Category: Semasa

  • Wanita dituduh curi Milo bebas selepas individu murah hati bayar ikat jamin

    Wanita dituduh curi Milo bebas selepas individu murah hati bayar ikat jamin

    SEORANG wanita, Suhaini Mohd. yang menunggu untuk dibicarakan semula kerana dituduh mencuri dua paket Milo bernilai RM74 diikat jamin atas kemurahan hati seorang individu.

    Peguam Suhaini, Naran Singh berkata, individu itu membayar ikat jamin RM3,000 semalam di Mahkamah Majistret Marang supaya ibu beranak empat itu dapat dibebaskan daripada penjara Pengkalan Chepa dekat Kota Bharu.

    “Dia dibebaskan petang semalam dan dapat bersatu semula dengan keluarganya,” kata peguam itu lapor FMT.

    Pada 5 Julai, Mahkamah Majistret Marang menjatuhkan hukuman penjara 14 bulan selepas Suhaini, 43, mengaku bersalah atas tuduhan mencuri.

    Bagaimanapun, pada 19 Julai, hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu Hassan Abdul Ghani memerintahkan perbicaraan semula dijalankan selepas beliau mengetepikan sabitan dan hukuman penjara ke atas Suhaini.

    Hakim tersebut, yang memanggil kes itu atas kehendaknya sendiri selepas ia menarik perhatian umum, bersetuju dengan Naran bahawa prosedur perbicaraan adil tidak dipatuhi apabila Suhaini mengaku bersalah.

    Suhaini ketika itu diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

    Dia kemudian dihadapkan di hadapan majistret Engku Nurul Ain Engku Muda, selepas prosiding Mahkamah Tinggi, dan didakwa sekali lagi melakukan kesalahan itu di sebuah pasar raya di Marang pada 25 Mei.

    Kali ini, dia meminta dibicarakan dan dibenarkan diikat jamin RM3,000.

    Suhaini dibawa semula ke penjara Pengkalan Chepa memandangkan prosiding berlangsung hingga lewat petang dan kes ditetapkan untuk sebutan pada 6 Sept.

    Kejadian curi itu dirakam kamera keselamatan pasar raya terbabit dan pemiliknya mengekori Suhaini sebelum cuba menahannya.

    Dalam keadaan tergesa-gesa untuk melarikan diri, Suhaini meninggalkan motosikalnya di stesen bas Marang.

    Suhaini ditahan di rumahnya di Kampung Baru Kuala Abang, Dungun, selepas pihak berkuasa mengesannya menggunakan nombor pendaftaran motosikal itu.

    Kesnya menarik perhatian ramai termasuk bekas menteri kesihatan Dzulkefly Ahmad yang menggesa Jabatan Peguam Negara untuk menunjukkan belas kasihan.

  • Pesakit mental parah dibelasah rakan meninggal dunia

    Pesakit mental parah dibelasah rakan meninggal dunia

    Oleh BADLISHAH MAT

    PESAKIT mental yang sebelum ini cedera parah dipercayai akibat dipukul dan dipijak dua rakan sebiliknya di sebuah pusat penjagaan mental di Sungai Petani pada 11 Julai lalu telah meninggal dunia awal pagi semalam.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, mangsa yang merupakan lelaki berusia 49 tahun itu disahkan meninggal dunia pada pukul 4.02 pagi di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di Sungai Petani.

    Beliau berkata, sejak dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) selama 15 hari lalu, mangsa berada dalam keadaan koma.

    “Awal pagi semalam mangsa dilaporkan meninggal dunia dan laporan perubatan mendapati lelaki itu mengalami kecederaan parah di bahagian pinggul selain tulang tapak kaki kanannya yang patah,” katanya, hari ini.

    Zaidy berkata, kes terbabit yang sebelum ini disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan akan dipinda ke Seksyen 302 kanun sama kerana membunuh.

    “Kita masih menjalankan siasatan lanjut berkaitan kes ini dan suspek dijangka ditahan dalam masa terdekat untuk membantu siasatan,” katanya.

    Dalam kejadian pada pukul 12.40 tengah hari itu, mangsa didapati tidak sedarkan diri akibat cedera parah dibelasah dua rakan sebiliknya yang berumur 33 dan 21 tahun.

    Siasatan awal polis mendapati, kejadian itu berpunca daripada tindakan mangsa yang sengaja memijak dua penghuni terbabit semasa mereka sedang tidur di atas lantai salah sebuah asrama di situ.

    Kedua-dua penghuni itu yang berang kemudiannya dikatakan membalas perbuatan mangsa dengan memukul dan memijaknya kembali menyebabkan dia mengalami kecederaan.

    Sementara itu, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk proses bedah siasat.

  • Siasat ketirisan bayaran sewa Jonker Walk:KM Melaka

    Siasat ketirisan bayaran sewa Jonker Walk:KM Melaka

    KETUA Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali mengarahkan Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) membuat semakan sama ada wujud ketirisan membabitkan bayaran yuran peniaga di Jonker Walk di Bandar Raya Melaka.

    Menurut beliau, terdapat dakwaan bayarannya lebih RM30,000 sebulan atau sebaliknya, lapor Sinar Harian.

    “Perbincangan serta pembentangan laporan berkenaan perlu dilakukan bersama pihak berkaitan membabitkan MBMB, Jawatankuasa Jonker Walk, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Melaka, Datuk Muhammad Jailani Khamis dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Laksamana, Low Chee Leong.

    “Untuk menjawab soalan berlaku ketirisan atau tidak, saya minta MBMB termasuk Kota Laksamana lihat benarkah ia melebihi RM30,000 sebulan.

    “Dalam dewan ini saya arahkan MBMB jumpa dengan Kota Laksamana dan pihak Jonker Walk duduk bersama untuk lihat perkara ini,” katanya.

    Sulaiman berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Laksamana, Low Chee Leong pada Persidangan Ketiga, Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Ke-15 di Seri Negeri, Ayer Keroh, hari ini.

    Beliau bingkas bangun mencelah selepas Chee Leong masih tidak berpuas hati dan mempersoalkan usaha dilakukan Jawatankuasa Jonker Street dalam mencegah kejadian kebakaran di lokasi pelancongan itu hingga mengorbankan nyawa penyewa baru-baru ini.

    Terdahulu, Muhammad Jailani (BN-Rembia) menjawab soalan itu dan memaklumkan beliau telah melihat audit daripada jawatankuasa berkenaan dan terdapat beberapa kos tersembunyi yang perlu ditanggung mereka menyebabkan keadaan dewan gamat seketika.

  • Kes cuai khatan: Mahkamah tolak permohonan kerajaan tangguh bayaran ganti rugi

    Kes cuai khatan: Mahkamah tolak permohonan kerajaan tangguh bayaran ganti rugi

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa menolak permohonan Kerajaan Malaysia dan empat pihak lain untuk menangguhkan pelaksanaan penghakiman berhubung pembayaran ganti rugi berjumlah RM3.1 juta kepada seorang pemuda yang terpotong kepala alat sulitnya ketika berkhatan 12 tahun lepas.

    Selain kerajaan, empat pihak yang merupakan defendan ialah pegawai perubatan dan pengarah Hospital Kuala Lipis di Pahang serta doktor pakar dan pengarah Hospital Selayang di Selangor.

    Hakim Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan itu selepas mendapati tiada keadaan istimewa membolehkan mahkamah memberi penangguhan pelaksanaan penghakiman dipohon kesemua defendan.

    “Alasan rayuan telah difailkan (oleh kelima-lima defendan) di Mahkamah Rayuan dan kesukaran prosedur untuk pengeluaran wang daripada Perbendaharaan bukanlah suatu keadaan yang khas dan istimewa,” katanya.

    Hakim itu berkata kerisauan berhubung wang yang diberikan kepada pemuda itu tidak dapat dikembalikan jika kelima-lima defendan menang dalam rayuan mereka di Mahkamah Rayuan bukan merupakan keadaan istimewa yang mewajarkan mahkamah memberi penangguhan pelaksanaan penghakiman.

    “Rayuan di Mahkamah Rayuan tidak akan mengambil masa yang lama untuk didengar. Jadi, tidak mungkin wang sebanyak itu (RM3.1 juta) dapat dibelanjakan dalam masa yang singkat. Oleh itu, permohonan tersebut ditolak dengan kos RM3,000,” katanya.

    Kelima-lima defendan itu merayu terhadap keputusan Hakim Akhtar pada 7 April lepas, yang memberikan ganti rugi berjumlah RM3.1 juta kepada pemuda berusia 22 tahun, yang menang dalam kes saman itu.

    Dalam penghakiman bertulis yang dikeluarkan pada 27 Mei lepas, hakim itu berkata kelewatan kakitangan perubatan merawat kecederaan lelaki itu telah melenyapkan harapan untuk menyelamatkan alat sulitnya.

    Lelaki itu, yang memfailkan saman pada 19 Julai 2018 melalui ibunya, mendakwa proses bersunat pada 13 Dis 2010 ke atasnya tidak dilakukan mengikut prosedur ditetapkan sehingga menyebabkan seluruh kepala zakar terpotong.

    Akibat kecacatan kekal itu, ibu mangsa mendakwa anaknya yang ketika kejadian berusia 10 tahun telah berubah sikap menjadi amat pendiam dan tidak suka berkawan dengan rakan sebaya. – Bernama

  • Banduan maut:Polis rakam keterangan 12 individu

    Banduan maut:Polis rakam keterangan 12 individu

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SERAMAI 12 individu sudah dirakam percakapan mereka bagi membantu siasatan susulan kematian banduan Penjara Kluang pada 28 Jun lalu.

    Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, mereka yang dipanggil polis itu terdiri daripada ahli keluarga, banduan dalam sel sama dengan mangsa dan empat kakitangan penjara terbabit.

    “Seramai 12 orang saksi telah kita panggil untuk rakam percakapan. Mereka ini adalah tiga orang ahli keluarga, ‘cell mate’ mangsa seramai lima orang dan empat orang kakitangan penjara.

    “Keterangan mereka dirakam bagi membolehkan kita menjuruskan sebarang unsur yang menjadi sebab kematian mangsa,” katanya dalam sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor Bahru, hari ini.

    Pada 28 Jun lalu, Kim Shih Keat, 36, dijadualkan dibebaskan dari Penjara Kluang pada 28 Jun lalu, selepas menjalani hukuman penjara tujuh hari dan denda sebanyak RM15,000 kerana didapati bersalah memandu dalam keadaan mabuk oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 22 Jun lalu.

    Difahamkan, pada hari dibebaskan, mangsa terlebih dahulu dikejarkan ke hospital selepas didapati pengsan sebelum disahkan meninggal dunia.

    Kamarul Zaman berkata, pihaknya belum dapat menyimpulkan punca kematian mangsa memandangkan masih menunggu laporan penuh bedah siasat.

    “Bedah siasat sudah dijalankan, tetapi, buat masa ini, kita tidak boleh menyimpulkan lagi punca kematian kerana ada beberapa perkara di pihak makmal hospital yang tidak dapat keputusan lagi.

    “Kita akan maklumkan apabila semua laporan dan keputusan ini diperolehi. Kita tidak dapat jangka bila (laporan siap), tetapi kita sudah meminta pegawai penyiasat sentiasa berhubung dengan pihak hospital bagi menyegerakannya kerana kita juga tidak mahu siasatan kes ini berlanjutan lebih lama,” katanya.

  • Teresa Kok menang saman Jamal, dapat ganti rugi RM300,000

    Teresa Kok menang saman Jamal, dapat ganti rugi RM300,000


    BEKAS Menteri Industri Utama Teresa Kok Suh Kim hari ini memperoleh ganti rugi RM300,000 selepas memenangi kes saman fitnah terhadap Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos atas dakwaan menyalahgunakan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).

    Pesuruhjaya Kehakiman (JC) Datuk Mohd Arief Emran Arifin dalam keputusannya membenarkan tuntutan saman Kok selaku plaintif terhadap defendan iaitu Jamal, yang difailkan pada 6 April 2017. 

    “Defendan (Jamal) juga diarahkan membayar kos RM50,000 kepada plaintif. Jumlah itu harus dijelaskan dalam tempoh 14 hari dari sekarang,” kata JC Mohd Arief.

    Jamal tidak hadir pada prosiding hari ini.

    Apabila ditemui pemberita selepas prosiding, peguam Datuk S.N. Nair yang mewakili Kok berkata mahkamah memerintahkan Jamal untuk membayar jumlah keseluruhan RM300,000 yang meliputi ganti rugi am, teruk dan teladan.

    Ahli Parlimen Seputeh itu yang memfailkan saman tersebut pada 6 April 2017, mendakwa Jamal telah mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadapnya berkaitan dana Yawas ketika mengadakan sidang media pada 8 Mac, 2017.

    Dalam penyataan tuntutan, Kok mendakwa kenyataan berkenaan telah disiarkan oleh media cetak dan elektronik termasuk dalam laman sosial Facebook milik Jamal.

    Beliau mendakwa kenyataan fitnah itu antara lain memberikan gambaran bahawa beliau telah menyalahgunakan dana kerajaan negeri untuk kegunaan sendiri dan seorang yang tidak beretika.

    Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am sebanyak RM1 juta, ganti rugi pampasan, ganti rugi teruk dan teladan serta perintah injunksi bagi menghalang defendan atau mana-mana ejennya daripada menerbitkan semula kenyataan fitnah berkenaan. – Bernama

  • Remaja ditemukan lemas di dasar kolam di Kuala Nerus

    Remaja ditemukan lemas di dasar kolam di Kuala Nerus

    SEORANG remaja lelaki ditemukan lemas selepas mandi-manda bersama lima rakan di sebuah kolam di Bandar Baru, Kuala Nerus, petang semalam.

    Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Nerus, Azmi Omar, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.59 petang sebelum sebuah jentera bersama 11 anggota termasuk pegawai digerakkan ke lokasi kejadian.

    Beliau berkata, mangsa, Muhammad Akif Danish Abdul Aziz, 13, ditemui pada pukul 5.50 petang di kedudukan dua meter dari lokasi terakhir dilihat, lapor Astro Awani.

    Katanya, mangsa dijumpai di dasar kolam oleh anggota yang menjalankan selaman.

    Bagaimanapun jelasnya, Muhammad Akif Danish telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan lanjut.

  • 28 guru di Melaka dikenal pasti alami kemurungan

    28 guru di Melaka dikenal pasti alami kemurungan

    SEBANYAK 28 guru atau 4.32 peratus daripada 648 guru di Melaka yang mengambil Saringan Stres, Kebimbangan dan Kemurungan (DASS) dikesan mengalami kemurungan.

    Exco Kesihatan dan Antidadah negeri Dr Muhamad Akmal Saleh berkata selain itu, 23 guru atau 3.54 peratus daripada mereka dikesan berada pada tahap stres berdasarkan ujian yang dijalankan ke atas mereka oleh Sektor Psikologi dan Kaunseling Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

    “Ujian berkenaan dilaksanakan untuk mengukur tahap stres dan kemurungan guru di Melaka dan 648 daripada 13,976 guru yang dikenal pasti menghadapi tekanan telah menjawab saringan tersebut secara sukarela melalui Sistem Pengurusan Perkhidmatan Kaunseling Kementerian Pendidikan Malaysia.

    “Justeru, pelbagai tindakan diambil untuk membantu golongan guru berkenaan antaranya sesi kaunseling dan Program 3PI iaitu Pemulihan, Pencegahan, Pembangunan dan Intervensi,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Melaka hari ini.

    Dr Akmal (BN-Merlimau) menjawab soalan tambahan dikemukakan Hameed Myhtheen Kunju Basheer (BN-Ayer Limau) yang ingin mengetahui isu guru bersara awal di Melaka dan puncanya.

    Dr Akmal mewakili Exco Pendidikan dan Teknologi negeri Datuk Rais Yasin yang bercuti kerana sedang menunaikan haji.

    Dr Akmal berkata selain itu, program meningkatkan kesedaran kesejahteraan psikologi guru turut dilakukan bagi membendung perkara berkenaan.

    Dalam pada itu, Dr Akmal berkata sehingga hari ini, sebanyak 212 guru di negeri itu memilih bersara awal berbanding 164 orang pada tahun lepas disebabkan beberapa faktor antaranya isu kesihatan guru atau pasangannya, guru tersebut telah mencapai tempoh 25 tahun perkhidmatan, tiada lagi tanggungan anak kerana mereka telah bekerja atau berumah tangga dan mereka ingin berehat.

    “Ada juga antara guru berkenaan yang memilih bersara awal kerana mereka tidak bersedia untuk diberikan tanggungjawab dalam bidang pentadbiran apabila diberikan penempatan baharu khususnya bagi guru gred 52 dan 54,” katanya.

    Terdahulu, menjawab soalan lisan Seah Shoo Chin (DAP-Kesidang) berkaitan perancangan untuk membina sekolah di Melaka, Dr Akmal berkata kerajaan negeri telah membuat permohonan peruntukan berjumlah RM68.8 juta daripada kerajaan Persekutuan menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) untuk membina 13 Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka yang baharu. – Bernama

  • Kes SRC: Tetuan Shafee & Co diberhentikan daripada wakili Najib, ZIST dilantik peguam baharu

    Kes SRC: Tetuan Shafee & Co diberhentikan daripada wakili Najib, ZIST dilantik peguam baharu

    DATUK Seri Najib Tun Razak telah memberhentikan dengan serta- merta Tetuan Shafee & Co daripada bertindak sebagai peguam yang mewakilinya dalam rayuan-rayuan jenayah membabitkan penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Persekutuan.

    Perkara itu dimaklumkan melalui surat yang dialamatkan kepada Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan hari ini, yang diperoleh pihak media.

    Menurut surat yang ditandatangani peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, memaklumkan bahawa pihaknya menerima sesalinan surat berhubung perkara itu daripada bekas perdana menteri itu, semalam (25 Julai) pukul 5 petang.

    Katanya menerusi surat yang sama, Najib telah memaklumkan bahawa beliau telah melantik Tetuan Zaid Ibrahim Suffian TH Liew & Partners (ZIST) sebagai peguam cara baharu.

    “Sehubungan dengan itu, pihak kami sedang berusaha melengkapkan proses penyerahan dokumen secara fizikal dan digital kepada ZIST yang dijangka dapat diselesaikan selewat-lewatnya hari ini.

    “Untuk makluman mahkamah, salinan digital bagi kesemua rekod rayuan kertas kausa bagi permohonan untuk mengemukakan keterangan tambahan, dan kertas kausa bagi meminda notis usul telahpun diserahkan kepada ZIST pada 5 Julai lepas dan mereka juga telah dimaklumkan mengenai tarikh-tarikh yang berkaitan dengan rayuan-rayuan ini,” kata Muhammad Shafee dalam surat itu.

    Tetuan Shafee & Co mewakili Najib dalam kes SRC sejak Ahli Parlimen Pekan itu dituduh di mahkamah pada 4 Julai 2018.

    Pada Mei lepas, Mahkamah Persekutuan menetapkan 10 hari mulai 15 Ogos untuk mendengar rayuan akhir Najib bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International.

    Pada 8 Dis 2021, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan Najib dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dijatuhkan ke atas Najib kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International.

    Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, yang bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, menolak rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2020.

    Mahkamah Persekutuan merupakan jalan terakhir bagi Ahli Parlimen Pekan itu untuk mengemukakan rayuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara dalam kes penyelewengan dana SRC International.

    — BERNAMA

  • Pendakwaan akan buktikan Shahrir terima wang Najib, terbabit ubah wang haram

    Pendakwaan akan buktikan Shahrir terima wang Najib, terbabit ubah wang haram

    PIHAK pendakwaan dalam kes, Tan Sri Shahrir Ab Samad akan membuktikan bekas Pengerusi Felda itu terlibat secara langsung dengan aktiviti pengubahan wang haram apabila memperoleh wang berjumlah RM1 juta daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

    Timbalan Pendakwa Raya, Mohd ‘Afif Ali berkata terdapat keterangan lisan daripada saksi pendakwaan bagi membuktikan tertuduh (Shahrir) memperoleh wang itu yang dimasukkan ke dalam akaun bank Public Islamic miliknya melalui sekeping cek bertarikh 27 November 2013.

    “Terdapat juga keterangan bahawa tertuduh tidak melaporkan pendapatan sebenar itu di dalam Borang Penyata Cukai Pendapatan Bagi Tahun Taksiran 2013 dan ini membuktikan tertuduh telah melibatkan diri secara langsung dalam transaksi menyebabkan hasil daripada satu aktiviti haram,” katanya semasa membaca pernyataan pembukaan pendakwaan pada hari pertama perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin.

    Shahrir, 72, didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan yang bertentangan dengan Seksyen 113 (1) (a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudiannya dimasukkan ke dalam akaun bank milik tertuduh.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di Kuala Lumpur, pada 25 April 2014, mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Menurut Mohd ‘Afif, pihak pendakwaan akan memanggil kesemua saksi yang berkenaan bagi membuktikan pertuduhan terhadap tertuduh sama ada melalui keterangan secara terus atau secara tidak langsung.

    Shahrir yang memakai sut berwarna hitam tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur kira-kira 8.20 pagi.

    Pendakwaan turut dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Azmi dan Natrah Fareha Rahmat.

    Pada prosiding hari ini, Shahrir diwakili peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, Datuk Syed Faisal Al-Edros Syed Abdullah Al-Edros, Tan Sri Dzulkifli Ahmad yang juga bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Syahrul Syazwan Salehin dan Shazreen Mohd Hatta.

    Selepas pernyataan pembukaan dibacakan, pendakwaan memanggil saksi pertamanya iaitu Penolong Pegawai Tadbir Tinggi, Bahagian Hal Ehwal Ahli Parlimen, Parlimen Malaysia, Rosli Mat Jinun, 49, untuk memberi keterangan. – Bernama