Category: Semasa

  • Pemuda lemas ketika berkelah

    Pemuda lemas ketika berkelah

    SEORANG pemuda ditemukan lemas selepas mandi-manda di kawasan air terjun Lata Renyok di Jeli hari ini.

    Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Ahmad Ariffin berkata, mayat Izham Mohamad Saupi, 24, ditemukan pada pukul 12.40 tengah hari oleh bapanya, Mohamad Saupi Yusuf.

    “Sebelum kejadian mangsa bersama 10 ahli keluarganya datang ke kawasan berkenaan untuk berkelah pada pukul 9 pagi.

    “Bagaimanapun, pada pukul 11.40 pagi mangsa dikatakan telah turun ke dalam air untuk mandi manda,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Menurutnya, selang 10 minit kemudian Mohamad Saupi telah ternampak anaknya itu sudah tenggelam di dalam air tersebut.

    “Mohamad Saupi telah bertindak menyelamatkan anaknya itu kerana keadaan arus air yang deras menyebabkan mangsa telah tenggelam,” katanya.

    Ahmad berkata, jenazah mangsa dibawa ke Hospital Jeli untuk bedah siasat.

  • Gadis Melayu dipelihara guru Cina, dapat tawaran ke UTeM

    Gadis Melayu dipelihara guru Cina, dapat tawaran ke UTeM

    GADIS yang kisahnya tular kerana ditinggalkan ibu tanpa kerakyatan ketika masih bayi, bakal mencapai cita-citanya untuk melanjutkan pengajian tinggi selepas menerima tawaran mengikuti pengajian Diploma Sains Komputer daripada Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) hari ini.

    Rohana, 22, menerima tawaran itu setelah mendapat taraf kewarganegaraan dan kad pengenalan pada April lepas apabila kisah hidupnya tular menerusi media sosial sehingga mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Rohana yang dijaga seorang bekas guru berbangsa Cina, Chee Hoi Lan, berkata beliau amat bersyukur atas peluang yang diberi dan akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menamatkan pengajian dengan cemerlang agar dapat menyumbang semula kepada masyarakat setempat.

    “Saya tidak tahu bagaimana hendak ucap terima kasih, sangat bersyukur dengan hadiah yang dikurniakan Allah kerana ini memang satu perkara yang saya impikan sejak lama.

    “Terima kasih juga kepada pihak UTEM. Walaupun saya lebih meminati bidang perubatan, Sains Komputer ini adalah bidang pilihan kedua saya dan ‘laoshi’ (Chee) juga menyokongnya. Jadi, saya akan lakukan yang terbaik untuk membalas jasanya,” katanya yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Ibrahim Yaakob, Kampung Batu.

    Rohana ditemui pemberita selepas menerima surat tawaran pengajian berkenaan daripada Naib Canselor UTeM Prof Dr Massila Kamalrudin di kediaman Chee di Batu 5, Jalan Ipoh di Kuala Lumpur hari ini.

    Menurut Rohana, dia akan bertolak bersama Chee ke Melaka esok kerana pendaftaran kemasukan ke program UTeM itu adalah pada Isnin.

    Katanya dia masih melakukan beberapa persiapan kerana hanya dimaklumkan mengenai tawaran itu pada Sabtu lepas sebelum disahkan hari ini.

    “Ada beberapa barangan keperluan belum dibeli dan saya juga sedang mencari pembantu rumah yang dapat menjaga laoshi (Chee) sepanjang ketiadaan saya.

    “Kebelakangan ini dia (Chee) sering menangis apabila mengenangkan kami akan berjauhan jadi adalah lebih elok sekiranya ada orang temankan dia sekali-sekala di rumah sementara menunggu kepulangan saya pada hujung minggu,” katanya.

    Sementara itu, Chee berkata ini adalah kali pertama dia akan berjauhan dengan Rohana dan berharap gadis itu dapat menjaga dirinya dengan baik sepanjang pengajian.

    “Saya harap dia (Rohana) tidak lupakan saya. Kalau ada masa terluang baliklah sini tengok (jenguk) saya. Apabila habis belajar nanti, saya harap dia boleh jadi pakar Internet (teknologi maklumat),” katanya.

    Dalam pada itu, Massila berkata Rohana adalah antara tiga individu yang terpilih untuk mengikuti projek rintis Program Anak Emas UTeM yang baru dimulakan.

    Massila berkata program itu memberi peluang kepada pelajar cemerlang daripada keluarga tidak bernasib baik untuk melanjutkan pengajian di UTeM, dengan kos pembiayaan ditanggung sepenuhnya oleh Yayasan Tun Canselor.

    “Rohana adalah pelajar pertama bagi program ini. Dia menepati ciri-ciri yang dimahukan iaitu dari golongan yang memerlukan seperti anak tunggal dan B40 dan mempunyai keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang cemerlang,” katanya.

    Kisah Rohana sebelum ini tular kerana dibesarkan oleh Chee sejak berusia dua bulan selepas ditinggalkan ibu kandungnya ke Indonesia.

    Ketiadaan kad pengenalan dan dokumen pengenalan diri menyebabkan kehidupan Rohana menjadi sukar dan tidak dapat menyambung pengajian ke universiti, sebelum isu mengenainya mendapat perhatian perdana menteri.- Bernama

  • PN tidak lupa nasib nelayan, petani, peladang, penternak –  Muhyiddin

    PN tidak lupa nasib nelayan, petani, peladang, penternak –  Muhyiddin

    PENGERUSI Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin terharu dan bersyukur melihat sambutan meriah dengan jumlah kehadiran yang begitu ramai.

    Majlis ramah mesra bersama nelayan negeri Terengganu di Pelabuhan LKIM Chendering, Terengganu itu disertai kira-kira 2,500 warga nelayan yang datang dari seluruh pelosok negeri itu.

    Menerusi ucapan ringkas beliau, Muhyiddin yang juga bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani menegaskan bahawa warga nelayan, petani, peladang dan penternak sentiasa dekat di hatinya kerana beliau sentiasa ‘bergelumang’  dengan kumpulan tersebut.

    “Sebagai menteri ketika itu, saya merasa sudah menjadi kewajiban kepada kerajaan untuk tidak sesekali mengabaikan golongan ini kerana mereka menjadi sebahagian teras pembangunan negara,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook, hari ini.

    Menurutnya, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, warga nelayan merupakan antara golongan yang terkesan teruk.

    Bagaimanapun katanya, kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika itu tidak melupakan golongan ini dan segera membantu menerusi beberapa pakej dan dana Prihatin bagi mengurangkan beban kehidupan mereka.

    “Di negeri ini sahaja, RM1.65 juta dana nelayan Penjana  diperuntukkan kepada  11 persatuan nelayan manakala elaun sara hidup nelayan dinaikkan daripada RM250 kepada RM350.

    “Saya sedar ramai warga nelayan masih lagi terkesan dengan impak pandemik malah jumlah yang jatuh miskin semakin membesar,” kata bekas Perdana Menteri itu.

    Dalam pada itu katanya, MPN mengesyorkan kepada kerajaan agar memperkenalkan skim subsidi bersasar sebagai salah satu cara membantu golongan tersebut.

    “Dengan cara ini, bahagian subsidi yang selama ini turut dinikmati oleh golongan kaya dapat diagih-agihkan untuk membantu nelayan dan kumpulan lain yang layak,” katanya.

    Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Datuk Seri Ronald Kiandee dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu Dr. Azman Ibrahim.

    Pada majlis itu, Muhyiddin turut menyampaikan cek bantuan nelayan berjumlah RM20 juta daripada MAFI kepada Persatuan Nelayan Negeri Terengganu (PENENTU).

    Ia termasuk bantuan Projek Khas Perumahan Nelayan sebanyak RM14.2 juta; elaun sara hidup (RM4.2 juta) dan dana khas PENENTU (RM1.6 juta).

  • Badang negara sumbang emas pertama Malaysia di Birmingham

    Badang negara sumbang emas pertama Malaysia di Birmingham

    MOHAMAD Aniq Kasdan menceriakan kem negara apabila menyumbangkan pingat emas pertama buat Malaysia pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 di Pusat Pameran Nasional (NEC).

    Badang negara berusia 20 tahun itu menampilkan aksi bertenaga untuk menjelmakan emas dalam kategori 55kg lelaki dengan angkatan bebanan keseluruhan 249kg.

    Atlet berasal dari Segamat, Johor itu melakukan angkatan snatch 107kg dan clean & jerk 142kg.

    Lebih manis, kejayaan mengungguli acara tersebut juga menyaksikan Malaysia meraih pingat pertama pada temasya kali ini.

    Pingat perak dimenangi atlet India Sanket Mahadev Sargar dengan angkatan keseluruhan 248kg manakala gangsa menjadi milik Dilanka Isuru Kumara Yodage dari Sri Lanka dengan melakukan 225kg.

    Ketika ditemui pemberita, Aniq melahirkan rasa syukur atas kemenangan tersebut dan menyifatkan kejayaan itu satu permulaan baik bagi kariernya dalam sukan angkat berat.

    “Dalam fikiran saya…mahu hadiahkan pingat emas kepada Malaysia dan juga keluarga. Terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa menyokong kerjaya saya,” katanya.

    Pemenang pingat gangsa Sukan SEA di Hanoi, Vietnam pada Mei lepas, itu turut berkongsi pesanan daripada kedua ibu bapanya setiap kali turun beraksi.

    “Mak ayah saya pesan banyakkan istighfar kalau gugup dan ingat kepada Allah yang bagi kekuatan dan rezeki kepada kita semua,” katanya.

    Malaysia juga berpeluang menambah koleksi pingat emas dalam acara angkat berat pada temasya kali ini apabila Muhamad Aznil Bidin turun bagi mempertahankan gelarannya dalam kategori 61kg lelaki, hari ini.

  • Dua lelaki hilang, perahu karam ketika lalui jeram

    Dua lelaki hilang, perahu karam ketika lalui jeram

    DUA lelaki hilang apabila perahu yang dinaiki karam semasa melintasi salah satu jeram di kawasan Pelagus, Batang Rajang, Kapit dekat Sibu, semasa dalam perjalanan untuk menjala ikan, petang Jumaat.

    Ketua Bomba Zon 4 Sibu, Janggan Muling berkata, panggilan kecemasan kejadian yang melibatkan Ngalang Demong, 73, dan Richelles Seli Lasu, 21, itu diterima pihak Ibu Pejabat Polis Kapit, pukul 11.35 pagi tadi.

    Beliau berkata, menurut saksi, kejadian tersebut berlaku semasa saksi bersama datuknya, Ngalang Demong dan bapa saudara, Richelles Seli Lasu dalam perjalanan menjala ikan dari rumah panjang di Nanga Pelagus, Kapit.

    “Sebelum melintasi salah satu jeram di kawasan Pelagus, saksi diminta turun dari perahu dan berjalan kaki mengikut laluan pejalan kaki di tebing sungai manakala datuk dan bapa saudaranya bergerak menggunakan perahu.

    “Semasa melintasi jeram tersebut, saksi melihat perahu yang dinaiki mereka karam dan kedua-dua mangsa hilang,” katanya dalam kenyataan petang hari ini dan menambah, gerakan awal mencari dan menyelamat oleh penduduk kampung telah dilakukan bagaimanapun kedua-dua mangsa masih belum dijumpai.

    Beliau berkata, pasukan penyelamat terdiri daripada bomba, polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia digerakkan menggunakan bot bomba dari Pangkalan Kubo, Kapit ke lokasi kejadian yang memakan masa dua jam melalui sungai.

    Katanya, sehingga pukul 3.30 petang ini operasi mencari dan menyelamat masih lagi dijalankan. – Bernama

  • Polis buru lelaki pecah cermin kereta, ugut pemandu wanita

    Polis buru lelaki pecah cermin kereta, ugut pemandu wanita

    POLIS sedang mengesan seorang lelaki yang memecahkan cermin kereta dan mengugut seorang pemandu wanita dalam kejadian di Simpang Empat Limbat, Kota Bharu, Kelantan, Khamis lepas.

    Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata insiden itu berlaku pada 5.45 petang ketika mangsa berusia 35 tahun sedang memandu sebuah kereta Perodua Axia berseorangan.

    “Mengikut keterangan mangsa semasa dia sedang memandu berseorangan, kenderaannya telah dihimpit sebuah kereta Toyota Vios yang dipandu suspek.

    “Suspek kemudian secara tiba-tiba telah menghalang laluan dan berhenti di tengah jalan sebelum menghampiri kenderaan mangsa lalu memecahkan cermin kereta (bahagian pemandu) serta mengugut mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Muhamad Zaki berkata pihaknya telah mengenal pasti lelaki itu yang berusia 40an dan membuat serbuan ke sebuah rumah di Nilam Puri, dekat sini, namun dia telah menghilangkan diri.

    Katanya anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan telah digerakkan bagi mengesan dan memburu suspek.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 279 KK dan Seksyen 427 KK. 

    “Bagi Seksyen 506 KK, suspek boleh dihukum penjara selama tempoh sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali atas kesalahan mendatangkan ugutan jenayah,” katanya.

    Terdahulu, dua rakaman video kejadian itu, masing-masing berdurasi dua minit 16 saat dan 36 saat, tular di media sosial sejak semalam. – Bernama

  • Skim subsidi bersasar jimat RM20 bilion perbelanjaan negara

    Skim subsidi bersasar jimat RM20 bilion perbelanjaan negara

    KERAJAAN mampu menjimatkan perbelanjaan sebanyak RM20 billion setahun melalui pelaksanaan skim subsidi bersasar, kata Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Menurut Muhyiddin buat masa ini hanya 20 peratus subsidi yang disediakan kerajaan digunakan oleh golongan B40, manakala selebihnya dinikmati oleh golongan yang tidak sepatutnya.

    “Hampir 50 peratus daripada subsidi kerajaan digunakan oleh orang dalam kategori yang berada, orang kaya, kenderaan besar dan macam-macam lagi.

    “Jadi saya fikir asas untuk kerajaan membuat keputusan (skim subsidi bersasar) adalah sangat kukuh, supaya lebih peratusan dapat sampai kepada golongan sasar (B40),” katanya selepas Majlis Perjumpaan MPN Bersama Nelayan Terengganu di Pelabuhan LKIM Cendering, Kuala Terengganu, hari ini.
    Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Datuk Seri Ronald Kiandee dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu Dr Azman Ibrahim.

    Pada majlis itu, Muhyiddin turut menyampaikan cek bantuan nelayan berjumlah RM20 juta daripada MAFI kepada Persatuan Nelayan Negeri Terengganu (PENENTU).

    Ia termasuk bantuan Projek Khas Perumahan Nelayan sebanyak RM14.2 juta; elaun sara hidup (RM4.2 juta) dan dana khas PENENTU (RM1.6 juta).

    Tambah Muhyiddin, hasil penjimatan tersebut boleh disalurkan semula kepada golongan B40 seperti petani dan nelayan, yang sangat terkesan dengan peningkatan kos sara hidup yang semakin tinggi.

    Bagaimanapun, cara pelaksanaan atau mekanisme agihan perlu diperhalusi dengan teliti oleh kerajaan, bagi memastikan ia benar-benar sampai dan dinikmati oleh golongan sasar.

    “Cadangan ini kita sedang bincang di peringkat MPN dan akan bawa ke kabinet pada masa yang sesuai,” katanya.- Bernama

  • Polis tahan 3 individu disyaki dera kanak-kanak

    Polis tahan 3 individu disyaki dera kanak-kanak

    POLIS menahan seorang lelaki dan dua wanita yang dikehendaki bagi membantu siasatan berhubung kes penderaan seorang kanak-kanak berusia lima tahun hari ini.

    Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, mereka yang ditahan itu merupakan bapa, ibu saudara serta sepupu mangsa.

    “Semua suspek masing-masing berusia 41 tahun, 42 tahun dan 21 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Taman Seri Mahsan di Jempol pada pukul 11.30 pagi.

    “Berdasarkan siasatan awal, lelaki terbabit mempunyai dua rekod jenayah lampau dan satu kes dadah.

    “Polis akan membuat permohonan reman terhadap kesemua mereka di mahkamah pada Ahad untuk disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Sebelum ini media melaporkan polis sedang mengesan tiga individu bagi membantu siasatan berhubung kes penderaan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun.

    Kejadian penderaan ini dipercayai bermula pada 26 Mei lepas sehingga mangsa diselamatkan oleh ibu saudaranya sebelum ibunya membuat laporan polis pada Rabu lalu.

    Menurut Chang Hook, mangsa dijaga oleh suspek dengan upah sebanyak RM300 sebulan berikutan ibunya bekerja di Johor.

    “Hasil siasatan mendapati mangsa telah didera berikutan terdapat kesan melecur, lebam, luka, parut dan kecederaan yang lain pada keseluruhan badan.

    “Mangsa kini dirawat di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah dan telah dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Jempol,” katanya.

  • KSN jumpa Cuepacs bincang desakan naik gaji penjawat awam

    KSN jumpa Cuepacs bincang desakan naik gaji penjawat awam

    KETUA Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata beliau akan mengadakan perbincangan dengan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Adnan Mat pada Isnin ini.

    Katanya perbincangan itu dijangka antara lain akan menyentuh mengenai desakan kongres tersebut yang meminta kerajaan supaya segera menunaikan tuntutan berkaitan gaji penjawat awam.

    “Saya akan berbincang dengan presiden Cuepacs pada hari Isnin ini untuk melihat, mengkaji dan meneliti permohonan yang dibuat oleh Cuepacs,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis Sambutan Maal Hijrah Tahun 1444H/2022M Peringkat Negeri Terengganu di Dewan Besar Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

    Pada majlis tersebut Mohd Zuki yang berasal dari Kampung Bukit Bayas di Kuala Terengganu, menerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah sempena sambutan tersebut.

    Adnan baru-baru ini berkata pihaknya merayu kepada kerajaan supaya segera menunaikan tuntutan berkaitan gaji penjawat awam iaitu pelaksanaan kenaikan gaji minimum penjawat awam RM1,800; menaikkan dua tahap Kenaikan Gaji Tahunan (KGT); dan melaksanakan sistem saraan baharu yang lebih komprehensif, adil serta saksama.

    Katanya ia penting bagi meringankan beban penjawat awam terutama kumpulan pelaksana yang semakin terbeban dengan kenaikan harga barang dan kos sara hidup.

    Bagaimanapun, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah semalam dilaporkan berkata pihaknya sudah melaksana beberapa penambahbaikan gaji penjawat awam sejak Sistem Saraan Malaysia (SSM) diperkenal pada 2002, membabitkan penetapan gaji permulaan terendah, pelarasan gaji dan penambahbaikan jadual gaji. – Bernama

  • Dua lelaki ditahan disyaki seleweng petrol subsidi

    Dua lelaki ditahan disyaki seleweng petrol subsidi

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perlis menahan dua lelaki kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyelewengan minyak petrol bersubsidi RON95 di sekitar Kangar.

    Pengarah KPDNHEP Perlis, Norazah Jaapar berkata, kedua-dua lelaki tempatan berumur awal 30-an dan 50-an itu ditahan dalam satu serbuan di sebuah stesen minyak di Kangar pukul 9.15 pagi semalam.

    “Ketika serbuan, terdapat sebuah kenderaan jenis Proton Persona sedang mengisi minyak RON95 ke dalam kereta itu manakala sebuah lagi kenderaan jenis Proton Saga dilihat selesai mengisi minyak ke dalam tong plastik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Norazah berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati pemilik kereta Proton Persona telah menambah satu unit tangki pada bahagian belakang keretanya yang disyaki mengandungi petrol RON95.

    “Selain itu pasukan serbuan juga menjumpai satu unit tong plastik di dalam kenderaan berkenaan dan tiga unit tong plastik dipercayai berisi minyak RON95 di dalam kereta jenis Proton Saga…hasil siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek melakukan pembelian petrol bersubsidi itu secara tunai,” katanya.

    Beliau berkata, hasil daripada dua tangkapan tersebut, KPDNHEP Perlis telah mengambil tindakan menyita kira-kira 373 liter minyak bersubsidi petrol RON95, empat unit tong plastik, satu unit tangki tambahan dan dua kereta jenis Proton Persona dan Proton Saga dianggarkan berjumlah RM20,804.65.

    “Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut terhadap kes ini akan dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM1 juta,” katanya.

    Beliau berkata, orang awam disarankan untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan memberikan kerjasama sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi bagi memastikan aktiviti haram tersebut dapat dibanteras sehingga akar umbi. – Bernama