POLIS menahan reman lima pekerja warganegara Indonesia bagi membantu siasatan dua kes samun bersenjata parang dipercayai dilakukan Geng Rantau di Presint 11 pada Khamis lalu .

Memetik laporan Berita Harian, Ketua Polis Daerah (IPD) Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, tahanan reman itu bermula semalam hingga Khamis ini.

Beliau berkata, kes samun pertama berlaku di Jalan P11 pada kira-kira pukul 3.55 pagi apabila kediaman mangsa berusia 42 tahun dimasuki dua individu memakai topeng dan mengacukan parang kepadanya.

Katanya, kejadian berlaku ketika mangsa bersama tiga anak sedang tidur di ruang atas rumah dan diikat tangan mereka serta diarah menyerahkan dompet berisi wang RM200.

“Dua suspek lelaki bertopeng turut menyelongkar rumah mangsa dan melarikan dua bentuk cincin, satu gelang tangan dan subang bernilai RM1,500.

“Hasil siasatan mendapati rumah mangsa tiada kesan umpil dan empat kamera litar tertutup (CCTV) yang ada di kediaman itu tidak berfungsi,” katanya hari ini.

Asmadi berkata, kejadian kedua pula berlaku sehari selepas itu pada pukul 4.50 pagi di kediaman seorang warga emas berusia 66 tahun di Jalan P1 yang dimasuki dua individu bertopeng bersenjatakan parang.

Beliau berkata, mangsa menyatakan suspek menggunakan loghat Indonesia dan mengalami kerugian kira-kira RM20,000 selepas kehilangan barang kemas serta wang tunai RM6,500.

Katanya, modus operandi kumpulan ini adalah sama iaitu memakai topeng dan mengikat kedua ibu jari mangsa menggunakan tali kabel.

“Semua lima warga Indonesia yang ditahan itu berusia 39 hingga 44 tahun dan tinggal di sekitar Lembah Klang.

“Tangkapan dibuat ketika mereka menjalankan kerja membuat pagar di tepi jalan Taman Saujana Hijau Presint 11,” katanya.

Asmadi berkata, seorang daripada lelaki yang direman itu mempunyai rekod lampau dadah.

“Polis sedang menggiatkan keselamatan dengan mengadakan rondaan dan melakukan sekatan jalan raya di kawasan ini bermula semalam,”katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here