Oleh RIZQI ZABIDI
KEPUTUSAN untuk melantik Timbalan Perdana Menteri atau tidak terletak sepenuhnya dalam tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memiliki hak prerogatif dalam hal itu.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, semua pihak perlu menyedari dan menghormati situasi tersebut.
“Jawatan Timbalan Perdana Menteri itu hak prerogatif Perdana Menteri. Walau ada perjanjian bersama atau apa sekali pun, itu hak Perdana Menteri dan biarkan saja hal itu padanya.
“Begitu juga dengan pilihan raya kerana itu pun hak Perdana Menteri juga. Beliau ada laporan dan tahu semua yang berlaku di persekitaran termasuk di peringkat antarabangsa serta ASEAN. Jadi beliau boleh buat keputusan bersandarkan maklumat yang ada padanya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Majlis Taklimat Khas Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (Prospek) Pedu di Kampung Padang Setol dekat Padang Terap, hari ini.
Semalam Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mencadangkan Perdana Menteri supaya membubarkan Parlimen sekiranya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terus mendesak pelantikan Timbalan Perdana Menteri.
Mengulas keputusan yang bakal dibuat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) mengenai permohonan UMNO untuk meminda Perlembagaan parti, Mahdzir berkata parti itu perlu menerima apa jua keputusan dibuat ROS nanti.
“Setakat ini masih belum ada keputusan dan kita tunggulah dulu. Apabila diputuskan nanti, kita harus terima keputusan yang dibuat.
“Ada dua saja iaitu lulus atau tidak. Kalau tidak lulus, pemilihan UMNO kena dilaksanakan dulu dan selepas itu baru pilihan raya. Jika lulus, mungkin boleh buat pilihan raya dulu kemudian baru buat pemilihan,” katanya.