Category: Semasa

  • JAS tak layan ‘Datuk’ minta lepaskan pengusaha tayar kitar semula

    JAS tak layan ‘Datuk’ minta lepaskan pengusaha tayar kitar semula

    CUBAAN seorang lelaki yang menggelar dirinya sebagai Datuk memujuk Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor supaya tidak mengambil tindakan terhadap pengusaha tayar kitar semula haram di Batu 13 Jalan Kluang di Kluang, gagal.

    Timbalan Pengarah JAS Johor, Mohd. Rashdan Topa berkata, pihaknya tidak melayan permintaan lelaki tersebut yang dibuat menerusi panggilan telefon.

    “Pihak JAS tetap menahan pengusaha tersebut yang berusia 70 tahun manakala premisnya disita selepas didapati beroperasi secara haram sejak sebulan lalu.

    “JAS menyita 300 tan tayar terpakai yang dilonggokkan di kebun kelapa sawit seluas kira-kira 0.8 hektar dan ia adalah sitaan terbesar bagi kes seumpamanya tahun ini.

    “Hasil siasatan mendapati pengusaha berkenaan memperoleh bekalan tayar terpakai dari serata negeri Johor,” memetik laporan Harian Metro hari ini.

    Katanya, tayar berkenaan dibakar sebelum dawainya diambil selain minyak yang terhasil dijual semula pada RM1 seliter.

    Minyak berkenaan digunakan sebagai bahan bakar bagi industri berat seperti perkapalan, katanya.

    “Pengusaha mendakwa dia membantu melupuskan tayar terpakai tetapi hakikatnya perbuatannya telah melanggar undang-undang mengikut Seksyen 37C Akta Kualiti Alam Sekitar 1974,” katanya.

    Beliau berkata, siasatan awal mendapati lelaki berkenaan adalah suspek sama yang pernah ditahan atas kesalahan sama sebelum ini di Paloh.

    “Pengusaha berkenaan juga didapati menggajikan seramai empat pendatang tanpa izin (PATI) warga Bangladesh, dua warga Pakistan, seorang warga India dan seorang warga tempatan.

    “Kita akan panjangkan kesalahan-kesalahan lain yang dibuat oleh pengusaha berkenaan kepada agensi dan jabatan berkaitan, termasuk Jabatan Imigresen, Pejabat Tanah Kluang, Majlis Perbandaran Kluang, Kementerian Kesihatan dan polis,” katanya.

  • Indonesia tahan dua rakyat Malaysia, disyaki pengintip

    Indonesia tahan dua rakyat Malaysia, disyaki pengintip

    PIHAK berkuasa Indonesia menahan dua rakyat Malaysia dan seorang warga China kerana disyaki mengintip di kawasan Nunukan, utara Kalimantan republik itu.

    Memetik laporan portal The Star, ketiga-tiga mereka disyaki sedang meninjau lokasi untuk membina jambatan menghubungkan Tawau ke Pulau Sebatik yang terbahagi dua antara Indonesia dan Malaysia.

    Portal yang memetik laporan media Indonesia itu memaklumkan, ketiga-tiga lelaki tersebut ditahan bersama tiga warga Indonesia selepas didapati memiliki gambar sensitif pangkalan tentera laut di pulau kongsi berkenaan.

    Antara rakyat Malaysia yang ditahan dikenal pasti sebagai seorang jurutera manakala warga China itu dilaporkan memasuki Nunukan menggunakan visa pelancong dan melintasi sempadan pada 20 Julai lalu.

    Sementara itu, seorang daripada warga Indonesia yang ditahan dilaporkan mempunyai dua dokumen pengenalan diri iaitu pasport Indonesia dan kad pengenalan Malaysia.

    Dalam pada itu, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pegawai imigresen Nunukan, Saut Dompak pada 22 Julai lalu, keenam-enam lelaki yang ditahan itu didakwa sedang mengkaji kemungkinan membina jambatan dari Sebatik ke Tawau.

    Saut dilaporkan berkata, bantuan daripada pejabat konsul jeneral Malaysia di Kota Pontianak (Kalimatan) telah diminta untuk mengesahkan kesahihan kad pengenalan Malaysia.

    Katanya, siasatan awal menunjukkan warga Indonesia yang mempunyai dua dokumen pengenalan diri itu telah menjemput warga China dan Malaysia yang terlibat untuk melihat kawasan kemungkinan bagi membina jambatan berkenaan pada 20 Julai lalu.

    Bagaimanapun hasil siasatan pegawai tentera laut Indonesia menemui gambar kawasan sensitif pos sempadan dan ibu pejabat marin di Sebatik sebelum menyerahkan kesemua lelaki terbabit kepada pegawai imigresen di Nunukan untuk siasatan lanjut pada 21 Julai.

    Kesemua lelaki terbabit ditahan selama 30 hari di Pusat Tahanan Imigresen di Nunukan dan akan menghadapi pertuduhan kerana melanggar permit visa pelancong mengikut undang-undang imigresen republik itu kerana mereka sepatutnya masuk menggunakan visa perniagaan untuk tujuan yang dinyatakan.

    Sementara itu, Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah enggan mengulas mengenai dua rakyat Malaysia yang ditahan pihak imigresen di sempadan Indonesia-Malaysia kerana disyaki menjadi pengintip.

    Sebaliknya, Ahli Parlimen Indera Mahkota itu berkata, menteri lain akan menjawab mengenai isu terbabit.

    “Yang ini biar menteri lain jawab,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

  • Shahrir Samad terima elaun bulanan Ahli Dewan Rakyat RM25,700

    Shahrir Samad terima elaun bulanan Ahli Dewan Rakyat RM25,700

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa Tan Sri Shahrir Ab Samad menerima elaun bulanan berjumlah RM25,700 daripada Bahagian Hal Ehwal Ahli Parlimen semasa menjadi Ahli Dewan Rakyat.

    Penolong Pegawai Tadbir Tinggi, Bahagian Hal Ehwal Ahli Parlimen, Parlimen Malaysia, Rosli Mat Jinun, 49, berkata semasa bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu dilantik sebagai Ahli Dewan Rakyat pada 8 Julai 1978, beliau menerima elaun bulanan, keraian, telefon, elaun tetap pemandu kereta, elaun perjalanan, bayaran khas, elaun bahan api kenderaan dan tol.

    “Tan Sri Shahrir telah dilantik sebagai Ahli Dewan Rakyat pada 8 Julai 1978. Selepas Pilihan Raya Umum ke-13, bermula 5 Mei 2013, Tan Sri Shahrir menerima elaun-elaun tersebut berjumlah RM13,108.59.

    “Namun, bermula tarikh 1 Jan 2015, pelarasan elaun Ahli Dewan Rakyat telah diselaraskan dan Tan Sri Shahrir menerima elaun-elaun tersebut berjumlah RM25,700. Setiap Ahli Parlimen yang menjadi anggota Ahli Dewan Rakyat, layak menerima elaun bulanan tetap itu,” katanya.

    Saksi pendakwaan pertama itu berkata demikian semasa membacakan penyataan saksinya pada perbicaraan bekas pengerusi Felda itu yang berdepan tuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

    Rosli yang antaranya ditugaskan untuk menguruskan pembayaran dan pemberhentian elaun ahli Parlimen yang terdiri daripada Ahli Dewan Negara dan Ahli Dewan Rakyat, turut mengesahkan bahawa elaun-elaun tersebut dibayar oleh Bahagian Hal Ehwal Ahli Parlimen ke akaun Public Bank milik Shahrir.

    Shahrir, 72, didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan yang bertentangan dengan Seksyen 113 (1) (a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudiannya dimasukkan ke dalam akaun bank milik tertuduh.

    Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di Kuala Lumpur, pada 25 April 2014.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin bersambung esok. – Bernama

  • Jururawat ditahan selepas bayinya mati dengan kesan kecederaan

    Jururawat ditahan selepas bayinya mati dengan kesan kecederaan

    SEORANG bayi lelaki berusia lapan bulan meninggal dunia dengan kesan kecederaan di badan dalam kejadian di Sungai Siput, semalam.

    Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, pihaknya menerima maklumat berkenaan pada pukul 7.10 pagi.

    “Mangsa yang tidak sedarkan diri menghembuskan nafas terakhir ketika dalam perjalanan ke Hospital Sungai Siput.

    “Susulan itu ibu kandung mangsa berusia 30 tahun yang bekerja sebagai jururawat ditahan bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    “Mangsa adalah anak tunggal dan tinggal bersama ibunya yang sudah bercerai sejak enam bulan lalu,” katanya ketika ditemui sempena lawatan kerja Ketua Polis Perak ke Pulau Pangkor, di Pangkor, hari ini.

    Katanya, proses bedah siasat yang dilakukan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh mendapati terdapat kesan kecederaan pada beberapa bahagian badan mangsa akibat objek tumpul.

    “Ibu mangsa direman selama tujuh hari sehingga Isnin depan dan kita akan menjalankan siasatan lanjut jika ada individu lain terbabit dalam kes ini,” katanya sebagaimana dilaporkan Harian Metro.

  • Mayat warga asing ditemukan berbungkus permaidani

    Mayat warga asing ditemukan berbungkus permaidani

    MAYAT lelaki yang ditemukan berbungkus dengan permaidani dan diikat dengan tali berdekatan kolam air panas di Gua Musang-Lojing di Gua Musang, kelmarin dipercayai warga asing.

    Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Sik Choon Foo berkata, ini berdasarkan hasil bedah siasat yang dijalankan selama tiga jam mendapati tiada tanda suntikan imunisasi BCG (Bacillus Calmette Guerin) ditemukan pada mayat berkenaan.

    “Mangsa dipercayai mati di tempat lain sebelum mayatnya ditinggalkan di lokasi mayatnya ditemui. Setakat ini kita belum mengetahui usia mangsa.

    “Mangsa dipercayai meninggal dunia lebih daripada 36 jam kerana sudah reput dan berulat.

    “Mangsa ditemui memakai baju biru lengan panjang dan kain sarung serta terdapat tatu burung pada lengan kanan,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Beliau berkata, hasil bedah siasat juga menunjukkan tiada sebarang kecederaan dan perbuatan jenayah dikesan pada mayat mangsa.

    Lokasi mayat dijumpai katanya, adalah kawasan jauh dari kawasan kejiranan dan setakat ini tiada dokumen pengenalan diri ditemui bersama mangsa dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

    Kata beliau, mayat ditemui seorang lelaki yang kemudiannya menghubungi Balai Polis Lojing pukul 8.30 malam kelmarin.

    Terdahulu, tular rakaman video berdurasi 29 saat di aplikasi Tik Tok mengenai penemuan mayat dalam keadaan berbungkus dan dipercayai sudah berulat berdekatan kolam air panas laluan Gua Musang-Lojing.

  • Dua sahabat didakwa bunuh lelaki Pakistan

    Dua sahabat didakwa bunuh lelaki Pakistan

    DUA lelaki tempatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Petaling Jaya hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki warga Pakistan, dua minggu lalu.

    Tertuduh, S. Kumara Rao, 56, dan R. Remesh, 45, mengangguk faham selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Nurshahira Abdul Salim.

    Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi, lapor Sinar Harian.

    Mengikut pertuduhan, mereka didakwa membunuh Qadir Muhamad, 35, di sebuah unit kondominium di Kelana Jaya pada pukul 8.48 malam, 11 Julai lalu.

    Atas pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Norfarhanim Abdul Halim manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

    Tiada ikat jamin diberikan dan mahkamah kemudian menetapkan 26 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

    Pada 13 Julai lalu, media melaporkan, polis menemui mayat seorang lelaki warga asing, dipercayai terjatuh dari tingkat 17 sebuah kondominium di Kelana Jaya, Petaling Jaya.

    Polis kemudian mengklasifikasikan kes itu sebagai kes bunuh.

    Dua suspek lelaki berusia 40-an ditahan reman bagi membantu siasatan kes itu.

    Pada 18 Julai, media melaporkan polis mengesahkan mangsa dan kedua-dua suspek berkenalan menerusi aplikasi media sosial untuk golongan gay.

    Polis dalam kenyataan berkata, mangsa dipercayai sudah beberapa kali datang bertemu kedua-dua suspek di lokasi kejadian yang juga merupakan rumah suspek.

  • MPN gesa kerajaan laksana subsidi bersasar kepada golongan memerlukan

    MPN gesa kerajaan laksana subsidi bersasar kepada golongan memerlukan

    MAJLIS Pemulihan Negara (MPN) hari ini menggesa kerajaan untuk mengkaji bentuk subsidi yang digunakan sebelum ini bagi memastikan bantuan disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan manfaat tersebut.

    Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kajian untuk melaksanakan subsidi bersasar diperlukan ekoran hampir 50 peratus subsidi yang disalurkan oleh kerajaan dinikmati oleh golongan yang berpendapatan tinggi.

    Katanya, usaha itu perlu disegerakan bagi memastikan rakyat yang berada di dalam golongan B40 atau kumpulan pendapatan rendah yang lain dihulurkan bantuan secara saksama.

    “Majlis telah berbincang masalah perlunya kerajaan untuk mengkaji bentuk subsidi yang pernah digunakan sebelum ini cukup besar. Mungkin dicadangkan supaya subsidi bersasar dilaksanakan iaitu hanya mereka yang berhak dan layak dalam kategori umpamanya B40 ke B50.

    “Jika langkah segera boleh diambil untuk dikaji semula bagi mengkhususukan subsidi kepada golongan yang memerlukan, maka kesan daripada inflasi dapat dikurangkan,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat MPN di Putrajaya, hari ini.

    Menurut Muhyiddin lagi, MPN berpendapat indikator-indikator ekonomi yang memberansangkan akan lebih bermakna apabila kesejahteraan dan ekonomi rakyat bergerak seiring.

    “Semua pemegang taruh perlu bekerjasama dalam menangani kenaikan harga barangan terutamanya barang makanan supaya semua rakyat Malaysia dapat menikmati hasil pemulihan ekonomi pasca pandemik yang lebih menyeluruh dan bermakna,” ulasnya.

    Muhyiddin turut memaklumkan MPN telah berbincang dengan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mempertimbangkan satu tabung makanan atau ‘Fund For Food’ bagi mengurangkan bebanan inflasi yang dirasai oleh rakyat Malaysia.

    “Kita juga bincang bersama BNM supaya mempertimbangkan satu tabung makanan atau Fund For Food yang dulu pernah disediakan tapi diminta supaya di peringkat institusi kewangan, bank-bank komersil perdagangan Malaysia menyediakan sebahagian daripada pinjaman mereka untuk menggalakkan pengusaha-pengusaha pertanian meneroka secara lebih agresif untuk mengeluarkan bahan-bahan yang diperlukan negara.

    “Mungkin perkara ini dapat mengurangkan beban tekanan inflasi yang dihadapi oleh penduduk Malaysia dalam kategori B40,” ujarnya lagi.

  • Najib lantik Hisyam Teh Poh Teik peguam baharu untuk kes SRC

    Najib lantik Hisyam Teh Poh Teik peguam baharu untuk kes SRC

    DATUK Seri Najib Razak melantik Hisyam Teh Poh Teik sebagai peguam utama bagi mewakilinya dalam rayuan akhir kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. yang akan didengar pada Ogos depan.

    Perkara itu disahkan Firma guaman Tetuan Zaid Ibrahim Suffian TH Liew & Partners (ZIST) yang baru dilantik bekas Perdana Menteri itu dalam suratnya dialamatkan kepada Pejabat Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, memaklumkan Najib melantik Hisyam sebagai peguam utama dan Liew Teck Huat serta Rueben Mathiaravanam, sebagai peguam bersama.

    Surat berkenaan turut menyatakan barisan peguam diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah tidak lagi mewakili Najib dalam kes rayuan akhir berkenaan.

    “Dalam hal ini, kami dengan penuh hormatnya memohon supaya mahkamah merekodkan penukaran peguamcara dan kaunsel (peguam), sepertimana yang dinyatakan.

    “Selaras dengan penukaran ini, kami juga memohon mahkamah untuk menetapkan satu tarikh sebutan dan tarikh pengurusan baharu dengan segera mengikut keselesaan mahkamah, bagi membolehkan kaunsel mengemuka maklumat terkini dan mendapatkan arahan selanjutnya daripada mahkamah.

    “Oleh kerana pengurusan kes ditetapkan pada 29 Julai ini rayuan pada 15 hingga 26 Ogos ini, kami berharap bahawa perkara ini boleh diuruskan dengan kadar segera bagi membolehkan pihak mendapatkan arahan yang diperlukan daripada mahkamah,” kata surat itu, memetik laporan Berita Harian, hari ini.

    Pada 8 Disember tahun lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan salah serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke atas Najib, selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana SRC International.

    Hisyam ialah peguam Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang berdepan 47 pertuduhan membabitkan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah jutaan ringgit milik Yayasan Akalbudi.

  • Polis tahan pemandu lori ugut, acu pisau

    Polis tahan pemandu lori ugut, acu pisau

    POLIS hari ini menahan seorang pemandu lori yang mengacu pisau terhadap pemandu lori lain di Jalan Parang, Bandar Sultan Suleiman.

    Lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan pukul 12.25 tengah malam di Klang.

    Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, penahanan itu susulan laporan polis dibuat seorang pemandu lori berusia 30-an pada pukul 5.15 petang semalam, mendakwa lori dipandunya telah dipintas dan ditahan suspek yang memandu sebuah lori.

    “Suspek dikatakan telah turun dari lori dengan membawa sebilah pisau dan terus mengugut mangsa dengan kata-kata ‘u tak kenal lagi siapa aku, kau tunggu aku cari kau’.

    “Siasatan awal mendapati motif kejadian lebih kepada buli jalan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapo Sinar Harian.

    Beliau berkata, suspek mempunyai satu rekod lampau berkaitan curi motosikal namun ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah.

    Katanya, suspek kini direman selama tiga hari untuk siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

    hari ini tular satu video berdurasi 31 saat memaparkan tindakan seorang lelaki mengacukan senjata dipercayai pisau terhadap pemandu lori.

  • ”Jika tiada MA63,tiadalah Malaysia” -Maximus Ongkili

    ”Jika tiada MA63,tiadalah Malaysia” -Maximus Ongkili

    CADANGAN mengadakan perjanjian baharu bagi menggantikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) merupakan pandangan yang terpesong daripada perjuangan nasionalisme negara.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata sekiranya MA63 diabaikan, ia bermakna membelakangkan Persekutuan Malaysia.

    “Perjanjian Malaysia 1963 adalah dokumen ‘suci’ dan asas pembentukan Persekutuan Malaysia, yang bermaksud jika tiada MA63, tiadalah Malaysia.Tiada siapa yang harus mengubah perjanjian asas yang membawa kepada pembentukan Malaysia,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

    Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Azis Jamman (Warisan-Sepanggar) mengenai pandangan kerajaan terhadap cadangan beberapa ahli politik termasuk Ahli Parlimen Keningau berhubung keperluan perjanjian baharu bagi menggantikan MA63 dan implikasinya kepada Wilayah Sabah dan Sarawak.

    Menurutnya MA63 amat penting kerana tanpanya tidak akan ada rujukan dan asas untuk membincangkan isu-isu yang dapat memberikan manfaat kepada Sabah dan Sarawak.

    “Kita harus memberi tumpuan kepada perkara seperti sama ada perkara yang dipersetujui semasa pembentukan Malaysia telah dipatuhi dan sama ada hak itu ada yang masih belum dipenuhi, maka tanggungjawab kita untuk sama-sama memastikan ia dilaksanakan,” katanya.

    Ongkili turut mengingatkan semua supaya bersatu padu membina keamanan dan perpaduan di negara ini serta mengelak daripada bermain dengan semantik dan politik yang boleh mengganggu gugat kesatuan Keluarga Malaysia.

    Dalam pada itu, Datuk Seri Dr Gapari Katingan (STAR-Keningau) bangun mengakui pernah membuat kenyataan berhubung perkara itu.

    “Kini, kerajaan telah mengambil langkah untuk melaksanakan dan menghormati kandungan Perjanjian MA63, maka apa yang saya cadangkan pada waktu itu tidak lagi relevan,” katanya.

    — BERNAMA