Category: Semasa

  • Warga emas maut jatuh tingkat 4 pusat beli-belah

    Warga emas maut jatuh tingkat 4 pusat beli-belah

    SEORANG lelaki warga emas ditemui maut dipercayai terjatuh dari tingkat empat sebuah pusat beli-belah di Alor Setar, hari ini.

    Mangsa berusia 65 tahun yang juga pemegang kad rawatan psikiatri ditemui dalam keadaan berlumuran darah dekat ruang legar pusat beli-belah akibat kecederaan parah di kepala.

    Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri berkata, kejadian dipercayai berlaku antara pukul 10 hingga 10.30 pagi.

    “Maklumat awal mendapati pengawal keselamatan sebelum itu telah melihat mangsa dalam keadaan mencurigakan di tingkat empat bangunan tersebut.

    “Pengawal keselamatan terbabit cuba membantu tapi tidak sempat apabila lelaki itu terjun.

    “Setakat ini siasatan awal polis menjurus kepada mati mengejut tetapi bergantung pada hasil bedah siasat terhadap mayat berkenaan,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Superintendan Mohd. Naim Asnawi turut hadir ke lokasi.

    Mengulas lanjut, Ahmad Shukir berkata hasil soal siasat terhadap keluarga mangsa mendapati mangsa mempunyai kad rawatan psikiatri Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) .

    Difahamkan, mangsa baru selesai menjalani rawatan susulan pada Isnin lalu.

    “Dia yang tidak berkahwin dikatakan sering datang ke lokasi kejadian seorang diri. Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik HSB untuk proses bedah siasat,” katanya.

  • Tarik semula tuntutan Batu Puteh, Dr Mahathir jawab tuduhan

    Tarik semula tuntutan Batu Puteh, Dr Mahathir jawab tuduhan

    MALAYSIA menarik balik tuntutannya dalam kes Batu Puteh di Mahkamah Keadilan Antarabangsa ialah bagi menghormati perjanjian terdahulu dengan Singapura.

    Menurut bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, perjanjian dengan Singapura dengan ICJ
    ialah segala keputusan oleh mahkamah akan diterima oleh kedua-dua pihak.

    Katanya, perjanjian yang sama dibuat antara Malaysia, Indonesia dan mahkamah antarabangsa berkenaan Sipadan dan Ligitan.

    “Jika Malaysia tidak menepati dengan syarat mahkamah antarabangsa bahawa keputusan mesti diterima oleh kedua-dua pihak, Indonesia juga boleh buat tuntutan untuk tidak menepati perjanjian yang sama berkenaan Pulau Sipadan dan Ligitan.

    “Janji antarabangsa oleh sebuah negara berdaulat hendaklah ditunai sebagai amanah. Jika tidak, Malaysia tidak akan dipercayai akan tunai perjanjian dengan negara lain. Malaysia akan hilang kredibiliti,” katanya.

    Beliau menyatakannya dalam entri di Facebooknya bertajuk “Empat Soalan Apandi”.

    Mahkamah Keadilan Antarabangsa memutuskan Sipadan dan Ligitan milik Malaysia pada 2002.

    Mengulas lanjut Dr Mahathir berkata, kesalahan bermula dengan pegawai kerajaan Johor menyatakan kepada British bahawa Batu Puteh bukan milik Johor.

    “Lagipun Malaysia mendapat ‘Middle Rock’ yang boleh ditebus guna sehingga menjadi pulau besar seperti yang diperbuat dengan Pulau Layang-Layang.

    “Fakta baharu, jika ada, sepatutnya dikemukakan kepada mahkamah antarabangsa semasa membuat representasi bahawa Pulau Batu Putih adalah hak Malaysia,” katanya.

    Mengenai tuntutan Sulu, Dr Mahathir berkata, Datuk Seri Najib Razak telah bertindak tanpa mengikuti proses pentadbiran dan tiada bukti tindakannya dipersetujui oleh Peguam Negara pada masa itu atau Kabine.

    “Tuntutan oleh pewaris Sultan Sulu dibuat semasa pemerintahan kerajaan BN (Barisan Nasional) bawah Najib. Kerajaan BN tidak bertindak untuk menolak kuasa perundangan mahkamah Sepanyol atau membayar balik bayaran yang telah dihentikan,” katanya.

  • Prosiding hina mahkamah terhadap Lokman Adam ditangguh, DPP dijangkiti COVID-19

    Prosiding hina mahkamah terhadap Lokman Adam ditangguh, DPP dijangkiti COVID-19

    PROSIDING menghina mahkamah terhadap bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam yang didakwa mengeluarkan kata-kata tidak wajar kepada seorang anggota polis mahkamah dan mempersoalkan sistem perundangan negara pada perbicaraan kes Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ditangguhkan ke 17 Ogos selepas Timbalan Pendakwa Raya (DPP) dijangkiti COVID-19.

    DPP Mohd Isa Mohamed memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah bahawa DPP Izalina Abdullah, yang mengendalikan kes itu sejak awal, dijangkiti virus itu semalam dan perlu menjalani kuarantin selama seminggu.

    “Oleh itu, saya memohon prosiding hari ini ditangguhkan ke hari lain,” kata Mohd Isa.

    Peguam K. Balaguru, yang mewakili Lokman tidak membantah penangguhan itu.

    Pada 30 Jun lepas, Hakim Sequerah mengeluarkan notis tunjuk sebab kepada Lokman setelah dia didakwa mengeluarkan kata-kata tidak wajar kepada seorang anggota polis mahkamah dan mempersoalkan sistem perundangan negara pada perbicaraan Ahmad Zahid.

    Ia selepas Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran memaklumkan insiden membabitkan Lokman dan memohon mahkamah mengenakan tindakan menghina terhadap ahli politik berusia 49 tahun itu. – Bernama

  • Lelaki didakwa rasuah bagi dapatkan tender cetak saman PDRM

    Lelaki didakwa rasuah bagi dapatkan tender cetak saman PDRM

    SEORANG pemilik syarikat swasta didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas lapan pertuduhan rasuah bagi mendapatkan tender berhubung kerja-kerja pembekalan, pemprosesan dan percetakan notis saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada sebuah syarikat antara 2019 dan 2020.

    Mohd Shazwan Shaharuddin, 37, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob.

    Mengikut pertuduhan pertama, Mohd Shazwan didakwa secara rasuah bersetuju menerima bagi dirinya daripada pekerja Syarikat SR Express (M) Sdn Bhd, Ukasyah Amiruddin, 33, suatu suapan lima peratus daripada nilai tender iaitu RM2,122,500 sebagai upah kerana membantu mendapatkan tender bagi kerja-kerja Perkhidmatan Membekal, Memproses, Mencetak dan Mengepos Notis Saman PDRM kepada syarikat itu di sebuah bistro di Taman Melawati pada 11 malam, Julai 2019.

    Lelaki itu dituduh mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (2009) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Bagi pertuduhan kedua hingga kelapan, tertuduh didakwa secara rasuah menerima suapan daripada individu sama berjumlah RM568,000 melalui cek dan wang tunai sebagai upah untuk membantu mendapatkan tender bagi kerja-kerja serupa terhadap syarikat sama di sebuah bank di Jalan Ampang dan sebuah rumah di Jalan Melati Indah, Tiara Kemensah antara 24 Feb hingga 13 Okt 2020, mengikut seksyen sama.

    Timbalan Pendakwa Raya Noralis Mat Rasyidah Azmi Kalai menawarkan jaminan RM250,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan itu.

    Peguam Ridha Abdah Subri, yang mewakili tertuduh, memohon jaminan RM50,000 dengan dua penjamin dan pasport anak guamnya akan diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai atas alasan dia tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri selain memberi kerjasama baik kepada pihak berkuasa sepanjang siasatan.

    “Perniagaan anak guam saya terjejas ekoran pandemik COVID-19 dan dia juga merupakan penanggung tunggal keluarga,” kata peguam itu.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan dua orang penjamin bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SPRM berhampiran dan menetapkan 7 Sept untuk sebutan semula kes. – Bernama

  • Dua sahabat didakwa simpan rokok seludup

    Dua sahabat didakwa simpan rokok seludup

    DUA lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Chukai, hari ini kerana memiliki 6,365 karton dan empat paket rokok seludup pelbagai jenama, tahun lalu.

    Tertuduh, Tan Kim Yee, 27, dan Wang Kang Chien, 26, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman.

    Harian Metro melaporkan, mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama memiliki pelbagai jenama rokok seludup yang ditaksirkan bernilai RM123,541.60 di sebuah premis kediaman di daerah Kemaman, pukul 4.15 petang pada 30 November 2021.

    Semua rokok itu adalah barang yang dilarang pengimportannya di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017.

    Kedua-dua tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

    Mereka bakal berdepan hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000 yang mana nilai lebih tinggi dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000 yang mana nilai lebih tinggi atau boleh dipenjarakan tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Mahkamah kemudian menetapkan 11 September depan sebagai tarikh sebutan semula dan membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM10,000 setiap seorang.

    Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Terengganu, Md Safrizal Mohd Safian, manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Abdul Rahman Ab. Razak.

  • Pengusaha taska didenda RM7,000 tampar kanak-kanak perempuan 2 tahun

    Pengusaha taska didenda RM7,000 tampar kanak-kanak perempuan 2 tahun

    SEORANG pengusaha taska didenda RM7,000 oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini kerana menganiaya seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun, Jun lepas.

    Hakim Emelia Kaswati Mohamed Khalid menjatuhkan hukuman itu ke atas Azlinawaty Julaihi, 41, selepas dia mengaku bersalah dengan menampar kanak-kanak berkenaan beberapa kali sehingga bengkak di kedua belah bahagian mata dan lebam di bahagian kanan tulang pipi dalam kejadian di sebuah taska di Jalan Dato’ Senu, di Kuala Lumpur pada 12.30 tengah hari, 15 Jun lepas.

    Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.

    Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara lima bulan jika gagal membayar denda berkenaan. Dia membayar denda itu.

    Terdahulu, sebelum menjatuhkan hukuman, Emelia Kaswati dalam penghakimannya berkata mahkamah perlu menjatuhkan satu hukuman berbentuk pengajaran kepada tertuduh supaya ia menjadi pengajaran kepada pengasuh lain agar tidak melakukan kesalahan sama.

    Wanita itu yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu hukuman ringan, dengan alasan dia tidak berniat untuk mencederakan mangsa dan merasa kesal atas perbuatannya.

    “Selama tujuh tahun sebagai pengasas dan pengasuh di taska rumah, perkara ini tidak pernah berlaku dan saya mula mengasuh kerana minat dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak. Saya minta maaf dan berjanji tidak akan mengulangi lagi,” katanya dalam nada yang sebak.

    Timbalan Pendakwa Raya Noorhani Muhmmed Ayub pula memohon mahkamah supaya hukuman bentuk pengajaran diberikan memandangkan mangsa adalah seorang kanak-kanak berusia dua tahun.

    Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, pengadu yang merupakan ibu mangsa mendapati terdapat kesan lebam pada kedua-dua mata, tulang pipi merah dan bengkak di atas bibir selepas mengambil mangsa dari taska tersebut.

    Pengadu telah bertanya kepada Azlinawaty dan dia memaklumkan mangsa terhantuk dengan anak asuhan lain ketika bermain tetapi akhirnya mengaku menampar mangsa.

    Hasil siasatan polis mendapati, Azlinawaty telah menampar mangsa beberapa kali kerana mangsa meluahkan semula makanan yang disuap olehnya.

    Hasil pemeriksaan rawatan pula mendapati, kecederaan yang dialami mangsa adalah akibat dipukul. – Bernama

  • Lelaki Indonesia cedera ditikam dalam pergaduhan

    Lelaki Indonesia cedera ditikam dalam pergaduhan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki warga Indonesia cedera selepas ditikam dalam pergaduhan yang berlaku di hadapan sebuah kilang di kawasan perindustrian Senai Fasa 3 di Kulai pada Khamis lalu.

    Ketua Polis Daerah Kulai, Suprintendan Tok Beng Yeow berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada pukul 8.30 malam.

    “Sepasukan anggota dan pegawai menjalankan serbuan bermula pada pukul 12.05 pagi pada Jumaat dan menangkap 11 warga Pakistan dan Indonesia.

    “Kesemua suspek berusia 22 hingga 33 tahun ditahan untuk siasatan lanjut. Polis turut merampas sebilah pisau di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Klip video berdurasi 1 minit 26 saat memaparkan kejadian pergaduhan itu tular dalam media sosial.

    Katanya, mangsa, 27, yang cedera selepas ditikam di belakang badan berada dalam keadaan stabil selepas dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.

    “Kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ditahan reman selama tujuh hari bermula Jumaat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan,” katanya.

    Orang ramai yang melihat kejadian itu diminta tampil memberikan maklumat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai atau hubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohamad Nazirul Azri di talian 017017-7078577, katanya.

  • Kastam rampas syabu RM1.88 juta dalam peralatan elektrik

    Kastam rampas syabu RM1.88 juta dalam peralatan elektrik

    JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah merampas dadah sebanyak 52 kilogram (kg) syabu dalam satu operasi ke atas sebuah rumah di Kota Kinabalu pada pukul 12.12 tengah hari Ahad lalu.

    Ketua Pengarah Kastam, Datuk Zazuli Johan berkata, menerusi Operasi Khas Mekong Dragon Siri IV itu, seorang lelaki tempatan, 37, turut ditahan bersama dadah bernilai kira-kira RM1.88 juta.

    “Serbuan dibuat hasil maklumat risikan selama dua bulan oleh Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (COBRA) terhadap aktiviti pembungkusan dadah di sebuah kediaman di daerah tersebut.

    “Hasil serbuan menemui bahan terlarang disyaki dadah jenis Methamphetamine dengan berat lebih kurang 52.463 kg dan dianggarkan bernilai sebanyak RM1,888,668.

    “Dalam serbuan kita menahan seorang lelaki berada di dalam rumah dan sedang melakukan kerja pembungkusan dadah berkenaan. Dadah itu untuk diedarkan di sekitar Sabah dan luar negeri terbabit,” katanya dalam sidang akhbar di Menara Kastam Sabahm hari ini.

    Zazuli berkata, modus operandi kes itu adalah menjadikan rumah berkenaan sebagai tempat untuk melakukan proses pembungkusan dadah itu.

    “Pembungkusan dilakukan dengan memasukkan dadah ke dalam plastik teh.

    “Dadah yang siap dibungkus disembunyikan di dalam peralatan elektrik dapur dan disimpan dalam kotak,” katanya sebagaimana dilaporkan Sinar Harian.

    Zazuli berkata, siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi mengesan individu lain yang terlibat.

  • Waspada penipuan SMS tawar baucar RM100 – TNB

    Waspada penipuan SMS tawar baucar RM100 – TNB

    ORANG ramai khasnya pengguna Tenaga Nasional Berhad dinasihatkan agar berhati-hati dengan taktik penipuan terbaharu yang semakin berleluasa ketika ini.

    Terbaharu dedah syarikat itu, wujud penipuan menerusi pesanan ringkas SMS yang menawarkan pampasan berbentuk baucar e-dompet daripada nombor TNB.

    Menurutnya, pengguna akan menerima SMS daripada nombor TNB iaitu 15454.

    “Pengguna dinasihatkan agar berhati-hati dengan penipuan SMS yang menawarkan pampasan berbentuk baucar e-dompet daripada nombor TNB iaitu 15454.

    “Pastikan anda tidak menekan pautan yang terdapat pada SMS tersebut,” kata syarikat itu menerusi akaun Facebook TNB Careline.

    Kata kenyataan itu lagi, sebarang pertanyaan lanjut boleh berurusan menerusi khidmat pesanan peribadi di Facebook TNB Careline atau Twitter @Tenaga_Nasional bagi sebarang pertanyaan lanjut.

    Mesej tersebut menyatakan: “Rakyat yang terlibat putus bekalan elektik akan menerima RM100 pampasan kepada setiap warganegara di TNG eWallet”.

    Ia turut menyertakan pautan yang membawa pengguna kepada satu laman web, dipercayai mempunyai elemen ‘phishing’ untuk mendapatkan data peribadi pengguna.

    Bagaimanapun, cubaan untuk mengakses laman web tersebut tidak berjaya kerana mempunyai masalah sistem nama domain.

    27 Julai lalu, beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia mengalami gangguan bekalan elektrik yang berlaku hampir tiga jam mulai pukul 12.39 tengah hari.

    Ia berpunca daripada kerosakan di salah satu peralatan di Pencawang Masuk Utama (PMU) Yong Peng North di Yong Peng, Johor.

  • Tiada kolam Musang King di Gunung Inas pecah – Sanusi

    Tiada kolam Musang King di Gunung Inas pecah – Sanusi

    RIZQI ZABIDI

    MENTERI Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menegaskan, tiada satu pun kolam yang dibina di Gunung Inas bagi kegunaan ladang Musang King, pecah hingga mengakibatkan kejadian banjir serta aliran puing di Kupang, Baling pada 4 Julai lalu.

    Menurutnya, pakar-pakar yang mengemukakan laporan kepada agensi diketuai Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) juga turut mengesahkan perkara tersebut.

    “Kalau ikut laporan dikemukakan pakar kepada agnesi diketuai KeTSA, tragedi itu bukan disebabkan Musang King malah kolam Musang King itu juga tidak pecah.

    “Jadi itu hanya usikan-usikan netizen serta orang ramai yang tidak menggunakan fakta benar,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan upacara pecah tanah tapak rumah ganti untuk mangsa tragedi kepala air dan banjir lumpur Kampung Iboi di Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Kampung Sadek, Kupang dekat Baling hari ini.

    Sebelum ini terdapat pihak yang mendakwa kolam tadahan air bagi kegunaan ladang Musang King tersebut pecah hingga mengakibatkan tragedi yang meragut tiga nyawa itu berlaku.

    Ditanya mengenai kenyataan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyatakan terdapat satu kolam takungan pecah melalui kajian dijalankan, Muhammad Sanusi berkata perkara itu perlu ditanyakan kepada Menteri itu sendiri.

    “Itu menteri yang cakap dan bukannya saya. Jadi kena tanya menteri itulah.

    “Ayat serta istilah awal digunakan beliau adalah ‘kemungkinan’. Tetapi tiada siapa peduli tentang perkataan ‘kemungkinan’ itu,” katanya.

    Mengulas mengenai pembinaan rumah tersebut, beliau memaklumkan sebanyak 12 rumah akan dibina dalam tempoh enam bulan, bagi membolehkan mereka yang kehilangan tempat tinggal dalam tragedi itu kembali memiliki rumah sendiri di tapak berkenaan.

    “Kos bagi pembinaan sebuah rumah ini dianggarkan antara RM70,000 hingga RM75,000 merangkumi kemudahan tiga bilik tidur, dua bilik air, ruang tamu dan dapur. Secara keseluruhannya, kesemua 12 rumah ini akan dibina di atas tapak seluas 0.8 hektar.

    “Selain 12 keluarga ini, terdapat 16 lagi keluarga yang berada di kawasan berisiko dan perlu dipindahkan segera. Insya Allah selepas ini kita akan pertimbangkan penyelesaian terbaik untuk 16 keluarga itu pula,” katanya.