Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) bersetuju kepada pindaan Perlembagaan UMNO agar pemilihan parti itu di semua peringkat diadakan tidak boleh lebih daripada enam bulan selepas diadakan sesuatu Pilihan Raya Umum Parlimen .
Ketika memaklukan keputusan RoS itu, Setiasaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan dalam satu kenyataan berkata, kelulusan ROS itu berkuat kuasa hari ini.
‘’Adalah dimaklumkan bahawa saya telah menerima surat daripada Pendaftar, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM/ROS) pada petang Jumaat 29 Julai 2022.
Sukacita dimaklumkan bahawa RoS telah meluluskan dengan sedikit pindaan kepada permohonan berkaitan Perlembagaan UMNO. RoS juga meminta agar satu pemilihan perlu diadakan dalam satu penggal Pilihan Raya Umum Parlimen (Dewan Rakyat),’’ katanya.
Beliau berkata, ia bermakna pemilihan UMNO untuk penggal ini hanya akan dibuat tidak lewat daripada 6 bulan selepas PRU-15 diadakan.
‘’Bagi pihak UMNO, saya ingin merakamkan ucapan berbanyak terima kasih kepada RoS dan semua pihak yang terlibat dalam meluluskan pindaan Perlembagaan UMNO,’’ katanya.
SEORANG lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Melaka, hari ini terhadap pertuduhan menendang muka isterinya awal bulan ini.
Tertuduh, Danial Dallas Abdullah, 41, membuat tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah terhadapnya di hadapan Majistret Nabiha Mohd. Noor.
Difahamkan tertuduh bertindak mencederakan isteri selepas mendakwa mangsa yang bekerja di sebuah kedai makan bersikap curang.
Mengikut kertas pertuduhan, bapa kepada dua cahaya mata itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya, Norazlinda Ali, 41, dengan cara menendang muka mangsa.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 8 malam di sebuah rumah di Taman Kesidang, pada 4 Julai lalu.
Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 326A Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM2,000.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ehsan Nasarudin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Muhamad Ehsan mencadangkan jaminan sebanyak RM5,000 dikenakan terhadap tertuduh.
Bagaimanapun, tertuduh memohon jaminan rendah kerana hanya memperoleh pendapatan kira-kira RM1,200 sebulan selain menyara dua anak.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 September depan tarikh sebutan semula kes.
EMPAT lelaki didakwa atas tuduhan merogol seorang remaja perempuan bawah umur di Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini.
Muhammad Azeem Abdul Rahman, 20, Mohamad Ariff Haikal Arapin, 21, dan seorang lelaki berusia 17 tahun 10 bulan didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah tidak bernombor di Taman Dovenby Sungai Siput, antara pukul 1 pagi hingga 2 pagi pada 14 Julai lalu.
Sinar Harian melaporkan, pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 375B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara 10 tahun hingga 30 tahun jika sabit kesalahan.
Seorang lagi tertuduh, Afiq Yan Muhammad Farid Yan, 20, didakwa di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara 10 tahun hingga 30 tahun dan dengan sebatan jika sabit kesalahan.
Berdasarkan pertuduhan, dia melakukan perbuatan itu dengan remaja perempuan yang sama di dalam bilik sebuah rumah di Jalan Felda Lasah, Kampung Pulau Mentimun, Sungai Siput, antara pukul 1 pagi hingga 2 pagi pada 17 Julai lalu.
Bagaimanapun kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah atas tuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Asmaniza Muhamad manakala tertuduh diwakili peguam Navin Punj, Mahajoth Singh dan S Sundarajan.
Ainul Shahrin menetapkan sebutan semula kes pada 2 September depan di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar.
Mahkamah membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000, RM8,000 dan RM10,000 dengan seorang penjamin.
Pada 22 Julai lalu, media melaporkan Polis Perak menahan enam lelaki termasuk remaja selepas disyaki merogol seorang pelajar perempuan dalam kejadian di sini pada 16 Julai.
Kesemua mereka yang berusia lingkungan 16 hingga 21 tahun itu ditahan sekitar Ipoh pada Rabu selepas ibu mangsa membuat laporan polis.
POLIS sedang mengesan seorang lelaki dan dua wanita bagi membantu siasatan berkaitan kes dera melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun di Jempol, dipercayai sejak Mei lepas.
Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook berkata mereka ialah R.Guna Silan, 42, K.Nagamah, 41 dan G.Nisha, 21, masing-masing beralamat di Taman Seri Mahsan, Jempol yang juga merupakan bapa dan ibu saudara serta sepupu mangsa.
“Mangsa dijaga oleh individu berkenaan dengan upah sebanyak RM300 sebulan kerana ibunya bekerja di Johor. Hasil siasatan mendapati terdapat kesan dera seperti melecur, lebam, parut dan kecederaan lain pada keseluruhan badan mangsa.
“Kejadian ini dipercayai bermula pada 26 Mei lepas sehingga mangsa diselamatkan oleh ibu saudaranya yang lain sebelum ibunya membuat laporan polis pada 10.54 pagi, Rabu lepas. Ketiga-tiga suspek dipercayai telah menghilangkan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kanak-kanak itu kini dirawat di Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah dan dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat daerah Jempol.
Hoo berkata polis telah menubuhkan pasukan khas untuk mengesan ketiga-tiga individu berkenaan bagi siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan. – Bernama
SEORANG ibu terkilan dan kecewa selepas anak lelakinya yang berstatus autisme dipercayai didera di sebuah pusat terapi berbayar dalam sebuah universiti awam di Skudai, Johor Bahru, pada 17 Julai lalu.
Nik Huzaiwati Husin, 33, iaitu ibu kepada kanak-kanak tersebut, Tuan Muhammad Uwais Abrisam, 6, pada mulanya tidak curiga dengan kesan lebam dan cedera dialami anakanya setiap kali pulang dari pusat terapi itu.
Suri rumah dari Pulai Sri Perdana, Kulai itu mula menghantar anak sulungnya itu yang menghidap didiagnosis mild autism untuk mendapatkan rawatan di pusat tersebut sejak November 2019.
“Apabila kesan lebam dan cedera semakin ketara sejak awal tahun ini, saya dan suami mula merasa ada sesuatu yang tidak kena berlaku kepada anak kami yang lebih mesra dipanggil Abrisam.
“Apabila bertanya mengapa ada kesan seperti itu, guru di sana memmberitahu disebabkan aktiviti di pusat berkenaan. Mulanya saya percaya tapi apabila bermula Januari tahun ini, kesan kecederaan sudah mula teruk sehingga nampak kesan penampar di pipi kiri kanan muka.
“Masa tu kami sudah mula syak Abrisam didera, sebab jelas nampak kesan tapak tangan dan penjelasan yang diberikan kesemuanya tidak masuk akal. Ahli terapi berkenan cakap muka Abrisam kena palang ‘monkey bar’, tetapi kesan cedera tidak seperti kena besi.
“Masa itu saya sudah tidak sedap hati. Kami tanya hampir semua ahli terapi di situ tetapi semua beri penjelasan yang kononnya anak saya tidak mahu bergerak dari palang besi itu. Hati saya berat sangat hendak terima alasan mereka”, katanya ketika dihubungi.
Setiap kali berlaku kecederaan terhadap anaknya, ibu kepada dua anak itu akan meminta penjelasan namun pada 7 Julai lalu terdapat lebam dan kecederaan baharu pada tubuh Abrisam sekali gus membuatkannya hilang sabar.
Dia dan suami kemudian membawa anaknya itu ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim di Kulai pada keesokkan hari sebelum doktor sahkan kecederaan Abrisam serius akibat dera dan bukan kerana aktiviti seperti dimaklumkan.
Nik Huzaiwati menunjukkan kesan lebam pada bahu kiri Abrisam yang didakwa menjadi mangsa dera di sebuah pusat terapi berbayar dalam sebuah universiti di Skudai, Kulai
“Selepas itu saya membuat laporan di Balai Polis Kangkar Pulai pada hari sama. Saya bawa kes anak ini mengikut prosedur. Polis minta kami bawa anak dan rujuk ke Pakar kanak-kanak di Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru pada 24 Julai lalu.
“Laporan perubatan juga sudah keluar, anak saya disahkan didera (Alleged Physical Abuse by Therapy),” katanya dan melahirkan rasa kecewa dengan pusat terapi berbayar berkenaan.
Nik Huzaiwati berkata, anaknya kelihatan sangat takut selepas tamat kelas terapi pada 7 Julai lalu dan kini mengalami trauma, hampir setiap malam akan berjaga dari pukul 1 pagi hingga 4.30 pagi.
“Keadaan Abrisam sangat resah. Kadang dia monyok, dia sedih, apabila saya pujuk, barulah dia tidur. Tapi Abrisam ini bukan budak autisme yang jenis menangis kuat-kuat. Abrisam lebih kepada simpan kesedihan dalam diri, nanti ada masa tiba-tiba air mata bergenang.
“Anak ini anak istimewa. Walaupun dia tidak beritahu dia sakit, tapi dia ada perasaan,” katanya yang sudah bertemu dengan Ketua Ahli Terapi dan pihak pengurusan pusat terapi terbabit.
Jelas Nik Huzaiwati, Ketua Ahli Terapi mengatakan peralatan yang digunakan memang tidak akan membahayakan kanak-kanak.
“Mereka juga mengakui kaedah dan cara kerja yang dibuat ahli terapi salah. Mereka melihat kecederaan pada Abrisam, besi tidak akan hasilkan kecederaan seperti kesan penampar pada wajah anak,” katanya.
SATU mayat seorang wanita tanpa identiti ditemukan penduduk di Kampung Muhibbah, Bukit Jalil, Kuala Lumpur hari ini.
Pusat Gerak Operas (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur dalam satu kenyataan berkata, mereka menerima panggilan kecemasan daripada orang awam sekitar pukul jam 10.51 pagi.
“Sebuah jentera, bot, dan dua unit kayak bersama 12 anggota dari Balai Bomba Bukit Jal8l dan Jalan Hang Tuah dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi, pihak polis memaklumkan menerima laporan disyaki ada satu mayat sedang terapung di lombong berhampiran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah.
“Siasatan awal mendapati mayat tersebut seorang wanita dewasa, identiti belum dikenal pasti dan telah berjaya dibawa naik ke tebing pada jam 12.16 tengah hari,” menurut kenyataan tersebut, lapor Sinar Harian.
Katanya, siasatan lanjut akan dijalankan pihak polis untuk mengenal pasti identiti dan punca kematian tersebut.
“Seterusnya, mayat diserahkan pada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat pada pukul 12.51 tengah hari,” ujarnya.
USAHAWAN Mawar Abdul Karim hari ini berjaya dalam permohonannya untuk mengetepikan penghakiman ingkar diperoleh ahli perniagaan Nabil Mat Jahya supaya wanita itu membayar balik pinjaman persahabatan berjumlah RM720,000 selepas gagal memasukkan kehadiran dalam saman berkenaan.
Nabil yang menyaman Mawar menuntut wang berjumlah RM720,000 yang diberikan kepada wanita itu, selaras dengan Perjanjian Pinjaman Persahabatan yang dipersetujui dan ditandatangani oleh mereka.
Peguam Datuk Mohd Imran Tamrin yang mewakili Mawar berkata pada prosiding hari ini di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Effandi Nazila Abdullah secara dalam talian, hakim itu membenarkan permohonan defendan (Mawar) untuk mengetepikan penghakiman ingkar itu.
“Lanjutan daripada keputusan itu, Mawar akan memfailkan pernyataan pembelaan dan tuntutan balas terhadap pihak yang dinamakan dalam kes ini dalam masa 14 hari bermula hari ini,” kata Mohd Imran ketika dihubungi.
Perkara itu turut disahkan peguam Nik Zarith Nik Moustpha yang mewakili Nabil.
Pada 11 Jan lepas, Nabil selaku plaintif diberi kebenaran oleh mahkamah untuk mendapatkan penghakiman ingkar terhadap Mawar, selepas beliau gagal memasukkan kehadiran dalam saman yang difailkan plaintif.
Sementara itu, Mawar dalam afidavit sokongan untuk mengetepikan penghakiman ingkar itu berkata beliau tidak pernah sama sekali menerima salinan termeterai penghakiman ingkar itu daripada plaintif atau peguamnya, pada setiap masa yang material sehingga notis pelantikan peguam bertarikh 14 April lepas difailkan oleh peguamnya.
Dalam saman difailkan pada Disember 2021, Nabil mendakwa dalam perjanjian itu defendan antaranya perlu membayar semula RM100,000 sebelum atau pada setiap 1 haribulan selama enam bulan berturut-turut bermula 1 Jun 2021, manakala bagi bulan terakhir iaitu bulan ketujuh, Mawar hendaklah membayar RM120,000 sebagai bayaran terakhir terhadap pinjaman wang tersebut.
“Bagaimanapun, sehingga ke tarikh pemfailan writ dan pernyataan tuntutan ini, defendan gagal untuk membayar balik keseluruhan pinjaman itu seperti yang termaktub di dalam perjanjian tersebut, walaupun beberapa kali dituntut dan diminta oleh saya atau wakil saya,” kata Nabil dalam pernyataan tuntutannya.–Bernama
MAHKAMAH Persekutuan menolak permohonan pasukan pembelaan Datuk Seri Najib Razak untuk menangguhkan pendengaran bagi rayuan kes rasuah SRC International yang dijadual bulan depan.
Sehubungan itu rayuan berkenaan akan didengar selama 10 hari mulai 15 Ogos di Mahkamah Persekutuan seperti yang dijadualkan sebelum ini.
Timbalan Pendakwa Raya Ashrof Adrin Kamarul memaklumkan perkara itu kepada pemberita selepas pengurusan kes di Mahkamah Persekutuan hari ini.
Selasa lalu, peguam yang baru dilantik Najib diketuai Hisyam Teh Poh Teik memohon penangguhan berkenaan memandangkan pasukan itu baru dilantik.
Pasukan peguam yang baru menggantikan pasukan peguam terdahulu yang diketuai Muhammad Shafee Abdullah bagi kes rayuan berkenaan.
Najib yang juga bekas Nenteri Kewangan berusaha untuk membatalkan sabitan bersalah atas tujuh pertuduhan salah guna kuasa, jenayah pecah amanah (CBT) dan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta dana SRC, serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.
Malaysiakini melaporkan, Ashrof Adrib mengesahkan keputusan Mahkamah Persekutuan tidak membenarkan permohonan penangguhan itu semasa pengurusan kes di hadapan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Wan Fatimah dan Siti Hajar Mustaffa.
“Hari ini pengurusan kes bagi permohonan bukti baru yang difailkan peguam terdahulu (bagi Najib, iaitu peguam dari Shafee & Co). Kemudian pindaan kepada usul tersebut untuk mendapatkan bukti baru.
“Kemudian isu pertukaran peguam (melibatkan pasukan peguam diketuai Hisyam) untuk rayuan utama.
“Mahkamah (persekutuan) telah memaklumkan bahawa tarikh pendengaran yang ditetapkan pada 15 hingga 26 Ogos 2022 dikekalkan, dan arahan untuk mematuhi perlu dipatuhi,” kata DPP, sambil menambah pendengaran akan dijalankan secara fizikal di mahkamah terbuka.
Usul untuk mendapatkan bukti baru merujuk kepada permohonan Najib untuk mengemukakan bukti tambahan bagi membatalkan sabitan bersalah terhadapnya dalam kes SRC, berhubung dakwaan bahawa Hakim perbicaraan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali mempunyai konflik kepentingan.
Ashrof berkata, Mahkamah Persekutuan menetapkan 15 Ogos untuk mendengar permohonan bukti baru Najib.
Semasa pengurusan kes yang diadakan melalui aplikasi zoom, pihak pendakwaan turut diwakili oleh DPP V Sithambaram.
Najib diwakili oleh Hisyam serta peguam Liew Teck Huat dan Rueben Mathiavaranam.
Turut hadir ialah Shafee, yang sebelum ini merupakan peguam bela Najib dalam rayuan itu.
ORANG Melayu dimomokan dengan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor sebagai tanda orang Melayu telah kembali kepada parti itu.
Namun hakikatnya, tegas Timbalan Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Marzuki Yahya 23 peratus undi BN pada PRN Johor sebenarnya adalah jumlah undi yang sama dimenangi oleh BN pada PRN Johor Ke-14 dengan hanya kurang satu peratus pertambahan undi.
Beliau berkata dengan jumlah 379,886 undi, UMNO hanya mampu mengekal 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), namun dengan jumlah undi yang lebih kurang sama, UMNO telah menguasai dua pertiga kerusi DUN Johor.
“Nyatanya, jumlah ini sebenarnya tidak mewakili keseluruhan sokongan orang Melayu pada satu parti tertentu. Walau bagaimana pun sesuatu yang harus diperakui, 45 peratus pengundi yang tidak keluar mengundi juga memberi indikasi bahawa parti pembangkang sama ada berbangsa berbilang-kaum atau cuba mengetengahkan alternatif kepada orang Melayu; masih tidak dapat diterima naratif atau tawaran mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja pada persidangan meja bulat Penjenamaan Semula Naratif Politik Melayu, di Kuala Lumpur, semalam.
Marzuki turut menegaskan, sebahagian rakyat termasuk orang Melayu mengalami defisit kepercayaan kepada politik.
‘’Manakala 13 peratus orang Melayu pula mencari alternatif kepada parti Melayu dan memilih Perikatan Nasional (PN),’’ katanya.
Mengenai DAP, beliau berkata, orang Melayu secara umumnya kekal tidak boleh menerima politik dan ideologi yang dibawa DAP/
‘’Ini dapat dilihat pada PRN Johor sebelum ini apabila undi Melayu kepada PKR mengalamai kemerosotan. Orang Melayu secara umumnya, kekal tidak boleh menerima parti DAP, politik dan idealogi mereka.
“Penolakan ini juga kelihatan lebih jelas dalam PRN Johor kepada PKR apabila sokongan Melayu kepada PKR jatuh dari 27 peratus kepada 9 peratus,’’ katanya.
SEORANG remaja perempuan berusia 16 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Kangsar hari ini atas dua pertuduhan bersubahat dengan empat lelaki sehingga menyebabkan rakannya yang merupakan remaja perempuan bawah umur dirogol.
Sinar Harian melaporkan, mengikut pertuduhan, remaja terbabit didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah tidak bernombor di Taman Dovenby Sungai Siput, antara pukul 1 pagi hingga 2 pagi pada 14 Julai lalu.
Tertuduh didakwa bersubahat dengan Noor Danial Hamizan Mohd. Noor, 18, Muhammad Azeem Abdul Rahman, 20, dan Mohamad Ariff Haikal Arapin, 21, dengan cara membenarkan serta menyebabkan seorang remaja berusia 15 tahun 11 bulan dirogol.
Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 375B Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 108 kanun sama yang membawa hukuman penjara antara 10 tahun hingga 30 tahun, jika sabit kesalahan.
Selain itu, tertuduh turut didakwa bersubahat dengan Afiq Yan Muhammad Farid Yan, 20, atas kesalahan sama di dalam bilik sebuah rumah di Jalan Felda Lasah, Kampung Pulau Mentimun, Sungai Siput, antara pukul 1 pagi hingga 2 pagi pada 17 Julai lalu.
Bagi pertuduhan berkenaan, dia didakwa di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama yang membawa hukuman penjara antara 10 tahun hingga 30 tahun dan dengan sebatan jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun tertuduh mengaku tidak bersalah selepas tuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nurul Asyifa Redzuan.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 untuk setiap pertuduhan di samping syarat tambahan iaitu tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan melaporkan diri di balai polis berhampiran sekali setiap sebulan.