Category: Semasa

  • Pindaan Akta Pendidikan 1996 perlu ditimbang secara mendalam – Radzi

    Pindaan Akta Pendidikan 1996 perlu ditimbang secara mendalam – Radzi

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) perlu menimbang secara mendalam cadangan beberapa pihak termasuk ahli akademik dan pakar perundangan yang mahu kerajaan meminda Akta Pendidikan 1996 bagi mewajibkan persekolahan sehingga ke Tingkatan Lima.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata  banyak perbincangan sudah dibuat kerana ia melibatkan pelbagai sudut.

    “Banyak perkara kita teliti daripada perspektif yang berbeza. Jadi sebab itu apabila kita bercakap mengenai akta pendidikan ini, ia tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya, ” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan Wacana Dr Radzi Jidin bertajuk Eksplorasi Dunia Pertanian di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS)

    Beliau menjelaskan, apabila pindaan akta ingin dibuat, ia perlu dilakukan dengan sebaik-baiknya kerana apa-apa yang menyalahi akta akan diambil tindakan.

    “Jadi kita kena teliti satu persatu apabila kita bercakap tentang akta pendidikan. Sebab itu apabila kita dengar perbincangan di luar sana, kita memang sentiasa melihat apakah penambahbaikan yang boleh dibuat.

    “Bagaimanapun pada masa sama, kita melihat daripada pelbagai sudut, bukan sahaja boleh lihat secara umum tapi kita perlu lihat secara mendalam berkaitan dengan akta pendidikan dalam mengambil kira pelbagai aspek termasuk nanti aspek penguasaannya,” katanya

    Dalam perkembangan lain ditanya media mengenai penggabungan sekolah murid, Radzi berkata perkara itu perlu diteliti berikutan membabitkan banyak proses.

    “Pelbagai aspek perlu diteliti sebelum kita membuat sebarang keputusan berkaitan dengan penggabungan itu.

    “Sebab kita tidak mahu perkara ini dipolitikkan. Apabila bercakap penggabungan, bukan proses baharu kerana ia memerlukan kajian dan penelitian,” katanya.

  • KPDNHEP rampas 600 minyak masak peket

    KPDNHEP rampas 600 minyak masak peket

    SATU sindiket yang melakukan kegiatan menyorok minyak masak peket bersubsidi di Kuching terbongkar selepas anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarikei di Jalan Jelutong Barat, Kuching semalam.

    Serbuan tersebut dilakukan di sebuah kediaman dan hasilnya berjaya merampas 600 kilogram minyak masak peket dengan nilai pasaran RM1,500.

    Ketua KPNHEP Cawangan Sarikei, Mohamad Zawawi berkata, siasatan awal kita mendapati premis kediaman tersebut tidak memiliki lesen sebagai stor simpanan minyak masak.

    “Malah premis berkenaan tidak mempunyai lesen sah untuk menyimpan barangan kawalan dalam kuantiti yang banyak.

    “Serbuan tersebut turut disertai pihak Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan bekalan barang kawalan seperti gula, minyak masak dan tepung gandum serta barang keperluan asas mencukupi di pasaran,” katanya memetik laporan Astro Awani, hari ini.

    Katanya, operasi itu juga bertujuan mengelak berlakunya aktiviti penyelewengan melalui aktiviti menyembunyi barang-barang kawalan.

    Mana-mana individu atau peniaga yang melanggar undang-undang terutamanya melibatkan penyelewengan barang kawalan bersubsidi katanya, boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.

    “Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak lebih RM1,000,000 manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3,000,000.

    “Bagi orang perseorangan, mereka berhadapan penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala bagi syarikat, denda tidak melebihi RM2,000,000 manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5,000,000,” katanya.

  • Kandungi ETO, aiskrim vanila Haagen-Dazs ditarik balik

    Kandungi ETO, aiskrim vanila Haagen-Dazs ditarik balik

    PENJUALAN aiskrim vanila jenama Haagen-Dazs ditarik balik dari pasaran sejak bulan lepas setelah dikesan mengandungi bahan karsinogenik Ethylene Oxide (ETO) melebihi tahap dibenarkan.

    Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata sejak isu tersebut dilaporkan dan notifikasi diterima bulan lepas, pihak syarikat yang mengimport aiskrim berkenaan telah menarik balik produk terlibat di pasaran secara sukarela.

    “Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum mengenai isu penarikan balik produk aiskrim berjenama Haagen-Dazs dari pasaran Eropah kerana mengandungi bahan karsinogenik Ethylene Oxide (ETO) berdasarkan laporan notifikasi European Union Rapid Alerts Systems for Food and Feed (EURASAFF), ” katanya dalam kenyataan hari ini. 

    Beliau berkata notifikasi tersebut menyatakan terdapat penarikan balik produk aiskrim dari Perancis  mengandungi ekstrak vanilla dari Madagascar yang dikesan mengandungi ETO melebihi tahap  dibenarkan dan produk itu juga diedarkan ke beberapa negara termasuk Malaysia.

    “Pemantauan berterusan juga dilaksanakan bagi memastikan produk terlibat tidak dipasarkan di negara ini,” katanya. 

    Bahan ETO adalah sebatian gas kimia bersifat karsinogenik dan sering digunakan bagi menjalankan fumigasi atau pewasapan untuk membunuh makhluk perosak seperti serangga.

    Selain itu, ia juga digunakan sebagai bahan aktif dalam bahan pencuci tetapi tidak dibenarkan penggunaannya pada permukaan yang bersentuhan makanan.

    Dr Noor Hihsham berkata KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara boleh mengancam kesihatan pengguna dan mereka yang ragu-ragu mengenai penjualan produk terlibat boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah terdekat.

    Pengguna juga boleh menyalurkan pertanyaan melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau laman facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq. – BERNAMA

  • LCS: SPRM saran Jabatan Peguam Negara tuduh beberapa individu

    LCS: SPRM saran Jabatan Peguam Negara tuduh beberapa individu

    SURUHANJAYA  Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengemukakan kepada Jabatan Peguam Negara dengan menyarankan pertuduhan dikenakan terhadap beberapa individu berkait projek kapal tempur pesisir (LCS).

    Dalam kenyataannya, SPRM mengesahkan sudah melengkapkan beberapa kertas siasatan terhadap individu yang mempunyai kaitan dengan dakwaan penyelewengan dalam pengendalian LCS.

    “Kertas siasatan tersebut telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara dengan saranan daripada SPRM untuk mempertimbangkan pertuduhan terhadap beberapa individu.

    “Seterusnya, SPRM akan menerima arahan lanjut hasil daripada kajian Pejabat Peguam Negara terhadap kertas siasatan tersebut,” menurut kenyataan itu, lapor FMT.

    Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, JEMAAH Menteri hari ini menggesa SPRM  supaya menyegerakan siasatan berhubung isu Kapal Tempur Pesisir (LCS),.

    Beliau berkata perkara berkenaan yang dibincangkan secara terperinci pada Mesyuarat Jemaah Menteri turut meminta Peguam Negara agar membuat pendakwaan sekiranya terdapat bukti kukuh serta membawa pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

    “Saya bagi pihak kerajaan, memberi jaminan bahawa siasatan berhubung isu ini dijalankan dengan telus dan kerajaan tidak akan melindungi sesiapa pun yang terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Ismail Sabri berkata beliau telah memanggil Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun dan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki selepas mesyuarat itu dan meminta mereka untuk segera bertindak selaras dengan keputusan mesyuarat.

    Menegaskan bahawa kerajaan memandang serius isu LCS, Perdana Menteri berkata Mesyuarat Jemaah Menteri juga memutuskan agar Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang dipengerusikan bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang dibenarkan untuk disiarkan kepada umum.

    Selain itu, Jemaah Menteri juga mencadangkan supaya Laporan Pengauditan Forensik Projek LCS yang dijalankan pada 2019 dinyahklasifikasikan, namun proses itu perlu mendapat nasihat dan pandangan Peguam Negara dan Ketua Audit Negara terlebih dahulu.

  • Kastam Kelantan rampas lebih satu tan daun ketum

    Kastam Kelantan rampas lebih satu tan daun ketum

    JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menggagalkan cubaan penyeludupan lebih satu tan daun ketum bernilai RM14,500 yang dibawa menggunakan lori dari Kedah ke Kelantan.

    Menerusi serbuan pada pukul 4 pagi, JKDM Kelantan turut menahan seorang suspek iaitu lelaki berusia 22 tahun yang juga pemandu lori.

    Pengarah JKDM Kelantan, Mohd. Nasir Deraman berkata, pasukan operasi dari Cawangan Penguat kuasa Rantau Panjang, JKDM Kelantan menerima maklumat penyeludupan ketum dan melakukan intipan serta mengekori lori berkenaan dari Tanah Merah.

    “Suspek diarah memberhentikan lori dipandunya ketika sampai di Ketereh.

    “Pemeriksaan lanjut di ruangan belakang lori menjumpai 145 bungkusan plastik berwarna hitam mengandungi daun ketum dianggarkan seberat 1.45 tan bernilai RM14,500.

    “Suspek dipercayai memandu lori dengan membawa muatan ketum diperoleh dari Kedah dan dibawa masuk ke Kelantan untuk dipasarkan,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Cawangan Penguatkuasaan JKDM, hari ini.

    Beliau berkata, kegiatan penyeludupan ketum tersebut dipercayai membabitkan sindiket dan pihaknya giat menjejaki individu lain terlibat.

    Katanya, suspek yang berasal dari Tumpat direman empat hari bermula Selasa lalu sehingga Jumaat bagi membantu siasatan.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum empat tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Dalam perkembangan sama, pihak berkuasa itu mengesan taktik penyeludup yang bertukar pemandu kenderaan ketika dalam perjalanan membawa barangan termasuk rokok, minuman keras, mercun dan dadah.

    “Pada tahun ini, kes terbaharu, sejumlah 5.81 tan daun ketum dirampas membabitkan empat kes dan jumlah itu meningkat daripada 343 kilogram daun ketum yang dirampas melibatkan dua kes pada tahun lalu,” katanya.

  • Keputusan permohonan baharu Rosmah gugurkan Sri Ram 30 Ogos ini

    Keputusan permohonan baharu Rosmah gugurkan Sri Ram 30 Ogos ini

    MAHKAMAH Tinggi di Kuala Lumpur hari ini menetapkan 30 Ogos ini untuk memutuskan permohonan baharu Datin Seri Rosmah Mansor untuk menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan dalam kes rasuah membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion yang dihadapinya.

    Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah peguam Rosmah iaitu Datuk Akberdin Abdul Kader dan Datuk Jagjit Singh serta Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan dan Sri Ram, yang mewakili dirinya sendiri.

    Hakim itu berkata, beliau akan memberikan keputusan itu melalui e-mel.

    Sebelum itu, Shamsul yang mewakili Jabatan Peguam Negara (AGC), membantah permohonan semakan kehakiman Rosmah bagi memulakan cabaran perundangan berhubung perkara itu atas alasan ia adalah penyalahgunaan proses mahkamah.

    “Pemohon cuba campur tangan dalam prosiding jenayah dengan mengemukakan cabaran di mahkamah sivil.

    Sri Ram pula berhujah permohonan Rosmah pada Khamis adalah umpama ‘meminta mahkamah menyemak semula keputusan mahkamah lain’ selepas Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa pelantikan beliau adalah sah.

    Isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu pernah memfailkan permohonan serupa di Mahkamah Tinggi Jenayah di Kuala Lumpur.

    Bagaimanapun, permohonan itu telah ditolak dan keputusan tersebut dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan serta Mahkamah Persekutuan.

    Prosiding pada hari ini, Akberdin berhujah bahawa anak guamn beliau hendaklah dibenarkan memulakan cabaran perundangan itu serta mendakwa mereka mempunyai kes yang boleh dihujah dan Rosmah juga ‘terjejas teruk’ susulan pelantikan Sri Ram sebagai pendakwa raya ad hoc dalam perbicaraan kes rasuahnya.

    Rosmah, 70, memfailkan permohonan itu pada 24 Jun lepas di Mahkamah Tinggi (Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) menamakan Peguam Negara/Pendakwa Raya, Kerajaan Malaysia dan Sri Ram sebagai responden.

    Menerusi permohonan terbaharunya, Rosmah memohon satu deklarasi bahawa pelantikan Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan melalui tiga surat pelantikan (fiat) bertarikh 8 Julai 2020, 11 Mei dan 21 Mei 2021, adalah tidak sah.

    Selain itu, Rosmah memohon deklarasi bahawa keseluruhan prosiding pendakwaan dan perbicaraan penuh kes projek solar yang berlangsung sejak 15 Nov 2018 sehingga pembelaan menutup kesnya adalah tidak sah serta batal dan beliau perlu dibebaskan daripada semua pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

    Rosmah berdepan pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin melalui bekas pembantunya Datuk Rizal Mansor sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan projek bernilai RM1.25 bilion bagi menyalurkan tenaga hibrid solar kepada 369 sekolah di kawasan luar bandar Sarawak. – Bernama

  • Pengurus bank sahkan Shahrir terima cek RM1 juta daripada Najib

    Pengurus bank sahkan Shahrir terima cek RM1 juta daripada Najib

    SEORANG pengurus bank hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur bahawa Tan Sri Shahrir Ab Samad menerima sekeping cek bernilai RM1 juta daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, sembilan tahun lepas.

    Pengurus Cawangan Ambank (M) Berhad Jalan Raja Chulan R. Uma Devi, 43, yang mengesahkan perkara itu berkata cek tersebut dikeluarkan oleh Najib sendiri atas nama bekas Pengerusi Felda berkenaan pada 27 Nov 2013 dan telah ‘clear’ pada keesokan harinya.

    Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Azmi pada perbicaraan kes bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu yang berdepan pertuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada Najib kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

    “Berdasarkan salinan penyata bank Datuk Seri Najib, baki wang untuk bulan November 2013 adalah berjumlah RM48,273,239.26 manakala baki yang tinggal pada 30 Nov 2013 adalah RM36,922,068.26. Pada 28 Nov 2013, terdapat pengeluaran berjumlah RM1 juta daripada akaun tersebut,” kata saksi pendakwaan ke-12 itu.

    Bagaimanapun, Uma Devi berkata akaun bank milik Najib itu, yang dibuka pada 31 Julai 2013, telah ditutup pada 9 Mac 2015 atas sebab yang tidak dinyatakan.

    “Baki dalam akaun tersebut bersama dua lagi akaun beliau yang lain ialah sebanyak RM103,361.17 telah dikeluarkan menerusi cek atas nama Ihsan Perdana Sdn Bhd,” katanya.

    Shahrir, 72, didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudian dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.

    Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 25 April 2014 mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin bersambung 5 Sept ini.- BERNAMA

  • Polis siasat cubaan samun rumah guna parang

    Polis siasat cubaan samun rumah guna parang

    POLIS sedang menjalankan siasatan terhadap insiden cubaan samun oleh seorang lelaki di sebuah rumah sebagaimana yang dipaparkan dalam satu video di sebuah akaun TikTok.

    Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan yang mengesahkan perkara itu berkata, kejadian berkenaan berlaku di sebuah rumah di Taman Tasek Indra di Ipoh, pada pukul 6.40 petang, 5 Ogos lalu.

    Katanya, siasatan lanjut ke atas kes berkenaan sedang dijalankan di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cubaan samun.

    “Polis Daerah Ipoh ingin menyeru kepada mana-mana saksi yang telah menyaksikan kejadian tersebut supaya berhubung dengan Pegawai Penyiasat Kanan, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, ASP Fadli Ahmad di talian 019-2500019 untuk membantu siasatan lanjut pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis, lapor Astro Awani.

    Sebelum itu, sebuah akaun TikTok pada Khamis telah memuat naik video pendek dipercayai daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan cubaan samun oleh seorang lelaki di sebuah rumah.

    Kapsyen pada video berdurasi 12 saat itu mendakwa kejadian berlaku di sebuah taman perumahan di Sungai Siput Utara.

    Dalam video berkenaan memaparkan seorang lelaki memakai topi keledar dengan memegang dipercayai parang cuba untuk masuk ke sebuah rumah.

    Bagaimanapun, kehadiran lelaki itu disedari individu dalam rumah berkenaan sebelum bertindak menutup pintu menyebabkan suspek pantas beredar.

  • Polis berjaya berkas peragut bersiri

    Polis berjaya berkas peragut bersiri

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    POLIS semalam berjaya memberkas seorang lelaki yang aktif melakukan ragut di sekitar kawasan Johor Jaya dan Taman Pelangi, Johor Bahru.

    Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, dalam kejadian terbaharu suspek meragut beg tangan seorang wanita warga emas yang sedang berjalan kaki di Jalan Dedap, Taman Johor Jaya.

    Terdahulu pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut daripada mangsa yang berusia 62 tahun.

    “Siasatan mendapati kejadian berlaku pada pukul 2 petang, 4 Ogos lalu, suspek yang menaiki motosikal meragut mangsa dari arah belakang semasa wanita itu sedang berjalan kaki untuk pulang ke rumah.

    “Akibat kejadian tersebut mangsa telah mengalami lebam di bahagian bahu sebelah kanan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, bertindak atas maklumat pada pukul 3.37 petang semalam, sepasukan anggota dari Cawangan Risikan dan Operasi (D9) Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam menjejaki suspek.

    Menurutnya, suspek yang berusia 26 tahun berjaya ditahan di sebuah bilik sewa sekitar Taman Molek di Johor Bahru.

    “Hasil semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai enam rekod jenayah termasuk dua rekod orang yang dikehendaki,” katanya.

    Pihaknya turut merampas antaranya sebuah motosikal Honda Dash; empat telefon bimbit pelbagai jenama, beg silang warna hitam; dua resit tukaran wang asing; seutas rantai tangan emas dan dua pasang anting-anting emas.

    “Menerusi tangkapan ini kita berjaya menyelesaikan tiga kes ragut tepi jalan yang berlaku sekitar Johor Jaya dan Taman Pelangi,” katanya.

    Beliau berkata, kes kini disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan manakala suspek direman enam hari mulai Jumaat hingga 16 Ogos ini.

  • Datuk Seri antara 25 ditahan berparti liar dadah

    Datuk Seri antara 25 ditahan berparti liar dadah

    POLIS menahan seramai 25 individu termasuk seorang bergelar Datuk Seri yang menyertai parti liar di sebuah rumah banglo di Janda Baik, Bukit Tinggi, Bentong Pahang awal pagi tadi.

    Hasil ujian saringan awal air kencing terhadap kesemua suspek terdiri daripada 15 lelaki dan 10 wanita itu mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine.

    Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, berkata, serbuan kira-kira pukul 1 pagi itu hasil maklumat orang awam.

    Katanya, dalam serbuan dan pemeriksaan itu, polis menjumpai dadah jenis ketamin seberat 2.18 gram serta 1.43 gram pil ekstasi dianggarkan bernilai RM800.

    “Semua suspek yang ditahan terdiri daripada 17 rakyat tempatan dan lapan warga asing berusia antara 18 hingga 64 tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Zaiham berkata, kesemua suspek kini direman empat hari bermula hari ini hingga 14 Ogos.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.

    Tegas beliau, polis tidak akan berkompromi dalam menangani isu dadah di daerah Bentong dan akan mengambil tindakan tegas.

    Tambahnya, beiau turut mengucapkan terima kasih khususnya kepada penduduk sekitar yang membantu menyalurkan maklumat kepada polis.