Category: Semasa

  • Najib ikrarkan aset RM4.49 juta pada mahkamah

    Najib ikrarkan aset RM4.49 juta pada mahkamah

    DATUK Seri Najib  Razak membuat pemfailan di mahkamah bahawa beliau mempunyai aset bernilai RM4.49 juta setakat 30 Jun.

    Bekas Perdana Menteri dan bekas Menteri Kewangan itu mendedahkannya susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, sebagai sebahagian daripada perintah injunksi mareva terhadapnya.

    Peguam Najib Muhammad Farhan Muhammad Shafee memberitahu portal Malaysiakini pemfailan itu dibuat pada 20 Julai kepada

    Berdasarkan surat perakuan eksibit, Najib mengikrarkan aset, antaranya seperti berikut:

    Tanah dan bangunan: RM460,987

    Kenderaan bermotor: RM252,000

    Akaun bank: RM1,248,938

    Amanah Saham Nasional Berhad: RM2,528,849

    Bafi hartanah, Najib mengikrarkan beliau mempunyai tanah di Kuantan, Pekan, Bentong serta bangunan di Semenyih dan Awana Condo, Genting Highland yang dianggarkan bernilai antara RM30,000 hingga RM150,000.

    Najib juga mempunyai lima buah kereta Mercedez Benz yang diperoleh sebagai hadiah, selain motosikal Kawasaki ZG.

    Hanya motosikal Honda EX5 yang dianggarkan bernilai RM2,000 dan sebuah Mercedez Benz diperoleh sendiri.

    Kesemuanya menggunakan nombor pendaftaran 11, selain sebuah kereta dengan nombor pendaftaran 1 dan motosikal Kawasaki ZG dengan nombor 1100.

    SRC International Sdn Bhd dan sebuah anak syarikatnya pada 24 Mac memperoleh perintah injunksi mareva untuk menghalang Najib daripada memindahkan atau melupuskan aset bernilai sehingga RM42 juta.

    Mahkamah juga mengarahkan Najib mendedahkan kepada peguam SRC (plaintif) secara bertulis asetnya dalam atau luar Malaysia dalam tempoh 30 hari selepas perintah itu diserahkan.

    Bekas perdana menteri hanya dibenar mengeluarkan dan membelanjakan wang daripada sebuah akaun bank atau sumber lain tidak melebihi RM100,000 sebulan untuk perbelanjaan sara hidup dan guaman.

  • Permohonan Ahli Parlimen Labuan pindah kes ke Mahkamah Tinggi ditolak

    Permohonan Ahli Parlimen Labuan pindah kes ke Mahkamah Tinggi ditolak

    PERBICARAAN kes Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli yang berdepan pertuduhan menggunakan kedudukan untuk mendapatkan kontrak pekerjaan bagi Syarikat Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd, kekal didengar di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur.

    Ia susulan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin yang menolak permohonan Rozman supaya kes itu dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

    Mahkamah juga menolak permohonan Rozman untuk menggantung perbicaraan kes itu kerana tidak wujud keadaan istimewa atau luar biasa yang mewajarkan penggantungan.

    Muhammad Jamil berkata, Rozman menyatakan kedudukannya sebagai Ahli Parlimen Labuan mewajarkan kesnya dibicarakan di Mahkamah Tinggi atas kepentingan keadilan selain kes itu telah mendapat tumpuan serta perhatian dan dilaporkan di dalam media kerana ia melibatkan kepentingan awam.

    “Bukan suatu undang-undang bahawa pemohon yang merupakan seorang Ahli Parlimen, maka perbicaraan kesnya sepatutnya dibicarakan di Mahkamah Tinggi. Persoalannya adalah sama ada tertuduh yang ingin kesnya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi telah memenuhi kehendak dalam Seksyen 417 (b) (1) Kanun Tatacara Jenayah (persoalan undang-undang).

    “Semua tertuduh mesti dilayan sama rata tanpa menghiraukan status. Pemohon yang merupakan seorang ahli politik tidak seharusnya diberi layanan berbeza jika memohon untuk kesnya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi. Dia (Rozman) sama seperti tertuduh lain yang mesti memenuhi kehendak mana-mana satu perenggan dalam Seksyen 417 (1) Kanun Tatacara Jenayah,” katanya.

    Mengenai isu persoalan undang-undang, Muhammad Jamil berkata, pemohon menyatakan terdapat tiga persoalan undang-undang yang sukar, rumit dan luar biasa berkemungkinan besar akan ditimbulkan dalam perbicaraan kesnya.

    Menurut hakim itu, persoalan undang-undang mestilah sesuatu yang unik atau tidak pernah diputuskan sebelum ini.

    “Pada pandangan saya, tiga persoalan undang-undang tersebut bukan tergolong dalam persoalan undang-undang yang luar biasa. Pemohon juga tidak mencabar kewibawaan hakim Mahkamah Sesyen dan sudah tentu hakim Mahkamah Sesyen berupaya untuk membuat pertimbangan, seterusnya membuat keputusan sekiranya berdepan dengan persoalan undang-undang.

    “Pemohon telah gagal memenuhi kehendak di perenggan Seksyen 417 (1) (b) Kanun Tatacara Jenayah. Permohonan pemohon untuk memindahkan kesnya ke Mahkamah Tinggi dan permohonan menggantung prosiding kes (perbicaraan) di Mahkamah Sesyen ditolak,” kata hakim itu.

    Prosiding hari ini dihadiri peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Rozman dan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Feisal Mohd Azmi.

    Sebelum ini, perbicaraan kes itu ditetapkan pada 11 dan 12 Ogos di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob.

    Rozman, 57, didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Timbalan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan, telah menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan iaitu kontrak pekerjaan sebagai operator Dermaga Merdeka Pelabuhan Labuan bagi Syarikat Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd, yang bapa dan adik lelakinya mempunyai kepentingan.

    Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Bilik Mesyuarat TKSU, Aras 9, Kementerian Pengangkutan Malaysia, Jalan Tun Hussein, Presint 4, Putrajaya antara pukul 2.30 hingga 5.30 petang pada 21 Mac 2018.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun serta denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – Bernama.

  • Sultan Kelantan berkenan isytihar Che Puan Nur Diana Petra Abdullah sebagai isteri baginda

    Sultan Kelantan berkenan isytihar Che Puan Nur Diana Petra Abdullah sebagai isteri baginda

    SULTAN Kelantan, Sultan Muhammad V berkenan mengisytiharkan isteri baginda, Che Puan Diana Petra Abdullah sebagai Sultanah Kelantan berkuat kuasa hari ini.

    Pelantikan itu membawa gelaran Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Diana Petra Abdullah.

    Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob membacakan pengisytiharan tersebut di Istana Balai Besar yang turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Nazran Muhammad.

     Menurut Ahmad, pengisytiharan dilakukan menurut Fasal (1) Perkara 43 Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua) bagi pemakluman kepada negeri dan rakyat amnya.

    Baginda juga memperkenankan Che Puan Sofie Louise Johansson Petra iaitu isteri Tengku Mahkota Kelantan sebagai Yang Teramat Mulia Che Puan Mahkota Kelantan.

    Kurniaan pangkat itu berkuat kuasa hari ini.

  • Tiada radiasi, radioaktif dikesan pada dua objek serpihan roket China

    Tiada radiasi, radioaktif dikesan pada dua objek serpihan roket China

    TIADA sebarang radiasi atau unsur radioaktif dikesan pada dua objek disyaki sisa serpihan roket China yang jatuh dan ditemukan di Sarawak baru-baru ini, menurut Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

    MOSTI memaklumkan perkara itu disahkan pasukan siasatan yang melakukan siasatan lanjut terhadap dua objek yang dijumpai di Kampung Nyalau, Bintulu dan Kampung Sepupok Lama, Niah, Miri di Sarawak semalam. 

    Empat pegawai Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) daerah Bintulu bersama Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Jabatan Bomba dan Penyelamat serta polis daerah Bintulu telah menjalankan siasatan di lokasi pertama di Kampung Nyalau.

    “Berdasarkan ukuran dan hasil siasatan awal mendapati bahawa objek pertama yang disyaki bersaiz sekitar lima inci berkenaan tidak mengeluarkan sebarang radiasi dan tiada unsur radioaktif dikesan pada objek tersebut.

    “Ukuran dan hasil siasatan awal terhadap objek kedua di Niah, Miri turut menunjukkan hasil yang sama iaitu objek disyaki tidak mengeluarkan sebarang radiasi dan tiada unsur radioaktif dikesan,” menurut MOSTI dalam kenyataan hari ini. 

    Sehubungan itu, MOSTI menjelaskan kedua-dua objek disyaki sisa serpihan roket China itu adalah selamat untuk dilaksanakan siasatan dan analisis seterusnya.

    MOSTI melalui Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dengan kerjasama Jabatan Kimia akan menjalankan siasatan terperinci terhadap kedua-dua objek itu bagi menentusahkan sama ada objek tersebut ada kaitan dengan insiden kemasukan semula serpihan roket Long March 5B milik China atau tidak.

    Hasil siasatan dan analisis akan dimaklumkan dan tindakan sewajarnya akan dipertimbangkan selaras Akta 834 (Akta Lembaga Angkasa Malaysia 2022) dan triti antarabangsa berkaitan angkasa di bawah kendalian United Nations Office for Outer Space Affairs (UNOOSA), menurut MOSTI. 

    Pada Ahad, media melaporkan terdapat serpihan roket Long March 5B milik China dikesan melintasi ruang udara Malaysia di beberapa kawasan termasuk sekitar Sarawak.

    MOSTI dalam kenyataan memaklumkan pemantauan secara berterusan pihaknya menerusi MYSA serta kenyataan oleh Agensi Angkasa China mendapati kemasukan semula serpihan roket berkenaan ke ruang udara bumi dikesan pada 12.55 tengah malam Sabtu waktu Malaysia.

    Menurut MOSTI, sisa serpihan itu direkodkan jatuh di sekitar Laut Sulu iaitu kawasan antara latitud 9.1 darjah Utara dan longitud 119.0 darjah Timur. – Bernama

  • Kerugian kes tipu jemaah haji lebih RM5 juta

    Kerugian kes tipu jemaah haji lebih RM5 juta

    SEBANYAK 132 laporan polis berhubung kes penipuan pakej menunaikan ibadah haji dan umrah menggunakan visa furada direkodkan setakat Ahad lepas membabitkan kerugian lebih RM5.6 juta.

    Setiausaha Polis Noorsiah Mohd Saaduddin berkata laporan yang diterima setakat 31 Julai lepas itu melibatkan 336 orang yang menjadi mangsa penipuan tiga syarikat pelancongan swasta.

    Menurutnya Kuala Lumpur mencatatkan bilangan laporan tertinggi iaitu 52 membabitkan kerugian kira-kira RM2.3 juta diikuti Selangor dengan 33 laporan melibatkan kerugian RM966,100.

    Sementara itu, 18 laporan melibatkan kerugian kira-kira RM1.2 juta diterima di Pahang manakala tujuh laporan di Johor dengan kerugian RM226,500 dan masing-masing enam laporan diterima di Kelantan dan Perak membabitkan kerugian keseluruhan RM483,000.

    “Kedah mempunyai tiga laporan dengan nilai kerugian RM48,000 dan Terengganu dua laporan babitkan kerugian RM76,000 manakala masing-masing satu laporan di Pulau Pinang dan Negeri Sembilan yang melibatkan kerugian RM48,000,” katanya dalam kenyataan.

    Noorsiah berkata 23 kertas siasatan telah dibuka dengan lima daripadanya telah lengkap dan akan dirujuk ke Jabatan Peguam Negara untuk arahan selanjutnya.

    Pada 7 Julai lepas, kira-kira 380 bakal jemaah haji yang menggunakan visa furada terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dipercayai menjadi mangsa penipuan agensi pelancongan swasta. – Bernama

  • Terjemah secara syumul semangat hijrah dalam kehidupan – Sultan Kedah

    Terjemah secara syumul semangat hijrah dalam kehidupan – Sultan Kedah

    Oleh BADLISHAH MAT

    UMAT Islam khususnya di Kedah diajak untuk sentiasa menghayati semangat hijrah dan menterjemahkan perkara itu secara syumul dalam menjalani kehidupan masing-masing seperti dititahkan oleh Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

    Baginda yang bertitah secara dalam talian sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Kedah menyatakan, masih ramai umat Islam ketika ini seolah-olah tidak memahami definisi hijrah secara keseluruhan.

    Sultan Sallehuddin bertitah, mereka didapati membiarkan ia kekal dengan tafsiran yang terhad dan tanpa mahu melihat hikmah hijrah daripada dimensi yang berbeza.

    “Sekiranya konsep hijrah difahami secara tersurat dan tersirat, umat Islam tentunya akan lebih menghargai masa untuk melakukan perubahan dan penghijrahan dalam diri masing-masing.

    “Sebagai umat Islam, perubahan ke arah lebih baik tidak memerlukan kita menunggu waktu tertentu. Sebaliknya perkara itu boleh dilakukan pada setiap masa.

    “Nabi Muhammad serta para sahabat bersusah payah mengalirkan keringat, berkorban harta dan jiwa serta menahan segala tohmahan demi kebaikan umat. Maka kita yang berada dalam keadaan selesa ini, hendaklah berhijrah atas nama kebaikan,” titah baginda.

    Sultan Kedah turut menasihatkan seluruh umat Islam agar memberi keutamaan dan perhatian khusus kepada aspek pembinaan keluarga seiring dengan tema sambutan Maal Hijrah kali ini iaitu Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran.

    Titah baginda, keluarga yang penyayang dan harmoni amat berkait rapat dengan keredaan dan keberkatan dikurniakan Allah.

    “Keredaan Allah akan menjadikan kehidupan berkeluarga sentiasa tenang serta sering mendapat bantuan Allah di waktu susah dan senang manakala keberkatan pula membawa membawa kebahagiaan dan keharmonian berterusan.

    “Beta juga menyarankan kalangan suami serta ketua keluarga supaya berusaha sedaya upaya mencari rezeki halal. Setiap makanan serta minuman akan menjadi darah daging dan jika perkara itu diperolehi dari sumber tidak halal, ia akan merosakkan jiwa selain memberi kesan negatif kepada pembentukan akhlak anak-anak,” titah baginda.

    Dalam pada itu, pengasas perniagaan Haji Ismail Group (HIG) di Langkawi, Allahyarham Ismail Ahmad diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah negeri Kedah yang diwakili isterinya, Yah Othman ketika menerima anugerah berkenaan.

    Masjid Al Halimi, Pekan Bandar Baru di Kulim pula dinobatkan sebagai masjid terbaik bagi bandar, manakala Masjid Albusra di Pekan Merbok, Sungai Petani diberikan anugerah sama untuk kategori masjid luar bandar.

  • Polis nafi satu lagi jurulatih penerbangan maut

    Polis nafi satu lagi jurulatih penerbangan maut

    POLIS menafikan seorang lagi jurulatih penerbangan yang cedera dalam kejadian pesawat ringan terhempas di Jalan Raja Dr Nazrin Shah di Ipoh, malam tadi sudah meninggal dunia.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid menjelaskan, jurulatih berkenaan masih dalam keadaan stabil sekali gus menafikan berita tular yang mengatakan satu lagi jurulatih penerbangan terbabit maut.

    “Semalam saya dengar ada khabar angin mengatakan juruterbang itu meninggal dunia, itu tidak benar.

    “Mangsa cedera berusia 62 tahun itu ketika ini masih dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan dalam keadaan yang stabil,” katanya sebagaimana dilaporkan Harian Metro.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir pada Majlis Penyerahan Bot Penyelamat Polis Diraja Malaysia (PDRM) oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad di Ipoh, hari ini.

    Mior Faridalathrash berkata, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) pagi ini akan menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

    “Semalam kita membantu mereka mengepung tempat berkenaan agar tiada pencerobohan dibuat ke atas bangkai pesawat terbabit.

    “Satu sayap pesawat berkenaan patah. Kita membuat kawalan sepanjang malam sehingga ke pagi ini bagi memberi ruang kepada pihak CAAM untuk menjalankan siasatan,” katanya.

    Sementara itu, Saarani berkata, siasatan berhubung kejadian itu akan dijalankan oleh di bawah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan CAAM.

  • Polis sudah lengkapkan 5 kertas siasatan penipuan haji furada

    Polis sudah lengkapkan 5 kertas siasatan penipuan haji furada

    POLIS sudah menyiapkan lima kertas siasatan berkaitan penipuan pakej haji oleh tiga agensi pelancongan dan akan dirujuk ke Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat.

    Setiausaha Polis Malaysia (SUPM) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, kertas siasatan itu akan diserahkan oleh Penolong Pengarah (Siasatan Jenayah Pemalsuan/Pelaburan Bersindiket), Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohamed Usuf Jan Mohamad.

    “Mohamed Usuf akan menyerahkan kertas siasatan itu kepada Jabatan Peguam Negara bagi mendapatkan nasihat dan arahan selanjutnya.

    “Setakat ini, polis menerima 132 laporan berkaitan penipuan pakej haji oleh tiga agensi pelancongan yang mengakibatkan kerugian RM5.67 juta.

    “Tiga agensi berlainan itu membabitkan kes penipuan haji dan umrah furada. Kita menerima 132 laporan polis di 11 negeri berkaitan penipuan pakej haji oleh agensi pelancongan terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

    Noorsiah berkata, ini membabitkan 52 laporan di Kuala Lumpur, 33 laporan di Selangor, 18 laporan di Pahang, tujuh di Johor, enam laporan di Perak dan Kelantan, tiga laporan di Melaka dan Kedah, dua di Terengganu dan masing-masing satu di Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

    Menurutnya, sebanyak 23 kertas siasatan dibuka daripada 132 laporan polis dibuat mangsa.

    “Jumlah kerugian paling tinggi direkodkan di Kuala Lumpur iaitu RM2.3 juta diikuti Pahang (RM1.2 juta) dan Selangor (RM966,100).

    “Selain itu, Kelantan dilaporkan mencatatkan kerugian RM280,000; Perak (RM203,000); Negeri Sembilan (RM170,000); Johor (RM125,000); Terengganu (RM76,000); Kedah (RM48,000); Pulau Pinang (RM32,000) dan Negeri Sembilan (RM16,000),” katanya.

    Pada 8 Julai lalu, Warta Rakyat melaporkan kira-kira 380 bakal jemaah haji dilaporkan terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan swasta.

    Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah dipetik berkata, dua lelaki dan tiga wanita berusia 30 hingga 60 tahun ditahan di beberapa lokasi sekitar ibu negara.

    Katanya, semua individu yang ditahan itu membabitkan pemilik agensi pelancongan berkenaan serta isterinya, seorang ejen serta dua pekerja di agensi terbabit yang terletak di Danau Kota.

  • Luka hidung, lebam mata kanan dipukul lelaki Singapura

    Luka hidung, lebam mata kanan dipukul lelaki Singapura

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki cedera selepas dipercayai bergaduh dengan seorang lelaki Singapura di hadapan sebuah pusat hiburan di Taman Mount Austin, Johor Bahru, baru-baru ini.

    Kejadian tersebut di tepi jalan berhadapan pusat hiburan berkenaan dirakamkan orang awam sebelum tular dalam media sosial.

    Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, pihaknya menerima laporan bersabit video berdurasi 13 saat berkenaan kejadian itu dan sudah pun memulakan siasatan.

    “Hasil siasatan mendapati pengadu merupakan seorang lelaki warga tempatan berusia 24 tahun telah dipukul menggunakan spanar oleh seorang lelaki warga asing anggaran umur 20 hingga 30 tahun.

    “Mangsa tidak mengenali suspek berkenaan. Dalam kejadian tersebut mangsa mengalami cedera luka di bahagian hidung dan lebam pada mata kanan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, kejadian tersebut dipercayai berpunca daripada salah faham semasa mereka berhibur di pusat hiburan tersebut.

    Beliau berkata, suspek datang bersama-sama dua lagi rakannya dengan menaiki kenderaan dengan nombor pendaftaran luar negara.

    Susulan itu katanya, anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan sedang mengesan tiga suspek warga asing tersebut untuk membantu siasatan.

    Menurutnya, kes disiasat di bawah 324 Kanun Keseksaan dan jika didapati bersalah boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.

    Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian untuk menghubungi hotline IPD Johor Bahru Selatan 07-2182323 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor S Sivakumaran 019-5127410.

  • Kertas siasatan kes rogol babitkan penceramah bebas diserah kepada pendakwa raya

    Kertas siasatan kes rogol babitkan penceramah bebas diserah kepada pendakwa raya

    KERTAS siasatan membabitkan penceramah bebas yang disyaki merogol seorang remaja perempuan bawah umur dihantar ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya, hari ini.

    Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata kertas siasatan itu dirujuk untuk penelitian sebelum menunggu arahan lanjut daripada pihak pendakwaan.

    “Kertas siasatan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya hari ini untuk semakan dan kami tunggu arahan seterusnya,” katanya kepada Bernama hari ini.

    Pada 28 Julai lepas, Azmi dilaporkan berkata lelaki berusia lingkungan 30-an itu diserahkan kepada Kontinjen Perak selepas tempoh remannya tamat pada 27 Julai bagi siasatan kes di Kuala Lumpur.

    Media sebelum ini melaporkan penceramah bebas itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor pada 4.50 petang pada 18 Julai lepas dan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

    Berdasarkan siasatan awal, perkenalan antara suspek dan remaja bawah umur itu dipercayai bermula apabila mangsa menghubungi lelaki terbabit di media sosial bagi bertanyakan masalah agama sebelum hubungan terjalin sejak Mei tahun lepas.

    Setakat ini terdapat empat laporan polis membabitkan individu itu iaitu dua di Selangor dan masing-masing satu di Kuala Lumpur dan Perak. – Bernama