Category: Semasa

  • MARA Corp hidupkan MARA Digital Mall – Mahdzir

    MARA Corp hidupkan MARA Digital Mall – Mahdzir

    MARA Corporation (MARA Corp) diminta menganjur lebih banyak program yang melibatkan penyertaan golongan belia pada setiap hujung minggu.

    Ia bagi menyahut seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mahukan MARA Digital Mall diteruskan.

    Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, program seumpama itu akan dapat mempromosikan lagi pusat beli-belah barangan teknologi digital tersebut.

    “Saya nak syorkan kepada Mara Corporation kalau boleh hujung minggu minta kerjasama DBKL tutup jalan di depan Mara Digital.

    “Boleh buat macam-macam program dengan anak-anak muda. Tapi itu kena ada kerjasama di antara DBKL dengan Mara,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Majlis Amanah Rakyat (MARA) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

    Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar II, Datuk Hasbi Habibollah, Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun dan Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf.

    Jelas Mahdzir, penganjuran program yang pelbagai di persekitaran MARA Digital Mall itu akan menarik penglibatan generasi muda khususnya golongan Bumiputera untuk berniaga di situ.

    MARA Corp katanya boleh melaksanakan program itu dengan kerjasama bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

    Satu perbincangan bersama Kementerian Wilayah Persekutuan juga akan diadakan bagi memperincikan syor tersebut.

    Semalam, Perdana Menteri mengadakan lawatan mengejut ke MARA Digital Mall bersama Mahdzir dan beberapa pegawai tinggi MARA.

    Susulan itu, Perdana Menteri mengarahkan MARA meneruskan projek Digital Mall itu bagi membuka peluang kepada anak muda Bumiputera terlibat sebagai usahawan teknologi maklumat (IT).

    Beliau mendapati peniaga yang ada di MARA Digital Mall mampu meneruskan perniagaan kerana jualan semakin meningkat.

    Untuk rekod, Mara Digital Mall dicetuskan oleh Ismail Sabri semasa beliau menyandang jawatan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) pada tahun 2015.

  • Mahkamah Persekutuan tolak permohonan Najib tangguh pendengaran rayuan

    Mahkamah Persekutuan tolak permohonan Najib tangguh pendengaran rayuan

    Rayuan utama diteruskan Khamis ini

    MAHKAMAH Persekutuan hari ini menolak permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menangguhkan pendengaran rayuannya bagi mengetepikan sabitan serta hukuman terhadapnya dalam kes berkaitan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd.

    Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel lima hakim dalam menolak permohonan itu mengarahkan pihak pembelaan meneruskan rayuan utama mereka, Khamis ini.

    “Rayuan utama akan diteruskan pada hari Khamis ini pukul 9.30 pagi,” katanya.

    Ini merupakan rayuan bekas perdana menteri itu yang terakhir, selepas panel tiga hakim Mahkamah Rayuan pada 8 Dis lepas mengekalkan sabitan Ahli Parlimen Pekan itu, hukuman 12 tahun penjara, serta denda RM210 juta yang dikenakan terhadapnya oleh Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali pada 28 Julai 2020.

    Lain-lain panel hakim dalam pendengaran hari ini adalah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan serta Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

    Dalam menyampaikan penghakimannya Tengku Maimun menetapkan bahawa permohonan yang dibuat oleh peguam utama Najib, Hisyam Teh Poh Teik bagi tempoh penangguhan sekurang-kurangnya tiga hingga empat bulan, ditolak sebulat suara, kerana hak bagi perbicaraan yang adil tidak boleh ditangguhkan terlalu lama.

    “Dalam perkara ini kita perlu ingatkan diri sendiri mengenai Arahan Amalan Ketua Hakim Negara, yang mengatakan bahawa kes-kes yang sebegini perlu diberi keutamaan. Realiti sebenarnya adalah dana awam yang agak besar akan dibazirkan sekiranya penangguhan diberikan dalam kes sebegini yang merupakan satu pilihan mudah.

    “Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan dan Kedaulatan Undang-undang menuntut perayu dilayan sama seperti tertuduh lain. Oleh itu, kami menyatakan sekali lagi bahawa walaupun perayu berhak mendapat haknya menukar peguam, dia tidak berhak membuat pilihan ini dengan mengorbankan mahkamah, pendakwaan atau keseluruhan sistem keadilan,” katanya dan menambah pihak pembelaan memohon penangguhan rayuan ini atas sebab mudah, bahawa mereka tidak bersedia.

    Tengku Maimun menegaskan bahawa masa yang diambil untuk kes ini, terutama jumlah hari yang ditetapkan untuk pendengaran, bermakna ramai lagi penjenayah dan orang yang dituduh terpaksa menunggu giliran mereka untuk rayuan mereka didengar.

    “Keadilan yang ditangguhkan dalam kes ini, adalah juga keadilan yang dinafikan bagi tertuduh yang lain,” katanya.

    — BERNAMA

  • JC baharu dengar permohonan Irwan Siregar, Arul Kanda batal saman 1MDB

    JC baharu dengar permohonan Irwan Siregar, Arul Kanda batal saman 1MDB

    PERMOHONAN bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy untuk membatalkan saman difailkan 1MDB terhadap mereka yang menuntut bayaran US$6.59 bilion, akan didengar oleh Pesuruhjaya Kehakiman (JC) yang baharu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

    Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Lavinia Kumaraendran yang mewakili Mohd Irwan ketika dihubungi hari ini selepas pengurusan kes secara dalam talian di hadapan Penolong Kanan Pendaftar, Azlinda Ahmad Sharif.

    Menurut peguam itu, permohonan berkenaan akan didengar di hadapan JC Roz Mawar Rozain bagi menggantikan Hakim Datuk Amarjeet Singh yang akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas di Kuala Lumpur.

    “Tarikh pendengaran permohonan yang ditetapkan sebelum ini pada 19 Okt dikekalkan dan pengurusan kes selanjutnya ditetapkan pada 27 Sept,” kata Lavinia.

    Permohonan untuk membatalkan saman itu difailkan Arul Kanda pada Jun lepas manakala Mohd Irwan memfailkan permohonan pada 18 Feb.

    Dalam permohonan itu, Mohd Irwan antaranya mendakwa tuntutan saman terhadapnya adalah pramatang kerana pelaburan Brazen Sky serta pembayaran Aabar Investments PJS Limited adalah jelas tidak kukuh memandangkan mahkamah masih belum menentukan 1MDB mengalami kerugian sebanyak US$1.83 bilion dan US$3.5 bilion.

    Arul Kanda dan Mohd Irwan disaman 1MDB pada Mei tahun lepas berhubung dakwaan mereka telah melakukan pecah amanah dan konspirasi menyebabkan 1MDB mengalami kerugian berjumlah US$1.83 bilion berhubung pelaburan dalam 1MDB-Petrosaudi Ltd yang ditukar kepada pelaburan Brazen Sky Limited (Brazen Sky), yang dikatakan terdapat dalam Bridge Global Fund.

    1MDB juga mendakwa kedua-dua defendan itu melakukan pecah amanah dan konspirasi dengan menyeleweng wang 1MDB berjumlah US$3.5 bilion yang dibayar kepada Aabar Investments dan US$1.265 bilion dibayar kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) pada 9 Mei 2017.

    Menurut 1MDB, Mohd Irwan juga berkonspirasi dengan Arul Kanda untuk menyebabkan syarikat itu melaksanakan Perjanjian Pelanjutan Pekerjaan dan membuat pembayaran berjumlah RM2,905,200 kepada Arul Kanda selaras dengan perjanjian tersebut tanpa menghiraukan kepentingan 1MDB sehingga menyebabkan syarikat berkenaan mengalami kerugian.

    Sehubungan itu, 1MDB antaranya menuntut kedua-dua defendan membayar US$6.59 bilion berhubung pelanggaran tersebut dan tambahan RM2.9 juta daripada Mohd Irwan berkaitan Perjanjian Pelanjutan Pekerjaan. – Bernama

  • Didakwa terima rasuah RM1.1 juta berkait tender saman PDRM

    Didakwa terima rasuah RM1.1 juta berkait tender saman PDRM

    SEORANG pemilik sebuah syarikat swasta didakwa di Mahkamah Sesyen di Shah Alam, hari ini atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM1.1 juta berkaitan tender notis saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2019.

    Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Mohd Shazwan Shaharuddin, 37, didakwa secara rasuah menerima bagi dirinya daripada pekerja Syarikat SR Express (M) Sdn Bhd, Ukasyah Amiruddin, 33, suapan berjumlah RM1.1 juta sebagai upah.

    Ia kerana membantu mendapatkan tender bagi kerja-kerja perkhidmatan membekal, memproses, mencetak dan mengepos notis saman PDRM kepada syarikat itu di sebuah bank di Setia Alam, Shah Alam pada 23 dan 31 Dis 2019.

    Mohd Shazwan dituduh mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noralis Mat menawarkan jaminan RM500,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan di hadapan Hakim Rozilah Salleh, selain Mohamad Shazwan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM berdekatan sekali sebulan.

    Bagaimanapun, Mohd Shazwan yang diwakili peguam Ridha Abdah Subri memohon jaminan RM40,000 dengan dua penjamin dan bersetuju dengan sebarang syarat tambahan yang ditetapkan mahkamah.

    “Anak guam saya tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri dan dia memberi kerjasama yang baik kepada pihak SPRM sepanjang siasatan selain telah menyerahkan pasport di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi kes di sana.

    “Semenjak ditahan SPRM, tender yang diperoleh syarikat pembekalannya telah ditarik balik dan menyebabkan perniagaannya terjejas.

    Tertuduh juga menanggung isteri yang tidak bekerja dan tiga anak berusia antara dua dan enam tahun,” katanya.

    Rozilah membenarkan tertuduh diikat jamin RM55,000 dengan dua orang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SPRM berhampiran.

    Mahkamah kemudian menetapkan 20 Sept depan untuk sebutan semula kes. – Bernama

  • Memorandum Kabinet RUU 355 diedar bagi maklum balas agensi berkaitan

    Memorandum Kabinet RUU 355 diedar bagi maklum balas agensi berkaitan

    JABATAN Kemajuan Islam (JAKIM) sedang menyediakan memorandum Jemaah Menteri mengenai cadangan dasar penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (RUU 355) untuk diedarkan kepada agensi berkaitan.

    Dalam jawapan lisan di Dewan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, memorandum itu untuk mendapatkan ulasan agensi berkenaan secara dasar bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah).

    Katanya, tindakan selanjutnya akan diambil setelah ulasan daripada agensi berkaitan diperoleh.

    “Kerajaan dalam proses menggubal RUU 355 bagi meningkatkan bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah,” katanya sebagaimana lapor Berita Harian.

    Beliau menjawab soalan Fadhlina Sidek yang mahu mengetahui langkah dan tindakan yang diambil untuk memperkukuh dan meningkatkan martabat Mahkamah Syariah khususnya dalam bidang kuasa jenayah syariah.

    Idris berkata, kerajaan sentiasa mengambil berat status dan kedudukan Mahkamah Syariah di negara ini dan sebarang usaha memperkasakannya sedang dan masih dilakukan secara berterusan.

    Katanya, antara usaha kerajaan melalui pemerkasaan undang-undang, peningkatan kompetensi pegawai, pembangunan prasarana mahkamah, pewujudan hierarki baru mahkamah dan peningkatan sistem penyampaian perkhidmatan.

    “Pada Jun lalu, kerajaan sudah menubuhkan semula Jawatankuasa Memperkasakan Mahkamah Syariah (JKMMS) bagi meningkatkan status dan kedudukan Mahkamah Syariah secara holistik selaras dengan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.

    “Jawatankuasa ini akan melihat aspek penggubalan, penyemakan, pindaan dan penambahbaikan undang-undang Syariah; pengurusan dan penstrukturan semula Mahkamah Syariah.

    “Turut dilihat pengurusan dan penstrukturan semula Jabatan Kehakiman Syariah; latihan Hakim dan Pegawai Syariah; sistem pendidikan undang-undang Syariah dan penambahbaikan perkara yang berhubungan dengan hal ehwal pendakwaan syariah, penguatkuasaan syariah dan peguam Syarie,” katanya.

  • Polis siasat lelaki rakam video halang anggota trafik bertugas

    Polis siasat lelaki rakam video halang anggota trafik bertugas

    POLIS membuka satu kertas siasatan berhubung penularan klip video memaparkan seorang lelaki menghalang anggota polis trafik menjalankan tugas rasmi.

    Kejadian terbabit berlaku di lokasi Persiaran Kewajipan, Subang Jaya pada pukul 10.30 pagi, Jumaat lalu sewaktu anggota trafik menahan pemandu kereta Volvo yang tidak mengikut peraturan nombor pendaftaran.

    Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd. Khalid Othman berkata, pengadu yang merupakan anggota polis trafik berusia 41 tahun, membuat laporan berhubung kejadian terbabit pada pukul 6.56 petang kelmarin.

    Beliau berkata, pengadu telah menerima sebuah rakaman klip video berdurasi seminit memaparkan seorang lelaki bertindak merakam semasa pengadu sedang mengambil tindakan saman terhadapnya.

    “Pengadu telah memberikan penjelasan tentang kesalahan yang dilakukan dan saman Pol. 257 dikeluarkan kepada suspek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Utusan TV.

    Jelasnya, tindakan suspek merakam secara sembunyi itu telah menjatuhkan imej Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Subang dengan mempertikaikan tindakannya.

    Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil memberikan kerjasama dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Shahroom Rohaizzad Abd Samad di talian 014-8101614 dan segala identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan.

  • kakitangan MDTM cedera dipukul

    kakitangan MDTM cedera dipukul

    SEORANG kakitangan Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM) cedera di kepala selepas dipukul di tepi Jalan Pasir Mas-Tanah Merah di Tanah Merah pukul 12.30 tengah malam tadi.

    Semasa kejadian, mangsa, Tuan Kob Tuan Muda, 48, sedang menunggang motosikal untuk pulang ke rumahnya di Kampung Pangkal Manak di Tanah Merah.

    Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintanden Mohd Razi Rosli, mangsa kemudian ditahan sebuah kereta berwarna putih di tepi Jalan Pasir Mas-Tanah Merah berhadapan kedai Salim Aziz Textile.

    “Mangsa telah didatangi dua lelaki yang tidak dikenali dan terus memukulnya di bahagian kepala sebelah kiri dan badan.

    “Bagaimanapun mangsa sempat mengelak dan melarikan diri dari kawasan tersebut.

    “Kes disiasat bawah Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

  • Guru tadika pukul kanak-kanak tiga tahun disiasat

    Guru tadika pukul kanak-kanak tiga tahun disiasat

    POLIS mengesahkan sudah menerima laporan berkaitan insiden seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dipukul oleh guru di sebuah tadika di Kepong, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

    Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita berusia 33 tahun pada pukul 4.56 petang semalam.

    “Video itu memaparkan kanak-kanak berkenaan menangis selepas dipukul seorang wanita dengan kasar dan dipaksa makan sesuatu,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Semalam Warta Rakyat melaporkan berkenaan satu video tular memaparkan seorang wanita melakukan kekasaran terhadap kanak-kanak di tadika tersebut selepas dikongsikan seorang pemilik akaun Facebook yang mendakwa pelaku memukul dan menyuap makanan secara paksa kepada mangsa.

    Pemilik Facebook itu berkata, video itu diperoleh menerusi saudara terdekat dan berharap rakaman tersebut disebarkan bagi melindungi kanak-kanak di pusat asuhan berkenaan.

    “Berapa ramai kanak-kanak yang akan menjadi mangsa jika pelaku masih bekerja di pusat jagaan itu. Adakah wajar kanak-kanak diperlakukan sedemikian?

    “Jangan bekerja (pengasuh) jika tiada nilai kasih sayang dan penyabar dalam diri. Orang yang tiada kasih sayang tidak layak menjadi pengasuh,” katanya menerusi perkongsian dalam Facebooknya kelmarin.

  • Kemajuan kapal LCS 1 20 peratus pun tak sampai ibarat kotak mancis kosong – Bekas pegawai kanan TLDM

    Kemajuan kapal LCS 1 20 peratus pun tak sampai ibarat kotak mancis kosong – Bekas pegawai kanan TLDM

    SEORANG bekas pegawai kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menyifatkan kemajuan kerja pembinaan kapal tempur pesisir (LSC) 1 ‘ibarat sebuah kotak mancis kosong’.

    Laksamana Pertama (B) Mohamad Imran Abd Hamid yang pernah ditugaskan menyiapkan kapal TLDM KD Lekir dan KD Kasturi di Jerman, berkata berdasarkan pemerhatian video yang tersebar hasil lawatan media pada Jumaat lalu, beliau menyimpulkan kemajuan sebenar pembinaan kapal LSC 1 berada pada tahap sekitar 20 peratus dan bukannya 60 peratus seperti didakwa.

    “Berdasarkan pengalaman saya sebelum ini, 60 peratus sepatutnya tiada laluan kosong di dalam kapal seperti dalam video. Kemajuan 60 peratus perlu ada dinding, bilik, sistem perpaipan, kabel elektrik, saluran penghawa, dingin dan sebagainya. Paparan dalam video itu tidak ubah seperti kotak mancis kosong. Ini boleh dikatakan ‘detail drawing’ pun belum siap,” katanya ketika dihubungi portal SatuBerita hari ini.

    Tangkap layar daripada video lawatan media di Lumut baru-baru ini.

    TPada Jumaat bagi membuktikan projek LCS sedang berjalan, syarikat pembinaan kapal berkenaan

    Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) menjemput kumpulan media menyaksikan pembinaan kapal LSC di limbungan syarikat berkenaan di Lumut, Perak.

    Selain melawat kapal LCS 1 yang didakwa 60 peratus siap, wakil media turut dibawa ke dua gudang menempatkan peralatan kapal bernilai RM1.7 bilion.

    Mohamad Imran yang juga Presiden Persatuan Veteran TLDM, berkata, dakwaan pembinaan sudah mencapai perkembangan antara 22 hingga 60 peratus disifatkan tidak logik.

    Mohamad Imran Abd Hamid

    Ditanya jika kapal berkenaan boleh disiapkan dalam tempoh dua tahun seperti dijanjikan sebelum ini, beliau berkata, perkara tersebut tidak mustahil jika tiada agenda politik.

    “Boleh bayar hutang dan pembekal boleh memberi peralatan diperlukan dengan segera, dan tiada ‘game’ seperti sebelum ini,” katanya.

  • Mahkamah Persekutuan tolak permohonan Najib kemuka keterangan baharu

    Mahkamah Persekutuan tolak permohonan Najib kemuka keterangan baharu

    *Tiada kaitan pekerjaan Nazlan di bank dengan pertuduhan Najib

    DATUK  Seri Najib Tun Razak telah gagal dalam usahanya untuk mengemukakan bukti baharu dalam kes SRC International Sdn Bhd bagi membatalkan perbicaraan yang menyaksikan beliau dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

    Ini selepas panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara menolak permohonan bekas Perdana Menteri itu setelah mendengar hujahan peguam utama Najib, Hisyam Teh Poh Teik dan Timbalan Pendakwa Raya Datuk V. Sithambaram.

    Bukti tambahan yang ingin dikemukakan Najib adalah berkaitan penemuan baru-baru ini bahawa hakim perbicaraan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali pada 2006 adalah peguam dan Setiausaha Syarikat bagi Kumpulan Maybank, yang mempunyai tanggungjawab keseluruhan untuk pengurusan dan pentadbiran semua jabatan undang-undang dalam keseluruhan kumpulan.

    Semasa menyampaikan keputusan mahkamah, Tengku Maimun berkata tiada kaitan antara pekerjaan Mohd Nazlan di bank sebelum ini dengan pertuduhan Najib, justeru beliau memerintahkan supaya rayuan utama diteruskan.

    Panel hakim terdiri daripada Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim serta Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

    Tengku Maimun berkata mahkamah memutuskan bahawa Najib gagal melepasi tahap tinggi Seksyen 93 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 yang mengandungi undang-undang mengenai bukti baharu.

    “Keseluruhan bukti tambahan yang ingin dikemukakan gagal memenuhi keperluan itu. Permohonan itu gagal mendedahkan sebarang perkaitan dengan keputusan Hakim Mohd Nazlan. Beberapa bukti akan tersedia semasa perbicaraan atau akan tersedia dengan penumpuan munasabah.

    “Pada mulanya kami bersetuju dengan pihak pendakwaan bahawa ketersediaan bukti tidak tertakluk kepada penyampaian di bawah Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah sebaliknya sama ada bukti tersedia kepada pemohon semasa perbicaraan.

    “Memandangkan peguam untuk SRC dan 1MDB adalah sama, dokumen itu tersedia dan oleh itu boleh dibangkitkan kepada Hakim Mohd Nazlan mengenai isu konflik yang didakwanya,” kata beliau.

    Tengku Maimun berkata peranan Mohd Nazlan sebelum ini dalam Maybank diketahui umum dan akan terbuka kepada pemohon untuk membuat sebarang permintaan untuk pendedahan dokumen itu melalui tindakan selanjutnya.

    “Pemohon bukan tidak tahu dan tidak diwakili. Tidak boleh menyatakan bahawa dia tidak boleh mendapatkan bukti tanpa usaha di pihaknya. Dalam proses siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, dalam kenyataan daripada kakitangan Maybank dan juga daripada Hakim Mohd Nazlan, kami gagal melihat bagaimana bukti yang akan dikemukakan mereka berkait dengan pertuduhan terhadap pemohon.

    “Kami tidak nampak bagaimana peranan Hakim Mohd Nazlan dalam Maybank sebelum ini boleh memberi kesan kepada penemuannya dalam perbicaraan SRC dan penubuhan SRC melalui tindakan pemohon sendiri.

    “Oleh itu, kami dengan ini menolak permohonan untuk mengemukakan bukti tambahan,” kata Tengku Maimun.

    Selepas penghakiman dibacakan, Hisyam memohon agar rayuan utama ditangguhkan sekurang-kurangnya tiga hingga empat bulan kerana pelantikannya sebagai peguam utama hanya dibuat baru-baru ini.

    Sithambaram berkata pihak pendakwaan menyerahkan perkara itu kepada budi bicara mahkamah.

    “Mahkamah ini sudah dua kali menolak permohonan mereka, oleh itu, kini mahkamah mesti memutuskan perkara itu,” kata beliau

    Mahkamah menangguhkan prosiding buat sementara waktu sebelum memutuskan perkara itu.

    Najib merayu terhadap sabitan dan hukumannya atas penyelewengan RM42 juta membabitkan dana SRC.

    Rayuan berkenaan adalah yang terakhir bagi Najib selepas panel tiga hakim Mahkamah Rayuan pada 8 Dis tahun lepas mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan ke atasnya oleh Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu Mohd Nazlan pada 28 Julai 2020.

    — BERNAMA