Category: Semasa

  • Wang simpanan eksekutif swasta lesap dalam masa sehari

    Wang simpanan eksekutif swasta lesap dalam masa sehari

    SEORANG eksekutif swasta hilang semua duit simpanan dalam masa sehari selepas ditipu skim perniagaan mudah dalam media sosial yang menawarkan kerja sambilan.

    Mangsa terperangkap kononnya kerja yang diberikan sangat mudah iaitu hanya ‘like’ barangan yang dijual secara atas talian dan mangsa dijanjikan pulangan 20 peratus daripada modal.

    Dia yang mahu dikenali sebagai Azri, 30-an, menerima mesej tawaran daripada nombor tidak dikenali menerusi WhatsApp, bulan lalu.

    Mangsa diminta menyukai produk di platform e-dagang dan menghantarkan tangkap layar kepada nombor tertentu sebelum menerima upah berkenaan.

    “Saya ditawarkan kerja sambilan di Internet. Ia semudah ‘like’ barangan yang dijual dan hantar bukti untuk menerima bayaran dan akan dibayar RM4 untuk setiap satu.

    “Mula-mula saya dapat RM28 hingga RM620 dan individu itu kemudian menawarkan saya pilihan utama iaitu saya perlu membeli barangan.

    “Selepas beberapa transaksi, saya membayar RM5,580 untuk pembelian semula seperti yang diminta namun dimaklumkan ada masalah teknikal,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Azri yang inginkan semula modalnya itu diminta untuk membuat pembelian lain sebagai syarat untuk kelulusan bayaran balik.

    Dia seolah-olah tidak sedar bahaya menanti dan terus melakukan dua transaksi selepas itu kerana ingin mendapatkan semula modal asal.

    “Ketika ini saya sedar sudah kena tipu dengan sindiket ini dan menyesal. Individu itu terus menghubungi saya meminta bayaran kononnya untuk membantu mendapatkan semula wang.

    “Saya memang menyesal kerana terlalu inginkan wang mudah. Saya harap orang ramai tidak terpedaya dengan tawaran seperti ini yang akan menjerat diri,” katanya.

    Sementara itu, Penasihat Persatuan Pengguna Siber Malaysia Datuk Ahmad Noordin Ismail berkata, orang ramai perlu lebih berhati-hati dengan sebarang tawaran yang diterima.

    Katanya, antara yang boleh dilakukan adalah cuba mendapatkan sebanyak mungkin maklumat mengenai penjual atau mereka yang menawarkan kerja seperti nama dan alamat syarikat.

    “Cuba minta maklumat sebanyak mungkin. Kemudian buat carian di Internet untuk tahu apa barangan dan kerja yang ditawarkan,” katanya.

    Jika tawaran yang diterima sangat menarik katanya, tidak perlu terus masukkan wang seperti diminta, sebaliknya sahkan dulu dengan pihak berwajib bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.

    “Paling tidak, beri wang pendahuluan dalam jumlah sedikit bagi mengurangkan risiko kerugian sekiranya ditipu,” katanya.

  • Bekas pengurus besar AKSB mengaku tidak bersalah terima rasuah

    Bekas pengurus besar AKSB mengaku tidak bersalah terima rasuah

    BEKAS pengurus besar Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini atas pertuduhan menerima rasuah RM10,000 membabitkan lantikan sub kontraktor bagi skim bekalan air Merbau Chiding di Machang.

    Tertuduh, Wan Mohd Zamri Wan Ismail, 61, membuat pengakuan itu mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zaman Mohd Noor, lapor Harian Metro.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menerima suapan wang RM10,000 daripada Ng Tze Wei, 44, melalui cek bertarikh 21 Januari 2015 yang dikreditkan ke dalam akaun Maybank milik tertuduh di Maybank Jalan Mahmood di Kota Bharu, pada 22 Januari 2015.

    Suapan itu sebagai dorongan membantu syarikat Zog Technology Sdn. Bhd. dilantik sebagai sub kontraktor untuk menjalankan kerja merekabentuk, membina, menyiapkan, mengujilari, mentauliahkan kerja-kerja mekanikal serta elektrikal untuk skim bekalan air Merbau Chinding fasa II, Machang.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan.

    Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mariah Omar dan tertuduh diwakili peguam, Ahmad Adha Amir Yasser Amri.

    Terdahulu, Mariah menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin serta pasport tertuduh diserahkan kepada pihak mahkamah, bagaimanapun Ahmad Adha Amir memohon jaminan rendah dikenakan memandangkan anak guamnya mengalami masalah kesihatan yang kronik iaitu jantung dan buah pinggang.

    Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan seperti menyerahkan pasport serta melapor diri ke pejabat SPRM setiap 1 haribulan.

    Mahkamah juga menetapkan 28 September sebagai tarikh pengurusan kes dan serahan dokumen.

  • Mayat tanpa identiti terapung di laut

    Mayat tanpa identiti terapung di laut

    SATU mayat dipercayai lelaki ditemui terapung pada kedudukan 0.7 batu nautika di timur laut Padang Kota Lama di Georgetown, semalam.

    Mayat ditemukan sekumpulan individu yang menaiki bot pancing sebelum menghubungi MERS999 pada 2.05 petang.

    Mayat berkenaan ditemukan berseluar pendek dan berbaju singlet berwarna putih serta tiada sebarang pengenalan diri.

    Menurut Pengarah Agensi Penguatkuasaan MaritimMalaysia (APMM) Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed, pasukannya diatur gerak ke lokasi sebaik menerima maklumat daripada Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Langkawi.

    “Mangsa kemudian dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin Batu Uban sebelum dihantar ke Hospital Besar Pulau Pinang (HPP) dan diserah kepada polis bagi tindakan lanjut,” katanya menerusi kenyataan, lapor Harian Metro.

    Setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang aduan berkenaan orang hilang di laut dan orang ramai yang mempunyai ahli keluarga hilang diminta tampil membuat aduan.

    Sebarang aduan, maklumat mahupun kecemasan di laut boleh menghubungi talian Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang 04-2626146 atau MERS 999.

  • KPLB anjur lebih banyak program integriti dalam usaha banteras rasuah

    KPLB anjur lebih banyak program integriti dalam usaha banteras rasuah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan melaksanakan lebih banyak Program Integriti dan Tadbir Urus Dana Kerajaan dalam kalangan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di seluruh negara.

    Timbalan Menteri I Pembangunan Luar Bandar, Datuk Sri Abdul Rahman Mohamad berkata, penekanan akan diberikan terhadap peranan dan tanggung jawab JPKK.

    “KPLB menerusi Institut Kemajuan Desa (INFRA) akan turut memfokuskan kepada modul-modul berkaitan integriti dan tadbir urus dana kerajaan bagi memastikan JPKK yang dilantik memahami tatacara dan prosedur dalam pengendalian dana awam.

    “Pada masa kini, semua JPKK yang dilantik akan menjalani kursus di INFRA dengan mengikuti beberapa modul asas seperti kepimpinan dan pengurusan kampung, keusahawanan, teknologi maklumat dan inap desa.

    “Aspek integriti dan tadbir urus dana kerajaan akan ditambah dan dimasukkan dalam modul sedia ada dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) bagi memastikan kepekaan dan kesedaran JPKK dalam mengendalikan pengurusan dana awam kerajaan selain mengelakkan ketirisan,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika hadir merasmikan Kempen Penanaman 100 juta pokok di sekitar Bandar Lipis hari ini.

    Turut hadir Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Che Roslan Che Daud.

    Abdul Rahman mengulas mengenai aduan berkaitan rasuah dan salah guna kuasa dalamkalangan JPKK Negeri Pahang yang disiarkan dalam beberapa portal berita baru-baru ini.

    Katanya, laporan itu turut memetik perangkaan dari Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Razim Mohd. Nor yang menyatakan SPRM menerima sejumlah 21 maklumat dan aduan melibatkan JPKK Negeri Pahang dalam tempoh lima tahun bermula 2018 yang merangkumi 14 maklumat salah guna kuasa, enam menerima rasuah dan satu tuntutan palsu.

    Daripada jumlah itu satu kes telah dituduh di mahkamah, dua kes masih dalam siasatan, lima kes menerima surat untuk memperbaiki kelemahan prosedur JPKK, manakala 13 kes tiada tindakan lanjut.

    Dalam pada itu, seramai 15,434 JPKK seluruh negara akan dibekalkan pelbagai maklumat terkini dan sahih daripada kerajaan selain menyalurkan maklumat berkaitan bantuan dan dana yang disediakan oleh kerajaan dalam membangunkan komuniti kampung masing-masing.

    Abdul Rahman berkata, JPKK yang menjadi barisan hadapan dalam komuniti diharap agar senantiasa menitik beratkan aspek integriti dan tadbir urus yang baik dalam memastikan penyaluran dana kerajaan menerusi bantuan dan projek-projek luar bandar agar dapat dimanfaatkan.

    KPLB juga tambah beliau memperkenalkan Aspirasi Kampung Sejahtera bagi mencapai aspirasi wawasan Luar Bandar Sejahtera ke arah mewujudkan komuniti kampung yang berdaya tahan, berinisiatif, berdikari dan berilmu.

  • Gempa bumi lemah landa Kundasang

    Gempa bumi lemah landa Kundasang

    SATU gempa bumi lemah berukuran 3.1 pada skala Richter dikesan melanda Kundasang, Sabah pada 7.27 pagi ini.

    Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), gempa pada jarak 13 kilometer (km) barat laut dari Ranau itu berlaku pada kedalaman 10 km.

    Penilaian awal mendapati gegaran dirasai di sekitar Kundasang dan Ranau dan pihak MetMalaysia akan terus memantau keadaan. – Bernama

  • KPM akan perkenal sistem rekod markah berpusat, kurang beban guru

    KPM akan perkenal sistem rekod markah berpusat, kurang beban guru

    PEMBANGUNAN sistem pelaporan berpusat bagi tujuan merekod markah pentaksiran pelajar sekolah merupakan antara elemen transformasi pendidikan yang bakal diperkenalkan Kementerian Pendidikan (KPM), kata Menteri Kanan Pendidikan Radzi Jidin.

    Selain mengurangkan beban guru bagi mengelak tugas merekod markah berulang kali, sistem itu turut bertujuan meningkatkan kecekapan sistem KPM agar relevan dengan transformasi digital pada masa ini.

    Beliau berkata, ketika ini, guru itu dikehendaki menyalurkan rekod markah pelajar kepada pelbagai pihak termasuk KPM dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

    “Dengan adanya sistem pelaporan berpusat ini, pihak lain yang mahukan rekod markah boleh ‘mengekstrak’ data daripadanya. Begitu juga dengan pembinaan jadual waktu sekolah, difahamkan masih ada sekolah yang buat secara manual.

    “Jadi KPM akan mewujudkan satu sistem khusus bagi membolehkan pihak sekolah membina jadual waktu sekolah mengikut kesesuaian masing-masing,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program Showcase Transformasi Pendidikan yang berlangsung sejak 12 Ogos sehingga hari ini di pusat beli-belah Alamanda, di Putrajaya.

    Menurut Radzi, KPM komited dalam menjadikan ekosistem pendidikan negara sebagai yang terbaik selain memberikan fokus utama kepada kemenjadian murid secara menyeluruh tanpa bergantung kepada pencapaian akademik semata-mata.

    “Contohnya, baru-baru ini bekerjasama dengan FGV Holdings Berhad dengan membawa pelajar mendekati flora dan fauna agar mereka faham tentang perubahan iklim dan sebagainya,” katanya dan menambah transformasi pendidikan kementerian meliputi kerjasama rentas agensi kerajaan dan swasta.

    Bagi mendekati masyarakat terutamanya golongan ibu bapa agar mereka faham tentang transformasi pendidikan dan dasar KPM, Radzi berkata KPM juga akan mengadakan Hari Terbuka PPD di 142 lokasi seluruh negara pada 26 dan 27 Ogos depan.

    Radzi berkata, KPM menerusi sesi perbincangan dan libat urus dengan lebih 20,000 orang termasuk pemimpin masyarakat sehingga kini turut menerima maklum balas positif berkaitan transformasi pendidikan yang giat diaplikasikan.

    Antara inisiatif KPM mengorak langkah ke depan transformasi pendidikan meliputi pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) bagi memastikan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dapat dilaksanakan dengan berkesan selain menjaga kebajikan guru dengan memudahcara urusan permohonan pertukaran guru.

    Showcase Transformasi Pendidikan merupakan satu daripada pengisian KPM di bawah program ‘Bersama Semarakkan Transformasi Pendidikan’ yang diadakan bermula 1 Ogos sehingga 30 Sept depan di seluruh negara.

    Ia antara lain memaparkan inovasi dan pencapaian murid dan guru, perkembangan pendidikan digital dan aplikasi sistem yang memudahkan pengurusan pendidikan. – Bernama

  • Samun bersenjata di Putrajaya, lima rakyat Indonesia ditahan

    Samun bersenjata di Putrajaya, lima rakyat Indonesia ditahan

    POLIS menahan reman lima pekerja warganegara Indonesia bagi membantu siasatan dua kes samun bersenjata parang dipercayai dilakukan Geng Rantau di Presint 11 pada Khamis lalu .

    Memetik laporan Berita Harian, Ketua Polis Daerah (IPD) Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, tahanan reman itu bermula semalam hingga Khamis ini.

    Beliau berkata, kes samun pertama berlaku di Jalan P11 pada kira-kira pukul 3.55 pagi apabila kediaman mangsa berusia 42 tahun dimasuki dua individu memakai topeng dan mengacukan parang kepadanya.

    Katanya, kejadian berlaku ketika mangsa bersama tiga anak sedang tidur di ruang atas rumah dan diikat tangan mereka serta diarah menyerahkan dompet berisi wang RM200.

    “Dua suspek lelaki bertopeng turut menyelongkar rumah mangsa dan melarikan dua bentuk cincin, satu gelang tangan dan subang bernilai RM1,500.

    “Hasil siasatan mendapati rumah mangsa tiada kesan umpil dan empat kamera litar tertutup (CCTV) yang ada di kediaman itu tidak berfungsi,” katanya hari ini.

    Asmadi berkata, kejadian kedua pula berlaku sehari selepas itu pada pukul 4.50 pagi di kediaman seorang warga emas berusia 66 tahun di Jalan P1 yang dimasuki dua individu bertopeng bersenjatakan parang.

    Beliau berkata, mangsa menyatakan suspek menggunakan loghat Indonesia dan mengalami kerugian kira-kira RM20,000 selepas kehilangan barang kemas serta wang tunai RM6,500.

    Katanya, modus operandi kumpulan ini adalah sama iaitu memakai topeng dan mengikat kedua ibu jari mangsa menggunakan tali kabel.

    “Semua lima warga Indonesia yang ditahan itu berusia 39 hingga 44 tahun dan tinggal di sekitar Lembah Klang.

    “Tangkapan dibuat ketika mereka menjalankan kerja membuat pagar di tepi jalan Taman Saujana Hijau Presint 11,” katanya.

    Asmadi berkata, seorang daripada lelaki yang direman itu mempunyai rekod lampau dadah.

    “Polis sedang menggiatkan keselamatan dengan mengadakan rondaan dan melakukan sekatan jalan raya di kawasan ini bermula semalam,”katanya.

  • Kes buli di MRSM: KPLB serah polis siasat

    Kes buli di MRSM: KPLB serah polis siasat

    KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyerahkan sepenuhnya kepada polis menyiasat kes buli di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuantan, Pahang.

    Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata pihaknya memandang serius perkara itu dan tidak berkompromi dengan sebarang tindakan salah laku termasuk kes buli.

    Katanya, beliau akan meneliti laporan lengkap berkenaan siasatan kes itu dan apabila siap kelak akan diserahkan kepada pihak polis dan setakat ini enggan memberi sebarang komen

    “Tindakan tegas akan diambil terhadap pelajar yang terbabit jika hasil siasatan mendapati berlaku salah laku itu,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) hari ini.

    Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, amalan buli di mana-mana institusi pendidikan adalah satu perkara serius dan pelajar yang terbabit boleh dibuang sekolah.

    “Sebagai contoh, insiden yang berlaku di MRSM Kepala Batas, Pulau Pinang apabila pelajar yang disahkan terbabit buli oleh lembaga disiplin dibuang sekolah,” katanya

    Sebelum itu, tular di Facebook berhubung kes seorang wanita mendakwa anaknya dibuli di sebuah MRSM di Kuantan, Pahang sejak Jun lalu dan pihak asrama dikatakan lambat bertindak menangani isu itu.

    Wanita terbabit mendakwa beliau sudah membuat laporan polis berhubung kes itu.

    Berdasarkan kes yang tular, wanita itu mendakwa baju sekolah anaknya digunting dan diconteng, selain rambut digunting ketika tidur serta mendakwa wujud perbuatan khianat serta budaya gengsterisme di MRSM itu.

  • ‘Saya dan MINDEF tidak sembunyikan apa-apa’ – Hishammuddin

    ‘Saya dan MINDEF tidak sembunyikan apa-apa’ – Hishammuddin

    KERAJAAN memberi fokus terhadap pemulihan projek kapal tempur pesisir (LCS) bagi memastikan projek itu kembali ke landasannya, seperti yang telah ditetapkan Jemaah Menteri.

    Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, dalam hantaran menerusi Facebook, berkata rundingan dengan pihak vendor, pengilang peralatan asal (OEM) dan perbankan sedang dimobilisasikan.

    Hishammuddin berkata demikian berhubung perolehan LCS yang menjadi kontroversi susulan laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara mendedahkan tiada satu kapal telah disiapkan walaupun kontrak projek bernilai RM6.083 bilion itu memperuntukkan lima daripada enam kapal tersebut seharusnya disiapkan dan diserah setakat Ogos 2022.

    Dalam hantaran tersebut, beliau turut memaklumkan pihaknya telah membawa para petugas media ke Boustead Naval Shipyard di Lumut, Perak hari ini untuk melihat keadaan luaran dan dalaman LCS yang sedang dalam pembinaan.

    Katanya, petugas media turut dibawa ke gudang penyimpanan peralatan kapal-kapal tersebut dan diberi taklimat tentang reka bentuknya.

    “Saya tidak jemu untuk menegaskan berkali-kali iaitu saya dan Kementerian Pertahanan tiada apa hendak disembunyikan. Dalam masa sama, pihak yang salah mesti dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya. – BERNAMA

  • Lelaki dikehendaki Arab Saudi letupkan diri, empat cedera

    Lelaki dikehendaki Arab Saudi letupkan diri, empat cedera

    SEORANG individu paling dikehendaki Arab Saudi meletupkan diri yang mengakibatkan kematiannya ketika cuba ditahan pasukan keselamatan di Jeddah Rabu lalu dalam satu kejadian kejar mengejar. 

    Tindakan suspek Abdullah bin Zayed al-Bakri al-Shehri, 39, yang juga rakyat tempatan meletupkan dirinya mengakibatkan seorang rakyat Pakistan dan tiga anggota keselamatan cedera terkena serpihan bom.

    Lapor Saudi Gazette, Abdullah dipercayai ahli kumpulan Daesh yang terbabit dalam serangan ke atas sebuah masjid di Arab Saudi pada 2015.

    Dia antara seorang daripada sembilan lelaki yang dikehendaki dalam letupan mengorbankan 15 orang dalam sebuah masjid, kebanyakannya polis, berhampiran sempadan Yemen.

    Menurut kenyataan Presidensi Keselamatan Negara yang disiarkan oleh Agensi Berita Saudi (SPA), pegawai yang cedera dan warga Pakistan yang cedera sudah dipindahkan ke hospital tempatan di mana mereka menerima rawatan.

    Katanya, pihaknya mengulangi penegasan untuk sedia menangani ancaman mana-mana pihak yang memberi ancaman kepada keselatan dan ketenteraman negara itu.