Category: Semasa

  • Dipenjara 230 tahun kerana tipu pakej umrah

    Dipenjara 230 tahun kerana tipu pakej umrah

    Oleh BADLISHAH MAT

    SEORANG pengarah urusan sebuah syarikat dipenjara 230 tahun selepas didapati bersalah di Mahkamah Majistret Sungai Petani atas 23 pertuduhan berkaitan penipuan pakej umrah dan ziarah ke Mesir antara 2015 hingga 2016.

    Mahkamah yang menjatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun bagi setiap pertuduhan ke atas tertuduh, Misbahalmunir Omar, 56, bagaimanapun membenarkan ia dijalankan serentak bermula tarikh sabitan.

    Keputusan itu dibuat Majistret Arif Mohamad Shariff selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

    Tertuduh dikecualikan hukuman sebatan kerana telah berusia melebihi 50 tahun dan membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk menangguh hukuman itu kerana ingin membuat rayuan berkaitan sabitan dan hukuman ke Mahkamah Tinggi.

    Jaminan RM80,000 yang dikenakan terhadapnya sebelum ini turut dinaikkan kepada RM88,000 dengan seorang penjamin, selain pasport antarabangsa dipegang oleh mahkamah sehingga selesai rayuan.

    Mengikut fakta kes, Misbahalmunir yang ketika kejadian bertugas sebagai pengarah urusan syarikat Raudah Mawaddah Travel & Tours Sdn. Bhd. telah berurusan dengan seorang individu untuk mengadakan rombongan umrah dan perjalanan ke Mesir pada 2015.

    Individu itu yang juga pengadu dalam kes terbabit merupakan perunding dan mutawwif umrah diminta oleh tertuduh untuk memasukkan wang secara berperingkat ke dalam akaun bank diberikan tertuduh bagi pembelian tiket perjalanan pergi dan balik.

    Bagaimanapun dia tidak memaklumkan bahawa syarikatnya telah gulung tikar sejak 14 Januari 2015 atas perintah Mahkamah Tinggi Alor Setar dan meminta pengadu memasukkan wang peserta ke dalam akaun bank miliknya, isteri dan pekerja-pekerja syarikat itu.

    Kesemua 56 transaksi yang dilakukan antara 2 November 2015 hingga 28 Januari 2016 dengan jumlah RM434,250 membabitkan seramai 202 peserta bagi rombongan umrah dan ziarah itu termasuk dua yang sudah meninggal dunia.

    Tertuduh telah menghantar itenari tiket kesemua peserta kepada pengadu di mana penerbangan dijadualkan pada 29 dan 30 Januari 2016, namun dokumen itu tidak sah dan tidak wujud.

    Tertuduh telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret pada 26 Jun 2018 dan dikenakan 23 pertuduhan memperdayakan pengadu untuk memasukkan wang yang dikutip daripada 202 peserta berjumlah antara RM2,000 hingga RM36,600.

    Kesemua kesalahan dilakukan di beberapa lokasi di Kedah, Johor dan Selangor antara 2 November 2015 hingga 28 Januari 2016.

    Bagi kesemua pertuduhan, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan tidak lebih 10 tahun, sebatan dan boleh dikenakan denda.

    Tertuduh diwakili peguam Siti Salwa Jaafar, Mohd. Khairul Hafizuddin Ramli dan Siti Haslina Hasbullah manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Rifaie Mohamed Riyaludin dan Galvin Loo Wei Ming.

  • Bot penyeludup karam, seorang  PATI maut, 35 diselamatkan

    Bot penyeludup karam, seorang PATI maut, 35 diselamatkan

    SERAMAI 35 pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya diselamatkan kru sebuah kapal tangki milik syarikat swasta, manakala seorang lelaki maut apabila bot penyeludup yang cuba memasuki Malaysia karam di perairan Selangor awal pagi ini. 

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor Kepten V. Siva Kumar berkata pihaknya menerima maklumat berkaitan perkara itu daripada Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru pada kira-kira pukul 2.23 pagi.

    “Bot Perkasa 36 APMM Selangor, bot Tentera Laut Diraja Malaysia bersama bot Pasukan Polis Marin diatur gerak ke lokasi untuk operasi menyelamat,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

    “Semua 35 pendatang asing tanpa izin yang terdiri daripada 28 lelaki dan tujuh wanita berumur dalam lingkungan 22 hingga 51 tahun, berjaya dipindahkan ke aset penguat kuasa dari kapal tangki MV NCC Najem, berserta dengan satu mayat lelaki yang ditemukan oleh kru kapal tangki itu dalam keadaan terapung,” katanya. 

    Menurutnya lokasi tepat bot penyeludup yang karam itu masih sedang disiasat.

    “Kesemua 35 pendatang asing tanpa izin itu dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah sebelum ke Pejabat APMM Selangor untuk tindakan lanjut, manakala mayat diserahkan kepada polis untuk bedah siasat,” katanya. – BERNAMA

  • MAFI arah operasi tunda kereta di MAEPS dihenti serta merta

    MAFI arah operasi tunda kereta di MAEPS dihenti serta merta

    KEMENTERIAN Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) telah mengarahkan pihak pengurusan acara Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 untuk menghentikan semua operasi tunda kereta di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang berkuat kuasa serta merta.

    MAFI mengeluarkan kenyataan mengenainya hari ini susulan laporan media berkenaan kereta pengunjung ditunda dan disaman RM100 tanpa notis di MAHA 2022 semalam.

    Menurut MAFI, operasi tunda kereta dibuat bagi memastikan aliran trafik dan lalu lintas berjalan dengan lancar, serta membantu kelancaran sistem parkir di setiap kawasan parkir dalam MAEPS bagi mengelakkan aliran trafik menjadi sesak apabila terdapat kenderaan yang menghalang kenderaan lain.

    MAFI  berkata kenderaan awam perlu diletakkan di tempat yang disediakan dan terdapat 5,000 lot parkir kereta disediakan di Laman Tiba 1 dan 3,500 lot parkir di Laman Tiba 2 bagi kemudahan pengunjung.

    “Pengunjung turut dinasihatkan untuk meletakkan kenderaan di tempat yang disediakan bagi mengelak sebarang kesulitan kepada pengguna jalan raya dan menyebabkan kesesakan,” katanya.

    MAHA 2022 dianjurkan selama 11 hari bermula 4 Ogos lepas, menyaksikan penyertaan lebih 1,500 reruai pempamer, dengan sasaran lebih sejuta pengunjung dan RM250 juta potensi nilai jualan.

    Setakat semalam, jumlah pengunjung MAHA 2022 yang direkodkan adalah seramai 404,000 orang.- BERNAMA

  • Shahrir bayar penuh pembelian Honda Civic Hibrid

    Shahrir bayar penuh pembelian Honda Civic Hibrid

    MAHKAMAH Tinggi kuala Lumpur hari ini diberitahu bekas Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Ab Samad telah membuat pembayaran penuh bagi pembelian sebuah kereta jenis Honda Civic Hibrid bernilai RM118,485 menggunakan sekeping cek, sembilan tahun lepas.

    Eksekutif Akaun Sutera Auto Sdn Bhd Rozana Khalid, 43, yang terlibat dalam proses penutupan akaun bagi pembelian kereta berwarna putih itu berkata, Ab Shahrir membuat pembayaran itu pada 21 Disember 2013.

    Beliau berkata demikian semasa membacakan pernyataan saksi pada perbicaraan kes bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu yang berdepan pertuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

    Saksi pendakwaan ketujuh itu turut mengesahkan salinan cek dan resit bayaran yang ditunjukkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Azmi.

    Rozana juga berkata, terdapat tiga kaedah pembayaran bagi pembelian tunai iaitu menggunakan wang tunai, kad kredit dan cek, namun kebarangkalian untuk seseorang berbuat demikian hanya satu atau dua peratus.

    “Kebiasaannya pembeli akan membuat pinjaman bank. Sebagai contoh, daripada 50 unit yang terjual mungkin dua atau tiga orang akan membeli secara tunai dan pembayaran itu akan dibuat sama ada dalam bentuk wang tunai atau kad kredit,” katanya.

    Terdahulu, mahkamah mendengar keterangan Eksekutif Pentadbiran Sutera Auto Sdn Bhd Nurrul Hafizah Md Roslan, 40, berhubung invois yang disediakan selepas urusan pembayaran dan pendaftaran kenderaan itu selesai.

    Shahrir, 72, didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudian dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.

    Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di Kuala Lumpur pada 25 April 2014 mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin bersambung esok.

  • 5 sekeluarga dalang edar syabu guna syarikat penghantaran tumpas

    5 sekeluarga dalang edar syabu guna syarikat penghantaran tumpas

    TAKTIK licik lima sekeluarga di Pulau Pinang mengedar dadah jenis syabu yang disembunyikan di dalam bekas bancuhan simen dan diedarkan menerusi syarikat penghantaran berjaya dihidu pihak berkuasa.

    Kesemua mereka bersama seorang lagi ahli sindiket wanita ditahan dalam empat serbuan berasingan di daerah Barat Daya dan Seberang Perai Utara (SPU) pada 4 Ogos lalu.

    Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Mohd. Radzi Ahmad berkata, operasi itu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang bermula pukul 2.30 petang sehingga 11.30 malam.

    Dalam serbuan itu jelasnya, polis merampas 14.1 kilogram dadah jenis syabu dan serbuk methylenedioxymethamphetamine (MDMA) bernilai RM694,412.

    “Ketua sindiket dan kekasihnya yang berusia 36 dan 32 tahun ditahan di hadapan sebuah premis di Bayan Lepas.

    “Ekoran penahanan itu, polis menyerbu sebuah rumah di Taman Bagan pada hari sama dan menahan ibu, bapa, adik lelaki dan adik ipar ketua sindiket berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di ibu Pejabat Polis Daerah SPU hari ini.

    Menurut Mohd. Radzi, serbuan seterusnya dilakukan di sebuah syarikat penghantaran di Bayan Lepas kira-kira pukul 4.30 petang hari sama yang mana polis menemukan bungkusan syabu yang dipercayai akan dihantar ke luar negara.

    Jelasnya, hasil risikan turut mendapati aktiviti pengedaran dadah oleh sindiket berkenaan aktif sejak Jun lalu untuk pasaran tempatan dan luar negara.

    “Sindiket ini turut mengedarkan serbuk MDMA berperisa limau untuk pasaran tempatan dipercayai dijual pusat-pusat hiburan dengan harga antara RM150 sehingga RM180 sepeket,” katanya.

    Tambah beliau, ujian saringan air kencing terhadap keenam-enam suspek didapari negatif, namun tiga daripadanya mempunyai rekod kesalahan lampau.

    “Kesemua suspek direman bermula 5 Ogos lalu sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

  • Isu LCS:Syed Saddiq cabar Najib beri penjelasan di Parlimen

    Isu LCS:Syed Saddiq cabar Najib beri penjelasan di Parlimen

    AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mencabar Datuk Seri Najib Tun Razak supaya memberi penjelasan berhubung isu projek kapal tempur pesisir pantai (LCS) di Parlimen.

    Beliau berkata, bekas Perdana Menteri perlu membuat kenyataan rasmi di hadapan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan Dewan Rakyat, bukannya menjawab melalui media sosial seperti Facebook.

    “Jadi kalau kamu (Najib) atau Menteri Pertahanan begitu arif dengan projek ini, hadir ke Parlimen dan jawab dengan telus.

    “Tak perlu takut kalau kamu di pihak yang benar. Nak jawab, jawab betul-betul,” katanya dalam siaran di Facebook miliknya hari ini.

    Pada Khamis, kajian daya maju (due deligence) yang dilakukan oleh kerajaan terhadap syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS) mengenai pembinaan kapal LCS, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) gagal mengesan masalah kewangan syarikat tersebut.

    Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh berkata, hal tersebut dibuktikan apabila kerajaan terpaksa membuat pembayaran pendahuluan sehingga RM1.36 bilion kepada syarikat BNS, bertentangan dengan Surat Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 5 Tahun 2007 yang berkuat kuasa ketika itu.

    Selain itu, Syed Saddiq yang juga Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) berkata, apabila ada skandal yang telah dibongkarkan dalam laporan rasmi PAC, banyak pihak cuba lepas tangan dan memetik nama orang lain.

    “Selalu kena petik Pakatan Harapan (PH); bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan semualah.

    “Padahal waktu LCS ini lulus tahun 2010, semua entiti ini tak ada pun dalam kerajaan,” ujarnya sebagaimana dilaporkan Sinar Harian.

    Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan tindakan kerajaan dahulu dalam mengendalikan isu berkenaan.

    “Kenapa apabila bekas Panglima Tentera Laut, Tan Sri Dr. Abdul Aziz Jaafar suarakan masalah dan kerisauan tentang projek LCS, kerajaan kamu campak dan bakul sampahkan?

    “Kapal LCS pertama yang patut siap pada tahun 2019 pun baru 36.8 peratus siap. Tak masuk akal sebab waktu projek ni dibuat, lebih lapan tahun yang jadi kerajaan adalah kamu. Tiba-tiba salah kerajaan PH,” soalnya.

  • 5 lelaki nyaris maut kereta terjunam gaung 30 meter

    5 lelaki nyaris maut kereta terjunam gaung 30 meter

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    LIMA lelaki nyaris maut selepas kereta jenis Proton Saga yang dinaiki mereka terbabas dan terjunam ke dalam gaung di kawasan berhampiran Titi Kerawang, Balik Pulau, Pulau Pinang hari ini.

    Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Mohd. Hafiz Hafizal Timaradin berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, kenderaan yang dinaiki kesemua mangsa berusia antara 20 hingga 21 tahun itu terbabas lalu terjunam ke dalam gaung sedalam 30 meter.

    Menurut beliau, pihaknya yang tiba di tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan mendapati kesemua mangsa cedera ringan.

    “Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, komander operasi membuat ‘size up’ di dan mengarahkan anggota melakukan kerja-kerja menyelamat bagi mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas.

    “Kesemua mangsa telah berjaya dinaikkan ke kawasan yang selamat dan dibawa ke hospital untuk menerima rawatan lanjut,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Tambah beliau, operasi menyelamat itu tamat sepenuhnya pukul 4.44 petang.

  • Tujuh warga China didakwa masuk Malaysia tanpa dokumen

    Tujuh warga China didakwa masuk Malaysia tanpa dokumen

    TUJUH individu China termasuk seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seri Manjung hari ini atas pertuduhan memasuki negara ini tanpa dokumen, bulan lalu.

    Tertuduh wanita, Dai Bao Xi, 54 dan lelaki, Guo Fei, 48, yang bekerja sebagai tukang masak mengaku salah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret A. Hafiizh Abu Bakar.

    Sementara, Lin Zhi Chuang, 27; Guo Feng Jie,29; Li Tao, 23; Zhang Zheng Long, 29 dan Chen Yuan Zhou, 28, pula mengaku tidak bersalah.

    Sinar Harian melaporkan, mengikut kertas pertuduhan, kesemua tertuduh didapati masuk dan berada negara ini tanpa sebarang dokumen perjalanan yang sah di sebuah apartment di Jalan Lumut, Lumut pada 25 Julai lalu.

    Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002) yang membawa hukuman denda RM10,000 atau penjara lima tahun atau kedua-dua sekali dan sebat tidak lebih enam kali sebatan, jika sabit kesalahan.

    A. Hafiizh kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM4,000 terhadap Bao Xi manakala denda RM5,000 dan satu sebatan dikenakan terhadap Guo Fei.

    Beliau bagaimanapun membenarkan permohonan tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan sebatan tersebut dengan menfailkan notis rayuan.

    Kedua-dua tertuduh membayar denda itu dan mereka dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia.

    Bagi lima tertuduh lain, mahkamah menetapkan 1 September depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

    Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Nurjihan Jaya dan Timbalan Pendakwa Raya, R. Rishan Kumar manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Muhammad Syafiq Salleh.

  • Akaun Telegram peribadi digodam, PM minta abai mesej diterima

    Akaun Telegram peribadi digodam, PM minta abai mesej diterima

    AKAUN Telegram peribadi milik Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini telah digodam oleh individu tidak bertanggungjawab.

    Ismail Sabri yang memaklumkan perkara itu menerusi ciapan di Twitter turut meminta orang ramai untuk mengabaikan mesej daripada akaun berkenaan.

    “Perhatian: akaun Telegram peribadi saya telah digodam oleh individu tidak bertanggungjawab.

    “Mohon laporkan kepada pihak berkuasa dan abaikan sebarang mesej yang diterima daripada akaun berkenaan,” katanya dalam ciapan itu.

  • TI-M gesa tangguh bayaran hingga kapal LCS siap ikut jadual

    TI-M gesa tangguh bayaran hingga kapal LCS siap ikut jadual

    TRANSPARENCY International Malaysia (TI-M) meminta kerajaan tidak membuat bayaran lanjut bagi projek pembinaan enam kapal tempur pesisir (LCS) sehingga penghantaran kapal yang memenuhi spesifikasi kontrak dibuat dan setimpal dengan jumlah RM6.083 bilion yang dibayar sehingga kini.

    Ia adalah antara cadangan dikemukakan TI-M, yang disaran dilaksanakan segera oleh kerajaan, susulan laporan punca kepincangan projek LCS oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Khamis lalu.

    TI-M mempersoalkan bagaimana projek LCS yang bermula pada 2013 boleh dibiarkan sehingga berdepan kegagalan perolehan dan tadbir urus yang besar untuk sekian lama, selain aspek pengawasan, tadbir urus yang baik dan akauntabiliti.

    Badan itu menggesa kerajaan menyiasat kontraktor dan subkontraktor LCS di semua peringkat bagi memastikan tiada pemalsuan syarikat (dummy companies) yang mendorong kepada penggelapan kontrak dengan nilai yang besar itu.

    “Prosedur operasi standard (SOP) perlu diadakan untuk audit pertengahan yang akan dijalankan bagi semua projek sektor awam membabitkan berbilion ringgit.

    “Langkah ini akan membantu mengesan sebarang isu dan menanganinya sebelum ia menjadi risiko yang membawa kepada kelewatan serta kemungkinan melampaui bajet yang ditetapkan.

    “Selain itu, kerajaan perlu memastikan semua projek bernilai dan berimpak tinggi, yang membabitkan wang pembayar cukai disemak oleh Parlimen sebelum ia diluluskan serta memastikan proses tender yang kompetitif diguna pakai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Khamis lalu, selepas dua tahun tahun disiasat dan sembilan prosiding, PAC mengumumkan sembilan rumusan sebagai punca kepincangan projek LCS.

    Rumusan berkenaan termasuk kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS) bagi projek runding terus itu, namun tiada kapal yang diterima setakat ini.

    Selain itu, kajian daya maju oleh kerajaan terhadap BNS gagal mengesan masalah kewangan syarikat itu sehingga menyebabkan kerajaan terpaksa membayar pendahuluan RM1.36 bilion kepada BNS, bertentangan dengan Surat Pekeliling Perbendaharaan Bil 5 Tahun 2007 yang berkuat kuasa ketika itu.

    TI-M juga menggesa tindakan tegas diambil jika didapati mana-mana penjawat awam cuai dalam melaksanakan tugas fidusiari berkaitan projek, terutama tugas berkaitan pengawasan dan pelaporan.

    “Prosiding jenayah perlu dimulakan terhadap sesiapa yang disyaki melakukan kesalahan di bawah pelbagai undang-undang di Malaysia, terutama suapan, rasuah dan salah guna jawatan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.

    TI-M berkata, sebarang kegagalan atau kelewatan bertindak oleh kerajaan didakwa akan menunjukkan sikap tidak ikhlas terhadap komitmennya untuk melaksanakan reformasi institusi dan perjuangan membasmi rasuah.

    “Malangnya, Malaysia kini semakin dikenali dengan amalan tadbir urus buruk yang mengakibatkan kerugian berbilion ringgit dana awam, daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada projek LCS ini.

    “Tindakan sudah dan terus akan diambil ke atas isu 1MDB. Berapa lama lagikah kita perlu menunggu untuk melihat pihak yang bertanggungjawab dihadapkan ke muka pengadilan kerana satu lagi kegagalan?” katanya.