Category: Semasa

  • Semak, perketat undang-undang sedia ada bendung kes hina Islam, Rasulullah SAW

    Semak, perketat undang-undang sedia ada bendung kes hina Islam, Rasulullah SAW

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    MUFTI Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor menggesa undang-undang sedia ada disemak semula dan diperketatkan dalam membendung individu atau pihak yang tidak bertanggungjawab mengulangi perbuatan menghina agama Islam dan Nabi Muhammad SAW.

    Menurut beliau, pihak berkuasa perlu sentiasa bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang dengan sengaja menghina peribadi Nabi Muhammad SAW dengan pelakunya dikenakan hukuman lebih keras demi memelihara kestabilan negara dan kesejahteraan hidup bermasyarakat.

    Menurut Wan Salim, mereka yang sering mengamati dan meneliti sikap dan pendirian umat Islam di seluruh dunia dengan mudah dapat menyimpulkan bahawa tiada mana-mana manusia yang amat disayangi oleh para pengikutnya lebih daripada Nabi Muhammad SAW.

    “Bagi umat Islam, Nabi Muhammad SAW bukan sahaja disanjungi dan dihormati sebagai seorang pemimpin paling agung yang pernah lahir di dunia sepanjang zaman.

    “Malah, Baginda adalah satu figura suci yang wajib diikut dan dijadikan teladan paling utama dan ideal di dalam segenap lapangan kehidupan individu dan masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tambah beliau, kedudukan peribadi Baginda Rasulullah SAW begitu unggul pada pandangan umatnya sehinggakan bukan sesuatu yang aneh jika setiap individu Muslim bersedia mengorbankan apa sahaja yang ada termasuk nyawa sendiri untuk membela dan mempertahankan nama baik Rasulullah sekiranya Baginda dihina atau dicerca oleh mana-mana individu atau kumpulan.

    Katanya, hakikat itu perlu difahami oleh semua pihak supaya tidak menimbulkan atau melakukan sebarang perbuatan atau mengeluarkan kata-kata yang boleh dianggap sebagai menghina, mencerca atau merendah-rendahkan kedudukan pemimpin agung umat Islam itu supaya tidak menimbulkan kemarahan mereka.

    Bagaimanapun, beliau mengingatkan orang ramai tidak wajar bertindak sendirian dalam menghukum mereka yang menghina Baginda Rasulullah SAW sebaliknya perlu menyerahkan perkara terbabit kepada pihak berkuasa untuk mengatasinya menurut saluran undang-undang sedia ada.

    Sebelum ini, tular satu video menghina Islam di laman sosial yang menunjukkan seorang lelaki didakwa menghina Allah dan Nabi Muhammad SAW dengan kata-kata makian.

    Dalam video berdurasi 36 saat itu, lelaki berkenaan juga didakwa mencabar orang Melayu dan Islam supaya bertemu dengannya.

    Susulan video berkenaan, seorang suspek berusia 39 tahun ditahan pukul 12.30 tengah hari semalam di sebuah rumah di Taman Bukit Kuchai, Puchong, Selangor.

  • Bahaya normalisasi pelakuan hina agama-Idris

    Bahaya normalisasi pelakuan hina agama-Idris

    MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad mengingatkan masyarakat bahawa perlakuan menghina agama tidak boleh dinormalisasi atau dianggap sebagai kebiasaan sehingga mengganggu gugat keharmonian kaum dalam negara.

    Pihaknya tidak akan berkompromi dengan apa-apa kejadian yang menghina kesucian Islam, al-Quran, Rasulullah SAW dan seumpamanya.

    “Jika ia berlaku di Wilayah Persekutuan, saya minta Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) mengambil langkah tegas membuka kertas siasatan untuk tujuan dibawa ke mahkamah syariah.

    “Inilah tanggungjawab kepada kita semua iaitu amanah menjaga agama Islam. Jangan memperlekeh atau membuat lawak hal-hal berkait agama, ini perkara yang perlu diambil kira semua pihak,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Pencegahan Jenayah Syariah Peringkat Kebangsaan 2022 di Masjid Wilayah di Kuala Lumpur, hari ini, lapor Berita Harian.

    Idris ketika menyentuh isu pentas komedi yang menghina Islam baru-baru berkata, insiden tersebut memperlihatkan umat Islam khususnya berdiri teguh di belakang agensi kerajaan.

    “Kita dapat dapat melihat kehendak masyarakat yang mahu tindakan tegas diambil kepada pihak berkaitan,” katanya.

    Pada 13 Julai lalu, seorang wanita yang videonya tular kerana menghina Islam di pentas komedi didakwa di mahkamah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, manakala teman lelakinya dituduh di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya kerana memuat naik kandungan menghina di media sosial.

    Semalam pula, seorang lelaki berusia 39 tahun dan bekerja sebagai penghantar makanan ditahan pukul 12.30 tengah hari di sebuah rumah di Bukit Kuchai, Puchong, Kuala Lumpur.

    Penahanan itu bersabit video berdurasi 36 saat yang tular dalam media sosial, memaparkan tindakannya menghina umat dan agama Islam serta Nabi Muhammad SAW.

    Sementara itu, Idris berkata, kaunseling akan diberikan kepada mereka yang melakukan tindakan menghina agama supaya mereka kembali sedar, tidak terpesong akidah.

    “Kadang kala mereka ini tidak tahu apa yang dilakukan, jadi kita kena maklum.. beritahu apa yang diungkapkan mereka adalah bahaya,” katanya.

    Mengulas mengenai keruntuhan institusi keluarga akibat arak dan judi sehingga menyumbang jenayah dera, zina, rogol dan langgar lari, Idris menegaskan semua pihak perlu bekerjasama mengekang jenayah itu daripada berleluasa.

    “JAWI sendiri buat permulaan sejak dua bulan lalu sudah meletakkan van penguat kuasa di satu tempat ‘hotspot’ judi dan pemantauan awal mendapati tidak ramai orang Islam yang memasuki premis.

    “Kalau ada orang Islam, penguat kuasa akan dekati mereka dan tindakan lebih kepada advokasi dan nasihat berlandaskan syariah agama.

    “Kadang kita tidak tahu sebab apa dia beli (nombor ekor), bukan soal sikit atau banyak dia beli, tapi soal amalan itu yang menjadikan ketagihan yang membawa mudarat,” katanya.

  • Polis Johor pula siasat 5 suspek kes penipuan haji

    Polis Johor pula siasat 5 suspek kes penipuan haji

    LIMA suspek yang ditahan susulan kes penipuan pakej haji yang mempunyai kaitan dengan hampir 400 bakal jemaah terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 7 Julai lalu, diserahkan pula kepada Polis Johor untuk siasatan lanjut.

    Tiga lelaki dan dua wanita berusia antara 30 hingga 60 tahun itu kini direman tiga hari.

    Polis Johor turut mengesahkan sekurang-kurangnya empat laporan diterima berhubung kes terbabit, lapor Berita Harian.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat menjelaskan, empat laporan itu membabitkan bakal jemaah haji yang terpedaya dengan tawaran visa furada yang ditawarkan sebuah agensi pelancongan.

    “Kita akan siasat dahulu kes ini dengan terperinci sebelum berkongsi maklumat lanjut nanti,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Terdahulu, Majistret Mohd. Zulhilmi Ibrahim membenarkan permohonan dikemukakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menahan reman lima suspek terbabit selama tiga hari bermula hari ini.

    Pada 9 Julai lalu, polis dilapor menahan lima individu termasuk pemilik sebuah agensi pelancongan dalam serbuan di ibu negara, yang dipercayai terbabit kes 380 individu ditawarkan pakej haji dan terkandas di KLIA.

    Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, lima individu ditahan itu membabitkan pemilik agensi pelancongan berkenaan serta isterinya, seorang ejen serta dua pekerja di agensi terletak di Danau Kota di Wangsa Maju.

    Selain Kuala Lumpur, kelima-lima suspek turut disiasat Polis Selangor untuk kes sama, dengan PDRM melalui kenyataan media mengesahkan 57 laporan polis diterima di seluruh negara berkaitan insiden itu yang membabitkan penipuan pakej haji oleh dua agensi pelancongan dengan kerugian keseluruhan mencecah RM2.37 juta.

    Selain Kuala Lumpur, Selangor dan Johor, laporan polis turut diterima di Pahang, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan dan Terengganu.

  • Dua usul pembangkang ditolak Speaker Dun Kedah

    Dua usul pembangkang ditolak Speaker Dun Kedah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Dua usul dibawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang untuk membincangkan tragedi kepala air dan banjir di Kupang, Baling serta Gunung Jerai, ditolak Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Datuk Juhari Bulat hari ini.

    Dua usul tersebut dibawa oleh Datuk Dr. Ismail Salleh (PH-Pengkalan Kundor) mengikut Perkara 27(1), (2), (3) dan (4) dan Tan Kok Yew (PH-Derga) di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1).

    Menurut Juhari, penolakan terhadap usul dibawa Ismail berkaitan perkara itu ditolak kerana tidak mematuhi peraturan ditetapkan iaitu notis usul perlu perlu diserahkan dalam tempoh 14 hari bekerja sebelum persidangan berlangsung.

    “Sepatutnya untuk usul persendirian perlu diusulkan dalam tempoh 14 hari sebelum tempoh persidangan dan jika diusulkan melalui Menteri Besar, tempohnya adalah tujuh hari. Kalau perlu disegerakan lagi dan dibawa Menteri Besar sendiri, itu boleh dalam tempoh satu hari.

    “Ringkasnya usul ini ditolak kerana tidak mengikut peraturan masa 14 hari itu,” katanya.

    Notis usul dikemukakan Ismail itu bertarikh semalam.

    Sementara itu katanya, usul dibangkitkan Kok Yew pula ditolak kerana masa yang tidak sesuai kerana pembentangan usul secara tergesa-gesa sama sekali tidak adil kepada kerajaan dan speaker.

    “Perkara ini akan kita bawa ke sidang hadapan, siap dengan laporan serta cadangan bagi mengatasi kejadian sama daripada berulang. Itu akan menjadikan keadaan lebih teratur.

    “Saya faham mesej nak disampaikan Pengkalan Kundor dan Derga. Kita akan pergi untuk selesaikan masalah itu tetapi disebabkan masa tidak sesuai, maka saya buat keputusan menolak usul tersebut,” katanya.

    Dalam pada itu Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dalam sidang akhbarnya memaklumkan, beliau langsung tidak dihubungi oleh mana-mana ADUN pembangkang yang untuk membincangkan mengenai usul berkenaan agar dapat dibincangkan dalam sidang DUN kali ini.

    “Anda dapat lihat tadi yang pihak kerajaan tidak ambil bahagian dalam perbincangan antara pembangkang dengan speaker berhubung isu berkenaan kerana asas kepada perkara tersebut adalah, semua usul yang nak dibawa ke DUN perlu merujuk kepada peraturan dewan.

    “Peraturan ini dibuat untuk pastikan pihak yang nak bahaskan usul khususnya kerajaan memiliki masa yang cukup untuk menyediakan jawapan. Jika isu dibangkitkan itu memerlukan laporan dari jabatan, maka kerajaan perlu dapatkan laporan teknikal daripada jabatan terbabit.

    Begitu pun katanya, beliau faham akan taktik pembangkang dalam membangkitkan usul berkenaan. 

    “Saya faham desakan pembangkang untuk bincangkan isu banjir dan kepala air di Gunung Inas itu supaya kerajaan tidak bersedia dengan laporan jabatan. Jika kita tak dapat beri jawapan memuaskan, maka isu ini akan dipolitikkan,” katanya.

  • Kes peniaga abai kanak-kanak, cedera wanita disebut semula 18 Ogos

    Kes peniaga abai kanak-kanak, cedera wanita disebut semula 18 Ogos

    MAHKAMAH Sesyen Seremban, hari ini menetapkan 18 Ogos untuk sebutan semula kes membabitkan peniaga yang menghadapi tuduhan pengabaian kanak-kanak dan mencederakan wanita.

    Harian Metro melaporkan, Hakim Rushan Lutfi Mohamed memberi tempoh itu untuk tertuduh, Khalid Redza Shuib, 41, melantik peguam.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu sengaja menyebabkan cedera parah terhadap Siti Syarifah Aibiddin, 35, dengan cara menyimbah air panas sehingga kulit melecur.

    Dia turut didakwa melakukan kesalahan pengabaian ke atas seorang kanak-kanak, Sufiy Hasrul Izwan berusia 20 bulan, dengan pendakwaan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

    Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di lokasi sama antara 1 Disember 2020 hingga 23 Mac 2022.

    Sementara itu, di Mahkamah Majistret di Seremban, Majistret Mohd Firdaus Salleh dan Majistret Norzaliza Tesmin turut menetapkan tarikh sama untuk sebutan semula bagi tuduhan bunuh kanak-kanak, mencederakan Siti Syarifah dan membunuh Meriamah Abdullah Basam, 29.

    Prosiding hari ini turut dihadiri peguam pemerhati Noor Azizi Abdull Aziz yang mewakili keluarga Siti Syarifah.

    Pada 13 April lalu, Khalid Redza dan anak perempuannya yang masih di bawah umur didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas tuduhan membunuh kanak-kanak perempuan, Hanan Hasrul Izwan, 5, susulan penemuan tengkorak dan cebisan tulang pada 7 April lalu.

    Khalid Redza turut menyebabkan kecederaan parah ke atas Siti Syarifah yang mana tertuduh didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

    Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di No 518-1, Jalan Temiang, Taman Nee Yan di Seremban antara 3 hingga 17 Mac lalu.

  • Siti Amira, Alex bayar ikat jamin RM40,000

    Siti Amira, Alex bayar ikat jamin RM40,000

    PELAWAK wanita dan kekasihnya yang didakwa menghina agama Islam bakal dibebaskan, selepas kumpulan hak asasi manusia Lawyers for Liberty (LFL) berjaya mengumpul RM40,000 untuk ikat jamin pasangan itu.

    Siti Nuramira Abdullah, 26, dan V. Alexander Navin, 38, masing-masing dikenakan ikat jamin RM20,000 berada di Penjara Satelit Beranang serta Kuala Kubu Bharu selepas gagal membayar jumlah jaminan, minggu lalu.

    Peguam mereka, R. Sivaraj berkata, pihaknya berjaya mengumpul sumbangan berjumlah RM40,000 setakat pagi tadi.

    “Saya bersama penjamin kepada Siti Nuramira datang ke Mahkamah Kuala Lumpur hari ini untuk membayar ikat jamin. Pada masa sama, rakan peguam saya pula bersama penjamin Alexander Navin ke Mahkamah Petaling Jaya bagi tujuan sama.

    “Bagaimanapun, kita tidak dapat pastikan bila anak guam akan dibebaskan kerana ia akan memakan sedikit masa bergantung kepada prosedur mahkamah.

    “Berdasarkan pengalaman jika melepasi waktu dan berkaitan isu pengangkutan, ia akan mengambil masa untuk dilepaskan,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini, lapor Harian Metro.

    Sivaraj berkata, kedua-dua anak guamnya dijangka dibebaskan selewat-lewatnya esok.

    Beliau turut berterima kasih kepada orang ramai yang menyumbang bagi membantu membayar ikat jamin pasangan itu dan sebarang sumbangan tambahan akan dipulangkan kepada penyumbang.

    Sebelum ini, Sivaraj mengumumkan bahawa LFL akan membantu Siti Nuramira dan Alexander Navin untuk mengumpul dana diperlukan bagi menjamin mereka melalui sumbangan orang ramai.

    Pada 13 Julai lalu, Siti Nuramira yang tular dalam media sosial kerana menanggalkan baju kurung dan tudungnya di kelab komedi mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebabkan suasana tidak harmoni menggunakan agama di kalangan sesama Islam di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengaku seorang Muslim dan menghafal 15 juzuk al-Quran kemudian bertindak membuka tudung serta menanggalkan baju kurung ketika membuat persembahan di atas pentas.

    Perbuatan itu dilakukan di Restoran Crack Comedy Club di Taman Tun Dr Ismail di Kuala Lumpur, kira-kira 6 petang pada 4 Jun lalu.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak melebihi lima tahun.

    Hakim Siti Aminah Ghazali membenarkan Siti Nuramira diikat jamin RM20,000 berserta syarat tambahan melapor diri di Balai Polis Brickfields sebulan sekali dan pasport diserahkan kepada mahkamah selain dilarang memuat naik di media sosial serta media cetak berhubung prosiding kes itu.

    Sementara itu di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Selangor, teman lelaki Siti Nuramira juga mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memuat naik hantaran yang jelik dengan niat menyakitkan hati dalam media sosial.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan itu dan menetapkan 1 September depan untuk sebutan semula kes.

  • Polis berkas ‘Geng Ed Sawit’ ketika tidur

    Polis berkas ‘Geng Ed Sawit’ ketika tidur

    POLIS memberkas tiga ‘Geng Ed Sawit’ di sebuah rumah di kawasan Merbok, di Sungai Petani, semalam.

    Kejayaan menahan tiga lelaki pada pukul 10 pagi itu merungkai misteri kehilangan buah sawit yang menghantui pemilik ladang sebelum ini.

    Anggota dari Bahagian Risikan/Operasi/Rekod Jenayah (D4) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah melakukan intipan selama dua minggu.

    Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, ketika serbuan dilakukan, kesemua suspek sedang tidur dan tidak menyedari kehadiran polis.

    “Hasil serbuan itu, polis turut merampas barang yang dipercayai digunakan suspek dalam kegiatan mencuri buah sawit seperti parang pemotong sawit, sebuah motosikal jenis Honda dan sejumlah resit jualan buah sawit,” katanya memetik laporan Astro Awani, hari ini.

    Katanya, pemeriksaan lanjut turut mendapati motosikal itu dilaporkan hilang pada tahun 2019 di Kuala Muda berikutan nombor enjin motosikal terbabit sudah dicanai dan diubah nombor pendaftarannya.

    Siasatan awal ke atas suspek turut mengaku melakukan aktiviti curi buah kelapa sawit ini sebanyak tiga kali di kawasan Merbok, Semeling dan Bedong, katanya.

    “Siasatan lanjut masih diteruskan untuk mengenal pasti pembabitan kumpulan ini dengan beberapa kes kehilangan curi sawit yang lain,” ujarnya.

    Jelas Wan Hassan, hasil semakan mendapati ketiga-tiga suspek berusia 27 hingga 34 tahun itu mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan curi lembu, curi kenderaan dan dadah.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan (KK) dan 379A Kanun Keseksaan.

  • Enam lelaki ditahan, diesel dan vape bernilai RM3.6 juta dirampas

    Enam lelaki ditahan, diesel dan vape bernilai RM3.6 juta dirampas

    POLIS menahan enam lelaki dan merampas pebagai barang seludup dan barang bersubsidi dianggarkan bernilai lebih RM3.6 juta menerusi Op Kontraban di Selangor dan Johor, pada Rabu dan Khamis lepas.

    Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata serbuan pertama dilakukan Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas, Pasukan Gerakan Khas Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam bersama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor di Kajang, yang membawa kepada rampasan 25,306 kotak dan botol vape disyaki mengandungi nikotin.

    “Serbuan kedua dilakukan di Johor Bahru, dan polis berjaya menumpaskan satu sindiket yang terlibat dengan kegiatan menjual dan membeli semula minyak diesel bersubsidi.

    “Dalam serbuan ini enam lelaki ditahan dan sejumlah 45,997 liter minyak diesel, empat lori, lima unit tangki minyak diesel pelbagai jenis dan peralatan dirampas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 13(a) Akta Racun 1952 dan Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

    “Nilai rampasan bagi kedua-dua serbuan dalam operasi yang bermula dari 12 hingga 15 Julai lepas adalah RM3,688,850.

    “Polis Diraja Malaysia melalui KDNKA (Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam)  akan terus komited dalam melaksanakan operasi membanteras sindiket penyeludupan kontraban dan barangan kawalan atau subsidi agar ketirisan hasil negara dapat dibendung demi kepentingan masyarakat,” katanya.

    — BERNAMA

  • Lelaki terlibat khianat hidap Bipolar, positif dadah

    Lelaki terlibat khianat hidap Bipolar, positif dadah

    POLIS mendapati seorang lelaki yang melakukan perbuatan khianat dalam dua kes berasingan di Kuala Rompin disahkan mempunyai penyakit gangguan bipolar dan positif dadah.

    Ketua Polis Daerah Rompin, Duputi Superintenden Mohd. Azahari Mukhtar berkata, dalam kejadian pertama, suspek dikatakan merosakkan kenderaan di Balai Cukai Balak Hutan di Jalan Selendang-Berabong, Kuala Rompin pada 14 Julai lalu.

    “Sementara kes kedua dilakukan suspek pada 15 Julai dengan bertindak membakar kaunter pembayaran di sebuah restoran di Bukit Serdang di Rompin.

    “Penahanan yang suspek dibuat bersabit dengan laporan yang dibuat oleh mangsa yang mengalami kerosakan pada kenderaan.

    “Namun begitu, pemilik restoran pula tidak mahu membuat laporan berhubung kejadian terbabit dan siasatan polis pula mendapati suspek mengalami gangguan bipolar,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Beliau memaklumkan perbuatan membakar kaunter di sebuah restoran telah tular di Twitter dan video berdurasi dua minit dimuat naik oleh pemegang akaun @NanManjoi8715.

    Katanya, pada 14 Julai lalu, suspek telah bertindak merosakkan sebuah kereta di Balai Cukai Balak Hutan Jalan Selendang Berabong dengan sebilah sabit.

    Tambahnya, pemilik kenderaan terbabit telah datang ke Balai Polis Kuala Rompin bagi membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat ke atas harta benda.

    “Suspek juga didapati positif dadah serta disiasat di bawah Seksyen 15(1)a Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” ujarnya.

  • Pemandu lori mengaku tidak bersalah pandu melulu langgar 11 kenderaan

    Pemandu lori mengaku tidak bersalah pandu melulu langgar 11 kenderaan

    SEORANG pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Johor Bahru atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga mengakibatkan kemalangan membabitkan sebanyak 11 buah kenderaan di Tambak Johor pada 7 Julai lalu.

    Amir Hasan Jalani, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Zuhainie Zull Kafli.

    Mengikut pertuduhan, Amir Hasan didakwa memandu lori di atas jalan raya secara melulu sehingga menyebabkan kemalangan melibatkan sebanyak 11 buah kenderaan.

    Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Tambak Johor pada pukul 9.25 pagi, 7 Julai lalu, lapor Sinar Harian.

    Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan denda sehingga RM15,000 jika sabit kesalahan.

    Sementara itu, di mahkamah sama, syarikat Level Hill Auto Parts Sdn Bhd menerusi wakilnya, Yap Shee Min, 34, turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melanggar syarat lesen pengendali lori kerana membawa lebih muatan yang dibenarkan.

    Lori yang dipandu Amir Hasan didakwa membawa muatan seberat 91,240 kilogram berbanding 41,000 kilogram (kg) yang dibenarkan.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di lokasi dan masa yang sama.

    Syarikat berkenaan didakwa mengikut Seksyen 57(1)(vi) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hayatul Wirdah Mohd. Yunos manakala tertuduh dan syarikat diwakili peguam, Bustaman Menon Abdul Hamid Menon.

    Hayatul Wirdah memohon jaminan ditetapkan sebanyak RM10,000 manakala bagi syarikat pula jaminan dipohon sebanyak RM8,000.

    Bustaman Menon bagaimanapun memohon jaminan rendah dikenakan kepada Amir Hasan kerana mempunyai empat anak yang masih kecil selain isterinya hanya suri rumah serta memiliki pendapatan dianggarkan sebanyak RM1,500.

    Mahkamah kemudian membenarkan Amir Hasan diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin selain perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap dua minggu sekali dan syarikat sebanyak RM3,000.

    Kes ditetapkan disebut semula pada 5 September depan.

    Pada 7 Julai lalu, lori membawa muatan habuk batu dipandu Amir terlibat dalam kemalangan melibatkan 11 kenderaan di Tambak Johor menghala ke Singapura, pada pukul 9.25 pagi.

    Video kemalangan melibatkan lori serta sembilan buah kereta termasuk kereta bernombor pendaftaran asing dan masing-masing satu van dan bas itu turut tular di laman sosial.

    Bagaimanapun tiada kecederaan dilaporkan dalam kemalangan itu manakala hasil ujian air kencing mendapati pemandu lori berkenaan negatif dadah.