya yang didapati mendalangi pencerobohan sempadan negara di Pengkalan Hulu dan Betong di Wilayah Yala selatan Thailand serta kawasan perairan.

    “Sekiranya ada kalangan mereka terlibat, kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas mereka menggunakan undang-undang SOSMA (Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012) namun setakat ini tiada laporan diterima membabitkan kontinjen negeri ini.

    “Berikutan pengumuman negara Thailand untuk membenarkan penggunaan ganja bagi tujuan tertentu khususnya perubatan, susah tentu ia akan memberi kesan kepada keselamatan di sempadan negara kita.

    “Jadi polis Perak sedang meningkatkan pemeriksaan di sempadan negara dalam menghadapi ancaman terhadap aktiviti penyeludupan dan kemasukan barang terlarang ke negara ini,” katanya ketika ditemui pemberita sempena lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar, Kuala Kangsar, hari ini.

    Katanya semua ketua polis daerah di kontinjen Perak diminta mempertingkatkan perancangan dan strategi pencegahan jenayah dengan menggerakkan kekuatan keanggotaan yang ada secara sistematik dan berkesan.

  • 2 suspek kes khianat di CIQ dikenal pasti warga Singapura

    2 suspek kes khianat di CIQ dikenal pasti warga Singapura

    Oleh ABU UBAIDILAH RAHMAN

    DUA suspek yang terlibat dalam kejadian khianat di jalan berhampiran Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Kompleks Sultan Abu Bakar, Iskandar Puteri pada Sabtu lalu sudah dikenal pasti.

    Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, kedua-dua suspek itu merupakan warga Singapura dan kini berada di republik berkenaan.

    “Ya, suspek telah dikenal pasti identitinya dan dipercayai mereka sudah berada di Singapura.

    “Kami akan bekerjasama dengan polis republik itu bagi mengesan mereka. Polis juga telah menerima laporan daripada mangsa yang merupakan warga Singapura,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Menerusi kenyataan kelmarin, Rahmat berkata, kejadian khianat itu dipercayai berlaku apabila kenderaan mangsa telah bergesel dengan kereta dipandu dua suspek terbabit.

    Dalam kejadian pada Sabtu itu, mangsa yang menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard mengubah laluan ke kanan dan telah bergesel dengan sebuah kereta jenis KIA yang dinaiki dua suspek dari arah kanan.

    “Suspek telah berhentikan kenderaan sebelum seorang lelaki dan seorang perempuan kemudiannya turun dari kenderaan terbabit.

    “Suspek lelaki kemudian bertindak menjerit dan mengeluarkan perkataan serta menunjukkan isyarat lucah kepada mangsa.

    “Sementara itu suspek perempuan bertindak mencabut nombor pendaftaran kereta mangsa dan mencampak nombor pendaftaran itu ke arah cermin hadapan kereta mangsa,” katanya.

    Sebelum itu tular dalam media sosial memaparkan sebuah video yang berdurasi 2.06 minit berhubung kejadian terbabit.

    Video itu memaparkan tindakan seorang wanita berdiri di hadapan sebuah kenderaan jenis Alphard dan menahannya daripada bergerak di Linkedua.

  • Budak dikhuatiri lemas di Sungai Kinabatangan

    Budak dikhuatiri lemas di Sungai Kinabatangan

    SEORANG kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas selepas dilaporkan hilang di Sungai Kinabatangan, dekat Kampung Batu Puteh, di Kinabatangan pukul 10 pagi tadi.

    Mangsa berusia lapan tahun berkenaan mandi di sungai tersebut sebelum dilaporkan hilang, lapor Astro Awani.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamaluddin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 10.05 pagi.

    “Sejurus itu seramai lima anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan dihantar ke lokasi berkenaan bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

    “Ketika ini, SAR sedang giat dijalankan. Namun mangsa belum ditemui. Sebarang perkembangan dari semasa ke semasa akan dimaklumkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

  • Ibu, bayi lemas kereta terbalik dalam parit

    Ibu, bayi lemas kereta terbalik dalam parit

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEBUAH kereta membawa lima beranak hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik dalam parit di Kilometer 141.6 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, Yong Peng, Batu Pahat, hari ini.

    Kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu mengorbankan Dalila Ilyia Abu, 36, dan bayi lelakinya, Khalis Mohd. Khusairi yang berusia setahun.

    Sementara suaminya, Mohd. Khusairi Mohd. Khaida, 39, dan dua lagi anaknya, Nur Ulmiyah Nuha, 9, dan Nur Nadiah Husha, 6, terselamat.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yong Peng, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Hafiz Othman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada pukul 6.19 pagi.

    “Seramai enam anggota dengan sebuah jenera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

    Anggota bomba memberi bantuan kepada seorang mangsa selepas kereta dinaiki terbabas sebelum masuk dan terbalik dalam parit di Kilometer 141.6 Lebuhraya Utara Selatan, Yong Peng, Batu Pahat, hari ini

    “Kemalangan melibatkan sebuah kereta Perodua Myvi dinaiki sebuah keluarga telah terbabas dan terbalik dalam parit yang dipenuhi air di tepi lebuh raya.

    “Tiga mangsa berjaya keluar dengan sendiri manakala ibu dan bayinya tidak sedarkan diri dalam kereta dan dipercayai lemas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Pihaknya bertindak mengeluarkan kedua-dua mangsa dan memberi bantuan pernafasan kecemasan (CPR) terhadap mereka namun tiada tindak balas.

    Katanya, kedua-dua mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Ayer Hitam dan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

    Tambah beliau, operasi tamat pada pukul 8.53 pagi.

  • Isu kerosakan Stadium Shah Alam sejak zaman BN, kata MB Selangor

    Isu kerosakan Stadium Shah Alam sejak zaman BN, kata MB Selangor

    KERAJAAN Selangor menafikan tidak membuat kerja-kerja penyelenggaraan Stadium Shah Alam secara berterusan.

    Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, masalah kerosakan dialami sudah berlarutan sejak zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN).

    “Kerosakan dialami Stadium Shah Alam memerlukan perbelanjaan tinggi dan ia bukanlah perkara baharu sebaliknya perlu ditangani secara menyeluruh termasuk cadangan merobohkan stadium berkenaan.

    “Beliau (Tan Sri Noh Omar) tidak faham apa-apa dan sebab itu beliau keluarkan kenyataan begitu,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Pengurusan Tertinggi Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan Korban Perdana PKPS di Selangor Fruit Valley (SFV) di Bestari Jaya di Kuala Selangor, hari ini.

    Amirudin berkata, kerajaan negeri telah melaksanakan kajian sejak dari awal lagi berhubung status Shah Alam sama ada perlu diselenggara atau dirobohkan bagi penjimatan kos.

    Jelas beliau, kerajaan negeri memperuntukan sebanyak RM5 juta setiap tahun bagi kos penyelenggaraan stadium terbabit.

    Malah katanya, kerajaan negeri terpaksa membelanjakan lebih RM30 juta bagi kerja baik pulih sistem perpaipan yang mengalami kerosakan teruk.

    “(Peruntukan) tak pernah kurang, tetapi ada beberapa nilai atau bangunan berusia lebih 30 tahun kita kena semak semula.

    “Sebab itu kita mesti lakukan semakan yang tepat, baru kita boleh tahu kedudukan bangunan dan masalah bangunan tersebut,” ujar beliau.

    Media semalam melaporkan, UMNO Selangor mempersoalkan tindakan kerajaan negeri yang bercadang merobohkan Stadium Shah Alam kononnya sebagai langkah penjimatan sedangkan ia hanya memerlukan penyelenggaraan secara berterusan.

    Noh yang juga Pengerusi UMNO Selangor berkata, stadium itu tidak seharusnya diroboh jika kerajaan negeri mengambil pendekatan menyelenggara dan membaik pulih kerosakan secara konsisten sama seperti di stadium lain di luar negara dan di negeri lain.