Category: Semasa

  • Mahkamah minta hukuman mati pembunuh rakan sekelas disiar secara langsung

    Mahkamah minta hukuman mati pembunuh rakan sekelas disiar secara langsung

    SEBUAH mahkamah di Mesir merancang menyiarkan pelaksanaan hukuman mati seorang pembunuh yang menikam rakan sekelasnya sehingga mati.

    Mohamed Adel, 21 didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman mati pada 6 Julai lalu kerana membunuh Naira Ashraf, rakan sekelasnya di Universiti Mansoura selepas mangsa menolak lamaran untuk berkahwin.

    Mahkamah meminta hukumannya disiarkan secara langsung sebagai pengajaran agar kejadian kejam tersebut tidak berulang.

    Dalam sebuah surat kepada Parlimen mereka, mahkamah tersebut berkata, “Siaran tersebut, walaupun hanya sebahagian daripadanya, akan mencapai objektif pencegahan yang tidak boleh dicapai.”

    Sebuah rakaman mengerikan menunjukkan Adel menyerang Naira di luar universiti tersebut.

    Mangsa mati di tempat kejadian selepas orang awam menahan Adel ketika dia memegang pisau dan berdiri di depan mayat Naira.

    Naira ditikam berulang-ulang di bahagian leher dan dada, menurut media tempatan. Di Mesir, hukuman mati untuk orang awam yang didakwa adalah gantungan.

  • 47 warga asing ditahan JPJ atas pelbagai kesalahan jalan raya

    47 warga asing ditahan JPJ atas pelbagai kesalahan jalan raya

    JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang menyita sebanyak 47 buah kenderaan yang didapati dipandu oleh warga asing yang dikesan melakukan pelbagai kesalahan.

    Kesemua kenderaan itu diperiksa menerusi Op Pemandu Warga Asing (PeWA) oleh Unit Operasi bersama Unit Peronda Bermotosikal (UPB), JPJ Pulau Pinang di bulatan Seberang Jaya, di Butterworth semalam.

    Dalam operasi selama dua jam bermula pukul 7 pagi itu, kenderaan yang disita terdiri daripada 44 buah motosikal selain dua buah kenderaan persendirian serta sebuah lori kecil.

    JPJ Pulau Pinang dalam kenyataan menerusi media sosial Facebook berkata, operasi itu diadakan bertujuan memastikan pemandu warga asing memiliki lesen memandu dan dokumen pengenalan diri yang sah selain mematuhi peraturan serta undang-undang jalan raya yang ditetapkan.

    Menurutnya, pemandu Rohingya yang memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) paling ramai ditahan dalam operasi itu iaitu seramai 20 orang diikuti warga Bangladesh (9); Indonesia (7), Vietnam (4), India (3), Myanmar (2) serta masing-masing seorang dari Nepal dan Kemboja.

    Jelaenya, kesalahan tiada lesen memandu paling banyak dikesan selain kesalahan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans dan kesalahan teknikal lain.

    “Semakan terhadap maklumat kenderaan juga mendapati ada segelintir warga tempatan sanggup menyewakan kenderaan milik mereka untuk kegunaan warga asing dengan bayaran sewaan bulanan,” katanya.

    Katanya, kesemua kenderaan tersebut disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan dibawa ke pejabat JPJ Pulau Pinang di sini.

    “Penguatkuasaan ini akan dilaksanakan secara berterusan dari semasa ke semasa dan tindakan tegas akan diambil terhadap pemandu warga asing serta pemilik kenderaan yang ingkar terhadap peraturan serta undang-undang ditetapkan semasa memandu di negeri ini,” katanya.

  • ADUN Tronoh, Paul Yong bersalah rogol pembantu rumah

    ADUN Tronoh, Paul Yong bersalah rogol pembantu rumah

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini atas pertuduhan merogol pembantu rumahnya pada 2019.

    Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed yang membacakan penghakiman kira-kira pukul 10.10 pagi memutuskan Yong bersalah selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

    Beliau juga dihukum penjara 13 tahun dan dua sebatan.

    Yong, memakai kemeja putih, berada di kandang tertuduh kelihatan tenang ketika penghakiman itu dibacakan oleh Abdul Wahab.

    Mahkamah menangguhkan prosiding seketika bagi membolehkan pihak pembelaan menyediakan hujahan rayuan sebelum menjatuhkan hukuman.

    Pada 31 Mac 2022, pasukan pembelaan diketuai peguam Datuk Rajpal Singh bersama Salim Bashir menutup kesnya selepas memanggil tiga saksi iaitu Yong, 52, dan isteri, Too Choon Looi, 46, serta bapa saudara kepada pembantu rumah itu.

    Yong didakwa merogol pembantu rumah warga Indonesia berusia 23 tahun itu di sebuah bilik di tingkat atas rumahnya di Meru Desa Park antara 8.15 hingga 9.15 malam pada 7 Julai 2019.

    Dia dituduh mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

    Mahkamah Tinggi sebelum ini, memerintahkan Yong membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya. – BERNAMA

  • Pelanjutan perlu kerana SOSMA bukan jenayah biasa – Muhyiddin

    Pelanjutan perlu kerana SOSMA bukan jenayah biasa – Muhyiddin

    PELANJUTAN penguatkuasaan pelaksanaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) perlu bagi memberikan lebih masa kepada pihak berkuasa melakukan siasatan terperinci dan lengkap

    Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tempoh tahanan yang lebih lama daripada yang diperuntukkan di bawah kanun tatacara jenayah ini adalah perlu, kerana kesalahan di bawah SOSMA bukanlah kesalahan biasa.

    “Tetapi (SOSMA) adalah jenayah yang berkaitan dengan kegiatan keganasan ataupun sebarang tindakan yang boleh mengancam ketidaktenteraman awam dan keselamatan negara.

    “Proses pengumpulan bahan bukti dalam kes-kes seumpama ini biasanya mengambil masa yang panjang selain melibatkan pihak penguatkuasa negara asing sekiranya ia membabitkan jenayah rentas sempadan.

    “Contoh klasik bagi kes seumpama ini adalah pencerobohan oleh pengganas asing di Lahad Datu pada tahun 2013 yang mana selebih 100 orang individu telah didakwa di bawah SOSMA.

    Mujurlah ketika itu, kita mempunyai peruntukan subseksyen 4(5) SOSMA yang membolehkan suspek ditahan untuk tempoh yang lebih lama daripada biasa.

    “Dan ini memberikan masa yang secukupnya bagi pihak polis untuk mengumpul bahan bukti dan melengkapkan siasatan sebelum orang yang dituduh dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sesi perbahasan Usul Pelanjutan kuatkuasa subseksyen 4 (5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah) Khas SOSMA 2012 di Dewan Rakyat pada Selasa.

    Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) itu berkata, beliau bimbang, negara mungkin akan terdedah dengan risiko ancaman keselamatan yang lebih meruncing di masa hadapan dan tindakan pihak PDRM akan menjadi lebih terbatas dalam menangani ancaman ini tanpa peruntukkan subsekysen 4(5) SOSMA ini.

    “Harus diingat bahawa usul ini tidak bermakna kita mempertikaikan kredibiliti dan kecekapan anggota polis yang sememangnya arif dalam menjalankan tugas mereka.

    “Namun, dalam kes-kes yang melibatkan jenayah keganasan dan ancaman terhadap keselamatan negara, kita memerlukan langkah yang lebih khusus untuk membantu pihak polis melengkapkan siasatan dan pada masa yang sama mengelakkan risiko suspek lepas bebas untuk melakukan tindakan-tindakan keganasan yang boleh mengancam keselamatan negara dan nyawa rakyat,” katanya.

    Pada Julai tahun lalu, Dewan Rakyat meluluskan usul untuk membatalkan keputusan dewan pada 23 Mac lalu yang menolak lanjutan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) itu.

  • Persediaan awal KKM tidak memungkinkan negara laksana PKP, kawalan sempadan

    Persediaan awal KKM tidak memungkinkan negara laksana PKP, kawalan sempadan

    PERSEDIAAN awal yang dibuat Kementerian Kesihatan (KKM) dalam berdepan dengan peningkatan kes COVID-19 dan kebarangkalian penularan jangkitan monkeypox dalam negara tidak memungkinkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mahupun kawalan sempadan negara.

    Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata setakat ini jangkitan monkeypox dan peningkatan kes COVID-19 di dalam negara masih terkawal.

    “Dari laporan KKM tadi semua dalam keadaan terkawal, mereka pantau dengan ada langkah yang mereka telah dan sedang ambil… yang agak merunsingkan sebab banyak negara lain ada peningkatan kes tetapi di Malaysia ada sedikit namun tidak mengganggu usaha yang sedang dibuat untuk mengawal keadaan.

    Tadi juga ada disebutkan tentang monkeypox namun keadaannya terkawal di Malaysia. Dari penjelasan KKM tadi, mereka sudah bersedia dengan pengalaman lebih dua tahun uruskan pandemik COVID-19 beri mereka banyak pengajaran, mereka sudah ambil segala langkah perlu, kita harap tidak akan berulang semula cerita-cerita dahulu yang sebabkan kita terpaksa kawal sempadan atau kenakan PKP,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat MPN kali ketujuh bagi tahun 2022 hari ini.

    Muhyiddin berkata berdasarkan laporan KKM itu tadi, MPN juga berpuas hati bahawa KKM yang telah bersedia menghadapi apa sahaja bentuk kemungkinan sekiranya wabak berkenaan muncul kembali.

    Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, menerusi mesyuarat itu, MPN juga bersetuju dengan saranan KKM bagi mempertingkatkan pengawasan dan advokasi mengenai monkeypox termasuk mempertingkatkan pengawasan di pintu masuk antarabangsa negara.

    Katanya, bagi pengembara yang tiba dari negara-negara yang melaporkan monkeypox, mereka dinasihatkan memantau status kesihatan kendiri setiap hari termasuk gejala jangkitan monkeypox untuk tempoh selama 21 hari dari tarikh ketibaan di Malaysia.

    “Pengembara bukan warganegara yang tiba dari negara terbabit akan menerima mesej kesihatan pop-naik setiap hari untuk mengingatkan mereka agar memantau gejala jangkitan monkeypox dan status kesihatan.

    Selain itu, memberikan nasihat kesihatan kepada pengembara Malaysia ke negara-negara yang terdapat kejadian monkeypox terutamanya di Afrika Tengah dan Afrika Barat,”katanya.

    Semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengingatkan semua pusat kemudahan kesihatan agar peka dengan situasi semasa monkeypox serta meningkatkan pengesanan kes dalam kalangan pesakit yang berisiko susulan pengumuman Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa jangkitan monkeypox kini adalah Kejadian Kecemasan Kesihatan Awam Yang Menjadi Kebimbangan Antarabangsa (PHEIC).

    Katanya sebanyak sembilan kes disyaki cacar monyet telah dinotifikasi kepada KKM setakat 23 Julai dan kesemuanya disahkan negatif.

    — BERNAMA

  • Pekerja maut dilanggar forklift

    Pekerja maut dilanggar forklift

    PEKERJA sebuah kilang besi di Bintulu maut selepas dilanggar forklift semasa bekerja pada pukul 6.30 pagi kelmarin.

    Pejabat Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Sarawak dalam kenyataan berkata, semasa kejadian, mangsa sedang menjalankan tugasan harian sebelum dilanggar forklift terbabit.

    “Semasa kejadian, mangsa dikatakan sedang dalam perjalanan menuju ke ‘billet casting’ sebelum dilanggar forklift dari arah belakang.

    “Insiden rempuhan turut menyebabkan mangsa terjatuh lalu badannya terperosok ke bawah trak angkat susun terbabit,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Menurutnya, mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Bintulu bagi diberikan rawatan lanjut tetapi disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan hospital berkenaan.

    Berikutan insiden terbabit, pegawai penyiasat dari JKKP Sarawak Cawangan Bintulu membuat siasatan di lokasi kejadian.

    “Operasi forklift dihentikan sementara menunggu siasatan lanjut dijalankan berhubung insiden yang meragut nyawa itu,” katanya.

    Kes disiasat mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan Akta Kilang dan jentera 1967.

  • Wartawan jadi ‘bidan terjun’ sambut kelahiran anak saudara

    Wartawan jadi ‘bidan terjun’ sambut kelahiran anak saudara

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG wartawan daripada portal berita MalaysianGazzete berdepan detik cemas dan teruja membantu kakak iparnya melahirkan anak dalam kereta sebelum sempat memulakan perjalanan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru, semalam.

    Ernalisa Othman, 36, berkata, kejadian itu berlaku pada jam 5.54 pagi semasa dia dan abangnya, Ezwan Othman, 42, bergegas mahu menghantar kakak iparnya, Nur Farahain Ali, 33, dari Taman Saujana, Plentong, Johor Bahru untuk bersalin di HSI.

    Menceritakan pengalaman pertama kalinya itu, dia berkata, semasa kejadian kakak iparnya sudah mula sakit kuat sebelum mereka mengambil keputusan menghantarnya ke HSI yang mengambil perjalanan kira-kira 30 minit.

    “Semasa kejadian cuma saya, kakak ipar dan abang berada di rumah manakala ibu kami berada di rumah saudara di Singapura. Saya melihat abang seperti kaku dan panik tidak tahu apa yang mahu dilakukan apabila kakak ipar semakin sakit dan menyatakan hampir nak bersalin.

    “Saya menghubungi talian kecemasan namun pegawai perubatan Hospital Sultan Ismail (HSI) menyatakan ambulans tiada dan perlu menunggu 45 minit,” katanya ketika ditemui hari ini.

    Dalam situasi cemas itu dia meminta abangnya membawa masuk kakak ipar ke dalam kereta untuk dibawa ke HSI ketika azan subuh berkumandang.

    “Bagaimanapun belum sempat kereta bergerak, kakak ipar semakin kuat sakit dan saya terpaksa memberanikan diri cuba menyambut kelahiran anak saudara. Saya sempat melakukan panggilan kepada pegawai perubatan HSI untuk panduan menyambut bayi,” ujarnya.

    Dia berjaya menyambut kelahiran bayi lelaki berkenaan yang merupakan anak kedua kepada pasangan tersebut dan pegawai perubatan kemudian terbabit memintanya mengambil tali kasut untuk mengikat tali pusat.

    “Selepas itu saya ambil kain batik, lap darah bayi dan bedung bayi yang masih bertali pusat. Saya cuma lakukan apa yang mampu dan cuba tenangkan fikiran, sekiranya saya panik, saya yakin ia lebih rumit. Alhamdulilah ibu dan anak kedua-duanya sihat,” katanya.

    Ernalisa berkata, anak saudara kelimanya itu dilahirkan dengan berat 2.56 kilogram sebenarkan diramalkan lahir pada 11 Ogos depan.

    “Saya yakin detik ini ada hikmahnya, saya sangat teruja dan terbayangkan besarnya pengorbanan seorang ibu dan kuasa tuhan. Anak saudara saya dinamakan sebagai Ean Esmael,” katanya yang menjadi wartawan sejak 2005.

    Dia sangat bersyukur dengan kelahiran anak saudaranya itu namun agak terkilan apabila pihak hospital memaklumkan tiada ambulans ketika waktu kecemasan dan diharap kekurangan ini dapat diatasi.

    “Ini adalah detik paling berharga memandangkan selalunya saya membuat liputan kejadian seumpama ini sebaliknya semalam saya sendiri menghadapinya apabila kakak ipar bersalin dalam kereta,” katanya.

  • Kosas sasar 100 cawangan Richiamo Coffee dalam tiga tahun

    Kosas sasar 100 cawangan Richiamo Coffee dalam tiga tahun

    KOPERASI Serbaguna Anak-anak Selangor (Kosas) merancang untuk membuka 100 cawangan Richiamo Coffee di seluruh negara menjelang tiga tahun akan datang.

    Kosas yang baru dilantik sebagai Master Licensee bagi segmen koperasi oleh Richiamo Coffee menyasarkan jumlah tersebut akan dikendalikan oleh koperasi-koperasi yang berminat menjalankan perniagaan kedai kopi.

    Pengerusi Kosas, Datuk Mohd Aini Mohd Taib berkata, Kosas melihat potensi untuk berkembang perniagaan kedai kopi ini amat luas ditambah dengan bantuan dari kerajaan terutamanya Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

    “Bayangkan ketika ini jumlah keseluruhan koperasi di seluruh negara lebih kurang 14,000 buah, Kosas menawarkan satu sumber pendapatan baru untuk mereka ini dengan tawaran yang amat berbaloi.

    “Untuk menjalankan perniagaan kedai kopi ini, koperasi tidak perlu mengeluarkan modal kerana SKM memberi geran RM200,000 manakala RM100,000 lagi boleh dapatkan pinjaman,” katanya.

    Pelantikan Kosas sebagai Master Licensee itu adalah bagi meneroka peluang perniagaan untuk koperasi-koperasi yang berminat untuk membuka perniagaan Richiamo Coffee sebagai sumber pendapatan kepada para ahli mereka.

    Jumlah koperasi tersebut meliputi koperasi-koperasi sekolah, koperasi pertubuhan, koperasi keluarga, koperasi kakitangan awam dan swasta dan lain-lain.

    Mohd Aini berkata, bagi memudahkan pembukaan Richiamo Coffee oleh koperasi-koperasi ini, koperasinya akan membuka jalan dengan memberi bantuan khidmat nasihat serta bantuan kewangan dari SKM dan juga Bank Rakyat.

    Di majlis tersebut, Kosas turut menyampaikan surat tawaran kepada lima koperasi untuk menjalankan perniagaan Richiamo Coffee.

    Di majlis yang sama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar turut merasmikan cawangan Richiamo Coffee di Kelana Jaya yang dimiliki oleh Kosas.

  • Mengapa Hadi kata begitu?

    Mengapa Hadi kata begitu?

    Oleh BADLISHAH MAT

    KENYATAAN Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa parti itu mahu memerintah sendirian negeri Kedah tanpa kerajaan campuran boleh memberi isyarat tidak baik kepada Perikatan Nasional (PN).

    Meskipun tidak jelas apa yang dimaksudkan Abdul Hadi, namun ucapan ‘kalau boleh kita memerintah bersendirian di Kedah. Bukan kita menumpang kerajaan campuran. Orang tumpang kita, kita menguasai kerajaan, seboleh-bolehnya begitu’ telah ditafsir dengan pelbagai andaian.

    Jika beliau menyebut PN yang mahu mentadbir sendirian tanpa Barisan Nasional (BN), mungkin kenyataan itu agak jelas dan tidak akan menjadi pertikaian serta diambil kesempatan oleh musuh politik PN untuk mengkucar-kacirkan keadaan.

    Malah, Abdul Hadi dan Pas Kedah sendiri mungkin sedar bahawa kerajaan negeri Kedah kini bukan sahaja memiliki dua kerusi UMNO di pihak kerajaan, tetapi enam kerusi lagi yang disumbangkan oleh Bersatu.

    Sekiranya hanya bergantung 15 kerusi Pas daripada keseluruhan 36 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), mustahil Pas boleh kembali menjadi kerajaan kali kedua di negeri itu.

    Ketika ini, musuh politik PN ibarat mendapat satu ‘kemenangan’ moral apabila Abdul Hadi bercakap perkara itu ketika menyampaikan amanat khas di Kompleks Pas Kedah di Kota Sarang Semut.

    Sehinggakan, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang selama ini hilang entah ke mana pun tiba-tiba muncul membidas kenyataan Abdul Hadi itu.

    Maka, sewajarnya Pas atau Abdul Hadi sendiri perlu lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan selepas ini kerana PN bukan hanya ada mereka tetapi Bersatu yang memberi impak besar kepada dunia politik tanah air.

    Suka diingatkan juga, politik Kedah bukan seperti di Kelantan atau Terengganu, rakyat negeri ini boleh tukar-tukar sahaja kerajaan negeri seperti yang diakui sendiri Timbalan Presiden UMNO bahawa Kedah sebagai ‘swing state’.

    Jika tidak berhati-hati sehingga membuka ruang kepada orang luar menyerang PN, sukar juga untuk Pas dan Bersatu mempertahankan Kedah. Sebaliknya kerjasama atau Ta’awun antara parti-parti dalam PN kena diperkukuh lagi.

  • Saksi terakhir positif COVID-19, bicara kes Ahmad Zahid ditangguh

    Saksi terakhir positif COVID-19, bicara kes Ahmad Zahid ditangguh

    MAHKAMAH Tinggi Shah Alam menangguhkan perbicaraan kes Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menghadapi 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) hari ini, ke Jumaat kerana saksi pendakwaan terakhir kes itu dijangkiti COVID-19.

    Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran memberitahu Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa bahawa saksinya yang merupakan pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia memaklumkan perkara itu pada lewat malam tadi.

    Raja Rozela berkata pihaknya akan memanggil saksi pendakwaan ke-18 itu selepas dia disahkan pulih daripada jangkitan berkenaan.

    “Pihak kami dimaklumkan pada lewat malam tadi, pegawai penyiasat kes ini positif COVID-19. Jadi, kami tidak dapat memanggil dia hari ini.

    “Kami mohon agar tarikh bicara pada minggu ini dikekalkan. Kami ingin mengambil kira bahawa jika saksi sihat pulih semula, sudah negatif, kami ingin memanggil saksi tersebut hadir pada Jumaat (29 Julai),” katanya.

    Raja Rozela, yang mengetuai pasukan pendakwaan, turut memohon tarikh perbicaraan pada Ogos dikekalkan supaya dapat meneruskan prosiding itu.

    “Sudah banyak tarikh bicara ditetapkan. Kita ada beberapa lagi pada Ogos ini, jika tiada aral melintang, perbicaraan boleh diteruskan ke tarikh itu,” katanya.

    Sebelum ini, mahkamah menetapkan tarikh sambung bicara pada 10, 11, 12 dan 24 Ogos.

    Dalam perbicaraan itu, pendakwaan diwakili Raja Rozela, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Abdul Malik Ayob dan Zander Lim Wai Keong manakala Ahmad Zahid diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik, Datuk Ahmad Zaidi Zainal dan Hamidi Mohd Noh.

    Ahmad Zahid, 69, menghadapi 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri bagi menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan Sistem Visa Luar Negara (VLN) serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat yang sama oleh Kementerian Dalam Negeri.

    Bagi tujuh lagi pertuduhan, dia didakwa memperoleh untuk dirinya SG$1,150,000; RM3 juta; 15,000 Swiss Franc dan US$15,000 daripada syarikat sama yang mempunyai kaitan rasmi dengan tugas rasminya.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya, dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018. – Bernama