Category: Semasa

  • Gaduh di restoran nasi kandar; 3 daripada 15 suspek didenda RM1,000

    Gaduh di restoran nasi kandar; 3 daripada 15 suspek didenda RM1,000

    SERAMAI tiga daripada 15 lelaki warga tempatan yang ditahan polis susulan kejadian pergaduhan di sebuah restoran nasi kandar di Perai, Pulau Pinang yang videonya tular di dalam media sosial baru-baru ini sudah didakwa di mahkamah semalam.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, ketiga-tiga mereka yang berusia antara 20-an hingga 30-an itu dikenakan denda sebanyak RM1,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam atas pertuduhan di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan.

    Dalam masa sama jelas beliau, seramai 12 lagi tangkapan tidak dikenakan pertuduhan dan dibebaskan selepas siasatan polis mendapati mereka tidak terlibat dalam pergaduhan itu.

    “Bagaimanapun ketika ini, kita masih menyiasat dan mengesan beberapa suspek lain yang dipercayai masih bebas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Terdahulu, empat rakaman video mengenai kejadian pergaduhan itu yang berdurasi antara lapan hingga 23 saat tular selepas dimuat naik di laman Facebook ‘Kongsi Segala Info’ sejak pukul 9 pagi, 10 Ogos lalu.

    Siasatan polis mendapati, kejadian pergaduhan melibatkan senjata itu berlaku tiga hari sebelumnya iaitu kira-kira pukul 3.30 pagi sebelum satu gerakan memburu suspek terlibat dilancarkan.

  • Kabinet setuju dedah laporan audit, forensik kes LCS

    Kabinet setuju dedah laporan audit, forensik kes LCS

    KABINET hari ini secara prinsip bersetuju supaya dibuat pendedahan laporan audit dan laporan forensik berkaitan kes perolehan Kapal Tempur Pesisir (LCS) yang sepatutnya dimiliki Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

    Memetik laporan Berita Harian, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bagaimanapun berkata, ia akan dibuat selepas perbincangan antara Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dengan pihak berkaitan membabitkan mekanisme pendedahan berkenaan.

    Beliau berpendapat, ada beberapa perkara sensitif membabitkan keselamatan tidak seharusnya didedahkan kepada umum.

    “Secara prinsip Jemaah Menteri masih menekankan bahawa pendedahan itu bakal dibuat.

    “Saya berpendirian, perkara sensitif soal keselamatan patutnya memang tidak boleh didedahkan. Di mana-mana demokrasi pun, sama ada di Amerika Syarikat (AS), di England, bahkan di Perancis, mereka tidak akan dedahkan benda yang sangat sensitif,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sambutan Bulan Kemerdekaan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) di pejabatnya, hari ini.

    Wan Junaidi berkata, ia seperti amalan di England, apabila sesuatu dokumen mahu dinyahklasifikasi, pihak terbabit akan membincangkan perkara sensitif berkaitan keselamatan mungkin diasingkan, manakala perkara lain akan didedahkan.

    Pada masa sama, beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, juga sudah menyatakan kerajaan tidak menolak untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat skandal LCS.

    Katanya, biarpun kerajaan beranggapan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah membuat yang terbaik, cadangan untuk mengadakan RCI tidak ditolak.

    Berhubung siasatan dijalankan SPRM, Wan Junaidi berkata, kertas siasatan lain membabitkan kes LCS masih perlu dikemaskini oleh penyiasat sebelum ia dikembalikan semula kepada Pejabat Peguam Negara untuk membolehkan individu lain pula mungkin didakwa.

    Katanya, ia berikutan beberapa persoalan yang perlu dijawab membabitkan kertas siasatan berkenaan.

    “Bagaimanapun, tadi ada dibincangkan pada mesyuarat Kabinet. Keputusan Kabinet (berhubung siasatan berkenaan) adalah terbuka (open ended) dan Kabinet menegaskan sekali lagi bahawa kita tidak akan melindungi sesiapa pun,” katanya.

    Minggu lalu media melaporkan, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengingatkan kerajaan untuk menyahklasifikasikan dua laporan berkaitan isu LCS secara menyeluruh.

    Pengerusinya, Wong Kah Woh, dilaporkan berkata, jawatankuasa itu tetap menyambut baik keputusan Kabinet pada 10 Ogos lalu, yang menerima pakai dua syor PAC yang paling penting dalam laporan perolehan kapal LCS.

    Semalam BH melaporkan, Hishammuddin memberi komitmen bahawa beliau akan membawa cadangan penubuhan RCI untuk menyiasat skandal pembelian enam LCS milik TLDM ke Kabinet hari ini.

    Hishammuddin berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul berkaitan projek LCS, di Dewan Negara, semalam.

    Hishammuddin turut menjelaskan status menyahklasifikasikan Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) sudah dimulakan Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan dijangka selesai dalam masa terdekat.

    Katanya, Pengauditan Forensik Projek LCS pula akan mengambil masa sementara menunggu kelulusan Peguam Negara kerana dokumen itu bukan milik kerajaan, sebaliknya dimiliki Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS).

  • Jenayah komersial di N. Sembilan babit kerugian RM45.1 juta

    Jenayah komersial di N. Sembilan babit kerugian RM45.1 juta

    KES jenayah komersial di Negeri Sembilan menunjukkan peningkatan dengan 1,747 kes direkodkan membabitkan kerugian berjumlah RM45.1 juta sejak Januari hingga Julai lepas, kata Ketua Polis negeri Datuk Ruslan Khalid.

    Beliau berkata angka itu sedikit membimbangkan memandangkan kes jenayah komersial direkodkan sepanjang tahun lepas adalah sebanyak 2,671 kes dengan kerugian berjumlah RM42 juta manakala hanya 1,890 kes dicatat dengan nilai kerugian RM95.6 juta pada 2020.

    Menurut Ruslan, daripada keseluruhan 1,747 kes, penipuan mencatatkan kes tertinggi iaitu 1,676 kes dengan kerugian RM39.7 juta diikuti Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (38 kes, RM27,420), pecah amanah jenayah (12 kes, RM4.8 juta), jenayah siber (11 kes, RM594,026), wang palsu (9 kes, RM1,300) dan pemalsuan satu kes.

    “Kita telah mencapai era digital, jadi kebanyakan kes bertukar arah ke penipuan dalam talian termasuk macau scam dan love scam yang menunjukkan trend membimbangkan serta memberi ancaman serius kerana melibatkan kerugian jutaan ribu ringgit.

    “Jenayah konvensional seperti ragut, curi, pecah rumah dan kekerasan menurun mungkin tahun lepas semua orang berada di rumah kerana COVID-19 tetapi apa yang meningkat ialah jenayah komersial sebab orang dah mula guna media sosial untuk jual dan beli barang,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan ‘Townhall Discussion bersama Ketua Polis Negeri Sembilan’ yang turut dihadiri Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Ramli Mohd Nor di sini hari ini.

    Ruslan berkata keadaan itu sekali gus memberi peluang kepada ‘scammer’ untuk beralih daripada jenayah konvensional kepada jenayah siber yang dilihat lebih mudah dilakukan selain kononnya memberi keuntungan segera.

    Beliau berkata sindiket penipuan turut menggunakan sentimen emosi melalui perasaan kasih sayang dan kepercayaan bagi memperdaya mangsa walaupun pelbagai kempen dan platform digunakan pihak berkaitan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat.

    “Kita lihat mereka (scammer) ambil kesempatan serang emosi sebab dalam diri kita ini ada sifat tamak, tak mahu kesunyian dan suka apabila tengok ada tawaran murah, itu yang menyebabkan masyarakat terdedah dengan sindiket itu dan terbabit dengan love scam, pelaburan tak wujud dan banyak lagi,” katanya.

    Mengenai townhall itu, beliau berkata ia sebagai usaha merapatkan hubungan masyarakat dan polis terutama dalam memberi kesedaran mengenai isu semasa dengan memfokuskan agensi kerajaan, pelajar sekolah serta orang awam.

    Sementara itu, Ramli berkata kerajaan sentiasa prihatin terhadap isu penipuan dalam talian malah beberapa perkara mengenai isu itu turut dicadang dalam pindaan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.- BERNAMA

  • Remaja 17 tahun didakwa seludup 25 warga Myanmar dalam Vellfire

    Remaja 17 tahun didakwa seludup 25 warga Myanmar dalam Vellfire

    SEORANG remaja lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyeludup 25 warga Myanmar yang ditemukan di dalam kenderaan jenis Toyota Vellfire, awal bulan ini.

    Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada remaja berusia 17 tahun itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi kerana kes itu merupakan kesalahan keselamatan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas 2012) yang akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi. 

    Mengikut pertuduhan, remaja itu didakwa bersama-sama seorang yang masih bebas melakukan perbuatan itu di Jalan Manjoi 3, Taman Sri Kuching, Sentul di sini pada 12.05 tengah hari, 2 Ogos lepas.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, dan boleh juga didenda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    Pada prosiding hari ini pihak media tidak dibenarkan masuk ke dalam mahkamah memandangkan kes itu melibatkan pesalah juvana.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Zuraidi Zulkifli manakala remaja itu tidak diwakili peguam.

    Muhamad Zuraidi ketika ditemui pemberita selepas prosiding berkata mahkamah menetapkan 17 Okt ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan izin memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan.

    Media sebelum ini melaporkan, polis telah menahan remaja lelaki berusia 17 tahun yang didapati mengambil upah membawa 25 pendatang tanpa izin ke ibu negara selepas menahan kenderaan Toyota Vellfire yang dinaiki mereka di Jalan Selinsing di sini.

    Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata kenderaan yang dipandu remaja itu dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh sepasukan anggota sekitar Jalan Manjoi 3, Taman Sri Kuching dekat sini pada 12.05 tengah hari.

    Katanya, remaja itu enggan memberhentikan kenderaan selepas diarahkan polis dan bertindak melarikan diri, sebelum terbabas akibat terlanggar sebuah motosikal yang ditunggang seorang anggota polis yang sedang bertugas serta tiga kereta orang awam. 

    Siasatan mendapati remaja dan seorang lagi rakannya yang telah melarikan diri itu membawa kesemua pendatang izin dengan bayaran RM6,000 seorang dari Rantau Panjang, Kelantan ke Kuala Lumpur.- BERNAMA

  • Ahli perniagaan mengaku tidak bersalah ubah wang haram RM2.04 juta

    Ahli perniagaan mengaku tidak bersalah ubah wang haram RM2.04 juta

    SEORANG ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas lima pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM2.04 juta.

    Norida Syakira Agus Yadi, 28, yang beralamat di Banting, Selangor, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya.

    Wanita itu didakwa melakukan kesalahan tersebut antara 8 Jan 2021 hingga 20 Jun 2021, menerusi akaun syarikatnya DSS Berkat Enterprise di Maybank Islamic Berhad cawangan Kuala Lipis, dekat sini. 

    Norida Syakira didakwa melakukan kesalahan itu dengan membeli perniagaan sushi bernilai RM1.317 juta selain memindahkan wang hasil aktiviti haram berjumlah RM242,770, RM369,700 dan RM32,500 serta didakwa telah melupuskan wang berjumlah RM80,000. 

    Dia dituduh mengikut subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama.

    Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjarakan maksimum 15 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

    Timbalan Pendakwa Raya AMLA Rohaiza Zainal menawarkan jaminan RM500,000 dengan dua penjamin bagi semua pertuduhan dan memohon kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, memandangkan tertuduh telah didakwa dengan satu pertuduhan di mahkamah itu, selain empat pertuduhan di Mahkamah Majistret Shah Alam melibatkan nilai jutaan ringgit pada 24 Feb lepas. 

    Bagaimanapun, peguam M. Manoharan yang mewakili tertuduh merayu jumlah itu dikurangkan kerana anak guamnya tidak berkeupayaan untuk membayar jaminan setelah menjelaskan jaminan sebanyak RM17,500 di Shah Alam dan berharap jaminan itu boleh diguna pakai di sini. 

    “Tertuduh telah kehilangan kerja selepas dihadapkan ke mahkamah sebelum ini dan suaminya juga tidak bekerja. Tertuduh mempunyai sepasang anak berusia lapan dan setahun dan mereka sangat rapat dengan tertuduh,” katanya. 

    Mahkamah membenarkan Norida Syakira diikat dijamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan serta perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

    Hakim turut membenarkan kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam. – BERNAMA 

  • Lapan warga Myanmar, tekong darat ditahan di Pasar Borong Kuala Lumpur

    Lapan warga Myanmar, tekong darat ditahan di Pasar Borong Kuala Lumpur

    LAPAN warga Myanmar dipercayai baru tiba di negara ini ditahan dalam operasi bersepadu di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur di sini hari ini.

    Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Yahaya Othman berkata turut ditahan dalam operasi berkenaan seorang lelaki tempatan dipercayai tekong yang membawa semua warga Myanmar itu ke pasar borong berkenaan pagi ini.

    “Kesemua lelaki yang ditahan berumur lingkungan 20 hingga 40 tahun, mereka ditahan mengikut Seksyen 5 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” katanya dalam sidang media selepas operasi berkenaan.

    Turut hadir Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai.

    Menurut Yahaya dalam operasi berkenaan, pihaknya turut menahan 18 warga asing kerana positif dadah.

    Beliau berkata sebanyak 400 warga asing diperiksa dalam operasi berkala bagi membanteras pendatang tanpa izin, penyalahgunaan dadah dan gengsterisme itu turut disertai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Imigresen dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

    Sementara itu, Jalaluddin berkata pihaknya dengan kerjasama agensi penguatkuasaan lain akan terus menjalankan operasi bersepadu dan pemeriksaan bagi memastikan premis-premis di sekitar ibu kota mematuhi syarat lesen perniagaan.

    “Dalam operasi hari ini, sebanyak tiga premis perniagaan di pasar borong ini disita kerana disewakan dan diuruskan oleh warga asing,” katanya.

    Beliau berkata pihaknya menasihatkan pemilik premis perniagaan agar tidak mengambil pendatang tanpa izin sebagai pekerja atau menyewakan premis perniagaan yang diberikan DBKL dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu melanggar syarat berkenaan.- BERNAMA

  • Suami isteri didakwa subahat, salah guna kedudukan

    Suami isteri didakwa subahat, salah guna kedudukan

    SEPASANG suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Shah Alam hari ini atas dakwaan bersubahat dan menyalahguna kedudukan untuk kerja-kerja berkaitan penilaian berjumlah lebih RM570,000 bagi Majlis Perbandaran Klang (MPK) antara 2019 dan 2020.

    Hazliza Md Salleh, pengarah penilaian dan pengurusan harta di MPK dan suaminya, Shahril Nizam Mokhtar, masing-masing berhadapan dengan dua pertuduhan. 

    Hazliza, 48, didakwa menggunakan jawatannya dengan mencadangkan pelantikan Nilai Harta Consultant Sdn Bhd yang Shahril Nizam mempunyai kepentingan dalam syarikat terbabit bagi melaksakan kerja penilaian berkenaan.

    Cadangan tersebut bagi melaksanakan kerja-kerja penilaian kadaran bagi harta-harta khas (Klang Utara) dengan harga kerja RM251,000 dan kerja-kerja penilaian kadaran fasa 4 bagi sebahagian harta di kawasan operasi 2 melibatkan harga kerja RM324,360. 

    Pertuduhan mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) Akta yang sama.

    Sementara itu, Shahril Nizam, 48, dituduh bersuhabat dengan Hazliza bagi menggunakan kedudukan isterinya untuk mencadangkan Syarikat Nilai Harta Consultant Sdn Bhd yang mempunyai kepentingan terhadapnya untuk melaksanakan kerja-kerja tersebut.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM 2009 yang dibaca bersama Seksyen 23(1) Akta yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama. 

    Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjarakan maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

    Hakim Rozilah Salleh membenarkan mereka masing-masing diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin yang berlainan serta perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah selain melapor diri di pejabat SPRM berdekatan setiap bulan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Selangor Noryusriza Zulkifli manakala Hazliza diwakili peguam, V.S Selvanteran dan Shahril Nizam diwakili peguam, Nurfatin Amirah Mohd Shaari.

     Kes akan disebut semula pada 22 Sept.- BERNAMA

  • Tiga pemilik syarikat didenda RM50,000 kemuka dokumen palsu dapatkan tender

    Tiga pemilik syarikat didenda RM50,000 kemuka dokumen palsu dapatkan tender

    Oleh RIZQI ZABIDI

    MAHKAMAH Sesyen 2 Alor Setar hari ini menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM50,000 terhadap tiga pemilik syarikat kerana menggunakan dokumen palsu bagi mendapatkan tender daripada sebuah syarikat pembersihan, tiga tahun lalu.

    Hakim, Harmi Thamri Mohamad menjatuhkan hukuman itu setelah kesemua tertuduh Azlan Abd. Hashim, 48, Nahairizaki Mohd. Zin, 42, serta Wan Helmi Wan Darus, 49, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka oleh jurubahasa.

    Ketiga-tiga mereka turut diperintahkan menjalani hukuman penjara selama enam bulan sekiranya gagal melunaskan denda ditetapkan itu.

    Mengikut kertas pertuduhan, Azlan yang merupakan tertuduh pertama, didakwa dengan curang menggunakan suatu dokumen sebagai tulen, iaitu penyata akaun Maybank Islamic syarikat Excell Tech Enterprise bagi bulan Oktober hingga Disember 2018, dalam permohonan tender tersebut.

    Nahairizaki yang menjadi individu kedua memasuki kandang tertuduh, kemudiannya didakwa dengan curangnya menggunakan menggunakan penyata akaun CIMB Bank Berhad (CIMB) syarikat Jakie Enterprise bagi bulan Oktober hingga Disember 2018 untuk tujuan sama.

    Wan Helmi selaku tertuduh ketiga pula didakwa dengan curang menggunakan penyata akaun RHB Bank Bhd. milik syarikat WH Awana Sdn. Bhd. bagi bulan Oktober hingga Disember 2018 dalam permohonan tender sama.

    Kesemua mereka didakwa mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen dikemukakan itu adalah palsu.

    Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Wisma Idaman Sdn. Bhd dekat Alor Setar. Kesalahan itu didakwa dilakukan Azlan pada 19 Januari 2019 manakal Nahairzaki didakwa berbuat demikian pada 18 Januari 2019.

    Wan Helmi pula didakwa melakukan kesalahan itu pada 22 Januari 2019.

    Tender dipohon ketiga-tiga mereka melibatkan penswastaan kutipan sisa pepejal dan pengurusan pembersihan awam di utara tanah air.

    Semua pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rehab Abdul Shukur mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.

  • Tiada bukti kukuh kaitkan kematian PPS dengan unsur buli

    Tiada bukti kukuh kaitkan kematian PPS dengan unsur buli

    TIADA bukti kukuh bagi mengaitkan insiden kematian seorang pegawai perubatan siswazah (PPS) di Hospital Pulau Pinang (HPP) dengan unsur buli di tempat kerja, kata Pengerusi Pasukan Petugas Khas Bagi Penambahbaikan Budaya Kerja Perkhidmatan Kesihatan (HWCITF) Prof Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir. 

    Beliau berkata ia adalah dapatan HWCITF selepas melaksanakan analisis ke atas Laporan Pengesanan dan Pengesahan oleh Unit Integriti Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung insiden itu.

    “HWCITF mengekalkan pandangan ini selagi mana tiada maklumat tambahan berkaitan insiden kematian PPS daripada polis menerusi siasatan mereka ke atas kes ini,” katanya pada taklimat media khas laporan  Penambahbaikan Budaya Kerja Perkhidmatan Kesihatan 2022 di sini hari ini.

    HWCITF ditubuhkan pada 13 Mei lepas susulan insiden kematian seorang PPS di HPP selain laporan dan aduan yang diterima berkaitan kejadian buli serta masalah tekanan mental yang dihadapi bukan sahaja oleh PPS malah kakitangan perkhidmatan kesihatan.

    Pada 17 April lepas, seorang doktor pelatih lelaki berusia 25 tahun ditemukan maut dipercayai terjatuh dari unit kediamannya di bangunan berhampiran HPP.

    Mengenai dapatan kaji selidik berkaitan budaya kerja yang disertai 110,411 pegawai dan kakitangan KKM, beliau berkata lebih 60 peratus responden kaji selidik menyatakan budaya kerja di KKM adalah positif terutamanya penjagaan pesakit, komuniti dan kerja berpasukan.

    Katanya, insiden ‘burnout’ (lesu upaya) dan buli serta budaya kerja kurang sihat dapat disahkan berlaku di KKM namun pada tahap yang berbeza dan bukan di semua fasiliti kesihatan KKM. 

    “Didapati budaya buli tidak hanya berlaku dalam kalangan PPS, malah ia berlaku merentasi semua peringkat warga kerja KKM secara langsung atau tidak langsung

    “Antara faktor penyumbang ialah kekurangan kecekapan, kemahiran dan tahap kesediaan untuk melaksanakan tugasan yang diamanahkan,” katanya.

    Siti Hamisah berkata HWCITF mendapati pematuhan terhadap pelaksanaan sistem kerja fleksi PPS dalam garis panduan tidak menyeluruh dan latihan PPS tidak konsisten antara satu hospital dengan hospital lain termasuk waktu kerja PPS yang panjang.

    “Justeru, HWCITF mencadangkan pendekatan yang lebih berstruktur dan konsisten melalui pematuhan dan pemantapan standard serta garis panduan sedia ada,” katanya.

    Beliau berkata HWCITF juga mendapati terdapat keperluan untuk mengoptimumkan bilangan sumber manusia dan kemudahan infrastruktur bagi memastikan kesinambungan penjagaan pesakit yang terbaik.

    Selain itu, kebanyakan urusan kerja masih dilaksanakan secara manual dan kekurangan pendigitalan telah menyebabkan peningkatan beban kerja yang boleh dielakkan serta melewatkan proses penyampaian perkhidmatan kesihatan.

    Siti Hamisah berkata HWCITF turut menggariskan 10 syor utama bagi tujuan penambahbaikan dan memperkasakan perkhidmatan kesihatan di KKM dan di kesemua fasilitinya.

    Antara syor-syor tersebut adalah pendigitalan proses pengintegrasian sistem digital sedia ada, penambahbaikan sistem e-Housemen serta penubuhan kumpulan sokongan PPS dan lain-lain perkhidmatan

    “Cadangan penambahbaikan budaya kerja mestilah tidak memberi kesan negatif kepada kualiti pegawai perubatan dan perkhidmatan mereka. 

    “Ini kerana terdapat ramai lagi pegawai perubatan yang dilatih dalam suasana yang kondusif dan mampu memberikan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada pesakit,” katanya.- BERNAMA

  • Najib terkejut, rakyat pula tidak lupa ‘kejutan’ derma ‘Tok Arab’

    Najib terkejut, rakyat pula tidak lupa ‘kejutan’ derma ‘Tok Arab’

    Oleh MOHD AZAM MOHD ATAN

    SEMALAM, bekas Perdana Menteri yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Razak melahirkan rasa terkejut dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonannya untuk memasukkan bukti tambahan kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

    Najib kecewa apabila panel lima hakim Mahkamah Persekutuan menolak permohonannya berkaitan kedudukan hakim, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dalam kumpulan Maybank sebelum ini yang didakwa Najib mempunyai konflik kepentingan cukup besar.

    Najib juga gagal memohon kebenaran mahkamah untuk menangguhkan perbicaraannya sehingga empat bulan atas alasan peguam baharu yang dilantik mewakilinya tidak bersedia dengan rayuan akhir.

    Berdasarkan keputusan semalam, panel hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat mendapati tiada kaitan antara jawatan Mohd Nazlan sebelum ini sebagai Kaunsel dan Setiausaha Syarikat Kumpulan Maybank yang boleh menyebabkan berat sebelah terhadap Najib.

    Selain itu, Tengku Maimun yang membacakan penghakiman berkata, mahkamah berpandangan bukti tambahan yang ingin dimasukkan tidak relevan dengan pertuduhan ke atas Najib.

    Begitu juga dengan alasan Najib untuk menangguhkan prosiding yang ditegaskan oleh mahkamah sebagai tidak munasabah dan tidak adil kepada semua pihak termasuk dana awam apabila mahkamah terbiar tidak bersidang.

    Jika dilihat kepada reaksi orang ramai di media sosial pula, majoritinya berpuas hati dengan keputusan mahkamah itu kerana kes berkenaan sudah lama berlarutan.

    Keputusan untuk mensabitkan Najib bersalah juga sudah dibuat pada 28 Julai 2020 di mana dia telah didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kuasa dan pengubahan wang haram dana SRC dan dihukum dipenjara 12 tahun serta didenda RM210 juta.

    Ramai berharap pelaku kes penyelewengan itu dapat dihukum dengan segera kerana kes berprofil tinggi itu membabitkan sejumlah wang yang sangat besar.

    Rakyat tidak akan lupa bagaimana penyelewengan itu memberi kesan ke atas kepentingan awam kerana dana RM42 juta itu adalah milik Kementerian Kewangan yang berkemungkinan berasal daripada dana pencen Kumpulan Wang Persaraan berjumlah RM4 bilion.

    Begitu juga dengan alasan penghakiman ketika mensabitkan kesalahan terhadap Najib, hakim Mohd Nazlan berkata penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd adalah kesalahan dan pengubahan wang haram yang paling teruk.

    Rakyat juga masih ingat bagaimana Mohd Nazlan berkata bahawa Najib selaku tertuduh tidak menunjukkan penyesalan, malah mempertahankan pembelaan bahawa beliau tidak mengetahui mengenai wang RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd itu.

    Rakyat juga tak akan lupa sampai bila-bila bagaimana kisah derma Arab yang dicanang-canang apabila Najib dikatakan menerima RM42 juta daripada raja Arab Saudi dan semuanya gagal dibuktikan di mahkamah.

    Mahkamah Rayuan ketika mengekalkan sabitan bersalah terhadap Najib pada Disember tahun lalu juga telah mendapati pembelaan Najib berhubung sumbangan derma negara Arab sebagai tidak mempunyai kredibiliti dan bercanggah.

    Dalam penghakiman penuh, tiada bukti sama sekali bahawa RM42 juta itu datangnya atau mungkin daripada raja Arab Saudi dan secara jelas terbukti dana itu datang daripada SRC International Sdn Bhd.

    Maka, sama-sama kita tunggu prosiding rayuan akhir yang bermula esok untuk mengetahui pengakhiran kes penyelewengan ini.

    *Penulis adalah penganalisis politik dan ekonomi. Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian WartaRakyat.