Category: Semasa

  • Kastam gagalkan cubaan seludup ketamin RM.13.48 juta di dalam kacang

    Kastam gagalkan cubaan seludup ketamin RM.13.48 juta di dalam kacang

    JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menggagalkan cubaan menyeludup 245 kilogram ketamin dianggar bernilai RM13.48 juta yang disorokkan bersama pelbagai jenis kacang dalam pemeriksaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, 4 Julai lepas.

    Ketua Pengarah Kastam Datuk Zazuli Johan berkata sepasukan anggota Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM telah menyita 42 kotak mengandungi 49 bungkusan plastik berisi bahan kristal disyaki ketamin dalam pemeriksaan kira-kira 11 malam di Kompleks Kargo Udara KLIA itu.

    “Modus operandi sindiket ini ialah mengikrarkan barang mengandungi dadah itu sebagai Haricot Verts (kacang hijau) sedangkan di dalamnya terdapat bungkusan pelbagai jenis kacang bercampur serbuk kristal disyaki dadah berbahaya.

    “Siasatan awal mendapati dagangan itu dieksport dari sebuah negara di Eropah kemudian transit di negara Timur Tengah sebelum mendarat di KLIA sebagai destinasi terakhir,” katanya kepada pemberita di Nilai hari ini.

    Beliau berkata hasil risikan mendapati pengimport memalsukan pengikraran semasa proses pengimportan sekali gus menyukarkan tangkapan dibuat ke atas pengimport dagangan tersebut.

    Menurutnya rampasan tersebut merupakan terbesar direkodkan setakat tahun ini dan dadah itu disyaki untuk pasaran tempatan.

    Beliau berkata sehingga kini tiada tangkapan dilakukan dan kes sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

    Sementara itu, Zazuli berkata sejak Januari hingga kini, JKDM telah menumpaskan cubaan menyeludup pelbagai dadah seberat 1.03 tan metrik bernilai RM20.48 juta.

    — BERNAMA

  • Pasangan kekasih didakwa membunuh

    Pasangan kekasih didakwa membunuh

    SEPASANG kekasih didakwa di Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pemuda di Kampung Gondang, Ketereh pada Mei lalu.

    Maizatul Shima Abdullah, 21, dan Muhammad Zaim Syakir Shaari, 20, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Fitri Mokhtar dan tiada pengakuan direkodkan.

    Memetik laporan Harian Metro, mengikut pertuduhan, kedua-kedua tertuduh secara bersama dengan niat melakukan kesalahan bunuh hingga menyebabkan kematian Muhamad Fahmi Adli Mat, 24, dengan menetak tubuh badan mangsa menggunakan parang.

    Kesalahan itu dilakukan di kawasan perkuburan lama Islam Kampung Gondang, Ketereh antara pukul 10 malam pada 14 Mei hingga pikul 1 pagi 15 Mei lalu.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama mengikut Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Yusnaliza Mohammad Yusoff dan tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan dan menetapkan 26 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan laporan forensik.

  • Juruteknik didakwa  pandu secara melulu, sebabkan kematian pasangan OKU

    Juruteknik didakwa pandu secara melulu, sebabkan kematian pasangan OKU

    SEORANG juruteknik kilang hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Jasin hari ini atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian pasangan suami-isteri Orang Kurang Upaya (OKU), bulan lepas.

    Amirul Anwar Mohamed Jelani, 24, didakwa memandu sebuah kereta secara melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kematian Ezuddin Mohammad, 50, dan Surayah Muhamat, 46, yang menunggang dan membonceng motosikal ketika itu.

    Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Serkam Pantai-Merlimau di sini pada 7.45 pagi pada 6 Jun lepas dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 1999).

    Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM50,000.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar menawarkan jaminan RM30,000 dan memohon lesen memandu tertuduh digantung.

    Bagaimanapun peguam Mohd Fadzlullah Ramlee memohon jaminan minimum dikenakan terhadap anak guamnya.

    Mohd Fadzlullah berkata ia memandangkan anak guamnya menetap di Melaka dan telah memberi kerjasama sepanjang siasatan dijalankan selain menjaga ayahnya yang kurang sihat.

    Mahkamah menetapkan jaminan RM12,000 dengan dua orang penjamin serta syarat tambahan, lesen tertuduh digantung dan menetapkan 29 Ogos untuk sebut semula kes.

    — BERNAMA

  • Hormati hak prerogatif PM dalam isu lantikan TPM

    Hormati hak prerogatif PM dalam isu lantikan TPM

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KEPUTUSAN untuk melantik Timbalan Perdana Menteri atau tidak terletak sepenuhnya dalam tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memiliki hak prerogatif dalam hal itu.

    Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, semua pihak perlu menyedari dan menghormati situasi tersebut.

    “Jawatan Timbalan Perdana Menteri itu hak prerogatif Perdana Menteri. Walau ada perjanjian bersama atau apa sekali pun, itu hak Perdana Menteri dan biarkan saja hal itu padanya.

    “Begitu juga dengan pilihan raya kerana itu pun hak Perdana Menteri juga. Beliau ada laporan dan tahu semua yang berlaku di persekitaran termasuk di peringkat antarabangsa serta ASEAN. Jadi beliau boleh buat keputusan bersandarkan maklumat yang ada padanya,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Majlis Taklimat Khas Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (Prospek) Pedu di Kampung Padang Setol dekat Padang Terap, hari ini.

    Semalam Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mencadangkan Perdana Menteri supaya membubarkan Parlimen sekiranya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terus mendesak pelantikan Timbalan Perdana Menteri.

    Mengulas keputusan yang bakal dibuat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) mengenai permohonan UMNO untuk meminda Perlembagaan parti, Mahdzir berkata parti itu perlu menerima apa jua keputusan dibuat ROS nanti.

    “Setakat ini masih belum ada keputusan dan kita tunggulah dulu. Apabila diputuskan nanti, kita harus terima keputusan yang dibuat.

    “Ada dua saja iaitu lulus atau tidak. Kalau tidak lulus, pemilihan UMNO kena dilaksanakan dulu dan selepas itu baru pilihan raya. Jika lulus, mungkin boleh buat pilihan raya dulu kemudian baru buat pemilihan,” katanya.

  • Ismail Sabri Presiden UMNO jika pemilihan diadakan – Nazri

    Ismail Sabri Presiden UMNO jika pemilihan diadakan – Nazri

    PEMIMPIN veteran UMNO, Datuk Seri Nazri Aziz percaya Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan diangkat sebagai Presiden parti itu sekiranya pemilihan parti berlangsung pada penghujung tahun ini.

    Ahli Parlimen Padang Rengas itu berkata, perkara itu tidak mustahil berlaku memandangkan lipatan sejarah UMNO menyaksikan mana-mana individu yang dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri kemudiaannya akan disokong menjadi Timbalan Presiden pada pemilihan parti.

    Dan kini, katanya, Ismail bukannya pada jawatan Timbalan Perdana Menteri, sebaliknya seorang Perdana Menteri.

    “Secara logiknya, jika kita ada pemilihan parti tahun ini. Dia sepatutnya menjadi presiden parti. Maksud saya presiden parti tidak semestinya menjadi perdana menteri dalam keadaan sekarang kerana kita perlu mendapat sokongan daripada gabungan kita.

    “Contohnya seperti Zahid hari ini. Dia presiden. Kenapa dia bukan perdana menteri? Atas sebab yang jelas, dia ada kes di mahkamah,” katanya dalam satu forum bersama Institut Yusof Ishak di Singapura, pada Khamis, lapor MalaysiaNow.

    Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan media sama ada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi boleh dikalahkan sekiranya pemilihan parti itu diadakan dalam masa terdekat.

    Sebelum ini, beberapa ahli UMNO mendesak parti itu mempercepatkan proses pemilihan parti bukannya menuntut Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan segera.

    Langkah mempercepatkan PRU15 dilihat penganalisis sebagai langkah untuk menyelamatkan beberapa pemimpin UMNO yang terpalit kes rasuah di mahkamah seperti Ahmad Zahid dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

    Menurut Nazri, sekiranya UMNO masih memilih Zahid sebagai Presiden sekiranya pemilihan diadakan, keadaan tidak akan berubah kerana beliau tidak boleh dilantik sebagai Perdana Menteri.

    Jun lalu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengumumkan parti itu menangguhkan pemilihannya di semua peringkat cawangan, bahagian dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) selama 18 bulan.

    Sebulan sebelum itu, UMNO meminda perlembagaan bagi membolehkan pemilihan parti diadakan enam bulan selepas PRU15.

    Mengulas lanjut, kata Nazri apa yang difahami melalui pindaan tersebut bermakna parti perlu memilih Presiden dan delegasi yang baharu, bukannya menambah tempoh 18 bulan kepada jawatan Presiden yang disandang oleh Ahmad Zahid.

    Ketika ditanya apakah akan berlaku sekiranya pemilihan UMNO masih berpihak kepada pemimpin-pemimpin kluster mahkamah, Nazri menegaskan ianya terpulang kepada undi rahsia yang diberikan oleh para perwakilan.

    Katanya, ahli-ahli UMNO jarang sekali untuk bersuara tetapi mereka akan menggunakan saluran undi yang rahsia sebagai tempat untuk menunjukkan suara hati masing-masing terhadap kepimpinan parti.

    “Mereka tidak suka bersuara. Apabila undi adalah rahsia, saya fikir mereka akan melakukan perkara yang betul.

    “Mereka tidak perlu berkata apa-apa. Mereka hanya mengundi. Itu sahaja,” tegasnya.

  • Bekas Komando 69 bebas tuduhan miliki kerambit dan parang, hukuman penjara diketepikan

    Bekas Komando 69 bebas tuduhan miliki kerambit dan parang, hukuman penjara diketepikan

    MAHKAMAH Rayuan Putrajaya  hari ini melepaskan dan membebaskan seorang bekas anggota Komando 69 serta mengetepikan hukuman penjara tujuh tahun dan satu sebatan kerana memiliki kerambit dan parang empat tahun lepas.

    Panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Kamaludin Md Said memerintahkan Muhamed Khairul Akmar Mohamed Shahid, 35, dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan memiliki senjata berkenaan selepas membenarkan rayuan lelaki itu.

    “Ini adalah keputusan sebulat suara. Mahkamah mendapati, ada keraguan dalam kes ini. Oleh itu, sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen diketepikan. Perayu dilepas dan dibebaskan,” kata Kamaludin yang bersidang bersama-sama Datuk M Gunalan dan Datuk Hashim Hamzah.

    Panel itu membuat keputusan berkenaan selepas mendengar hujahan Timbalan Pendakwa Raya Atiqah Abdul Karim dan peguam Mohamad Naim Kamaruddin yang mewakili perayu (Muhamed Khairul Akmar).

    Di luar mahkamah, Muhamed Khairul Akmar dilihat memeluk seorang ahli keluarganya sambil menangis selepas mahkamah membuat keputusan.

    Pada 13 Jun 2019, Muhamed Khairul Akmar dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ipoh selepas dia didapati bersalah atas pertuduhan itu dan sabitan serta hukuman dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi Ipoh pada 14 Dis 2020.

    Mahkamah Tinggi juga membenarkan  permohonannya untuk menggantung pelaksanaan hukuman sementara  rayuan di Mahkamah Rayuan dengan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.

    Mengikut pertuduhan, Muhamed Khairul Akmar didakwa memiliki senjata iaitu kerambit dan parang di dalam beg berwarna hitam dan beg “porche” celoreng miliknya di dalam masjid Kem PGA Ulu Kinta, Perak pada 3 petang, 4 Jun 2018.

    Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Merbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 10 tahun.

    — BERNAMA

  • Anggota, bekas ketua polis balai dituduh rasuah

    Anggota, bekas ketua polis balai dituduh rasuah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Dua anggota polis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini bagi berdepan beberapa pertuduhan rasuah yang didakwa dilakukan enam tahun lalu.

    Kedua-dua tertuduh, Koperal Faudzi Mat Desa, 58 serta Sarjan Mejar Ahmad Ibrahim bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan dihadapi mereka.

    Faudzi yang bertugas di Balai Polis Mahang terlebih dulu dihadapkan dengan empat pertuduhan kerana memperolehi rasuah dengan nilai keseluruhan RM900.

    Sarjan Mejar Ahmad Ibrahim

    Bagi pertuduhan pertama, ketiga dan keempat yang didakwa dilakukan pada 15 April 2016, 8 Jun 2016 dan 11 Mac 2016, tertuduh didakwa telah menerima sebanyak RM250 untuk setiap pertuduhan.

    Bagi pertuduhan kedua yang didakwa dilakukan pada 12 Mei 2016, tertuduh didakwa menerima rasuah sebanyak RM150.

    Wang rasuah untuk pertuduhan pertama, kedua ketiga didakwa diterima di Kedai Makan Serk Heang di Pekan Mahang manakala suapan untuk pertuduhan keempat didakwa diterima di sebuah warung makan tidak bernombor di persimpangan jalan menghala ke Ulu Mahang.

    Selain empat pertuduhan itu, Faudzi turut dituduh dengan niat bersama menerima rasuah dengan Ahmad Ibrahim yang merupakan bekas Ketua Balai Polis Mahang.

    Rasuah berjumlah RM550 itu didakwa diterima di sebuah restoran di Taman Mutiara, Sungai Kob dekat Kulim kira-kira pukul 8.43 malam, 1 Julai 2016.

    Selain itu Ahmad Ibrahim turut didakwa dengan satu lagi pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM300 pada 25 Julai 2016, kira-kira pukul 12.56 petang

    Kesemua suapan itu didakwa diterima mereka dari seorang individu yang kini berusia 53 tahun, sebagai dorongan untuk tidak mengeluarkan saman terhadap lori-lori milik seorang lelaki lain.

    Semua pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Rehab Abdul Shukur mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, CP Ang.

    Hakim, Juraidah Abbas menetapkan kadar jaminan sebanyak RM14,000 untuk semua kes dihadapi Faudzi manakala Ahmad pula dibenarkan diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin.

    Kes ditetapkan untuk disebut semula pada 1 September 2022.

  • Berbalah soal koridor, warga emas cedera ditetak jiran

    Berbalah soal koridor, warga emas cedera ditetak jiran

    POLIS menahan seorang lelaki yang dipercayai menetak jirannya dengan sebilah pisau di Kampung Baru Ampang, Kuala Lumpur selepas berbalah mengenai laluan koridor di hadapan rumah mereka, semalam.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata lelaki berusia 38 tahun itu ditahan pada pukul 5.45 petang, dan polis turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian.

    Beliau berkata lelaki berusia 64 tahun yang ditetak itu mengalami kecederaan di tangan kiri dan dihantar ke Hospital Ampang untuk rawatan.

    “Suspek dikatakan tidak berpuas hati semasa warga emas itu lalu di hadapannya ketika itu. Polis juga sedang menyiasat kemungkinan warga emas itu melakukan provokasi terhadap suspek ketika berada di situ,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Beliau berkata siasatan awal polis mendapati mereka telah berjiran selama lima tahun dan suspek mempunyai empat rekod jenayah berkaitan dadah.

    — BERNAMA

  • Kluster mahkamah UMNO mungkir janji berundur sehingga kes selesai

    Kluster mahkamah UMNO mungkir janji berundur sehingga kes selesai

    UMNO pernah membuat persepakatan bahawa mana-mana individu yang terpalit dengan kes-kes mahkamah perlu mengundurkan diri dan memberi tumpuan kepada perbicaraan masing-masing, kata Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz.

    Katanya, persetujuan itu dicapai semua pihak terlibat pada tahun 2019 selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018 yang turut menyaksikan siri pendakwaan beberapa pemimpin UMNO di mahkamah.

    Menurut Nazri, antara yang bersetuju termasuk bekas perdana menteri Najib Razak dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

    “Kini, mereka menguasai parti. Tidak terikat dengan persetujuan itu,” katanya dalam satu forum di Singapura hari ini.

    Pada Julai 2020, Datuk Seri Najib Razak disabitkan bersalah dalam jenayah pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram dalam melibatkan penyelewengan RM42 juta dana SRC International.

    Beliau dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

    Mahkamah Rayuan kemudiannya mengekalkan keputusan bersalah terhadap Najib.

    Manakala, pada 24 Januari lepas, mahkamah memerintahkan Ahmad Zahid membela diri atas 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya melibatkan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akal Budi.

    Ketika ditanya oleh penonton yang hadir sama ada UMNO mahu meneruskan perjanjian persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik mengenai sokongan pembangkang terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, beliau berkata pihak parti amat berbesar hati untuk menyambung usaha itu.

    Bagaimanapun katanya, musuh utama parti itu adalah UMNO sendiri apabila terdapat suara sumbang yang tidak mahu meneruskan persefahaman datang dari kalangan pemimpin parti itu.

    “Yang menentang MoU bukanlah dari pihak pembangkang. Tetapi dalam parti kami. Mereka yang dalam UMNO.

    “Saya bimbang tentang UMNO. Tidak bimbang tentang PAS atau Bersatu. UMNO adalah musuh terbesar kita pada masa ini,”

    Beliau turut mengulas desakan sesetengah pemimpin UMNO untuk menamatkan MoU dan mengadakan PRU15 segera.

    “Tetapi datang dari parti saya sendiri, kenapa? Kepentingan peribadi. Nak elak kes mahkamah.

    “Apa yang akan berlaku kepada mereka jika mahkamah mendapati mereka bersalah? Ini memalukan dan tidak masuk akal,” katanya.

    Mengulas lanjut, Nazri berkata UMNO bukan berada dalam zon yang boleh ghairah meminta apa sahaja yang mereka kehendaki.

    Ini kerana mereka hanya ada 42 orang ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

    “Kami tidak dominan (tetapi mempunyai) keinginan untuk apa yang kami mahu, nak tidur dengan parti ini, parti itu. “Ianya bukan pilihan. Kami tidak mempunyai pilihan pun,” katanya

  • Jemaah haji Malaysia pulang mulai 17 Julai

    Jemaah haji Malaysia pulang mulai 17 Julai

    JEMAAH  haji Malaysia akan pulang ke tanah air bermula 17 Julai ini dan berlepas dari Jeddah.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad berkata penerbangan terakhir pula dijangka pada 12 Ogos iaitu selepas kumpulan jemaah terbabit selesai menziarahi Madinah.

    “Seramai 14,305 jemaah negara telah mengerjakan haji dan mereka terdiri daripada 85 peratus di bawah pakej muassasah dan 15 peratus di bawah pakej Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang berlesen di bawah Lembaga Tabung Haji (TH).

    “Tahniah saya ucapkan kepada pengurusan TH yang telah melaksanakan peranan mengendalikan jemaah haji Malaysia dengan cemerlang,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

    Idris berkata tamat musim haji tahun ini, TH akan terus membuat persiapan untuk musim haji tahun 2023 dan beliau yakin agensi itu akan mempertingkatkan perkhidmatan serta menambah baik gerak kerja demi kebaikan jemaah.

    Katanya, beberapa perkara telah dibincangkan bersama kerajaan Arab Saudi terutama membabitkan kos mengerjakan ibadah itu yang naik secara mendadak baru-baru ini.

    “Pada minggu lepas saya dapat berjumpa dengan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah dan di dalam pertemuan itu juga saya berkongsi kerisauan jemaah dan juga TH tentang kenaikan kos menunaikan haji.

    “Kos haji pada tahun ini yang pada mulanya dianggarkan sebanyak RM25,540 sebenarnya telah naik kepada RM28,000 bagi seorang jemaah. Ini disebabkan beberapa caj baru dan peningkatan kos sedia ada oleh syarikat pengurusan muassasah serta agensi-agensi lain di Arab Saudi,” katanya.

    Keadaan inflasi yang berlaku di seluruh dunia turut menjadi kerisauan beliau terutama dalam urusan ibadah haji dan pihak TH perlu menerima realiti bahawa kenaikan kos berlaku setiap tahun.

    Bagaimanapun, Idris berkata dalam masa sama TH perlu mencari jalan supaya bayaran ibadah itu tidak membebankan bakal haji Malaysia.

    “Apa yang pasti ialah kita akan meneruskan bantuan kewangan haji kepada bakal jemaah yang memerlukan, tetapi kepada bakal haji yang memang mampu saya syorkan untuk membayar penuh kos haji atau kalau mahu boleh pilih pakej swasta,” katanya.

    — BERNAMA