Category: Semasa

  • Curi tabung surau, pelajar tingkatan satu ditahan

    Curi tabung surau, pelajar tingkatan satu ditahan

    SEORANG pelajar tingkatan satu dan rakannya ditahan polis semalam setelah disyaki mencuri tabung di sebuah surau di Taman Keramat Permai, di Ampang.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian itu disedari jemaah surau berusia 68 tahun kira-kira pukul 6 pagi setelah melihat tabung itu tertanggal dari kedudukan asal, Jumaat lalu.

    Menurutnya, jumlah kerugian dialami sebanyak RM30 dan pengadu kemudian tampil membuat laporan polis.

    “Susulan itu pada pukul 10.10 malam tadi, sepasukan polis menahan dua lelaki berusia 13 dan 21 tahun di tepi Jalan 6/10, Tasek Tambahan.

    “Suspek pertama masih bersekolah di Sri Kembangan Selangor manakala seorang lagi suspek tidak bekerja,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Mohamad Farouk berkata, turut dirampas sebuah motosikal Yamaha Lagenda dipercayai digunakan di tempat kejadian yang menggunakan nombor pendaftaran palsu.

    “Modus operandi suspek adalah mensasarkan tabung duit derma dalam surau.

    “Reman terhadap suspek dibuat pada hari ini di Mahkamah Ampang dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

  • Detik cemas pengawal keselamatan, kaki tersepit penutup longkang semasa meronda

    Detik cemas pengawal keselamatan, kaki tersepit penutup longkang semasa meronda

    SEORANG pengawal keselamatan berdepan detik mencemaskan selepas terjatuh dan kakinya tersepit pada besi penutup longkang pagi tadi.

    Dalam kejadian di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Larut Matang dan Selama itu, mangsa diselamatkan pasukan bomba selepas dia gagal mengeluarkan kakinya sendiri.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak yang dipetik Astro Awani sebagai berkata, bomba dimaklumkan kejadian itu pada pukul 6.42 pagi.

    Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Taiping kemudian bergegas ke lokasi untuk menyelamatkan mangsa menerusi operasi khas.

    “Difahamkan pengawal keselamatan itu terjatuh longkang dan tersepit ketika membuat rondaan di sekitar kawasan bangunan hari ini,” katanya dalam kenyataan pada hari ini.

    Kata kenyataan itu lagi, anggota kemudiannya menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan kaki mangsa dan memberi rawatan awal sebelum membawanya ke Hospital Taiping untuk tindakan selanjutnya.

    Operasi yang diketuai oleh PBK II Mazli A Mutalib itu tamat pada pukul 7.08 pagi.

  • Skandal LCS bakal didedah, dakwa mirip 1MDB-Rafizi

    Skandal LCS bakal didedah, dakwa mirip 1MDB-Rafizi

    TIMBALAN Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli akan mendedahkan skandal penyelewengan projek pembinaan enam kapal tempur (LCS) bernilai RM9 bilion yang sedang hangat diperkatakan ketika ini.

    Menurutnya, satu persatu penyelewengan yang berlaku akan ditunjukkan dalam tempoh sebulan ini termasuk syarikat-syarikat palsu yang ditubuhkan didakwa untuk melarikan wang.

    “Modus operandi tak ubah macam 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dahulu.

    “Masaklah Najib (Datuk Seri Najib Razak) kali ni. Biar dia jawab bagaimana pertahanan negara jadi lemah semasa dia jadi Perdana Menteri, selama ini dia fitnah kononnya semua orang jual aset negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

    Terdahulu Rafizi menempelak Najib yang menyalahkan Pakatan Harapan (PH) dalam isu LCS dalam kenyataan dalam Facebook.

    “Saya sudah baca putar alam #SayaPutarJib yang ditulis admin Najib Razak untuk cuci tangan skandal RM9 bilion kapal perang. Lemah sangat putar alam Najib kali ni.

    “Insya Allah kali ini perdana menteri Facebook ni akan kena sebab dia tidak boleh lari dalam hal skandal kapal perang ni. Akhirnya akan balik kepada dia juga. Sepupu dia pun akan cepat-cepat tuding jari kat dia untuk selamatkan diri,” katanya sebagaimana dilaporkan Sinar Harian.

    Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh sebelum ini mendedahkan, kerajaan telah membayar sejumlah RM6 bilion untuk projek LCS, namun tiada sebuah kapal LCS disiapkan.

    Najib menerusi catatan dalam laman Facebook mendakwa, PH telah melewatkan projek dan membekukan sepenuhnya projek LCS pada 2019.

  • Remaja dikhuatiri lemas dihanyutkan arus deras

    Remaja dikhuatiri lemas dihanyutkan arus deras

    SEORANG remaja dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika menyeberangi sungai bersama tiga ahli keluarganya di sungai di Jalan Tulid, Sook, Keningau pukul 7 malam semalam.

    Mangsa, Kenn Mohd Alfiandar Angkorou@Abdula, 17, bersama bapa, adik dan anak saudara cuba menyeberangi sungai namun secara tiba-tiba berlaku kejadian ‘kepala air’.

    Tiga daripada mereka selamat manakala mangsa dihanyutkan arus deras sungai dan hilang.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataannya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 3.33 petang.

    Katanya, sepasukan enam anggota dan pegawai bersama jentera dikerahkan ke lokasi kejadian.

    “Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan dan setakat ini mangsa belum ditemui.

    “Operasi SAR ditangguh pada jam 6.30 petang tadi dan akan disambung pada pagi esok,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Menurutnya, sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

  • Komanwel 2022: Pertama kali beraksi, Joe Ee beri kejutan emas

    Komanwel 2022: Pertama kali beraksi, Joe Ee beri kejutan emas

    GIMNAS muda negara Ng Joe Ee mencipta kejutan apabila beliau mempamerkan aksi memukau untuk menyumbangkan emas kelima Malaysia pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 menerusi disiplin bola, di Birmingham hari ini. 

    Meskipun pertama kali beraksi pada temasya itu, gerakannya yang anggun dan cekap menangkap bola di Arena Birmingham memikat barisan pengadil bagi merekodkan 29.700 mata, sekali gus mencapai sasaran satu pingat emas bagi kem gimrama.

    Suzanna Shahbazian dari Kanada yang mencatatkan 29.050 mata terpaksa berpuas hati dengan pingat perak, manakala Anna Sokolova dari Cyprus membawa pulang gangsa dengan 28.800 mata.

    Catatan mata gimnas berusia 16 tahun itu dalam final hari ini ternyata lebih tinggi daripada markah yang diperolehnya ketika pusingan kelayakan iaitu 28.600 mata untuk menduduki tempat kedua, Khamis lepas.

    Sementara itu, seorang lagi gimnas negara Izzah Amzan sekadar mendapat tempat ketujuh daripada lapan atlet selepas mencatatkan 25.800 mata dalam pusingan akhir disiplin gelung.

    Gimnas Wales Gemma Natasha Frizelle muncul juara disiplin tersebut dengan pungutan mata 28.700, manakala Anna Sokolova dari Cyprus mengumpul 28.300 mata bagi meraih perak dan wakil Kanada Carmel Kallemaa memenangi gangsa dengan 28.200 mata. – Bernama

  • Isu LCS:Fahmi tempelak Najib salahkan PH

    Isu LCS:Fahmi tempelak Najib salahkan PH

    PENGARAH Strategik Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil menempelak kenyataan Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyalahkan Pakatan Harapan (PH) dalam isu Kapal Tempur Persisir (LCS).

    Pada masa sama, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu mempersoalkan tindakan Najib yang tidak mengendahkan surat daripada Panglima Tentera Laut mengenai masalah perolehan LCS berkenaan.

    Katanya, apa yang menghairankan Najib menyalahkan PH sedangkan semasa itu merupakan Perdana Menteri.

    “Yang salah, yang buat silap semua orang lain. Dia (Najib) sendiri tak pernah silap walaupun dia lah PM (Perdana Menteri) waktu segala persiapan kontrak perolehan LCS berjalan.

    “Yang kamu tak dengar teguran dalam dua surat Panglima Tentera Laut tentang masalah perolehan LCS tu, itu pun salah PH ke?

    “Dia tak pernah terfikir ke, kesemua 10 surat Panglima Tentera Laut itu, kalau diterima dan diambil tindakan awal mungkin tak sampai hangus RM6 bilion macam sekarang. Mungkin dah sampai kapal-kapal LCS yang diperlukan TLDM (Tentera Laut Diraja Malaysia). Duit hangus, kapal tak sampai,” katanya menerusi catatan di laman Facebook miliknya hari ini, lapor Sinar Harian.

    Terdahulu Najib menerusi catatan dalam Facebook mendakwa, PH telah melewatkan projek dan membekukan sepenuhnya projek LCS pada 2019.

    Sebelum ini media melaporkan, Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh mendedahkan, kerajaan telah membayar sejumlah RM6 bilion untuk projek LCS, namun tiada sebuah kapal LCS disiapkan.

  • Tiada unsur ‘dua darjat’ dalam siasatan SPRM – Azam Baki

    Tiada unsur ‘dua darjat’ dalam siasatan SPRM – Azam Baki

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan kenyataan Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng yang mendakwa terdapat unsur ‘dua darjat’ dalam siasatan yang dijalankan oleh badan itu terhadap beberapa tokoh politik.

    Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kesemua individu yang dikaitkan dengan skandal rasuah berkenaan tidak akan terlepas daripada siasatan malah perkara itu pernah diumumkan pihaknya di Dewan Rakyat baru-baru ini.

    “Tiada siapa yang akan terlepas, saya beri jaminan semuanya akan dipanggil. Di Parlimen pun sudah disebut telah dan akan memanggil, bermakna siasatan telah kita jalankan.

    “Tetapi buat masa ini saya tidak boleh dedahkan berapa dan siapa, tetapi ramai yang telah kita panggil untuk siasatan,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Pingat Bakti Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini.

    Hari ini media tempatan melaporkan, Guan Eng mempersoal tindakan SPRM menyiasat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas dakwaan menerima dana rasuah, tetapi tidak mengambil tindakan sama terhadap beberapa orang bekas pemimpin UMNO yang menyertai parti lain.

    Guan Eng dilaporkan berkata, SPRM hanya menjalankan siasatan berhubung penyelewengan dana membabitkan seorang menteri dan dua timbalan menteri hanya selepas nama mereka didedahkan semasa prosiding Mahkamah dan bukan atas inisiatif suruhanjaya itu sendiri. 

  • MARA miliki peruntukan mencukupi terus taja pelajar ke luar negara – Mahdzir

    MARA miliki peruntukan mencukupi terus taja pelajar ke luar negara – Mahdzir

    MAJLIS Amanah Rakyat (MARA) mempunyai peruntukan mencukupi untuk terus menghantar pelajar tajaannya menyambung pengajian ke luar negara, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid.

    Beliau berkata justeru, agensi itu akan meneruskan program berkenaan biarpun dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini.

    “Kerajaan akan terus menghantar pelajar-pelajar Malaysia (tajaan MARA) ke luar negara.

    “Tiada tekanan (untuk menghentikan) kerana setiap tahun apabila nak buat bajet, dah letak siap-siap bajet untuk pendidikan jadi tak (perlu) susah hati,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Program Bekwoh Keluarga Malaysia Rakyat Tumpat dan Agihan Zakat Felcra Bhd di Pantai Geting, di sini hari ini.

    Turut hadir Pengerusi Felcra Berhad Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

    Ketika ditanya bidang tumpuan untuk menghantar pelajar ke luar negara, Mahdzir berkata ia akan dipilih berdasarkan kesesuaian semasa.

    “Hari ini orang bercakap pasal teknologi digital, perubahan iklim, tenaga lestari, kecerdasan buatan (AI), ini antara bidang yang diberi tumpuan selain bidang sedia ada seperti kejuruteraan dan aeroangkasa.

    “Kita juga memilih universiti terkemuka yang berada dalam 50 ternama dunia, malah pelajar yang dihantar juga memiliki markah terbaik untuk ditempatkan di universiti-universiti terbaik ini,” katanya.

    — BERNAMA

  • Pemotong rumput warga emas maut dirempuh kereta

    Pemotong rumput warga emas maut dirempuh kereta

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG warga emas maut setelah dirempuh sebuah kereta ketika sedang melaksanakan tanggungjawabnya sebagai pekerja pembersihan di Jalan 4, Taman Selasih dekat Kulim, Kedah tengah hari tadi.

    Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Mohd. Redzuan Salleh berkata, mangsa, Abu Bakar Osman, 68, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan.

    Menurutnya, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 1.14 tengah hari.

    “Ketika kejadian, mangsa sedang memotong rumput manakala kereta jenis Proton Iswara dipandu seorang warga emas berusia 77 tahun datang dari kawasan perniagaan di Lorong 8/3/ Taman Selasih.

    Ketika kejadian, mangsa sedang memotong rumput manakala kereta jenis Proton Iswara dipandu warga emas datang lalu melanggarnya

    “Apabila tiba di lokasi kejadian, kereta tersebut hilang kawalan dan melanggar mangsa yang berada di kiri jalan,” katanya.

    Beliau menambah, pemandu kereta itu kemudiannya ditahan untuk siasatan lanjut dengan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Sementara itu jurucakap bomba memaklumkan, kemalangan itu mengakibatkan mangsa tersepit di bawah kereta berkenaan.

    “Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan diserahkan kepada pihak polis sebaik dikeluarkan dari bawah kenderaan itu untuk tindakan lanjut,” katanya.

  • Siasatan SPRM berkenaan kes LCS di peringkat akhir

    Siasatan SPRM berkenaan kes LCS di peringkat akhir

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengumumkan keputusan siasatan berhubung kepincangan projek pembinaan enam kapal tempur (LCS) bernilai RM9 bilion, dalam masa terdekat.

    Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, sebelum pegumuman dibuat perlu dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara dan beberapa pihak berkaitan sebelum boleh didedahkan kepada umum.

    “Buat masa ini pihak saya masih lagi reserve (menangguhkan) untuk memberi apa-apa kenyataan dan saya akan maklum kemudian apabila bersedia membuat pengumuman.

    “Saya sudah pernah memberi kenyataan sebelum ini (mengenai siasatan)… Saya kena menjaga sensitiviti hal penyiasatan dan kerahsiaan kes ini kerana bukan sahaja membabitkan SPRM tapi juga Jabatan Peguam Negara dan sebagainya.

    “Sebab itu saya kena pastikan perkara ini diambil kira dahulu,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis pertemuan tahunan Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (Maca) di Kuala LUmpur, hari ini.

    Turut hadir Presiden MCW Jais Abdul Karim.

    Ditanya sama ada SPRM sudah menjalankan siasatan kes itu atau sebaliknya, Azam berkata, siasatan sudah bermula sejak beberapa tahun lalu dan berada di peringkat akhir.

    “Ada pihak seolah-olah menggambarkan yang siasatan masih dijalankan dan menggesa SPRM untuk menyiasat. Dah banyak kali saya katakan kita sedang menyiasat dan peringkat akhir penyiasatan, jadi peringkat ini saya tak mahu komen dulu,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Terdahulu, pelbagai pihak mendesak SPRM supaya menyelesaikan segera siasatan berhubung kepincangan projek pembinaan enam kapal tempur LCS susulan laporan PAC yang dibentangkan pada Khamis.

    Antara yang mendesak adalah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang; Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar; dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

    Dalam laporan yang dibentangkan itu, PAC menyenaraikan sembilan rumusan sebagai punca kepincangan projek pembinaan kapal berkenaan, antaranya kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) bagi projek runding terus itu, namun tiada kapal diterima setakat ini.

    Memetik kenyataan Pengerusi PAC Wong Kah Woh melalui prosiding dijalankan, projek LCS 1 disahkan siap tidak sampai 44 peratus dan upacara penamaan serta pelancarannya seperti dinyatakan saksi hanya memberi persepsi kepada umum bahawa kapal itu sudah siap.